Memaparkan catatan dengan label motivasi diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label motivasi diri. Papar semua catatan

Selasa, 8 Disember 2015

Terima Kasih Bank Pertanian

Balik dari waterfront dengan perut yang kenyang selepas kena bahan dengan abe hensem, ambil gambar kawasan tersebut, terus sahaja balik hotel. Seharian kerja memang penat walaupun ikutkan, dalam ekon je pun. Bukannya kerja tengah bendang berpanas berlumpur. Nampak sangat dah tua kan…dah kurang kudratnya.

Di lobi hotel nampak ramai pakai baju Agro Bank. Tiga orang daripadanya satu lif denganku. Dari Semenanjung.

“Kami bank tak glamer,” kata salah seorang dari mereka merendah diri.

Bank Pertanian sangat dekat dengan hati kami…” balasku dan tersenyum.

Yaaaa kehidupan kami sekeluarga berubah setelah seorang pegawai Bank Pertanian (sekarang ni dah tukar nama Agro Bank) di Kota Bharu buat satu keputusan berisiko. Kisahnya begini;

Masa dulu-dulu, kalau dapat tawaran masuk universiti, ibu bapa kena lunaskan yuran pengajian untuk satu semester. Jadinya, sekali turun tu, mahu nak kena pakai 4-5 ribu. Bagi orang sengkek papa kedana macam kami, mana nak cekau?

Bila kakak berjaya sambung belajar di UKM, ayah cagarkan sekangkang kera relung kami kepada sedaranya, tapi akhirnya, relung itu jadi hak milik dia terus setelah ayah ditipu. Dah lah kami papa kedana miskin tegar, kena tipu pulak. Paling sakit ditipu sedara mara sendiri. Tapi apa nak hairan, harta punya pasal kan.
Fuhhhhh comey gilerrr sawah padi dia....

Sejak muda ayah kerja keras tetapi hidup kami tak berubah pun. Makan pun tak cukup. Akhirnya, ayah ke Bank Pertanian di Kota Bharu untuk mintak pinjaman pertanian nak bagi beli traktor. Pegawai bank tu tanya “Pakcik nak cagarkan apa sebagai cagaran?”

“Kalau saya ada harta nak cagar, buat apa saya datang sini?” kata ayah sambil tunjuk dia hanya ada duit RM10 sahaja.

“Dapat tak pinjaman tu?” tanya pegawai Agro bank yang aku jumpa dalam lif di Hotel Riverside Kuching itu.

Aku angguk dan senyum “Terima kasih Bank Pertanian bagi peluang ayah ubah hidup kami,” kataku sambil keluar lif.

Ya, Setelah berdebat pi mai pi mai, akhirnya pegawai itu luluskan pinjaman ayah sekalipun cagarannya hanya air liur. Bermula hari itulah aku menyaksikan kegigihan ayah yang luar biasa. Berbekalkan satu traktor, ayah kerja siang malam bajak sawah (sawah sendiri dan ambil upah bajak sawah orang) dan tanam padi untuk ubah taraf hidup keluarga kami. Berjaya hantar kami sekolah lima tingkat. Alhamdulillah.

Dan kini juga, adik bongsu kami meneruskan legasi ayah di sawah, dengan penggunaan teknologi terkini juga. Cumanya, dia tidak lagi buat pinjaman dengan Agro Bank. Mungkin, sebab dia memiliki lebih banyak ringgit Malaysia semasa meneruskan usaha tersebut berbanding ayah yang hanya ada RM10. Dan dia, hidup lebih tenang tanpa fikirkan hutang piutang perlu diuruskan berbanding kami yang kononnya kerja besar dan kerjaya hebat ini. Hakikatnya, dia lagi hebat dari kami.

