Rabu, 12 Mac 2014

Ampunilah Kami


Ya Allah,
ampunilah kami yang lemah ini
berikanlah kami kekuatan untuk terus kuat mental dan fizikal
moga-moga ujianMu ini lebih teguhkan hati kami
untuk terus mengingati kebesaranMu

Ya Allah,
berikan kami kekuatan emosi dan spiritual
melalui detik-detik getir ini
cabarannya tidak sekadar kekuatan iman dan takwa
dugaan tidak hanya merentap hati kami yang rapuh
namun menduga keyakinan kami dengan kasih sayangMu

ya Allah, kuatkanlah hati kami dalam imanMu
teguhkanlah kepercayaan kami dengan kuasaMu
hindarilah kami dari kesesatan yang nyata


Ya Allah, ampuni kami yang tergelincir dari jalanMu nan lurus
tetapkanlah hati-hati kami dari syirik kepadaMu
teguhkan pendirian kami dari terus terpesong menduakanMu
Jauhi kami dari malapetakaMu dengan kelalaian
sebahagian hamba-hambaMu, ya Allah

Ya Allah, kami hambaMu yang lemah untuk terus menanggung musibah
Kami hambaMu yang kerdil dan lalai dengan tipu daya syaitan
Andai kami hanyut, kembalikanlah ke jalan yang benar
Andai kami salah, ampunilah kami dengan kasih sayangMu Ya Allah.

~Annieyss~
Bandar Baru Bangi



Aminkan Doa Ini...


Biar di mana adanya kamu
Aku hanya harapkan pulanglah!
Resah gelisah ini leraikanlah
Ubatkanlah rindu dendam ahli keluarga mereka
Sapulah air mata kaum kerabat sedang nestapa

Kembalilah!
Masih ramai menanti dalam doa dan harap


Bersama kita aminkan berkas doa ini
pulanglah MH370...hentikan tangisan kami



Selasa, 11 Mac 2014

Kapten Norudin Abd Majid Ulas untuk MAS MH370


Bual bicara bersama bekas juruterbang pertama pesawat Boeing 777 Kapten Norudin Abd Majid. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengetuai pesawat Boieng 777. Pengalaman dan teori beliau amat menarik perhatian. Aku paparkan semula di blog terchenta ni sebab line tenet sangat slow untuk tengok semula.



Kita memerlukan lebih ramai insan dalam pelbagai bidang professional seperti Kapten Norudin Abd Majid ini yang mengetahui di mana jejaknya diri.

Dimalukan Dengan Keletah Anak?

Pernah tak rasa malu dengan keletah anak-anak di khalayak ramai? Kita rasa macam kita tak pernah ajar berbuat sesuatu perkata sebegitu. Pernah alaminya?

Anak sapalah tuh!

Adik perempuan aku pernah cerita, anaknya (umur 2-3 tahun ketika itu) ketawa terbahak-bahak melihat budak lain seusianya jatuh. Kejadian berlaku di pasaraya. Kata adik, dia rasa macam nak sembunyi muka dalam beg plastik ketika tu. Malu sangat kat orang keliling. Entah kat mana anaknya belajar buat begitu. Tak ada siapa yang ajar pun!

Masa aku ke klinik panel dalam usaha mengumpul MC hingga pernah terpaksa menunggu lebih 5 jam semata-mata nak dapat MC tu, seorang budak lelaki seusia anak buah aku itu juga ketawa dengan kuat bila tengok aku bertongkat. Kemudian dia berkata “sakit ler tew,”.

Tindakannya buatkan air muka maknya berubah merah padam. Aku buat-buat tak nampak sahaja maknya, kalau aku pandang kang dia rasa bersalah pulak. Tapi aku buat pura-pura sakit depan budak tu sambil kerutkan muka.Siap mengaduh-ngaduh lagi.

Cara tu buatkan budak tu datang dekat dengan aku dan pandang kaki aku. Mukanya juga berkerut-kerut, macam dia pulak yang sakit. Bila mak dia suruh dia bukakan pintu untuk aku, cepat-cepat dia pergi buka pintu tu. Bersungguh-sungguh dia buka hingga ternganga luas, beri laluan untuk aku keluar. Kemudian dia melompat-lompat gembira bila aku ucapkan terima kasih.

Budak-budak dan anak-anak belajar dari persekitarannya. Walaupun mereka hiperaktif, cergas dan tidak duduk diam…usahlah “dipadanmukakan” atau ketawakan mereka bila jatuh, kena marah, atau kena hukum. Mereka belajar dari apa yang mereka alami, apa yang mereka tengok. Itulah  juga yang akan dilakukannya.

Jadi, usah salahkan anak bila suatu hari mereka bereaksi sebegitu, kerana itulah yang pernah mereka alami atau saksikan.Bagi mereka itu tidak salah. Tak ke muka kita sendiri yang malu kemudiannya?

PssssT: Macam pelik je bila aku yang belum ada anak ni cerita tentang kemahiran keibubapaan huh u huh u.

Isnin, 10 Mac 2014

Video Sidang media Ops Mencari MH370 hari ke-3 (4:00pm, 10/3/2014)


Lintas langsung sidang media tentang perkembangan terkini hari ketiga Pray for MH370 (4:00pm, 10/03/2014) operasi mencari pesawat MH370.



Teruskanlah berdoa dan jangan berhenti berharap.

Video Sidang Media Hari Ke-3 Operasi Mencari MH370


Berikut adalah rakaman video sidang media ke 3 Operasi mencari MH370 pada jam 12 tengahari 10/03/2



Teruskan mengharapkan berlaku keajaiban. Usaha dan doa, biarpun terdapat segelintir manusia yang suka sebarkan khabar palsu, harapan palsu atau politikkan isu ini. Golongan itu hanya terdapat 2-3 kerat sahaja yang mati jiwanya, masih ramai lagi yang sentiasa mengharapkan MH370 ditemui biar dalam apa jua keadaanpun. Pray for MH370.

Dia Panggil Aku Mak Cik?


Sejak bertongkat ni, banyak perkara aku belajar. Bukan sahaja berkawan dengan makcik-makcik dan pakcik-pakcik di pusat Ceragem Bangi, malah perlu juga selesaikan segala hal sendiri walaupun belum sihat sepenuhnya.Acara kumpul MC berkepuk-kepuk tu sudah semestinya kena buat.

Bila hujung bulan, banyak bil kena bayar. Banyak perkara kena buat termasuk memanjat tangga bank. Masa memanjat tangga bank itulah, seorang lelaki menyapa dari atas “Boleh ke tu, makcik…hati-hati,”

Dia panggil aku makcik? Fuhhhhh! Sampai kat atas dia bukakan pintu untukku. Aku tengok rambutnya dah kelihatan warna putih sana sini.

