Memaparkan catatan dengan label CIMB. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CIMB. Papar semua catatan

Khamis, 29 Januari 2009

Anda Prihatin?

Kiranya anda seorang yang prihatin, bacalah satu kisah duka yang memerlukan bantuan semua.
Pada 2 Januari 2009 yang lepas, aku menerima SMS mengkhabarkan seorang sepupuku (usia awal 40-an) telah dipanggil Ilahi dalam satu kemalangan di Jalan Gua Musang-Lipis. Saat itu, yang menjelma di ruang mata hanyalah nasib anak-anaknya (6 orang).

Isterinya surirumah sepenuh masa. Tidak pernah berkerjapun sejak berkahwin. Hanya menjaga anak-anak dan keperluan rumah tangga. Anak keduanya belajar di Sekolah Menengah Sains, Machang. Untuk seorang anak kampung yang dikelilingi dengan suasana belajar yang tak seberapa, melangkah ke sekolah sains adalah sesuatu yang membangggakan.

Setelah ketiadaan sepupuku itu, aku sendiri tidak tahu bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan dengan cabaran dunia hari ini. Anak-anak ada 6 orang yang semuanya masih kecil. Aku risaukan persekolahan mereka akan terjejas, terutama anak sulungnya itu. Dia punya harapan untuk maju dan meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga nanti. Kami, saudara maranya yang terdekat hanya mampu hulurkan sedikit bantuan. Namun, aku cukup pasti yang ianya masih tidak begitu cukup meringankan beban yang terpaksa mereka tanggung.

Mereka bukan sahaja hilang ketua keluarga yang menjadi tonggak rezeki, malah hilang terus punca pendapatan. Kalaupun isteri arwah cuba mencari pekerjaan, dengan anak-anak yang masih kecil serta memerlukan jagaan, kelulusan yang tidak seberapa dan peluang pekerjaan yang agak terbatas dek kegawatan ekonomi, memang amat sukar untuknya.

Kiranya anda seorang yang prihatin dan bersedia untuk membantu anak-anak yatim ini, berikut adalah nombor akaun yang boleh disalurkan bantuan itu;



Nama: Mohamad Hasyir Ashfal bin Hapani & Normain Bt. Omar (akaun bersama dengan anak bongsu)
No. Akaun: 03-072-02-087969-6 Bank Islam.



Aku faham kiranya ada yang akan melambat-lambatkan sumbangan tersebut kerana bank yang digunakan. Aku juga begitu. Sering tertangguh. Kalau Maybank atau CIMB, lebih mudah bagi kita. Sambil uruskan bayaran bil atau hal-hal boleh bank in sama untuk ini. Bila pergi ke bank semata-mata untuk ini, acap kali benar tertangguh.


Mereka tidak pernah tahu yang kisah mereka itu aku masukkan ke dalam blog ini. Mereka pun tidak pernah tahu blog itu apa. Tidak ada ahli keluarga kami yang tahu tentang hal ini. Semua ini aku lakukan dengan niat untuk membantu mereka. Manalah tahu, ada hamba Allah yang tulus ikhlas mahu membantu kesinambungan kehidupan anak-anak yatim ini.


Kalau boleh aku tak mahu anak-anak itu keciciran pendidikan mereka. Kalau boleh aku tak mahu isteri arwah tertekan dengan kehilangan berkenaan hingga abaikan persekolahan anak-anak hanya kerana masalah kewangan. Kalau boleh juga, aku tak mahu anak-anak itu terpisah kerana terpaksa diserahkan kepada orang lain (walaupun saudara mara kami juga) kerana anak-anak itu perlukan kasih sayang seorang ibu. Setelah hilang seorang ayah, amat malang bagi mereka andai dipisahkan sebegitu pula.


Marilah kita tingkatkan cinta kasih kepada fakir miskin dan yatim piatu. Insya Allah kelak di akhirat kita dikumpulkan bersama orang-orang yang mengasihi fakir miskin dan yatim piatu serta menjadi satu gerbong kebajikan bersama Rasulullah Muhammad SAW beserta orang-orang shalih, seperti firman Allah yang bermaksud;


“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya, orang-orang yang berbuat riya dan enggan (menolong dengan) barang berguna”. (Al-Qur’an, surah Al Maa’un: 1-7): terjemahan Indonesia.


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1] Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?
[2] Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
[3] Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
[4] (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang;
[5] (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
[6] (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),
[7] Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).
(Al-Qur’an, surah Al Maa’un: 1-7) Terjemahan Malaysia di http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?nType=1&nSeg=0&l=eng&nSora=107&nAya=1&t=mal

Bagi anda yang prihatin dan ikhlas ingin membantu, saya (kena sopan sikit) mewakili keluarga tersebut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Hanya Allah sahaja yang akan membalas kesediaan dan keikhlasan semua. Moga anda diberkati kehidupan di dunia dan akhirat. Aminn.

