Memaparkan catatan dengan label pray for MH370. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pray for MH370. Papar semua catatan

Khamis, 23 Oktober 2014

Serpihan MH370 Ditemui Di Pantai Indonesia?

Hari ini, satu Serpihan dipercayai bangkai pesawat dilaporkan ditemui di pantai Indonesia. Pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada ia adalah daripada pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang itu.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata, serpihan yang terapung tersebut mungkin telah hanyut menjauhi perairan Barat Australia dan menuju Indonesia.

Kemungkinan tetap ada. Serpihan itu mungkin dihanyutkan ke perairan Indonesia di bawa arus tetapi pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkannya. Operasi pencarian dasar laut kini sedang dijalankan di sebalah barat perairan Australia, iaitu zon yang dikenal pasti oleh pasukan penganalisis. Menurut ATSB, ketika pesawat MH370 melalui zon tersebut, ia dipercayai telah kehabisan bahan api dan mula terbang rendah.

Fasa baharu pencarian dasar laut MH370 telah dimulakan bulan ini dan setakat ini melibatkan kawasan seluas 1,200 kilometer persegi. Kapal GO Phoenix yang disewa Malaysia dalam misi tersebut kini meneruskan operasi selepas ia singgah di Pelabuhan Fremantle Port di Perth untuk mengisi minyak Selasa lalu. Kapal tersebut dilengkapi jentera pengesan dasar laut cangggih iaitu 'ProSAS' yang mampu menjalankan pencarian sehingga kedalaman 6,000 meter dan meliputi kawasan seluas 194 kilometer persegi sehari.

Semoga misteri ini terjawab akhirnya. Doakan semuanya berakhir dengan segera. Perasaan memang sangat terdera. Jasad pun entah di mana, kotak hitam lagi lah susah nak jumpa. Dalam masa orang dok kalut mengesan MH370 tu pun, ada jugak penyangak kebas wang mangsa MH370. Tadak hati perut betul!

Sabtu, 15 Mac 2014

Terkini Sidang Akhbar MH370 Oleh PM Najib Razak


Laporan agensi berita luar negara (termasuk Associated Press) melaporkan Boeing 777-200ER yang dikemudi oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, yang membawa 227 penumpang dan 10 anak kapal mungkin dirampas. Penyiasat telah membuat kesimpulan bahawa salah seorang juruterbang atau terdapat individu lain yang mempunyai kemahiran mengendali pesawat telah merampas penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Dalam sidang akhbar berkaitan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya masih menyiasat kemungkinan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dirampas. Katanya, pesawat tersebut mungkin terbang sejauh Kazakhstan dan Indonesia.

usah berputus harap untuk memohon kepada Dia


Kesimpulannya: belum ada kata muktamad sama ada pesawat MH370 dirampas atau tidak. Semuanya masih lagi misteri. Masih menjadi teka teki dan tanda tanya seluruh dunia dengan misteri kehilangan MH370.

Video penuh sidang media khas operasi mencari dan menyelamat MH370 oleh Perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15/03/2014



Aku tak nak komen apa-apa, biarlah orang yang pakar buat kerja mereka. Aku tak tahu apa-apa pasal kapal terbang, jadi aku tak boleh nak cakap lebih. Mereka lebih tahu. Karang aku komen, nampak benarnya tayar kapal terbangpun aku tak pernah sentuh. Dan aku amat yakin, mereka yang berkaitan dengan kehilangan ini tak cukup tidur sejak seminggu lepas. Kalau boleh, aku nak pergi beritahu mereka setiap seorang (orang MAS, tentera Udara, darat, laut, bomba, bla bla bla …termasuk wartawan semua, TIDAK TERMASUK Bomoh VIP yang mahu menampar KJ), semoga kerja keras kalian semua diberkati dan dimudahkan Allah. Rakyat Malaysia sangat berterima kasih dengan dedikasi kalian semua. Boleh gitu?

Makin hari, aku rasa makin tawar hati nak tengok berita, baca akhbar, baca blog dan segala-galanya tentang misteri kehilangan MH370. Selain dari penat nak tapis berita mana satu yang sah, mana satu yang spekulasi, mana satu teori bagai…hati juga tak larat dah nak tengok cerita mengarut tentang Bomoh VIP pakcik Bubu, pelbagai parody, gambar-gambar pelik dan trending semasa. Belajarlah untuk sensitif dengan perasaan orang lain. Bergurau itu ada had dan batasannya...salah gurau, jadi gurau bewak. Maafkanlah hatiku ini ya…ampunilah kami.

Semoga kita tidak pernah putus harapan dan sentiasa memohon kepada Dia.




Rabu, 12 Mac 2014

Ampunilah Kami


Ya Allah,
ampunilah kami yang lemah ini
berikanlah kami kekuatan untuk terus kuat mental dan fizikal
moga-moga ujianMu ini lebih teguhkan hati kami
untuk terus mengingati kebesaranMu

Ya Allah,
berikan kami kekuatan emosi dan spiritual
melalui detik-detik getir ini
cabarannya tidak sekadar kekuatan iman dan takwa
dugaan tidak hanya merentap hati kami yang rapuh
namun menduga keyakinan kami dengan kasih sayangMu

ya Allah, kuatkanlah hati kami dalam imanMu
teguhkanlah kepercayaan kami dengan kuasaMu
hindarilah kami dari kesesatan yang nyata


Ya Allah, ampuni kami yang tergelincir dari jalanMu nan lurus
tetapkanlah hati-hati kami dari syirik kepadaMu
teguhkan pendirian kami dari terus terpesong menduakanMu
Jauhi kami dari malapetakaMu dengan kelalaian
sebahagian hamba-hambaMu, ya Allah

Ya Allah, kami hambaMu yang lemah untuk terus menanggung musibah
Kami hambaMu yang kerdil dan lalai dengan tipu daya syaitan
Andai kami hanyut, kembalikanlah ke jalan yang benar
Andai kami salah, ampunilah kami dengan kasih sayangMu Ya Allah.

~Annieyss~
Bandar Baru Bangi



Aminkan Doa Ini...


Biar di mana adanya kamu
Aku hanya harapkan pulanglah!
Resah gelisah ini leraikanlah
Ubatkanlah rindu dendam ahli keluarga mereka
Sapulah air mata kaum kerabat sedang nestapa

Kembalilah!
Masih ramai menanti dalam doa dan harap


Bersama kita aminkan berkas doa ini
pulanglah MH370...hentikan tangisan kami