Khamis, 18 Oktober 2012

Bayi 8 Bulan Mangsa Dera Meninggal Dunia


Ada orang campak anak merata-rata, macam tak ada perasaan. Entah apa perasaannya masa mereka campak macam tu je bayi sendiri. Namun, sebab takut malu sebab status diri masih lagi “bujang” tapi dah ada anak...mmmm buang ajelah.

Tiap kali ada kes buang bayi, macam tak tahu nak kata apa. Begitu juga bila banyak kes dera. Pengasuh deralah, mak tiri deralah...paling sakit hati bila teman lelaki mak yang dera.

Di Batu Pahat, Seorang bayi berusia lapan bulan, Nur Irisyafida Balkis yang dimasukkan ke hospital Khamis lalu meninggal dunia jam 2.30 petang semalam setelah tidak sedarkan diri selama enam hari di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. Bayi malang itu dipercayai didera teman lelaki ibunya. Dia mengalami tiga keretakan di tempurung kepala, patah tangan kanan dan kaki kiri. Masih belum diketahui bagaimana bayi itu didera.

Anak-anak sepatutnya dikasihi. Dia yang comel itu masih terlalu kecil untuk menderita sedemikian rupa.

Dah banyak kali kes macam ni jadi kan???

 

Selasa, 16 Oktober 2012

Nak Buat Apa Dah Pencen Nanti?


Sejak minggu lepas, mungkin minggu sebelum minggu lepas, kepala bersimpang siur memikirkan banyak hal hingga hati tak ada kepada tugasan skulah. Kerja skulah sedikit terabai dengan perasaan sedikit celaru. Beberapa perkara berlegar-legar dalam minda antaranya;
  • Berapa tahun lagi nak pencen
  • Cukup tak duit pencen nanti nak tampung hidup aku masa tua dengan kenaikan harga barang yang sukar nak jangka, sedangkan nilai pencen itu dah pastilah tak berubah.
  • Berapa banyak l agi hutang-piutang kena bayar
  • Berapa lama masa diambil untuk bayar semua hutang piutang tu, janganlah nanti dah pencenpun masih lagi bayar hutang
  • Kat mana aku nak menetap, apa nak buat, dan macam-macam lagi.

Orang lain mungkin nak jaga cucu bila dah pencen. Nak nikmati hidup. Aku? Mmmm kena rancang dulu ni...untuk masa sekarang, aku kena siapkan belajar dulu. Selepas tu baru boleh rancang.

Semoga aku diberikan kesihatan dan kekuatan mental serta fizikal untuk jalani semua itu.

Bila campur tolak semua, berbelas tahun lagi masa diperlukan untuk sampai ke garis pencen. Dalam tempoh itu, perlu juga merancang sebanyak mana mampu dilakukan untuk agama, bangsa dan negara dengan cara aku sendiri. Cara aku...biarpun ramai juga cuba pengaruhi. namun, asalkan aku rasa apa yang aku buat ni betul serta tak jatuh hukum haram, maka biarlah aku dengan cara aku sendiri.






Pejabat Syarikat Pembinaan Chong Wei Dipecah Masuk



Pejabat syarikat pembinaan milik jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di Bandar Puteri, Puchong, telah dipecah masuk semalm. Insiden itu disedari seorang pekerja syarikat Chong Wei Bina Jaya Sdn Bhd ketika hendak memulakan tugas pada pukul 9 pagi. Beliau kemudian memaklumkannya kepada pengarah syarikat, Lee Chong Hoon (abang Lee Chong Wei) .

Pencuri yang dipercayai masuk melalui pintu depan telah melarikan tujuh buah komputer jenis Apple termasuk salinan koleksi gambar pra-perkahwinan Chong Wei dengan Wong Mew Choo yang disimpan di dalam sebuah komputer tersebut. Kerugian ditaksirkan kira-kira RM30 ribu. Walau bagaimanapun, raket badminton yang digunakan Chong Wei ketika menjuarai Kejohanan All England pada 30 Jan tahun lepas, tidak dilarikan. Raket itu telah dibida seseorang pada harga RM74,000 untuk didermakan kepada mangsa Tsunami di Jepun.

Komen aku: pencuri tu mesti kechiwa kalau tahu reket tu berharga hampir 100 ribu hu huhu tapi, kalau dia curi pun, bukannya boleh jual dengan harga tu ;)




Isnin, 15 Oktober 2012

Definisi Pengangkutan Awam Menurut Google Maps



Esok cadang nak ke KL ada kerja sikit dengan Bank Unta
Dah lah kena berurusan dengan kaum kerabat unta yang memang menuntut kesabaran tahap gaban, daku nan miskin hina dina ni bercadang nak guna pengakutan awam sahaja untuk ke Pudu kerana kononnya negara kita ni sangat mesra pengakutan awamnya. Ohhh daku yang tinggal di Bandar makmur bebas kesesakan seperti Bangi ni, dah tentu akan terpedaya dengan perangkap AES yang sangat suka hantar surat saman.

Sebab tak biasa dengan pengangkutan awam di bandaraya KL nan mencabar itu, aku guna khidmat Google maps untuk dapatkan cara terbaik sebagai panduan untuk ke SOGO dari menara ambank Pudu. Cer tengok apa yang atok Google cadangkan untuk aku…
.
.
.
.
.
.
V
V
V
V
V
V



Odoiiiiiii! Terkasima seketika makcikkkk!
Huh! Nak kena ni…betul ke mampu sampai dalam masa 26 minit kalau jalan?
Mmmm bukan banyak pintu kedai ke sepanjang jalan tu? Hu huh u kang petang baru sampai!





Derma Organ Secara Online


Beberapa tahun lepas, pernah ada niat untuk derma organ, namun bila cari maklumat lanjut pada masa itu, tak banyak maklumat yang dapat. Akhirnya, aku temukan bagaimana cara untuk daftar sebagai penderma organ, iaitu dapatkan borang dan isi, kemudian hantar ke Pusat Sumber Transplan Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia yang terdapat di Hospital Kuala Lumpur.

