Selasa, 9 September 2008

kehendak Kita Jua Adanya


Setelah membaca artikel ini, ada sesuatu yang rasanya ingin dikongsi bersama teman-teman. Selamat membaca. Artikel ini dipetik dari;





Malaysia 'kaya' kemudahan ibadat


Oleh Siti Suriani Othman dari Nottingham, England


'TERASA mudahnya menunaikan ibadat di Malaysia berbanding di United Kingdom (UK)'. Itulah yang terdetik bukan hanya ketika saya mula-mula menjejakkan kaki di negara empat musim ini, malah ia nyata dirasai sehingga kini. Kepayahan ini bukannya dari segi tempat beribadah kerana di universiti misalnya memang disediakan surau untuk pelajar Islam. Kesukaran ini lebih dirasai kerana anjakan musim yang mengubah waktu solat dengan drastiknya dari satu musim ke musim lain. Misalnya, musim panas waktu malamnya singkat dan musim sejuk pula waktu siangnya singkat. Saya sampai di UK pada September 2007 yang lalu iaitu ketika musim luruh. Musim luruh diapit musim panas dan musim sejuk yang bermula pada September hingga akhir November di negara hemisfera Utara seperti UK.


Pada musim luruh, kita akan dapat melihat daun-daun bertukar warna menjadi oren kekuning-kuningan, mula luruh sebagai persediaan menanti musim sejuk yang bakal menjelma dengan kebanyakan pokok tidak lagi berdaun, hanya tinggal ranting. Pada musim luruh ini, rasa sejuk sudah mula menggigit tulang walaupun dengan suhu antara 9 hingga 20 darjah Celsius saja. Maklumlah, suhu badan masih lagi bersuhu Malaysia ketika itu. Syukurlah, musim luruh tahun ini (2008) tidak lagi dirasai sesejuk tahun lalu, mungkin sekali kerana sudah mula biasa dengan suhu di sini. Selain itu, musim luruh juga kaya dengan angin kuat yang pada awalnya saya rasa menyesakkan, menyukarkan penafasan. Kesukaran ini juga tidak lagi dirasai tahun ini.


Ketika musim ini juga, waktu solat adalah hampir sama dengan Malaysia, misalnya solat Zuhurnya bermula dalam lingkungan jam 1 petang. Tidak banyak berbeza, saya tidak begitu merasakan ‘keperitan’ perubahan negara yang besar ketika itu. Tahun lalu juga saya sampai di UK ketika sambutan Ramadan, kira-kira pertengahan Ramadan. Memang diakui, agak sukar menjalani ibadat puasa di negara sejuk tetapi kering ini, tekak terasa kering sepanjang hari. Dan, berbuka pada jam 7.30 malam di UK bagaikan menanti bulan yang tak jatuh. Lama sungguh rasanya kerana di Malaysia, sungguhpun panas tetapi iklimnya lembap. Panahan matahari Khatulistiwa nyata lebih sebati dengan diri ini berbanding kesejukan Eropah. Sangkaan saya meleset kerana beranggapan menjalani ibadat puasa di negara yang lebih sejuk adalah lebih mudah. Namun tahun ini kesukaran Ramadan pertama di UK semakin diberi kemudahan, diringankan kesulitan.


Masuk bulan Disember pula bermulalah musim sejuk yang ‘digeruni tapi dinanti’. Gerun kerana takut tidak tahan dengan kesejukannya, tetapi dinanti kerana ramai pelajar baru di UK ini yang berhajat besar bermain salji. Namun, musim sejuk di Nottingham yang terletak di bahagian tengah UK (Midland) rupanya tidaklah sesejuk bahagian Utara UK seperti Newcastle dan Edinburg. Dengan suhu dalam lingkungan negatif 3 hingga 10 darjah Celsius, salji yang turun sama sekali tidak boleh dibentuk menjadi orang salji.



Ketika musim sejuk pertama kali dirasai di Nottingham, saya hanya dapat melihat salji turun sebanyak beberapa kali pada waktu awal pagi dan malam. Di England, musim sejuk yang paling sejuk dalam sejarah dicatatkan pada musim sejuk tahun 1962/1963. Ketika itu, Januari 1963 adalah kurang daripada 5 darjah daripada purata biasa. Hal ini berterusan sehingga bulan Februari. Angin sejuk air batu (frost) melanda sehingga ke Selatan England yang diketahui lebih panas berbanding kawasan lain di England yang ketika itu berada dalam purata suhu di bawah paras beku. Ketika itu juga, rekod di Braemar, Scotland mencatatkan suhu terendah dalam sejarah UK iaitu -22.2 darjah Celsius. Namun rata-rata, apa yang agak sukar bagi pelajar baru di UK ialah menyesuaikan diri dengan perubahan musim, bukannya kedinginan ketika musim sejuk.



Perubahan musim yang menyebabkan perubahan waktu nyata turut memerlukan kami mengubah rutin hidup seharian termasuk menyesuaikan diri dengan perubahan waktu solat. Bayangkanlah jika di Malaysia, kita sudah biasa dengan waktu solat yang hampir sama sepanjang tahun, di UK pada musim sejuk waktu solat Subuh seawal jam 2.30 pagi dan solat Isyak bermula pada jam 11.30 malam. Jika ketika musim sejuk tugasan menunaikan solat selesai amat awal dalam sehari (misalnya waktu Maghrib seawal jam 3.45 petang dan waktu Isyak bermula jam 5.30 petang), musim panas pula amat berbeza keadaannya. Selain itu, kesukaran mengadaptasi waktu solat di UK juga disebabkan tiada azan yang menunjukkan waktu solat bermula. Memandangkan tiada azan kedengaran di corong radio/televisyen atau di corong masjid seperti di Malaysia, semua pelajar Islam di sini sentiasa melihat waktu solat daripada laman-laman web yang berkaitan seperti Salahtimes, Muslim Directory Prayer Time Table, Nottingham Muslim Society. Namun di sini, kebanyakan kami menggunakan panduan waktu solat di laman web Persatuan Pelajar Islam University of Nottingham. Kemudahan disediakan oleh laman web ini nampaknya banyak membantu semua pelajar Islam di UK dalam menjalankan ibadat solat, mahupun amalan lain seperti puasa sunat sepanjang tahun. Namun, timbul satu lagi masalah besar di sini iaitu tiada keselarasan antara waktu solat, antara satu laman web dengan laman web yang lain. Waktu solat disediakan dalam laman web yang dinyatakan tadi tidak sama semuanya. Itu belum lagi jika dibandingkan dengan risalah serta edaran waktu solat dan berbuka puasa (ketika bulan Ramadan) yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat Islam di UK. Kesukaran ini pastinya ujian bagi kami di UK. Pastinya, Malaysia adalah negara yang jauh lebih mudah menjalankan ibadat secara keseluruhannya.



Namun kami masih bernasib baik kerana jumlah warga Islam di UK kini dikatakan mencapai sehingga dua juta orang dan Nottingham adalah antara kawasan yang mempunyai bilangan masyarakat Islam yang besar selain London, Birmingham, Manchester, Bradford, Luton, Slough dan Leicester, maka tiada masalah mendapatkan makanan dan daging halal di sini. Sungguhpun begitu, pastinya ketika bulan Ramadan tiada hiruk pikuk Bazar Ramadan dan persiapan berbuka yang meriah. Kayanya Malaysia dengan kemudahan beribadat pastinya membuatkan Malaysia tetap di hati walau jelajah sejauh manapun berkelana. Selamat berpuasa kepada semua rakyat Malaysia dan semoga ibadat tahun ini dapat dijalani dengan sesempurna mungkin.



Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom

Ahad, 7 September 2008

AlFatihah untuk Sang Pejuang



Berita ini kukutip dari beberapa sumber;

Al-Fatihah to Tan Sri A Samad Ismail (1924-2008)

KUALA LUMPUR, Sept 4 (Bernama)National journalism laureate and freedom fighter Tan Sri A. Samad Ismail died Thursday at the Pantai Medical Centre here at 5.58pm because of lung infection.

