Selasa, 31 Mei 2011

Tarif Letrik naik Mulai 1 Jun



purata tarif elektrik akan dinaikkan
berkuat kuasa rabu ini, 1 jun
2.23 sen kilowatt sejam (kwj) atau 7.12 peratus
sebelum ni 31.31 sen/kwj dah jadi 33.54 sen/kwj
kata menteri
tidak akan menjejaskan 75 peratus atau 4.4 juta orang pengguna
daripada 5.94 juta pengguna domestik
yang guna kurang daripada 300 kwj sebulan.
kalau guna takat 300 kwj elektrik atau rm77 sebulan
masih selamat
macam aku yang marhaen ni
tapi dah tak selamat untuk mek ayah di kampung
maklumlah, lembu merekapun
tidur bersuluh lampu

tarif elektrik dinaikkan kerana harga gas asli yang jadi sumber utama penjanaan elektrik
dah meningkat dengan ketara di pasaran antarabangsa
menteri yang cakap
aku tumpang tulis je
menghebahkan aje
berkongsi-kongsi maklumat
untunglah Sarawak kan
ada bakun
pakai turbo air je dah dapat letrik
errrrr...kenaikan tu seluruh Malaysia ke?
Atau Semenanjung je?

jadi kawan-kawan semua
marilah sama-sama kita menyokong sepenuh jiwa raga
kenaikan taraf letrik ni
untuk majukan negara kita ni
takat naik banyak tu
apalah sangat kan
kita puasalah masuk KFC ka, McD ka, Secret Recipe ka
sama-samalah kita bergotong royong masak sendiri
tak perlulah bercuti luar negara
tak payah lagi ke Aceh
atau Bandung
atau Dhaka
kat negara kitapun banyak lagi tempat menarik
kita terjun je lah kat mabul
nyelam ajelah di kapalai
kalau gian nak seberang laut
landing ajelah di kota kinabalu
tak pun kuching
itupun dah boleh susut segala tenaga
makan kek lapis pun sedappppp
berkayuh tangkap buaya pun seronok juga

baru letrik, nanti petrol pulak
tapi kalau dah semangat Satu Malaysia tu tinggi
rakyat didahulukanlah maknanya kan
jadi sama-samalah kita menyokong
sepenuh nyawa
demi malaysia yang tercinta ini
errrr...bukan aje bulan ogos perlu ada semangat waja mencintai negara
sempena sambutan kemerdekaan negara
sepanjang masa!

mmmmmm bil letrik bulan lepas
aku belum bayar lagi ni
tak sempat daaaaaaaaa!
alahai!

Isnin, 30 Mei 2011

Salma Juara Mentor 5

Penat kena jem di Karak
tapi tengok juga pusingan akhir Mentor 5 di TV3
sambil kunyah keropok lekor
ada sata juga
campur keropok segera berlada
sambil-sambil lagi tengok blog
yang terabai sejak seminggu

tiga orang protégé tiga orang mentor juga
kuasai pentas mentor musim ini
biasanya hanya dua sahaja ke peringkat akhir
kali ini tiga
Erra fazira dan Salma
Syarifah Aini yang sentiasa jadi pooojaaan hatiku
melatih Shiha
Edry nan hensem menggilap bakat Iqa

Dan pemenangnya Salma protégé kepada Erra Fazira
kedua-duanya memenangi hadiah wang tunai RM100,000
dan Salma memandu pulang sebuah kereta Chevrolet Cruze
Naib Juara dapat kepada Shiha
Tok Pah dan Shiha bawa pulang wang tunai RM30,000
Shiha juga memenangi sebuah Vespa LX150.
manakala Edry dan Iqa
bawa pulang RM10,000.


gambar dari Google

Aku pula..dapat rehatkan minda sahaja
sebelum layan mimpi
setelah penat mengembara sepanjang minggu
Mmmmm nak mimpi sat!

Sabtu, 28 Mei 2011

Dikaulah Jantung Hatiku

Lagu ni popular masa aku sekolah dulu.
masa dulu, manalah boleh download bagai.
paling popularpun beli kaset.
kalau orang macam aku ni, dengar di radio ajelah.

masa naik bas ke sekolah,
lagu ni antara lagu-lagu yang pak cik driver bas tu selalu putar.
tapi aku nak tampal
lagu ni dalam bahasa yang lain
bunyi macam best je
jom dengar sama-sama

Si Jantung Hati - 千百惠 * A. Putra; Irma M. S.


