Anda Juga Mungkin Berkenan

Rabu, 16 Mei 2018

Terima Kasih, Cikgu


Ambo bukannya sesiapa tanpa cikgu. Gurulah mendidik ambo kenal huruf, tanamkan ambo mana yang betul dan salah, bekalkan ambo semangat juang. Ya, ambo bukan pelajar cemerlang. Ambo hanya pelajar yang berada pada aras paling sederhana. Yang jarang dilihat. Yang bukan cemerlang pencapaian, yang bukan juga corot dan bermasalah disiplin panjat pagar bagai. Tapi, cikgu tetap nampak ambo. Tetap beri semangat untuk sentiasa berjuang. 

Dan kini, ambo berada di sini. Di tempat yang ambo sendiri tidak pernah impikan akan berada. Ditempat yang saing sobat ambo pun tak sangka sama sekali. Di tempat yang cikgu sendiri telan liur tak percaya bila tahunya (ada peristiwanya). Ambo bukan sesiapa cikgu, tapi doa cikgu buatkan ambo berada di sini. Terima kasih, cikgu!

Terima Kasih Cikgu



Ambo tak masuk ke tadika, terus ke darjah satu dengan naif. Orang lain dah pandai baca mengira, tapi ambo…hanya pandai conteng-conteng. Darjah satulah baru ada pensil sendiri. Baru ada kertas dan buku sendiri. Makanya, orang lain dah membaca laju tapi ambo baru nak kenal huruf. Orang lain dah pandai mendarab ambo baru kenal nombor. Tapi, cikgu tak pernah jemu membantu. Cikgu tetap percaya ambo boleh kejarnya walaupun lambat. Dan ambo, hingga kini perlu usaha lebih berbanding orang lain untuk capai apa yang orang lain mampu dapat dengan mudah. Ya, usaha bezakan ambo dengan pelajar lain kerana peluang lambat ambo dapat.

Terima kasih, cikgu.

Terima Kasih Cikgu versi Najwa Latif Upin Ipin



Di sekolah menengah, ambo memang lemah dalam matematik. Matematik Tambahan hanya sekali lulus. Penat cikgu terang bagi faham tapi ambo tak faham-faham juga. Ambo yang putus asa, tapi cikgu tetap semangat buat kelas tambahan percuma. Cikgu sentiasa semangat mengajar, bagi latihan macam-macam, bagi perangsang berapi-rapi. Hingga akhirnya, ambo tetap gagal Matematik Tambahan. Apapun, terima kasih, Cikgu. Ambo kagumi kesungguhan cikgu, dan itulah yang ambo amalkan hingga kini.

Cikgu, setiap jasa dan ilmu cikgu tetap ambo kenang. Tetap ambo ingat. Dan, setiap kali ambo putus asa dan rasa kecewa dengan anak bangsa sendiri, kesungguhan cikgu semualah jadi penguatnya. Jika cikgu dahulu tidak pernah jemu ajar ambo, buat kelas tambahan percuma tanpa minta duit untuk isi minyak petrol pun…patutkah ambo mudah hilang semangat.

Terima kasih cikgu, walaupun berjuta ucap terima kasih itu tak akan cukup untuk membalas segala budi itu. Cikgu, ambo di sini untuk teruskan legasi dan segala pahala yang semua cikgu salurkan selama ini. 

Jom, doakan semua guru di Malaysia sentiasa dirahmati Allah dan diberkati kehidupan. Dan, guru yang pertama dalam hidup setiap kita tentulah seorang ibu. Mek, terima kasih kerana berikan kehidupan kepada kami.