Memaparkan catatan dengan label teman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label teman. Papar semua catatan

Khamis, 10 Jun 2010

Bila Daku Tidak Di Sini

Masa aku jadi beruang kutub yang bertapa dalam selimut tebal selama 3 hari minggu lepas, Cik Bintang ada kirimkan emel yang comel yang katanya diterima dari rakannya. Jadi, aku tampalkan ajelah kandungan emel chomel berkenaan untuk ditatap oleh lebih ramai orang. Terima kasih ya Cik Bintang...



Assalammualaikum...

Doa ku untuk mu...
dengan nama Allah Yg Maha Pengasih dan Penyayang..


Ya Allah ...
Panjangkanlah umur sahabatku.
Kurniakanlah kesihatan yang baik padanya,
terangi hatinya dengan nur pancaran iman.

Tetapkanlah hatinya,
perluaskanlah rezekinya,
dekatkanlah hatinya kepada kebaikan,
jauhkanlah hatinya kepada kejahatan,
tunaikanlah hajatnya
baik hajat dalam agama,
dunia dan akhirat ...



Ya Muhaimin ...
Jika dia jatuh hati
izinkanlah dia menyentuh hati
seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu
agar tidak terjatuh dia dalam jurang cinta nafsu ...
Jagalah hatinya agar tidak berpaling
daripada melabuhkan hatinya pada hati-Mu.
Jika dia rindu,
rindukanlah dia pada seseorang
yang merindui syahid di jalan-Mu.

Ya Allah ...
Jangan biarkan sahabatku tertatih
dan terjatuh
dalam perjalanan panjang menyeru manusia ke jalan-Mu.
Jika kau halalkan aku merindui sahabatku,
janganlah aku melampaui batas
sehingga melupakan daku pada cinta hakiki,
rindu abadi
dan kasih sejati hanya untuk-Mu.

Ya Allah ...
kurniakanlah sahabatku kesenangan,
ketenangan,
kecemerlangan
dan hidayah dari-Mu
dalam menempuh cabaran
serta liku-liku hidup di dunia
dan di akhirat kelak ... insya-Allah




Aminnnnnnnnnnn.
Aku rasa macam nak bawa dirilah. Sembunyi. Dah penat golek-golek dalam selimut.
Jadinya...kalau tiada apa-apa catatan di sini untuk seketika, usah terlalu hairan. Usah tertunggu-tunggu. Usah ternanti-nanti. Macamlah ada orang tunggu dan nanti sangat aku kemas kini blog ni kan? Perasan je lebih...

Tak kesahlah apapun, aku tetap hargai jua sesiapa yang melintas dan kawad kaki kat sini walaupun blog ini taklah seberapa pun. Tak juga popular. Jauh sekali menjadi serbuan ramai. Hanya sekadar blog perasan sesorang saja. Jadinya, kalaulah agak lama aku tidak di sini, daku tetap tinggalkan sesuatu. Manalah tahu...kot-kot ada orang rindu kan ;)

Kepada anda yang setia, jom kita berdendang dengan lagu merdu ni...penuh pengertiankan?

Cerita tentang masa lalu, Cerita tentang kau dan aku. Kini tinggal hanya kenangan, Kau abadi di dalam hatiku...Derita yang mendera kapan akan berakhir? Hanya engkau yang mampu taklukkan hatiku...waduhhhhhhhhh Deritanya!




Dengan perpisahan, kita kan mengerti erti pertemuan...Bila kau rindu padaku, cuba kau pandangi langit malam ini. Bila itu tak cukup, cubalah kau hirup udara pagi...aku di sini


Aku masih di sini...
Masih lagi di sini, biarpun bermula hari ini menyendiri seketika. Seketika sahaja. Tunggulah daku kembali...

Rabu, 6 Mei 2009

Tentang Seorang Sahabat


Tiba-tiba aku terkenangkan dia, seorang sahabat. Sahabat yang pernah hadir dalam hidup aku semasa belajar dahulu. Seorang sahabat yang mengajar aku erti kejujuran dalam persahabatan.