Singapore-born Samad, 84, better known as Pak Samad, was warded at the hospital since Aug 24 after experiencing difficulty in breathing.

He leaves behind wife Puan Sri Habibah Hamid and 10 children including bloggers and ex-journalists Nuraina and Maria.

His first wife, Hamidah Hassan died on June 2, 1990.

His remains were brought the family home at 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya and would be buried after Friday prayers tomorrow, Azmi Ansar, a son-in-law, told Bernama.

Nuraina, in a posting in her blog “Nuraina A Samad’s 3540 Jalan Sudin” said a second round of dialysis done on her father at 5.30pm failed and his blood pressure continued to drop.

Pak Samad was placed on dialysis since Wednesday after his kidneys began to fail but the condition of his heart was still good.

Pak Samad telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.58 petang tadi di Hospital Pantai Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail akan dibawa pulang ke rumahnya di No 2 Jalan 16/7C, Petaling Jaya dan akan dikebumikan semalam, selepas solat Jumaat.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Pak Samad.

“We have lost an important tokoh. Journalists should learn from him and read his writings. It is very difficult to find someone like him, Tan Sri A Samad Ismail books are his will. He always reminded us not to go after riches but to seek wisdom”


Dia bagai menanti Ogos berlalu. Bagai cuba merasai detik-detik gemilang kemerdekaan yang diperjuangkannya dahulu. Negara kehilangannya bukan sahaja sebagai pejuang kemerdekaan, namun kehilangan banyak ilmu dan pengalamannya dalam bidang kewartawanan.

Moha rohnya dicucuri Allah.

Khamis, 4 September 2008

Ramadhan Datang Lagi


Ramadhan menjengukkan diri dengan berjuta kelebihan yang tak terjangkau dek akal. Bersama berjuta kemuliaan yang dianugerahkan kepada hambaNya yang tak terkutip banyak.




Terima kasih, Tuhan. Berikan aku senafas lagi untuk menjalani Ramadhan tahun ini. Moga dikuatkan diri. Ditabahkan hati. Ditambah sabar dan digandakan keimanan.







HambaMu ini terlalu lemah mengendali hidup. Mudah lupa dan lalai. Berikan Nur dan HidayahMu agar aku menjadi anatara hambaMu yang tidak pernah lupa. Tidak lupa untuk mengenangMu, tidak lupa untuk syukuri nikmat anugerahMu.







Tunjukkan aku jalanMu yang lurus. JalanMu yang benar. JalanMu yang akan membawa kebahagiaan hidup di dunia terpenuh tipu daya, di akhirat yang kekal abadi.








Hidup dan matikanlah aku dalam nur Islam. Tetapkan hatiku untuk terus beriman kepadaMu. Kurniakanku kekuatan untuk mendepani segala cabaran dan ujianMu.





Berikan rahmat dan rahmanMu kepada kedua ibu bapaku. Jauhilah mereka dengan fitnah dunia, jauhilah mereka dari perkara-perkara yang akan jauhkan mereka daripada cintaMu. Kurniakan mereka nur serta hidayahMu dan lapangkanlah hati mereka. Kasihilah mereka sebagaimana tak terhingganya kasih mereka kepadaMu, kepada kami.



Ramadhan ini ya, Allah...peliharalah kami daripada segala penyakit hati. Berkatilah seluruh kehidupan kami...


Ya Allah, aku terlalu malu untuk terlalu banyak meminta kerna aku tahu tiada satupun dariku yang Kau tuntut. Ramadan yang mulia ini, aku tawadukkan penyerahan ini.

Merdeka Ini ...


31 OGOS dah lama berlalu. Banyak perasaan yang ingin kulafazkan, namun entah kenapa tertangguh sebegitu lama. Terpendam tanpa mampu kuluahkan. Bagai kehabisan kata. Semuanya hanya berlegar dalam minda.


Diri memang bangga menjadi anak Malaysia yang merdeka. Terlalu bangga. Pada alaf ini, TIDAK PERNAH wujudpun satu Negara di dunia ini seperti Malaysia yang kucintai ini. Negara yang indah. Budaya yang menarik. Makananyang enak dan pelbagai. Aman damai. Orang kata, segala-galanya ada di Malaysia.



Malaysia yang kecil di mata dunia ini, amat besar nilainya. Bukan sahaja berpuluh kaum dan bangsa menghuninya dengan aman damai (biarpun adakalanya ada jua anasir tak patut yang cuba runtuhkan nilai ini dengan menyebarkan isu perkauman, namun Alhamdulillah, hingga kini kita masih boleh keluar dengan selamat ke mana sahaja tanpa lesing peluru dan mortar. Boleh jalani ibadah tanpa apa-apa sekatan, boleh sambut pelbagai perayaan secara bersama, malah sama-sama berkongsi cuti perayaan untuk jemkan jalan semasa balik kampong), malah berpuluh warganegara lain juga menghuni dan menimba khazanahnya.

Malaysia ada 3 bangsa yang terbesar, Melayu, Cina dan India. Ada juga lebih kurang 37 kaum bumiputera lain di Sarawak dan lebih 50 kaum juga di Sabah. Itu belum lagi termasuk pendatang dengan izin dan tanpa izin dari Filipina, Indonesia, Thailan, Mynmar, Vietnam, Bangladash, Pakistan, Sri Lanka. Belum juga dicampur dengan pemastautin dari Asia Barat, Singapura, Orang Puteh dan sebagainya. Jadi, tidak banggakah anda?


Amerika Syarikat yang hanya ada kulit hitam dan kulit putih itupun bergolak dengan isu perkauman. Amerika sesama kulit putih pun masih lagi berbalah tentang isu kulit mereka antara Amerika Syarikat dan Amerika Selatan. India yang sebangsa India pun bertelagah kerana beza agama. Bosnia dan Iraq yang sesama seagama pun saling berbunuhan. Lalunya, tidakkah perlu kita panjatkan syukur ini?


Mencintai Malaysia ini tidak begitu dirasakan kala berada di bawah naungan merdeka bumi sendiri. Andai pernah keluar dari bumi bertuah ini, tahulah betapa di hati bumi Malaysia juga yang diagungkan. Sambal belacan juga yang diidamkan. Pengalaman pada 2003 ke Beijing biarpun hanya selama 10 hari telah berikan diri satu erti yang agak besar. Biar indah Negara orang, sesak Kuala Lumpur juga diingat. Biar betapa kagumnya hati dengan kesenian orang, seruling juga seakan terdengar di telinga. Biar betapa dinginnya cuaca menghampiri musim sejuk, sejuk kala hujan renyai di Bangi juga yang kudambakan.


Malaysia yang aman damai penuh keceriaan ini, sama-samalah kita jaganya. Sama-samalah kita berjuang untuk memartabatkannya. Tiada guna erti merdeka kalau hanya laungan semata. Kiranya hanya kibaran bendera sahaja. Lebih banyak pengisian tentang kemerdekaan perlu dibina. Perlu ditanam. Jiwa yang merdeka kita terlalu lemah menghadapi cabaran globalisasi. Kitalah yang perlu berjuang untuk kukuhkannya.


Sayangilah kemerdekaan ini. Sayangilah Malaysia yang kita nikmati kemerdekaan ini dengan susah payah dari pejuang lampau. Hargailah apa yang kita ada sebelum kita kehilangannya. Tiada guna menangis kalau kita kehilangan seperti Bosnia yang pernah mati “manusia”nya. Seperti Iraq yang “hilang” perkasanya. Seperti Iran yang patah taringnya. Kitalah yang akan menentukan sebagai apa Malaysia ini perlu dicorakkan.

Ingatlah, Malaysia yang kita diami hari ini adalah dipinjam oleh datuk nenek kita pada masa lalu yang akan kita warisi kepada ganerasi seterusnya. Andai Malaysia yang berantakan kita tinggalkan untuk mereka, tidak malukah kita mengkhianati “pinjaman” ini?

