Sabtu, 20 November 2010

Menangani Stress Musim Peperiksaan


Entri sebelum ini berkisah tentang Stress Menjelang Peperiksaan yang biasa berlaku kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting. Stress sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira pelajar, orang biasa atau pekerja. Malah, bayi juga boleh stress.

Kali ini aku nak kongsi tentang bagaimana untuk menangani stress. Hal ini sangat penting kerana jika tidak ditangani secara sepatutnya, ia bukan sahaja akan memakan diri sendiri, tetapi stress yang kronik boleh bahayakan orang lain di sekeliling. Dah banyak kes yang berlaku kan? berikut adalah beberapa cara yang boleh kita sama-sama amalkan bila berdepan dengan stress;


1. Minum air dengan kadar yang banyak untuk membekalkan oksigen
Air putih sangat baik untuk kesihatan, sebab itu orang yang nampak awet muda dan nak sentiasa awet muda sentiasa mengamalkan minum banyak air putih. Jaga juga pemakanan dan kesihatan diri. Dahlah nak kena beri tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan, kalau tiba-tiba sakit dan mendapat stress yang terlampau, itu akan kurangkan fokus adik-adik.

2. Cukup tidur.
Untuk saat-saat akhir sebegini, aku tidak galakkan adik-adik berjaga malam secara melampau untuk ulangkaji. Sepatutnya saat sebegini, adik-adik dah bersedia sepenuhnya, kecuali hanya tengok nota pendek pada tajuk-tajuk tertentu yang diramalkan akan keluar dalam peperiksaan. Itupun membaca secara ringan dan santai, bukannya menelaah dan menghafal. Bukannya baru nak mula belajar.

Tidurlah dengan cukup. Sebelum tidur juga, semak jadual peperiksaan untuk kali terakhir. Mana tahu, kalau-kalau adik-adik tersalah tengok jadual. Inilah kesilapan paling tak boleh diterima kalau berlaku. Bila terlepas waktu peperiksaan hanya kerana adik-adik cuai atau terlambat bangun, menyesalnya bukan untuk sehari dua. Bagi yang bersemangat waja, mereka akan mengulang ambil semula pada tahun hadapan (setahun perlu tunggu untuk tebus silap ini) atau sekurang-kurangnya ambil peperiksaan Julai yang orang kata lebih sedikit tahap susahnya. Saya tak tahu sebab belum pernah ambil untuk kertas Julai.

Cukup rehat dan tidur buatkan minda adik-adik lebih tenang, segar, bersemangat dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Ini secara tidak langsung akan kurangkan stress.


3. Jaga pernafasan. Tarik nafas melalui hidung, tahan hingga kiraan tiga saat kemudian lepaskan melalui mulut
Setiap orang memang akan stress bila berhadapan dengan sesuatu yang digelar ujian. Tanyalah pemidato terbaik duniapun, dia tetap gementar setiap kali berhadapan dengan penonton atau pendengarnya. Apa yang berbeza adalah bagaimana cara dia berhadapan dengan perasaan gementar dan stress tersebut.

Setiap kali adik-adik rasa gementar, gemuruh dan stress, amalkanlah cara pernafasan yang betul. Tarik nafas perlahan-lahan, kosongkan otak sekejab, tahan nafas tersebut beberapa detik di dada sebelum lepaskan semula melalui mulut. Lakukanlah beberapa kali hingga dada adik-adik rasa lapang, rasa gementar semakin hilang dan rasa yakin diri perlahan-lahan muncul dalam diri. Pada peringkat awal, mungkin memerlukan masa yang agak lama juga tetapi apabila dah sentiasa lakukan begitu…dalam tempoh beberapa saat sahaja, adik-adik dah boleh kontrol diri semula.

4. Belajar cara bertenang dan kawal emosi sendiri
Hanya diri sendiri yang tahu bagaimana cara untuk bertenang dan mengawal emosi. Ada orang akan terkawal emosinya bila makan aiskrim atau coklat, ada orang cukup dengan hanya menyanyi lagu kegemaran, manakala sesetengah orang yang lain akan gunakan cara yang lain. Lain orang, lain caranya.

Salah satu cara yang aku amalkan setiap kali mahu buat pembentangan, laporkan kajian dan sebagainya terutama di hadapan khalayak dan orang-orang yang lebih terpelajar dariku, hadiri temuduga atau jumpa boss laporkan sesuatu biasanya aku akan ulang baca surah Al-Ikhlas (Qul huwallah hu ahad; lagi baik ketahui maknanya) secara berulang-ulang kali hingga hati rasa lapang. Hingga aku benar-benar yakin diri. Hingga aku kejapkan hati bahawa “hanya Allah sahaja yang patut aku gentar” tiada lain selain daripada itu. Ambillah berapa lama masapun untuk tenangkan emosi dan diri ini dengan mengulang baca surah berkenaan, kemudian senyumlah. Senyum itu akan tambah keyakinan diri juga.


5. Jalani cara hidup yang sihat; bersenam, jauhi dadah, alkohol dan rokok
Badan sihat, otak cerdas. Kurangkan stress dengan melakukan pelbagai kegiatan yang kita suka seperti menari, karaoke, bersenam atau ada juga yang akan masuk panggung wayang. Walau bagaimanapun semua aktiviti ini tidak boleh melampau pula, karang terlupa nak masuk dewan peperiksaan, cukuplah sekadar kurangkan stress. Jauhilah daripada perkara negatif seperti dadah, alkohol, rokok atau ubat batuk (ketagih, bukan sebab batuk ya).

Pada masa ini juga adik-adik perlu lebih jaga diri. Elakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan jalan raya, jaga kesihatan supaya tidak sakit dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti bahaya seperti bergaduh, mandi sungai atau melakukan aktiviti lasak macam daki gunung (Daki gunung? sempat lagi ek?). Kalau dah sakit, cedera atau terlibat dalam kemalangan, makin menyusahkan diri pula untuk ambil peperiksaan di katil hospital. Kalau dah elak, tetapi masih juga jadi, kira telah ditakdirkan…lainlah pula cerita.

6. Komunikasi dengan orang lain tentang hal yang sama
Orang kata, belajar dari pengalaman, walaupun pengalaman orang lain. Nasihat daripada orang yang dah pernah lalui perkara yang sama dengan apa yang akan kita lalui itu lebih tulus dan ikhlas, kecuali orang itu ada niat serong dengan kita. Jadi, tanyalah kepada orang yang dah berjaya lepasi halangan itu dengan cemerlang. kita tak akan rugi kalau bertanya.

Untuk tips saat akhir sebegini, payah juga kalau baru nak kaji bagaimana Nur Madihah berjaya dengan cemerlang walaupun ada dua buah buku diterbitkan tentang ini. kalau anda pernah membeli buku tersebut sebelum ini, boleh sahaja membacanya sepintas lalu. kalau baru hari ini nak pergi beli di kedai buku yang belum tentu lagi anda akan perolehinya, rasanya langkah itu lebih buatkan adik-adik bertambah stress. Namun, boleh sahaja berbual kosong dengan ahli keluarga terdekat untuk dapatkan tips dan panduan.

7. Doa
Walaupun doa aku letakkan pada nombor terakhir, namun tidak bermakna ia tidak penting. Ia sebenarnya lebih bermakna “setelah berusaha, maka angkatlah tangan dan mintalah kepada Yang Kuasa”. Makanya, sila berusaha, bukan hanya tahu berdoa nak cemerlang tanpa usaha. Sama seperti, “tambat dahulu unta sebelum berdoa agar unta tersebut tidak terlepas dan lari” (errrr…ramai ke unta di malaysia ni?).

Ramai orang kata (entah siapalah orang tu!), kalau dah tertulis sejak azadi takdir hidup kita, usaha macam mana pun tak guna. Itu kan memang takdir? Usah silap. Takdir boleh diubah, dan senjata yang boleh mengubah takdir adalah doa. Berdoalah dengan seikhlasnya. Dengan sesungguh hati. Dan dan pengharapan kepada Allah akan mengubah takdir yang telah tertulis (itu ustaz cakap masa sekolah dulu). Jadi, berdoalah. Mintalah. Tapi ingat, minta dan doalah hanya kepada Allah. Jangan syirik. Ramai orang kita sekarang ni telah lakukan syirik tanpa sedar. Bahaya tu!


Moga-moga cara ini boleh membantu anda. Aku bukanlah pakar psikologi, motivasi atau kaunselor, namun biasanya aku mampu tangani semua perkara walau seburuk mana situasinya pun. Perkara utama yang aku pegang adalah: yakin diri. Seterusnya berserahlah kepada Yang Kuasa. Biar sehebat mana kita, siapalah sangat berbanding Sang Pencipta.