Dia memang baik. Baik sangat. Walaupun kami berlainan jantina dan agak berbeza tone kulit (aku perempuan, dia lelaki. Aku berkulit sawa matang, manakala dia lebih cerah dan putih. Aku sering katakan kepadanya yang kami tak ubah macam tahi cicak. Hitam dan putih) namun keakraban dan persefahaman kami memang tidak dapat dinafikan.

Dia sering ceritakan tentang dirinya. Hidup bersama datuk dan nenek setelah ibu bapanya berpisah. Sentiasa tersisih, terkurang kasih sayang. Namun aku akui, dia memang sangat baik. Hingga kini, aku tak jumpa seseorang yang lain sebaiknya. Tak pernah jumpa lagi selepas itu.

Ada yang anggap kami pasangan kekasih. Ada juga yang anggap akulah orang ke tiga berlakunya perpisahan antara dia dan kekasih hati kesayangannya itu. Itupun aku tahu setelah habis belajar. Setelah dah kerja bertahun-tahun pun. Dan aku, terkedu seketika. Tak pernah terfikirpun tentang itu kerana dalam kepalaku telah disetkan bahawa dia “sahabat” aku dunia akhirat. Dan dia juga sering nyatakan begitu.

Lagi pula, semasa dia couple dengan seorang junior kami, aku juga sedang couple dengan orang lain. Namun, tidak siapa tahu tentang couple aku itu kerana teman-temanku tidak pernah nampak aku dating pun. Jadi, ramai yang menganggap aku ni pelajar yang “tak laku”. Maklumlah, masa belajar dulu, aku ni agak “skima” sedikit menurut pendapat teman-teman.

Aku kenal rakan couple sahabatku itu kerana kami bernaung di bawah dua persatuan yang sama. Baik orangnya. Cantik. Sopan. Malah, segala-galanya ada. Dia memang ada pakage yang lengkap. Bila dengar yang sahabat baikku itu mula nak bercouple dengan si junior lawa itu, aku bertemu dengannya secara personal. Hari tu kami ke Kajang dan makan sate kajang. Tak pernah lagi aku keluar secara bersendirian dengannya. Berdua. Itulah pertama kalinya. Biasanya, kalau kami makan, kami akan makan secara ramai-ramai di kafetaria. Masa makan sate Kajang itulah aku tanyakan dia, betul ke tidak hal itu. Dan dia mengiakannya. Dia beritahu aku yang dia memang benar-benar sayangkan junior itu. Aku sendiri dapat rasakan kesungguhannya itu. Aku dapat lihat pada raut wajahnya.

Dan hari itu, aku katakan kepadanya agar dia sentiasa jaga si junior itu. Jangan lukakan hatinya. Dia perempuan yang baik. Sebelum ini sahabat aku tu selalu ceritakan tentang dia terpaksa mengelak daripada bertemu dan rapat dengan beberapa orang teman seangkatannya. Jadi, aku agak bimbang andai dia sebenarnya hanya nak main-mainkan perempuan itu saja.

Semua itu berlangsung dengan indah selama dua tahun. Junior itu memang tahu keakraban kami. Dia juga tahu yang aku juga sudah punya pacar, namun tidak siapa antara mereka tahu siapa orangnya. Hanya beberapa orang sahaja yang tahu hal itu. Aku juga tidak cuba untuk kenalkan pacarku itu dengannya atau teman-teman persatuan yang lain. Kalau ikutkan lagu Siti Nurhaliza, “biarlah rahsia”!

Kata orang, langit tidak selalu terang. Dia yang terlalu baik itu akhirnya terhempas hatinya. Pecah serpih. Pada masa itu dia tengah praktikal. Kegusaran, kecelaruan buatkan setiap hari dia hubungiku termasuklah pada masa cuti panjang. Kekecewaannya yang besar itu buatkan dia hilang rasa untuk teruskan perjalanan hidup ini. Dia hilang kawalan diri. Dia putus asa. Dia bagai mayat hidup, hanya sekadar hidup kerana punya nyawa. Dan aku, menjadi sandarannya. Menjadi tempat dia luahkan segala kegalauan hatinya. Akulah pendengar setia kisah dukanya. Segala-galanya. Ketika itu, hanya semangat, pendapat dan kata-kata perangsang sahaja mampu aku berikan.