Rabu, 20 Ogos 2008

Tergugahkah diri?


Kala Kata Tak Terucap


Perkataan tidak lagi mampu mengungkapkan segala perkara. Saat ini... biarlah hati menuturkannya.




















































Selasa, 19 Ogos 2008

Hilang yang ada gantinya



Ketika sedang menyiram bounggavilla di hadapan rumah malam semalam, aku dikejutkan dengan berita yang mungkin telah dilalui orang lain. Leen diragut. Berhampiran CIMB syeksen 8 Bandar baru Bangi. Kala itu dia sedang menapak untuk kembali ke rumah setelah lelah seharian berkerja.


Dilihat dari sudut materialnya, dia hanya kehilangan telefon bimbit berkamera Sonny Ericson. Sudah pasti telefon itu lebih canggih daripada telefonku yang tidak punya kamerapun. Hanya telefon Nokia biasa keluaran lama. Yang sudah pasti tidak akan menarik minat sesiapapun untuk milikinya. Bukan sahaja model lama, tetapi tiada apa-apa fungsi terkini yang diidamkan. Nyatanya telefon sebegini kurang risiko untuk dighaibkan. Agak selamat.

Nokia 3310


Namun diikutkan hati, sudah pasti mengidamkan peranti yang lebih terkini. Pelbagai fungsi. Paling kurangpun, kala terdesak dalam apa-apa situasi, bolehlah gunakan kamera untuk merakamkan kalaupun tak punya fungsi untuk merakamkan video. Hingga kini, entah kenapa telefon sebegitu masih belum lagi kupunya. Hati masih lagi menyayangi model lama ini. biar berkali terhempas hingga berkecai isi perutnya, ketahanannya masih lagi utuh. Masih lagi boleh digunakan macam biasa. Dan diri, bagai punyai perasaan yang teramat mendalam terhadap model ini. Mudah. Murah. Fleksibal. Lasak. Paling utama risiko untuk hilang agak rendah. Aku pernah tawarkan telefon itu sebagai tukaran untuk sekotak pin tudung yang berharga sekadar RM5, namun penjual itu menolaknya. Pin tudung itu lebih mahal harganya berbanding telefon milikku itu.


Nokia N90 Idamanku



Satu hari, diri tetap akan ganti jua model lama yang selesa kugunakan itu dengan model yang lebih terkini. Biarpun dunia berputar dengan cepat, teknologi berubah terlalu pantas, model Nokia N90 jua menjadiidaman hati. entah kenapa. apalagi kalau warna silver. Terlihat cantik. Menawan. Ranggi. Seksi juga.


Untuk jadikan model N90 itu benar-benar menjadi milikku, sudah pastilah aku perlu menunggu nafas model yang kugunakan kini terhenti dahulu. Perasaan sayang itu payah untuk dikikis, biarpun di hati sebenarnya ada cinta lain yang berputik. Sebegitukah hidup ini?


Buat Leen yang bernasib malang menjadi mangsa ragut itu, bersabarlah. Moga diri dianugerahkan kekuatan untuk terus menapak ke hadapan. Hidup memang begini. Hidup juga sukar untuk dimengertikan. Belajarlah jadi seseorang yang kuat, walaupun payah. Kalaupun hari ini hilang telefon bimbit, masih jua mampu dibeli. Andai hilang sesuatu yang lebih besar makna dan nilainya dalam hidup ini, tiada satu kedaipun kita kunjungi untuk belinya semula. Talian hayat dah habis!

Isnin, 18 Ogos 2008

Impian yang Berkecai


SEKADAR PERAK... Hasrat Lee Chong Wei untuk menghadiahkan emas pertama Olimpik kepada negara tidak kesampaian apabila beliau sekadar meraih pingat perak setelah tewas kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir badminton di Gimnasium Universiti Teknologi Beijing di Beijing, China, malam tadi.

Impian Lee Chong Wei genggam emas musnah
Daripada Meor Harman Meor Shakri



BEIJING 17 Ogos – Malaysia terlepas peluang membawa pulang pingat emas pertamanya di Sukan Olimpik Beijing 2008 apabila pemain utamanya, Lee Chong Wei tewas kepada lawannya dari China, Lin Dan untuk meraih perak pada perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki di sini, malam ini.

Chong Wei yang dilihat gemuruh sejak permulaan set pertama tewas 21-12, 21-8 dalam permainan berat sebelah yang lebih banyak melihat penguasaan pemain tuan rumah sehingga ke mata penamat dalam set kedua.

Pemain utama negara itu dilihat tidak bermain pada tahap terbaiknya sebelum ini malah banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya sepanjang perlawanan di depan ribuan penyokong tempatan yang memenuhi ruang gimnasium Universiti Teknologi Beijing itu.

Chong Wei yang ditemui selepas penyampaian hadiah berkata, dia akur dengan persembahan Lin Dan yang jauh lebih baik hari ini.

“Saya cuba memberikan tentangan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa sebab permainannya terlalu laju.
“Jurulatih saya, Misbun Sidek meminta saya meningkatkan kelajuan permainan tetapi saya masih tidak dapat menyaingi kelajuan permainan Lin Dan,” kata Chong Wei yang mengakui merasai tekanan dan menganggap kekalahan itu merupakan yang paling mudah kepada lawannya itu sepanjang pertemuan kedua-duanya sebelum ini.

Apa pun, kemaraan pemain nombor dunia itu ke babak akhir saingan Olimpik sudahpun dianggap satu pencapaian terbaik skuad negara yang kali terakhir membawa pulang pingat gangsa dalam acara perseorangan menerusi Rashid Sidek pada temasya Olimpik Atlanta 1996.

Pencapaian terbaik negara dalam acara badminton ialah pada temasya yang sama (Atlanta) apabila pasangan beregu negara, Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit menghadiahkan perak untuk negara selepas gandingan adik beradik, Razif-Jalani Sidek meraih gangsa dalam Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Berakhirnya saingan badminton hari ini meletakkan tumpuan negara beralih ke saingan acara berbasikal, taekwondo, kapal layar dan terjun yang masih berjuang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya emas.

Sementara itu di Bukit Mertajam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan merangkul pingat perak oleh Chong Wei itu sebagai satu kebangaan negara.

Sabtu, 9 Ogos 2008

Bila diingatkan








Konvokesyen UKM bermula hari ini. Setiap wajah terpamer ceria. Senyum mak ayah pun terpalit manis. Inilah harinya semua perjuangan berbalas. Kerja kuat, belajar dengan tekun dan melalui kehidupan kampus serasa berbaloi bila sahaja jubah labuh itu disarung. Nantinya, gambar berjubah labuh itu aku digantungkan di dinding utama. Difremkan berbingkai emas. Indahnya. Nikmatnya. Hari ini seakan kita yang punya.

Sepuluh tahun lalu…hari sebegitulah yang kunantikan dalam debar. Selepas menyarung jubah itu, melangkah gagah di pentas di hadapan semua hadirin, mengabadikannya di dalam foto…diri kembali semula mengejar deadline tugasan. Menyiapkan semua keperluan kursus. Menulis tesis bak hikayat tua di muzium tebalnya. Study semula untuk peperiksaan. Setahun kemudian, biarpun lelah belum habis, pentas yang sama kulalui lagi. Dengan jubah warna yang serupa, hanya dibezakan dengan segaris corak tenunan songket pada lengan dan hadapannya. Namun kali ini, tiada siapa yang datang. Keseorangan melangkah di tengah pentas. Keseorangan pula keluar dari dewan tanpa ditemani sesiapa. Di luar, beriru sanak saudara menunggu graduan, namun di hatiku hanya kosong dan sepi.

Perjuangan sebenar bermula selepas sekeping sijil itu kuperoleh. Kegawatan ekonomi memaksa diri menerima apa sahaja pekerjaan tanpa banyak soal tentang gajinya. Asalkan mampu menyara diri. Lalunya, kerja-kerja editor telah kubuat sementara mencari kerja lain yang lebih berbaloi dengan nilai sekeping kertas yang diterima keseorangan dalam gesit rasa itu.