Nak dapatkan borang pun bukan main payah lagi, apalagi nak isi, kemudian hantar. Bayangkankan kesesakan yang perlu ditempuh dari Bangi ke HKL. Dengan parking yang belum tentu lagi ada. Sungguh tegar benar untuk isi borang berkenaan. Akhirnya hasrat itu terbenam perlahan-lahan dan sedar tak sedar, sudah beberapa tahun berlalu.

Sekarang ni, kalau ada niat nak derma organ, orang ramai kini boleh mengisi borang ikrar menderma organ secara online di laman web "A Gift For Life" bagi memudahkan mereka menderma organ untuk menyelamatkan nyawa individu yang memerlukan.

kad pengikrar menderma organ akan dihantar ke alamat mereka selepas pengesahan pendaftaran dibuat pihak pengurusan laman web itu. Tak tahu lebih lanjut lagi tentang pendermaan organ, silalah dapatkan maklumat di Pusat Sumber Transplan Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia. Isi borang secara online sahaja, tak payah susah payah bersesak ke HKL.

Aku setuju sangat buat macam ni, mudahkan semua urusan. Mudahkan orang nak beramal. Mudahkan orang nak buat pahala. Malah penyebaran maklumat secara meluas sangat mustahak agar budaya pendermaan organ di negara kita dapat “dimasyarakatkan”. Pendaftaran secara online diharap dapat menggalakkan orang ramai untuk menderma organ mereka bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa. Kita dah tak ada pun, masih lagi mampu berbakti kepada orang lain.

Selain menggelungsur secara dalam talian di laman web Pusat Sumber Transplan Nasional, boleh juga hubungi di talian 1800-88-9080.

Jom derma organ!









Kelantan Ke Final Piala Malaysia 2012


Tahniah juta-juta lemon kepada KELANTAN @ TRW yang berjaya mara ke perlawanan akhir @ final Piala Malaysia 2012 dengan menewaskan Selangor 2-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Pada pusingan pertama minggu lalu, Kelantan mengatasi Selangor 1-0.

Kelantan akan bertemu Angkatan Tentera Malaysia dalam perlawanan akhir.

Apalagi, Gomo Kelate Gomo ya!



Jumaat, 12 Oktober 2012

Nak Kena Tukar Jantina Ke?


Ramai jugak dikalangan kita (sebenarnya aku) walaupun perempuan, tapi sejak kecil berperangai macam lelaki. Panjat pokok lah, terjun sungailah, berkubang dalam bendanglah…macam-macam kita buat. Nasib baik dah besar ni kelihatan jelita, anggun dan sopan santun...tidak meneruskan lagi aktiviti memanjat. Sekali sekala je panjat pokok durian pada musim buah. Hoiiii! apa ke halnya panjat pokok durian??? Macam dah tak ada pokok lain lagi nak panjat!

Sejak kecil lagi aku memang dah terbiasa buat kerja lelaki ni. Sebab tu kalau takat nak tukar mentol lampu atau panjang dinding, malah bumbung rumahpun, tak jadi hal sangat. Kecuali kalau perlukan lebih banyak tenaga, tetap kena mintak lelaki juga.

Mungkin semua ni berlaku secara semulajadi sebab tiap hari dok tengok model yang sempurna, siapa lagi kalau bukan mek. Banyak kerja lelaki termasuk anyam batang buluh jadi dinding bahagian belakang dapur rumah, mek buat dengan anak-anak perempuannya. Dari tebang buluh, potong, punggah, belah, ketuk-ketuk batang buluh hingga pecah dan anyam jadi dinding, mek buat dengan kami anak-anak perempuannya. Bab angkat kepingan dinding tu aje ayah akan buat sebab memang berat.

Jadi mana pergi ayah aku kalau semuanya mek yang buat? Jangan ingat ayah dok kedai kopi ya…ayah hanya sempat buat hobi lepak kedai kopi pagi-pagi sejak dia tak kerja bendang lagi. Sejak anak-anak dah kerja. Sebelum tu, hampir 24 jam ayah di bendang. Siang dan malam. Ayah balik untuk tidur sahaja.

Mesti semua hairan macam mana ayah boleh dok bendang siang malam kan? Tak pernah dibuat dek orang lain…ya tak pernah dibuat kecuali ayah kami. Siang ayah usahakan bendang yang dipawahnya, sambil itu ayah ambik upah pulak membajak bendang orang lain. Kalau tak buat malam yang cuacanya lebih dingin, bila masa nak buat?

Kami kan penghuni negeri paling miskin yang sangat miskin berbanding pengemis, jadi kenalah usaha lebih keras. Kerana itu banyak kerja berat lain mek yang ambil alih. Jadi, kami juga terikut-ikut jadi macam mek. Kalau boleh buat sendiri, kami akan buat tanpa susahkan lelaki. Sebab itu bila ada orang nak ngurat aku guna ayat “saya diperlukan untuk tukar mentol lampu kat rumah”, ohhhhh sangat tak sesuaiii ya!

Namun semua ini tetap juga tidak menjadikan kami ini lelaki. Kami tetap perempuan. Tetap juga lemah lembut dan ayu sopan (kaver line sikit hu huhu) dan tidak menyebabkan kami nak ubah undang-undang negara atau tidak menyebabkan kami menukar jantina. Kami tetap ayu, sopan dan anggun tanpa menyerahkan kehidupan sepenuhnya kepada lelaki, hingga ada lelaki kata aku tidak perlukan lelaki dalam hidup ni. Ohhhhh dah tentulah tidak benar sama sekali. 