Ketika dia dihantar bertugas di Sabah pun, dia selalu bazirkan bilnya untuk hubungiku. Hinggalah pada suatu malam, dia tanyakan khabar tentang pacarku. Hanya pada saat itu baru dia tahu yang hatiku juga sedang retak serpih sepertinya tanpa kuceritakan padanya pun.

Sayangnya dia kepada junior kami menyebabkan dia pernah lafazkan “kalaupun suatu hari nanti saya kahwin, dia tetap akan sentiasa hidup dalam hati saya,”. Tak terkata aku saat mendengar katanya itu. Dan aku tak pernah meragui tentang sayangnya yang menggunung itu. Dia memang benar-benar mencintai junior comel itu. Berita paling menyayat hati akhirnya tiba jua. Si junior itu terus berkahwin selepas habis belajar. Jadi suri rumah sepenuh masa. Jadi mangsa dera suaminya yang bergelar “ustaz” itu juga. kasihan! Namun itu jalan yang dipilihnya.

Sekalipun si junior sudah berkahwin dan punya anak, sahabatku itu tak pernah putus harapan. Masih juga menyimpan impian untuk hidup bersama kekasih hatinya. “Kalau dia bercerai, saya masih tetap akan kahwin dengannya” kata sahabatku itu. Aku terkedu. Masihkah dia tidak dapat menerima kenyataan? Setelah aku basuh kepalanya berkali-kali, dia akhirnya mula belajar untuk berdepan dengan kenyataan. Suatu hari, dia menelefonku dan ajak aku kahwin.

Awalnya aku memang terkedu. Tak sangka. Dia lebih segalanya. Wajah boleh tahan. Penampilan segak. Kerja pun okey. Pandai masak. Selalu kemas rumah (sebab tinggal dengan nenek, banyak kerja perlu dilakukan sendiri) Memang dia lelaki idaman setiap wanita. Dia sentiasa tahu apa yang wanita perlukan. Lebih lengkap lagi dengan pengetahuan agamanya. Kalaupun bukan bergelar ustaz, namun, kalau setakat terdesak tak ada imam untuk mengepalai solat Jumaat, dia mampu untuk tampil ke depan. Dia juga sudah diterima dengan baik dalam keluarga kami (dia sebenarnya lelaki impian mek untuk jadi menantunya. Bukan mudah untuk jadi pilihan sebegitu kerana Mek dan Ayah memang cerewet). Tak ada satu kurangnya dia. Memang cukup syarat.

Selama ini dia sahabatku. Dia sahabat terbaik pernah aku ada. Banyak sudut pemikiran kami sama arahnya. Sama pendapat. Sama perkiraan. Biarpun statusnya yang telah diset dalam mindaku hanya sebagai “sahabat”, bila-bila masa sahaja boleh diubah. Asalkan beri masa sahaja. Jadinya, kenapa aku tidak bersetuju sahaja dia jadi suami? Kenapa tak biarkan saja dia hadir dalam hidupku mengelap luka yang dah bernanah itu? Bukankah kami sama-sama parah, jadinya, kenapa tidak saja kami saling merawat luka masing-masing? Bukankah perasaan itu boleh dipupuk?

Aku memang percaya yang perasaan dapat dipupuk. Dibaja. Namun, saat terkenangkan katanya, “kalaupun suatu hari nanti saya kahwin, dia tetap akan sentiasa hidup dalam hati saya,”, hatiku jadi hambar. Jadi tawar. Jadi beku. Maaf, sahabat. Aku tak mampu untuk hidup di sisi orang yang hatinya milik orang lain! Dan dia, hingga kini tidak pernah tahu kenapa aku menolak dia.