Bila yakin dan berusaha, seterusnya berserah kepada Ilahi, insyaallah, kita akan mampu gapai apa yang diimpikan walaupun semua itu bukannya mudah. Paling tidak, kita masih lagi berpeluang untuk berusaha dan mengatasinya dengan tenang. Akhirnya, sama ada anda dapat capai atau terkandas setelah diusahakan sebaiknya, yakinilah bahawa apa yang diperolehi itu adalah dengan izinNya. Dengan ketentuanNya. TakdirNya. Apa yang berlaku itu adalah Yang Terbaik sepatutnya berlaku. Jadinya, terimalah dengan hati yang terbuka. Hidup ini mudah sahaja, usahlah kita sukarkannya. Usah juga kita ambil lebih mudah daripada sepatutnya.

Selamat menduduki peperiksaan!


Stress Menjelang Peperiksaan

23 November nanti peperiksaan SPM akan berlangsung. Ramai pelajar dah makin stress atau tertekan. Maklumlah, SPM akan tentukan arah perjalanan masa hadapan mereka. Ramai pelajar tidak begitu suka untuk ke Tingkatan Enam selepas SPM. Kalau boleh nak masuk universiti terus, nak ke kolej. Nak elak ke Tingkatan enam sedaya dapat. Katanya sebab susah. Susah sangat ke belajar di tingkatan enam? Lain kalilah kita jawab ya…kali ni kita tengok dulu gejala stress menjelang peperiksaan.

1. Berdebar-debar dan jantung berdegup kencang
Setiap saat dada terasa ketat. Berdebar-debar. Jantung pula berdegup kencang. walaupun tidak melakukan aktiviti lasak seperti berlari, degupan jantung bergerak dengan kencang bagaikan anda baru menyudahkan larian beribu kilometer. Nafas anda jadi pendek. Anda perlu tarik dan lepas nafas anda dengan kadar yang cepat, bagaikan dada anda telah kehabisan oksigen. Kalau salah kawal, anda boleh pengsan juga sebenarnya.


2. Perut rasa memulas (sekejab-sekejab)
Aku selalu perhati yang Mek selalu berdepan dengan situasi ini setiap kali dia nak pergi mana-mana. Sekejab-sekejab masuk bilik air, buang air kecil dua titik…keluar, kemudian rasa nak buang air lagi. Bila masuk tandas, tak jadilah pula. Kalau perjalanan jauh, Mek sanggup tak makan dan minum hingga sampai ke destinasi. Lupa nak tanya dia, masa pergi Mekah tahun sudah, dia ada buang air dalam penerbangan ke tak hu hu hu nakal betul anak dia ni kan?

Kadang-kadang aku juga rasa begitu terutama bila kena buat pembentangan depan orang-orang yang aku rasa lagi hebat dari aku. Namun, sebab perangai aku yang “pakai redah” je, tak kiralah siapa…aku tetap akan bentangkan juga dengan suam-suam kuku awalnya, kemudian payah nak berhenti. Yakin aje walaupun aku bentang dalam bahasa Malaysia di hadapan orang asing yang tak reti dan tak faham bahasa Melayu. Boleh gitu? kalau Jepun boleh, tak kan kita tak boleh hu hu hu


3. Berpeluh dan rasa sejuk (tanpa lakukan apa-apa aktiviti)
Ini biasa berlaku. Ramai orang alaminya terutama bila nak exam atau temuduga walaupun cuaca panas, bilik tak ada pendingin hawa. Hujung jari bagaikan beku. Stress tahap ni masih lagi normal.

4. Suara bergetar
Ini juga biasa berlaku. Ramai orang alaminya terutama bila nak exam atau temuduga, atau pembentangan. Ada juga berhadapan dengan masalah ini bila diminta bercakap dikhalayak ramai. Bukan semua orang boleh jadi hebat bila berhadapan dengan orang ramai. Rasa macam makhluk asing sahaja dipandangi oleh semua mata. Salah hari, tangan gigil-gigil dan nampak kat kertas yang kita pegang.

5. Tangan menggigil
Aku pernah alaminya sekali dalam hidup setakat ni dan tak mahu lagi alaminya. Masa tu aku terduduk. Lutut jadi lembut, tak daya nak berdiri lagi dah. Tulang belakangpun dah tak daya menampung diri. Rasa nak baring di lantai je…Aku rasa langit dah jatuh menimpa kepala. Nafas jadi sesak. Masa itu, aku memang nampak tangan sendiri dah gigil-gigil. Cara aku lakukan untuk stabilkan kembali diri ketika itu adalah: beristifar sebanyak-banyaknya; tak tahupun berapa banyak, hingga rasa diri kuat semula. Setelah itu baca surah Al-Ikhlas (Qul huwallah hu ahad; lagi baik ketahui maknanya) hingga aku mampu positifkan diri bahawa apa yang berlaku ketika itu memang telah ditentukan Allah dan ada hikmah yang tersembunyi, yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Hingga aku yakin bahawa apa yang berlaku ketika itu adalah sesuatu yang terbaik untuk hidup aku. Fuhhhhhh! aku memang tak mahu situasi itu berulang sekali lagi dalam hidup ni. Sangat menderita!

Kalau anda nak masuk peperiksaan, gigil tangan ini akan ganggu tumpuan menjawab sebab nak tulis pun susah. Pen bergoyang tu. Biasanya anda akan alami kalau terlambat masuk dewan peperiksaan atau soalan yang anda ramal tidak masuk dalam peperiksaan. Jadi, jangan amalkan pergi lambat ke dewan peperiksaan. Lima belas minit pertama itu akan anda bazirkan untuk tenangkan diri sahaja. Anda akan lebih tenang kalau sampai awal, sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan berlangsung. Juga, jangan terlalu yakin dengan soalan ramalan tanpa ulangkaji keseluruhan topik. Bukan tak boleh meramal, namun perlu ada back up. Soalan ramalan itu hanyalah topik tertentu yang anda lebih tekankan berbanding topik yang lain, bukannya anda belajar berdasarkan soalan ramalan semata-mata. Namapun soalan ramalan, dah pasti belum tentu terkena atau tidak ramalan itu. Kalau kena, anda bernasib baik. Kalau tidak kena, paling kurang ada telah pun bersedia dengan keseluruhan silibus.

6. Mual dan nak muntah
Stress yang tidak mampu dikawal boleh menyebabkan anda mual dan muntah. Ini kira dah berada pada tahap yang agak kronik juga sebab anda gagal tanganinya. Setakat ni aku belum pernah muntah disebabkan stress, tetapi kalau sebab migrine agak selalu juga sampai ke tahap ni.

7. Kurang atau bertambah selera makan
Gejala ini bergantung kepada individu. Ada orang akan kurang makan bila stress, ada orang yang lain akan terlebih makan. Banyak kes obesiti terjadi akibat daripada stress, tak kiralah stress itu berpunca daripada tekanan di tempat kerja, diberhentikan kerja, putus cinta dan sebagainya.

Walaupun makan boleh hilangkan stress, namun itu hanyalah bersifat sementara kerana selagi punca stress itu tidak diatasi sebaiknya, ia tetap tidak akan selesai. Menjadi obes atau terlalu kurus kerana kurang atau terlebih selera makan akan memberi laluan kepada masalah baru yang lain pula. Jadi, berpada-padalah. Jalanilah cara hidup yang sihat. Bersenam umpamanya boleh mengurangkan gejala stress.


8. Pening kepala/sakit bahagian belakang kepala
Pening kepala, sakit pada bahagian belakang kepala ataupun adakalanya rasa tegang pada leher dan bahu juga antara gejala disebabkan stress. Kepada pengidap migrine macam aku pula, akan berlaku kekerapan migrine berbanding biasa walaupun faktor penyebab kepada migrine tidak ada langsung. Bagi sesetengah orang pula, mereka berhadapan dengan masalah untuk tidur ataupun tidak mampu untuk mencapai mutu tidur harian yang baik, umpamanya tidak dapat tidur, selalu terjaga dan tidur yang tidak nyenyak (walaupun dah terjaga dan tidur dengan lama tetapi masih lagi mengantuk). Seterusnya akan berlaku gangguan terhadap kesihatan.


Sebenarnya masih banyak lagi tanda-tanda dipamerkan apabila kita stress, namun cukuplah setakat itu sahaja ya. Harapnya tulisan ini dapat membantu adik-adik kita yang bakal hadapi peperiksaan SPM nanti ya. Cara mengatasi stress akan aku kongsikan dalam entri seterusnya.

Jumaat, 19 November 2010

Berapa Panjang Nak Tulis Entri?

Blogger otai selalu sahaja bagi tip tulis entri “tak payah panjang-panjang…bukan ada orang nak menelaah macam baca kitab sejarah tua untuk masuk peperiksaan”. Nasihat mereka lagi “Updet kena selalu. Kerap. Sepuluh kali seharipun tak apa”. Barulah orang serbu banyak kali sehari.