Nak aje aku cakap “Saya belum kahwin lagi tau!”

Ahad, 9 Mac 2014

Penumpang Misteri Dalam Pesawat MAS MH370?

Bila berlaku sesuatu yang besar seumpama kehilangan kapal terbang MAS MH370 dalam penerbangan Kuala Lumpur-Beijing, lebih banyak perkara misteri akan ditemui. Dah lah misteri kehilangannya memening kepala semua pihak, lebih banyak misteri lain ditemui.

Dalam kes sebegini, tetiba kita boleh temui bagaimana terdapat juga manusia yang tidak sensitif terhadap perasaan orang lain, hinggakan ramai orang nak kenal siapakah empunya diri. Komen-komen Shariman Omar yang sentiasa memandang rendah kepada orang lain terutama orang-orang Kelantan dan wanita cantik ibu tunggal dan janda seperti Erra Fazira menyerlahkan ketidakstabilan emosinya. Ramai jugak nak kenal siapa dia ni;


Kalau rajin nak telaah gambar kecil di atas, Shariman ni grad tahun 2005 tapi mungkin tidak jalankan latihan kedoktoran sebab tak ada tempat practise. Menurut prosedur nak jadi doctor, bila dah ada ijazah kedoktoran, masih perlu dapatkan provisional registration tu. Selepas habis houseman baru dapat “full registration”, pengesahan jawatan dan proses untuk dapatkan annual practising cert. Mmmmm tak tahulah kalau-kalau kes dia ni lain.

Bagi aku, orang sebegini kekurangan kasih sayang. Kalaupun benar dia doktor mendapat sijil dalam bidang perubatan, bahasa yang digunakan tidak memaparkan langsung keintelektualannya sebagai seorang terpelajar. Setiap status di facebooknya penuh dengan aura kebencian, kemarahan dan kekurangan kasih sayang. Barangkali, wanita-wanita jelita yang berada di Veneuzuela gagal menarik minatnya, Erra Fazira jugak yang menetap di hati, namun apa daya, siapalah dia untuk dipilih Erra kan. Daku sangat bersimpati dengan dia. Kasihan benar.

Bila senarai nama penumpang dan kru bertugas Pesawat MAS MH370 dihebahkan kepada umum, didapati pula terdapat dua nama yang misteri iaitu Christan Kozel dan Luigi Maraldi. kedua-dua tuan punya diri bernama Christan Kozel dan Luigi Maraldi ini menyatakan mereka tidak berada dalam penerbangan tersebut. Kedua-dua mereka pernah kehilangan passport. Jadi, siapakah sebenarnya yang menggunakan passport curi tersebut?

Agaknya, bilakah misteri ini akan terungkai?

Bila pesawat ini akhirnya ditemui, aku sangat pasti lebih banyak misteri akan terbongkar. Sebelum berlaku pembongkaran tersebut, marilah kita titipkan harapan dan doa (biarpun sedikit) agar semua penumpang dan anak kapal MH370 akhirnya berjaya ditemui. Janganlah berhenti berharap.

Yang perlu dihentikan adalah tindakan-tindakan membodohkan atau menampakkan kebodohan diri sendiri terutama merumitkan lagi keadaan. Kita tidak perlukan terlalu ramai penganalisis penerbangan tak bertauliah atau pencaci maki siber. Silalah jaga perasaan ramai orang yang sedang berduka saat ini.


 


Sabtu, 8 Mac 2014

MH370 Sensitiflah Dengan Perasaan Orang Lain

Bila berlaku bencana dan kejadian yang sepatutnya menimbulkan keinsafan, dukacita dan kesedihan kepada ramai orang seperti rebut, taufan, tsunami, gempa dan runtuhan, biar dimana-mana sudut dunia ni pun, akan adalah jua sesetengah masyarakat kita yang kepala otaknya terbakar fius.


Ya, masing-masing ada wall sendiri, ada FB sendiri, ada tweter sendiri…logiknya ikut suka sendirilah nak letak status apapun. Namun, bila situasinya sepatutnya kita turut bersimpati dan bersedih dengan sesuatu perkara seperti kehilangan pesawat MAS MH370 yang hilang tak dapat dikesan dalam penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing, usahlah pula kita buat benda-benda bodoh berjenaka lawak kering tanpa hiraukan perasaan orang lain. Perasaannya tidak sahaja kaum keluarga yang ada di Malaysia, tetapi melibatkan 13 buah Negara yang lain. Hilang sudahkah nilai kemanusiaan kita?


Bergurau yang tidak kena tempat perlihatkan kita umpama menari salah rentak. Kelakar sangatkah? Bagaimana kalau kejadian bencana sebegitu berlaku kepada kaum kerabat kita sendiri? Masih ada hati untuk buat lawak bodoh sebegitu? Apa perasaan bila orang buat begitu? Suka hati? Belajarlah meletakkan diri kita di tempat orang lain. Entah kenapa ramai manusia tidak pernah belajar dari sejarah lepas. Sejarah ketika Acheh dibadai tsunami, ketika Jepun dibenam tsunami, ketika Filipina dilanda Hayyan. Orang Malaysia suka bergurau gamaknya, hingga terlupa, saat dukapun nak bergurau. Gurau tak kena tempat! Orang Kelantan panggil "Gurau biawak".

Lagi menyakitkan hati bila orang-orang glamer macam artis yang sepatutnya beri contoh yang baik dan prihatin, tetiba buat status meroyan sebegitu di FB dan twitter. Rasa macam dapat glamer free ke? Tak rasakah orang menilai kita sebagai “artis tanpa perasaan”. Dah buat status cenggini, kemudian minta maaf. Buat lagi...minta maaf lagi. Mudah benar rakyat Malaysia ni terima maaf mereka. Sanggupkah diri dilabelkan sebagai “artis tak ada otak”. Bila digelarkan begitu, tahu pulak sentap.

rasa lucu sangatkah?

Belajarlah untuk sensitif dengan persekitaran. Dengan perasaan orang. Doakan yang baik-baik, komen yang baik-baik. Komen yang baik-baik ni memang tak glamer…komen biasa-biasa sahaja, paling tidak kita ada nilai manusia dan insan kat situ. Tak ada orang nak marah, tak perlu terima sumpah seranah. Tak adalah orang gelarkan kita “tak ada otak”.

Bagaimana dengan bangsa anda Shariman Omar?