Aku bukan tak perlukan lelaki…perlu. Namun aku tak perlukan lelaki yang menyangka dia boleh mengambil kesempatan dengan kelembutan dan kelemahan wanita untuk dikuasainya. Cuba bagi ayat yang sesuai sikit…dah tentulah hati wanita aku cair kan? Jangan ingat aku suka sangat buat semua kerja berat tu...penat woooo, kan elok kalau ada orang sudi buat semua kerja-kerja tu termasuk sapu lantai mop rumah, masak cekodoQ bagai. Aku hanya perlu kilat2 kuku sambil online FB dan tulis entri blog je. Seronok tu. Tak hingin aku ambil alih tugas lelaki yang dah tentu lebih gagah perkasa kacak awesome kan? Kot dah sampai masanya, batang mop pun tak terangkat!

Kalau baca akhbar hari ni ada berita tentang 4 mak nyah yang gagal mencabar seksyen 66 enakmen jenayah syariah negeri sembilan 1992 yang menghalang mereka berpakaian wanita. Permohonan semakan kehakiman yang dibuat Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 25; Shukor Jani, 26; Wan Fairol Wan Ismail, 28 dan Adam Shazrul Mohd Yusoff, 26, ditolak mahkamah tinggi di sini, atas alasan seksyen itu sah. Keempat-empat mereka yang bekerja sebagai mak andam memohon mahkamah tinggi mengisytiharkan seksyen 66 enakmen itu tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.

Dalam hal ni, aku kagum dengan penyanyi dikir barat kajol…ada juga keinginan untuknya berubah walaupun dia mengaku perubahan itu akan dilakukan secara perlahan-lahan. Semoga dia dah jadi lelaki kacak sekarang ni...




Video Wacana Sinar Harian Bajet 2013

Semalam tak sempat nak tengok Wacana Sinar Harian berkaitan Bajet 2013.  Bagi yang tak sempat tengok sama macam aku, jom kita tengok dan dengar sambil tengok Master Chef Musim ke 2.

Berikut adalah rakaman video Wacana Sinar Harian Bajet 2013 yang berlangsung semalam di Karangkraf. Jom tengok ramai-ramai…sendiri nilai dan putuskan ;)


Wacana Sinar Harian Bajet 2013 Part 1




Wacana Sinar Harian Bajet 2013 Part 2




Wacana Sinar Harian Bajet 2013 Part 3





Wacana Sinar Harian Bajet 2013 Part 4



Macam mana? Puas hati? Ada pendapat sendiri?


Khamis, 11 Oktober 2012

Suara Tanpa Wajah


Fuhhhhhhh! Tajuk pun...macam entri seram pulak! Entri ni bukan pasal hantu ya...mentang-mentang malam ni malam Jumaat, terus je nyebut pasal hantu ya. Cubalah fikir positif sikit...baca yasin ka, baca ayat al Kahfi ka...zikir ka, dok panggil hantu mantu pulak, dah macam saluran TV kat Malaysia ni. Asal malam Jumaat je tayang drama hantu. Asal malam Jumaat je, tayang filem hantu...gamaknya hantu ni hanya hidup malam Jumaat je kot hu hu hu ampunnnnnn! terleter pada mukadimah entri pulak hu hu hu!

Aku kerap ditanya mengapa tak ada muka aku di blog, di FB...

Ada yang aku jawab secara terperinci, ada yang aku jawab dengan gurauan “buNga tu lebih cantik dari muka aku”.

Aku tak boleh like FB mazidul sebab syaratnya perlu ada “wajah” asli, bukannya bermukakan bunga biar secantik manapun bunga itu. Pinggan tak retak, nasi tak dingin...dah tuannya tak hendak, aku memang sedar diripun. Jadi tak payahlah aku like like FB tersohor itu.

Aku memang tak gemar letak muka comot ni kat blog atau FB. Memang sedar diri comot. Kecomotan aku itu akan mempengaruhi keseluruhan gambar. Gambar yang sepatutnya indah itu, jadi tak indah sebab ada muka aku kat situ. Boleh bayangkan?

Namun, andai kalian pernah baca entri aku yang lepas, sebenarnya masih terselit juga aku kat dalam beberapa keping gambar. Biasanya gambar pemandangan tu penuh dengan kehadiran aku yang kecil sekonet je tak nampak mukapun kecuali ada yang sudi guna kanta pembesar. Dah tentulah gambar tu bukan nak tayang perabut sebab aku letak gambar pemandangan indah.

Errrr...sebenarnya rumah aku tak ada perabutpun, sebab tu tak tayang. Kalau ada perabut mewah, gamaknya TERtayang jugak hu hu hu

Sebab utamanya tak mahu terjebak lagi dengan peminat misteri yang lebih banyak menyusahkan dari menyenangkan. Aku dah alaminya. Aku dah rasa macam mana sengsaranya. Risau nak datang kerja, tidak tenteram balik rumah kerana segala gerak geri bagai diperhatikan. Fobia tau! Trauma!

Sebab tu aku mudah risau bila ada rakan-rakan muat naik gambar yang ada muka aku secara maya. Sangat risau. Namun, ada masa aku kena akur yang aku tak mampu untuk paksa orang supaya tidak muat naik muka comot aku ni. Comot pun comey jugak kot hu hu hu alahaiiii! Terperasanlah pulak!

Terpulanglah kalau ada yang rasa aku suka main sembunyi-sembunyi. Maklumlah, masa kecik dulu, tak sempat nak main, dah tua nak senja macam ni baru mula nak main. 

Namun aku sedar tentang satu perkara: tanpa wajah di dunia maya, aku dianggap "tidak boleh dipercayai" dan kehadiran aku "diragui" keikhlasannya. 

Terpulang! Aku tak ganggu sesiapa...kalau kalian rasa terganggu, bukan salah aku kan? Daku hanyalah sekuntum bunga dahlia di facebook dan seekor katak hijau di blog. bukan sesiapapun.