Jumaat, 14 Mac 2014

Dah Setahun Saya Bertongkat


Sejak pertengahan Januari, rutin aku berubah sedikit. Kalau tak pergi kutip MC, aku akan pergi buat fisioterapi sekali seminggu. Ada kala lepas fisioterapi, badan jadi lenguh-lenguh, lalu aku panggil seorang kakak tukang urut ke rumah. Kakak tu memang tahu aku ni jenis tak pernah urut, kali pertama urut ingatkan aku akan menjerit-jerit melolong hingga riuh rendah satu taman, rupanya kesakitan yang dialami menenggelamkan rasa geli itu. Urutnya itu juga hanya pinggang ke bawah sahaja, nak atasi sakit-sakit lenguh badan sahaja tanpa dia urut bahagian belakang. Karang tak pepasal cedera yang aku alami ni makin teruk pula.

Kalau ada masa senggang, aku pergi ke pusat Ceragem bangi (ini bukan promosi perkhidmatan ya), belakang rumah aje. Mereka ada katil urut yang agak selesa untukku setelah beberapa kali pergi mencubanya. Asalnya aku rasa terpaksa pergi ke sini kerana jiran sebelah rumahku yang baik itu tak pernah rasa putus asa untuk bawa aku. Pepagi buta sanggup dia telefon kejutkan aku, bawa ke pusat terapi ini juga. 

mereka bersemangat bersenam sebelum mulakan rawatan urutan

Semalam, Khamis aku luangkan masa lagi sekali ke pusat ni setelah minggu lepas tidak seharipun sempat singgah. Urutan menggunakan katil ini berlangsung selama 45 minit, tetapi masa menunggu tu lebih kurang setengah jam lebih juga kerana agak ramai pakcik makcik sedang menunggu giliran.

Semasa nak balik, aku bertembung dengan seorang lelaki yang lebih kurang baya aku juga. Dia juga bertongkat, sedang berdiri berhampiran kaunter menanti gilirannya. Kami sempat bertegur sapa dan bersembang seketika.

Ini ajelah yang boleh buat cuci mata...masa pengunjung tak ramai

Katanya, dia alami masalah saraf hingga memerlukan dia bertongkat. Lebih setahun lamanya. Bermacam cara dia buat untuk sihat semula. Air mukanya nampak redup, macam berjerebu pula. Aku boleh nampak semangatnya dah menurun. Barangkali dia datang ke pusat itu dengan harapan yang berbaki sahaja.

Sebelum turun tangga aku sempat beritahu dia “Allah sedang berikan kita pahala yang banyak dengan dugaan sebegini. Marilah sama-sama kita kutipnya dengan bersabar dan redha…”.

Biarpun dia menjawab “Insha Allah”, namun aku dapat dengar suaranya yang serak dan cuba menahan air mata yang tergenang. Tiba-tiba aku rasa sangat bersalah kerana menyentuh hatinya sedemikian rupa. Walaupun begitu, aku berharap, kata-kata itu menyuntik semangat baru untuk dia.

Ada masa kita rasa diri kita paling malang di dunia ini, sedangkan masih ada orang lain lagi mencabar ujiannya. Bertongkat kita rasa bagaikan musibah, sedangkan orang lain yang nampak sihat itu lebih menderita bila tidak mampu berkerja.

Aku fahami mengapa dia rasa down. Dia ketua keluarga, banyak perkara tidak mampu dilakukan dengan sempurna lagi bila bertongkat begitu. Aku berdoa moga-moga dia dikurniakan isteri yang penyabar dan memahami dan anak-anak yang tidak membebankan.Kalau tidak, dah tentu dia lagi rasa tertekan.


Selasa, 4 Mac 2014

Muda Lagi Dah Bertongkat


Masih lagi cerita pentang pengalaman yang aku jumpa masa pergi HUKM selasa lepas.

Dah selesai semua urusan (dah buat temujanji dengan doktor pakar, dah kutip MC 3 hari (SAHAJA) yang doktor bagi), makanya teringin, sebenarnya TERrindu nak makan mehun sup SEDAP yang selalu aku makan kat kafe HUKM dulu-dulu. Dulu-dulu itu bermakna pat lima tahun lepas, atau sebenarnya bermula awal tahun 2000.