Bagi yang lebih mampu, sama-samalah juga membantu saudara seIslam kita di Gaza. Mereka berani sabungkan nyawa berjihad menegakkan Islam. Apalah sangat jika nak dibandingkan dengan nilai sepinggan nasi yang kita dermakan. Jadinya, sama-samalah kita menyumbang ke tabung NSTP dan Maybank melalui;

Maybank 514105-320501, atas nama NSTP Fund For Gaza.

Dunia kita kejar, hari kemudian juga perlu kita ingat. Dunia ini ladang akhirat. Di dunialah kita perlu berbuat kebajikan dan kebaikan. Apa saja amal dan kebajikan yang kita buat dunia akan kita tuai hasilnya di akhirat kelak. Ia tidak berdasarkan berapa banyak amalan itu, tetapi berapa ikhlas dilakukan. Tak kira sebesar zarah sekalipun kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan di dunia ini, akan ada balasannya kelak. Sesungguhnya janji Allah itu benar.

Rabu, 31 Disember 2008

Kutinggalkan Ia Di Sini


Disember tinggal sisa. Tak sedarpun setahun hampir berlalu. Hanya beberapa jam sahaja lagi. Tak sedarpun diri telah melewati setiap hari pada tahun ini dengan jayanya biarpun dalam payah.

2007 bak tsunami yang melanda. Sekelip mata semuanya membadai dalam hidup. Kerjaya yang kubina bertahun hampir ranap. Perancangan hidup yang kuatur, terburai satu persatu. Impian yang disemai berderai. Teman-teman hilang semua dan keluarga yang kuharap dapat menyandar harapan, goyah di sana sini. Paling utama; perjuangan yang kuagungkan, sia-sia semua. Berantakan. Aku terduduk. Terkedu. Tak berupaya. Tak berdaya. Diri tidak sahaja dirempuh tsunami dan hilang segala tetapi juga dihempap langit hingga sukar untuk bernafas.

Apa yang diharap, diperjuangkan, diagungkan, dipertahankan, semuanya...tinggal puing. Tinggal sisa. Dan semua pecahan itu kukutip persatu sepanjang 2008. Kucantum perlahan satu demi satu puing-puing deraian itu, kubina semula dengan penuh percaya bahawa aku mampu hadapi segalanya.

Allah menguji hambanya dalam pelbagai cara dan, Dia hanya uji dengan ujian yang mampu ditempuhi hambaNya itu sahaja. Itu yang aku pegang kemas. Itu yang aku semat di dada tiap kali diri terasa lelah. Rasa tak berdaya. Rasa teramat tak berupaya dan putusasa.

Aku tak kuat. Itu hakikat yang perlu aku terima. Lemah. Tak berdaya. Tak upaya. Malah, telah keringpun air mata menangisi nasib malang ini. Yang ada hanyalah satu semangat. Hanya satu. Yang satu itu adalah Allah tidak menguji hambaNya dengan apa yang tak mampu dijalani. Hanya itu sahaja.

Hari demi hari tetap dijalani dengan payah. Payah amat. Keseorangan. Selangkahpun sukar digerakkan. Hidup bagai telah terhenti pada satu noktah yang tidak siapapun inginkan. Statik dalam bara yang membakar. Payah. Sendirian.

Percayalah pada kuasa Allah. Percayalah yang Dia tetap akan bantu hambaNya yang sabar. Percayalah yang Dia lebih tahu apa yang kita tidak tahu. Percayalah bahawa, Dia membantu kita dengan cara yang tidak kita dugapun. Apa yang perlu kita buat adalah pasrah. Pasrahlah dengan tiap ujian itu. Pasrahlah dengan tiap apa yang datang. Pasrahlah juga dengan setiap kebaikan kita buat biarpun dibalas dengan kesukaran. Dengan pasrah itulah, terbinanya jalan untuk kita lalui. Pasrah itulah buatkan kita redha. Redha itu akan buatkan kita mampu berfikir dengan lebih realistik. Bertindak dengan lebih hati-hati.

Bila percaya, bila pasrah, Dia yang Pengasih dan Penyayang itu akan turunkan bantuanNya dengan cara yang tidak terdugapun. Melalui orang yang tidak kita kenal atau sangkakanpun. Dan semuanya akan jadi lebih mudah daripada apa yang kita sangkakan.

Januari 2008, aku hanya teruskan perjuangan untuk teruskan hidup hanya kerana nyawa masih lagi di badan. Tanpa cita-cita, tanpa harapan. Tanpa matlamatpun. Namun kini, akhir 2008, aku sedar, perjuangan sebenarnya baru bermula. Perjuangan untuk diri sendiri pula.