Jauh di bawah Bayu, dia berkenalan dengan seorang guru lain berasal dari Kelantan juga. semua kisahnya diceritakan padaku, termasuk bagaimana bakal tunangnya (pada ketika itu) merajuk saat melihat albumnya (kerana terlalu banyak gambarnya bersama aku). Dia cemburukan aku. Bila sahabat terbaikku itu berkata kepada bakal tunangnya “Saya kenal dia dah lebih lima tahun, saya kenal awak tak sampai pun setahun. Kalau diberi pilihan sama ada dia atau awak, saya tentu akan pilih dia sama ada awak suka atau tidak. Kalau awak rasa tak boleh terima dia sebagai sahabat saya, baik tak payah awak terima saya,”. Fuih! Ayat maut tu. Masa aku dengar dia ceritakan semula padaku lewat telefon, aku agak terkedu juga sekejab. Tapi akhirnya aku kata “Kalau saya boleh buat awak dan dia tak aman...saya rela hilang seorang sahabat. Asalkan awak bahagia,”

Hingga tiba saat dia berkahwin, dia sering bercanda denganku. Katanya “Saya tak pasti rombongan pengantin ni nak pergi ke daerah X (kampung halaman isterinya) atau ke Y (rumah akulah tu....). dan aku pula sentiasa memberi keyakinan kepadanya bahawa pilihannya itu adalah pilihan yang tepat. Bakal isterinya itu terlalu sayangkan dia. Jadinya, berkahwinlah dengan orang yang sayangkan kita, bukannya orang yang kita sayang.

Aku tak dapat pergi semasa pesta perkahwinan mereka. Namun aku berkesempatan jumpa mereka semasa out satation di Sabah. Beberapa kali aku jumpa mereka di sana. Bagiku, kami masih lagi akrab seperti sebelum dia kahwin walaupun aku tidak tahu itu betul atau tidak. Setidak-tidaknya itulah yang aku nampak. Setiap kali raya juga, mereka tidak pernah lupa berkunjung ke pondok buruk kami. Keluargaku juga dah kenal baik dengan isteri dan anak-anaknya.

Kini masa dah terlalu lama berlari. Aku sendiri tidak sedar entah dimana kisah kami terhenti. Kali terakhir dia datang kerumahku beraya, dia punya anak dua. Kini, akupun dah tak pasti. Ketika aku sendirian menahan gelombang dalam hidup, aku tercari-cari seseorang yang dapat menjadi tempat kubersandar. Aku terkenangkan dia. Namun aku tahu, dia sekarang tidak sama lagi seperti dia dahulu. Dia sekarang punya isteri dan anak-anak. Punya tanggungjawab yang lebih besar. Jadinya, perlukah aku menempelkan diri?

Aku rindukan dia yang lama. Namun, aku perlu terima hakikat yang kami tidak akan dapat kembali seperti dahulu lagi. Dulu aku pernah kata yang aku sanggup jauh daripadanya andai itu akan membahagiakan dia. Dan kini, inilah saatnya. Inilah yang aku lakukan, walaupun aku sebenarnya...sangat-sangat perlukan dia.

Dia sahabat terbaikku yang pernah aku ada. Dia pernah mencariku dan tinggalkan nombor telefon di kampung( dia memang tahu bagaimna nak cari aku walau ke dunia manapun aku pergi. Keluargaku akan ceritakan apa saja yang berlaku pada aku kerana mereka kenal dan percayakan dia...kalau orang lain, jangan harap mereka boleh berbuat demikian. Mek dan ayah akan tapis setiap panggilan untuk anak-anak dia orang, jadi kalau korang hilang nombor henpon aku, walaupun punya no talian tetap kat kampung, belum tentu kalian akan dapat semula nombor telefon bimbit aku dari sana. Mereka akan katakan tak tahu saja), namun nombor itu aku tidak terima hingga kini. Aku sekadar menulis e-mel untuknya. Dia memang balas, namun nadanya tidak lagi semesra dahulu. Hanya beberapa baris ayat, berbanding dahulu...biar jarak memisahkan kami, setiap peristiwa yang berlaku tetap kami kongsi. Sibukkah dia? Jadinya, biarpun bagaimana perlunya aku akan dia, bukankah langkah terbaik untuk aku adalah GHAIB dari hidupnya? Aku sentiasa mengharapkan dia bahagia.

Ada sesiapa sudi jadi sahabat aku lebih dari dia?


Tulisan ini tidak akan dibaca oleh sahabatku itu, aku cukup pasti. Dia tidak pernah tahupun kewujudan blog ini. Dia juga sudah terlalu lama tidak berkongsi kisah denganku, jadiny...Siapa dia biarlah terus jadi rahsia.