Dalam kejadian pesawat MAS MH370 yang hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, terdapat 38 rakyat Malaysia dalam pesawat itu. Anak-anak kapal yang berada dalam pesawat malang itu dikenal pasti sebagai Zaharie Ahmad Shah, Farid Ab Hamid, Patrick Francis Gomes, Andrew Nari, Goh Sock Lay, Tan Ser Kuin, Wan Swaid Wan Ismail, Junaidi Mohd Kassim, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, Ng Yar Chien, Foong Wai Yueng dan Tan Size Hiang.
mungkin dia terlupa SIAPA pencipta alam ini...

Penumpang lain ialah dari China (152 + 1 bayi), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika (3+1 bayi), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1), Austria (1).

Pesawat MH370 dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, seorang juruterbang veteran dengan mencatatkan 18,365 jam penerbangan. Beliau menyertai MAS pada 1981. Beliau dibantu oleh Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid, menyertai MAS pada tahun 2007 dengan pengalaman sebanyak 2,763 jam penerbangan.

Pembantu Juruterbang Fariq Abdul Hamid

Walaupun tak ada ahli keluarga kita terlibat dalam kejadian ini, tak ada salahnya kita titipkan doa agar mereka semua selamat. Semoga Allah mudahkan urusan dalam semua perkaran. Mudahkan pesawat ini ditemui, mudahkan usaha menyelamat dan mudahkan segala-galanya.


Pesawat MAS ke Beijing Hilang


Celik mata pagi-pagi ni, terbeliak sekejab dengan berita kehilangan Sebuah pesawat Malaysia Airlines dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Katanya terputus hubungan dengan menara kawalan udara di Subang kira-kira pukul 2.40 pagi di ruang udara Vietnam.

Pesawat Boeing 777, MH370 itu berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tadi. Penerbangan itu membawa 227 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal, terdiri daripada 13 warganegara berbeza.

Menurut 'Reuters' yang memetik laporan awal pagi agensi berita China, Xinhua, pesawat terputus hubungan radar di ruang udara yang dikawal oleh Vietnam. Pesawat MH370 itu dilaporkan tidak memasuki ruang udara yang dikawal oleh China dan tidak berhubung dengan pusat kawalannya.

Orang ramai yang ingin mengetahui tentang status kehilangan kapal terbang MAS ke Beijing ini dinasihatkan menghubungi talian +603 7884 1234 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

PsssT: Kita doakan semuanya selamat ya. Kepada keybord warriors tu, tak payahlah buat berita sendiri yang belum pasti. Mcamlah pulak pusat kawalan tu berada depan rumah anda. Kita tunggulah pengumuman MAS dari masa ke semasa. Tak payah nak tambah kalut keadaan lagi.



Lebih 5 Jam Tunggu Untuk Dapat MC Tiga Hari

Masih lagi cerita tentang MC.

Sebab aku bukan kaki MC sebab dalam hidup aku yang singkat ni, masih banyak lagi yang belum aku buat. Banyak benda lagi aku belum laksanakan. MC akan lambatkan lagi tercapainya semua itu.

Apa yang banyak sangat belum buat tu?

Orang kata, Harimau mati tinggalkan belang…bila aku mati nanti, aku masih tinggalkan sesuatu yang bermanfaat. Ya, aku bukan gila glamer, tapi…aku nak ilmu itu terus berkekalan dan memberi manfaat ke serata alam. Jadi, aku kena buat macam-macam perkara lagi.

Namun, Allah menguji kita kat tempat mana kita utamakan itu. Bila kita sayangkan harta, maka Allah tarik sedikit harta itu untuk menguji ketahanan kita. Makanya, daku diuji tang kesihatan. Mungkin sebab sebelum ni aku bangga sangat bila bukan kaki MC. Siapa suruh RIAK kan? Lain kali jangan dok bercakap BESAR, jangan nak bangga tak henggat. Tak sedar diri sangat kan? Padan muka aku hu huh u!

Aku pernah pergi HUKM buat temujanji jumpa pakar oktopedik, cubalah baca semula pengalaman jumpa abang bersenjata dan kakak ceria yang sihat dari kanser. Bila pergi jumpa doktor panel dan diberi MC hanya sehari (sebab dah Jumaat), doktor hebat itu sarankan aku ke Hospital Serdang juga. Dia berikan surat rujukan. Nanti boleh pergi yang mana lebih awal.

Maka pergilah aku ke hospital Serdang pada Isnin 3 mac 2014 jam 9 pagi lebih kurang setelah keliling beberapa tempat di Bangi untuk buat salinan fotokopi laporan x-ray dan MRI dari KPJ tempoh hari. Empat kali pusing keliling hospital Serdang, tak ada satupun tempat parking aku boleh menyelit, termasuk tak ada pun parking OKU. Akhirnya aku balik rumah semula dan telefon teksi.

5 minit pun tak sampai urusan di kaunter Oktopedik. Terus dapat tarikh temujanji iaitu 31 Mac 2014. Opssss…cepatnya! Tak sampai sebulan, manakala tarikh untuk jumpa pakar di HUKM pada 30 April, dua bulan tuuuuuuu! Masalahnya, mana nak dapat MC sehingga jumpa pakar tersebut?

Aku disarankan ke bahagian kecemasan. Hospital Serdang tak ada bahagian pesakit luar, jadi ramai orang serbu bahagian kecemasan hingga kawasan ini dah jadi tak cemas. Waktu menunggu dianggarkan 3 jam mengikut kelas. Ada 4 kelas pesakit; kritikal, separa kritikal, (ops! Dua lagi aku lupa hu huh u hu).

Setelah daftar, aku dipanggil jumpa jururawat untuk periksa denyutan jantung dan tekanan darah. Ditanya masalah kesihatan, kemudian ambil nombor lagi untuk jumpa doktor. Nombor ini yang tentukan kategori berkenaan. Maka menunggulah aku sambil ulangkaji FB dengan tekunnya. Sambil tu teguk juga air mineral yang aku bawak sebagai bekal. Roti tak lalu makan, simpan je dalam beg.

Tunggu punya tunggu hingga bateri telefon yang awalnya 90% menurun hingga 3% sahaja, tetapi nombor tak juga naik. Biasanya aku hanya duduk di kerusi paling lama 15 minit sahaja, lepas tu mesti kena baring atau meniarap. Lenguh pinggang usah kata. Rasa nak baring je kat lantai. Orang yang menunggu pulak bukan main ramai lagi, macam-macam ragam pula.

Ketika hati bolak balik sama ada untuk terus tunggu atau balik sahaja, nombor aku naik. Syukurlah. Tapi dukacitanya…hanya dapat cuti 3 hari sahaja huh u huhu ingatkan dapatlah seminggu. Nasib baik doktor lawa tu ceria sahaja. Aku yang penat tetiba je rasa dah sihat huh u huh u.