Setelah lebih sepuluh tahun berlalu…masihkah diri berpelung untuk jalani perarakan itu lagi? Kalaupun sendirian, biarlah kulaluinya setelah berperit susah berjuang sendirian. Kuatlah diri. Teruskanlah langkah ke hadapan. Untuk apa lagi menoleh sejarah yang kelam itu?


Bukankah dahulu aku mampu harungnya, kenapa kini perlu mengalah dengan lelah tanpa daya?

Jumaat, 8 Ogos 2008

Tentang Dia


Hari ini hari yang istimewa. Hari yang agak sukar untuk ditemu entah berapa lama lagi. Lapan haribulan lapan tahun dua ribu lapan. Singkatnya ditulis begini 080808. Pada tarikh istimewa ini aku dapat petunjuk yang istimewa juga.

Kukenal dia berbelas tahun dahulu. Dia yang terlalu baik. Bersih hatinya, luhur budinya. Ikhlas orangnya. Bertahun-tahun aku kenali dia sebegitu. Berbelas tahun itulah. Dia yang terlalu baik itu malah kenali juga seluruh keluargaku. Hingga akhirnya, kala dia terhalau dari rumah sewa, maka berkongsilah kami satu penginapan.

Orang kata, kalau ingin persahabatan bertahan lebih lama, jangan cuba-cuba untuk tinggal sebumbung. Itu kata orang. Dan kami telah ingkari pesan itu. Dua tahun tinggal bersama. Satu rumah. Saling membantu. Saling muafakat. Saling gembira. Dan selama dua tahun itu, kekagumanku padanya kian bertambah. Kian menebal. Kian semarak. Hanya baiknya yang kutemu sepanjang tempoh itu hinggalah kemudiannya semua itu telah bertukar. Lakonan hidup tak akan mampu diteruskan untuk berkurun lama. Akan tiba suatu masa, sang pelakun akan rasa letih. Akan berehat dari lakonan hidup ini.

Kala Tuhan turunkan ujian, kita tidak sahaja teruji dengan ujian itu. Kita juga belajar bagaimana untuk mengenali insan sekeliling. Dan Tuhan berikan ujian sebegitu, ada masanya buat serlahkan kepada kita siapa manusia di sekeliling kita itu. Itulah yang aku jumpa dari sekian banyak keperitan yang Allah berikan. Dari sekian berat cubaan yang terpaksa kutempuhi biarpun hati bagai tak terdaya lagi menanggung. Berpegangkan “Allah tidak menganiayai hambaNya. Dia hanya uji hambaNya setakat kemampuan diri hamba itu sahaja” lalunya biarpun rasa tak tertanggung, aku tetap juga berdepan. Bersemuka. Tabah dan sabar.

Kesabaran itulah yang menang. Kesabaran itulah gagahkan kaki biarpun sebenarnya tak terheret untuk terus melangkah. Dan Dia bukan sahaja tunjukkan aku jalan yang terbaik untuk hadapinya, pamerkan aku hati budi tiap insan yang kukenal, Lalunya hari ini Dia juga singkapkan satu lagi topeng yang menutupi wajahnya. Terima kasih, Tuhan. Akhirnya…telah kau menangkan hati ini biarpun dunia tetap memandang aku ini BERSALAH. Cukuplah Kau pamerkan di hadapan mataku seorang, tanpa orang lain mengetahuinya. Itupun sudah memadai. Itupun sudah terlebih dari cukup buat kubebat luka ini. Moga kemenangan yang aku seorang sahaja tahu ini menetapkan hatiku agar sentiasa redha atas setiap apa yang berlaku.

Tuhan, lindungilah aku dari kejahatan hatiku sendiri.

Khamis, 7 Ogos 2008

Antara Teluk Kemang dan Bukit Fraser





Setelah bermusim lelah mengejar target dalam kerjaya, jiwa dan minda yang penat perlu direhatkan. Diri perlukan bonus untuk mendapatkan “hadiah” dengan kerja keras berkenaan. Jadinya, menyendiri di Port Dickson selama dua hari adalah hadiah yang kuberikan kepada diri. Hadiah sebegitu tidak perlah kuberikan kepada diri sendiri selama ini. Baru kali ini kuanegerahkan hadiah itu, itupun setelah memasuki angka 10 tahun diri lelah memerah keringat dan tenaga untuk kerja.

Terima kasih, diri. Berada di Teluk Kemang pada hari berkerja memang menenangkan. Bebas dari kekalutan. Jauh dari kertas-kertas dan persoalan kerja. Jauh juga dari semua insane. Bersendirian di Teluk Kemang, apalagi pada malam hari, menyusuri pantainya yang melengkung landai, dengan apa terpenuh ucap? Tiada kata-katapun mampu gambarkannya.

Kala sendirian begini, tanpa sesiapapun disisi. Tanpa teman-teman yang sememangnya telah lama tiada. Tanpa ditemani orang-orang disayangi yang kini kian berubah nilainya. Tanpa sesiapa pun yang mampu mendengar kata hati. Dan kala sendirian itu, barulah tersedar dunia yang telah kusempitkan selama ini rupanya luas. Tak terjangkau akal. Tak tercapai dakap.

Terlalu lama kukongkong hidup semata-mata mengejar sesuatu. Sedang apa yang kukejar nyatanya terburai sepanjang jalan. Tiris. Dan kini, tiada apapaun masih bersisa untuk kujengah hasilnya. Sia-siakah? Kelekaan sebegitu melupakan tentang dunia luas yang perlu kuharung. Lalunya kini, biarpun sekadar di Teluk Kemang, kubiarkan diri menikmati secebis tenang itu.

Angin memang ramah berbicara antara bisu suasana. Ombak tiada pernah jemu mendesah antara pasir-pasir, mencipta buih-buih yang berkejaran di halus pasir. Dan aku tenggelam dalam bahasa indah itu. Biarpun sendirian.

Dua hari kemudian, Bukit Fraser yang lusuh kukunjungi. Berteman. Berdua. Menikmati kedinginan perbukitan dikeliling kehijauan. Dihiasi bahasa dan bual rimba yang mengasyikkan. Teduhnya hanya sekadar melindung rusuh, sedang minda masih lagi tercari-cari kiranya tersembunyi erti sebalik kabus pagi. Antara malu mentari yang malas muncul dan lelah embun di hujung rumput cuba pertahankan kedinginan. Kejernihan.

Di sini kicau burungnya gemersik, lalu bisik hati tenggelam antara derik cengkerik dan nyanyi riang-riang. Di sini anggeriknya melata di pinggir hutan, menjalar serlahkan keindahan sekalipun tiada mata yang sudi menjeling. Di sini, hijau lumutnya basah dek hujan semalam kalaupun embun tidak mampu meladungkan dingin. Lalunya, di sini, ketika memandang mentari pagi yang malu-malu untuk menjengah, diri tetap jua terasa panas terpanah. Tiada arah jua. Lalu, seperti kelkatukah? Jatuh sayapnya kala hampiri lampu?

Dua tempat yang berbeza. Dua keadaan yang tak sama. Dua harapan juga. Hakikatnya, Hidup memang payah untuk dimengertikan....



Rabu, 2 Julai 2008

Setelah kehilangannya....


Pada satu hari minggu, aku terpaksa ke bengkel betulkan kapcaiku yang buat hal. Semenjak dua menjak ni, kerap benar dia buat onar. Susah nak start, selalu mati bila berhenti di traffic light, malah semua fungsi lampu, signal, hon dan meternya juga telah padam.


Dua minggu sebelum itu, aku dah tukar bateri. Kononnya bateri yang buat hal. namun setelah guna seminggu, kapcai itu buat hal lagi. Onar yang sama. Siptom yang sama juga. Pening kepala!