Semua tu semata-mata sebab nostalgia. Tapi bila pergi...patah balik tanpa makan apa-apa sebab nostalgia yang indah itu dah tak ada. Jadinya, aku singgah duduk sekejab di deretan kerusi berhampiran farmasi. Caj tenaga. Sejak bertongkat ni kena selalu berhenti caj tenaga semula. Kalau tak, capek que!

Memerhati manusia memang dah perangai aku hinggakan ada seseorang pernah nasihatkan aku untuk hentikan tabiat itu. Mana mungkin! Jadinya, banyaklah perangai manusia aku jumpa sepanjang aku caj tenaga di situ.

Tetiba seorang akak menyapa dengan senyum manis dan duduk sebelah aku. Katanya dia dah pencen, tapi kalau tengok wajahnya tu...aku boleh kata umur dia 45 tahun. Paling utama, wajahnya itu begitu berseri-seri. Senyumnya itu sangat menawan dan terserlah keihlasan hatinya. Bukan senyum buat-buat macam aku. Ohhhhh! Tetiba aku sedar diri betapa palsunya aku!

Dia pandang tongkat dan berkata “kesiannya...muda-muda lagi dah bertongkat,”.

Walaupun dia tak cakap, sebenarnya aku tahu dia kesian kat aku bukan sebab tongkat tu...tapi sebab aku bertongkat dan uruskan semua perkara di HUKM sensorang diri. Terima kasihlah sebab kesian kat aku, tapi...aku dah biasa buat sendiri semua benda dalam hidup ni. Aku tak rasa terbebanpun. Aku rasa macam boleh je buat.

Aku senyum je lah. Nak kata apa? Nak komen apa? Tak ada perkataan masa tu. Dia bekas nurse, bila aku sebut slipped disc dah tentu dia memahaminya lebih dari aku sendiri.

“Akak baru je sihat dari kanser tiroid tahap 4. Lepas buat kimo, akak kena stroke dan koma sebulan. Tangan ni menggerekok tak boleh lurus...doktor kata akak boleh hidup 3 bulan je. Lepas tu semua organ dalaman akak rosak...jantung, paru-paru, buah pinggang, hempedu...kemudian darah tinggi dan kencing manis,” cerita kakak tu.

Aku diam, angguk-angguk kepala kusyuk dengar kakak tu cerita.

“Masa doktor sahkan ada kanser...akak rasa down sangat. Kecewa dan rasa nak bunuh diri...sebabnya, akak selalu check dan buat ujian, tapi doktor kata tak ada apa-apa. Sihat. Bila pergi swasta, baru boleh kesan. Tu pun dah tahap 4...”

Aku dengar lagi. Angguk-angguk juga.

“Berpuluh kali pembedahan buat...merata tempat. Satu kali sedara mara paksa pergi jumpa ustaz. Akak bukan percaya sangat benda-benda gini, tapi terpaksa pergi...bla bla bla...”

Belum habispun dia bercerita dengan ceria itu, dia minta diri untuk beli akhbar. Tak sempat habis pun sembang. Masih banyak lagi aku nak tanya sebenarnya, terutama tentang “macam mana dia boleh kelihatan begitu ceria dan gembira itu”. Dah lama aku tak jumpa orang yang bawa aura gembira sebegitu.


Isnin, 23 Disember 2013

Maaf, Daku Hanya Insan Biasa


Daku Hanya Insan Biasa. Insan biasa yang banyak kelemahan, hingga ada masanya, lebih yang lemah itu menyebabkan diambil kesempatan.

Daku Hanya Insan Biasa. Yang terlalu biasa. Yang tak punya apa selain harapan dan impian. Harapan dan mimpi yang besar ini sentiasa mengekang, selalu mengejar dan kerap membelenggu. Ada ketikanya buatkan aku terkedu sendiri. Arah manakah sebenarnya hidup ini? Masih jauhkah lagi aku perlu berlari dan mendaki?