 

Wacana Sinar siri 14: Bajet 2013


Wacana Sinar siri 14 kali ini membicarakan tentang Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia mewakili pihak kerajaan, manakala Bajet alternatif 2013 dibentangkan oleh Anwar Ibrahim mewakili PKR. Wacana kali ini juga berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, malam tadi.

Wacana Sinar Harian kali ini terdiri daripada Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, turut dijayakan oleh dua lagi panel masing-masing mewakili Barisan Nasional dan PR iaitu Ahli Parlimen Kota Belud dari Umno-BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Moderator wacana kali ini pula adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek. Opssss! Aku suka dia!

Aku tak berkesempatan menonton perdebatan ini dan mengharapkan ada pihak muatnaikkan rakaman video Wacana Sinar siri 14 tentang Bajet 2013 ini di youtube macam biasa agar lebih ramai boleh menonton, menghayati, menilai dan membuat perbandingan antara kedua-duanya. Sama-sama kita tunggulah ya esok!

Rabu, 10 Oktober 2012

Kemalangan Ngeri Bas Ekspres-Kereta, 6 Sekeluarga Maut


Seorang ibu bersama tiga anaknya adalah antara enam yang maut dalam kemalangan yang membabitkan kereta Viva dan sebuah bas ekspres di KM129.65 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Meraga Beris, Kemaman, 4.30 pagi pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah: Noran Ali, 39, dan anak perempuannya, Nursyazleen Norizan, 12, Nur Syardiena, 9, dan Nurkhairatul Najiha, 4 tahun, selain saudara mereka iaitu Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43, dan Khairudi Omar, 31, yang memandu kereta. 

Dua anak Noran yang lain iaitu Nursakinah, 17, dan Nursyafura, 13, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (HTAA). 

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bas ekspres. Bas telah menyeret viva berkenaan sejauh 200 meter. Kereta Viva remuk dengan semua mangsa tersepit di dalamnya. Jenazah semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad selepas Asyar petang tadi.

DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Takziah kepada keluarga mereka.




Kereta Ke Jentolak Ni?

Nak sodok gapo ter?

Selasa, 9 Oktober 2012

Macam-Macam Versi Anak Kampung


Dah tentulah versi pertama adalah;

Anok Kampong versi Kelantan Man Khan



Anak Kampung Versi Perempuan (Pika Eugene)



Anak Kampung versi Brunei Sabah


Komen aku: lirik dah bagus dan ada nilai aslinya walaupun melodi memang guna Jimmy Palikat punya. Suara Pika comel je macam tuannya, tapi versi Brunei tu kurang menyengat sikit ---->  dah macam juri Malaysian idiol Engkau!

Yang pasti, hasil karya asal lebih menarik. Pertama sebab original, bila ada lagu balas balik dengan melodi yang sama, perasaan dah tak sama dengan yang asal. kedua; sebab yang ori tu adalah yang pertama. Manusia sering agungkan yang pertama, walaupun yang kedua ada masa lebih baik. Apalagilah kalau kureng sikit baiknya. Jom kita layan yang ori tak berapa nak ori dah pun, hanya si Jimmy Palikat tu dikekalkan untuk nilai aslinya…

One Nation Emcees ft Jimmy Palikat - Anak Kampung



Banyak lagi versi yang ada...Jojor, Negeri Sembilan, belum jumpa lagi lagu ni dah di gyandam kan hu hu hu


Ramai Rakyat Malaysia Tidak Gembira Dengan Pekerjaan Semasa Mereka?


Satu kaji selidik JobStreet.com mengenai Kepuasan Pekerjaan Warga Kerja di Malaysia baru-baru ini, menunjukkan bahawa 78 peratus daripada responden tidak gembira dengan pekerjaan semasa masing-masing. Walaupun pendapat biasa menyatakan bahawa sebab utama ramai bakat muda meninggalkan syarikat masing-masing adalah berikutan gaji yang rendah, hanya 17 peratus daripada 1,145 responden memetik sebab itu sebagai faktor utama mempengaruhi mereka tidak gembira.

Menurut JobStreet.com, ketidakpuasan dengan skop pekerjaan adalah sebab utama ramai menyatakan tidak gembira untuk bekerja. Faktor lain ialah hubungan yang dingin dengan penyelia terdekat atau ketua masing-masing, manakala, baki 22% responden, yang gembira bekerja menunjukkan tiga faktor utama yang mempengaruhi kegembiraan masing-masing, iaitu; 50% gembira dengan pengalaman dan cabaran bekerja, 21% suka dengan ketua yang menghargai dan menilai produktiviti, manakala 19% gembira kerana hubungan yang baik dengan rakan-rakan sekerja.

Gaji bukan faktor utama mempengaruhi kegembiraan di tempat kerja walau pun hanya 11 peratus berkata mereka mendapat gaji yang lumayan.

Secara keseluruhannya, warga kerja bersetuju bahawa perubahan muktamad menentukan kesejahteraan mereka di tempat kerja, perlu termasuk peluang bagi perkembangan kerjaya dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan di dalam syarikat. Jika keperluan itu tidak dipenuhi, majoriti (62 peratus) berkata mereka akan mencari pekerjaan lain bagi mencari kegembiraan di tempat kerja.

Kaji selidik dilakukan JobStreet.com ini melibatkan 1,145 orang pekerja, dengan 62% daripadanya terdiri daripada kumpulan pengurusan pertengahan.


Komen aku: sejak kerja aku tak pernah naik pangkat, tak pernah dapat cemerlang, tak pernah disenangi oleh pihak pengurusan dan selalu dapat tekanan termasuk ditekan untuk naik, namun aku suka dengan kerja aku.