Bila keluar, doktor lawa tolong bukakan pintu, semua mata pandang semacam je. Mmmmmm dah tentulah doktor lawa tu tolong buka pintu sebab daku datang sensorang, bertongkat pulak tu. Janganlah jeles.

Sampai je lobi utama, hujan mula turun. Malangnya, teksi tak mahu ke Bangi yang dekat itu ketika waktu puncak. Jem!

Nasib baik Cik Bintang dah balik dari Dubai. Kalau tak…siapa nak tolong ambil ya? Ada tak? Ataukah perlu menapak balik jalan kaki redah lebuhraya? Mmmmmm daku pun tak tahu jawapannya!

Jumaat, 7 Mac 2014

Sesungguhnya Janji Itu Memang Pasti


Usahlah bosan berbuat kebaikan walaupun kebaikan yang dilakukan itu tidak mendapat tempat di hati manusia, atau kelihatan seperti sia-sia, kerana sesungguhnya janji Allah itu nyata;
Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: "Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu"; sesudah itu kami putuskan perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): "Bukanlah kami-yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri! (Yunus:26-28)

Maka, janganlah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi. Ikhlaskanlah hati. 


Khamis, 6 Mac 2014

Operasi Kumpul MC Berkepuk-Kepuk

Minggu lepas ke HUKM (kisah jumpa akak comey tu...dan abang pegang senjata), buat temujanji…kutip MC. Dapatlah MC 3 hari. Fuhhhhhh! Pasal apa tah aku boleh tak tengok betul-betul tarikh MC tu. Patutnya biarlah hingga Jumaat, tapi MC tu hanya takat Khamis sahaja. Terpaksalah pulak pergi panel hari Jumaat. Sehari sahaja.

Doktor panel bagi surat rujukan ke hospital Serdang. Pergi buat temujanji dengan pakar, pesan doktor baik hati tu. Dua-dua tempat buat temujanji, mana dapat dulu…pergi je!

Aku ni bukan jenis suka MC. Takat selsema sikit, demam sikit…malah migraine gila khinzir pun aku pergi juga pejabat. Bukan rajin, tapi kalau dah tertunda kerja…menimbun pulak. Lagi pula, ada masanya tarikh mati kena kejar juga walau apapun jadi. Dan, berada di pejabat tu boleh nikmati banyak benda: ekon dan line internet super duper laju berbandik line berukban aku tu.

Kerapkali aku gaduh dengan doktor sebab tak mahu ambik MC yang dia bagi. Ada masa aku ambil juga MC tu, kemudian menonong masuk pejabat. Kertas MC masuk tong sampah je.

Salah satu klinik panel aku (dulu, sekarang dah pindah tempat lain) doktornya perempuan. Dia akan tanya aku perlukan MC atau tidak. Kerapkalinya aku menolak walaupun migraine berat. Akhirnya, kami sepakat: Aku akan beritahu kalau perlukan MC. Bila benar-benar perlukan rehat sahaja aku akan minta MC dengan doktor tu. Biasanya doktor tu akan bagi ektra. Kalau mintak sehari, dia akan bagi dua hari...kalau mintak dua hari, dia akan bagi tiga hari.

Sejak 3 tahun kebelakangan ni, aku tak pernah MC. Sebenarnya jarang sakit berat, selain jatuh tangga dua kali, tak pernah masuk wad pun. Dan kini, bila aku benar-benar perlukan MC yang panjang…baru aku tahu betapa susahnya nak dapat. Ada sesiapa boleh bagi aku MC dua tiga bulan tak? 



Rabu, 5 Mac 2014

Cerita Tentang Ayah Kami


Inilah nostalgia tentang ayah kami.


Selasa, 4 Mac 2014

Muda Lagi Dah Bertongkat


Masih lagi cerita pentang pengalaman yang aku jumpa masa pergi HUKM selasa lepas.

Dah selesai semua urusan (dah buat temujanji dengan doktor pakar, dah kutip MC 3 hari (SAHAJA) yang doktor bagi), makanya teringin, sebenarnya TERrindu nak makan mehun sup SEDAP yang selalu aku makan kat kafe HUKM dulu-dulu. Dulu-dulu itu bermakna pat lima tahun lepas, atau sebenarnya bermula awal tahun 2000.

Semua tu semata-mata sebab nostalgia. Tapi bila pergi...patah balik tanpa makan apa-apa sebab nostalgia yang indah itu dah tak ada. Jadinya, aku singgah duduk sekejab di deretan kerusi berhampiran farmasi. Caj tenaga. Sejak bertongkat ni kena selalu berhenti caj tenaga semula. Kalau tak, capek que!

Memerhati manusia memang dah perangai aku hinggakan ada seseorang pernah nasihatkan aku untuk hentikan tabiat itu. Mana mungkin! Jadinya, banyaklah perangai manusia aku jumpa sepanjang aku caj tenaga di situ.

Tetiba seorang akak menyapa dengan senyum manis dan duduk sebelah aku. Katanya dia dah pencen, tapi kalau tengok wajahnya tu...aku boleh kata umur dia 45 tahun. Paling utama, wajahnya itu begitu berseri-seri. Senyumnya itu sangat menawan dan terserlah keihlasan hatinya. Bukan senyum buat-buat macam aku. Ohhhhh! Tetiba aku sedar diri betapa palsunya aku!

Dia pandang tongkat dan berkata “kesiannya...muda-muda lagi dah bertongkat,”.

Walaupun dia tak cakap, sebenarnya aku tahu dia kesian kat aku bukan sebab tongkat tu...tapi sebab aku bertongkat dan uruskan semua perkara di HUKM sensorang diri. Terima kasihlah sebab kesian kat aku, tapi...aku dah biasa buat sendiri semua benda dalam hidup ni. Aku tak rasa terbebanpun. Aku rasa macam boleh je buat.

Aku senyum je lah. Nak kata apa? Nak komen apa? Tak ada perkataan masa tu. Dia bekas nurse, bila aku sebut slipped disc dah tentu dia memahaminya lebih dari aku sendiri.

“Akak baru je sihat dari kanser tiroid tahap 4. Lepas buat kimo, akak kena stroke dan koma sebulan. Tangan ni menggerekok tak boleh lurus...doktor kata akak boleh hidup 3 bulan je. Lepas tu semua organ dalaman akak rosak...jantung, paru-paru, buah pinggang, hempedu...kemudian darah tinggi dan kencing manis,” cerita kakak tu.

Aku diam, angguk-angguk kepala kusyuk dengar kakak tu cerita.

