Pertama kali datang, aku berpeluang melihat “sisa” upacara perkahwinan. Kami terlambat untuk melihat seluruh upacara, ketika sampai, acara sudah usai. Nasib baik khemah belum lagi ditumbangkan, kerana tuan rumah akan mengadakan satu lagi kenduri perkahwinan keesokan harinya. Walaupun hanya sempat melihat “sisa” sebuah upacara terkandung budaya dan cara hidup setempat, paling kurang bertambah sedikit lagi koleksi pengetahuan dan budaya mereka. Hidup tak boleh tamak, jadi...bila ditakdirkan hanya sebanyak itu sahaja ilmunya yang kami perolehi, syukor tetap juga ada. Hanya mudah-mudahan, pada masa yang lain aku mengharapkan dapat menyaksikan keseluruhan upacara terbabit.
Aku tidak pernah menyangka sama sekali yang kami berpeluang untuk menyaksikan upacara besar tersebut (Maulid Akhbar). Bila Pak Sani khabarkannya semasa kami tiba, hati terpercik ria. Paling tidak, sebahagian kecil daripadanya dapat kami saksikan, kalaupun tidak secara keseluruhan.
Acara Maulid Akhbar ini berlangsung sepanjang hari Ahad, 16hb Mei 2010, bertempat di Perkarangan Masjid Baitul Rahman, Banda Aceh. Awalnya, aku ingatkan sambutannya hanya separuh hari atau beberapa jam sahaja (macam sambutan di Malaysia), rupanya sambutan itu bermula jam 10 pagi hingga jam 11 malam (jam 12 tengah malam waktu Malaysia). Bayangkanlah!
Pagi-pagi Ahad itu, kami sarapan di hotel. Disebabkan hari masih awal, kami ambil keputusan untuk ke Lampuloo melihat kapal yang tersangkut di atas bumbung rumah itu. Kedatanganku pada kali pertama hari itu tidak berpeluang untuk ke sini, jadi sangat teruja untuk pergi tengok. Kami gunakan teksi bermotor dengan tambang sebanyak RP15 ribu. Lebih kurang RM5 untuk perjalanan pergi balik dari hotel. Sampai di sana, kami terserempak dengan dua orang rakan yang lain. Setelah itu kami ke Lapangan Blang melihat pesawat dan ke kawasan masjid Baitulrahman jam sepuluh lebih kurang.
Perkarangan masjid memang sudah dipenuhi ramai orang ketika itu. Teksi bermotor itu pula berhenti di sisi pintu yang menjadi laluan ketibaan para dif kehormat. Bukan salah aku kalau tercangak-cangak dan jakun sebegitu sekali di pintu utama. Tak kesahlah nampak macam rusa masuk kampong pun. Apa nak buatkan, memang masuk kampong orang. Tak tahu pun adat istiadat orang. Apalagi kalau orangnya adalah “Aku”...redah ajelah asal tak jatuh hukum “haram”. Asal tidak terpesong akidah.
Suasana di perkarangan masjid Baitulrahman
Ada sesiapa kenal siapa gerangannya ini? Aku tak kenal...
Masuk sahaja kawasan masjid, hati memang berbunga-bunga bak ada taman yang terhias, penuh dengan rama-rama berterbangan. Siap dengan kuntum bunga sedang kembang dan mewangi. Gembira sangat. Rasa macam tak cukup saja ada satu kamera. Setiap sudut nak ambil gambar, setiap arah nak hala kamera. Nasib baik masih sempat lagi bertatasusila di khalayak ramai hu huhu kalaulah keterujaan itu tak terbendung dan aku tetiba jadi terlebih aksi pula, mmmm alangkah!
Mungkin kerana terlalu teruja, kami sangat kusyuk dan tawaduk mengambil gambar. Melihat perjalanan majlis, menyaksikan ramai orang...kalau dalam hikayat lama-lama tu akan tertulis “yang buta datang berpimpin, yang kekcok (hu huhu) datang berpimpin, yang tuli memasang meriam, yang buta bla bla bla..” hingga tidak sedar banyak mata yang memandang. Entahkan mereka hairan, entahkan mereka pelik dengan kehadiran dua orang minah yang nampak benar jakunnya.