Si Jantung Hati (印尼) - 風采姐妹 Summer Grace


Taganang Si Jantung Hati - Nurul

Jumaat, 27 Mei 2011

Bukan Kita Seorang Nak Masuk Syurga

Sempena hari Jumaat yang mulia, kukongsikan rasa ini dengan semua;

Bukan Kita Seorang Nak Masuk Syurga

 
kenapa perlu memandang negatif
dengan kebaikan yang orang lain lakukan
mereka juga nak buat pahala
seperti kita
nak juga masuk syurga
macam kita
bukan kita seorang yang baik budi
masih ramai lagi yang budiman

kenapa perlu memandang negatif
dengan pertolongan yang orang lain hulurkan
mereka juga nak buat pahala
seperti kita
nak juga masuk syurga
macam kita
bukan kita seorang yang baik hati
masih ramai lagi yang dermawan

kenapa perlu memandang negatif
dengan baik budi yang orang lain lakukan
mereka juga nak buat pahala
seperti kita
nak juga masuk syurga
macam kita
bukan kita seorang yang budiman
masih ramai lagi yang tinggi insaniahnya

kenapa perlu memandang negatif
dengan sopan santun yang orang lain lakukan
mereka juga nak buat pahala
seperti kita
nak juga masuk syurga
macam kita
bukan kita seorang yang penyantun
masih ramai lagi yang beradap budaya

kenapa perlu memandang negatif
dengan sedekah yang orang lain lakukan
mereka juga nak buat pahala
seperti kita
nak juga masuk syurga
macam kita
bukan kita seorang yang dermawan
masih ramai lagi yang ikhlas memberi

kenapa perlu memandang negatif
dengan pemberian yang orang lain lakukan
mereka juga nak buat pahala
seperti kita
nak juga masuk syurga
macam kita
bukan kita seorang yang baik budi
masih ramai lagi yang tulus menghulur

Boleh tak, kalau tidak memandang negatif
dengan setiap kebaikan dan pemberian yang orang lain lakukan
mereka juga mendapat hidayahNya
seperti kita
nak juga masuk syurga
macam kita
bukan kita seorang hambaNya yang taat
masih ramai lagi insan lain yang sanggup berjuang
menegakkan Islam yang kita cintai.

Boleh tak
usah memandang negatif kepada orang lain?
Boleh tak
beri peluang kepada orang lain juga
mendapat pahala
kerna bukan kita seorang ingin masuk syurga.


~~Anyss~~
18 Mei 2011
Bandar Baru Bangi



Khamis, 26 Mei 2011

Skim Rumah Pertamaku

Skim itu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2011 memberi peluang kepada golongan muda berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dan belum memiliki kediaman sendiri untuk membeli rumah.

Skim tersebut memberi kemudahan pinjaman 100 peratus kepada pembeli, tanpa perlu membayar wang deposit sebanyak 10 peratus seperti kebiasaan prosedur pembelian rumah. Golongan muda berumur 35 tahun ke bawah boleh memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000 dengan tempoh maksimum pembiayaan 30 tahun.

Skim ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 20 buah institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam antara CIMB Bank Berhad; Maybank Berhad; Bank Islam Malaysia Berhad dan Public Bank Berhad. Ia diharap akan membantu golongan muda di Malaysia untuk memiliki rumah pertama mereka dengan lebih cepat.

Apa tunggu lagi, jom ramai-ramai beli rumah. Lagipun, kalau beli rumah, boleh rebat cukai sebanyak RM10 ribu tau. Bukan mudah nak dapat cari jalan untuk dapatkan rebat macam tu, ramai yang ngelat bayar cukai tau!

Masalahnya, di Bangi ni, mana ada lagi rumah yang harganya bawah RM220 ribu tu. Mmmmm buka khemah ajelah gayanya!

Rabu, 25 Mei 2011

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah diperbadankan pada 25 Januari 2011 hasil keputusan yang dibuat di mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Mac 2010. Tujuannya: memberikan bantuan guaman kepada golongan yang tidak mampu untuk mengguna khidmat peguam kes mereka di mahkamah. Kira-kira 80% orang yang dituduh yang dibawa ke mahkamah bagi kes jenayah tidak mempunyai peguam untuk membela mereka.

Bantuan guaman dalam perkara jenayah seperti boleh mendapatkan khidmat YBGK:
a. membiayai perjalanan bantuan dan nasihat guaman berhubung dengan prosiding jenayah untuk dan bagi pihak mereka yang memerlukan bantuan guaman;
b. menyediakan perkhidmatan bagi peguam swasta untuk mewakili mereka yang memerlukan pewakilan guaman (legalrepresentation) dalam prosiding jenayah;
c. menggalakkan, mengadakan, membiayai dan menyelia penyelidikan berkenaan dengan bantuan guaman;
d. memulakan dan menjalankan program pendidikan yang bertujuan untuk memupuk kefahaman orang ramai mengenai hak, kuasa, keistimewaan dan kewajipan mereka di bawah undang-undang Malaysia; dan
e. menyediakan maklumat kepada orang ramai mengenai adanya bantuan guaman dalam perkara jenayah oleh peguam YBGK.