Betul ke entri kena pendek? Kenapa kena pendek? Tak boleh ke tulis panjang-panjang?
Kalau ikut formula nak kena kemas kini blog beberapa kali sehari, secara logiknya memanglah entrinya pendek-pendek dan kontot-kontot sahaja. Kalau panjang berelung-relung, bila masa pula nak buat kerja lain dalam hidup ni selain dari tulis blog.

Setiap entri itu pendek, padat, ringkas. Cerita apa yang perlu sahaja. Apa yang orang nak baca. Apa yang orang nak tahu. Tak payah nak ulang perkataan yang sama nanti jadi spam pula. Teori ini juga sangatlah benar. Betul.

Jadi, bagaimana dengan aku? kenapa masih lagi tulis panjang-panjang macam kereta lipang jalang gedung gedang? Ohhhh mudah sahaja sebabnya. Aku hanya kekalkan identiti sahaja. Identiti aku adalah menulis dengan santai…panjang lebar dan, dah tentu mengulang-ulang perkataan yang sama, kata-kata yang sama kerana itulah nilai seninya. Keindahannya.

Jadinya, bagaimana?
Antara trafik dan kepuasan kala menulis, mana satu daku dambakan?

PsssT: Mmmmm ingatkan entri ini akan jadi pendek. Rupanya masih lagi panjang. Gimana dehhh mau kukontotkan ia?

Selasa, 16 November 2010

Bila Pengorbanan Tidak lagi Dihargai

P.Ramlee dendangkan..berkorban apa sahaja, harta atau nyawa. Ahli falsafah akan kata “pengorbanan adalah tulang belakang dalam cinta”, manakala ahli agama pula akan kata “pengorbanan yang ikhlas kerana Allah”, namun apa kata hati? Apa akan jadi bila cinta dikhianati, pengeorbanan tidak lagi dihargai.

Sesiapa sahaja boleh katakan bahawa pengorbanannya itu ikhlas; Lillah hi taala. Namun, siapa yang mampu menilai tahap peratusan ikhlas itu? ataukah, sepanjang masakah dan selamanyakah pengorbanan itu berada pada tahap 100 peratus? Masa hadapan bagaimana?

Bagaimana pula andai pengorbanan itu tidak lagi dihargai? Atau dinafikan? Masihkah nilainya 100 peratus? Masihkah berpaksikan “Lillah hi taala”?

Ikhlas lagikah anda, andai…orang yang anda selamatkan dari perigi buta (bayangkan macam perigi magika pun ok jugak!) dengan susah payah itu, menghentak kepala anda sebaik sahaja dia berada di atas? Sedangkan, lelas di tangan anda masih berbekas merah kesan berat badannya yang perlu anda heret di tali?

Masih jua ikhlaskah anda andai kiranya mulut yang anda suap itulah yang meracuni anda dengan maki nista setelah berperiuk nasi ayam yang anda masak ditelannya? Dengan mulut itu jualah dia membuat pengumuman satu negeri mengatakan anda tidak tahu masak nasi ayam.

Ataukah anda masih lagi tidak apa-apa, andai pada hari hujan yang lebat (barangkali di Perlis atau Kedah…boleh juga di Kelantan), kemurahan hati anda untuk berkongsi payung dengan entah sesiapa yang kehujanan, akhirnya membuatkan anda kuyup. Menggigil kesejukan. Dia bukan sahaja berlalu tanpa ucapan terima kasih kerana kesudian anda menumpangkan teduhan berpayung itu, tetapi juga turut membawa pergi payung kesayangan anda. Lalunya, anda pula yang kehujanan dan kebasahan (errr…dah lama tak main hujan!). Saat itu, masih ikhlaskah anda?

Anda cirit birit kerana kecuaian sendiri makan di restoren yang nampak macam bersih dan cantik, tetapi kat ruang dapurnya tikus-tikus sedang bersilat pedang menyebarkan wabak. Anda memerlukan pil chi kit teck aun, tetapi nak jadi cerita, gaji bulan itu dah kering kontang sebab bayar bil astro yang tertunggak (bil astro boleh tertunggak tak?...nampak sangat tak pernah nengok Astro kan hu hu hu).

Bila anda mengenali seseorang teman sebegitu lama, tak kesahlah 6-7 tahun ka, 10 tahun ka…bertahun-tahun ka, dan anda sentiasa sahaja sanggup membantunya biar apapun kesukaran yang dia alami. Kucingnya mati dan dia melolong-lolong kesedihan, maka anda serahkan bahu anda untuk dia sandarkan. Anda tetap sabar dengan leleh hingusnya yang menitik di baju cucian kering anda. Anda tahankan hati juga mendengar dia hembuskan hingusnya sambil mulutnya tak henti mengomel tentang kematian kucing itu. Anda dengar juga biarpun berjam-jam dia berduka nestapa kebanjiran air mata hanya kerana seekor kucing kurap yang ditemu dalam hujan renyai, kemudian dibawa balik ke rumah dan dimandikan…diberi makan makanan dalam tin yang lebih mahal dari makanan anda makan sendiri, tetapi kucing itu akhirnya mati tercekik chewing gum (sadis tak cara kucing tu mati?). Kemudiannya dia berlalu setelah gelora di hatinya reda, itupun setelah dia angkut bersama kucing parsi kepunyaan buah hati anda sambil berkata “terima kasih…kaulah kawan aku dunia akhirat” tanpa sempat untuk anda beritahunya kucing itu bertuan juga. Padahal setelah dia menderum pergi dengan kereta merah mewahnya yang merelip-relip kilatnya tersilau lilin, anda pula perlu memerah otak untuk memberitahu pujaan hati tentang tragedi kucingnya itu telah disambar pergi. Padahal anda telah tahu yang ada gunung berapi lebih hebat dari Pinatubo akan meletup di rumah anda hanya kerana itu.

Ketika letupan Merapi menguasai diri anda, saat anda sedang mengelak debu beracun itu…anda terlihat dia sedang humban kucing parsi kepunyaan orang yang anda sayang itu ke lorong belakang kerana tidak tahan perabut mewah di rumahnya dicakar. Lalu andapun merangkaklah mengutip kucing parsi yang sudah comot dan bersalut air longkang itu, mencari sangkarnya yang telah kemik dan bawa balik semula ke rumah, mandikan dengan syampu dan gel mandian kepunyaan anda sendiri hingga wangi dan gebu semula seperti asal. Namun hati anda bagai disentap-sentap bila dia muncul semula dengan jurai air mata dan air hidung memberitahu bahawa kucing parsi yang dirembatnya dari rumah anda itu telah lari dipujuk rayu dek kucing siam jalang. Dan, kiranya anda mengalami situasi ini, masihkan jauh di sudut hati anda paling dalam terisi 100 peratus ikhlas?

Masihkah kita ikhlas, kiranya burung yang kita bela, yang kita beri makan di tangan…akhirnya berakkan tangan kita yang berlosyen mahal setelah habis makanan itu dipatuknya. Patukan itu anda tahan jua biarpun sesekali terasa bisa, bau beraknya itu juga masihkah perlu ditahan jua? Masihkah anda ikhlas.

Entri ini hanyalah satu perlambangan (bukan kisah benar tentang sesiapa yang jatuh dalam perigi buta atau masak nasi ayam yang tak sedap, atau mana-mana kucing parsi atau siam…hanya perumpamaan) tanpa jawapan, hanya ada persoalan. Jawapan ada pada hati anda sendiri. Tanyalah pada hati sendiri, dan itulah jawapannya setelah anda renung-renungkan. Jangan jawab dahulu kerana jawapan pada masa tersebut adalah apa yang anda fikir. Jawapan dari kepala dan akal. Bukannya jawapan dari gerak hati yang menentukan peratusan ikhlas itu.

Setelah membaca entri sepanjang ini, dengan ayat yang berbelit liku mengalahkan filem Tamil (dengar cerita Filem Cuci telah diolah semula dalam bahasa Tamil…jom pi tengok!), kemudian anda pening-pening lalat dan kehilangan rasa waras setelah menikmatinya…masih juakah anda akan ikhlas untuk menyudahkannya hingga nokhtak terakhir?

Selamat hari Raya Aidiladha. Selamat menunaikan ibadah korban. Selamat mengikhlaskan diri saat melakukan pengorbanan. Selamat mencari tempat jejaknya diri. Selamatlah segala-galanya.


PssTT: Semasa entri ini anda tatap, mungkin aku sudahpun mengasah parang dan pisau. Mengupas bawang, memotong segala yang perlu. Pernahkah anda alami kelelahan menguruskan seekor lembu pada musim Aidiladha dengan beberapa orang ahli sahaja? Daku perlu lakukannya jua sekalipun lelah, melainkan aku sanggup tengok Mek tertidur di atas lambakan daging.