Aku masuk hingga ke khemah. Melihat dan mengambil gambar “idang Molid” yang pelbagai rupa, bentuk dan sangat kreatif buatannya. Dikatakan terdapat lebih dua puluh kabupaten/kota terlibat, antaranya Bener Meriah, Aceh Tengah, Gayo Lues, Aceh Tenggara, Kota Subbulusalam, Langsa, Sigli, dan Singkil menyertai acara ini, termasuk juga badan tertentu seperti BRA (Badan Reintegrasi-Damai Aceh). Sila jernihkan minda anda ya...kiranya nama itu buatkan kepala anda berjerebu. Setiap kabupaten akan menyiapkan satu idang mereka sendiri. Sebahagian besar daripadanya berbentuk rumah. Awalnya aku tidak mengetahui apa yang diisi dalam replika rumah Aceh berkenaan, namun setelah diteliti barulah aku memahaminya bahawa di dalam replika rumah Aceh berkenaan terisi hidangan makan tengahari mereka yang akan dimakan secara beramai-ramai nanti. Sesetengah kabupaten pula meletakkan sepasang pengantin (model) sebagai antara daya tarikan utama. Mereka akan dihias dan mengenakan busana pengantin yang lengkap. Ada antara ahlinya juga akan mengenakan busana rasmi mereka yang sangat unik.
”Idang Molid” ini disediakan dalam bentuk yang indah. Idang itu dihias sedemikian rupa dengan bermotif Aceh. Ada yang dimasukkan ke dalam miniatur rumah adat Aceh (Rumhoh Aceh) atau perahu dan ditutup dengan kain songket khas Aceh, berwarna kuning emas, dipenuhi dengan manik dan hiasan. Isi idang ini pula terdiri daripada nasi yang sudah dibungkus dengan daun pisang, aneka lauk dan menu khas Aceh seperti ayam tangkap, keumamah (entah macam mana rupanya), kuah daging dan lainnya. Juga terdapat pelbagai jenis buah-buahan dan sirih, pencuci mulut khas Serambi Mekkah. Satu idang cukup untuk sepuluh orang. Makanan ini akan dijamah bersama-sama. Tidak ada kelas kasta di sana, kaya miskin sama saja ikut menikmati dengan penuh keakraban bersama anak yatim.
Sepanjang kegiatan subversif kami mengendap dan ambil gambar di kawasan khemah ini, kami mendapat kerjasama yang sangat baik. Mereka memberi ruang yang sebolehnya kepada kami hingga satu saat, aku terfikirkan sesuatu. “kenapa hanya lelaki sahaja di khemah ini?”
Tempat VIP menikmati "Idang Molod"
Saat aku memanjangkan leher, menjenguk ke khemah satu lagi, barulah jelas dalam kepala otak aku yang berjerebu ini, bahawa kami sebenarnya sedang menggeledah khemah yang menempatkan golongan lelaki. Bayangkanlah, hanya kami berdua sahaja perempuan, lainnya adalah lelaki sama ada warga emas, dewasa, atau anak teruna yang hensem bak Parameswara (parameswara tu hensem ke? Ada sesiapa pernah jumpa dia tak?).
Akhirnya, aku bisikkan pada Cik Bintang tentang hal itu. Dia juga terpinga-pinga, tak sangka akan sesat ke khemah lelaki. Kalau kami tahu awal-awal lagi, taklah sebegitu berani kami skodeng setiap sudut. Apapun, masa kami tahu itu, kami dah ambil sebahagian besar gambar-gambar di sana. Kira macam taklah menyesal sangatkan tahu pada saat dah nak akhir hu hu hu, kalau tahu lebih awal, mesti tak banyak gambar sempat aku rakamkan. Dah tentu akan rasa canggung dan segan jugak.
Di khemah wanita, suasana tidak semeriah di khemah lelaki. Hanya ada beberapa “idang Molid” sahaja ada. Jadi, kami sebenarnya lebih banyak berlegar-legar di tengah-tengah antara dua khemah berkenaan. Melihat dan tangkap gambar dengan pelbagai kerenah pengunjung yang datang terutama kanak-kanak. Keletah kami sering mencuri pandangan banyak mata. Setelah diselidik dari Ros (isteri Pak Sani), barulah kami sedar kepelikan kami.