Dah ramai kawan cuba racun pemikiran untuk aku pindah tempat kerja sebab mereka tahu macam mana aku kerja, apa yang mampu aku buat…namun, aku masih juga melopong di sini dengan sebab aku yang tersendiri. Berbanding rakan-rakan yang lain, aku sedar gaji aku tak seberapa, peluang naik tak ada kerana aku bukan kaki ampu sebaliknya akan berterus terang jika ada yang tak kena, namun matlamat aku kerja bukan sahaja sebab gaji, kegembiraan di tempat kerja dan pangkat semata-mata, tetapi lebih dari itu. Dan “yang lebih” itulah jarang orang memahaminya.

Cik Bintang kata “Kalau rezeki itu memang Allah dah tentukan untuk kita, manusia memang tak mampu untuk menghalangnya” sangat aku akui, namun aku juga tahu…bila terlalu banyak halangannya, rezeki itu lambat sampai. Hanya…pahala mungkin bertambah bila kita sabar dan redha. Moga-moga aku akan lebih sabar dan redha. Moga perjuangan ini mendapat restuNya. Bukankah ujian itu dianugerahkan mengikut tingkat kemampuan kita sahaja? Tak berlebih, tidak juga berkurang.



Isnin, 8 Oktober 2012

Permohonan BR1M 2.0 Mulai November


Berita baik untuk golongan yang layak memohon BR1M 2.0 ya, Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 boleh dilakukan secara online di laman web Kementerian Kewangan atau menggunakan borang mulai 1 November ini. Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, borang permohonan boleh didapati di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri dan pejabat daerah. Bayaran BR1M 2.0 dijangka diagihkan pada awal tahun depan.

Kena bagi tahu seluruh rakyat di neger paling miskin ni…maklumlah kami ni kan miskin. Pengemis pun lebih kaya dari kami. Jadi inilah masanya untuk naik taraf sikit kehidupan kami. Dapatlah tampung harga gula yang naik tu…maklumlah negeri kami memang dah terkenal dengan “manisnya” sama ada orangnya atau makanannya. Jadi, memang beri kesan yang sangat banyaklah bila harga gula naik.

Mmmm nak hasut kakak ipar aku isi borang. Masa pemberian musim lepas, abang aku tak isi borang pun, tak tahu pulak sebab apa…kotlah dia rasa dia tergolong antara golongan yang kaya kot padahal dia memang layakpun nak mohon. Bila dah layak mohon tu, tak payah sombong lah tak mahu mohon kan? Hu huh u tak kira, raya nanti aku nak hasut jugak kakak ipar aku yang tak kerja tu mohon, dah dapat nanti bolehlah aku tumpang joli katak ya…

Kali ini jugak, adik aku yang masih bujang tu boleh juga mohon BR1M. Boleh aku paw keropok sekilo dua dari dia pun dah okey tu….opssss! itu memang kerja aku, suka paw adik beradik la la la

Terima kasihlah ya PM yang baik budi kerana sudi sedekahkan kami di negeri paling miskin ni. Kalau tak, mengemislah kami. Maklumlah, kerjaya pengemis tu lebih baik dari kami yang miskin tegar ni…dahlah tak payah bayar cukai, tinggal pun kat rumah kebajikan je, makan minum memang orang bagi. Tak rasa dengan kenaikan harga gula atau roti canai.

Errrr…jom isi borang ya… online pun boleh, isi manual pun boleh.
Dah dapat tu sudi-sudilah kongsi dengan aku…dapat musang king barang seulas dua pun jadilah. Tapi kalau nak bagi samsung, aku tak tolak! Tak baik tau tolak pemberian orang...kecik hari orang yang memberi tu...kan? kan? kan?






Pengemis Itu Lebih Kaya Dari Aku


Ya aku tahu…aku sangat sedar aku berasal dari negeri paling miskin
Perdana Menteri pernah umumkan satu Malaysia, negeri aku paling miskin
maka dah tentulah aku pun miskin juga
tapi miskin-miskin akupun, aku usaha sendiri untuk cari makan
maklumlah, taka da sesiapa nak sponser
tak ada sesiapa yang sanggup nak tanggung hidup aku nan miskin ni
ramai yang risau mereka turut terjangkit miskin sama macam aku

Jadinya, walaupun aku hidup berbelas tahun di negeri paling maju ni
aku masih juga miskin
hanya, belum tersenarai sebagai calon miskin tegar sahaja
tapi masih juga miskin…nak buat macam mana
memang dah nasib kami yang miskin ni
memang payah nak kaya kecuali “kaya dengan kemiskinan”
namun aku tetap bersyukur dengan setiap rezeki yang aku dapat
walaupun tak sebanyak mana, aku tak lah sampai meminta-minta
tak lah perlu mengemis dan menadah simpati orang ramai
sebab bagi aku, walaupun boleh meminta
kan lebih bagus kalau kita tergolong dalam golongan yang memberi?

Namun, aku tetap juga mengakui bahawa kemiskinan aku ini
lebih miskin dari pengemis…pengemis pun tak miskin macam aku
akupun tak ada simpanan tunai bawah katil sebanyak pengemis ni,
apalagi simpanan dalam bank…
dalam tabung haji pun lebih banyak surut dari bertambah,
entah bila boleh jejak kaki di Tanah Harampun tak tahu
namun ikut hukum, pengemis macam aku tak wajib tunaikan haji kan?


Hu huh u kalau kalian baca akhbar hari ni
Mesti dah baca betapa kayanya seorang pengemis ni;

Kisah berlaku di sebuah rumah kebajikan di Marang, Terengganu.
Seorang penghuni rumah kebajikan itu, sering curi keluar untuk mengemis,
menyimpan wang tunai lebih kurang RM15,000 di bawah katilnya selain
mempunyai tiga akaun bank berasingan dengan nilai simpanan RM60,000.
semuanya ditemui selepas dia meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
pengemis yang kaya ini menggambarkan betapa baik hatinya masyarakat kita,
janganlah nanti negara kita dikenali sebagai negara yang kaya dengan pengemis pula.