PsssT: Jemput ke rumah pada Aidiladha. Kami akan hidangkan sup GEARBOX, segar dari ladang…strow bawa sendiri ya ;)

Isnin, 15 November 2010

Gambar Menara Jam di Mekah

Dah nak sambut raya. Aidiladha bakal menjelma. Bagi rakyat Malaysia, tak ramai yang sambut. Maklumlah cuti hanya satu hari. Tambah pula tahun ni jatuh di tengah minggu pula. Susah betul nak dapat cuti. Kalau cikgu tu lagilah parah. Serba salah dibuatnya.

Di Kelantan, Aidiladha sangat meriah. Jem tak payah nak cerita. Memang kalau tak ada jem macam tak sah pula. Selepas balik bercuti, Insyaallah, aku akan letak entri tentang raya. Namun kali ini aku hanya akan tampal gambar-gambar tentang menara jam yang cantik di Mekah. Baru siap. Kalaulah berkesempatan pergi sana, mesti menara ni antara tempat yang akan jadi sasaran kamera aku hu hu hu

Walaupun belum pernah sampai, gambar ni dah lama sampai sebenarnya kat aku. Aku nak kongsi dengan semua walaupun kira macam dah basilah kan. Selamat menikmati…










Sabtu, 13 November 2010

Pidato Budak Tadika

Ini merupakan entri yang aku letakkan secara terancang. Semasa entri ini dipaparkan, aku dalam perjalanan balik kampung, InsyaAllah. Balik kampung untuk raya. Maklumlah, AidilAdha di kelantan memang meriah gila, jadi disebabkan jatuhnya kat tengah minggu...adik dan kakak tak dapat balik. Aku kenalah balik jugak. Kalau tak siapa yang akan lapah dan siang daging korban tu karang. Kesian Mek pulak...terdera dia nak siapkan 5 bahagian untuk tahun ni.

Cerita ceriti kali ni bukan pasal Aidiladha lagi. Pasal benda lain. memandangkan aku tengah dalam perjalanan begini, biasanya aku suka pasang lagu dikir barat. Namun, entri ini tidak berkaitan dengan dikir barat. Ia hanya berkaitan tentang dialek yang dituturkan.

Cik Bintang tunjuk video ni kat FaceBook agak lama dulu. Katanya tak faham bahasa Kelantan. Sebenarnya, dialek yang dituturkan ini bukannya dialek Kelantan tetapi dialek Melayu Thailand. Ia dituturkan oleh penutur Melayu di Selatan Thailand seperti Pattani.







Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Saya nak ngepek ni (saya nak membebel ni). Kalau tok ngepek tok jadi (kalau tak membebel tak menjadi).

Tengok loni (tengok sekarang ni), koho sari koho berat (semakin hari semakin teruk), koho sari koho berat (semakin hari semakin teruk)....

...atau pun takpo (atau pun tak mengapa). Anok tak nak ngaji sekolah tadika pun tak Mureh (anak tak mahu belajar sekolah agama pun tak marah). Kalu ngaji sekoloh siam gaduh sangat (kalau belajar sekolah kebangsaan (siam) ambil berat sangat). Pagi-pagi gi hantar (pagi-pagi pergi hantar), petang gi amik (petang-petang jemput pulang). Pagi-pagi gi hantar, petang gi amik.

Ikut po (ikut semua kehendak), beli belako (beli semua). Kalu sekolah tadika cikgu mitok duit sekok (kalau sekolah agama cikgu minta duit sepuluh sen), dua kok (dua puluh sen), ngepek selalu (membebel terus masa tu jugak). ooo berat ore tua peseng ning (ooo teruk betul perangai ibu bapa macam ni).

Anok daro tu eh (Eh, anak-anak dara/perempuan tu!) acu pakat mugheh getek eh (tolong nasihat/marah sikit). Ning anok daro geletik gelenya supo cacing kena cok (ini tidak, anak perempuan gedik-dedik macam cacing kena mata cangkul). Paka baju pulak koho sari koho napok siiikat (pakai baju semakin hari semakin singkat). Supo barut nako (macam pembalut nangka). Kain klubung tok paka yak atas palo (kain tudung tak pakai langsung atas kepala). Dok kace turut daro siam (tiru cara pemakaian artis Siam/anak dara bukan islam). Dara siam takpo la dio kapir (artis siam tak mengapa lah sebab diorang kafir). Dia telanje pun dia buleh duit (diorang telanjang pun dapat duit).

Tuan pulok asal ko comei supo jewok kabuk (empunya diri pulak, kalau cantik tak apalah pula, macam biawak 'kabuk') Naik motor nah dua tiga (naik motorsikal membonceng sampai dua tiga orang). Broom kok tu (broom! ke sana), Breem kok ni (breem! ke sini). Broom kok tu (broom! ke sana), Breem kok ni (breem! ke sini). Broom kok tu (broom! ke sana), Breem kok ni (breem! ke sini). ooo berat (oooh, teruk/dahsyat!) Tok pade ngan tino garik (tak padan dengan perempuan!).

Pete ko tok pete duk cuk sekolah lagi (petang-petang pun masih pakai uniform sekolah lagi). Smaye asar tok tahu priye mano (solat asar tak tau bila masa), booo gorik paka cuk tido (Bila waktu maghrib pakai pakaian tidur). Penuuuh, dok main atas tembok (penuh duk lepak atas/tepi jalan).

Penoh pakat thow tharosat (semua guna hand phone). Thow pulok lamo-lama (bercakap dengan telefon bimbit lama-lama). Duk thow cari palo bapok apo tok tahu (berborak ape benda pun tak tahu lah).

Toksoh ngaji ngaji la kalu gatal sangat gok (tak payah bersekolah lah kalau dah gatal sangat)…berlaki la (berkahwin ajelah). ooo alo perut aku tengok puok ni (oooh serabut perut aku tengok manusia macam ni).

Make daroh tak korok (Makan pula banyak). Tu mok jange kiro nok wi anok bleh ngaji ni (ibu/bapa tak berkira bersusah payah cari duit nak sara anak belajar). Anok dok benggo situ (anak tetap bengong/ dungu/bodoh juga). Khe khe mitok duit (kejap-kejap/ selalu minta duit)… khe khe mitok duit (kejap-kejap minta duit). Kata ustajah nok la (beritahu ustazah nak lah), cikgu nok la (cikgu nak lah)… ooo mapuh la pemuda lagu ni (matilah kalau anak muda macam ni).

Anok-anok paka kasut pade ratus tu (anak-anak pakai kasut harga beratus-ratus). Mok pok paka selipar jepit go limo kok (mak bapak pakai selipar jepun harga 50 sen). Tu pun merah belah hijau belah (itu pun sebelah kaki warna merah, sebelah kaki lagi warna hijau).

Puok-puok werong tuh buke maghi nak tengok nasik nih (golongan remaja/pemuda bukannya datang menonton persembahan Nasyid), nak maghi ngeceh nih (tapi datang nak mengorat). Khayal pulok khayal ubat batuk (jenis khayal ketagih ubat batuk), khayal mara (mabuk ganja)... mata tu glebek po hatu rayo (mata bengkak, merah macam hantu raya). Nok masuk keda takdok duit (nak masuk kedai tak ada duit).
Beli rokok suria seputong, oooo kilir 8 ore…(beli rokok Suria sebatang kongsi hisap sampai 8 orang). Ni buwa rajin phado malah (cakap je pandai, buatnya tidak)…ooo berat (teruk betul).

Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh

Macam mana? Boleh faham? Nanti-nantilah kalau nak buat kelas belajar bahasa Kelantan ya...

Khamis, 11 November 2010

Mewayang di Estet Sempena Deepavali

Pada hari Pesta Cahaya, aku ke Mines bersama Cik Bintang. Makan beger kemudian merayau tengok kalau-kalau ada filem yang memberangsangkan minda. Disebabkan hangat Festival Filem Malaysia ke 23 masih lagi terasa, kami putuskan untuk tengok Estet. Bukan apa, nak lah jugak tengok filem yang dikatakan sangat hebat itu hinggakan Ahmad Idham tak berhenti memuji dan pengarahnya yang tersohor itu, Mamat Khalid tersangat kechiwa bila tak menang BESAR dalam anugerah berkenaan. Kekecewaan yang teramat sangat itu buatkan dia tak mahu mengarah filem lagi, dalam kata lain Tak Mahu Bertanding Lagi.
Magika dah tengok dan aku dah puji melambung-lambung kat blog dalam entri Magika memang Magik laaaaa. Kalau anda suka ambil tahu tentang suasana tegang dalam FFM23, anda tentunya dah tahu hal ini. Yang belum tahu bolehlah baca Senarai Pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-23, Beautiful Nara, Antara Magika dan Estet Dan banyak tempat lagi. Silalah terjah ya…tak kuasa dah aku taip panjang-panjang.