Syarat untuk mendapatkan bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah
i. seorang warganegara Malaysia;
ii. bagi bantuan guaman di peringkat perbicaraan pemohon mestilah mempunyai sumber pendapatan;
 tidak lebih daripada RM25,000 setahun; atau
 melebihi RM25,000 setahun tetapi tidak melebihi RM36,000 setahun dengan dikenakan bayaran tertentu yang akan ditetapkan oleh YBGK

Jenis kesalahan yang layak dibantu ialah semua jenis kesalahan jenayah kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati.

Caj bayaran? Serendah RM50. Sila ke web site YBGK untuk perincian.

Selasa, 24 Mei 2011

Mengenal Kuih Muih di Kelantan

Ketika entri ini anda baca
daku tiada di sini
seminggu ini entri yang terpapar
telah disetkan
tak lama, hanya 6 hari sahaja
usahlah terlalu rindu
kerna daku tetap tinggalkan kalian
dengan sesuatu
buat pengubat rindu
(buruk benarkan bahasa orang perasan dirindui)

tiap kali balik kampung
aku rindukan kuih muih tradisi Kelantan
yang payah nak jumpa di sini
kalaupun ada dijual
rasanya dah tak sama
rupanya dah berbeza
dan tekak aku ini pula
hanya nak yang asli sahaja
(sesekali rindu tak tertahan terpaksa jua menyingsing lengan
bersilat di dapur seadanya,
padah melayan kehendak anak tekak)

Nak kenal nama-nama kuih tradisi Kelantan?
dengarkanlah dalam lagu-lagu di bawah
Jom…sambil dengar, sambil berhibur
sambil melayan perasaan dan anak tekak juga…

Kuih Kelate Halim Yazid






macam mana? dah kenal? dah tahu nama?
kalau nak rasa…datang je lah Kelantan.
Jommmmmmm ikut aku balik kampung hu hu hu

Isnin, 23 Mei 2011

Bila Memilih, Kupilih Apa Yang Terbaik Untuk Semua

meniti perjalanan hidup
akan ada kos melepas
kita tidak mampu mengangkut
isi dunia ke dalam hidup sendiri

bila berdiri di sini
tak mampu untuk ada di sana
pada waktu yang sama
bijak-bijaklah memilih
untuk berada di mana
kerna kita tak mungkin dapat
berada di banyak tempat waktu nan serupa

apabila aku di sini
tidak bermakna tidak suka ada di sana
seperti mana bila aku tiada di sini
tidak bermaksud lebih seronok di sana
bila tiba saat untuk memilih
aku sebenarnya lebih banyak untuk berada
di tempat yang menyenangkan hati ramai orang
bukanlah di tempat yang hanya menyenangkan hati sendiri

maaf, aku selalu gagal
untuk memilih sesuatu yang terbaik
untuk diri sendiri
hanya memilih
apa yang terbaik untuk semua orang.

~~Anyss~~
18 Mei 2011
Bandar Baru Bangi

Ahad, 22 Mei 2011

Abah Tidur dengan Siapa?


Sesiapa yang dah tengok filem Nur Kasih, akan terharu dengan pertanyaan di atas. Aidil kesedihan kerana kematian isteri tercinta, anak sulungnya tanyakan soalan itu padanya. Syahdu!

Bagi sesiapa yang mudah tersentuh hati, sila bawa tisu barang sekotak dua. Boleh kongsikan juga dengan orang sebelah. Secara keseluruhan, memang filem ini mengharukan. Sinematografinya juga macam biasalah...bila Khabir Bhatia yang buat, memang akan indah.

Sinopsis Nur Kasih

Setelah Adam berjaya mendapatkan cinta Nur..setelah Aidil mendapat kepercayaan Aliya...setelah Sarah benar–benar insaf...apakah lagi yang sanggup dikorbankan demi cinta...

Pelakon
Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah, Ayu Raudhah, Liza Othman, Munif Isa, Sara Ali, Adik Mia Sara Nasuha, Adik Ilyas Suhaimi

Pengarah
Kabir Bakhtiar



Errr...kepada sesiapa yang nak cuci mata, bolehlah masuk panggung tengok Nur Kasih ni.

Aku dah gila dengar lagu ni...