Pertama pakaian kami memang nampak berbeza dengan mereka walaupun aku bukanlah pakai baju angkasawan macam datok SMS itu (Syeikh Muzaphar Syukor). Namun, pakaian itu telah menyatakan bahawa kami bukannya orang tempatan. Apalagi Cik Bintang, dia kenakan baju T lengan panjang dan jeans. Polis Indonesia boleh menahan sesiapa sahaja yang memakai baju yang singkat (macam baju T) dan jeans serta dikenakan denda kepada sesiapa yang mengenakannya di khalayak ramai. Kepada pelancong seperti kami, kami tidak tahu adakah undang-undang ini turut termaktub. Aku pernah baca tentang hal ini dahulu, tetapi terlupa langsung saat ke sana. Namun, apa yang pasti, setiap pelancong asing dari Eropah, memakai skirt labuh dan mengenakan tudung. Mereka nampak menawan bila sebegitu.
Cara kami berpakaian memang memberitahu bahawa kami bukan orang tempatan. Walaupun kami tidak mengenakan baju kurung, namun cara kami berpakaian dan bertudung ada bezanya dengan mereka. Aku juga nampak kelibat satu keluarga dari Malaysia turut berada di majlis tersebut. Namun, wanita dalam keluarga itu berbaju kurung dan bertudung seperti orang Malaysia yang lain.
Berikut adalah isu pakaian di Aceh yang aku jumpa dalam akhbar setelah menyedari khilafnya diri di tempat orang. Namun, semua ini aku teliti setelah kembali dari Tanah Renchong itu. Apapun, masih belum terlambat untuk berkongsi dengan anda semua;
Polis agama diberi 20,000 skirt
MEULABOH, Indonesia - Polis Islam di Aceh akan menerima 20,000 skirt panjang untuk diberikan kepada wanita yang melanggar etika pakaian Muslim, kata seorang pegawai, Ramli Mansur semalam.
"Mulai hari ini, saya akan menyerahkan kira-kira 20,000 skirt kepada polis syariah di Aceh Barat," katanya yang merupakan Ketua Daerah Aceh Barat. Menurutnya, pesalah-pesalah wanita akan menukar seluar panjang dengan skirt panjang dan longgar jika polis syariah menangkap mereka. Mansur berkata, pada suatu hari, dia terpaksa menjawab soalan daripada Tuhan apakah yang telah dilakukannya untuk menguatkuasakan undang-undang Islam.
"Kami akan meningkatkan serbuan terhadap pesalah undang-undang syariah di sini. Tuhan akan bertanya kepada saya untuk bertanggungjawab terhadap apa yang telah saya lakukan semasa saya berkhidmat di Aceh Barat," katanya. Polis pencegah maksiat semalam menyoal 30 wanita mengenai pakaian yang dipakai mereka di sebuah kampung di Aceh Barat semalam.
"Apakah silapnya dengan pakaian saya? Undang-undang manakah yang telah saya langgar? Adakah saya seorang pengganas yang menyebabkan saya diminta menunjukkan kad pengenalan saya?" kata seorang wanita berumur 40 tahun, Fatima yang ditahan oleh polis agama. Namun, protesnya tidak didengari dan dia menutup seluar jeannya dengan skirt yang dibawa dari rumah.
Polis agama itu tidak mempunyai kuasa untuk menangkap wanita kerana melanggar etika pakaian tetapi mereka diminta menukar pakaian yang tidak sesuai dengan ciri-ciri Islam. - AFP
Jangan Pernah Berpakaian Ketat dan Jeans di Aceh Barat
Laporan: Tribunnews.com
Jumat, 21 Mei 2010 18:28 WITA
MEULABOH, TRIBUN-TIMUR.COM - Pemerintah Kabupaten (Pemkab) Aceh Barat resmi menerapkan larangan pemakaian busana ketat yang tak sesuai dengan ajaran Islam. Setiap muslimah di kabupaten itu tak lagi diperbolehkan memakai celana ketat dan celana jins. Semua muslimah wajib mengenakan rok yang sopan dan tidak tembus pandang.
(Irham)
Undang-undang Syariah di Aceh
BANDA ACEH 14 Jan. – Suasana damai berjalan seperti biasa di mana kawasan pantai, anak kecil bermain ombak, gadis-gadis sunti bersembang di pantai yang berpasir dan muzik kedengaran dari corong radio daripada sekumpulan budak lelaki. Namun, pantai terletak di Banda Aceh ini, merupakan satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang Syariah sebagai kod perundangan dan keadaan menjadi tegang apabila anggota polis tiba dengan trak pikap. Unit polis yang dipanggil ‘Wilayatul Hisbah’ ini menjalankan rondaan untuk mencegah aktiviti maksiat pasangan belum berkahwin, wanita Islam tidak bertudung atau memakai pakaian ketat, serta mereka yang minum arak atau berjudi.
