Isnin, 4 Mei 2009

Jiran Depan Rumah

Selamat Hari Pekerja.
Setelah dua hari tidak ke pejabat, pada petang hari pekerja ini, aku pergi pula. Hanya untuk print kerjaku yang telah siap 70 peratus. Sepatutnya kerja tu aku hantar semalam, akhir bulan April. Hingga pagi 1 Mei, belum lagi siap sepenuhnya. Belum lagi digilap. Belum juga aku puas hati untuk dihantar. Kerana itu aku print dahulu untuk dibaca dan ubahsuai semula malamnya.

Tika azan Isyak berkumandang dari masjid, aku meredah malam balik ke istanaku di syeksen 8. Singgah seketika di 7E untuk beli roti dan top up. Saat keluar dari 7E, aku selisih dengan jiran depan rumah, tapi dia dah tak kenal aku lagi. Ada apa dengan jiran depan rumah aku tu? Istimewa sangat ke?

Jiran depan rumah aku adalah pasangan suami isteri yang masih muda. Muda kat sini maknanya masih baru mendirikan rumah tangga. Semasa dia melangkah masuk ke rumahnya yang betul-betul bertentangan dengan rumahku itu, anak perempuan sulungnya baru je belajar berdiri. Masih jatuh-jatuh lagi. Sekarang ni budak tu dah tadika. Dah ada adik lelaki yang nakal dan selalu menyakatnya.

Mereka masuk ke rumah baru itu setelah setahun kawasan perumahan ini dibuka. Aku antara orang terawal yang tinggal di sini. Masa belum ramai orang menghuninya, aku dah tanam bunga kertas di hadapan rumah. Jadinya, setelah setahun aku tinggal di sini, barulah rumah idaman mereka siap diubahsuai. Maklumlah, isterinya arkitek, dah tentulah nak rumah idaman mereka seperti yang diimpikan. Jadinya, banyak kali juga dipasang-dibuka dan dipasang kembali yang lain hingga hatinya puas. Sepanjang masa setahun diubahsuai itu, agak jenuhlah kena mop rumah kerana habuk yang ditiup angin. Sepanjang masa slinding door, pintu dan tingkap perlu ditutup agar kapasiti habuk yang menyelinap masuk itu dapat dikurangkan. Selain itu, mengelakkan jadi mangsa intipan pekerja binaan yang tinggal di rumah berkenaan. Mereka ini bukan calang-calang orang. Bukan beranda menjadi tempat lepak, tetapi bumbung. Dari bumbung rumah hadapan, tak mustahilkan mereka boleh nampak apa yang berlaku dalam bilikku (bilik utama). Tak mustahil juga mereka boleh nampak apa yang berlaku dalam bilik air juga kan? Sepanjang setahun itu juga, kami tidak sidai pakaian di luar rumah kerana pakaian yang basah itu amat mudah diselaputi habuk. Kulit juga yang gatal nanti.

Bila kerja ubahsuai rumah itu selesai, kami benar-benar lega. Lega dari habuk. Lega dari bunyi bising. Lega juga dari intipan pekerja Indonesia yang tinggal di situ. Lega juga bila keluarga (ibu dan bapa yang sering melawat pada hujung minggu) yang menginap di situ juga amat ramah. Namun, ada sesuatu yang aneh tentang jiran lelaki depan rumah aku tu.

Aku memang suka tanam pokok walaupun pokok yang aku tanam itu bukanlah naik dengan suburpun. Sebenarnya aku suka hijau. Jadi, nak bagi hijau kawasan rumah kami, aku tanamlah beberapa jenis pokok. Pokok-pokok ini adalah pokok yang senang hidup dan tak susah untuk dijaga. Jadinya, berderetlah pasu bunga di hadapan rumahku dengan kutanam bounggavilla (pelbagai warna, putih, pink terang, pink lembut, oren muda, oren terang), keladi, pokok pandan (masa rajin buat agar-agar atau bubur kacang, boleh ambil je terus kat depan rumah), pokok kunyit (senang nak bakar atau stim ikan), serai (boleh buat tom yam bila-bila masa je), halia, tanduk rusa (dah matipun kedua-duanya. Yang ni paling sayang sebenarnya, tak akan jumpa kat mana-mana lagi walaupun cuba cari yang lain) dan dua langsuyar yang kutanam dalam pasu (sekarang ni langsuyar ni paling sayang sebab hijau, subur, besar dan cantik).