PsssT: Malam semalam terkejut dengan kejadian tanah runtuh yang menimbus rumah anak-anak yatim di Madrasah al Taqwa, batu 14 Hulu Langat jam 2.15 petang ketika sedang membuat latihan nasyid. Moga adik-adik yang cedera cepat sembuh. Takziah kepada mangsa.

PPSSSt: bulan ini sahaja kita kehilangan beberapa orang artis tanahair. Arwah Datin Orkid Abdullah, diikuti suaminya. Tengahari semalam, Mahyon Ismail (isteri kepada arwah Hussin Abu Hassan, ayahanda Faisal Husin) turut meninggalkan kita. DariNya kita datang, kepadaNya jua kita akan kembali. Alfatihah. Takziah kepada keluarga arwah. 

Sabtu, 21 Mei 2011

Pada Satu Garis Usia

orang kata
insan berubah bila cecah usia 40-an
tandanya makin matang
dilambung gelombang hidup
makin menunduk diri dek pengalaman
yang banyak mendidik

kalau dia seorang materialistik
saat itu dunia tidak lagi dikejar
beratnya stabil memandang akhirat juga
tuturnya berkurang penuh hikmah
sarat nasihat padat senyum
tegurnya dalam simpul ayat bermadu
tidak lagi jerkah maki
tidak lagi sindir sinis

kata orang
bukan semua menjadi insan ketika usia cecah 40-an
ada yang makin haloba kejar dunia
yang terlupa usia kian menyusut
ada yang makin tamak mencari kuasa
yang tak ingat mati makin dekat.

ada juga makin dambakan pengaruh
mahu kuasa suka memerintah
mahu dipuja gemarkan nama
mahu diampu inginkan pujian
sedang di belakang diapun tahu
semua itu hanya manis di wajah
bermadu pada kata

ikutkan kata orang
sebelum datang usia pencen
setiap insan itu lebih menunduk dari padi
bukannya lupa pandang rumput di bumi
dek takbur memungut cahaya bintang nan tinggi
lebih gemarkan majlis agama
dekatkan diri dengan Pencipta
bukannya bergabung dengan jin atau syaitan
gembira melihat orang bermusuhan
hanya kerana rebutkan dunia

dunia memang sementara
kutiplah seadanya
biarpun dikejar mahu segala
nadanya biarlah berpada
bukannya boleh dibawa ke alam sana.

~~Anyss~~
18 Mei 2011
Bandar Baru Bangi


PsssT: Errrr bila gamaknya aku nak berenti mengutip gula-gula dunia ni ek? Adussssssss!

Khamis, 19 Mei 2011

Semakan keputusan permohonan kemasukan ke TEVT (politeknik) dan ILKA


kepada adik-adik yang sedang menunggu keputusan permohonan
melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi
Semakan keputusan permohonan kemasukan
ke TEVT (politeknik) dan ILKA
boleh dibuat pada 22 mei 2011
mulai jam 12:00 tgh hari

Dah tak lama lagi tu...
Selamat maju jaya

Rabu, 18 Mei 2011

Antara Cik Epal dan Hanis Zalikha, Siapa Lebih Popular?

Ini entri waktu petang kala kepala tengah weng...sila nikmati seadanya;


Bagi yang dah lama blogging
ada banyak nama tersenarai sebagai blogger popular
Redmumy, KakIna KL, 
Ben Ashaari, Mat Gebu, Justkhai, Tukar Tiub
BeautifulNara,
kalau nak senarai
memang penuh entri dibuatnya

pernah tak sesiapa buat survey
dalam ramai-ramai blogger popular ni
siapa gamaknya yang tersenarai
sebagai blogger paling popular?
kira nombor satulah
apa sebab dia popular?
kenapa dia popular?

Adakah Cik Epal?
Hanis Zalikha?
BeautifulNara?
Ben Ashaari?
Redmumy?
ataupun sebenarnya che Deq?
Tak kira siapapun blogger popular itu,
persoalannya: macam mana cara
nak tentukan siapa nombor Wahid tu?
valid tak cara kira tu?
Ada sesiapa yang sukarela tak nak buat kajian pasal ni?

Takat ni Riceblogger.com dah senaraikan
100 blog paling popular di Malaysia
guna ranking Alexa dan technorati
adalah orang pernah buat
tapi masih tak tepat
kalau tak daftar dengan Alexa dan technorati
tak termasuklah
kira macam Ratu Cantik juga
walaupun kita cantik tapi
kalau tak masuk pertandingan
tetap tidak akan diistiharkan cantik.
tak gitu?

