Aku bukan nak cerita tentang PBS atau Pentaksiran Berasaskan Sekolah, atau tentang kisah dua orang guru yang kononnya ditukarkan ke sekolah di pedalaman hanya kerana mengemukakan cadangan dan tidak bersetuju dengan pelaksanaan PBS yang dilihatnya membebankan guru. Tak. Bukan tentang itu. Bukan berkaitan Ketua Gerak Kerja Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari yang mengesahkan dirinya telah menerima surat arahan pertukaran serta-merta secara rasmi semalam.
Juga bukan tentang kenyataan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh bahawa sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak akan dimansuhkan walaupun semalam Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof kata guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.
Tak juga tentang penafian yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau yang mengarahkan dua orang guru menentang PBS ditukarkan ke kawasan pedalaman. Tidak. Bukan tentang itu.
Entri ni tentang macam mana kami jadi murid dulu-dulu.
Aku jadi murid di negeri paling miskin di Malaysia, negeri Kelantan (ikut kata PM lah). Ketika tu, tahun 80-an (tetiba rasa diri dah berabad hidup hu huhuhu). Aku tak ada peluang masuk sekolah tadika KEMAS pun sebab masa tu belum ada di kampong kami. Semua murid yang berhingus dan dhaif tak pernah kenal ABC sehinggalah masuk darjah satu.
Masa darjah satu, nama sendiri pun aku tak tahu. Dah masuk sekolah, cikgu jenuh panggil nama, aku buat tak tahu je hinggalah cikgu datang bagitahu yang itu adalah nama aku. Kampungan tak?
Masa darjah satu itulah nak kena belajar ABC. Bilang satu dua tiga. Nyanyi lagi negeri. Lagi negaraku. Masa rehat pergi kutip bunga tanjung, cucuk dengan lidi kelapa. Musim hujan, payungpun tak ada. Pergi sekolah guna daun pisang je jadi payung. Kasut Marco yang aku pakai tahan aje setahun. Kalau hujan, simpan dalam beg takut basah dan kotor. Aku jalan kaki ayam. Sampai dalam kelas, lepas cuci kaki baru pakai kasut.
Comot macam manapun kami, kata-kata cikgu sangat keramat. Pesan cikgu sentiasa ingat. Kalau kena denda di sekolah, haram nak bagi tahu mak bapak. Cubalah bagi tahu kalau nak kena sebat lagi teruk dari yang cikgu bagi di sekolah.
Cikgu sebab bukan calang-calang. Guna pembaris besar. Gedebung je balun montot atau tapak tangan. Pernah sekali, pembaris sebesar tu patah dua masa cikgu Nik Man (arwah. Alfatihah) balun seorang rakan sekelas aku.
Dah habis sekolah, jumpa semula dengan cikgu-cikgu lama, sangat segan dan hormat. Masih lagi anggap macam cikgu yang dulu-dulu juga walaupun mengajar masa sekolah rendah dahulunya. Kalau ada kenduri kendara, bila cikgu datang…tinggal dulu semua kerja tengah buat dan pergi salam jumpa bekas cikgu dulu. Layanan first klas bagi kat cikgu.
Kalau musim raya, kat masjid mesti ramai yang rebut-rebut nak salam dengan cikgu lepas solat sunat raya tu. Kalau ikutkan memanglah cikgu dah tak kenal pun, tapi macam suka sangat dapat salam dan sembang sat dengan cikgu walaupun cikgu tu hanya ajar ABC masa sekolah rendah. Tapi, berkat ABC itulah kita jadi kita yang macam sekarang. Kalau tak reti nak baca ABC rasanya sekarang ni kita kat mana?
Tapi suasana sangat jauh berubah. Bukan sahaja tentang PBS tetapi banyak isu antara guru dan murid, termasuk tentang sejauhmana cikgu ada kuasa macam kuasa cikgu-cikgu yang dulu tu. Cikgu bukannya gila kuasa pun, tapi setidak-tidaknya kuasa untuk mewajarkan apa yang diajar, ilmu yang disalurkan tu pun patut ada.
Ketua Jabatan Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah berkata, pelaksanaan kerja sekolah oleh pelajar seharusnya dilihat dari pelbagai perspektif bagi mengelak salah faham banyak pihak. kerja sekolah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan guru bagi kebaikan golongan sasaran (pelajar).
Keperluan melaksanakan kerja sekolah tertakluk dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan guru sejak 10 tahun lalu. Menerusi surat pekeliling pada 2004 itu, kerja sekolah adalah satu tuntutan yang perlu diberikan kepada pelajar sebagai salah satu cara pengukuhan atau memperkayakan pemahaman pelajar.
Namun, walaupun kerja sekolah satu keutamaan yang perlu diberikan kepada pelajar, guru tidak boleh memaksa atau menggunakan bentuk fizikal seperti rotan. Hukuman berbentuk fizikal, apatah lagi melampaui batas tidak dibenarkan walau apa jua alasannya kerana ia di luar batas norma sistem pendidikan.
Tidak menyiapkan kerja sekolah bukan satu kesalahan disiplin dari sudut sistem pendidikan normal, namun ketegasan perlu ada supaya pelajar sedar bahawa membuat kerja sekolah itu ada kebaikannya. Namun jika pelajar enggan atau tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, guru boleh bertegas dan mencari punca mengapa mereka gagal melaksanakan tugasan yang diberikan.
Masa di sekolah rendah aku selalu sahaja kena sebat sebab tak hafal sifir. Bila masuk sekolah menengah, selalu kena berdiri atas kerusi sebab gagal add mats hingga cikgu ZUlkifli yang hensome itu tak tahu nak denda apa dah. Suruh menyorok bawah meja pun tetap juga gagal hu huhu hu tetiba aku TERrindu cikgu Zul. Rindukan lesung pipinya yang dalam itu.
Terima kasih cikgu! Walaupun hingga akhirnya aku tetap gagal add mats, ilmumu kuhargai. Silalah halalkannya ya.