Jadinya, bila ada masa terluang, depan rumahlah aku lepak dengan pokok-pokok ni. Tak kiralah pagi ke, petang ke, dan yang kerapnya waktu malam. Paling malas pun, siram sekali sehari. Dan bunga-bunga itu pula macam tahu je aku suka sangat bila semuanya berbunga. Macam-macam warna. Cantik. Malah, ramai juga yang perlahankan kenderaan bila lalu depan rumah atau pandang rumah kami. Asalnya aku ingat aku yang perasan, tapi situasi itu akan kami lalui bila semua bunga bounggavilla berbunga lebat. Semuanya bunga. Lama kelamaan tekaan itu benar belaka bila ada beberapa orang jiran sebelah menyebelah atau selang beberapa buah rumah dari rumahku memujinya.

Apa kena mengenanya dengan jiran depan rumah aku tu?
Setiap kali aku berada di hadapan rumah sama ada untuk gambur tanah, letak baja, sapu sampah, siram bunga, ataupun cuci kereta (masa tu aku masih ada kereta lagi), maka banyaklah gelagat jiran depan rumah kami itu yang boleh disaksikan.

Masa untuk berada di halaman rumah bersama pokok-pokok itu biasanya tak tentu. Biasanya juga, bukanlah petang atau pagi. Lebih banyak malam sebenarnya. Walau bila waktunya kami (kadangkala ada juga teman serumah turut serta) berada di hadapan rumah, kelibat jiran hadapan rumah kami juga akan ada. Ada-ada sahaja yang akan dilakukannya. Buang sampah. Baiki paip. Siram pokok. Cuci kereta. Basuh kereta. Ada masanya, dia siram hingga ke pokok-pokok di tepi jalan rumahnya.

Kalau memang begitu rutin hariannya, tak kesahlah kan. Namun kerajinannya itu bermusim. Masa kami ada di hadapan rumah sahaja. Kalau kelibat kami dia tak nampak, tak ada apa-apapun yang berlaku. Kami pernah lakukan beberapa ujian untuk mengesahkan anggapan kami itu. Antaranya;

i. Lakukan aktiviti menyiram, membaja dan bersama pokok-pokok di hadapan rumah pada waktu yang berbeza. Jadinya, kami boleh nampak dia akan tercangak-cangak mencari kelibat kami pada waktu biasa kami buat semua itu sebelumnya. Macam mana kami boleh tahu dia mencangak-cangakkan dirinya sendiri tu? Dah tentulah kami intip dia sebalik sliding door kat ruang tamu tanpa dia menyedarinya.

ii. Ada masa, kami menyiram bunga jam 12 tengah malam. Tahu apa jadi? Setelah sepuluh minit menyiram bunga atau basuh kereta di halaman, kami lihat cik abang jiran hadapan rumah kami pun keluar juga pada waktu itu. Baiki paip pada jam 12 tengah malam? Permaisurinya tak perasankah betapa peliknya perangai suami dia?

iii. Ada waktu-waktu yang lain, dia terpaksa siram pokok-pokoknya dua kali dalam jarak masa tak sampai setengah jam pun. Sebabnya? Setelah kami pastikan dia sudah siap menyiram pokok, kami pun keluar siram bunga. Dan dia, lagi sekali siram bunganya.

iv. kami selalu perhatikan rutin hariannya. Jadinya, kami memang boleh agak jam berapa dia akan sampai ke rumah dari tempat kerja. Jadinya, kami akan siram pokok lebih awal. Bila dia balik dari kerja, kami dah siap siram pokok. Asal saja dia buka pintu pagar, kami pula dah siap siram bunga dan buka pintu untuk masuk rumah. Dari sebalik pintu, kami nampak dia tercegat di hadapan rumah sambil bercekak pinggang memandang arah rumah kami. Mukanya...sendiri pikir la manis ke tidak!

Belum cukup lagi bukti? Masih perasankah kami?
Dua tahun keadaan itu berlaku. Semua itu jadi hiburan juga kala tengah stress. Bila kembali semula ke rumah ini setahun kemudian (setelah puting beliung melanda hidup aku), banyak perkara telah berubah. Bunga-bunga bounggavilla yang kutanam kering kontang. Daunpun susah nak tengok, apalagi bunga. Tinggal ranting sahaja. Tanduk rusa yang tergantung di tiang, telah mati dengan rasminya. Pokok langsuyar di pasu juga hanya tinggal akar.

Lebih sebulan masanya barulah semua pokok yang tinggal ranting sahaja di halaman kembali keluar pucuk muda. Ada daun semula. Tanduk rusa yang besar daunnya dan panjang tanduknya itu menjuntai memang tidak dapat diselamatkan lagi. Namun pokok langsuyar itu kembali tumbuh daunnya setelah kusiram tunggul akarnya setiap hari. Kini, daunnya menghijau, besar, subur dan cantik. Kini juga semua pokok-pokok yang ada dalam pasu itu kembali subur dan menghijau.

