Memaparkan catatan dengan label brosnan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label brosnan. Papar semua catatan

Rabu, 10 Jun 2009

Cara Menamatkan Hubungan


Aku pernah kenal seorang mamat Pakistan. Dia ada agensi pelancongan di Kuala Lumpur pada ketika itu (kegawatan ekonomi buatkan dia terpaksa jual agensi tu dan berkerja di tempat yang sama). Sejak kenal dengannya, aku memang anggap dia kawan dan aku juga tahu yang dia rapat dengan aku kerana sebab-sebab tertentu sahaja. Kalau dia tidak perlukan aku, dia memang tak akan cari aku. Bila dia telefon, sms atau cari aku tu, maknanya ada lah sesuatu yang dia perlukan.

Mamat ni hensemnya boleh tahanlah. Sedap mata memandang. Ramai awek cun di Malaysia ni tergila-gilakannya. Kalau aku keluar dengan dia, memang kami akan jadi tumpuan. Aku memang sedar tu. Aku juga sedar kenapa banyak mata melirik ke arah kami. Dah tentulah mereka amat hairan bagaimana mamat sehensem dia boleh keluar dengan aku yang tak berapa nak lawa ni. Kira dah macam Beauty and the beast la pulak.

Kalau aku keluar dengan dia, hanya 3 menu sahaja yang boleh aku pilih. Pertama Pizza. Kedua McD. Ketiga sate. Namun sebahagian besarnya pizza. Walaupun pizza tu free je, tapi disebabkan aku ni bukannya suka sangat fastfood macam tu dan seangkatan dengannya, tekak naik kembang juga. asal keluar je, makan pizza. Asal keluar je, makan sate. Tak tertelan dek tekak. Sesekali bolehlah. Kalau dah kerap sangat, tekak memang tak boleh terima.

Mesti korang tanya, kenapa aku tak ajak pergi makan kat tempat lain kan? Jawapannya mudah saja. Dia kan lelaki Pakistan. Di Pakistan sana manalah perempuan boleh buat keputusan. Jadinya, dia jadi pra-san baguslah dalam semua hal. Malas nak bertekak, aku ikutkan je.

Yang aku paling suka tentang dia (satu-satunya perkara yang aku suka...yang lain, hampeh!), dialah satu-satunya lelaki yang tidak merokok pernah aku jumpa. Jadinya, bila keluar dengan dia, hidung aku selamatlah sikit daripada menghidu bau asap rokok. Kawasan yang ada asap rokok pun dia tak pergi.

Disebabkan dia ni ada rupa, walaupun taklah sehensem Brad Pitt, Brosnan atau Tom Cruz, maka dia dikelilingi oleh ramai perempuan yang berlumba-lumba nak ambil hati dia. Aku memang tahu walaupun dia tak beritahu secara terperinci. Setiap kali dia keluar dengan aku, telefonnya memang akan disetkan sebagai vibrate. Aku tak kesahpun kalau dia ada ramai perempuan simpanan atau gelpren, sebabnya aku bukanlah kekasih atau isteri dia. Semua itu bukan urusan aku. Aku bukannya berminat dengan “barang import”. Aku lebih sukakan “barangan buatan Malaysia”. Apa yang nyata, bila dia sukakan mana-mana gadis, dia memang seorang lelaki yang macho. Gentlemen. Lelaki idaman Malaya. Namun, bila dia dah tak berapa nak sukakan kita, suaranya akan bernada tinggi. Ada masanya sampai ke tahap maki.

Aku sering mendengar dia memaki pekerjanya melalui telefon ketika dia bersamaku. Aku diamkan saja kerana itu urusan dia, walaupun sebenarnya aku paling benci sikap yang sebegitu. Asal dia tidak maki aku, aku tak perlu persoalkannya. Aku pernah ke pejabatnya beberapa kali, termasuk berkenalan dengan beberapa orang stafnya.

Bila ekonomi mula merudum sedikit demi sedikit, sambutan terhadap industri pelancongan turut menurun. Dia perlu mencari beberapa alternatif lain untuk kekalkan prestasi syarikat. Jadi, dia tawarkan pakej umrah. Dia perlukan aku untuk mensasarkan pasarannya di UKM. Aku akan dibayar komisen sebanyak RM300 untuk setiap orang yang pergi umrah melalui usahaku. Disebabkan dia kawan, tengah susah dan perlukan bantuan, sebagai kawan aku tolonglah. Pada masa yang sama, dah tentu boleh jadi sumber pendapatan sampingan.