Isnin, 22 September 2008

Seorang Sahabat yang itu...


Lelah mengejar mentari di Alor Star selama 3 hari bagai mendera fizikal. Diri bagai sudah lunyai berlari ke sana sini, mengisi masa terluang di setiap sela detik menunggu dengan membaca sebuah novel berjudul @ Dimensi Buni karya Ryina Ikhwan. Dalam teksi. Di KLIA sementara menunggu waktu perlepasan. Dalam penerbangan yang mengambil masa 55 minit. Di bilik hotel yang suram sambil memanggil rasa kantuk yang enggan berkunjung biarpun lesu fizikal usah dikira. Dan, setiap detik yang terluang sebenarnya. Hingga akhirnya, novel itu, biarpun agak berat untuk dikhatamkan, berjaya jua dihabiskan sepanjang 3 hari yang lelah itu.

Agak lama tidak mendera fizikal sebegitu, stamina diri nyata benar telah menurun. Kembali ke kamar semula, diri bagai terhenyak dan selesa dalam lembut tilam yang sentiasa kuimpikan biar seberapa selesapun hotel berbintang yang kutumpangi. Perbandingannya memang nyata benar, namun rasanya tetap jua di situ. Kamar itu jua yang kuingat. Yang kurindu.

Kala duduk di kerusi pada pagi Isnin yang redup ini, hati terbuai riang menerima email daripada seseorang. Seorang teman yang sudah terlalu lama sebenarnya tidak bertemu mata. Kami kenal, bertemu dan mula berinteraksi sejak sekolah menengah tinggi dahulu. Setelah itu hanya warkah jadi titipan. Kemudiannya, seiring dengan kecanggihan dunia, email pula sering berbalas biarpun kesibukan diri masing-masing banyak membataskan waktu. Namun, dia tetap seorang sahabat yang tak mungkin terlupakan biarpun sudah punya isteri dan anak-anak, punya kesibukan dengan kerjanya sebagai seorang guru.

Diri amat berterima kasih padanya. Sekalipun dengan ragu-ragu, dia menyapaku lewat email awal tahun lalu. Aku cukup berterima kasih dengan keinginannya untuk menyambung semula hubungan kami yang sentiasa tenggelam timbul itu biarpun sebenarnya dia sangat rendah diri. Tahukah dia yang “nilai” seorang kawan itu lebih daripada segala? Tidakkah dia tahu yang aku terlalu gembira dengan sapaannya itu? Tidakkah dia rasakan yang aku terlalu terharu bila dia muncul semula dalam hidupku?

Apa yang kita ada hari ini, bukannya terusan akan dibawa sepanjang hidup. Jika Allah menghendaki kembali apa yang dipinjamkannya pada kita, sesaat masapun sudah cukup untuk melenyapkan segala-galanya. Lalunya, untuk apa perlu dibanggakan segala perhiasan dunia ini. Sahabat, ini bukannya bererti diri membuang nilai dunia, sekadar menyatakan bahawa semuanya hanya bersifat sementara. Ada kala kita memilikinya, ada masa yang lain kita akan kehilangannya. Lalunya, untuk apa untuk rasa kerdil dengan perbezaan darjat dan kedudukan dunia ini sedangkan kita belum tahu lagi apa yang kita ada di alam sana.

Diri ini tetap diri yang dulu. Sahabatmu yang lama itu. Hati masih lagi sebegitu. Jadinya, abaikanlah perhiasan dunia yang Allah anugerahkan dengan nilai kesementaraan ini. Itu hanya nilai yang diberikan manusia. Itu hanya cara untuk membezakan kedudukan di dunia.

Sahabat, teruskanlah perjuangan. Teruskanlah berusaha. Tingkatkan lagi keazaman. Tetapkanlah hati. Dari lelah yang panjang, pasti akan ada hasilnya. Pasti akan membuahkan nilainya. Percayalah pada diri. Percayalah pada naluri. Bakat yang Allah anugerahkan, usah dipersia. Jalan mungkin masih panjang, namun separuhnya telahpun Berjaya diredah. Kalau hati ikhlas dengan apa yang diperjuangkan, suatu masa nanti, tidak akan sia-sia jua. Dari kejauhan ini, daku hanya mendoakan agar kebaikan jua berada di sisimu. Dari jauh ini, daku tidak pernah lupa menitipkan harapan dan doa. Moga dirimu, moga apa yang diperjuangkan, moga apa yang diidamkan akan dicapai jua nanti. insyaAllah.