“Masa doktor sahkan ada kanser...akak rasa down sangat. Kecewa dan rasa nak bunuh diri...sebabnya, akak selalu check dan buat ujian, tapi doktor kata tak ada apa-apa. Sihat. Bila pergi swasta, baru boleh kesan. Tu pun dah tahap 4...”

Aku dengar lagi. Angguk-angguk juga.

“Berpuluh kali pembedahan buat...merata tempat. Satu kali sedara mara paksa pergi jumpa ustaz. Akak bukan percaya sangat benda-benda gini, tapi terpaksa pergi...bla bla bla...”

Belum habispun dia bercerita dengan ceria itu, dia minta diri untuk beli akhbar. Tak sempat habis pun sembang. Masih banyak lagi aku nak tanya sebenarnya, terutama tentang “macam mana dia boleh kelihatan begitu ceria dan gembira itu”. Dah lama aku tak jumpa orang yang bawa aura gembira sebegitu.


Isnin, 3 Mac 2014

Macam Mana Nak Pegang Senjata Ni?


Ini kisah Selasa lepas.

Jam lapan pagi, teksi ambil depan pagar rumah, gerak dalam jem ke HUKM. Orang kata, memerhati manusia yang pelbagai di hospital memberi banyak makna kepada hati. Lebih-lebih lagi kalau kita sendiri juga tidak begitu. Sihat. Jalan bertatih, berbantukan tongkat.

Untuk staf UKM (termasuk HUKM), kami mempunyai tempat berbeza dengan masyarakat umum untuk dapatkan rawatan. Ini bagi kes-kes biasa sahaja, iaitu bukan kes kecemasan dan bukan berkaitan dengan kepakaran. Jadi, masa menunggu tu singkat sahaja, dah jumpa doktor boleh terus pergi sambung kerja.

Sepuluh minit menunggu, giliran aku tiba. Doktor hensem dari Iraq yang gaya pertuturannya macam mat Bangla…kincing ada bagus? Vera ada ok? Gitulah lebih kurangnya. Kemudian, aku dirujuk kepada pakar. Buat temujanji dan balik tunggu dia orang telefon.

Masa di Jabatan Orthopedik HUKM masa buat temujanji, sementara tunggu giliran, aku sempat berbual dengan seorang lelaki. Usianya barangkali belum 40, berbadan tegap. Sekali pandang memang dah tahu dia itu seseorang berpangkat dalam pasukan keselamatan.

Ketika itu moodnya memang tengah hangin. Aku yang tidak tahu hujung pangkal menerima luahan kemarahannya itu.

“Dua tahun saya kat atas tu…boleh report doktor hilang, macam mana saya nak buat? Tak ada report tu…saya kena lapor diri. Macam mana saya nak pegang senjata?” luahnya geram.

Senjata????? Opssss! Senjata apakah?

Bila tengok aku blur…dia rendahkan nada suaranya.

“Tangan saya ni belum mampu lagi nak pegang senjata…macam mana nak bertugas?”

Aku tengok lengannya yang digawangkan kiri kanan itu. Lengan orang biasa bawa benda berat. Bukan lengan orang pengang pen macam aku hu huhuh u


“Sabar ya encik…adalah tu salah letak mana-mana, harapnya tak ada masalah dokumentasi lagi lepas ni,” kataku cuba tenangkan dia sebelum masuk jumpa cik adik nurse lawa untuk buat temu janji. Bila keluar, dia sudah tak ada. Kalau tidak, boleh sambung sembang-sempang lagi.

Akupun tak tahu kenapa sekarang ni aku sangat suka melayan orang menyembang lagu tu. Pertambahan usiakah?


Ahad, 2 Mac 2014

Celaru Otak...Jom Main Badminton!

Mengapa kita (akulah tu!) kerapkali merasakan hanya kita sahaja yang betul? Padahal, antara kita dan orang lain itu sangat banyak bezanya dari segi budaya, pengalaman masa kecil, ilmu, pendidikan, bla bla bla alih-alih kita tetap merasakan kita juga yang terbaik. Kita juga yang bagus. Kita juga yang benar. Kebenaran itu hanyalah mengikut acuan kita sahaja.

Contohnya, kita kata orang tu tak baik. Makanya, baik sangatkah kita yang sedang mengumpat dia?

Mengapa kita tak boleh terima perbezaan? Mengapa kita tidak boleh berada dalam kasut orang lain? Mengapa kita tak boleh berfikir di luar kotak?

Ish! Banyak sangatlah tanya...bila nak jawabnya?

Aku nak jawab apa...akupun tak tau! Hangpa jawab sendirilah...kemudian bagi tau aku biar aku tau! Boleh gitu?

Celaru otak betul! Lagi baik aku pergi main badminton sementara masa aku belum kena curi nih.




Sabtu, 1 Mac 2014

`Tribute` Muzikal Tan Sri P.Ramlee: Nostalgia Seniman Sepanjang Zaman


Pusat Kebudayaan, JPPel mengalu-alukan semua warga UKM dan sekitar Lembah Kelang untuk sama-sama memeriahkan program "Tribute" Muzikal Tan Sri P.Ramlee: Nostalgia Seniman Sepanjang Zaman" yang akan dipentaskan oleh Artis Budaya Pusat Kebudayaan dan Kumpulan Teater Rimba ARTISUKMA.


Masuk adalah percuma!

Tarikh Acara: 14/03/2014
Masa Acara: 08:00 Malam hingga 10:45 Malam
Tempat: Panggung Seni, UKM
Penganjur / Penganjur Bersama: Pusat Kebudayaan, JPPel

Jumaat, 28 Februari 2014

Wakafkan Harta di Srii Tahfiz Darul Ulum


Dan belanjakanlah (dermakanlah ) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum sampai ajal maut seseorang dari kamu, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau lambatkan kedatangan ajalku sekejap lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh (Al-Munafiquun: 10).






Baca blog Pusat Tahfiz Srii Tahfiz Darul Ulum nak tahu lebih banyak maklumat, tetapi sebenarnya maklumat tu lebih banyak di facebook Kompleks Tahfiz Darul Ulum ni.


Srii Tahfiz Darul Ulum - JWTV



Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya (Al-Baqarah: 261).



Firman Allah surah Ali Imran ayat 180: "Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karuniaNya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi."





Khamis, 27 Februari 2014

Petua awet Muda, Jauhi Aura Negatif


Orang kata, kalau nak sentiasa nampak awet muda, maka jauhilah persekitaran yang ada aura negatif. Aura negatif yang wujud dari persekitaran boleh mengunyah awet muda yang kita miliki. Percayalah!