Daku Hanya Insan Biasa, yang sentiasa teringin menjadi anak yang terbaik kepada kedua ibu bapanya. Anak terbaik yang tidak menyusahkan mereka di dunia, apalagi akhirat. Yang akan menyenangkan hati mereka. Namun aku tetap insan biasa.

Daku Hanya Insan Biasa, yang sentiasa sahaja mahu menjadi pekerja terbaik. Nak penuhi KPI tahunan menggunakan jalan yang lurus. Bukan jalan bengkang bengkok. Namun jalan lurus yang terlalu jauh itu akhirnya tetap jadi bengkok pula hingga aku jadi serba salah untuk teruskan atau berdiri statik pada tahap itu sahaja. Aku jadi keliru. Aku jadi serba salah. Mana mahu dituju? KPI yang ditetapkan dengan pelbagai rencam itukah, ataukah KPI yang diri tetapkan? Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan bumi ini, berikanlah daku hidayah untuk terus berada di jalan menuju kebenaran.

Daku Hanya Insan Biasa, yang ingin menjadi sahabat terbaik. Sekalipun aku sedar sangat banyak lemahnya diri ini tatkala bersahabat. Tak mampu menyenangkan hati sahabat, tak mampu membantu sebaiknya tatkala diperlukan. Aku tetap insan biasa itu. Yang serba kurang. Namun, hati jadi sayu andai hanya mampu memandang. Lalu apakah cara terbaik?

Daku Hanya Insan Biasa, yang ingin mengembirakan rakan-rakan sekalipun tanpa ucap. Namun aku terlalu takut andai terlebih menyayangi membuatkan diri lemas dalam kepayahan andai suatu hari nanti mereka perlu aku lepaskan satu persatu. Serikkah buatkan aku begitu mengekang diri, ataukah remuk redam carik disiat masih membenih luka maha dalam? Daku Hanya Insan Biasa. Terlalu biasa. Tak mampu untuk mengubah banyak cerita dunia.

Maaflah, Daku Hanya Insan Biasa. Aku hanya tahu berlari dan mendaki, hingga terlupa untuk menghargai. Hingga terlupa untuk berterima kasih kepada ramai yang memberi termasuk diri. Hingga terlupa untuk menikmati.


Jumaat, 20 Disember 2013

Terima Kasih Ya Allah, Dengan Segala Yang Kumiliki


Ini enteri tentang motivasi diri. Tentang bagaimana memandang orang dan diri sendiri yang memiliki.

Seringkali kita memandang “buah cempedak di luar pagar”, sedangkan kita terlupa tentang indahnya mawar berkembangan di pasu sendiri. Itu biasa berlaku kepada kita, kepada dakupun.

Kita melihat keluarga orang bahagia gembira ria, sedangkan kita pula terlupa untuk menghargai keluarga sendiri. Ada Mek ayah, sejauhmana kita gembirakan mereka. Gembirakah mereka miliki anak seperti kita? Kita ada adik beradik yang ramai tetapi sering terlupa untuk tanya khabar. Gembirakah mereka ada adik beradik macam kita, ataukah termengkelan perasaan dengan perangai kita yang terlalu mementingkan diri sendiri?

Kita tertekan dengan kerja seharian di pejabat, namun pernahkah kita terfikir bagaimana perasaan orang lain yang tidak memiliki kerja pun. Apa sahaja yang boleh mendatangkan rezeki, mereka sanggup lakukan walaupun hanya mengutip kotak dan tin, menyusur lorong-lorong busuk mencari sesuatu yang boleh mendatangkan rezeki. Berpanas berhujan tak mengira hari, berpeluh hamis tak kira waktu. Kita yang berada dalam pejabat berhawa dingin bak musim salji ini pun masih lagi mengadu susah dan tertekan? Bukankah dulu kita sendiri juga yang cari kerja…dah dapat kerja, silalah kerja. Kalau tak mahu kerja, masih ramai lagi orang lain nak kerja. Usah tambah kerja orang lain dengan perangai tak senonoh kita main-main masa kerja…berapa banyak “kerja” daaaaaa!