Selasa, 20 Mei 2008

Sebuah pertemuan Caluk Corner



Mempunyai teman-teman baru yang hanya dikenali secara maya memang pengalaman baru. Apalagi buat aku yang sudah tidak lagi begitu punya kekuatan untuk “menghayati” erti diri kepada orang lain, atau sekurang-kurangnya “menerima” orang lain. Tsunami yang berlaku dalam hidup, bila-bila masa sahaja dapat mengubah nilai dan jati diri yang sekian lama dipupuk. Aneh, bukan?



Namun, mempunyai teman-teman maya yang tidak pernah mengenali latar belakang, pekerjaan, cara hidup malah siapa kita, ada ketikanya mempunyai nilai yang lain pula. Ketika diri dilambung entah taufan mana yang membadai, ketika diri lemas menghadapi satu putaran roda kehidupan yang sebenarnya tak sanggup untuk diterima…rupanya, masih ada lagi insan yang sudi menerima kita seadanya. Tanpa bertanya pun berapa angka pendapatan kita setahun, berapa banyak asset yang kita kumpul, atau berapa ramai boyfriends yang kita ada. Malah, tidak juga mengasingkan kita hanya berdasarkan rupa yang tidaklah semanis mana.



19 Mei 2008 menjadi titik permulaan kearah satu harapan baru. Teman yang hilang boleh berganti rupanya. Biarpun yang hilang dan yang diganti itu tak sama, tidak akan serupa, namun Allah telah berikan daku secebis ria. Allah telah tunjukkan yang alam ini masih luas untuk kuharung dengan usia yang masih seciput ini.



Pertemuan Caluk Corner di Madam Kwans Mid Valey pada tarikh ini memberi sesuatu nilai yang baru. Nilai yang aku sepatutnya berubah. Lebih positif tentang hidup dan melangkahlah dengan yakin seperti mana aku yang dahulu. Alam ini masih luas untuk kuharung. Tanpa keyakinan dahulu itu, laratkah diri untuk berlari kembali? Masa untuk bertatih sudah tamat. Kalaupun lariku tidak sekencang dahulu, mulakanlah larian itu! Hari ini juga, usah bertangguh lagi!



Terima kasih, teman. Menerima diri seadanya biarpun ada insan yang menolakku sejauhnya. Terima kasih semua, memberi aku satu harapan baru. Membawa sinar pelangi yang berwarna warni. Terima kasih, Dina; memberi aku sedikit kekuatan untuk mampir biarpun jauh di sudut hari diri masih belum bersedia melangkah sejauh itu. Terima kasih, Dina; memberi satu ruang untuk kutetapkan langkah kaki yang terasa goyah kebelakangan ini.



Terima kasih teman-teman di Caluk Corner, menyuntik semangat baru biarpun kalian sebenarnya tidak pernah tahu. Mesra yang kalian berikan, canda yang terpamer dan senda yang mengiringi…mengubati keping hati yang terlelas sakit. Terima kasih teman, memberi aku sedikit ruang kepada diri untuk belajar menerima orang lain yang telah kutolak selama ini. Terima kasih memberi aku sedar tentang alam ini terpenuh ceria, bukan hanya air mata dan mimpi ngeri.



Tsunami telah lama berlalu namun kesannya masih tertinggal. Terima kasih teman, menjadi penawar buat kedukaan yang membelenggu diri. Buat semua (Caluk dan keluarga, Hypo dan keluarga, Lieyssa, Pu3imaneisya, Azieazah, Dina, Tina, Gee, Nadia, Kuzin, Nobit, Suzry yang menghadiri gathering di Mid Valey) ataupun yang tidak berpeluang hadir seperti Jieda, Cokek, Soul, dan lain-lain, terima kasih hadirkan ceria itu. Terima kasih kerana bersedia memberi peluang dan ruang. Tiada perkataan yang terindah buat diungkapkan perasaan itu…

Terima kasih untuk segalanya...