Sebelum ini aku berjuang untuk orang lain. Aku membina empayar untuk kebahagiaan orang lain. Aku berkerja untuk mengubah nasib orang lain. Segala-galanya untuk orang lain. Semuanya untuk orang lain. Dan kali ini, setelah berpuluh tahun hidup, baru kali ini aku hidup untuk diri sendiri. Aku berjuang untuk diri sendiri. Lalunya, biar sukar bagaimana pun, sepatutnya perjuangan itu akan menjadi lebih hebat lagi.

Biar sebesar mana silap yang dibuat, jadikan silap itu pelajaran yang paling berguna untuk kehidupan seterusnya. Silapku hanyalah satu, terlalu banyak memberi. Hingga berlebihan. Hingga tidak dihargai lagi. Aku tidak perlu buang masa untuk terus berduka dengan apa yang telah berlaku tetapi perlu teruskan perjuangan untuk dapatkan lebih banyak lagi yang aku pernah dapat sebelum ni. Kata Gina (THR), belajarlah daripada silap lalu. Orang yang jatuh terduduk akan lebih berjaya pada masa depan. Itu juga yang dituturkan beberapa orang yang baru kukenal setelah aku terduduk tanpa upaya untuk melangkah lagi. Itu juga yang kutemu dalam buku-buku motivasi.

Terima kasih kepada orang-orang yang baru kukenal pada 2008 ini. Pada En. Kamal, En. Wan Ahmad Rizalle (CIMB), En. Mohd Noor (Ambank) Ustaz Awi yang prihatin. Terima kasih teman-teman di Caluk Corner yang sudi menerima seadanya aku biarpun ada masa tertentu aku muncul dengan jiwa yang bercelaru terutama pada awal kemunculanku. Diri masih mamai kala itu. Masih mabuk air sejuk. Masih tidak percayakan sesiapa. Nyatanya, mereka sudi menerima biarpun tidak tahu, tidak kenal dan tidak kunyatakan identiti dengan tepat.

Terima kasih dengan penerimaan itu. Kala aku di atas, orang menerima aku sebab dudukku itu. Aku dibuang bersepah kala terpelanting jatuh. Material juga yang jadi nilaian manusia. Namun, di sini, aku diterima seadanya biarpun pada ketika aku tenat di gaung. Dan aku berazam untuk sentiasa ingat semua ini biarpun satu ketika nanti aku sudah mampu mendaki ke atas semula. Memanjat tebing lagi sekali.

Mengatur langkah dari runtuhan hidup memang tak mudah. Apalagi bila keseorangan. Sendirian. Dunia yang luas dan meriah ini terlalu sempit dan sunyi buat aku yang patah sayap. Setelah diasak, dihimpit, digilis dengan kepayahan itu, aku usaha untuk bertatih biarpun sebenarnya kala itu hanya mampu menyeret dada.

Dan hari ini, setelah duniaku punah relai, hancur berantakan, aku kembali bina semula tiangnya daripada puing-puing yang masih tinggal. Moga jadi istana. Moga jadi mahligai. Moga mampu lindungiku kala hari tua.

Terima kasih kepada Pejuang yang Terluka dalam Peperangan. Terima kasih berikan daku teknik berperang menghadapi musuh. Terima kasih bercerita tentang strategi tumbangkan musuh menantikan luka kita sembuh. Terima kasih.
2008 tahun merawat luka. Tahun mengutip harapan. Tahun menyemai mimpi. Payah, tapi...telah berjaya aku laluinya. Musuh tentunya sedang bergembira dengan terlantarnya aku tanpa upaya dengan lelas luka terpalit nanah. Musuh sedang ketawa melihat aku kehilangan upaya diri lagi. Musuh sedang berpesta menyambut kemenangan mereka. Aku tahu itu.

2009 bakal buka tirainya. Aku berjanji pada diri. Aku pahatkan pada hati. Setahun ini aku akan kembalikan gemilang yang pernah kuraih. Aku akan pastikan diri berada pada tahap terakhir aku sebelum terhempas jatuh. Dan 2010, tentunya aku perlu lebih dari itu. Aku perlu ada lebih tinggi daripada waku aku dihempas ke bawah.

Peduli apa aku dengan musuh yang sedang rancak berpesta. Peduli apa aku dengan tawa ejek mereka untuk terus lemahkan aku. Peduli apa aku dengan racun yang disebarkan bak wabak ke seanterio alam ini agar aku musnah. Peduli apa aku.