Ni maklumat asas Filem Estet yang jadi kebanggaan ramai itu (ramai?);

Tajuk Filem: Estet
Pengarah: Mamat Khalid
Penerbit: Naga VXS Sdn. Bhd.
Dipawagam: 04 November 2010
Pelakon Estet: Farid Kamil, Shoffi Jikan, Jasmin, Gandii Nathen, Kamarul, Mislina Mustaffa, Mohan, Jayasree, Rosyam Nor, K.S Maniam, Shashi Tharan


Sinopsis Estet
Kisah dalam filem ini berlaku di Estet Cinta Manis. Farid dan Shashi menjadi sahabat baik sejak kecil. Mereka menjadi wira dan sangat disegani penduduk yang tertindas dengan pengurus estet, Encik Pooniah. Hanya mereka berdua sahaja berani menentang. Dalam filem ini, Farid dan Shashi konon-kononnya jaguh kampung yang mampu menawan hati Geetha, heroin Estet.


Cerita bermula dengan berita mengenai perlawanan bolasepak yang akan di adakan antara Estet Cinta Manis dan Estet Red Cobra yang terletak di sebelah. Ia merupakan perlawanan bola sepak yang PANAS kerana sudah 20 tahun tidak beradu kekuatan. Perlawanan bola sepak ini diadakan kerana Pooniah mahu memiliki Geetha, anak kepada Subramaniam (jurulatih) apabila dia gagal menjelaskan hutangnya. (Pinjam RM3 ribu, kena bayar RM30 ribu. Sekiranya estet mereka menang, hutang akan langsai tetapi sekiranya kalah, hutang akan jadi RM60 ribu sementara Geetha pula kena berkahwin dengan Pooniah yang PooooooDaaaaah!)


Ini membuatkan Subramaniam putus asa lalu ingin membunuh diri tetapi sempat diselamatkan keluarganya. Setiap penghuni estet ingin mewakili estet untuk menjuarai pertandingan itu dan membantu Subramaniam. Mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh dan ingin memenangi pertandingan tersebut.
Apaa, Ayah kepada Shashi pernah menjadi pemain bola sepak peringkat negeri yang sangat mahir tetapi menjadi seorang yang peminum apabila kakinya telah dipatahkan oleh Sofi Jikan (samseng estet sebelah yang sengaja ingin menamatkan karier Apaa setelah diupah Pooniah 20 tahun yang lalu). Mulanya, Apaa tidak hiraukan tentang perlawanan berkenaan dan sibuk dengan botol todinya sahaja, namun akhirnya dia sedar dan ingin membantu rakannya, Subramaniam.
Pooniah dan koncu-koncunya telah cuba sedaya upaya pula untuk menghalang pasukan Subramaniam daripada menang. Mereka menculik shashi dan Subramaniam pada malam sebelum pertandingan, meninggalkan Mohan di jalan yang sunyi dan menggunakan pelbagai helah dan tipu daya sepanjang perlawanan berlangsung termasuk menggunakan senjata. Macam biasa, orang baik akan menang, orang jahat akan terima balasannya.
Apa yang buat aku rasa nak menangis bila tengok filem ini adalah;
  • Tak boleh ke kalau tak tiru filem luar? Kalau nak tirupun pastikan lebih hebat daripada Shoalin Soccer itu. Kalau tak capai tahap, bukankah lebih bagus buat sendiri tanpa pengaruh luar? (Ini bukan soal merendahkan filem Melayu…aku dah angkat Magika kaw kaw punya sebab memang patut dipuji)
  • Biarlah logik. Masa Shashi dan Subramaniam kena culik, badan mereka pena pasang bom yang disemat/tampal kat baju sahaja. Ada bom pun mereka boleh jalan merata tanpa bom itu meletup. Pada masa itu jugalah si Pooniah tu datang bergelak ketawa tunjuk macho…sedangkan beberapa saat lagi bom dah nak meletup. Boss penyangak kebal sangat ke?
  • Bila gabungkan untuk tunjuk semangat 1malaysia…maka merekapun menyanyilah lagu Tamil campur Melayu. Pakaian kaum India tu kena dan cantik aje sebab kita pun biasa tengok filem Hindi dan Tamil menyanyi dengan saree, tetapi bila masuk sahaja perempuan berbaju kurung terlari-lari menari…tetiba je terlihat macam tak berapa nak sopan. Perempuan berbaju kurung ni sebenarnya sangat seksi, apalagi kalau menari yang memerlukan mereka berlari…errrr, boleh bayangkan tak? Tak boleh? Kalau tak boleh…sila masuk panggunglah ya, tengok sendiri.
Mmmmm malas dah nak komen secra lebih terperinci. Karang terduduk terus Filem ni. Kesian Mamat Khalid pulak, marah dia kat aku karang. Jadinya, bila dah tengok Estet, dah tengok Magika juga…aku tak terkejutpun dengan keputusan FFM23.
Magika hanya gunakan frame dari barat macam cerita dongeng gitu, tetapi pengisiannya adalah dunia Melayu. Estet pula bukan sahaja guna frame luar, tetapi kisahnya pun sama. Bezanya hanya pelakon dan latar tempat. Satu lagi sebab 1malaysia, maka dimasukkanlah Melayu dua tiga kerat dan sekerat Cina dalam filem ini. Kalau ceritapun lebih kurang sama dengan filem luar, mana identiti kita?
Memang benar Magika tak akan mampu menarik pembeli luar kerana teknologi Holywood lebih canggih beribu kali, namun wajah dongeng tempatan masih lagi wujud dan mendominasi. Adakah wajah 1Malaysia dalam Estet adalah satu senario paling kukuh yang kita ada di Malaysia? Kalau 1Malaysia itu yang nak diketengahkan sangat, kenapa tidak ubah latarnya ke Tumpat kelantan? Di negeri kelahiranku itu, nilai 1Malaysia lebih mendominasi. Penduduk Cina dan Siam yang ada di sana bukan sahaja makan budu dan hidup seperti masyarakat tempatan, tetapi budayanya juga turut berlaku transformasi.
Memang Mamat Khalid adalah pengarah yang berpengalaman, namun suasana dah berubah. Pemikiran pengarah muda sangat berbeza. Usahlah berduka nestapa dan bersara dahulu. Tenaganya untuk majukan dunia filem Malaysia masih diperlukan. Apa salahnya rampas semula kedudukan lamanya bila mengarah banyak filem bermutu sebelum ini. Estet bukannya tak bagus. Kalau tak mana mungkin boleh dapat Anugerah Khas Juri dan Pelakon Lelaki Harapan Terbaik (Shashi Taran). Namun, kalau tak menang sekali, terus sahaja nak berhenti jadi pengarah, nyata benar tujuan dia mengarah itu untuk menang sahaja. Menang hanya peringkat kampung, buat apa sayang...perjuangan perlu diteruskan lagi. Filem kita masih memerlukan suntikan emas yang bermutu dan semakin meningkat, bukan hanya menerima deretan trofi tetapi tiada perubahan mutu. Baik batalkan dahulu niat nak bersara itu sebelum aku pulak jadi pengarah hu hu hu ini pernyataan tak boleh blah ya, sila abaikan dengan segera sebelum anda termuntah.


Rabu, 10 November 2010

Magika Lebih Bagus dari Filem The Hole

Minggu lepas aku berada di Kuching. Kerja dan sedikit urusan pribadi. Ada sedikit ruang buatkan aku tak ada mood pun nak jelajah bandar Kuching. Tambahan pula cuaca mendung sahaja sepanjang beberapa hari di sana. Tak cantik untuk ambil gambar. Jadinya, aku panjat bangunan cantik yang kelerful ni…


Ni lah dia bangunan panggung wayang. Kat sini, tingkat LG ada kafe dan kedai makan yang berapa kerat sahaja, aras G ada beberapa buah kedai termasuk kedai baju, aras 1 hingga 8 adalah parkimng lot, manakala tingkat 9 dan 10 adalah panggung wayang. Fuyoooooo satu bangunan tu memang panggung wayang je ada. Orang Kuching memang suka tengok wayang hu hu hu.

Kat sini ada Cineplax. Aku tengok filem The Hole. Dah tengok, menyesal la pulak tak tengok Filem Hiss.


Sinopsis Filem Hole

Pengarah berwawasan, Joe Dante telah muncul dengan filem thriller terbarunya berjudul The Hole dengan Haley Bennett dan Nathan Gamble sebagai pelakon utama. Dane, 17 tahun dan adik lelakinya Lucas, 10 tahun terpaksa berpindah dari New York City ke bandar kecil yang membosankan, Bensonville (kira macam kampung gitu), bersama ibu mereka, Susan (ibu tunggal). Dane sebenarnya tak suka berpindah sebab dia tak ada kawan, tetapi bila nampak jiran sebelah rumahnya yang cun meletup gitu, tetiba sahaja dia jadi suka.

Susan banyak menghabiskan masa dengan kerja baru, kemudian kekasih barunya berbanding bersama anak-anak. Anak-anaknya pula (Dane dan Lucas) ni tak boleh duduk dekat, memang perang mulut akan berlaku siap tumbuk terajang dan baling-baling barang lagi. Lelaki kan...tetapi kemudiannya mereka tak lagi bergaduh apabila menemui satu lubang aneh dan misteri di bilik bawah tanah rumah yang mereka diami itu. Tambah pula mereka dah ada kawan, Julie yang cantik jiran sebelah rumah.