Dalam keramaian di pantai, sentiasa ada pasangan duduk berdua-duaan walaupun tidak terlalu dekat, namun masih menjadi sasaran polis Syariah.
“Kamu masih belum berkahwin, kamu tidak boleh berdua-duaan di sini. Balik sekarang,” kata seorang polis kepada pasangan yang kemudian berjalan dalam kekecewaan ke tempat letak kenderaan. Remaja perempuan yang memakai seluar ketat juga turut tidak terlepas daripada menerima tindakan.
“Kamu sepatutnya malu berpakaian begini. Balik ke rumah dan tukar pakaian kepada pakaian yang lebih sopan,” kata seorang pegawai lain kepada dua gadis berseluar jeans. Indonesia merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia, namun Aceh adalah wilayah yang paling kuat melaksanakan undang-undang Syariah, selari dengan gelarannya sebagai ‘Serambi Mekah’ kerana ia merupakan wilayah pertama di rantau ini menerima Islam. Aceh mendapat hak menggunakan undang-undang Syariah sebagai sebahagian daripada perjanjian autonomi yang ditandatangani pada 2002 yang bertujuan menamatkan konflik antara pemisah Islam dengan tentera Indonesia yang telah meragut beribu-rubu nyawa. Seramai 160,000 maut dalam tragedi tsunami Lautan Hindi pada 2004, yang membuka jalan ke arah perdamaian antara kedua-dua pihak serta kemasukan berbilion dolar bantuan asing.
Kedua, kami memang terlihat jakun. Menurut Ros juga, kaum wanita di Aceh tidak begitu menonjol dalam acara di khalayak ramai sebegini. Bila difikirkan semula, aku memang menyedari tentang hal itu. Di kalangan pengunjung pada hari tersebut, aku hanya melihat seorang sahaja jurufoto wanita yang hadir (tidak termasuk kami), dan dia memang tidak begitu menonjol dok pi mai pi mai merata, terjah sana sini dan tampil dengan penuh gaya tanpa hiraukan pandangan ramai. Ada kami kesah?
Ketiga, cara kami berada dalam majlis juga berbeza. Kami melilau dan skodeng ke mana sahaja ikut sedap kami. Kami pergi tengok dan belek apa yang kami nak tahu, sedangkan wanita Aceh sejati, sangat menjaga susila itu. Sebahagian besar peranan dalam masyarakat mereka masih lagi dipikul oleh kaum lelaki, jadi...mereka bolehlah jadi tuan puteri yang akan dilayan sebagai golongan yang lemah lembut dan mudah reput tulang belulangnya (mohon ampun andai statment ini bernada sinis atau prejudis). Aku hanya cemburukan wanita Aceh yang sangat beruntung itu. Tetiba sahaja aku teringin untuk jadi wanita yang lemah lembut dan sopan santun sebegitu, agaknya, berapa lama aku mampu bertahan? Kalau seharipun dah bersyukur sangat. Mana betah aku hanya memandang seandainya tenaga dan tindakan aku sangat diperlukan untuk meringankan beban. Kalaupun aku kalah dengan cuaca panas, tidak bermakna aku ini puteri lilin yang akan cair andai tidak dilayan dek mana-mana dayang. Kalau mampu lakukan sendiri, untuk apa perlu harapkan orang lain?
Pentas Utama terletak di bahagian hadapan masjid Baitulrahman. Satu khemah kecil di sediakan di sini, sementara di sisinya adalah khemah vip yang akan menempatkan tetamu vip yang akan makan bersama-sama nanti. Makanan yang disediakan juga adalah makanan idang dan mereka juga akan duduk bersila beramai-ramai di bawah khemah ini untuk makan tengahari selepas solat zohor nanti. Kononnya sebagai simbol persamaan nilai tanpa mengira kedudukan, pangkat atau harta.
