Memaparkan catatan dengan label ujian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ujian. Papar semua catatan

Rabu, 31 Disember 2008

Kutinggalkan Ia Di Sini


Disember tinggal sisa. Tak sedarpun setahun hampir berlalu. Hanya beberapa jam sahaja lagi. Tak sedarpun diri telah melewati setiap hari pada tahun ini dengan jayanya biarpun dalam payah.

2007 bak tsunami yang melanda. Sekelip mata semuanya membadai dalam hidup. Kerjaya yang kubina bertahun hampir ranap. Perancangan hidup yang kuatur, terburai satu persatu. Impian yang disemai berderai. Teman-teman hilang semua dan keluarga yang kuharap dapat menyandar harapan, goyah di sana sini. Paling utama; perjuangan yang kuagungkan, sia-sia semua. Berantakan. Aku terduduk. Terkedu. Tak berupaya. Tak berdaya. Diri tidak sahaja dirempuh tsunami dan hilang segala tetapi juga dihempap langit hingga sukar untuk bernafas.

Apa yang diharap, diperjuangkan, diagungkan, dipertahankan, semuanya...tinggal puing. Tinggal sisa. Dan semua pecahan itu kukutip persatu sepanjang 2008. Kucantum perlahan satu demi satu puing-puing deraian itu, kubina semula dengan penuh percaya bahawa aku mampu hadapi segalanya.

Allah menguji hambanya dalam pelbagai cara dan, Dia hanya uji dengan ujian yang mampu ditempuhi hambaNya itu sahaja. Itu yang aku pegang kemas. Itu yang aku semat di dada tiap kali diri terasa lelah. Rasa tak berdaya. Rasa teramat tak berupaya dan putusasa.

Aku tak kuat. Itu hakikat yang perlu aku terima. Lemah. Tak berdaya. Tak upaya. Malah, telah keringpun air mata menangisi nasib malang ini. Yang ada hanyalah satu semangat. Hanya satu. Yang satu itu adalah Allah tidak menguji hambaNya dengan apa yang tak mampu dijalani. Hanya itu sahaja.

Hari demi hari tetap dijalani dengan payah. Payah amat. Keseorangan. Selangkahpun sukar digerakkan. Hidup bagai telah terhenti pada satu noktah yang tidak siapapun inginkan. Statik dalam bara yang membakar. Payah. Sendirian.

Percayalah pada kuasa Allah. Percayalah yang Dia tetap akan bantu hambaNya yang sabar. Percayalah yang Dia lebih tahu apa yang kita tidak tahu. Percayalah bahawa, Dia membantu kita dengan cara yang tidak kita dugapun. Apa yang perlu kita buat adalah pasrah. Pasrahlah dengan tiap ujian itu. Pasrahlah dengan tiap apa yang datang. Pasrahlah juga dengan setiap kebaikan kita buat biarpun dibalas dengan kesukaran. Dengan pasrah itulah, terbinanya jalan untuk kita lalui. Pasrah itulah buatkan kita redha. Redha itu akan buatkan kita mampu berfikir dengan lebih realistik. Bertindak dengan lebih hati-hati.

Bila percaya, bila pasrah, Dia yang Pengasih dan Penyayang itu akan turunkan bantuanNya dengan cara yang tidak terdugapun. Melalui orang yang tidak kita kenal atau sangkakanpun. Dan semuanya akan jadi lebih mudah daripada apa yang kita sangkakan.

Januari 2008, aku hanya teruskan perjuangan untuk teruskan hidup hanya kerana nyawa masih lagi di badan. Tanpa cita-cita, tanpa harapan. Tanpa matlamatpun. Namun kini, akhir 2008, aku sedar, perjuangan sebenarnya baru bermula. Perjuangan untuk diri sendiri pula.

Sebelum ini aku berjuang untuk orang lain. Aku membina empayar untuk kebahagiaan orang lain. Aku berkerja untuk mengubah nasib orang lain. Segala-galanya untuk orang lain. Semuanya untuk orang lain. Dan kali ini, setelah berpuluh tahun hidup, baru kali ini aku hidup untuk diri sendiri. Aku berjuang untuk diri sendiri. Lalunya, biar sukar bagaimana pun, sepatutnya perjuangan itu akan menjadi lebih hebat lagi.