Lubang yang mereka jumpai itu bermangga ketat. Penuh keliling mangga tu, tetapi Dane telah membukanya. Lucas telah mencampakkan paku ke dalam lubang tersebut untuk menguji kedalaman lubang itu tetapi tiada bunyi paku tersebut jatuh. Macam-macam cara mereka lakukan untuk menguji kedalaman lubang gelap itu termasuk hulurkan tali dan kamera video tetapi tetap tak tahu kedalamannya. Tetap jadi misteri.

Sejak lubang misteri berkenaan mereka buka, kehidupan mereka bertiga menjadi tidak tentu. Ada sahaja mimpi buruk mengganggu hingga akhirnya mereka nampak sendiri rupa budak perempuan dalam kawasan rumah tersebut. Dalam suasana kelam kabut lari sana sini tu, akhirnya mereka kehilangan Lucas. Jadi Dane ambil keputusan untuk masuk sahaja ke dalam lubang misteri berkenaan dan berlawan dengan kuasa jahat bla bla bla tu...kemudiannya memanjat keluar dari lubang tersebut bila watak jahat berkenaan berjaya dihapuskan. Sinopsisnya anda boleh baca juga di movieset.com.


Sebenarnya, filem ni bosan gila. Kalau tidak kerana aku memang tengah tak berapa siuman kepala otak, memang aku tak tengok. Dah siap tengok, makin tak waras adalah. Menyesal tengok pun ada.

Pada aku, kalau nak bandingkan antara The Hole dan Magika, aku lebih suka Magika. Serius tau...Edry Abdul Halim tak tahupun aku tengah puji dia kat blog ni.

Nak tahu apa persamaan Magika dan The Hole?
1. Kedua-dua watak dua beradik itu tak boleh duduk dekat, akan bertekak. Bezanya Magika guna watak perempuan (kakak), The Hole guna dua-dua wataknya lelaki.
2. Kedua-dua filem gunakan lubang untuk masuk ke alam lain. Dalam Magika watak jatuh dalam perigi buta bernama magika, dalam The Hole, mereka masuk dalam lubang kat bilik bawah tanah.
3. Watak kakak dan abang dalam filem ini akan selamatkan adik mereka dan bawa ke alam nyata semula. Hubungan mereka jadi baik setelah berlaku macam-macam hal berkenaan.

Bezanya, Magikal adalah filem berunsurkan muzikal, boleh juga bergelak ketawa sesekali sedangkan The Hole tu pula bersifat anventure seram. Pada aku, taklah seram sangat. Tak takut pun. Sepanjang masa serius sahaja, tegang je urat kepala. Keluar panggung, kepala berat. Macam tengok filem dokumentari berat pula.

Magika tiru The Hole ke The Hole yang tiru Magika?
Pada pendapat aku yang bukan kaki tengok wayang kat panggung ni, semua tu berlaku secara kebetulan. Magika dah lama tayang, sedangkan the Hole pertama kali tayang kat Malaysia pada hari aku tengok filem berkenaan. Lagi pula filem Hole ni bukannya glamer sangatpun. Pelakun pun tak ada yang glamer. Dah tentu mereka (The Hole) tak tiru Magika kan? Logik tak mereka yang tiru Magika? Macamlah glamer sangat filem Malaysia ni ya hu hu hu

Jarak tayangan The Hole dan Magika dalam dua bulan macam tu sahaja, kalau nak tirupun (macam tak logik je depa tu nak tiru filem Melayu) memang tak sempat. Penggambaran dan proses dalam studio jugak akan ambil masa. Logik tak?

Tak kesahlah logik ke tidak, pokoknya aku lebih suka magika dari The Hole. Pertama kali aku rasa filem Melayu lebih bagus. Tak perlulah pertikaikan panjang lebar kemenangan filem ini dalam Festival Filem malaysia ke 23 (FFM23) yang baru lepas melalui anugerah Filem Terbaik, Pengarah Harapan, Pereka Kostum/ Busana Terbaik, Penataan Seni Terbaik Pelakon Kanak-Kanak Terbaik   dan  Skor Muzik Asal Terbaik. Bukan banyak kategori pun menang. Namun, untuk filem pertama dan dapat 6 anugerah, memang Bravo!

Selasa, 9 November 2010

Website Airasia Jem Kena Serbu

Bagi sesiapa yang serbu website Airasia.com kerana nak dapatkan tiket penerbangan percuma ke merata tempat untuk tahun 2011, memang dihurung sakit hati. Sebabnya? Jem. Hang. Tak boleh masuk, bukan sahaja terlalu perlahan namun, adakalanya terdapat masej yang tertulis laman web itu tidak wujud.


Aku pernah dapat tambang airasia RM0.99 sahaja pergi dan balik ke Alor Star beberapa tahun lepas. Kalau kali ini boleh dapat percuma ke mana-mana negara (Tibet tak sampai airasia ya?), bolehlah aku bermaharajalela sekejab makan angin sambil ambil gambar. Tengok negeri orang sangat best. Banyak yang boleh dilihat. Kalau untung sabut, boleh sampai ke mana-mana destinasi dengan harga yang murah (lebih seronok kalau percuma kan?), bolehlah melencong sekejab dari rutin harian.

Bagi sesiapa yang nak cekup peluang dapatkan harga tawaran yang menakjubkan ini, bolehlah ke laman web Air Asia. Masa masih ada. Siapa cepat dia akan dapat. Sebab itulah jem kan ;) apapaun, sila pastikan anda tahu maklumat berikut;

Booking Period : 9 November 2010 - 14 November 2010
Travel Period : 1 July 2011 - 10 November 2011

Jom ramai-ramai melancong. Opssss! Akupun belum tentu lagi boleh dapat tiket ni…tak boleh masuk dah. Kena tunggu esok lusa jugak ni. Selamat berebut ya ;)

Isnin, 8 November 2010

Ubati Sepi dengan Indah Kenangan

Aku sudah di sini...untuk beberapa waktu akan menemani sepi dengan meneropong perahu nan tidak pernah jemu mudik dan menyeberang sungai. Muara tidak begitu jauh, hanya rasa yang tidak akrab.


Malam memang indah, namun hati diselubung gundah. Diri tersasar entah ke mana.


Bulan memang tidak sudi menjelma, bintang pula malas mengerdip cahaya.
Hanya aku membilang warna neon nan palsu.


Kelate, tengah Gomo kah? Yeahhhhhhhh Kelate telah Gomo dengan meriahnya. Tahniah!

PsssT: ini entri tertinggal entah di mana. Jiwa tengah kacau!

Khamis, 4 November 2010

Keputusan Pilihanraya Dun Galas dan Batu Sapi

Hari ini 4 November. Waaaaaaaaah dah nak habis tahun. Cepatnyaaaaaaa masa berlari!

Entri ni bukan pasal tahun lama nak habis, tapi tentang keputusan pilihanraya Dun Galas. Maklumlah, semangat Gomo Kelate Gomo belum pudar lagi...jadinya, asal cukup sahaja tidur malam tadi dan sedikit bermalas-malas pagi tadi (rindu dengan bantal bucuk), terus sahaja online. Fuuuhhhhh agak menderita juga tinggal blog bersawang begini. Rindu!

Hari ni hari pilihanraya di N45 Dun Galas, Gua Musang Kelantan dan P185 Dun Batu Sapi, Sandakan Sabah. Di kelantan, Cuti peristiwa sempena Hari Mengundi. Selamat mengundi ya orang Gua Musang. Sila pilih wakil rakyat yang berjiwa rakyat, bukannya jumpa rakyat 9 hari pada musim pilihanraya sahaja ya. Karang sendiri yang menderita. Nak salahkan siapa kalau calon yang anda undi itu tidak prihatin dengan keperluan kita; kemudian buat muka kesian, menangis keluar kat mana-mana tv bila datang musim pilihanraya lagi sekali. Salah kita juga terlalu mudah percayakan “janji manismu” (entah macam mana lagu Aisyah boleh interprem dalam aku punya blog daaaa).


Keputusan pilihanraya kecil N45 Dun Galas, Gua Musang adalah seperti berikut;

Abdul Aziz Jusoh (BN): 5324 Undi
Dr. Zulkiflee Mohd (PAS): 4134 Undi
Undi rosak: 132 Undi
Majoriti: 1190 Undi
Peratusan mengundi: 82.78  (83) %


Keputusan pilihanraya kecil P185 Batu Sapi, Sandakan Sabah;

Ansari Abdullah (PKR): 3414 undi
Datok Yong Teck Lee (SAPP): 2031 undi
Datin Linda Tsen (BN-PBS): 9773  undi (Tahniah, Datin!)
Undi Rosak: 372 undi
Majoriti: 6359 undi
Peratusan mengundi: 61%

* calon berwarna merah telah memenangi pilihanraya di kedua-dua DUN.

