Memaparkan catatan dengan label hutang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hutang. Papar semua catatan

Selasa, 10 Mac 2009

Panggilan Misteri


Ketika sedang kusyuk menyiapkan kerja harian di hadapan komputer yang baru sahaja berjaya dibersihkan calitan virus minggu lepas, telefon berdering. Lalunya perbualan berikut terjadi;

Dia: Assalamualaikum. Hello, boleh saya bercakap dengan Anyss (Dah tentulah ni bukan nama sebenar aku. Kalau aku tulis nama betul, fuyooooo bahaya woooo. Dunia tanpa sempadan dah sekarang ni. Karang, tak pasal-pasal pak cik Eskimo yang tengah memburu beruang kutub tu buat PC mengaku aku ni gundik dia...kang ke peluang nak tackle Putera William dah terlepas tu...so, faham-faham sendirilah ya kalau nama ni bukannya nama sebenar hu hu hu ....)




Aku: Ya saya...ada apa-apa yang boleh saya bantu? (Itu memanglah ayat skima tiap kali jawab panggilan telefon pejabat. Lainlah kalau jawab telefon bimbit dengan urusan peribadi...boleh aje sebut “lahabau” ke apa)

Dia: Saya Husaini (Memang nama sebenar dia, menurut kata dialah. kalau dia tipu aku, akupun tipu koranglah...Aku letak je nama dia ni terus kat sini tak kiralah nama benar ke nama tak benar, tak kuasa aku nak pikir nama samaran untuk dia pulak) wakil kepada Harmie (Ni nama tipu dia yang dia bagi tau aku. Akhirnya aku dapat tahu jugak nama sebenar dia walaupun dia tipu aku, dan dia tak tahu pun bahawa aku dah tahu nama asal dia tu...Kalau dia tahu, akupun tak tahu sama ada dia akan tergolek-golek menggolekkan diri atas rel kereta api ke rel kapal terbang sebab kulit muka dah hangus terbakar dek malu kat aku)

Dengar saja nama dia, telinga aku terus berdesing. Suhu darah mendidik lepasi lahar gunung berapi (kalaulah boleh disamakan).

Dia: Saya telefon ni sebab nak tanya..kiranya dia ada hutang apa-apa, beritahulah saya. Saya akan bayar berapa sahaja jumlahnya.

Biasanya, ayat sebegitu dituturkan oleh waris. Waris yang telah kematian ahli keluarganya. Waris yang telah diamanahkan untuk selesaikan semua hutang piutang si mati. Sudah matikah dia? Jahat jugak kepala otak aku saat itu.

Sebenarnya, agak lama aku terdiam. Kelu. Tak terkata apa. Tak ada perkataan yang mampu aku tuturkan. Tiada. Diamnya aku itu buatkan Dia memanggilku beberapa kali hingga aku menyahut.


Dia: Berapa sahaja pun saya akan uruskan. Cik nyatakan jumlahnya, beri nombor akaun...saya akan selesaikan semuanya.

Bagaimana harus aku nyatakan? Berapa jumlah yang perlu aku senaraikan? Dia tidak pernah tahu yang hutang hamba Allah itu terlalu besar. Tak akan mampu untuk dia bayar pada kelahiran ini (kalau ikut kepercayaan Hindulah. Ikut Islam, dia akan junjung hutang piutangnya itu kat Padang Mahsyar). Tak akan dapat dia tebus. Biar seluruh harta benda yang mereka miliki itu diserahkan sepenuhnya padaku, masih belum langsai. Masih belum cukup.

Aku tahu, keluarganya akan mampu sahaja melunaskan tiap sen yang dia hutang itu, namun mampukah dia bayar tiap perit dan derita yang aku tanggung sekian lama ini? Berapa banyak dia akan bayar dengan tiap rintih sesal hatiku? Keluh kesah kehabisan semangat untuk terus melangkah? Merudumnya keyakinan diriku? Atau sukar payah kulalui ranjau hidup ini setelah apa yang telah dilakukan padaku? Berapa banyak pula dia akan bayar tiap titis air mata Mek? Berapa banyak dia akan bayar dengan geram dendam seorang ayah? Berapa nilainya pula dengan gugurnya nama baik keluarga kami dalam masyarakat? Konflik identiti?