Hendak tak hendak, terpaksalah ke bengkel. Kalau tidak, entah bagaimana ragamnya nanti.


Agak lama juga adik pomen di bengkel itu mengujinya. Hendak tak hendak, bateri yang baru dua minggu kupakai itu, terpaksa ditukar lagi. Melayang juga lebih RM50 pada zaman kemelesetan ekonomi yang mencengkam ini, sekali dengan servis, tukar minyak hitam dan plug.


Semasa menunggu semua urusan berkaitan hal-hal kapcai itu selesai, sempat juga diri melepaskan lenguh di kerusi. Melontarkan pandangan ke persekitaran. Dan, entah kenapa...mata tersilau pandang kearah sebuah wira dark purple yang seakan begitu cukup kukenali. Kala melirik ke platnya, hati terbuai sayu.


Kala ia bersamaku sutu waktu dahulu, agak tidak akrab rasaku dengannya. Kini, bila berjauhan...bila hanya mampu merempit dengan kapcai, barulah terdetik sayu di juring hati. Kalaulah mampu diulangi semula apa yang pernah dilewati...itulah antara perkara yang aku akan hargainya. Namun kini, entahkan sudah terlambat...entahkan belum tiba lagi detik lain yang sama seperti itu.


Setelah kehilangannya, barulah tahu betapa ia ada value yang tersendiri...




Jumaat, 6 Jun 2008

Minyak naik lagi



Kali ini naiknya bukan seposen dua. Kali ini naiknya bukan tiga puluh sen. Tapi, kali ini naiknya terlalu mendadak hingga 70 sen pula. Dulunya harga minyak RM1.92 seliter, pun sudah kurasakan betapa beratnya untuk hidup, walaupun sendirian semacam aku. Apalagi andai ahli keluarga itu sedikit besar. Kini kenaikannya hampir 40 peratus menjadi RM2.70 seliter. Harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.50 seliter daripada RM1.58 sebelumnya. Bayangkanlah peningkatan sebanyak itu…entah apa akan jadi nanti.


Sama ada nak atau tidak, kenaikan harga minyak akan disusuli pula dengan kenaikan harga barangan yang lain. Susu, minyak, tepung, beras, gula…malah semua benda akan naik harga lagi, sedangkan isu kenaikan harga beras masih lagi belum mampu diatasi, kita dikalutkan lagi dengan kenaikan harga minyak. Hanya gaji sahaja tak naik. Opssss gaji pernah naik, tetapi sedikit sahaja berbanding kenaikan harga barang yang lebih mendadak dan lebih menyerlah.

Bagi aku yang tidak berapa pendapatannya, rasa nanar juga. Baru saja terfikir di benak untuk mencari kancil secondhand yang seadanya untuk kegunaan harian setelah terlalu kerap berhujan dan berpanas menggunakan kapcai burukku itu, tiba-tiba kenaikan semua harga barangan ini buatkan niat itu terpaksa dikurung semula. Kancil burukpun belum tentu aku mampu naik, apalagi kereta baru. Dah tentu hidup akan lebih parah dengan kenaikan harga semua barang selepas ini. Sebelum minyak naik harga, sekali makan dengan lauk dan sayur yang paling selekehpun perlu bayar lebih daripada RM5 (airnya kosong aje). Selepas ini, gamaknya cecah RM10. Berganda. Itu baru sekali makan. Kalau tiga kali sehari makan bagaimana pula? Kalau berdua, atau bertiga pula, bagaimana lagi?

Nak dikatakan diri jenis manusia boros, hari minggu dan cuti hanya melepak di depan peti tv kecilku sahaja. Tidak keluar lepak dan bazirkan seposen dua di mana-mana kompleks beli belah. Tidak juga amalkan budaya memborong semasa jualan mega berlangsung. Tidak gunakan barangan mewah berjenama. Tidak suka juga melepak di mana-mana kedai kopi habiskan beras. Dalam masa semuanya tidak itupun…masih lagi daku sengsara tidak mampu.

Selepas ini…entah berapa ramai lagi rakyat Malaysia layak muncul dalam rancangan BersamaMu.


Akukah salah seorang daripadanya?

Isnin, 26 Mei 2008

Siapa yang lebih kau sayang?



Ini bukanlah isu baru. Rokok memang menjadi teman setia sang lelaki jika mahu kelihatan macho. Begitulah agaknya. Padahal, ramai perempuan tidak berdaya lagi menyedut lebih banyak pencemaran udara selepas asap kenderaan, jerebu, bau peluh, dan kini terpaksa makan hati menghidu bau asap rokok dari insan yang dicintainya.

Kini, amat sukar ditemui lelaki sejati yang tidak gemar merokok. Kiranya ada, boleh dibilang dengan jari. Dan lelaki yang tidak merokok ini, silalah iklankan diri. Memang ramai wanita yang tidak mampu lagi menghidu asap rokok di sekeliling mereka. Diri memang berbangga kiranya ada dikalangan lelaki yang tidak merokok datang mengurat. Silalah. Anda dialu-alukan kerana lelaki tidak merokok ini sudah hampir pupus. Sebelum golongan ini ppupus seperti dinosaur, mereka perlu diselamatkan!


Tanggal 31 Mei setiap tahun, Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) telah memperakui sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Sempena hari bertuah ini, sama-samalah kita renungkan tentang kehebatan sebatang rokok yang begitu dipuja orang yang kita cintai ini. Secara pribadinya, apa yang tercatat disini adalah satu pengharapan kepada insane-insan yang paling dekat denganku…sudi-sudikanlah tinggalkan rokok yang anda puja itu andai benar aku ini bermakna dalam hidup kalian.


Kandungan Berbahaya Dalam Rokok


Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut kerana rokok itu mengandungi bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.


Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.


Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama ketagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah lebih hebat berbanding najis dadah. Kajian saintifik terhadap nikotin juga mendapati yang ianya digolongkan sebagai sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan berada dalam keadaan yang amat tertekan. Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung berpunca daripada tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.


Karbon Monoksida merupakan gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu badan hingga boleh menyebabkan terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan kepada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian daripada racun-racun itu dikeluarkan dari badan.



Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Disekeliling


Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab kepada orang di sekeliling mereka. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima. Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.


Kesan jangka panjangnya boleh menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.


Racun daripada rokok juga bertindak balas terhadap ubat-ubatan. Ia mampu menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.


Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :

- Melahirkan bayi yang kurang berat badan

- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan

- Lebih terdedah kepada kanser

- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal


Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :- Lebih mudah mendapat lelah - Mendapat jangkitan paru-paru - Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu - Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak



Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok


Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.


Lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.


Kepadamu, insan tersayang…kalaupun tidak sayangi diri sendiri, sayangilah jua daku yang masih inginkan nafas yang panjang. Masih terlalu banyak mimpi belum kujolok jatuh menjadi kenyataan. Kalaulah daku yang pergi dahulu, rokok itu memang sentiasa sudi menemanimu dengan setia. Namun, andai dikau yang pergi dahulu (tiba-tiba teringatkan lagu alleycats) siapakah yang menemani hari-hariku nanti? Hanya rokokmu itulah!
Ah…tak sudinya aku!

Selasa, 20 Mei 2008

Sebuah pertemuan Caluk Corner



Mempunyai teman-teman baru yang hanya dikenali secara maya memang pengalaman baru. Apalagi buat aku yang sudah tidak lagi begitu punya kekuatan untuk “menghayati” erti diri kepada orang lain, atau sekurang-kurangnya “menerima” orang lain. Tsunami yang berlaku dalam hidup, bila-bila masa sahaja dapat mengubah nilai dan jati diri yang sekian lama dipupuk. Aneh, bukan?