Kalau mereka jatuhkan aku sebab aku berada di atas, aku pasti akan terus ke atas. Kalau mereka lempar aku ke gaung kerana aku punya apa yang dia tak miliki, perlukah aku mengalah? Bukankah Allah dah tunjukkan siapa mereka yang bertopeng itu? Lalunya, perlu apa aku takut kepada ketakutan mereka?

2009. aku sebenarnya masih takut untuk terus melangkah. Aku masih fobia. Masih lagi tidak berani. Masih was-was juga. Semua itu bisik hati kecilku. Sungguh!
Kalau 2008 yang payah itu berjaya aku lalui dan selesaikan apa yang tidak terfikir akalpun, masihkah perlu kuturutkan bisik hati kecil itu? Kalau tahun ini aku berjaya bertatih daripada lumpuh, perlukah aku takut untuk berlari pada 2009?

Kuingin tinggalkan semua kekalutan yang pernah berlaku itu di sini. Di tebing 2008. Di akhir 1430H. Kuingin kuburkan semua sengsara itu di sini. Aku nak jadi orang baru pada 2009. Pada 1430H. Tinggalkan semua duka. Semua benci. Semua derita. Semua luka. Semua rasa. Biarlah hanya di sini. Cukuplah setakat ini. Cukuplah.

Aku masih belum kuat. Dan, aku perlukan kekuatan daripada semua orang. Yakinku masih belum mantap. Aku perlukan keyakinan untuk terus melangkahdaripada kalian. Sudikah kalian berjuang bersama-sama aku?

Selasa, 19 Ogos 2008

Hilang yang ada gantinya



Ketika sedang menyiram bounggavilla di hadapan rumah malam semalam, aku dikejutkan dengan berita yang mungkin telah dilalui orang lain. Leen diragut. Berhampiran CIMB syeksen 8 Bandar baru Bangi. Kala itu dia sedang menapak untuk kembali ke rumah setelah lelah seharian berkerja.


Dilihat dari sudut materialnya, dia hanya kehilangan telefon bimbit berkamera Sonny Ericson. Sudah pasti telefon itu lebih canggih daripada telefonku yang tidak punya kamerapun. Hanya telefon Nokia biasa keluaran lama. Yang sudah pasti tidak akan menarik minat sesiapapun untuk milikinya. Bukan sahaja model lama, tetapi tiada apa-apa fungsi terkini yang diidamkan. Nyatanya telefon sebegini kurang risiko untuk dighaibkan. Agak selamat.

Nokia 3310


Namun diikutkan hati, sudah pasti mengidamkan peranti yang lebih terkini. Pelbagai fungsi. Paling kurangpun, kala terdesak dalam apa-apa situasi, bolehlah gunakan kamera untuk merakamkan kalaupun tak punya fungsi untuk merakamkan video. Hingga kini, entah kenapa telefon sebegitu masih belum lagi kupunya. Hati masih lagi menyayangi model lama ini. biar berkali terhempas hingga berkecai isi perutnya, ketahanannya masih lagi utuh. Masih lagi boleh digunakan macam biasa. Dan diri, bagai punyai perasaan yang teramat mendalam terhadap model ini. Mudah. Murah. Fleksibal. Lasak. Paling utama risiko untuk hilang agak rendah. Aku pernah tawarkan telefon itu sebagai tukaran untuk sekotak pin tudung yang berharga sekadar RM5, namun penjual itu menolaknya. Pin tudung itu lebih mahal harganya berbanding telefon milikku itu.


Nokia N90 Idamanku



Satu hari, diri tetap akan ganti jua model lama yang selesa kugunakan itu dengan model yang lebih terkini. Biarpun dunia berputar dengan cepat, teknologi berubah terlalu pantas, model Nokia N90 jua menjadiidaman hati. entah kenapa. apalagi kalau warna silver. Terlihat cantik. Menawan. Ranggi. Seksi juga.


Untuk jadikan model N90 itu benar-benar menjadi milikku, sudah pastilah aku perlu menunggu nafas model yang kugunakan kini terhenti dahulu. Perasaan sayang itu payah untuk dikikis, biarpun di hati sebenarnya ada cinta lain yang berputik. Sebegitukah hidup ini?


Buat Leen yang bernasib malang menjadi mangsa ragut itu, bersabarlah. Moga diri dianugerahkan kekuatan untuk terus menapak ke hadapan. Hidup memang begini. Hidup juga sukar untuk dimengertikan. Belajarlah jadi seseorang yang kuat, walaupun payah. Kalaupun hari ini hilang telefon bimbit, masih jua mampu dibeli. Andai hilang sesuatu yang lebih besar makna dan nilainya dalam hidup ini, tiada satu kedaipun kita kunjungi untuk belinya semula. Talian hayat dah habis!