Kita (bukan aku tu ya!) lemas bila tak ada anak. Namun, pernah tak kita terfikir bahawa dalam dunia yang luas ini kita masih lagi beruntung kerana punya suami yang baik dan penyayang. Ada orang lain suaminya suka bergusti dan westling. Lambat buka pintu pun digustinya bini, dilanyaknya macam dalam gelanggang westling. Terfikirkah kita bahawa masih ramai lagi perempuan di Malaysia ini tak ada suamipun. Susah senang dia hidup sendiri. Senyum tangis pun dia sendiri. Masih tak beruntungkah nasib kita berbanding orang lain?

Kita dok mengeluh kehidupan kita susah. Nak beli rumah mahal harganya mengalahkan beli kapal selam. Namun, pernah tak kita terfikir bahawa masih ramai makhluk di Malaysia ini yang gelandangan walaupun ramai juga gelandangan di Kuala Lumpur itu makin demand sejak ramai sukarelawan datang menolong. Ramai lagi yang tak mampu menyewa rumah walaupun hanya bawah rumah orang seperti P.Ramlee dalam Ibu Mertuaku itu.

Kita tak punya barang mewah seperti idaman ramai orang. Kalau boleh nak guna beg Prada, LV yang ribu riban tu…nak emas berlian intan suasa penuh hingga lengan macam pokok krismas bergerak tu, nak perabut dan pinggan mangkuk yang diimport dari luar Negara. Macamlah kalau kita makan dalam pinggan perex bagai tu rasanya berbeza berbanding makan dalam pinggan plastik macam kat kantin sekolah tu. Kalau boleh kita nak pakai kasut Jammy Choo walaupun pergi pasar malam, sedangkan…pernah tak kita terfikir, bahawa ada orang lain tak punya kakipun untuk pakai kasut, apalagi nak bermimpi pakai kasut yang mahal.

Pernah tak fikir begitu? Pernah terfikir tak? Ataukah kita hanya memandang diri kita yang serba serbi kekurangan, kemudian membandingkan pula dengan sejuta kelebihan yang ada pada orang lain? Kita nak rumah bak istana Negara, nak kereta spot Lomboghini atau Ferarri…kalau boleh, jalan yang kita pijakpun berkilau emas berlian. Ingat Ratu balqis apa??? Ingat kita ni nabi Sulaiman apa???

Tak salah berazam nak kejar kesenangan dunia, namun usah pula sampai lupa untuk bersyukur. Biarpun sibuk mendaki awan, usahlah lupa tunduk ke bumi memandang hijau rumput yang terhampar. Biarpun rumput berada di bawah, ia tetap lembut menadah tumit kaki tanpa mengira kita menapak dengan sopan atau kita terpelanting jatuh dari langit.

Sebesar-besar kekayaan di dunia adalah Iman. Jangan biarkan ia menjauh.

Alhamdulillah. Daku syukuri dengan setiap nikmatMu yang dikurniakan. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang kufur nikmat.


Isnin, 18 November 2013

Gigihlah Untuk terus Melangkah


Bila hidup pernah terhenti pada satu titik, tidak bermakna nokhtahnya berada di situ. Mungkin titik itu hanya satu hentian untuk kita lepaskan lelah sebelum kembali mendaki puncak impian.

Genggam kemaslah impian, kejapkan kegigihan...maka sambunglah perjalanan yang terhenti itu.

Tanpa putus asa, insha Allah...ada buah untuk dinikmati mengikut tahap gigih kita itu sama ada masam, kelat, payau, pahit atau manis. 

Selamat memetik buah!

Daku masih pada tahap menebas semak samun mencari jalan terang. Semoga daku ketemu jalan yang lurus dan diredai itu...Aminnnnn.

PssssT: mood sakit-sakit badan pikul bagasi hu hu huhu