Namun, mempunyai teman-teman maya yang tidak pernah mengenali latar belakang, pekerjaan, cara hidup malah siapa kita, ada ketikanya mempunyai nilai yang lain pula. Ketika diri dilambung entah taufan mana yang membadai, ketika diri lemas menghadapi satu putaran roda kehidupan yang sebenarnya tak sanggup untuk diterima…rupanya, masih ada lagi insan yang sudi menerima kita seadanya. Tanpa bertanya pun berapa angka pendapatan kita setahun, berapa banyak asset yang kita kumpul, atau berapa ramai boyfriends yang kita ada. Malah, tidak juga mengasingkan kita hanya berdasarkan rupa yang tidaklah semanis mana.



19 Mei 2008 menjadi titik permulaan kearah satu harapan baru. Teman yang hilang boleh berganti rupanya. Biarpun yang hilang dan yang diganti itu tak sama, tidak akan serupa, namun Allah telah berikan daku secebis ria. Allah telah tunjukkan yang alam ini masih luas untuk kuharung dengan usia yang masih seciput ini.



Pertemuan Caluk Corner di Madam Kwans Mid Valey pada tarikh ini memberi sesuatu nilai yang baru. Nilai yang aku sepatutnya berubah. Lebih positif tentang hidup dan melangkahlah dengan yakin seperti mana aku yang dahulu. Alam ini masih luas untuk kuharung. Tanpa keyakinan dahulu itu, laratkah diri untuk berlari kembali? Masa untuk bertatih sudah tamat. Kalaupun lariku tidak sekencang dahulu, mulakanlah larian itu! Hari ini juga, usah bertangguh lagi!



Terima kasih, teman. Menerima diri seadanya biarpun ada insan yang menolakku sejauhnya. Terima kasih semua, memberi aku satu harapan baru. Membawa sinar pelangi yang berwarna warni. Terima kasih, Dina; memberi aku sedikit kekuatan untuk mampir biarpun jauh di sudut hari diri masih belum bersedia melangkah sejauh itu. Terima kasih, Dina; memberi satu ruang untuk kutetapkan langkah kaki yang terasa goyah kebelakangan ini.



Terima kasih teman-teman di Caluk Corner, menyuntik semangat baru biarpun kalian sebenarnya tidak pernah tahu. Mesra yang kalian berikan, canda yang terpamer dan senda yang mengiringi…mengubati keping hati yang terlelas sakit. Terima kasih teman, memberi aku sedikit ruang kepada diri untuk belajar menerima orang lain yang telah kutolak selama ini. Terima kasih memberi aku sedar tentang alam ini terpenuh ceria, bukan hanya air mata dan mimpi ngeri.



Tsunami telah lama berlalu namun kesannya masih tertinggal. Terima kasih teman, menjadi penawar buat kedukaan yang membelenggu diri. Buat semua (Caluk dan keluarga, Hypo dan keluarga, Lieyssa, Pu3imaneisya, Azieazah, Dina, Tina, Gee, Nadia, Kuzin, Nobit, Suzry yang menghadiri gathering di Mid Valey) ataupun yang tidak berpeluang hadir seperti Jieda, Cokek, Soul, dan lain-lain, terima kasih hadirkan ceria itu. Terima kasih kerana bersedia memberi peluang dan ruang. Tiada perkataan yang terindah buat diungkapkan perasaan itu…

Terima kasih untuk segalanya...


Sebuah dedikasi...


Dedikasi ini buat semua guru-guru di Malaysia
yang sentiasa berjuang untuk kemajuan anak bangsa,
Untuk golongan pendidik
yang tidak pernah kenal lelah dan jemu memberi harapan
dan kejayaan kepada setiap anak didik mereka,
untuk setiap insan yang mengajar orang lain biarpun sepatah perkataan.

Ilmu itu pelita diri,
Terima kasih buat Yang memberi
Semoga kekal alir pahalanya
Mengiring hingga ke Syurga.
Terima kasih kerna sudi member,
Biarpun hanya patah kata itu pedih terdengar
Namun buahnya ranum kukutip ini hari.

Belum cukup dengan hanya terima kasih
Berbanding sukarnya pengertian ilmu itu
Kubenam dan kupas
Di dasar hati, dalam mendapan diri.
Dan hari ini,
Kepada diri kuikrar janji
Akan kusebar pula ilmu ini serata alam
Moga menjadi teduhan buat semua.
Terima kasih, cikgu
Biarpun hanya A B dan C yang diajarkan
Namun tanpa abjad itu
Daku tak mungkin kenali begitu tingginya falsafah hidup.
Terima kasih, terima kasih.
Biarpun tak cukup ungkapan itu…
Terimalah seadanya, setulisnya.
Dengan rendah diri, di situ aku berteleku.

Guruku Terbilang...





Guru Cemerlang Negara Terbilang menjadi tema Hari Guru 2008. Biarpun pelbagai kontroversi timbul dalam profesyen perguruan, setiap tahun pada tarikh keramat 16 Mei, Hari Guru tetap diraikan juga. Tandanya, jasa mereka masih lagi dikenang. Khidmat mereka masih lagi diperlukan.


Sejak dahulu hingga kini, mereka tetap ada “nilai” yang tersendiri. Kalau tidak, untuk apa penyair tersohor Usman Awang menulis puisi khas untuk mereka. Sesekali, apa salahnya kita hayati puisi indah penuh makna ini…..

GURU OH GURU


SN Dato Usman Awang


Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.


Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat


Setiap tibanya Mei, lagu ini begitu merdu untuk didengari…

Guru Malaysia


Lagu & Lirik : Hashim Ahmad


Kami guru Malaysia

Berikrar dan berjanji

Mendidik dan memimpin

Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka

Kami tumpahkan setia

Rukun Negara kita

Panduan hidup kami semua


Di bidang pembangunan

Kami tetap bersama

Membantu, membina

Negara yang tercinta

Amanah yang diberi

Kami tak persiakan

Apa yang kami janji

Tunai tetap kami tunaikan

Buatmu Guru….perjuangan masih lagi panjang. Sama ada kita ini guru, ataupun insan yang berjaya dek jasa seorang guru, sama-samalah berazam untuk majukan negara. Doa-doakanlah kemakmuran Negara tercinta ini juga.

Rabu, 14 Mei 2008

...sejenak!


Hidup ini memang indah sebenarnya. Namun sejauh mana keindahan itu sempat kita nikmati? Bila agaknya kita menghayati warna fajar yang kemudiannya menjadi cerah perlahan-lahan, atau bila pula kali terakhir kita mampu menyaksikan betapa besarnya kejadian matahari tenggelam bila tiba saatnya beradu?


Secara jujurnya, sudah terlalu lama tidak kulakukan semua itu. Tidak mampu menghayati keindahan alam seusai solat Subuh dengan penuh ketenangan melainkan penuh kalut terkejar-kejar setiap masa. Sebelum mentari tersenyum di pucuk hari, kita sudah terlalu sibuk menguruskan kedatangan hari baru…hingga matahari tenggelam di akhir senja, kita masih lagi belum habis menyibukkan diri dengan segala urusan kehidupan. Barangkali, kita sebenarnya benar-benar menghayati pepatah “Berkerja kuatlah seperti kita akan hidup selama-lamanya…”. Namun, sekuat itukah sebenarnya kita beribadat seakan akan mati pada esok hari? Diri terasa begitu malu untuk menjawabnya!

Jumaat, 9 Mei 2008

Semangat MEI pun mampirkan diri...


I MEI setiap tahun. Hari yang agak bermakna buat semua pekerja di Malaysia biarpun ramai juga yang tidak menyedarinya. Bagi pekerja pejabat, guru, pekerja industri, government, swasta….sebilangan daripada mereka mengetahui tentang tarikh keramat ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu pada tarikh tersebut, mereka diberi cuti rehat.

Namun ada juga yang tidak mengetahui tentang kewujudan hari seumpama ini. Pak Ngah di bendang, Pak Mat di ladang, ataupun Mak Joyah di kebun getah. Pada mereka, berapa banyak Hari Pekerjapun yang dianugerahkan, kerja-kerja mereka tetap perlu diteruskan juga. Mereka tak punya KWSP yang akan menjamin hari tua. Tak punya banyak keistimewaan untuk membuat pinjaman juga.