Biar sebesar mana silap yang dibuat, jadikan silap itu pelajaran yang paling berguna untuk kehidupan seterusnya. Silapku hanyalah satu, terlalu banyak memberi. Hingga berlebihan. Hingga tidak dihargai lagi. Aku tidak perlu buang masa untuk terus berduka dengan apa yang telah berlaku tetapi perlu teruskan perjuangan untuk dapatkan lebih banyak lagi yang aku pernah dapat sebelum ni. Kata Gina (THR), belajarlah daripada silap lalu. Orang yang jatuh terduduk akan lebih berjaya pada masa depan. Itu juga yang dituturkan beberapa orang yang baru kukenal setelah aku terduduk tanpa upaya untuk melangkah lagi. Itu juga yang kutemu dalam buku-buku motivasi.

Terima kasih kepada orang-orang yang baru kukenal pada 2008 ini. Pada En. Kamal, En. Wan Ahmad Rizalle (CIMB), En. Mohd Noor (Ambank) Ustaz Awi yang prihatin. Terima kasih teman-teman di Caluk Corner yang sudi menerima seadanya aku biarpun ada masa tertentu aku muncul dengan jiwa yang bercelaru terutama pada awal kemunculanku. Diri masih mamai kala itu. Masih mabuk air sejuk. Masih tidak percayakan sesiapa. Nyatanya, mereka sudi menerima biarpun tidak tahu, tidak kenal dan tidak kunyatakan identiti dengan tepat.

Terima kasih dengan penerimaan itu. Kala aku di atas, orang menerima aku sebab dudukku itu. Aku dibuang bersepah kala terpelanting jatuh. Material juga yang jadi nilaian manusia. Namun, di sini, aku diterima seadanya biarpun pada ketika aku tenat di gaung. Dan aku berazam untuk sentiasa ingat semua ini biarpun satu ketika nanti aku sudah mampu mendaki ke atas semula. Memanjat tebing lagi sekali.

Mengatur langkah dari runtuhan hidup memang tak mudah. Apalagi bila keseorangan. Sendirian. Dunia yang luas dan meriah ini terlalu sempit dan sunyi buat aku yang patah sayap. Setelah diasak, dihimpit, digilis dengan kepayahan itu, aku usaha untuk bertatih biarpun sebenarnya kala itu hanya mampu menyeret dada.

Dan hari ini, setelah duniaku punah relai, hancur berantakan, aku kembali bina semula tiangnya daripada puing-puing yang masih tinggal. Moga jadi istana. Moga jadi mahligai. Moga mampu lindungiku kala hari tua.

Terima kasih kepada Pejuang yang Terluka dalam Peperangan. Terima kasih berikan daku teknik berperang menghadapi musuh. Terima kasih bercerita tentang strategi tumbangkan musuh menantikan luka kita sembuh. Terima kasih.
2008 tahun merawat luka. Tahun mengutip harapan. Tahun menyemai mimpi. Payah, tapi...telah berjaya aku laluinya. Musuh tentunya sedang bergembira dengan terlantarnya aku tanpa upaya dengan lelas luka terpalit nanah. Musuh sedang ketawa melihat aku kehilangan upaya diri lagi. Musuh sedang berpesta menyambut kemenangan mereka. Aku tahu itu.

2009 bakal buka tirainya. Aku berjanji pada diri. Aku pahatkan pada hati. Setahun ini aku akan kembalikan gemilang yang pernah kuraih. Aku akan pastikan diri berada pada tahap terakhir aku sebelum terhempas jatuh. Dan 2010, tentunya aku perlu lebih dari itu. Aku perlu ada lebih tinggi daripada waku aku dihempas ke bawah.

Peduli apa aku dengan musuh yang sedang rancak berpesta. Peduli apa aku dengan tawa ejek mereka untuk terus lemahkan aku. Peduli apa aku dengan racun yang disebarkan bak wabak ke seanterio alam ini agar aku musnah. Peduli apa aku.

Kalau mereka jatuhkan aku sebab aku berada di atas, aku pasti akan terus ke atas. Kalau mereka lempar aku ke gaung kerana aku punya apa yang dia tak miliki, perlukah aku mengalah? Bukankah Allah dah tunjukkan siapa mereka yang bertopeng itu? Lalunya, perlu apa aku takut kepada ketakutan mereka?