Sabtu, 6 Oktober 2012

Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan 4 MRSM Tahun 2013 (Semenanjung Malaysia)


Kepada adik-adik yang duduki Peperiksaan PMR tahun ni dan bercita-cita nak sambung pengajian di tingkatan 4 di sekolah berasrama penuh macam MRSM, permohonan telah dibuka dari 1 Oktober 2012 hingga 19 Oktober 2012.

Masa masih ada, sila isi borang cepat-cepat ya…

Permohonan Kemasukan Tingkatan 4 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) boleh dimohon secara online di laman web MARA.

Maklumat lanjut tentang Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan 4 MRSM Tahun 2013 (Semenanjung Malaysia) boleh dilihat laman web rasmi MARA.

Apa tunggu lagi??? Cepattttttttttttt!!!!




Jumaat, 5 Oktober 2012

Hasad dan Dengki…Sila Jauhi!

Ni bukan penyakit baru dalam masyarakat kita
Dah macam jadi kudis dan barah sejak dulu
Akhirnya…bermusuhan dan saling berbunuhan
Sama ada secara nyata atau tak nyata

Jom, kuliah Jumaat hari ni dalam bentuk yang menyenangkan
Sambil nyanyi, sambil kita fikirkan tiap patah nasihatnya;





Ini dia lirik lagu Jange Deki nyanyian Man Khan & Adik Wani  di atas;

Mung kena ambik…sikit!
Kena steady, jange dengki…Kena stop!

Gustan kelik masing-masing
Lamo seebek sorang  tadak saing
Hak penting; doctor kata ko saing-saing
ada masalah Kena Pakat maintain

Hak paling pentingnya…kena sabar
Lama jadi keesok palo buleh pekdah
Tadok untung lambat bangat jadi mundur
Jadi peseng meecok tak leh wat kira..ceng

Ambo takot dok heret tin
Dok jalang sorang kok wakaf zain
Ambo takut nanti demo takdok saing
Sebab demo suka dok cak keting

Bukan ambo sajo nak menganging
Tolong ambik berakk Barang ni hak penting
Pakat-pakat piker Kena ubah pesing
Kito ni manusia, ni buke kambing

Kena steady, jange dengki yoooooo steady
Jange dengki, kena steady
Kena steady, jange dengki;
Jange dengki, kita steady

Mukata kakku, ni aku kata ko mu
Aku kato ko mu, ni mukata kakku
Jadi punoh ranoh puak-puak kita
kawe dengar Ustak dok cerita

Tuhan maroh kokrang hok suka mengato
Nanti demo mati ni tak hidu bau syurga
Kena bakar pulak dengan api nerako
Ambo ni nak royak dalam kitab ni ada kato

Kena steady, jange dengki;
Jange dengki, kena steady
Kena steady, jange dengki;
Jange dengki, kena steady

Kalu ambo silap ni pakat-pakat tolong
baru kita steady ni kita dalam kampung
Kalu ada silap minta maaf mintak ampung
Kita manusia kita tidak maksum

Buat silap jugak serupa dengan demo
Pakat-pakat kita jaga tutur kata
Umur ko sehari ni koho tua
Kita tak leh main ni jadi peseng lama

Buang hasad dengki di dalam  hidup kita
Baru hidup kita ni aman sejahtera
Semua hok molek ni mari dari Dia
Hok tidok molek mari dari puak-puak kito

Maklum saja kita manusia
kadang-kadang kita ni mudah lupa
Pakat kita serah kepada yang maha Esa
Ambo mintak maaf kalu ado hok teraso

Kena steady, jange dengki;
Orang dengki tuhan benci
Tuhan benci ore dengki,
Orang dengki tuhan benci

Kena steady, jange dengki Tuhan benci
Tuhan benci…Ore dengki
kena bakar la dengan api … yoooooooooooo!

Aku kato ko mu, ni mukata kakku
Mukata kakku ni aku kata ko mu
Aku kato ko mu, ni mukata kakku
Mukata kakku ni aku kata ko mu
Mukata kakku ni aku kata ko mu
Aku kato ko mu, ni mukata kakku

Ya…dengar
Cepat sikit!

Cokek mok bolok tuupak dalam bokor
Tuan nampok jangok kor dok ngumpat belake rato
Kok kerek ayam denok kor dok kukok tepi jalan
Baso tuan baso benok tak dengar buah ore

Jalan molek anak muda
jangan jijak pokok bunga
Tak leh tumpang muka bodo
kor dok paka buah demo

Dengar mulut orang mudah cepat demo hino
Tak leh wat lagu tu kena siasat dengan hati
Padan dengar dengan telinga tengok dengan mato
Hadis Qur’an barang nyata…yaaaaaaaaaaaa


Faham tak? Boleh terjemah tak?



Dakulah teman Pengganti Itu...


Daku mengerti...hanya jadi Teman pengganti
tak rasa hatipun, tak ada dukacitapun
namun...usah terlalu meminta ;)

Jom lah nyanyi-nyanyi hari Jumaat lagu Teman Pengganti oleh Black dan Malique




ngantoklah! Semalam tak nyeynak tidur...beulang ke bilik air

Mmmmmmm macam merajuk pulak eh? Tak apa...Aku maafkan kamu ;)




Harapnya katak-katak itu dah berhenti melalak ;)


Selasa, 2 Oktober 2012

Culik Diri Sendiri?


Cintakah yang buta, atau memang manusia kerap alpa
bila dikuasai nafsu saat bercinta?

Aku tak mampu untuk menjawabnya,
aku juga bukanlah orang terbaik untuk bahaskan tentang cinta
namun, bila sanggup menculik diri sendiri
semata-mata nak minta duit tebusan dari ibu
untuk joli? Cinta sebegitukah perlu dipertahankan?