Namun, dalam hidup ini, ada ketikanya kita tidak ada pilihan untuk menghindari aura negatif ini menerawang di sekitar kita. Nak tak nak, kita perlu juga menahan nafas agar aura negatif itu tidak tersedut dek hidung yang kemudiannya meresap ke paru-paru. Akhirnya nanti, aura itu sedikit sebanyak turut memenuhi rongga dada dan dipam ke serata salur darah. 

Makanya, jika anda memiliki aura negatif itu...boleh tak jauhi aku?

Aku sangat nak jaga awet muda yang kumiliki sekian lama. Sekian, terima kasih.


Rabu, 26 Februari 2014

Cita-cita Saya Nak Jadi Wakil Rakyat PAS


Selasa, 25 Februari 2014

Murid Dulu Murid Sekarang

Aku bukan nak cerita tentang PBS atau Pentaksiran Berasaskan Sekolah, atau tentang kisah dua orang guru yang kononnya ditukarkan ke sekolah di pedalaman hanya kerana mengemukakan cadangan dan tidak bersetuju dengan pelaksanaan PBS yang dilihatnya membebankan guru. Tak. Bukan tentang itu. Bukan berkaitan Ketua Gerak Kerja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari yang mengesahkan dirinya telah menerima surat arahan pertukaran serta-merta secara rasmi semalam.

Juga bukan tentang kenyataan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh bahawa sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak akan dimansuhkan walaupun semalam Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof kata guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Tak juga tentang penafian yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau yang mengarahkan dua orang guru menentang PBS ditukarkan ke kawasan pedalaman. Tidak. Bukan tentang itu.

Entri ni tentang macam mana kami jadi murid dulu-dulu.

Aku jadi murid di negeri paling miskin di Malaysia, negeri Kelantan (ikut kata PM lah). Ketika tu, tahun 80-an (tetiba rasa diri dah berabad hidup hu huhuhu). Aku tak ada peluang masuk sekolah tadika KEMAS pun sebab masa tu belum ada di kampong kami. Semua murid yang berhingus dan dhaif tak pernah kenal ABC sehinggalah masuk darjah satu.

Masa darjah satu, nama sendiri pun aku tak tahu. Dah masuk sekolah, cikgu jenuh panggil nama, aku buat tak tahu je hinggalah cikgu datang bagitahu yang itu adalah nama aku. Kampungan tak?

Masa darjah satu itulah nak kena belajar ABC. Bilang satu dua tiga. Nyanyi lagi negeri. Lagi negaraku. Masa rehat pergi kutip bunga tanjung, cucuk dengan lidi kelapa. Musim hujan, payungpun tak ada. Pergi sekolah guna daun pisang je jadi payung. Kasut Marco yang aku pakai tahan aje setahun. Kalau hujan, simpan dalam beg takut basah dan kotor. Aku jalan kaki ayam. Sampai dalam kelas, lepas cuci kaki baru pakai kasut.

Comot macam manapun kami, kata-kata cikgu sangat keramat. Pesan cikgu sentiasa ingat. Kalau kena denda di sekolah, haram nak bagi tahu mak bapak. Cubalah bagi tahu kalau nak kena sebat lagi teruk dari yang cikgu bagi di sekolah.

Cikgu sebab bukan calang-calang. Guna pembaris besar. Gedebung je balun montot atau tapak tangan. Pernah sekali, pembaris sebesar tu patah dua masa cikgu Nik Man (arwah. Alfatihah) balun seorang rakan sekelas aku.

Dah habis sekolah, jumpa semula dengan cikgu-cikgu lama, sangat segan dan hormat. Masih lagi anggap macam cikgu yang dulu-dulu juga walaupun mengajar masa sekolah rendah dahulunya. Kalau ada kenduri kendara, bila cikgu datang…tinggal dulu semua kerja tengah buat dan pergi salam jumpa bekas cikgu dulu. Layanan first klas bagi kat cikgu.

Kalau musim raya, kat masjid mesti ramai yang rebut-rebut nak salam dengan cikgu lepas solat sunat raya tu. Kalau ikutkan memanglah cikgu dah tak kenal pun, tapi macam suka sangat dapat salam dan sembang sat dengan cikgu walaupun cikgu tu hanya ajar ABC masa sekolah rendah. Tapi, berkat ABC itulah kita jadi kita yang macam sekarang. Kalau tak reti nak baca ABC rasanya sekarang ni kita kat mana?

Tapi suasana sangat jauh berubah. Bukan sahaja tentang PBS tetapi banyak isu antara guru dan murid, termasuk tentang sejauhmana cikgu ada kuasa macam kuasa cikgu-cikgu yang dulu tu. Cikgu bukannya gila kuasa pun, tapi setidak-tidaknya kuasa untuk mewajarkan apa yang diajar, ilmu yang disalurkan tu pun patut ada.

Ketua Jabatan Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah berkata, pelaksanaan kerja sekolah oleh pelajar seharusnya dilihat dari pelbagai perspektif bagi mengelak salah faham banyak pihak. kerja sekolah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan guru bagi kebaikan golongan sasaran (pelajar).

Keperluan melaksanakan kerja sekolah tertakluk dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan guru sejak 10 tahun lalu. Menerusi surat pekeliling pada 2004 itu, kerja sekolah adalah satu tuntutan yang perlu diberikan kepada pelajar sebagai salah satu cara pengukuhan atau memperkayakan pemahaman pelajar.

Namun, walaupun kerja sekolah satu keutamaan yang perlu diberikan kepada pelajar, guru tidak boleh memaksa atau menggunakan bentuk fizikal seperti rotan. Hukuman berbentuk fizikal, apatah lagi melampaui batas tidak dibenarkan walau apa jua alasannya kerana ia di luar batas norma sistem pendidikan.

Tidak menyiapkan kerja sekolah bukan satu kesalahan disiplin dari sudut sistem pendidikan normal, namun ketegasan perlu ada supaya pelajar sedar bahawa membuat kerja sekolah itu ada kebaikannya. Namun jika pelajar enggan atau tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, guru boleh bertegas dan mencari punca mengapa mereka gagal melaksanakan tugasan yang diberikan.

Masa di sekolah rendah aku selalu sahaja kena sebat sebab tak hafal sifir. Bila masuk sekolah menengah, selalu kena berdiri atas kerusi sebab gagal add mats hingga cikgu ZUlkifli yang hensome itu tak tahu nak denda apa dah. Suruh menyorok bawah meja pun tetap juga gagal hu huhu hu tetiba aku TERrindu cikgu Zul. Rindukan lesung pipinya yang dalam itu.