Aku lakukan banyak cara untuk promosikan pakej umrah tersebut. Edar pamplet, bina blog, hantar e-mel dan tarik orang-orang di sekeliling aku melalui syarikatnya. Hasilnya, ada 6 orang dapat aku kutip sebagai pelanggan pakej umrah pertamanya. Dia memang gembira. Aku juga. masa tu, aku harap komisen yang aku akan dapat boleh digunakan untuk bayar hutang. RM1800 bukanlah jumlah yang sedikit.

Kumpulan kedua yang aku dapat adalah seramai 7 orang. Dalam kepala aku dah berangan untuk dapatkan RM2100 lagi. Kalau dah campur kedua-duanya itu, dah berapa. Kira bolehlah aku joli sebulan dua kat pasar malam beli putu bambu. Namun sangkaanku meleset sama sekali. Bila kumpulan pertama itu balik, dia mengadu kepadaku dia rugi besar sebab kumpulan tersebut buat hal di Tanah Suci. Dia terpaksa caver banyak benda menyebabkan kos bertambah. Jadinya, dia hentikan terus pakej umrah dan ziarah tersebut. Tidak sesenpun dia bayar dengan usaha dan tenaga yang telah aku curahkan. Masa itu aku masih lagi boleh sabar. Mungkin tak ada rezeki, itu sahaja yang boleh aku sematkan dalam kepala otak. Alasan untuk sejukkan hati sendiri.

Bersama pakej pelancongan dan umrah, dia juga kendalikan sewa kereta. Setiap hujung minggu, semua keretanya habis ditempah. Dia juga selalu tawarkan kepadaku untuk pinjam keretanya, tetapi hanya untuk hari kerja sahaja. Hujung minggu dah tentu tak dapat. Nak jadi cerita, aku perlu ke Universiti Malaya untuk satu hal yang memang mendesak. Biasanya aku guna komuter dan RapidKL sahaja. Tak nak susahkan siapa. Namun mengenangkan aku ke sana pada pertengahan minggu, jadi saja je nak uji betul tidaknya dia sanggup sewakankeretanya itu dengan harga istimewa, lalu aku sewa viva dengannya. Dia akan hantar kereta tersebut ke Bangi, kemudian aku akan hantarnya balik rumah selepas kami makan malam (dah tentulah pizza lagi). Aku janji akan hantar keretanya pada hari lusa, sebab aku tak pasti kerjaku esok siap pada jam berapa.

Lusanya, pagi-pagi lagi dia dah telefon dan merungut tentang kelewatanku hingga aku terlupa nak isi minyak. Dah lama tak memandu, jadinya, aku tak mampu nak cilok sana sini seperti dahulu lagi. Lagi pula kaca mata yang aku pakai dah lama tak tukar power. Dah kelabu. Jadinya perlulah memandu dengan hati-hati. Sampai di tempat yang dijanjikan (aku terlewat dalam 15 minit), tak nampak pun kelibat dia. Kan aku ni rabun. Kena tengok elok-elok barulah nampak.

Ketika dia telefon dan tanyakan tentang minyak kereta (sepanjang jalan memang tak henti dia telefon dan maki macam yang selalu dia buat pada orang lain tu, aku masih lagi tahan bengang), aku tak sedarpun dia ada kat belakang kereta yang aku bawa. Aku ingatkan dia memang nak aku isi petrol dulu sebelum serahkan kereta padanya semula. Jadinya, aku teruslah bergerak ke hadapan (100 meter kat depan ada Shell), tetapi aku menerima hon daripadanya yang bertalu-talu. Masa itu aku memang tak terfikir langsungpun dia yang hon. Bengap juga aku ni.

Dia telefon aku lagi dengan sumpah seranahnya, tanyakan mana aku nak pergi. Aku beritahulah nak isi minyak, kemudian terus matikan perbualan dengannya. Malas nak melayan makinya itu. Namun sepanjang 100 meter ke shell itu, dia menekan hon (termasuk di Shell) hingga semua orang pandang aku. Masa aku menuju kaunter bayaran, masa itulah pekerjanya (yang juga Pakistan) terus ambil kereta dan memecut pergi. Ikutkan memanglah tak tahu nak letak kat mana muka ni. Semua orang pandang dengan pelik. Dahlah kat stesyen minyak pun dia boleh bunyikan hon macam orang gila, kemudian maki hamun aku di khalayak ramai pulak tu. Semua orang dengar apa yang dia maki. Percuma je aku dimalukan. Nak tak nak, terpaksa buat muka selamba dan naik keretanya. Tak sempat tutup pintu kereta lagi, dia dah memecut ke depan macam kena kejar dek hantu. Mulutnya tak berhenti maki.