2009. aku sebenarnya masih takut untuk terus melangkah. Aku masih fobia. Masih lagi tidak berani. Masih was-was juga. Semua itu bisik hati kecilku. Sungguh!
Kalau 2008 yang payah itu berjaya aku lalui dan selesaikan apa yang tidak terfikir akalpun, masihkah perlu kuturutkan bisik hati kecil itu? Kalau tahun ini aku berjaya bertatih daripada lumpuh, perlukah aku takut untuk berlari pada 2009?

Kuingin tinggalkan semua kekalutan yang pernah berlaku itu di sini. Di tebing 2008. Di akhir 1430H. Kuingin kuburkan semua sengsara itu di sini. Aku nak jadi orang baru pada 2009. Pada 1430H. Tinggalkan semua duka. Semua benci. Semua derita. Semua luka. Semua rasa. Biarlah hanya di sini. Cukuplah setakat ini. Cukuplah.

Aku masih belum kuat. Dan, aku perlukan kekuatan daripada semua orang. Yakinku masih belum mantap. Aku perlukan keyakinan untuk terus melangkahdaripada kalian. Sudikah kalian berjuang bersama-sama aku?

Jumaat, 8 Ogos 2008

Tentang Dia


Hari ini hari yang istimewa. Hari yang agak sukar untuk ditemu entah berapa lama lagi. Lapan haribulan lapan tahun dua ribu lapan. Singkatnya ditulis begini 080808. Pada tarikh istimewa ini aku dapat petunjuk yang istimewa juga.

Kukenal dia berbelas tahun dahulu. Dia yang terlalu baik. Bersih hatinya, luhur budinya. Ikhlas orangnya. Bertahun-tahun aku kenali dia sebegitu. Berbelas tahun itulah. Dia yang terlalu baik itu malah kenali juga seluruh keluargaku. Hingga akhirnya, kala dia terhalau dari rumah sewa, maka berkongsilah kami satu penginapan.

Orang kata, kalau ingin persahabatan bertahan lebih lama, jangan cuba-cuba untuk tinggal sebumbung. Itu kata orang. Dan kami telah ingkari pesan itu. Dua tahun tinggal bersama. Satu rumah. Saling membantu. Saling muafakat. Saling gembira. Dan selama dua tahun itu, kekagumanku padanya kian bertambah. Kian menebal. Kian semarak. Hanya baiknya yang kutemu sepanjang tempoh itu hinggalah kemudiannya semua itu telah bertukar. Lakonan hidup tak akan mampu diteruskan untuk berkurun lama. Akan tiba suatu masa, sang pelakun akan rasa letih. Akan berehat dari lakonan hidup ini.

Kala Tuhan turunkan ujian, kita tidak sahaja teruji dengan ujian itu. Kita juga belajar bagaimana untuk mengenali insan sekeliling. Dan Tuhan berikan ujian sebegitu, ada masanya buat serlahkan kepada kita siapa manusia di sekeliling kita itu. Itulah yang aku jumpa dari sekian banyak keperitan yang Allah berikan. Dari sekian berat cubaan yang terpaksa kutempuhi biarpun hati bagai tak terdaya lagi menanggung. Berpegangkan “Allah tidak menganiayai hambaNya. Dia hanya uji hambaNya setakat kemampuan diri hamba itu sahaja” lalunya biarpun rasa tak tertanggung, aku tetap juga berdepan. Bersemuka. Tabah dan sabar.

Kesabaran itulah yang menang. Kesabaran itulah gagahkan kaki biarpun sebenarnya tak terheret untuk terus melangkah. Dan Dia bukan sahaja tunjukkan aku jalan yang terbaik untuk hadapinya, pamerkan aku hati budi tiap insan yang kukenal, Lalunya hari ini Dia juga singkapkan satu lagi topeng yang menutupi wajahnya. Terima kasih, Tuhan. Akhirnya…telah kau menangkan hati ini biarpun dunia tetap memandang aku ini BERSALAH. Cukuplah Kau pamerkan di hadapan mataku seorang, tanpa orang lain mengetahuinya. Itupun sudah memadai. Itupun sudah terlebih dari cukup buat kubebat luka ini. Moga kemenangan yang aku seorang sahaja tahu ini menetapkan hatiku agar sentiasa redha atas setiap apa yang berlaku.

Tuhan, lindungilah aku dari kejahatan hatiku sendiri.