Ada masanya, kita terlalu rasa gah dengan pencapaian sendiri. Punya segulung ijazah. Ada pekerjaan di pejabat yang sentiasa sahaja sejuk terlebih suhu pendingin hawa. Ada kereta. Ada rumah (kalaupun sebenarnya masih lagi kepunyaan bank). Punya banyak kelebihan dan kemudahan untuk menambahkan lagi hutang padahal, hutang semasa belajar dahulu masih belum lagi langsai sepenuhnya. Lalunya, kita terlupa untuk berfikir sejenak tentang golongan yang tak punya segala apa yang kita ada.

Kita ada segulung ijazah dan pekerjaan yang menjamin hidup. Mereka hanya ada tulang empat kerat. Tulang itulah yang dibanting saban hari sepanjang usia tanpa jaminan KWSP pada hari tua. Kita ada sumber pendapatan tetap yang sentiasa dapat bonus pada hujung tahun sedangkan golongan ini perlu berkerja sepanjang masa. Tak ada kerja, tak ada pendapatan. Kita punya kereta besar yang menjalar walaupun belum langsai hutangnya dengan bank. Mereka ada kereta buruk tetapi dibayar tunai kerana bank tidak sanggup untuk menawarkan pinjaman disebabkan mereka tak punya slip gaji.

Kita tinggal di rumah batu yang kukuh, penuh dengan segala kemudahan elektrik. Dan rumah itu kita sewa pula dengan harga yang mahal kerana nilai hartanah di kediaman elit yang kita duduki tak terjangkau dek gaji kita untuk membelinya, sedangkan mereka punya rumah yang sederhana. Adakalanya amat dhaif. Namun rumah itu kepunyaan mereka sendiri. Kita berbelanja di pasaraya besar yang gah diiklankan di kaca tv, sedangkan mereka dengan rendah diri menyelinap ke belakang dapur memetik pucuk ubi dibuat ulam.

Campur tolak kali bahagi, ternyatanya mereka lebih beruntung daripada kita yang punya simpanan KWSP yang dikatakan mampu menjamin hari tua nanti. Dan KWSP itu pula…sering benar kita keluarkan untuk bermacam hal yang remeh temeh pula. Mereka itu tak punya hutang dengan mana-mana institusi kewangan. Tak perlu membayar bil elektrik yang tinggi dengan penggunaan computer, peralatan elektrik yang canggih dan besar, bil air kerana penggunaan k olam renang dan membasuh rumah besar kita, kereta besar kita…ada masanya untuk mandi semua ahli keluarga kita yang semakin hari semakin bertambah besar saiznya akibat lebihan lemak, membayar bil astro, bil internet, malah bermacam-macam jenis bil lagi. Tidak termasuk lagi membayar harga perkhidmatan apabila menggunakan tandas awam yang tidaklah sebersih mana. Tol. Parking kereta. Sebenarnya, semua benda berbayar.

Difikirkan semuala tentang 1 MEI ini…aku tiba-tiba terasa…alangkah enaknya andai semua perbelanjaan ini boleh digunakan dengan sebaiknya kiranya hidup di kampong halaman sendiri. Persoalannya, kalaulah di sana ada peluang pekerjaan seumpama ini, masihkah aku sanggup tersiksa berdagang di tanah orang ini?

Biar apapun, sekali dalam setahun…kala memperingati datangnya 1 MEI, diri masih lagi merasakan betapa tidak cukupnya usaha selama ini. Masih belum cukup lagi kerja kuat. Demi Islamku, demi negaraku, demi anak bangsaku. Demi kepuasan hati sendiri. Tuhanku, berikan daku lebih kekuatan untuk teruskan perjuangan yang masih juga belum selesai ini.

Jom, sama-sama kita kerja kuat!

Jumaat, 25 April 2008

Seringnya kita terlupa….

Banyak perkara kita terlupa dalam hidup ini, dari perkara yang besar dan perlu diputuskan secara berhemah ataupun perkara enteng yang ada masanya kita mampu putuskan hanya sesaat sahaja. Keterlupaan itu ada masanya memberi padah kepada diri sendiri semula. Benda yang enteng pun kita boleh lupa…

Isnin lepas, boleh dikatakan aku balik macam biasa dari office. Macam biasa aku tu kira selepas maghrib atau isyaklah….tapi dah tentunya teramat jarang untuk aku balik ke istana igauan aku selepas Subuh. Itupun setelah housemate aku telefon mengatakan dia sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor berhampiran rumah kami.

Rakanku itu demam setelah siangnya dia berpura-pura tidak sihat untuk mengelakkan diri ke pejabat. Tujuannya: menghadiri temuduga di Arkib Negara. Setelah tidak begitu tahan dengan tekanan erja yang terlampau, dia mula mengisi boring mencari kerja kosong. Mencuba-cuba untuk masuk ke dalam perkhidmatan awam. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki. Malangnya, petang hari yang sama, dia benar-benar demam. Jadinya terpaksalah ke klinik mencari penawarnya sebelum melarat.

Kami bersetuju untuk berjumpa di kawasan sekitar klinik itu sahaja. Mudah kononnya. Ada kedai makan, dekat pula dengan rumah kami. Dua puluh minit kemudian aku sampai dan kami hanya punya dua punya pilihan sahaja. Kebetulan semua orang malas untuk buang masa ke kedai makan lain, jadi kami bersetuju sahaja untuk pilih satu antara dua kedai makan yang berhampiran.

Kedai makan pertama, betul-betul di sebelah klinik adalah kedai makan yang menyediakan makanan berasaskan sup. Segala mak nenek sup disediakan di sana. Kedai makan kedua adalah kedai makan steamboat. Kebetulannya, kami bertiga memang kaki steamboat pun. Apalagi, teruslah belasah tanpa toleh kanan kiri lagi. RM16 untuk satu kepala, mana nak dapat lagi tu?

Apa yang mengujakan di kedai makan itu adalah pelbagai jenis fish ball, ketam ball dan bla bla ball lagi termasuk kangkung, beberapa jenis cendawan. Paling mengujakan adalah ketam, udang, sotong, lala yang segar bugar semuanya. Dari jam 10 malam kami mula makan, tak sedarpun masa berlalu dengan cepat. Apa yang kami punggah dan balun dengan sesedap rasa adalah udang, ketam dan bebola daging yang sedap tu. Tulang ketam dan kulitnya penuh rimbun dua pinggan. Kalaulah masa itu mak mertua lalu pun, memang kami tidak akan menoleh. Ditakdirkan Brad Pitt datangpun, rasanya kami masih sanggup lagi mengadap kaki ketam itu lagi berbanding pergi berborak atau ambil gambar dengannya. Walaupun aku ni peminat gila Brosnan, pada masa tersebut, aku lebih rela gigit kaki ketam itu dari jumpa Brosnan tu. Bombastik! Kalau Mawi tahu…mesti dia terkasima ni. Apa taknya, kalau Brosnan atau Brad Pitt pun kami buat tak endah sahaja, apalah sangat dengan Mawi.

Diikutkan, dengan RM16 yang kami bayar tu, kedai makan itu boleh lingkup. Semuanya makan macam tak sedar diri. Silap kedai makan itu juga, yang tidak diletakkan barang sejemput dua nasi putih tu apa halnya. Dahlah kami bertiga hanya sarapan sahaja pada hari tersebut tanpa makan tengahari…steamboat itu pula memang tidak mengenyangkanpun. Jadinya kapasiti yang boleh diisi dalam perut tu agak memberangsangkan jugalah. Seingatku, inilah pertama kali aku boleh makan sampai sebegitu sekali. Macam Somalia layaknya. Namun, sepulang sahaja ke rumah, kepalaku mula berdenyut. Ingatkan bila masuk tidur, semuanya akan kembali normal pada esok hari.