Terima kasih cikgu! Walaupun hingga akhirnya aku tetap gagal add mats, ilmumu kuhargai. Silalah halalkannya ya. 


Krisis Air, Krisis PBS

Sekarang ni cuaca memang sangat panas. Ramai orang dok serbu tempat jualan aiskrim, cendol dan abc, tetapi malam tadi…tetiba sahaja semua serbu kedai hardware cari bekas untuk tadah air. Semua itu gara-gara kerajaan selangor akan memulakan program pencatuan air di seluruh kawasan di negeri itu, mulai hari ini. Tak pepasal bekas air dah jadi mahal dan terlajak laris di pasaran.

Air akan diterima secara berjadual, iaitu dua dapat air, dua hari kemudian tidak dapat bekalan air dan begitulah seterusnya secara bergilir-gilir. Catuan air ini akan berterusan sehingga air di empangan negeri ini berada dalam keadaan seperti sedia kala.

Kalau ikutkan, patutnya akupun kena cari bekas juga untuk tadah air. Tapi, rumah kami hanya 3 orang sahaja. Kebiasaannya kalau takat bekalan air terputus sehari dua, masih lagi boleh tampung. Cumanya, aku dok risau kalau yang masuk dalam tangki rumah tu bukan air, tapi keladak.

Walaupun begitu, tetap juga kalut dok semak kawasan-kawasan di Selangor bakal mendapat catuan air tu. Orang kata sediakan ilmu dulu…masa air ada bolehlah nak basuh segala walaupun aku tau sangat dah mesti air karat yang akan keluar. Tapi sekurang-kurangnya kita tak terlajak cuci baju pada hari kena catu air.

Mmmmmm dengar cerita dua orang guru yang menentang pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dah terima surat tukar ke kawasan pedalaman. Betul ke? Ohhhh kalaulah betul, sangat susahnya golongan tertentu ni menerima pandangan orang lain.

Bermula hari ini, Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat. Penambahbaikan PBS sedang dilakukan dengan mengambil kira dapatan kajian terbaharu kementerian, rungutan guru dan pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) terutama dari sudut kekerapan guru membuat penilaian.

Kalau tanya aku, dah tentulah aku cadangkan mantapkan dulu akses system. Selagi system cap ayam yang diguna walaupun libatkan kos yang tinggi, selagi itu cikgu sakit jiwa nak menilai. Kalau aksesnya dah mantap boleh dilayari puluhan ribu pelayar sehari, nak gebangpun sedap sikit. Aku dah letih tengok adik dan kakak aku dok sakit jiwa nak hempas computer sebab akses system yang ke laut.

Itu antara sebabnya aku tak layak jadi cikgu!


Isnin, 24 Februari 2014

Deliberi Masakan Kelantan di Bangi


Semenjak dua menjak ni, rutin hidup aku agak berubah sedikit sebanyak. Bagi memudahkan kehidupan, aku telah gunakan sepenuhnya perkhidmatan Tempahan Masakan Kelantan yang aku kenal secara online di Facabook. Beroperasi sekitar Bandar Baru Bangi dan Putrajaya. Memang banyak membantu aku.

Gulai kawah @ darat...dah lama mengidam. Merasa juga akhirnya!

Entri ni bukanlah entri berbayar. Ini hanya perkongsian pengalaman aku yang manis. Bila dah hilang upaya, sebenarnya aku memerlukan sesuatu yang memudahkan cara hidup aku termasuk dari sudut makanan. Selama mana aku mampu telan pizza yang dihantar ke depan pagar rumah. Namapun perut melayu, kalau tak melantak nasi memang tak sah. Jadinya...Tempahan Masakan Kelantan memang kena pada masanya muncul di kawasan Bangi.


Aku hanya perlu SMS masakan yang aku nak...konsepnya hanya satu menu sahaja satu hari. Tak kesahlah...asal aku tak kebulur. Esoknya, makanan akan sampai di hadapan pintu pagar rumah aku tepat seperti yang aku nak. Bayar cash dan terus makan dengan lahapnya.

Balik kampung ari tu pun tak sempat cari nasi dagang macam ni...kenalah tunggu depa buat kat sini lak

Rasanya? Kalau anda pencinta masakan Kelantan, rasanya itu sesedap makanan yang dibeli di negeri paling miskin sana nun! Harga hanya RM6 sepeket, rasa yang asli...penghantaran terus ke pintu pagar hu hu huh u nikmat betul hidup! Bila aku cerita dengan Mek...terkagum kehairanan dia...Haih! hantar sampai pintu pagar!

tengah tunggu peluang nak order nasi kerabu ayam goreng lagu ni hu hu hu hu

Nasib baik dia orang ni buat perkhidmatan penghantaran masakan hingga pintu pagar rumah...ingat Pizza je ke mampu buat? Orang Kelantan pun mampu! Kreatif tak mereka? Bukan sahaja kreatif, memudahkan tembolok aku penuh hu huhuhu

yang macam ni pun dah sedap menjilat jari...

tetiba air liur meleleh hu huhu hu macam mana nak diet kalau gini?

Orang yang berjaya adalah orang yang kreatif. Orang yang buat benda orang lain tak buat. Kalau mereka kekalkan rasanya, aku tetap pasti mereka boleh jadi usahawan yang berjaya. Kat bangi ni ramai orang kelaparan dan kebuluran....silalah gigih ambil kesempatan tersebut.

Selamat maju jaya kepada Tempahan Masakan Kelantan. Aku akan sentiasa menyokong...bukan sahaja sokong anak bangsa aku maju...sokong sebab nasi kerabu dia memng sedap. Lebih sedap dari nasi kerabu yang jual kat kampung aku nun!


Jumaat, 21 Februari 2014

Maka Turunlah Hujan Memberi Kesejahteraan Seisi Alam


Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).


(Yunus 10:24)


Semoga ada rahmatNya turunkan bumi Bangi dengan hujan yang lebat, basahkan kekeringan yang kian mencengkam.Dinginkan suhu yang kian hangat ini...semoga lebih sejahtera hidupan. 


Khamis, 20 Februari 2014

Pengalaman Masuk Dalam Keranda MRI


Ada orang kata masuk dalam Magnetic resonance imaging (MRI) ni macam masuk dalam keranda. Keranda? Opssss!

Aku sebenarnya tidak dapat gambarkan macam mana situasinya kalau masuk dalam MRI ni, tetapi masa kecik-kecik dulu macam pernah teringin je nak masuk dalam alat bulat ni. Nak tengok apa ada kat dalam tu.


ginilah rupanya keranda MRI tu...