Antara Cik Epal dan Hanis Zalikha, Siapa Lebih Popular?
aku sendiripun tak tahu
ada sesiapa tahu?
beritahulah. Biar ramai orang tahu nanti
kalau tanya Cik Epal sendiri
atau Hanis Zalikha, apa reaksi mereka?

Edisi Tayang Mami Jarum

Wahhhhh....lama sangatkan blog ni tak ada entri tayang menayang macam mami jarum. Tengahari ni nak buat edisi tayang menayanglah. Jom tayang!

Makan malam semalam;


Sepatutnya ada kuah, tapi dah kering hu hu hu
Usah tanya apa namanya, kerana ia tidak bernama. Nak mudah, sebut sahaja mehun campak-campak.


Ni edisi tengahari sekejab tadi;


Penuh dengan sayur. Sendiri punya campak, kalau mintak kedai yang campai, memang penuh dengan mehunnya sahaja. Nampak tak sayurnya tu?

Errrr tak nampakpun mehunnya. Yang penuh hanya sayur. Jadi masakan ini namanya...sayur mehun ntah apa-apa. Rasanya? Sedap untuk tekak aku sahaja. Tekak orang lain boleh menyebabkan muntah darah hu hu hu

Urrrrpppppp, alhamdulillah! Itulah seadanya rezeki hari ni. Aminnnn.
Jommmm sambung kerja lak...jangan nak berFB je manjang!

Semua Barang Naik, Hujanpun Malas Nak Turun

Ismail Sabri Yaakob kata
harga Ron 95 akan disemak mulai bulan depan
semenjak dua menjak ni
acap juga harga petrol naik
akan diikuti dengan kenaikan harga barang lain
gula naik 20 sen pun
macam-macam barang lain naik
kuih sepotong naik 20 sen
macamlah sepotong tu guna gula 1 kg
teh tarik segelas juga naik 20 sen
macamlah segelas teh tarik tu guna gula 1 kg

Zahid Hamidi kata
kerajaan diminta kaji beban rakyat sebelum naikkan Ron 95
golongan marhaen macam aku
dah tak mampu ke Pasar Malampun
apalagi gedung berbintang-bintang
nak beli ikan, ikan naik harga
nak beli ayam, ayam pun serupa
nak beli telur,
betul ke telur itu asli?

belanjawan negara 2012 lambat lagi
apalagi nak mimpi nak berangan dapat hingga dua bulan
teruskanlah!
apalah sangat takat berangan kejar biri-biri je
mimpi memang indah
apalagi kalau bersama Ady Putra
kalaupun ada bonus
bukan semua rakyat Malaysia penjawat awam

 
gula dah naik harga
Rom 95 pun akan naik juga bila-bila masa
darahpun boleh naik
apalagi bila musim kian hangat
ahhhhh hujanpun malas nak turun
usah pula nanti
hujan juga turun naik!


PSSSSST: selepas siap tulis entri ini…hujanpun turun dengan syahdu. Ohhhhhh aku suka. Bestnya dapat tidur malam ni tapi…kerja aku sangat Sangat SANGAT banyak belum siap. Sila abaikan bantal dan selimut! Adehhhhhh!

Selasa, 17 Mei 2011

Untuk Seorang Bekas Sahabat

Usahlah terlalu takbur membuat pengakuan
“Kaulah sahabat aku dunia akhirat”
andai di duniapun
dikau tak mampu menjadi teman terbaik

aku tidak mengharapkan
buah tangan tiap kali kembali dari kampung halaman
tidak jua kudambakan
hulur belanja saban kali bertemu
atau longgok hadiah kala menyambut ulang tahun

hanya sekadar
sapa ikhlasmu tanyakan khabar
hanya setakat
pengertianmu tiap kali
daku terkedu dalam simpuh ratap
onak kehidupan
aku hanya harapkan
telingamu mendengar bisik hati tak henti kata
atau fikirmu
saat diri dibelenggu keliru

aku hanya dambakan
bahumu buat bersandar harapan
jarimu untuk mengesat si air mata
diammu menemani duka
dan doamu mententeramkan jiwa.

Usahlah terlalu takbur membuat pengakuan
“Kaulah sahabat aku dunia akhirat”
andai di duniapun
dikau tak mampu menjadi teman baik


~~Anyss~~
16 Mei 2011
Bandar Baru Bangi


PsssT: terima kasih kepada kalian yang mewargai duniaku. Terima kasih kepada Cik Bintang yang sudi menjadi sebahagian daripada cerita hidupku. Terima kasih jua kepada mereka yang pernah lelaskan hati ini, tetap diingat jadi sandaran dan mana letaknya diri.