Di pentas utama pula, acara tidak pernah berhenti. Sesekali pula diselang seli dengan pengumuman kepada hadirin. Bacaan ayat-ayat suci al-qur’an, nasyid, berselawat, ceramah agama, berzanji dan sebagainya berlangsung tanpa henti. sambutan Maulid tidak hanya meriah pada waktu siang hari sahaja. Pada waktu malam, aktiviti keagamaan seperti ceramah agama diadakan sehingga lewat malam. Sehingga mata kami terlelap pada rmalamnya, jelas terdengar ceramah agama menembusi kamar hotel penginapan. Dalam majlis maulid ini juga, anak-anak yatim dan miskin serta golongan tidak berkeupayaan akan menerima sumbangan dan diraikan.
Berikut adalah tulisan yang disiarkan dalam akhbar di seberang selat sana berkaitan Maulid Akhbar ini untuk tatapan ada. Moga-moga boleh tambah pengetahuan ya...
Kamis, 6 Mei 2010 10:29
BANDA ACEH -Wakil Gubernur Muhammad Nazar menyatakan, Pemerintah Aceh akan kembali menghidupkan tradisi Maulid Akbar yang telah lama tenggelam akibat konflik. Pada tahun ini, perhelatan akbar tersebut akan digelar pada 16 Mei 2010 dengan menghadirkan Menteri Pertanian (Mentan) Republik Indonesia Suwono sebagai penceramah.
Mentan Penceramah Maulid Akbar
Ribuan Warga Hadiri Maulid Akbar
Oleh: Atayya Alazkia - 16/05/2010 - 12:17 WIB
BANDA ACEH ACEHKITA.COM – Ribuan warga Aceh memadati halaman Mesjid Raya Banda Aceh untuk menghadiri maulid akbar diadakan Pemerintah Aceh, Minggu (16/5). Azman Ismail, ketua panitia, mengatakan, acara ini untuk memperingati hari lahir Nabi Muhammad SAW. “Ini bagian dari tradisi Aceh,” katanya. Warga yang hadir berkumpul di bawah tenda-tenda dan mereka akan makan bersama selepas salat zuhur nanti. Ratusan anak yatim mengikuti maulid akbar.
Dalam acara, Wakil Gubernur Aceh Muhammad Nazar serta jajaran Muspida, ulama kharismatik seperti Abu Usman Kuta Krueng, Abu Adnan Mahmud Bakongan ikut hadir. Pemerintah Aceh memberi sumbangan kepada anak anak yatim di sela acara.
30 Ribu Undangan Hadiri Maulid Akbar
BANDA ACEH - Sebanyak 30 ribu undangan dipastikan hadir pada perayaan maulid akbar yang akan dilaksanakan di Kompleks Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, Minggu (16/5). Acara itu juga dihadiri bupati/wali kota dan anggota DPRK se Aceh. Dalam kegiatan akbar ini, panitia juga akan menyantuni 500 anak yatim, fakir miskin, dan anak jalanan yang ada di Banda Aceh dan Aceh Besar.Hal itu disampaikan Sekretaris Panitia Pelaksana Maulid Akbar, Syaiba Ibrahim, dalam konferensi pers, Kamis (13/5) sore.
"IDANG MEULAPEEH" TRADISI MAULID ALA ACEH
Oleh Azhari Beberapa pria membawa hidangan memasuki halaman meunasah (mushalla) di kampung-kampung di Aceh, setelah pemuka masyarakat mengumumkan lewat pengeras suara bahwa acara kenduri segera dimulai. Hidangan yang dibawa dari rumah masing-masing itu diatur memanjang dan berbaris di dalam dan halaman meunasah dibawah komando pemuka masyarakat desa. Sementara beberapa pemuda yang ada di dalam meunasah terus membaca shalawat nabi atau berzanji yang dalam bahasa Aceh disebut "Likee Maulod".
Masa tengah ambil gambar dengan meriah, tiba-tiba sahaja muncul model sukarela ini
Penulis Berpetualang Ke Aceh menceritakan tentang sambutan maulidur rasul di Masjid Nurin Niswah, di Perlak kat sini. Beliau banyak pengalaman pengembaraan di Aceh. Sesiapa yang berminat untuk mengetahui tentang Aceh dengan lebih mendalam bolehlah lawati blog beliau iaitu Berpetualang ke Aceh, Catatan Si Merah Silu dan Seni Lama Melayu... (Malay Olden Art).