Berapa lagi nilai yang mampu dia beri dengan setiap kesakitan yang terpaksa aku lalui di pejabat ini? Dengan tohmahan, dengan deraan mental, dengan hilangnya kebolehpercayaan? Berapa? Masihkah ada nilai dengan setiap sen itu untuk kembalikan aku ke tempat duduk asalku? Masihkah? Mahkamah mana mampu menilai tiap jerih payah, keluh kesah dan teriak tangis itu? Termasuk juga sumpah seranah, dendam benci. Termasukkah kegalauan jiwa dan minda?

Aku: Mana saudara dapat nombor ni?
Dia: Dia yang bagi. Saya diamanahkan untuk selesaikan semua perkara tentang ni. Secepat mungkin. Saya hanya menjalankan amanah.
Aku: Kenapa saudara? Kenapa tak dia sendiri?
Dia: Keadaannya tidak mengizinkan.
Aku: Tidak mengizinkan macam mana?
Dia: Dia di hospital. Doktor kata masanya pun dah tak lama sangat lagi. Keadaannya 50-50. Bila-bila masa sahaja dia akan pergi

Setelah apa yang berlaku selama ini, pada hari ini, aku tidak lagi percayakan khabar itu. Setelah beri terlalu banyak kepercayaan kepadanya selama ini, mohon maaf, kiranya hatiku jadi terlalu keras dan tidak lagi mempercayai khabar itu.

Aku: Apa sakitnya?
Dia: Brain tumor.

Keras benarkah hatiku nan sekeping ini? Siapa yang mengajar hatiku sekeras ini andai bukan dia? Sudah terlalu lama aku percayainya. Segala-galanya aku percaya hinggakan semua yang bernama “segala-galanya” itu nyata benar hanya omongan kosong. Dusta. Lalunya, setelah terlalu banyak muslihat dan tipu daya dilakukan selama ini, masihkah hati ini lembut untuk percayainya?

Dia: Cik hanya perlu nyatakan jumlah dan beri nombor akaun sahaja...

Jumlah yang tak terhitung itu memang aku akui agak besar. Boleh beli sebuah apartment siap dengan ubahsuainya secara tunai. TUNAI! Ataupun beli rumah teres di kawasan Nilai. Juga tunai. Namun, lebih besar dari itu adalah penderitaan yang terpaksa ditanggung. Kalau tidak kuat, sudah lama mayatku terapung di mana-mana tasik, atau berkecai otak bila terjun di mana-mana bangunan tinggi. Berapa banyak dia akan bayar untuk hutang itu?


Aku: Saudara tanyalah dia sendiri...


Akhirnya aku putuskan begitu sahaja.
Seumur hidup, aku sentiasa doakan kebahagiaan orang-orang yang kusayang, teman-teman rapat, kawan dan sahabat, taulan dan saudara, malah sesiapa sahaja yang aku kenal. Hanya doakan kebaikan, kesejahteraan, kebahagiaan dunia akhirat, kecemerlangan hidup. Namun, hamba Allah itulah satu-satunya makhluk atas muka bumi ini pernah Aku doakan agar ditimpa malang. Ditarik kesenangan hidupnya. Ditimpa bencana seluruh keluarganya.

Saat itu aku teramat marah. Tersangat sedih. Terlalu emosi. Diri terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan dan penipuan orang lain. Seluruh hidupku musnah. Huru hara. Hilang segalanya, malah menanggung hutang yang tak tertanggung. Saat tangan kutadahkan tiap malam yang sepi dan dingin itu, aku memang benar-benar niatkannya begitu. Aku memang benar-benar maksudkan sebegitu. Sehingga tujuh keturunannya akan menanggung kesengsaraan yang terpaksa aku tanggung. Tempoh solat hajat kulakukan itu: lebih daripada sebulan yang aku lakukan setiap malam. Dan setiap malam itu aku lakukannya sebanyak 12 rakaat. Aku hanya hentikannya semua itu tatkala membaca sebuah buku (mohon maaf, dah lupa judulnya).

