Memaparkan catatan dengan label cuti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cuti. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Disember 2011

SENARAI KEMUDAHAN disediakan kepada penjawat awam dalam SBPA






CUTI
Cuti Kerana Perkhidmatan
1. Cuti Rehat
2. Cuti Rehat (APMM)
3. Cuti Separuh Gaji
4. Cuti Tanpa Gaji

Cuti Sebab Perubatan
5. Cuti Sakit
6. Cuti Sakit Lanjutan
7. Cuti Kerantina
8. Cuti Bersalin
9. Cuti Kecederaan
10. Cuti Tibi, Barah dan Kusta
11. Cuti Perubatan Khas

Cuti Tidak Berekod
12. Cuti Gantian
13. Cuti Latihan Pasukan Sukarela
14. Cuti Menghadiri Latihan Atau Khemah Tahunan Pertubuhan/ Persatuan
15. Cuti Lain-lain Kursus:
(i) Kursus Kepimpinan Belia dan Bina Semangat
(ii) Kursus Kesatuan Sekerja
16. Cuti Menghadiri Latihan Syarikat Kerjasama
17. Cuti Untuk Mengambil Peperiksaan
18. Cuti Menghadiri Mesyuarat Persatuan Ikhtisas
19. Cuti Mengambil Bahagian Dalam Olahraga/ Sukan
20. Cuti Tugas Khas Perubatan
21. Cuti Bagi Pegawai Yang Dipilih Untuk Mengambil Bahagian Dalam Lawatan Kebudayaan Dan Pertandingan Bulan Bahasa Kebangsaan

22. Cuti Tanpa Rekod Dan Bergaji Penuh Bagi Menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
23. Cuti Tanpa Rekod Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Menderma Organ
24. Cuti Tanpa Rekod Untuk Menghadiri Mesyuarat Majlis Bersama Kebangsaan Dan Majlis Bersama Jabatan
25. Cuti Isteri Bersalin
26. Cuti Urusan Kematian Ahli Keluarga Terdekat
27. Cuti Tanpa Rekod Untuk Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Dilantik Sebagai Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara
28. Cuti Tanpa Rekod Bagi Tujuan Menghadiri Mahkamah Di Luar Stesen
29. Kemudahan Cuti Kursus Sambilan Kepada Pegawai Yang Mengikuti Pengajian Secara Sambilan Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negara

Cuti-Cuti Lain
30. Cuti Menjaga Anak
31. Cuti Haji
32. Cuti Tanpa Gaji Bagi Pegawai Yang Mengikuti Pasangan Mereka Bertugas Atau Berkursus Di Dalam Atau Luar Negeri
33. Cuti Sabbatikal
34. Cuti Membuat Kerja Penyelidikan
35. Cuti Sambilan
36. Cuti Berkursus
37. Cuti Rehat Selepas Berkursus Lebih 12 Bulan
38. Kebenaran Tidak Hadir Kerja Atas Sebab Kecemasan Am
39. Syarat-Syarat Dan Peraturan Bagi Mendapatkan Cuti Bagi Mengikuti Kursus Luar Kampus Di Malaysia

PERUBATAN
40. Kelayakan Wad
41. Pemeriksaan Kesihatan Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam
42. Rawatan Di Luar Stesen
Rawatan Perubatan
43. Rawatan Untuk Keluarga
44. Rawatan Untuk Ibu Bapa
45. Pembekalan Ubat, Alat, Perkhidmatan Perubatan Dan Rawatan Penyakit Buah Pinggang
46. Rawatan Kemandulan Di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
47. Rawatan Kecemasan Di Klinik/ Hospital Swasta
48. Rawatan Kepakaran di Klinik/ Hospital Swasta
49. Rawatan Di Institut Jantung Negara Sdn. Bhd. (IJNSB)
50. Rawatan Perubatan Di Luar Negeri
51. Sijil Sakit Yang Dikeluarkan Oleh Hospital/ Klinik Di Singapura

Lain-Lain Kemudahan Perubatan
52. Rawatan Perubatan Dan Pergigian Di Hospital/ Klinik Kerajaan Kepada Pegawai Contract For Service
53. Panel Perubatan Di Singapura
54. Pemanjangan Kemudahan Perubatan Kepada Keluarga Bagi Pegawai Bukan Warganegara Yang Dilantik Secara Kontrak

PERUMAHAN
55. Asrama Kerajaan
56. Kediaman Rasmi Penjawat Tinggi Kerajaan
57. Rumah Biasa Kerajaan
58. Rumah Biasa Jabatan
59. Rumah Khas Jabatan
60. Rumah Khas Jawatan