Seorang wanita cuba memperdaya ibunya meminta tebusan RM10,000
ditahan bersama teman lelaki di bilik hotel Taman Tema Genting Highlands
wanita berumur 20 tahun yang bekerja sebagai jurujual sambilan
ditahan bersama teman lelakinya, seorang penganggur berumur 18 tahun,
jam 11.30 malam dan ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Ibu mangsa mendapat panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa
menculik anak perempuannya dan meminta wang tebusan RM10,000
yang perlu dimasukkan ke dalam akaun anak perempuannya itu.
Kedua-dua suspek dipercayai merancang untuk mendapatkan wang
dari keluarga dan menjadikan mangsa sebagai tebusan,
wang tebusan belum lagi diserahkan kepada penculik
ketika mereka ditahan.

Komen aku: Kesian mak dia…dahlah penat beranakkan dia,
penat sekolahkan dia, penat bela sampai besar…
sebenarnya panjang lagi nak komen, tapi…biarlah bungkam di minda
biarlah berlegar hanya dalam kepala
bukan semua perkara sesuai dipamerkan rasa ;)



Isnin, 1 Oktober 2012

Aku Dah Mula Senyum Panjang Hari Ni...

Terima kasih sangat-sangatlah dengan bajet 2013
Sangat mesra rakyat hingga semua orang tersenyum lebar
Walaupun ramai orang kata Bajet 2013 adalah belanjawan pilihanraya
Dah tentu para pemimpin besar tanahair kita menafikan
Dengan tegas dok kata Bajet ini adalah tanda prihatin mereka;
Yang dah biasa hidup mewah terbang guna Jet Pribadi
Soping di gedung-gedung mewah tengah kota metropolitan dunia.
Takat cekodok jagung dalam tin macam Cik Bintang mampu buat tu
Tak ada dalam senarai mereka
Jadinya, bajet sebegitu adalah bajet untuk rakyat
Rakyat marhaen macam aku ni…

Jadi berbondong-bondonglah rakyat marhaen macam aku ni
Ucapkan juta-juta billion million terima kasih
Dengan bajet yang sangat mesra rakyat itu
Bagaikan sebelum ni aku tak pernah bayar cukai
Ye lah…banyak sangat yang rakyat marhaen macam aku ni dapat
Dalam bajet tahun depan tu termasuklah bonus tahunan
Yang dah bagi tu pun kira samalah walaupun baginya pada tahun 2012
Nak bagi rakyat marhaen macam aku ni sedar diri dan buka mata
Betapa prihatinnya pemimpin mereka selama ni

Tambah prihatin lagi bila ada BR1M yang ayah tua aku
Nun di kampong negeri paling miskin sana dengan tergigil-gigil bertongkat
Beratur nak dapatkan RM500 tu…lalu tersengih-sengihlah ayah tua aku tu
Kena temuramah di TV dengan gembira sebab muka masuk TV
Manakala adik bujang aku yang belum kahwin tu pun
Berlumbalah tekan minyak kapcai buruk dia isi borang
Untuk dapatkan RM250 walaupun duit banyak tu dia tak mampupun
Nak beli telefon 3G untuk dapatkan rebet RM200 tu
Aku yang tak mampu pakai telefon 3G, memang tak akan dapat rebat tu
Lalu makin papa kedanalah aku ketinggalan teknologi 3G
Yang jadi kebanggaan dunia itu

Pagi tadi, senyum aku jadi makin lebar
Pertama kali sarapan aku seorang harganya hamper RM10
Terima kasihlah…dah cakap pun supaya kurangkan gula
manis memang kurang tapi harga tak kurang!


Azam Baru, Wajah Baru...


Macam dah lama sangat tak menulis dengan hati kat sini
Semacam je rasa bila tengok blog
Sabtu lepas tetiba aku tukar kaler blog
Dah jadi biru...redup mata memandang, sejuk hati di dalam
Harapnya lepas ni, hati jadi menggebu-gebu nak tulis blog
Paling tidakpun selalu buka blog
Kemudian pandang je entri yang dah lepas hu hu hu

Kalau ada yang perasan, aku jugak dah buang iklan kat blog ni
Dah bosan. Masa tampal dulu, dah cakap dengan Cik Bintang
“hanya untuk tiga kali tebus dengan nuffnang je...”
Belum sampai tiga kalipun, aku dah buang...
Nasib baik sempat tebus kali ke 3 hu hu hu

Bila dah buang iklan nuffnang, maka tak dapat lagi tengok trafik blog kat situ
Jadinya aku tengok kat statistik di blogger je
Terpandang pulak satu link, terus aku klik
Dan sampai ke sini....



Nak baca keseluruhannya, boleh baca di Old Vs New Song song
Jangan lupa skrol ke bawah dan baca juga sidebar
 termasuk nama blog dan tajuk-tajuk entri...

Errrr...macam pernah tengok kan?
Tapi di mana ya? Hu hu hu hu bila ingat semula, terus aku gelak
Gelak sensorang...tergolek guling-guliangan kat lantai
sebab memang dok lantaipun masa baca entri tu...

Kalau kalian nak tahu Entri asalnya, sila baca Lagu Lama Vs Lagu Baru
Mmmmm ni kerja enche Google rupanya
Di terjemahkan entri tu jadi sebegini rupa

Alahaiiiii!