Buku itu antara lain menyatakan “apabila doa seseorang itu tidak dimakbulkan Allah, ada beberapa perkara yang berlaku iaitu: Pertama, hati yang meminta tidak bersungguh (Aku memang bersungguh memohon kala itu. Tak pernah pun aku sekusyuk itu, selapang itu, dan sebanyak itu harapannya). Kedua, diri kita adalah hamba yang berdosa (hanya Allah sahaja tahu adakah apa yang berlaku itu dosa aku atau tidak). Ketiga, apa yang kita mohon pada Allah ketika itu tidak sepadan untuk diberikan atau dimakbulkan kepada kita semasa hidup di dunia. Jadinya Allah akan balas/tunaikan di Akhirat nanti.”

Kala itu aku terfikir, kalau seorang hamba Allah makan sesuap pun makanan bukan haknya akan dibalas siksaan entah berapa tahun lamanya di Akhirat, apalagi kiranya nilai itu sama seperti sebuah rumah teres dibayar tunai kepada pemaju. Usia seorang hamba Allah hidup di dunia ini puratanya dalam 60 tahun, apalah sangat mahu diberi balasan untuk silap sebegitu di dunia. Dah tentulah Allah akan tangguhkan ke akhirat. Dan sejak itu, aku mula lupakan dia. Lupakan semua doa-doa itu. Menurut buku itu, alangkah baiknya setiap kesalahan yang orang buat pada kita, akan kita balas dengan doa untuk keinsafannya, doakan kesejahteraannya, doakan dia kembali ke jalan Allah. Namun begitu, Aku juga tidak doakan kesejahteraannya. Aku hanya ubati hati sendiri untuk menerima bahawa semua yang berlaku itu ujian dariNya. Lalunya, aku bina semula kehidupan yang musnah dan bertatih semula untuk bangkit. Sendirian pula.

Setelah segala apa yang berlaku itu, masihkah aku perlu percaya pada dia? Kalaupun bibirku mahu menuturkan, “berikanlah peluang kepadanya lagi”, namun hati kecilku tetap mempersoalkan “Berapa banyak lagi peluang perlu kuberi? Masih belum cukupkah peluang-peluang yang pernah kuberikan dahulu?” Dan saat ini, hati kecilku masih lagi berbisik, “Aku bukanlah malaikat yang mampu maafkan semua lakunya itu”.

Aku sentiasa berusaha untuk memaafkannya, namun aku tetap juga manusia biasa. Manusia yang tidak mampu melupakan segala apa yang pernah dibuatnya. Dilakukannya padaku. Aku tahu, sebaik-baik cara adalah memaafkan dia, namun aku tidak mampu untuk bersikap hipokrik untuk menyatakan “Aku dah maafkan dia”. Imanku masih belum kuat untuk lakukan sebegitu. Aku sedar itu. Aku tahupun. Dan aku amat berharap suatu hari nanti aku mampu lakukan begitu. Aku mampu lafazkan yang aku dah maafkan dia, hati aku juga mampu menerima kemaafan itu. Aku amat berharap mampu lakukan sebegitu.

Aku dah mula lupakan tragedi yang pernah berlaku dalam hidup ini. Aku dah mula menapak semula untuk terus mendaki ke puncak yang pernah aku duduk dahulu. Aku mula menghayun langkah dengan sisa-sisa yakin yang terburai. Namun panggilan telefon yang kuterima hari ini buatkan hatiku berdetik semula. Kotak fikirku tertanya-tanya untuk kesekian kalinya. Adakah semua ini ada kaitannya dengan mimpiku tempoh hari?

Tuhan, aku perlukan Nur serta hidayahMu. Aku perlukan petunjukMu. Tunjukkanlah aku sebaik-baik jalan yang tidak akan menjauhkan aku dari RahmanMu...



Jumaat, 9 Mei 2008

Semangat MEI pun mampirkan diri...


I MEI setiap tahun. Hari yang agak bermakna buat semua pekerja di Malaysia biarpun ramai juga yang tidak menyedarinya. Bagi pekerja pejabat, guru, pekerja industri, government, swasta….sebilangan daripada mereka mengetahui tentang tarikh keramat ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu pada tarikh tersebut, mereka diberi cuti rehat.