PsssT: Bila hati berkata-kata, sekalipun berat...itulah hakikatnya. Untuk apa menafikan sebuah ciretera yang tidak semanis mana. Usah jua menafikan betapa hati tidak pernah terdera, sebuah pengakuan jua sukar dilafaz biar sedaya mahu ditolak kenyataan nan perit.

PsssT: Selamat bercuti sempena Hari Wesak. Aku? Kena kerja keras sepanjang hari cuti ini...

Isnin, 16 Mei 2011

Selamat Hari Guru

selamat menyambut hari guru
baktimu tetap dikenang

Kepada semua murid di Malaysia,
selamat belajar
kejarilah ilmu biar setinggi mana


Cikgu Sulizi - Tuntutlah Ilmu


Kepada semua guru di Malaysia
selamat menyambut hari guru
baktimu tetap dikenang

tanpamu tiada daku gemar berbakti
tanpamu,
tiada penyerahan jiwa nan hakiki


Terima kasih guru



Terima kasih, cikgu
ajari aku hingga jadi manusia
Terima kasih, cikgu
benarkan mimpi ini menjadi nyata.

Ahad, 15 Mei 2011

Hari Ini Sesudah 42 Tahun Berlalu

Entri tertunda yang tidak disiarkan dek blogger pada hari semalam, kacau bilau dibuatnya bila blogger.com merajuk;


42 tahun nan lalu
pada tanggal hari inilah
Kuala Lumpur bermandi darah
mayat bergelimpangan
dan apipun membakar
dalam nyala yang amat marak.

yang mati bukan hanya jasad
namun rasa
yang dikuburkan bukan sahaja mayat
namun jiwa
parut yang ditinggalkan hitamnya
tidak hanya pada bangsa
namun terpalit arang dalam catatan sejarah.

Bacalah sejarah dengan nurani nan terbuka,
pada hari ini
Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Darurat jam 7.00 malam

Kawasan panas semasa 13 mei 1969;
Sekitar kawasan Kampung Baru
Sekitar kawasan Datuk Keramat
Sekitar Chow Kit melalui Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut dan kawasan berhampiran
Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur sekitar Jalan Bandar dan Parlimen.
kawasan Jinjang dan Kepong
sekitar kawasan Salak South (Balai Polis Salak South), kawasan Pudu, Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya.

Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley
menganggar 2 ribu orang hilang nyawa dalam peristiwa berdarah ini
catatan di Malaysia hanya menyebut
Angka rasmi: 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan
211 kenderaan musnah.
Statistik tidak rasmi untuk jumlah kematian;
Melayu: 86 orang, Cina: 342 orang, Lain-lain: 3 orang

Setelah 42 tahun berlalu
sekamnya terasa dengan peristiwa Kampung Rawa, Pulau Pinang
kemudiannya Kampung Medan
tidakkah terasa
bibit dan bahang itu sentiasa sahaja membara
ditiup golongan yang mementingkan diri sendiri?
tak fikirpun anak, cucu dan cicitnya
apalagi anak bangsa
negara berdaulat ini

Biarlah Tragedi 13 Mei hanya terpahat di dalam sejarah pahit Malaysia
jadikan iktibar
Kita bangunkan Malaysia merdeka selama 54 tahun
menjadi seperti hari ini
meninggalkan 42 tahun tragedi berdarah di belakang
ketahuilah, untuk hancurkannya hanya memerlukan masa satu hari sahaja.
Buktinya sudah ada
hanya pada satu tarikh 13 Mei 1969
kita hampir kehilangan negara tercinta ini.

Sesudah 42 tahun berlalu
usah bicarakan lagi tentang
darah yang sudah kering di kerikil jalanan
biarkan hujan masa
membasuhnya dari ingatan
mengalirkannya bersama azam baru
daulatkan negara tercinta ini.

usahlah bermain dengan api
kita tak akan mampu menghadangnya
andai marah sekali lagi.


~~Anyss~~
13 Mei 2011
Bandar Baru Bangi

Rabu, 11 Mei 2011

Bajet 2012: Penjawat Awam Dapat Bonus 2 Bulan Gaji????