PAKAIAN
61. Bayaran Pakaian Seragam Review Order (SPRM)
62. Bayaran Pakaian Black Tie
63. Bayaran Pakaian Istiadat
64. Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi
65. Peruntukan Bekalan Pakaian Seragam
66. Bayaran Pakaian Panas Bilik Komputer
67. Pembekalan Baju Vest Bagi Penghantar Notis

TAMBANG
68. Tambang Ehsan
69. Tambang Mengiringi Jenazah Kepada Keluarga Pegawai Yang Bertukar Wilayah
70. Tambang Mengunjungi Wilayah Asal
71. Tambang Percuma Balik Ke Kampung (KUP Sabah)
72. Tambang Percuma Ke Sabah dan Semenanjung (KUP Sarawak)
73. Tambang Percuma Ke Kuala Lumpur dan Hong Kong (KUP Sabah)
74. Tambang Percuma Ke Luar Negeri Bagi Gred Utama A Dan Ke Atas, Gred Khas A Serta Yang Setaraf
75. Tambang Percuma Ke Luar Negeri (KUP Peruntukan Perintah Am 37 Bab ‘C’ 1956)
76. Tambang Percuma Ke Luar Negeri (KUP Sarawak)
77. Tambang Percuma Ke Semenanjung Malaysia (KUP Sabah)
78. Tambang Percuma Ke Semenanjung Malaysia (KUP Sarawak)

PINJAMAN
79. Pinjaman Kenderaan
80. Pinjaman Komputer
81. Pinjaman Perumahan

KENDERAAN
82. Kemudahan Kereta Rasmi
83. Kemudahan Pembelian Kereta Rasmi Semasa Bersara Untuk Pegawai Kerajaan Yang Berkhidmat Di Luar Negara

KEMUDAHAN LAIN
84. Bantuan Mengurus Jenazah dan Bayaran Pengangkutan Jenazah
85. Bekalan Elektrik, Air, Gas Bermeter dan Perkhidmatan Pembentungan Percuma
86. Keahlian Kelab Rekreasi dan Sukan
87. Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja
88. Pelepasan Bertugas Rasmi Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Dilantik Sebagai Petugas Lembaga Tabung Haji Di Tanah Suci Semasa Musim Haji
89. Pelepasan Waktu Bekerja Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Menderma Darah
90. Pelepasan Waktu Bekerja Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Menjalankan Tugas Rondaan Di Bawah Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga
91. Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Di Tempat Kerja Sektor Awam
92. Penyeragaman Waktu Bekerja Berperingkat Bagi Semua Agensi Kerajaan Persekutuan Di Negeri-Negeri Yang Hari Rehat Mingguannya Ialah Hari Jumaat
93. Perlindungan Insurans Kesihatan Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Berada Di Luar Negeri Atas Urusan Persendirian
94. Pemanjangan Kemudahan Perlindungan Insurans Kesihatan Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Berkhidmat Di Luar Negara
95. Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Mempunyai Anak Kurang Upaya
96. Sajian Tunai



Khamis, 18 Disember 2008

Cemburu Itu Sayang?




Seseorang telah serahkan sekeping kad undangan perkahwinan yang comel sebagai bukti dua orang sepupunya berkahwin. Cantik tetapi ringkas. Comel juga.

Musim cuti sekolah biasanya jadi musim untuk orang berkahwin. Ada setengah-setengah orang dengan nakalnya menyebut sebagai musim mengawan. Tak kiralah apapun panggilannya, musim cuti sekolah sebegini memang meriah dengan undangan perkahwinan. Sekecil-kecil kenduri dibuat adalah kenduri kesyukuran sempena anak-anak berkhatan.

Bila balik kampung sesekali, bermacam cerita kudengar. Si polan dah kawin. Anak si polan tu baru bertunang. Si A dapat anak lelaki. Anak si B dah pun berkhatan. Anak Minah dapat 5A. Ada macam-macam cerita. Macam-macam berita. Masa inilah telinga banyak mendengar tentang sedara mara, sahabat handai, sepupu sepapat, taulan...

Kata orang cemburu tu tandanya sayang. Itu kata oranglah. Aku hanya salin dan tulis semula kata-kata itu di sini. Persoalannya, benarkah cemburu itu sebagai satu perlambangan rasa kasih sayang?