Namun ada juga yang tidak mengetahui tentang kewujudan hari seumpama ini. Pak Ngah di bendang, Pak Mat di ladang, ataupun Mak Joyah di kebun getah. Pada mereka, berapa banyak Hari Pekerjapun yang dianugerahkan, kerja-kerja mereka tetap perlu diteruskan juga. Mereka tak punya KWSP yang akan menjamin hari tua. Tak punya banyak keistimewaan untuk membuat pinjaman juga.

Ada masanya, kita terlalu rasa gah dengan pencapaian sendiri. Punya segulung ijazah. Ada pekerjaan di pejabat yang sentiasa sahaja sejuk terlebih suhu pendingin hawa. Ada kereta. Ada rumah (kalaupun sebenarnya masih lagi kepunyaan bank). Punya banyak kelebihan dan kemudahan untuk menambahkan lagi hutang padahal, hutang semasa belajar dahulu masih belum lagi langsai sepenuhnya. Lalunya, kita terlupa untuk berfikir sejenak tentang golongan yang tak punya segala apa yang kita ada.

Kita ada segulung ijazah dan pekerjaan yang menjamin hidup. Mereka hanya ada tulang empat kerat. Tulang itulah yang dibanting saban hari sepanjang usia tanpa jaminan KWSP pada hari tua. Kita ada sumber pendapatan tetap yang sentiasa dapat bonus pada hujung tahun sedangkan golongan ini perlu berkerja sepanjang masa. Tak ada kerja, tak ada pendapatan. Kita punya kereta besar yang menjalar walaupun belum langsai hutangnya dengan bank. Mereka ada kereta buruk tetapi dibayar tunai kerana bank tidak sanggup untuk menawarkan pinjaman disebabkan mereka tak punya slip gaji.

Kita tinggal di rumah batu yang kukuh, penuh dengan segala kemudahan elektrik. Dan rumah itu kita sewa pula dengan harga yang mahal kerana nilai hartanah di kediaman elit yang kita duduki tak terjangkau dek gaji kita untuk membelinya, sedangkan mereka punya rumah yang sederhana. Adakalanya amat dhaif. Namun rumah itu kepunyaan mereka sendiri. Kita berbelanja di pasaraya besar yang gah diiklankan di kaca tv, sedangkan mereka dengan rendah diri menyelinap ke belakang dapur memetik pucuk ubi dibuat ulam.

Campur tolak kali bahagi, ternyatanya mereka lebih beruntung daripada kita yang punya simpanan KWSP yang dikatakan mampu menjamin hari tua nanti. Dan KWSP itu pula…sering benar kita keluarkan untuk bermacam hal yang remeh temeh pula. Mereka itu tak punya hutang dengan mana-mana institusi kewangan. Tak perlu membayar bil elektrik yang tinggi dengan penggunaan computer, peralatan elektrik yang canggih dan besar, bil air kerana penggunaan k olam renang dan membasuh rumah besar kita, kereta besar kita…ada masanya untuk mandi semua ahli keluarga kita yang semakin hari semakin bertambah besar saiznya akibat lebihan lemak, membayar bil astro, bil internet, malah bermacam-macam jenis bil lagi. Tidak termasuk lagi membayar harga perkhidmatan apabila menggunakan tandas awam yang tidaklah sebersih mana. Tol. Parking kereta. Sebenarnya, semua benda berbayar.

Difikirkan semuala tentang 1 MEI ini…aku tiba-tiba terasa…alangkah enaknya andai semua perbelanjaan ini boleh digunakan dengan sebaiknya kiranya hidup di kampong halaman sendiri. Persoalannya, kalaulah di sana ada peluang pekerjaan seumpama ini, masihkah aku sanggup tersiksa berdagang di tanah orang ini?

Biar apapun, sekali dalam setahun…kala memperingati datangnya 1 MEI, diri masih lagi merasakan betapa tidak cukupnya usaha selama ini. Masih belum cukup lagi kerja kuat. Demi Islamku, demi negaraku, demi anak bangsaku. Demi kepuasan hati sendiri. Tuhanku, berikan daku lebih kekuatan untuk teruskan perjuangan yang masih juga belum selesai ini.

Jom, sama-sama kita kerja kuat!