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2012,
akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober 2011,
adalah inklusif,
bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi.
sesuai dengan dasarnya 1 Malaysia Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP)
meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi ekonomi dan kerajaan.
GTP menghasilkan keputusan yang ketara dalam mengurangkan jenayah,
kemiskinan dan rasuah,
selain meningkatkan akses kepada infrastruktur asas,
keputusan pendidikan dan pengangkutan awam bandar.
sebab itulah mula tahun ni
2011 ini…kadar jenayah sangat rendah
mana ada dengar berlaku kes jenayah dah mulai tahun ni
kalau kita tak buka radio
akupun tak tengokpun kes-kes jenayah dilaporkan
tv kat rumah tu dah bersawang lupa nak tengok
baca akhbar pun tak
pada aku, tak ada langsung kes-kes jenayah
kes miskin
kes rasuah
semua dah sifar.
Sangat bagus negara kita ni. Sila contohi aku ya
tak sempat tengok duniapun
sangat sibuk berkerja
kalau tak sibuk cari rezeki
macam mana nak beli gula sekilo sehari
Mek ayah di kampung guna gula sekilo sehari
namapun orang Kelantan
kalau tak manis dalam senyuman
kena jugak manis dalam minuman
mana boleh Mek ayah minum air paip je setiap hari
nak juga merasa milo dan teh
walaupun tinggal di negeri paling miskin
di dunia manusia
tak kan sehayat hidup dia orang nak teguk air telaga je
(orang Kelantan mesti marah aku
Hoittttt! akupun orang Kelantan jugaklah!)

Cabaran baharu kata PM kita
peningkatan kos hidup dan perumahan mampu milik,
terutama di kawasan bandar,
mampu sewa juga sepatutnya
ye lah, kalau gula naik 20 sen
teh tarik juga naik 20 sen
bila petrol naik 20 sen
barang lain juga naiknya bukan 20 sen je
angin aku pulak naik lagi berganda
dah lah hujan dah seminggu tak turun
buat turunkan suhu hatiku ini

dia nak ‘satu peruntukan dana
memasukkan subjek pengurusan kewangan dalam syllabus pendidikan’.
bagus benarlah apa yang dia nak
bukan takat bonus 2 bulan gaji yang boleh habis tak sampai 2 minit
tapi memanfaatkan entah berapa ganerasi
sangat penting ya tuan-tuan dan puan-puan
barulah semua orang tahu tentang kira duit
tentang harga barang naik
tentang tambang pengangkutan naik
atau harga minyak dunia naik
tak lah jadi macam aku yang GAGAL matematik
sejak sekolah rendah lagi ni
sebab tu aku tak tahu kira harga minyak dunia
harga pasaran saham
harga getah dan kelapa sawit
yang aku tahu kirapun
harga gula naik je
tu pun nasib baik 20 sen je naik
kalau naik lebih dari seringgit
aku dah tak reti kira
dah blurrr
sila jangan jadi macam aku ya tuan-tuan dan puan-puan


PssssT: ada pokok bergoyang-goyang ditiup ribut bagi tahu aku, bonus kakitangan awam untuk 2012 akan dapat 2 bulan gaji. Errr itu bisik-bisik goyang masa aku tidur dengan nyenyak dalam ekon semalaman setelah 2 hari berpeluh.

Errrr…ada pelepasan cukai tak untuk bil letrik bagi orang yang guna ekon pada musim panas macam ni? Maklumlah, aku dulu lahirnya masa musim salji di Kutub Utara…pantang panas sikit nak sembunyi dalam peti ais hu hu hu

Pssst: Aku suka berangan. Paling suka berangan pasal biri-biri gemok. Tapi, lagi suka kalau berangan dapat bonus 2 bulan gaji hu hu hu

Selasa, 10 Mei 2011

Penyakit di Surau

Surau itu rumah Allah
tempat ibadat
tempat melepaskan segala kekotoran minda
tempat bersihkan diri
bersihkan hati
bersihkan pekerti
bukannya lokasi pelupusan
tempat buang tisu lebihan make up
terpenuh calitan maskara
dan lipstik

Surau itu rumah Allah
tempat ibadat
tempat melepaskan segala kekotoran minda
tempat bersihkan diri
bersihkan hati
bersihkan pekerti
bersihlah jua telekungnya
sejadahnya
lantainya
bukankah bersih itu sebahagian iman?

Surau itu rumah Allah
tempat ibadat
tempat melepaskan segala kekotoran minda
tempat bersihkan diri
bersihkan hati
bersihkan pekerti
agar terjaga imannya
andai minda tak mampu menghalang nurani
tertarik kasut jenama milik orang
kotor minda, tipisnya iman mampu diukur
sendiri yang tahu

Surau itu rumah Allah
tempat ibadat
tempat melepaskan segala kekotoran minda
tempat bersihkan diri
bersihkan hati
bersihkan pekerti
tempat meletak seluruh penyerahan
akal dan budi
bukanlah tempat paling selamat untuk mencopek dompet
atau telefon terkini milik orang
rembat sahaja segala barang
asal berharga
sedangkan nyata sekali
diri kehilangan harga maknawi