Raya lepas, masa balik kampung itu, terdengar juga ke telinga kisah seorang sepupuku telah bercerai sebulan sebelum adiknya naik pelamin. Sepupu perempuanku itu cantik orangnya. Tinggi lampai. Putih melepak. Manis senyumnya. Sopan santun. Entah berapa kali lebihnya dia berbanding aku yang kelabu asap dan “muka tak bawa rezeki” ni.

Sehabis pengajian peringkat Sarjana (master) dia berkahwin dengan pujaan hatinya. Berkerja di Kota Bharu sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta. Ikutkan, dengan kerjanya sebegitu, tinggal di KB yang agak rendah kos sara hidup pula, punya anak-anak dan suami tercinta, patutnya hidup dia dah lengkap. Dah sempurna. Dah bahagia. Patutnya. Di dunia ini, banyak perkara yang tidak patut sering terjadi.

Pendidikan tinggi yang diterima bolehkan dia menyandang kerja yang bergaji yang agak lumayan juga. Kerjayanya itu bersifat profesional. Dan dia, perlu bertingkahlaku sedikit profesional walaupun tidaklah sampai perlu kehilahan seperti mak datin.

Malangnya, suami tercinta itu terlalu cemburu bila dia yang comel lote itu berpakaian cantik selayaknya seorang profesional ke pejabat. Cemburu bila dia kenakan lipstik. Cemburu bila dia kenakan busana mengikut peredaran fesyen semasa. Klimak cemburu itu pula tidak sekadar perang mulut yang saling jawab menjawab, namun disusuli dengan sepak terajang, tumbuk menumbuk hingga lebam seluruh badan. Bengkak bengkeng anggaota badan. Entahkan bersilat, entahkan berkungfu. Entah juga karate atau judo.

Mangsanya bukan dia seorang. Anak-anak turut terima tempias. Dapat bahana. Cemburu punya kisah, kasih sayang yang dibina sekian lama punah ranap. Hancur berderai. Meruntuhkan tidak sesukar membina. Tidak sepayah membangunkannya semula.

Antara kerja, anak-anak dan suami tercinta, apa pilihan yang dia ada? Andai berhenti kerja, nanti mahu makan apa? Memang punya suami, namun gaji suami tercinta jauh lebih kecil berbanding gajinya. Berhenti kerja bukanlah pilihan bijak yang dia patut pilih.

Orang kata “ulat dalam batu pun boleh hidup”. Soalnya itu ulat. Ulat tak minum teh tarik yang harganya naik tetapi tidak mahu turun bila harga minyak dah turun. Ulat itu tidak guna pampers untuk anak-anaknya. Ulat itu juga tidak perlukan Astro untuk tengok Akademi Fantasia.

Lalunya, bagaimana pula dengan lebam-lebam dikungfu lelaki tercinta itu? Sekali dua mampu lagi ditahan dengan alasan cinta. Kali ke tiga dan seterusnya, masihkah sabar menahan perit? Kalaupun diri kuat menahan kungfu dan sepak terajang, namun sampaikah hati melihat cahaya mata yang dilahirnya dengan pertaruhan nywa itu diperlakukan begitu juga? Apa salahnya anak-anak itu? Apa dosa mereka? Mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan!


Cerai hanya satu perkataan. Satu makna juga. Namun, entah bagaimana trauma yang perlu ditempuhinya. Ataukah, dia masih lagi tertanya-tanya keputusannya itu benar-benar terbaik untuknya? Ketika seisi keluarga bergembira dengan kedatangan menantu baru, bagaimana isi hatinya?

Hanya dia yang tahu. Hanya dia yang rasa. Kita hanya mampu memandang. Hanya mampu simpati.

Isnin, 24 November 2008

Jatuh Tangga Lagi



Jatuh cinta berkali-kali memang asyik. Pelbagai kata indah mampu dicipta. Ada yang mengatakan “Ketika tangan ini menggenggam tanganmu, Syurga telah jadi milik kita”. Wow! Tiba-tiba sahaja ramai orang mampu menjadi pujangga menghasilkan kata-kata indah tak terduga. Itu semasa jatuh cinta.


Kala jatuh tangga berkali-kali, bagaimana pula?
Agak lama juga blog ini tidak kuupdate. Sebabnya, aku jatuh tangga lagi. Terbolah!


Barangkali ada sesuatu yang tidak kena dengan tangga di pejabatku itu. (Sekadar ayat pernyataan untuk menafikan kecuaian diri. Padahal, bertahun sudah tangga itu berada di situ. Entah berapa banyak sudah kaki memijaknya berkali-kali. Tidak seorang pun yang jatuh kecuali aku. Berkali-kali pula. Di tangga yang sama. Tempat yang serupa.).