Aku diam lagi. Hati memang terbakar tak payah nak cerita. Makin panas hati bila dia lepaskan geram dengan redah je ke depan. Terjah je macam jalan ni dia sorang yang bayar cukai jalan. Lipat je mana boleh lipat macam berlumba di litar F1 Sepang. Belok je mana rasa nak belok hingga aku terpaksa pegang bumbung kereta. Tunjuk perasaanlah konon. Akhirnya aku mintak dia berhentikan aje aku kat mana-mana, tapi tidak mendapat apa-apa respon kecuali mulutnya yang tidak lagi berhenti memekak. Semasa dia berhenti di sebuah bank untuk keluarkan duit, aku ambil kesempatan itu untuk blah. Semasa dia nampak aku blah ke stesen bas berhampiran, dia buat tak kesah sahaja. Dia hanya kesah bila tahu aku tinggalkan RM150 (ikutkan logik, ada ke sewa kereta viva sampai harga tu? Dah sakit hati sangat, aku campak je sebanyak tu kat atas kusyen keretanya. Tahulah aku tak berapa nak ada duit, tapi taklah sampai perlu dibuat macam anjing kurap sebegitu), dan kejar aku kat hentian bas.

Jadi macam drama kat tv lah pulak. Masa tu memang agak ramai juga orang sedang tunggu bas. Boleh dia cakap dengan selamba badak “tolong jangan malukan dia kat situ untuk pujuk aku”. Apa herannya aku kat dia. Dia bukanlah sesiapa pun dalam hidup ni. Kalau dia melutut kat situ dan minta maafpu, ingat aku nak heran? Sekali hati aku dah carik, mudah sangat ke nak baik? Kenapa tak fikir masa dia buat tadi? Ingat aku ni apa? Boleh saja dia maki macam semua orang yang pernah dia maki sebelum ini?

Akhirnya aku berjaya tahan sebuah teksi (teksi tu ikut jalan di belakang perhentian bas) dan memberambuskan diri dari situ walaupun dia mula buat drama sedih. Ingat senang ke nak bagi maaf setelah maki hamun aku dengan semua perkataan keji yang ada atas muka bumi ni? Apalah nak aku herankan dengan dia. Aku bukannya gilakan dia. Akupun bukan boleh dapat manfaat apa-apa pun berkawan dengan dia selain makan pizza dan sate free. Makan maki Free juga.

Setelah itu, kami terus senyap. Tidak online, tidak sms, tidak telefon juga. walaupun beberapa bulan kemudian dia sms, aku tak balas pun. Malas nak layan. Kemudiannya aku hapuskan nombornya dari memori telefonku hinggalah sebulan lepas aku terima sms darinya semula. Sebab nombornya aku dah delate, aku reply dan tanyakan siapa yang hantar. Bila dia kenalkan diri, aku tak terkata apa. Selepas antara kami senyap lebih setahun, dia hubungiku semula dan minta aku ajarkannya Bahasa Malaysia. Aku anggapnya sebagai alasan sahaja. Dah tentu perempuan yang mengelilinginya dah makin kuranglah, sebab itu dia cari aku.

Aku katakan kepadanya aku sibuk. Aku minta dia cari pusat tusyen. Dia janji akan bayar aku dan gunakan masa beberapa jam sahaja seminggu. Bayar? Tolonglah! Yang dulupun masih berhutang lagi dengan aku, ada hati pulak nak buat janji baru?

Aku berterus terang dengannya yang aku tak berminat dengan tawaran itu. Berapa banyakpun dia akan bayar, keputusanku tetap sama. Aku tidak mahu jumpa dia lagi. Aku tak mahu berurusan dengan dia tak kira apapun yang berlaku. Aku tak sudi untuk dimaki. Cukuplah sekali!

Itulah smsnya yang terakhir. Harapnya dia tak akan sms aku lagi.

Ada sesiapa putuskan satu hubungan dengan cara sebegitu?



Jumaat, 25 April 2008

Seringnya kita terlupa….

Banyak perkara kita terlupa dalam hidup ini, dari perkara yang besar dan perlu diputuskan secara berhemah ataupun perkara enteng yang ada masanya kita mampu putuskan hanya sesaat sahaja. Keterlupaan itu ada masanya memberi padah kepada diri sendiri semula. Benda yang enteng pun kita boleh lupa…

Isnin lepas, boleh dikatakan aku balik macam biasa dari office. Macam biasa aku tu kira selepas maghrib atau isyaklah….tapi dah tentunya teramat jarang untuk aku balik ke istana igauan aku selepas Subuh. Itupun setelah housemate aku telefon mengatakan dia sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor berhampiran rumah kami.

Rakanku itu demam setelah siangnya dia berpura-pura tidak sihat untuk mengelakkan diri ke pejabat. Tujuannya: menghadiri temuduga di Arkib Negara. Setelah tidak begitu tahan dengan tekanan erja yang terlampau, dia mula mengisi boring mencari kerja kosong. Mencuba-cuba untuk masuk ke dalam perkhidmatan awam. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki. Malangnya, petang hari yang sama, dia benar-benar demam. Jadinya terpaksalah ke klinik mencari penawarnya sebelum melarat.