Surau itu rumah Allah
tempat ibadat
tempat melepaskan segala kekotoran minda
tempat bersihkan diri
bersihkan hati
bersihkan pekerti
tidak begitu sesuai
menjadi lokasi mencemuh orang
mengumpat
meninggi suara
atau berhilai tawa
kalaupun berkata dengan hati
Allah maha mengetahui
untuk apalah membazir suara
mengganggu urusan orang lain dengan sang Pencipta
selantang mana suaramu
usah dimengertikan
Allah akan keliru mendengar doa orang lain
selain pamerkan
betapa kamu tidak mampu menghormati
malaikat yang setia mencatat tiap lakumu


sepatutnya
surau kawasan bebas
bebas dari kekotoran hati
apalagi mulut
bebas dari mengejar duniawi
apalagi menambah lupakan mati
sanggup pula mencuri
sepatutnya
surau menjadi kawasan berkecuali
dari umpat keji
sepatutnya menjadi tempat yang indah
bukannya melupus sampah


Syukurlah kita di Malaysia
surau boleh jumpa merata termasuk pusat beli belah
di negara Islam lain
tambah tak sempurna

Surau itu rumah Allah
tempat ibadat
tempat melepaskan segala kekotoran minda
tempat bersihkan diri
bersihkan hati
bersihkan pekerti
sepatutnya surau itu kawasan bebas
kawasan berkecuali
kerana kita semua hanya hamba.


~~ANYSS~~
9 MEI 2011
BANDAR BARU BANGI

Ahad, 8 Mei 2011

Puisi Hari Ibu

Entri ini pernah diterbitkan dahulu
Tahun lepas.
Hanya nak ulang siar semula
tanpa mengangkut segala gambar
dan rasa
sekadar puisi sahaja



Mek, Aku Terlalu Ingin


Mek, aku berusaha jadi anak terbaik
sentiasa patuh ingin seorang ibu
selalu redha mahumu
akan lunasi seluruh mimpimu
tunai semua hajatmu

Setiap detik kuingin jadi anak terbaikmu
yang menyenangkan hati lusuhmu
yang gembirakan minda jiwamu
yang ceriakan setiap harimu
yang menenangkan sepenuh ragamu

Mek, bantulah daku jadi anak terbaikmu
dalam upaya nan terbatas ini
restuilah aku terus gigih mencari redhaNya untukmu
dalam kehilangan daya tak terucap ini
kuingini contohimu mengharung payah hidup dalam sabar
kumahu sepertimu kebal menahan taufan sukar
tega menadah ribut gundah

Mek, kuingin jadi anak terbaikmu
yang akan sentiasa meranumkan kuntum senyummu
yang akan sentiasa membanggakanmu
yang akan selalu meriakanmu
yang akan selamanya mengekang gundahmu

Mek, aku terlalu ingin
menjadi anak terbaikmu dalam waktu terhad ini
biarpun upayaku kian terbatas
biarpun masa berlari itu terlalu pantas
dan aku lelah terjelepok kehilangan nafas
aku tetap ingin menjadi anakmu nan terbaik
biarpun, aku tidak pernah begitu
di matamu di hatimu.

Mek, aku tetap sentiasa ingin menjadi anak terbaikmu.



Kota Bharu
Mei 2008


Kalau nak dengar lagu, silalah ke entri Ratu Hatiku ini

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di serata pelusuk dunia

Jumaat, 6 Mei 2011

Keputusan Pelajar Lepasan SPM ke IPTA 2011 diketahui Hari ini

kepada anda sedang menunggu keputusan melanjutkan pelajaran ke IPTA,
Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf
keputusannya sudah boleh diketahui pada hari ini
bermula jam 12.00 tengahari.
sekarang belum ada,
tunggulah hingga jam 12 tengahari.
sila tingkatkan kesabaran.

talian Hotline 03-88835858,
Helpline 03-88835848 dan talian am 03-88835801/5802.
boleh layari juga laman sesawang
atau menghantar pesanan ringkas (SMS)
Taip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) ke 15888.

Kalau gagal ke IPTA apa salahnya ke Tingkatan 6,
Institusi Pendidikan Teknikal & Latihan Vokasional (TEVT) dan
Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) pun ada
Kolej Komuniti ada tawarkan Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM)

calon yang gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA
boleh buat rayuan melalui Aplikasi e-Rayuan
dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan,
terus ke Laman Web Rasmi Kemasukan ke IPTA
http://upu.mohe.gov.my/  ada aplikasi atas talian.
cubalah. mana tahu ada nasib
Tarikh tutup permohonan e-Rayuan: 16 Mei
keputusan rayuan akan dimaklumkan pada minggu kedua Jun.



Selamat maju jaya.