Ahad lepas (16 November 2008), seperti kelaziman yang biasa kubuat pada hari minggu kala bosan di rumah, ruang pejabat menjadi hala tuju. Kalaupun tidak lakukan kerja rasmi yang patut disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan, pada hujung minggu sebegitu aku lebih gemar bersantai di pejabat sambil surf internet. Sebabnya bukan sahaja PERCUMA tetapi capaiannya pada hujung minggu sebegitu agak laju benar. Namun pada Ahad tersebut, selain menyiapkan kerja-kerja pejabat yang perlu kukejar tarikh akhirnya, tujuan utamanya lebih kepada update antivirus DELL kesayanganku itu. Maklumlah wifi di UKM boleh dinikmati oleh pelajar secara percuma.


Jadinya, masa di pejabat hari itu banyak kuhabiskan untuk print bahan-bahan yang telah kusimpan dalam komputer. Lebih kurang satu rim kertas juga berjaya kucetak. Semuanya bahan-bahan yang akan kubawa balik dan siapkan di rumah. Bila sudah punya komputer riba sendiri, masa untuk berkerja lebih panjang. Siang dan malam boleh kerja. (Adakalanya terfikir juga tentang kebenaran kata-kata yang sengaja dilemparkan tentang “Melayu malas” ni. Kerja siang malam termasuk hari minggu tanpa bayaran tambahan itu masih dikira malas ke? Lama-lama fikirkan hal sekecil ini, kata orang yang sebegitu dan sebegini, rasanya tak siap kerjalah ya!).

Jam enam, aku sudah bersedia untuk balik. Pada hari minggu, tak terniatpun untuk meneruskan kerja di pejabat hingga malam seperti hari berkerja yang lain. Cukuplah sekadar hingga ke petang yang sebenarnya sudah terlalu tua itu. Petang sebegitu, agak rindu juga untuk berada di Taman Tasik Cempaka. Kalau tidak berlari mengelilingi tasik berbau “harum” itu, setidak-tidaknya hanya sekadar berjalan dua keliling. Itupun sudah cukup. Sudah menjejerkan peluh. Namun beberapa tarikh akhir yang dikejar (tak pernah habis deadline yang dikejar. Entah sampai bila) buatkan niat itu kuurung sahaja di kepala.


Orang kata malang tak pernah menyemarakkan baunya sebagai peringatan. Anak tangga itu entah sudah beribu kali kupijak. Dan kali ini, tetap juga seperti kes lama itu. Aku terlupa nak pijak anak tangga yang terakhir. Sebenarnya, dalam memori di kepala menyatakan anak tangga itu sudah habis kupijak. Langkaunya yang terakhir itu buatkan imbangan badan tidak dapat dikawal. Ataukah barangkali itu tandanya berat bertambah lagi, tak mampu ditampung dek badan? Nak kata power spek yang perlu ditambah, beberapa hari sebelumnya baru sahaja kutukar kaca mata baru.

Semasa jatuh tersimpuh di hadapan tangga (ayu je jatuh pun, penuh sopan santun!), diri lengkap mengenakan sweater dan topi keledar. Cukup ciri-ciri keselamatannya. Beg komputer riba diselimpangkan ke dada. Sebuah beg terkandung 3 jilid prosiding pula kubimbit. Nasib baiknya, komputer riba tidak terhempas ke lantai. Kalau tidak, bukan sahaja kaki yang sakit. Poket juga.

Saat itu, aku hanya mampu bertafakur (kalaulah istilah ini sesuai digunakan). Sempat juga berdiam diri beberapa minit dengan simpuh ayu di hadapan tangga. Tak pernah terdugapun untuk jatuh tangga lagi. Lagi tidak duga bila jatuh di tempat yang sama dengan sebab yang sama juga. Macam mustahil saja. Tengah mengelamun panjang itu, sebuah Perdana Hitam berhenti betul-betul di hadapan foyer. Entah kenapa Boss yang hensem itupun TERRAJIN pula datang ke pejabat pada waktu selewat itu. Terpaksalah tebalkan muka cover malu di situ seketika. Nasib baik masih mampu lagi untuk bangun dan memaksa diri start motor untuk balik walaupun sengal memang terasa. Kalau tak, tak boleh dibayangkan jika memerlukan bantuan Boss hensem itu untuk berdiri. Akan jadi macam dalam filem Hindikah? Ohhhhh, tidakkkkk!!!!