Jumaat, 28 September 2012

Intipati bajet belanjawan 2013


Semua orang macam tak sabar dah nak tahu apa dia
Intipati bajet @ belanjawan 2013 yang dibentangkan PM sekejab lagi
Bagi sesiapa yang nak beli Laporan Ekonomi 2012/2013 dah mula dijual
di tiga lokasi dengan harga RM55 bermula pukul 4 hingga 6 petang nanti.
di (1) Lobi Blok Tengah, Kementerian Kewangan di Presint 2, Putrajaya,
(2) Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Jalan Chan Sow Lin,
(3) PNMB Cawangan Putrajaya di Jalan Diplomatik, Presint 15, Putrajaya

Sambil buat kerja, aku akan jeling-jeling jugak apa yang semua orang nak tahu tu
sebenarnya apa yang aku nak tahu je aku dengar
yang lain tu...aku bukan pakar ekonomi,
memang gagal matematik pun masa sekolah dulu
sebut nilai juta-juta bilion segala memang sebabkan aku stress

ramai dah labelkan bajet 2013 ni bersifat belanjawan Pilihanraya
belanjawan yang kononnya menyebabkan rakyat mampu tersenyum
hari ni memanglah senyum, esok lusa belum tentu lagi
malam ni jugak harga teh tarik naik harga hu hu hu
kena tarik sendirilah nanti ya...jangan tak tau, aku reti tarik teh
hu hu hu tarik masuk longkang la la la perasan yang lebih!

Sementara menunggu kemaskini tentang bajet 2013 yang bakal dibentangkan nanti,
apa kata kita tengok dulu video ni...pasal kos sara hidup



Siaran langsung pembentangan bajet 2013 boleh dilihat secara langsung
di kebanyakan stesen TV dan juga boleh tengok online di TV3

Ok, matlamat entri ni adalah bagi Intipati bajet belanjawan 2013 
malas nak sambung merapu, berikut adalah intipatinya;

Fokus utama Belanjawan @ bajet 2013;



i.                     Merangsang aktiviti pelaburan
ii.                   Membudayakan inovasi meningkatkan prestasi
iii.                  (aku berangan, terlepas dengar huh u hu…pi baca teks penuh bajet 2013)
iv.                 Konsiderasi fiscal untuk meningkatkan pengurusan awam



Pekerja swasta: melalui perkeso, sediakan RM200 Juta untuk 1.4 juta ahlinya 
berumur 40-55 tahun melakukan pemeriksaan kesihatan percuma 
di hospital kerajaan dan klinik panel.



Pesara kerajaan berkhidmat lebih 25 tahun: diselaraskan, naikkan pencen minimum RM720 ke RM820


Rebet pakej khas telefon pintar RM200 untuk pembelian telefon pintar di kedai terpilih.

Diskaun 50% tambang komuter pengguna berpendapatanRM3k ke bawah.

Diskaun 50% tambang feri pengguna selalu guna perkhidmatan Labuan ke Kuching dan Kota Kinabalu.

Bina 123 ribu unit rumah PRIMA dengan harga rumah 20% lebih rendah dari harga pasaran.

BRiM 2.0 sebanyak RM500 dengan kriteria yang sama dan BRim diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2 ribu tetapi si bujang dapat RM200 sahaja. bayaran dibuat pada awal 2013. Penerima sedia ada tak payah daftar, manakala penerima baru perlu daftar pada Disember 2012.

Skim Insuran Kemalangan Diri kepada pelajar sekolah yang guna bas sekolah

Skim Bantuan kepada pelajar sekolah RM100

Voucer Buku 1 Malaysia (BR1M) RM250

Pelepasan cukai RM6K seorang anak belajar di IPT untuk tafsiran 2012

Caj pasport warga emas diberi potongan 50% setahun berkuatkuasa Januari 2013.
Caj pasport untuk kanak-kanak:

Insentif Bayaran PTPTN:
i. Langsai terus semua bermula 1 Oct - 30 Sept 2013: Diskaun 20%
ii. Bayaran secara konsisten dari 1 Oct 2012: diskaun 10% setahun

Kadar cukai pendapatan individu: diturunkan 1 mata.

Bonus Penjawat Awam: 1 bulan setengah (Aidilfitri lepas, Disember 2012 & Januari 2013)

Bonus Pesara Kerajaan RM500

Skim Rumah Pertama: ditambahbaik dengan meningkatkan had pendapatan kepada RM5 ribu atau RM10 ribu sebulan bagi suami isteri dengan dimansuhkan deposit 3 bulan. Pengecualian duti stem sedia ada dilanjutkan dengan meningkatkan harga rumah kepada RM400 ribu.

Pembeli asal rumah terbengkalai dikecualikan duti stem.

Pinjaman Perumahan kepada Penjawat Awam: panel bank Komersial dilantik untuk menguruskannya dengan dikenakan  4%   faedah pinjaman, manakala wang proses hanya RM100 tanpa mengira jumlah pinjaman dipohon.

PDRM: banyakkan jawatan baru, tubuhkan unit rondaan bermotosikal, tingkatkan ahli sukarela polis & pasang CCTV 496 unit di 25 buah PBT.

Angkatan Tentera Malaysia: kenaikan pangkat guna time based, insentif khas RM200 sebulan untuk semua anggota dan pegawai, bekas tentera bersara awal yang berkhidmat kurang 21 tahun diberi RM1K (tidak termasuk kes tata tertib), skim insuran kepada ATM dan Polis sedang berkhidmat.



Laporan terkini lagi mutakhir Bajet @ Belanjawan 2013 di website Belanjawan
Manakala Laman web rasmi Bajet 2013 adalah Mytreasury

Biasanya semua laporan ekonomi dan teks ucapan bajet 2013 boleh dibuat turun
selepas sejam ucapan pembentangan bajet @ Belanjawan



Teks Ucapan Bajet 2013 dan Lampiran boleh dimuat turun melalui Laman Rasmi Bajet 2013 www.treasury.gov.my pada jam 6.00 petang. Teks ini juga boleh dimuat turun melalui laman web agensi-agensi Kementerian Kewangan seperti berikut:
  
i.                     Jabatan Kastam Di Raja Malaysia
ii.                   Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia   
iii.                  Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
iv.                 Bank Negara Malaysia


Komen aku: Errrr tak tau nak komen apa
kemudian komen boleh?