Satu lagi yang turut alami perubahan; jiran hadapan rumah aku (sekarang ni kawan yang selalu teman aku siram bunga tu dah pindah keluar rumah tu dengan sopan santunnya-setelah kebas barang-barang aku, selamba dak je dia blah! Rasa-rasanya perlu tak aku halalkan?) juga turut telah berubah. Dia tidak lagi keluar baiki paip, pagar rumahnya, atau siram bunga pada waktu yang pelik-pelik. Alhamdulillah. Penyakitnya dah elok. Dah baik. Hanya sekali sekala sahaja penyakit peliknya itu datang semula, iaitu setiap hujung minggu. Nak tahu kenapa? Setiap hujung minggu, adik aku yang comel lote tu (walaupun dah kahwin) akan balik ke rumah aku. Jiran hadapan rumah aku tiba-tiba kembali meroyan kalau tengok adik aku cuci kereta depan rumah. Nasib baik adik ipar aku tak tahu hal tu, kalau tak...apa lagi, perang dunialah!

Dulu-dulu aku tak percaya sangatlah wujudnya situasi sebegini. Orang baik dengan kita sebab apa yang kita ada. Sebabnya, aku selalu saja menerima layanan yang okey-okey aje biar jumpa dengan siapa sahaja. Namun kini, aku mula sedar wujudnya situasi itu. Maklumlah, dahulu aku naik kereta, walaupun taklah hebat sangat kereta aku tu dulu. Sekarang ni, bila merempit Kriss je, barulah aku nampak benda macam tu ada. Barulah sedar yang selama ni orang layan aku dengan baik tu sebab apa yang mereka pandang. Padahal waktu tu aku pakai berserabai macam mak cik cleaner tu jugak pun. Jadi kini, bila aku pakai sebegitu, mengenakan seluar sukan dengan baju T dan kasut sukan juga, orang tak sedarpun wujudnya aku.

Jadinya juga, satu benda aku mula belajar. Belajar berdasarkan pengalaman. Orang kata pengalaman mendewasakan kita. Dah tua bangka macam ni pun masih belum dewasa lagi, nak buat macam mana. Bukan mudah nak dapatkan pengajaran dalam pengalaman. Dah banyak aku belajar daripada musibah yang berlaku. Antaranya adalah tentang keikhlasan bila menerima orang lain. Dulu, aku ingat semua orang gembira menerima aku, berteman dengan aku. Nyatanya tidak. Mereka terima aku sebab apa yang aku ada. Bila semua benda punyaku itu dah tak ada, mereka juga turut lenyap.

Aku sentiasa menerima kata-kata “terima kasih tak terhingga. Tak tahulah nak balas dengan apa. Kalau awak susah nanti, cakaplah...saya akan tolong”, ataupun “hari ni akak susah, bila awak susah nanti akak akan tolong...jangan risau”. Aku memang bodoh, mudah percayakan janji. Sayangnya, bila tiba saat aku perlukan bantuan orang lain, masa itulah aku terkontang kanting sendirian. Janji hanya tinggal janji.

Aku tahu tajuk “Jiran Depan Rumah” memang tak sesuaipun dengan apa yang aku tulis ni. Saja je nak buat gempak. Hidup memang pelik kan?

6 ulasan:

Nursuzry berkata...

uish!! sesuai la tajuk jiran tu. cuma ko selingan kan dengan kisah lain jew.

tapi mmg meroyanla jiran depan ko tu. pelik sungguh perangainya. klu ada dah lama aku sound hehehe

anyss berkata...

Itu kan mainan masa tengah stress. Seronok jugak kalau dapat tengok orang tua meroyan gitu...
Bayangkan apa jadi kalau aku pun sama meroyan dengan dia?

Nak kata hebat, tak la jugak...tapi, takat nak kenal lelaki meroyan ni pengalaman aku dah banyak hu hu hu

Nursuzry berkata...

hahahaha. ko jgn la meroyan dgn dia. x sesuaila.

ko tukan ayu. mana leh wanita ayu meroyan sama hahahaha

anyss berkata...

Isi masa leh la meroyan dengan dia. Kalau nak buat keja tetap...baik tak payah. Ngabihkan boreh je!

azieazah berkata...

Hahaha... tumpang gelak ler mula2 baca...

pastu termenung gak ler..
pengalaman yang adakala seronok untuk dikenang...

anyss berkata...

Dikenang memang seronok Kak Zie, namun...bila fikirkan semula jadi takut. Mintak dijauhkan berlaku pada diri kita dan teman-teman semua...