Seminggu tangga pejabat tidak kupijak. Hari ke enam pun buku lali masih lagi bengkak. Jelas terlihat lebamnya. Menjadi kehitaman di tiga kawasan belakang buku lali kaki kanan. Kecederaan kaki kiri hanya sedikit sahaja. Tidak begitu terasa berbanding kaki kanan. Tidak begitu bengkak juga.

Kaki kanan pernah terseliuh kerana terjatuh di tangga yang sama awal Ramadhan lepas. Namun seliuh itu tidaklah teruk sangat berbanding kecederaan kali ini walaupun pada ketika itu aku rasa seliuh itu amat memeritkan. Bila hal yang sama berlaku, dengan kecederaan yang extra, barulah tahu aku patut bersyukur ketika jatuh dahulu kerana cederanya kecil sangat. Namun, sudah terlambat kan?

Seminggu tanpa mampu lakukan apa-apa, terkurung di rumah tanpa keluar walaupun ke pintu pagar (baru malam semalam, Khamis 20 November 2008 aku keluar untuk buang sampah, kutip surat dan kertas iklan di pagar, kemudian siram pokok serai yang telah kering daunnya tidak bersiram. Kesian serai tu...penganiayaan fizikal pulak! Hari ini, bila keluar ke pagar rumah untuk mengambil surat kiriman laju, mata tersilau motorku yang telah dikopak lubang kuncinya. Tuan ada di dalam rumah dengan pagar yang bermanggapun masih ada juga yang berniat nak GHAIBkan kapcai itu?) sekadar berada di atas katil dengan betis diletakkan seselesa mungkin di atas bantal. Sebarang pergerakan diminimumkan seminimum yang mampu. Hanya ke bilik air untuk membuat pelaburan dan mandi, atau turun ke dapur untuk mengisi tembolok. Itupun seadanya sahaja.

Katil itulah jadi tempat lepak siang malamku. Kalaulah aku upload gambar katilku yang meriah dengan segala macam barang (buku-buku, novel, bahan-bahan bacaan yang diprint pada hari aku terjun tangga tu, alat tulis, botol air mineral, radio, tongkat, beg komputer riba, komputer riba, charger telefon, charger komputer riba, telefon, tisu, air freshhener sebab aku tak suka bau ubat gosok tu, ubat-ubat, vcd, kertas-kertas dan segala macam barang yang sering kugunakan). Semua barangan berkenaan perlu ada berdekatan dan mudah dicapai bila diperlukan.

Radio terpasang hampir sepanjang hari dari siang ke malam, malam ke siang semula. Radio rehat bila tuannya mengait mimpi sahaja. Itupun bila malam. Kala siang, biarpun diri tertidur, siaran Klasik Nasional sentiasa berkumandang. Diri diulik lagu-lagu merdu berentak nasional. Lagu-lagu lama. Sesekali disulami dengan berita, sukan dan khabar jemaah haji dari Tanah Suci. Lebih kerap lagi decit katak dari sms di telefon yang sentiasa menemani. Mengurangkan bosan. Terima kasih!

Kala kesibukan mencapai darjah tertinggi, berehat dan bersantai sebegini bukanlah pilihan yang terbaik. Hanya jasad terlebih rehat hingga terasa belakang bagai kebas. Tanpa sambungan internet, tanpa TV juga...hidup bagai berkurun tertinggal ke belakang. Entah sudah sampai ke zaman batu berapa kambria lampau. Dan kepala pula, ligat memikirkan bermacam perkara yang perlu diselesaikan, namun tiada upaya untuk laksanakannya. Untuk top up kredit telefonpun siksanya amat.

Pada detik yang sama, diri amat hargai masa terluang terpenuh rehat ini. Sudah berbulan diri mengejar mentari hingga terlupa mengait sinar bulan. Mungkin, detik ini agak sesuai untuk ganti semula waktu rehat yang kuabaikan selama berbulan itu. Qadha tidur juga. Hanya sesekali saja kan. Namun...risau juga. Baru seminggu bersenang-lenang di rumah, berat badan bertambah lagi. Adussssss!!!!!

Jumaat, 9 Mei 2008

Semangat MEI pun mampirkan diri...