Perincian Keputusan boleh anda lihat di Keputusan dan Laporan Terkini


Blog pertama tu agak cepat kemaskini berbanding blog lain yang memperincikan keputusan pengiraan undi sekurang-kurangnya setiap satu jam. Terkagum sekejab kawe! Banyak blog lain juga tulis entri tentang ini, tetapi aku malas nak link kat sini...mohon ampun, tetiba je jadi malas hu hu hu

Beberapa insiden kecil berlaku di beberapa tempat berpunca provokasi penyokong hingga mewujudkan suasana sedikit tegang dan kecoh, namun secara keseluruhan masih lagi aman. Belum ada baling-baling objek keras, berparang, guna bom atau pakai peluru berpandu. Lastik pun tak ada. namun, di Sek. Keb. Sri Wangi Gua Musang dan Sek Men Tengku Indera Putra, penyokong kedua-dua parti bersilat lidah hingga timbul kekecohan. Depa ni gaduh di luar kawasan pengundian, kira macam mana tu ya? Apa-apalah labu!

Suasana di Batu Sapi tidak serancak di Gua Musang. Agaknya orang-orang di Batu Sapi lebih sopan santun dan berdarah sejuk berbanding di Galas yang lebih agresif dan darah panas. Maklumlah, namapun orang kelate, macam aku jugak, mudah naik darah (ye lah kot. Orang Kelantan mesti marah aku hu hu hu).

Tahniah kepada SPR, PDRM dan semua petugas di kedua-dua tempat ini (Galas dan Batu Sapi). Terima kasih juga kepada pengundi dan orang ramai yang sentiasa memberi kerjasama dan mengekalkan suasana aman. Tahniah juga kepada penyokong kedua-dua parti yang bersilat lidah dan penumbuk tu juga ya...bukan selalupun kena tumbuk kan. Apa salahnya. Sendiri juga cari penyakit hu hu hu

Ketua Puteri UMNO Gua Musang cedera di mata dan dahi. Agak-agaknya, siapa yang cederakan dia? Lelaki atau perempuan? Andainya perempuan...fuyoooooo ganasnya perempuan itu. Kiranya lelaki, siapakah lelaki yang tak berapa nak macho itu? Mmmmm akulah pulak yang terlebih xcited hu hu hu

Apa-apa hal pun, tahniah kepada yang menang dan jadi YB tu. Sila ingat semula semua janji-janji yang ditabur sepanjang masa 9 hari lepas, dan jangan lupa pulak nak tunaikan. Jangan pandai berjanji sebelum pilihanraya saja, dah menang...habuk pun tarak. Tinggal kain rentang je kat pucuk kelapa. Tak kesahlah siapa yang menang, tanggungjawab tetap tanggungjawab. Anda perlu menjawabnya sebelum meniti titian siratul Mustakim. Kalau orang tak halalkan janji yang belum tertunai tu..agaknya senang tak nak menyeberang?

PssssT: Tanpa siaran tv, akhbar dan internet (salah sendiri juga, yang tak pi cc tu apa hal!) ...aku bagai ketinggalan entah berapa kambria tentang dunia. Ohhhh baru seminggu tiada di bumi Bangi. Kalau lama, entah bagaimana...

Tiga Empangan di Utara Masih Selamat: Kata MADA

Hanya 85 peratus air sahaja di dalam empangan, jadi MADA mengatakan bahawa desas desus MADA akan melepaskan air dari 3 buah empangan di utara (Kedah dan Perlis) tidak benar sama sekali. Empangan Timah dilaporkan masih lagi selamat.

Keadaan air di sesetengah tempat sudah surut, tetapi air sedang melimpah di kawasan hilir dan bandar seperti Alor Star dan Kubang Pasu. Kubang Pasu menjuarai semua tempat dengan lebih 14 ribu dipindahkan setakat ini.

Di perlis, lebih 14 ribu penduduk masih berada di tempat pemindahan banjir, manakala jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah dan Perlis dianggarkan mencecah 41 ribu.

Lapangan terbang Sultan Abdul Halim masih lagi ditutup. Semalam aku dengar radio, jemaah haji yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci telah dibawa menggunakan bas ke Pulau Pinang. Dari sana mereka akan naik penerbangan ke Kuala Lumpur.

Rantau Panjang, Kelantan: 121 keluarga sahaja masih berada di tempat pemindahan. Namun dijangka akan berkurangan menjelang petang kerana paras air semakin menurun.


PsssT: 5 mangsa banjir dilaporkan di Kedah. Dah lama tak main banjir. Ingatnya dulu, walaupun main banjir...taklah sampai lemas. Adakah sebab nasib ataupun kita orang masa dulu main air banjir dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi?

Selasa, 2 November 2010

Bila Rindu Apa Nak Buat?


Bila tengah rindu, nak buat apa ya? Kat bawah ada beberapa perkara boleh dibuat hilangkan rasa rindu. Tak kesahlah rindu kat siapapun. Mak ka, ayah ka, marka ka, sahabat ka, seteru ka, musuh ketat ka, hantu raya ka...opsssss! sesape ajelah.


1. Baca blog
Kalau dulu, baca diari. Sekarang ni zaman dah canggih...baca blog pulak. Macam-macam cerita ceriti kita tulis kat blog terutama blog yang bersifat pribadi. Siap ada gambar segala. Sambil-sambil mengumpat kak Jenab sebelah tu, terkadang terbabas jugak kita tulis pasal hal-hal peribadi. Hal pergi dating di kampung orang asli ka, panjat Bukit Broga mengendap datok angkasaawan tengah buat penggambaran kahwin tu ka...cerita kena belasah masa tengah menonton perlawanan bola ka...macam-macamlah yang kita tulis. Paling tak tinggal tentang cerita makan. Siap gambar segala kita tempek kat blog. bila ulang tengok balik...huh! macam tak sangka la pulak kita yang tulis macam tu....ish! ish! Ish! Nasib baik kita tak buat entri cerita porno. Kalau tak, penat nak menjawab sebelum meniti titian siratul mustakim nanti. Buleh pekdah!, orang kelantan kata.

2. Tengok gambar lama
Dah berhabuk kan album kita. Dulu-dulu memang pakai album. Sekarang ni pakai telefon je untuk simpan gambar. Ataupun dalam hardisk lap top. Tak pun, ramai juga simpan gambar secara maya. Mmmmmm kat mana tu? Bahaya tau simpan gambar scara maya ni, kang tak pepasal diperdajal kat orang, terlucut semua kain baju kang susah pulak.

Tak kiralah kat mana anda simpan, bila rindu, biasanya orang tengok gambar. Gambar masa kecik, gambar masa sekolah, gambar masa menang bola (mmmmm bola tengah panas sekarang ni kan....), gambar kat tepi pantai...pendek kata, gambar macam-macamlah. Setiap keping gambar itu ada cerita yang tersendiri. Jadi, bila tengok gambar tu, muka mesti berseri-seri kalau tengok gambar yang membahagiakan, lucu dan lawak segala, akan cemburut dan tarik muka entah berapa belas kalau gambar tu tentang sesuatu yang kita tak suka. Apapun, semua dah jadi kenangan, mana boleh marah lagi kan? Mmmmm jangan tengok gambar lucah dahlah ya...aku tak bertanggungjawab sepenuhnya dengan kerosakan susila anda itu. Tak ada kaitan dengan aku, dengan blog aku ni...

3. Dengar lagu

Kalau musim raya, lagu Balik Kampung memang laju je kita nyanyi sepanjang jalan balik kampung halaman. Bila tengah merindu sakan macam hilang identiti diri, bolehlah nyanyi lagu-lagu jiwang kesukaan kita kan. Pilih je lah lagu apapun yang kita suka, ingat lirik dan suara kita merdu untuk dendangkannya. Jangan menyumbangkan lagu sedia ada dah lah ya....tak pepasal pulak taufan Megi yang dah berlabuh di China tu patah balik sini pulak ;)

Lagu jiwang asyik mahsyuk memang banyak di Malaysia ni. Indonesia lagi banyak. Lagu Mencintaimu (Dadadi) pun merdu jugak sampai ke telinga. Tak pun pasang je lagu Maher Zain... Insya Allah ka, Thanks You Allah ka, Baraka Allahu Kama, Allahi Allah Kiya Karo...apa-apa lagu ajelah yang suka. Tak suka lagu Maher, boleh juga pasang lagu...sepohon kayu, ingat jugak nak mati kan hu hu hu


4. Makan
Makan memang best, tambah lagi kalau hadap tomyam. Dapat pula jenis seafood punya...fuyoooo takat Aizat ka, Dafi ka...Hujan ka...memang tak peduli punya. Lanyak je banyak-banyak. Satu mangkuk besauuu punya! Hirup sekali dengan kuah!