Hanya itu sahaja sedikit sebanyak dapat dikongsikan tentang sambutan Maulid Akhbar yang sempat aku saksikan di perkarangan masjid Baitulrahman. Memandangkan upacata molid ini sangat panjang, iaitu sehari suntuk santak hingga ke tengah malam, kami hanya berada di sana untuk beberapa jam sahaja, sekadar mengambil mood maulud dan melihat sambutan serta cara melangsungkannya. Semua gambar-gambar yang dipaparkan adalah gambar original yang kami ambil sendiri dengan hakcipta terpelihara.
Kalaupun catatan ini masih kekurangan segala info kerana kami tidak mampu mencari orang yang tepat untuk bercerita tentang sambutan ini, paling kurang kita mengetahuinya serba ringkas. Dan kami yang mengalaminya, biarpun hanya sekelumit yang kami tahu, namun pengalaman itu sangat berharga. Lantaran itu, aku kongsikannya di sini. Kiranya ada tulisan lain berkaitan di tulis oleh orang lain, aku akan cuba untuk menambahnya di sini sebagai satu bentuk koleksi bahan bacaan yang akan melengkapkan catatan ini.
Sebagai penutup perjalanan ke Aceh untuk kali kedua ini, aku tampalkan beberapa keping gambar yang ingin aku kongsi bersama, tetapi malas nak tulis dalam entri yang berasingan kerana sangat ringkas.
Banyak persamaan antara Aceh dan Malaysia. Mereka juga punya kuih tradisional yang sama macam kita.
Kuih sepit
Kuih karah/karas
Buah Celagi yang dah dikomersialkan. Cantik kan?
Dodol Aceh...siap potong dah. Tinggal makan sahaja!
Murtabak. Semuanya telur. Rasa macam sedang ratah telur dadar.
Apokat yang yummy!!!!!
Sawah padi: masih tradisional. Terkenang masa kecik dulu...
Pandangan udara ke bawah...sungai seribu liku
Dalam entri lepas, saya terlupa nak letak gambar ini; keunikan pintu rumah Aceh. Beginilah rupanya pintu rumah Aceh yang tradisi, kita tak akan jumpa pintu rumahnya seperti rumah kita kerana pintunya terletak di lantai. Hanya rumah tradisi sahaja ya, yang moden dah macam pintu rumah orang lain juga.
Setelah menjejakkan kaki ke bumi Naggoroe Atjeh kali ke dua, aku dapati ada banyak keserasian yang ada di sini. Masyarakatnya, makanannya, sejarahnya dan entah berapa banyak nya lagi yang ada. Aku sangat teruja andai boleh ke sana lagi dan menjelajah tiap ceruk bumi ini. Terlalu banyak tinggalan akar leluhur dan budaya Melayu yang tersimpan di sini, yang ada masanya masyarakat tempatan juga tidak mengetahuinya.
Pada hari-hari biasa, masjid menjadi kelas untuk anak-anak mengaji
Disember nanti, dua orang daripada kumpulan kami itu akan ke sana semula dan memulakan kembara dari Medan, menjelajah dengan terperinci tiap buminya termasuk ke Pulau Kampai. Pulau ini dikatakan sangat unik kerana masyarakatnya masih lagi bertutur dalam dialek Kedah, mengamalkan cara hidup seperti masyarakat Kedah dan sebagainya. Mereka akan bermalam dan mencari akar serta jalur Melayu disetiap kabupaten seperti Langsa, Lhoeksamawee, Sigli, Pidie, Samudera Pasai, hingga akhirnya sampai ke Aceh. Jaraknya melebihi 500km. Alangkah seronoknya andai aku berkesempatan bergabung bersama mereka. Namun, hatiku mengatakan peluang itu sangat tipis sekali memandangkan semua kos berkenaan perlu ditanggung sendiri. Dengan pelbagai tempat yang aku jelajah pada tahun ini, termasuk dua kali ke Aceh, Kuching, akan ke Miri dan Pulau Pinang pada Julai nanti, kemungkinan untuk menyertai mereka sangat tipis. Teruja ini biarkan aku kurungkan dalam diri sahaja, kecuali ada sesiapa nak taja pengembaraan berkenaan. Tidak perlu banyak sangat, dalam RP3-4 juta pun dah lebih dari cukup. Aku tak perlu sangat untuk beli belah cenderamata. Pengalaman dan ilmu yang diperoleh lebih mahal dari itu. ZeqZeq nak taja tak? Jommmlah! Jommmmlah!