Kami bersetuju untuk berjumpa di kawasan sekitar klinik itu sahaja. Mudah kononnya. Ada kedai makan, dekat pula dengan rumah kami. Dua puluh minit kemudian aku sampai dan kami hanya punya dua punya pilihan sahaja. Kebetulan semua orang malas untuk buang masa ke kedai makan lain, jadi kami bersetuju sahaja untuk pilih satu antara dua kedai makan yang berhampiran.

Kedai makan pertama, betul-betul di sebelah klinik adalah kedai makan yang menyediakan makanan berasaskan sup. Segala mak nenek sup disediakan di sana. Kedai makan kedua adalah kedai makan steamboat. Kebetulannya, kami bertiga memang kaki steamboat pun. Apalagi, teruslah belasah tanpa toleh kanan kiri lagi. RM16 untuk satu kepala, mana nak dapat lagi tu?

Apa yang mengujakan di kedai makan itu adalah pelbagai jenis fish ball, ketam ball dan bla bla ball lagi termasuk kangkung, beberapa jenis cendawan. Paling mengujakan adalah ketam, udang, sotong, lala yang segar bugar semuanya. Dari jam 10 malam kami mula makan, tak sedarpun masa berlalu dengan cepat. Apa yang kami punggah dan balun dengan sesedap rasa adalah udang, ketam dan bebola daging yang sedap tu. Tulang ketam dan kulitnya penuh rimbun dua pinggan. Kalaulah masa itu mak mertua lalu pun, memang kami tidak akan menoleh. Ditakdirkan Brad Pitt datangpun, rasanya kami masih sanggup lagi mengadap kaki ketam itu lagi berbanding pergi berborak atau ambil gambar dengannya. Walaupun aku ni peminat gila Brosnan, pada masa tersebut, aku lebih rela gigit kaki ketam itu dari jumpa Brosnan tu. Bombastik! Kalau Mawi tahu…mesti dia terkasima ni. Apa taknya, kalau Brosnan atau Brad Pitt pun kami buat tak endah sahaja, apalah sangat dengan Mawi.

Diikutkan, dengan RM16 yang kami bayar tu, kedai makan itu boleh lingkup. Semuanya makan macam tak sedar diri. Silap kedai makan itu juga, yang tidak diletakkan barang sejemput dua nasi putih tu apa halnya. Dahlah kami bertiga hanya sarapan sahaja pada hari tersebut tanpa makan tengahari…steamboat itu pula memang tidak mengenyangkanpun. Jadinya kapasiti yang boleh diisi dalam perut tu agak memberangsangkan jugalah. Seingatku, inilah pertama kali aku boleh makan sampai sebegitu sekali. Macam Somalia layaknya. Namun, sepulang sahaja ke rumah, kepalaku mula berdenyut. Ingatkan bila masuk tidur, semuanya akan kembali normal pada esok hari.

Pagi selasa itu aku terpaksa berkejar lebih awal ke pejabat kerana mengikuti kursus rangkaian selama dua hari. Pagi itu kepala berdenyut sedikit sahaja seperti semalam. Tanda-tanda migraine dah muncul. Namun, kerana kursus berkenaan, kugagahkan juga kaki ke pejabat. Malangnya, bila berhadapan dengan skrin computer dan cahaya yang terang, denyut di kepala kian memberat. Seusai makan pagi jam 10.30 pagi, terus sahaja aku mohon kebenaran pihak urusetia pergi jumpa doktor. Hasilnya, aku dapat MC.

Sampai sahaja di rumah, terus aku tidur tanpa sempat makan ubat pun. Denyutnya yang kian memberat buatkan langkah tak terdaya untuk ambil air di dapur buat makan ubat. Setelah bangun dua jam kemudian baru aku ambil ubat dan sambung tidur kembali. Sepanjang hari Selasa, aku hanya berbaring di katil dengan lena yang panjang. Orang kata tidur tu macamlah tidur pada waktu malam. Nyenyak. Lena. Malamnya, denyut kian kurang. Itupun setelah dua kali makan ubat.

Beberapa hari setelah peristiwa itu, hati tiba-tiba jadi ngeri untuk menghidu enaknya bau steamboat. Sudah serikkah aku?

Moralnya, berpada-padalah. Bersederhanalah. Kira macam dah insaflah ni kan. Itupun setelah sehari suntuk kena migraine. Entah-entah bila terbau steamboat lagi bulan depan, terlupa lagi sekali. Adusssssssss itulah namanya manusia. Mudah lupa. Bukan Melayu je mudah lupa!