I MEI setiap tahun. Hari yang agak bermakna buat semua pekerja di Malaysia biarpun ramai juga yang tidak menyedarinya. Bagi pekerja pejabat, guru, pekerja industri, government, swasta….sebilangan daripada mereka mengetahui tentang tarikh keramat ini. Sekurang-kurangnya mereka tahu pada tarikh tersebut, mereka diberi cuti rehat.

Namun ada juga yang tidak mengetahui tentang kewujudan hari seumpama ini. Pak Ngah di bendang, Pak Mat di ladang, ataupun Mak Joyah di kebun getah. Pada mereka, berapa banyak Hari Pekerjapun yang dianugerahkan, kerja-kerja mereka tetap perlu diteruskan juga. Mereka tak punya KWSP yang akan menjamin hari tua. Tak punya banyak keistimewaan untuk membuat pinjaman juga.

Ada masanya, kita terlalu rasa gah dengan pencapaian sendiri. Punya segulung ijazah. Ada pekerjaan di pejabat yang sentiasa sahaja sejuk terlebih suhu pendingin hawa. Ada kereta. Ada rumah (kalaupun sebenarnya masih lagi kepunyaan bank). Punya banyak kelebihan dan kemudahan untuk menambahkan lagi hutang padahal, hutang semasa belajar dahulu masih belum lagi langsai sepenuhnya. Lalunya, kita terlupa untuk berfikir sejenak tentang golongan yang tak punya segala apa yang kita ada.

Kita ada segulung ijazah dan pekerjaan yang menjamin hidup. Mereka hanya ada tulang empat kerat. Tulang itulah yang dibanting saban hari sepanjang usia tanpa jaminan KWSP pada hari tua. Kita ada sumber pendapatan tetap yang sentiasa dapat bonus pada hujung tahun sedangkan golongan ini perlu berkerja sepanjang masa. Tak ada kerja, tak ada pendapatan. Kita punya kereta besar yang menjalar walaupun belum langsai hutangnya dengan bank. Mereka ada kereta buruk tetapi dibayar tunai kerana bank tidak sanggup untuk menawarkan pinjaman disebabkan mereka tak punya slip gaji.

Kita tinggal di rumah batu yang kukuh, penuh dengan segala kemudahan elektrik. Dan rumah itu kita sewa pula dengan harga yang mahal kerana nilai hartanah di kediaman elit yang kita duduki tak terjangkau dek gaji kita untuk membelinya, sedangkan mereka punya rumah yang sederhana. Adakalanya amat dhaif. Namun rumah itu kepunyaan mereka sendiri. Kita berbelanja di pasaraya besar yang gah diiklankan di kaca tv, sedangkan mereka dengan rendah diri menyelinap ke belakang dapur memetik pucuk ubi dibuat ulam.

Campur tolak kali bahagi, ternyatanya mereka lebih beruntung daripada kita yang punya simpanan KWSP yang dikatakan mampu menjamin hari tua nanti. Dan KWSP itu pula…sering benar kita keluarkan untuk bermacam hal yang remeh temeh pula. Mereka itu tak punya hutang dengan mana-mana institusi kewangan. Tak perlu membayar bil elektrik yang tinggi dengan penggunaan computer, peralatan elektrik yang canggih dan besar, bil air kerana penggunaan k olam renang dan membasuh rumah besar kita, kereta besar kita…ada masanya untuk mandi semua ahli keluarga kita yang semakin hari semakin bertambah besar saiznya akibat lebihan lemak, membayar bil astro, bil internet, malah bermacam-macam jenis bil lagi. Tidak termasuk lagi membayar harga perkhidmatan apabila menggunakan tandas awam yang tidaklah sebersih mana. Tol. Parking kereta. Sebenarnya, semua benda berbayar.

Difikirkan semuala tentang 1 MEI ini…aku tiba-tiba terasa…alangkah enaknya andai semua perbelanjaan ini boleh digunakan dengan sebaiknya kiranya hidup di kampong halaman sendiri. Persoalannya, kalaulah di sana ada peluang pekerjaan seumpama ini, masihkah aku sanggup tersiksa berdagang di tanah orang ini?

Biar apapun, sekali dalam setahun…kala memperingati datangnya 1 MEI, diri masih lagi merasakan betapa tidak cukupnya usaha selama ini. Masih belum cukup lagi kerja kuat. Demi Islamku, demi negaraku, demi anak bangsaku. Demi kepuasan hati sendiri. Tuhanku, berikan daku lebih kekuatan untuk teruskan perjuangan yang masih juga belum selesai ini.

Jom, sama-sama kita kerja kuat!