Memaparkan catatan dengan label dina. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dina. Papar semua catatan

Selasa, 28 Oktober 2008

Muruku vs Lompat Tikam



27 Oktober 2008. Deepavali.

Hari Deepavali juga dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam
kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.


Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada manusia yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada golongan yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dinyalakan bagi melambang kejayaan “kebaikan” mengatasi “kejahatan” yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.


Deepavali pada tahun ini jatuh pada hari Isnin, jadinya ramai yang berpeluang untuk bercuti panjang (tiga hari). Memandangkan Syawal masih lagi ada beberapa hari, ramai juga yang membuat rumah terbuka Aidilfitri termasuk Caluk Corner yang menjadikan rumah Su di Equine sebagai tempat pertemuan. Malangnya tidak semua orang dapat hadir, termasuk aku dan Dina.

Kesempatan cuti yang ada inilah dapat digunakan untuk bertemu teman-teman walaupun tiga hari berkenaan agak suntuk sebenarnya. Sabtu yang memenatkan pada satu aktiviti kesenian pembacaan puisi oleh penuntut asing yang kuhadiri, Ahad yang lelah hingga ke malam. Lalunya, Isnin itu sekalipun berat mata untuk kubuka, dengan darjah kemalasan yang tinggi, bangkit juga diri dari pembaringan kukuskan pulut. Teringatkan betapa sudah terlalu lama janjiku untuk buatkan Dina Lompat Tikam, sejenis kuih berperasa manis yang terkenal di negeri kelahiran Darul Naim itu, tak sampai hati pula andai aku berlenggang kosong.

Sebab Fad nak nengok macam mana rupernya lompat tikam tu, aku tampalkanlah gambarnya kat sini. Kalau nak rasa, terpaksalah Fad pegi rumah Dina ye....
Sepagi aku siapkan pencuci mulut itu dan jam dua petang terus bersiap untuk ke stesen komuter dengan meninjing beg kertas berisi Lompat Tikam yang masih lagi suam. Dan Dina mengambil aku di stesen Petaling, berhampiran dengan rumahnya. Sepinggan penuh spagetinya yang sedap itu kunikmati. Sampai hari ini kenyangnya masih terasa. Berkat ikhlas orang yang membuat.




Terima kasih, Dina. Susah payah buatkan spageti. Nasi impit dan potongkan lemang yang kau beli tu. Malangnya aku hanya mampu makan spageti sahaja. Perut penuh. Agaknya sempit benar perut aku ya...ataupun, pendek kot tali perut aku ni. Apapun, selain kuih raya berbalang yang kubawa balik (rumah Dina jadi port kuih raya aku sejak sebelum Aidilfitri), balikku itu juga bersama ikan pekasam dan ikan segar. Juga terima kasih pada Dina & family. Aku sendiri belum tahu entah bila boleh dihabiskan ikan-ikan itu.

Aku berjanji untuk tunjukkan Dina cara masakkan Lompat Tikam itu pada hari yang lain. Cara Ain makan buatkan aku rasa Dina memang patut belajar buatnya nanti.

Selasa, 20 Mei 2008

Sebuah pertemuan Caluk Corner



Mempunyai teman-teman baru yang hanya dikenali secara maya memang pengalaman baru. Apalagi buat aku yang sudah tidak lagi begitu punya kekuatan untuk “menghayati” erti diri kepada orang lain, atau sekurang-kurangnya “menerima” orang lain. Tsunami yang berlaku dalam hidup, bila-bila masa sahaja dapat mengubah nilai dan jati diri yang sekian lama dipupuk. Aneh, bukan?



Namun, mempunyai teman-teman maya yang tidak pernah mengenali latar belakang, pekerjaan, cara hidup malah siapa kita, ada ketikanya mempunyai nilai yang lain pula. Ketika diri dilambung entah taufan mana yang membadai, ketika diri lemas menghadapi satu putaran roda kehidupan yang sebenarnya tak sanggup untuk diterima…rupanya, masih ada lagi insan yang sudi menerima kita seadanya. Tanpa bertanya pun berapa angka pendapatan kita setahun, berapa banyak asset yang kita kumpul, atau berapa ramai boyfriends yang kita ada. Malah, tidak juga mengasingkan kita hanya berdasarkan rupa yang tidaklah semanis mana.



19 Mei 2008 menjadi titik permulaan kearah satu harapan baru. Teman yang hilang boleh berganti rupanya. Biarpun yang hilang dan yang diganti itu tak sama, tidak akan serupa, namun Allah telah berikan daku secebis ria. Allah telah tunjukkan yang alam ini masih luas untuk kuharung dengan usia yang masih seciput ini.



Pertemuan Caluk Corner di Madam Kwans Mid Valey pada tarikh ini memberi sesuatu nilai yang baru. Nilai yang aku sepatutnya berubah. Lebih positif tentang hidup dan melangkahlah dengan yakin seperti mana aku yang dahulu. Alam ini masih luas untuk kuharung. Tanpa keyakinan dahulu itu, laratkah diri untuk berlari kembali? Masa untuk bertatih sudah tamat. Kalaupun lariku tidak sekencang dahulu, mulakanlah larian itu! Hari ini juga, usah bertangguh lagi!



Terima kasih, teman. Menerima diri seadanya biarpun ada insan yang menolakku sejauhnya. Terima kasih semua, memberi aku satu harapan baru. Membawa sinar pelangi yang berwarna warni. Terima kasih, Dina; memberi aku sedikit kekuatan untuk mampir biarpun jauh di sudut hari diri masih belum bersedia melangkah sejauh itu. Terima kasih, Dina; memberi satu ruang untuk kutetapkan langkah kaki yang terasa goyah kebelakangan ini.



Terima kasih teman-teman di Caluk Corner, menyuntik semangat baru biarpun kalian sebenarnya tidak pernah tahu. Mesra yang kalian berikan, canda yang terpamer dan senda yang mengiringi…mengubati keping hati yang terlelas sakit. Terima kasih teman, memberi aku sedikit ruang kepada diri untuk belajar menerima orang lain yang telah kutolak selama ini. Terima kasih memberi aku sedar tentang alam ini terpenuh ceria, bukan hanya air mata dan mimpi ngeri.



Tsunami telah lama berlalu namun kesannya masih tertinggal. Terima kasih teman, menjadi penawar buat kedukaan yang membelenggu diri. Buat semua (Caluk dan keluarga, Hypo dan keluarga, Lieyssa, Pu3imaneisya, Azieazah, Dina, Tina, Gee, Nadia, Kuzin, Nobit, Suzry yang menghadiri gathering di Mid Valey) ataupun yang tidak berpeluang hadir seperti Jieda, Cokek, Soul, dan lain-lain, terima kasih hadirkan ceria itu. Terima kasih kerana bersedia memberi peluang dan ruang. Tiada perkataan yang terindah buat diungkapkan perasaan itu…

Terima kasih untuk segalanya...