Pagi selasa itu aku terpaksa berkejar lebih awal ke pejabat kerana mengikuti kursus rangkaian selama dua hari. Pagi itu kepala berdenyut sedikit sahaja seperti semalam. Tanda-tanda migraine dah muncul. Namun, kerana kursus berkenaan, kugagahkan juga kaki ke pejabat. Malangnya, bila berhadapan dengan skrin computer dan cahaya yang terang, denyut di kepala kian memberat. Seusai makan pagi jam 10.30 pagi, terus sahaja aku mohon kebenaran pihak urusetia pergi jumpa doktor. Hasilnya, aku dapat MC.

Sampai sahaja di rumah, terus aku tidur tanpa sempat makan ubat pun. Denyutnya yang kian memberat buatkan langkah tak terdaya untuk ambil air di dapur buat makan ubat. Setelah bangun dua jam kemudian baru aku ambil ubat dan sambung tidur kembali. Sepanjang hari Selasa, aku hanya berbaring di katil dengan lena yang panjang. Orang kata tidur tu macamlah tidur pada waktu malam. Nyenyak. Lena. Malamnya, denyut kian kurang. Itupun setelah dua kali makan ubat.

Beberapa hari setelah peristiwa itu, hati tiba-tiba jadi ngeri untuk menghidu enaknya bau steamboat. Sudah serikkah aku?

Moralnya, berpada-padalah. Bersederhanalah. Kira macam dah insaflah ni kan. Itupun setelah sehari suntuk kena migraine. Entah-entah bila terbau steamboat lagi bulan depan, terlupa lagi sekali. Adusssssssss itulah namanya manusia. Mudah lupa. Bukan Melayu je mudah lupa!


Ahad, 20 April 2008

Seorang Teman yang Kembali...


Semalam, aku kembali ke rumah dengan 4 naskah majalah kegemaranku. Dewan sastera edisi Mac dan April dan Dewan Bahasa, juga edisi untuk bulan Mac dan April. Kedua-dua majalah itu aku kirimkan dengan seorang teman yang kebetulan bertugas di Pesta Buku Antarabangsa PWTC untuk kali terakhirnya. Kembali dari pesta buku itu nanti, dia sudahpun menjawat jawatan baru. Terima kasih, Kak Noraiti. Tahniah juga kerana punya rezeki naik pangkat sebelum pencen.

Sambil lepak di hadapan skrin tv kecilku, keempat-empat naskah majalah itu kubelek. Hanya sekadar membelek bagi melihat seimbas lalu isi kandungannya sahaja. Pembacaan secara serius akan dilakukan pada masa yang lain. Pada ketika minda benar-benar bersedia untuk menerima sesuatu yang bersifat ilmiah sebegitu. Dan mata, tertancap pada satu ruangan yang mampu menarik pembacaan seterusnya. Ruang Alumni MPR. Dua orang penulis muda membicarakan tentang seorang penulis muda juga iaitu Ahmad Zafran. Satu tulisan ditulis oleh Nisah haron, manakala satu lagi ditulis oleh Zaid Akhtar.

Memandangkan Ahmad Zafran ini kukenal biarpun tidaklah serapat mana kerana sikap pemalunya itu, namun namanya yang tertera di dada Dewan Sastera edisi April itu benar-benar menarik minatku untuk terus membaca. Memang sebegitu biasanya, kita sering mendahulukan tulisan orang-orang yang kita kenal berbanding tulisan orang lain yang tidak begitu akrab dengan kita. Namun, perenggan pertama yang ditulis Nisah Haron itu membuatkan aku terkesima seketika.

DariNya kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Alfatihah. Perginya dia menemui Ilahi benar-benar mengejutkan. Tanpa dinyatakan pula sebabnya. Kemalangankah? Sakitkah? Ini tentunya tidak termasuk ajalnya yang sudah disuratkan sejak azadi lagi, yang tidak perlu dipersoalkan. Namun, usianya yang sebegitu memang mengejutkan andai telah dipanggil Tuhan. Bukan kerna dia tidak layak untuk menemuiNya pada usia sebegitu, namun kebiasaannya pada usia sebegitu jarang benar kita dengar berita kematian seumpama ini.Aku kenalinya semasa MPR 1993 yang dianjurkan DBP. Dia seorang yang agak pendiam juga berbanding peserta yang lain. Tamat MPR, dia hilang entah kemana. Masing-masing membawa haluan sendiri. Namun, satu ketika aku bertemu dengannya semula dalam satu acara di DBP. Beberapa tahun selepas itu. Pada ketika itu dia tinggal di kampung halamannya dan menolak peluang kerjaya yang lebih menjamin masa depannya semata-mata untuk menjaga bonda tercinta.

Saat itu, hatiku terdetik. Masih ada insan sebegitu pada era mengejar kemajuan ini. Dan dia pula sudah berkerja dalam bidang IT pada ketika itu, bidang yang terlalu jauh berbeza dengan penulisan. Katanya, dia sudah tidak menulis lagi. Katanya lagi, jaraknya dengan ibu kota membuatkan banyak perkara tidak mampu dilakukan termasuk menghadiri majlis ilmu berkaitan penulisan. Kala itu, aku memang menyedari yang lampu azamnya dalam penulisan mula sebam.

Dia rasakan dirinya jauh tertinggal. Dia rasakan dirinya serba kekurangan. Dia rasakan dirinya sudah menyimpang dari dunia penulisan. Katanya, lebih banyak masanya digunakan untuk kerja-kerjanya berbanding menulis. Ada putus harap dan kurang yakin meraja dalam dirinya.
Aku tahu dia memang berbakat besar. Aku tahu dia memang ada visi dan misi bila menulis. Aku sedar dia memang punya impian dan nilai murni yang ingin disebarkan dalam karyanya. Dan, saat itu aku katakan padanya “jika intinya yang murni nak disebarkan, biar apapun wadahnya boleh diaplikasikan. Apa yang utama adalah nilai itu disebar luas”.

Ketika itu katanya dia sedang menyiapkan satu karya berbentuk komik. Karya jenis itu berkaitan dengan persekitaran kerjanya pada ketika itu. Dan komik itu kemudiannya diattachkan padaku untuk ditinjau penerimaan audien. Bermula saat itu, kami mula berinteraksi melalui email. Blognya sering kukunjungi juga (http://panaharjuna.blogspot.com) untuk mengetahui perkembangan dirinya biarpun dari jauh. Namun, kala diri hanyut dek badai dunia, kebiasaan itu tiba-tiba terhenti. Dan aku, tiba-tiba teringatkannya kala ini. Sudahkah terlambat?Alfatihah buat arwah. Moga rohnya dicucuri rahmat. Moga ditempatkan bersama hambaNya yang bertaqwa.

Sabtu, 19 April 2008

Selamat Datang


Akhirnya...blog ini terbina jua dengan serba kekurangan. Sudah agak lama ingin punya blog sendiri, namun pagi petang ini punya kesempatan untuk merealisasikannya. Itupun kerna di luar sana hujan lebat sedang mencurah. Alam menangisi entah untuk apa. Dan aku, kesepian merenung titik jernih membasah di luar jendela cermin. Indah kan kalau punya kesempatan untuk basah di bawah runtuhan hujan sebegitu...


Kesederhanaan pembinaan blog ini harapnya akan punya lagi kesempatan dilain waktu untuk terus updatenya sentiasa. Harapnya juga, ini jadi pemula bagi sesuatu yang sudah terlalu lama ingin kulakukan. Harapnya juga ia akan berterusan.

Terlalu banyak harapan, bukan? Harap-harapnya menjadi kenyataan. Harap-harapnya punya kekuatan untuk motivasikan diri coretkan sesuatu di sini.

Untuk pertama kali ini, biarlah ia berlaku dengan serba sederhana. Dan kuakhiri curahan rasa yang serba sederhana, di laman yang juga sederhana ini di sini. Pertama, memulakan. Kedua, meneruskannya. memulakan tidak sesukar meneruskan. Biar sesukar manapun sebuah permulaan itu, kiranya tidak diteruskan...akan diakhiri jua dengan pengakhiran.