KE MAKAM BONDA ~ USMAN AWANG ~
Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda
Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi
Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap
Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi
Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan
Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan
Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan
~Usman Awang~
Cerita kali ni bukan pasal perjuangan, tapi pasal makam. Errrrr dalam bahasa yang mudah fahamnya dipanggil...kubur. Selain Kuburan Masal Siron yang menempatkan sejumlah 46, 817 mangsa tsunami dalam beberapa kubur yang besar, banyak makam bersejarah yang boleh dikunjungi di Aceh. Di Banda, sendiri kita boleh ke Makam Sultan Iskandar Muda yang terletak berhampiran dengan muzium dan Rumah Aceh.
Makam sultan Iskanadar muda.
Berhampiran dengan muzium ini juga terdapat beberapa makam lain yang terjaga rapi seperti makam Sultan Alaudin Ahmad Syah, Sultan Alaudin Johan Syah, Sultan Alaudin Mohd Daud Syah, Pocut Muhammad (keturunan Tun Sri Lanang) dan lain-lain lagi. Makam Iskandar Thani, menantu Sultan Iskandar Muda. Letaknya berhampiran dengan Taman Sari Gunongan yang diperbuat khas sebagai tanda kasih sayangnya Sultan Iskandar Muda kepada Puteri Kamariah (Puteri Pahang).
Taman Sari Gunongan
Makam Tun Sri Lanang, letaknya berhampiran Batee Iliek, Samalanga. Gambar kurang memuaskan kerana kami tiba di sini pada waktu maghrib. Selepas solat maghrib kami ke kuburan ini dan snap gambar istana Tun Sri Lanang yang masih lagi dijaga rapi kini.
Biarpun hanya melihat makamnya sahaja, namun keakraban kita dengan sejarah mereka buatkan hati terasa bangga juga mampu sampai ke tempat persemadian mereka. Orang kata, di mana-mana tempatpun boleh sedekahkan bacaan ayat-ayat suci kepada orang yang dah pergi, namun di sisi makamnya...erti itu sangat berbeza. Percayalah!