Nak jadi cerita, masa dimasukkan ke wad dan rasai pengalaman tinggal di KPJ Kajang tempoh hari walaupun banyak pengalaman baru aku masuk wad aku rasa termasuk mereka halau aku keluar hospital cepat-cepat, aku dapat pengalaman masuk dalam gua ni juga. Huh u huh u ohhhhhh sangat mendebarkan!

Mula-mula perlu kenakan pakaian khas, buka semua peralatan magnetic macam jam, cincin, barang kemas atau pin rambut. Baring atas katil. Pembantu akan ikat dengan cara tertentu dan tak boleh bergerak sikitpun selama 45 minit proses berlangsung kecuali hujung jari je. Mereka bekalkan loceng untuk aku tekan kalau rasa tak selesa atau apa-apa berlaku. Kalau gerak, kena ulang semula huh u huh u hu sanggup ka nak tadah semula hingga 45 minit lagi?

Selesai kena ikat, terus je mereka sorong aku masuk keranda tu huh u huhuhu ingatkan kat dalam tu besar lubangnya…rupanya hanya beberapa inci sahaja di atas muka aku ada kepingan besi gitu. Tersentap sekejab. Terus je aku jerit mintak mereka tarik aku keluar semula.

Aku sebenarnya fobia dengan tempat sempit. Ketakutan ini digelar Claustrophobia, yang cenderung menjadi gugup, berkeringat, sesak nafas bila berada di ruang yang sempit. Memang kalut. Masa kecil dulu kepala aku pernah tersangkut bawah almari masa tidur. Bila bangun pagi, jenuh nak keluar dari bawah almari tu…terjerit-jerit panggil Mek. Sampai sekarang fobia tu masih ada.

jangan harap aku akan merangkak kat tempat ni...patah balik je!


Agak lama juga ambil masa untuk tenteramkan jiwa raga hadapi fonomena masuk keranda ni. Nasib baik staf bertugas itu (seorang India dan seorang lagi Cina) sangat sporting. Sabar je dia tunggu hingga aku betul-betul sedia. Katanya “awak zikirlah…awak doa lah…baca lah apa-apa ayat” huh u huh u termalu sekejab aku!

Akhirnya Berjaya juga atasi fobia tu. 45 minit dalam keranda tu aku pejam mata awal-awal sebelum mereka tolak masuk lagi. Lepas tu aku cuba untuk tidur. Tengah dok berangan nak tidur dengan lena (tak boleh lena dengan cepat sebab macam-macam bunyi ada sepanjang berada dalam MRI ni), tetiba dah siap. Aku dah berjaya tidak bergerak selama masa 45 minit itu. Chaiyokkkkk!

Fuhhhhh! Lega!

Mmmmmm bukan mudah dan murah kos untuk benda alah ni rupanya. Masuk dalam benda ni dalam masa 45 minit tu pun kosnya dan dekat seribu hu hu hu. Itu sebablah orang miskin dilarang sakit. Belum campur lagi kos lain ya...mana kos untuk jumpa pakar, ubat, rawatan, caj katil bagai...Tak mampu nak bayor nya!

 

Rabu, 19 Februari 2014

Orang Miskin Dilarang Sakit


Nak tak nak kita terpaksa terima hakikat bahawa orang miskin dilarang untuk sakit. Hanya orang-orang kaya sahaja mampu untuk sakit.

Aku pergi ke klinik panel, doctor hanya bangi ubat tahan sakit dan krim sapu. Pergi pula Pusat Kesihatan, juga serupa. Ubat tahan sakit. Krim sapu walaupun ketika itu aku dah tak mampu nak berjalan tegak. Paling baik pun panjangkan MC aku ke tiga hari berbanding panel bagi MC hanya sehari.

semakin menular ke negara kita situasi ni...

Kalau tak ambil insuran kesihatan, gamaknya aku masih lagi merangkak ke klinik panel dan pusat kesihatan meminta ehsan ubat tahan sakit berpikul-pikul. Kena mengulang pula pergi setiap dua hari untuk sambung MC lagi. Tak boleh kah bagi je terus sebeban MC seminggu. Dah lah bukan mudah nak pergi klinik. Bukan tak nampak pun aku tak boleh nak berjalan...bergerak sikit je terus kaki kram.

Berbelas tahun aku kerja, boleh bilang dengan jari berapa kali aku MC. Ada masa doctor klinik panel paksa aku ambil surat MC tetapi aku menolak sekiranya aku banyak kerja dan kesihatan aku tidak begitu memudaratkan sangat. Namun bila aku benar-benar sakit hinggakan nak berjalanpun tak mampu, doctor bagi MC satu hari?

Bila pernah sakit panjang begini, adakah syarikat insuran masih berminat untuk tawarkan polisi mereka?
Hakikatnya...tanpa insuran, tanggung sendirilah kesakitan itu!

Itu belum campur lagi kerenah manusia yang perasan bagus bila dapat rawatan di hospital swasta ataupun kes kena halau dari hospital bila pihak insuran mendesak hospital untuk keluarkan aku dari rehat yang panjang itu. Jadinya, sama ada kita punya insuran kesihatan atau tidak, sakit itu bukanlah sesuatu yang sangat dibanggakan oleh pihak insuran yang kita langgan entah berapa belas tahun itu, walaupun hospital memang teruja menerima kita dengan hati lapang. Akhirnya, terpaksa pula akur dengan kehendak insuran yang mahu segera campak kita keluar walaupun masih belum boleh berlari sepenuhnya.

Memang benarlah, orang miskin memang dilarang sakit. Kalau sakit juga...merempat makin papa kedalah jua akhirnya!




Selasa, 18 Februari 2014

Gambar Kebakaran Deretan Rumah Kedai di Pasir Putih Kelantan


Ketika pasukan Kelantan TRW rancak berjuang dapatkan kemenangan 6-5 dengan PKNS, (Tahniah TRW yang sentiasa sahaja Gomo Kelate Gomo walaupun tergamam seawal minit pertama bila pintu gol dibolosi semudah itu) satu kebakaran rumah kedai berlaku di Pasir Putih, Kelantan.

Berikut gambar-gambar kebakaran deretan rumah kedai yang berlaku di Pasir Putih Kelantan bersumberkan FB sdr Rose Ibrahim;






Maklumat lanjut tentang kebakaran ini boleh kita tengok dalam akhbar esok ya...malam-malam di reporter dah tidur ya hu huhu h uhu

PsssT: Baru je kedai di kawasan bebas cukai Rantau Panjang terbakar tempoh hari, hari ni deretan kedai di Pasir Putih pula yang hangus terbakar. Semoga tuan punya kedai tabah hadapi ujian ini.