Dah habis tomyam, pekena pulak ABC atau pun air cendol yang ada aiskrim kat atas tu. Penuh dengan kacang merah dan jagung manis dalam tin. Campur pulak susu pekat manis, gula melaka...santan lagi tu. Mmmmm tak payah cerita apa-apa dah...habis semangkuk baru angkat muka.

Mmmm tetiba je rindu nak makan cekodok pisang (buatan sendiri). Macam mana ni? Pisang memanglah ada 3-4 biji yang dah lebu dan sesuai buat cekodok, tapi...kapasiti malas ni tersangat tinggi lah pulak. Adusssssssss!

5. Tidur
Ini yang paling aku suka buat. Kalau migrine aku akan tidur. Kalau bosan pun benda ni juga aku buat. Kalau letih, sedih, kerja banyak pun tidur jugak...ish! ish! Ish! Payah dah nak ubat penyakit suka tidur ni. Marah kat orang pun tidur, tak ada mood pun cari bantal, malas apalah lagi kan. Aktiviti ni kira macam terapi paling mujarab bagi aku. Kalau dah bangun tetapi sisa-sisa penyakit tu masih ada (tak kiralah malas ke, marah ke, tak de mood ke...) maknanya dah kroniklah simptom tu. Perlu rawatan pakar.

Eh, jommm lah. Dah ngantuk ni.... rindu dah ilang dah. Gut nite! Eh! Bukan dah siang ke?

Jumaat, 29 Oktober 2010

Bukit Jalil Gempita, Galas Tengah Panas: Aku Menjauh Bawa Diri

Bukit Jalil gempita dengan sorak sorai, jerit laung, semangat pula meluap-luap. Penyokong kedua-dua belah pihak, sama ada Kelantan atau Negeri Sembilan memang sangat berharap agar negeri masing-masing yang akan menjuarai perlawanan akhir Piala Malaysia. Walaupun timbul bantahan sebelum ini dengan kenaikan drastik harga tiket dari RM30 menjadi RM50, namun tiket tetap habis juga. itu harga rasmi di atas tiket. Harga tak rasmi?

Tahun lepas, tiket yang sepatutnya berharga RM30 melambung menjadi RM70. Andai tiket asal berharga RM50, agaknya, berapakah harga tidak rasmi yang tidak tertulis di atas tiket itu? Masihkah beza harnya lebih dua kali ganda juga?

Andai kalian tengah stress dan ingin menjerit sekuat hati tanpa dituduh meroyan atau kurang waras, maka Sabtu malam inilah waktu yang paling sesuai untuk lakukannya. Pergilah ke Stadium di Bukit Jalil. Jeritlah sekuat hati. Anda akan rasa lega selepas itu. Tak kesahlah anda nak sokong atau nak jerit untuk pasukan manapun...asalkan bungkal geram yang menyendal dalam dada berjaya dicampak keluar. Salah satu bentuk terapi tu...

Apa yang aku harapkan, kedua-dua pasukan akan bermain dengan baik. Bermain secara sihat. Kepada penyokong kedua-dua pasukan pula, tanamkanlah sikap kesukanan itu. Ciptalah sejarah pada tahun ini yang perlawanan akan berlangsung dalam suasana aman. Tanpa balingan botol air mineral, tanpa caci maki, tanpa pergaduhan, tanpa mercun juga.



Di Galas panasnya lain. Pertandingan pilihan raya dua penjuru antara BN dan PAS. Orang Galas, gunakanlah peluang ini sebaiknya. Undi ditangan anda. Usah mudah terpedaya dengan kata-kata manis. Tegakkan keadilan dan undilah calon yang anda yakini mampu bangunkan Gua Musang dengan ikhlas.

Jaga juga susila. Usahlah putus saudara semata-mata kerana pegangan politik yang berbeza. Usahlah berpecah belah. Syaitan sedang bertepuk sorak menyaksikan betapa ruginya umat Muhamad yang hidup bertunjangkan nafsu, berkiblatkan kuasa.

Biarpun Bukit Jalil memang tengah panas, gempita dengan tempik sorak...dan Galas telah hidup malamnya dengan pelbagai kempen, daku tiada di kedua-dua tempat itu. Aku berada di bumi yang lain. menjauh dari kepanasan suhu yang menyala-nyala itu. Menghindar dari segala kekalutan itu. Namun harapan, tetap juga inginkan Kelantan juarai Piala Malaysia 2010, biarpun aku tahu nasibnya belum kita tahu. Bukankah bola itu bulat, akan bergolek kemana sahaja dibawa. Keputusannya akan kita lihat malam nanti sama ada secasra langsung ataupun anda tenggelam dalam sorak jerit di tengah stadium.

Aku? Biarkan Bumi Merkah ini belajar menelaah rapuh serpih hati nan digumpal keronyok. Aku tiada lagi sudi untuk berteleku di sini, namun simpuh ini kulipat buat menelaah betapa biarpun bumimu tidak sudi menerima tapak kaki ini, aku tetap tahu berapa banyak yang perlu kau bayar.

Gomo kelate gomo!



Majulah sukan untuk negara! Ceeeewah!

Khamis, 28 Oktober 2010

Diskaun Tol Sempena Deepavali


Tol akan diberi diskaun lagi sempena musim perayaan Deepavali yang akan disambut pada awal bulan hadapan (5 November 2010). Diskaun sebanyak 20 peratus di luar waktu puncak ini sah pada 1hb November hingga 3 November 2010 dan 8hb November hingga 10 hb November 2010. Pastikan anda mengatur perjalanan dengan betul kerana diskaun berkenaan hanya antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi pada tarik berkenaan. Diskaun berkenaan dikecualikan di beberapa tol seperti Bukit Kayu Hitam dan beberapa plaza tol yang lain.


Jom lah kita pergi Deepavali ya...tol dah turun ni ;)

Raya Aidiladha nanti ada diskaun juga tak?

Pengundi Galas: Sila Ambil Perhatian!

Bro Joegrimjow (Its All about Journey) dah mengembara galas beg ke Galas sempena pilihanraya yang bakal berlangsung 4 November nanti. Sangat kagum dengannya. Sesiapa yang nak tahu suasana sebenar di Galas, silalah terjah blognya. Memang info terus dari Galas tanpa tapisan mana-mana pihak. Selamat berjuang Bro!

Entri ni aku tulis khusus ditujukan kepada semua pengundi pilihanraya kecil N45 Galas. Memandangkan musim pilihanraya ni bukannya selalu datang, semua orang memang tahulah penduduk tempatan akan terima durian runtuh. Sewa rumah akan melambung-lambung dalam masa 10 hari ini. Kedai makan bersusun orang masuk dengan harganya salah hari bulan boleh jadi lebih mahal dari sepinggan nasi di Bangi. Rezeki sekali sekala kepada penduduk tempatan...apa salahnyakan. Tapi...janganlah cekik darah sangat ya, sila bertimbang rasa sikit (macamlah aku nak berkampung kat sana musim pilihanraya ni. Aku berkampung kat tempat lainlah!)

Bila pilihanraya, banyak durian runtuh gugur tengah jalan. Hati-hati ya, karang tersepak duri...kaki jugak yang sakit. Apapun, setakat ini, penduduk Gua Musang dah dijanjikan dengan;

PM beritahu, Gua Musang bakal mendapat rumah PPRT setinggi 13 tingkat. Bakal siap 2013. InsyaAllah. Kalau ANUGERAHKAN aku satu pintu ok jugak apa. Tingkat 13 pun tak apa, walaupun ramai orang percaya nombor 13 bawa musibah (usah percaya kepada perkara-perkara yang boleh bawa anda ke arah syirik ya! Ingat tu!), bolehlah aku kuruskan badan kalau sehari dua tiga kali aku naik turun guna tangga. Dua bulan dah boleh kurus dan comel macam model.

TPM dah umumkan yang 200 unit rumah baru untuk orang asli akan disediakan. Mereka juga akan menerima lebih 100 ribu benih getah. Untung betul orang asli di Loging.

Kagumnya bila Gua Musang dah jadi "Kampung Wifi". Fuyoooooo canggih gitu. Bolehlah tompang sekaki ya...masa singgah Gua Musang balik kampung nanti, dapatlah aku merasa Wifi percuma. Guna secara berhemah ya...

Ok sekarang ni aku nak mintak tolong dengan orang Gua Musang. Mintak tolong sangat-sangat. Betul ni...tak main-main. Bukan April Fool!

Boleh tak mintak jalan raya di Gua Musang tu dinaiktarafkan dalam masa 10 hari ni? Seminggu selepas pilihanraya tu, dah sambut raya Haji...aku nak balik kampung. Kalau jalan hitam berminyak baru je siap tar...bolehlah berlumba berdesuppppppp je dengan jet peribadi. Kira boleh sampai ke Kuala Krai dalam masa 30 minit cukuplah. Bukannya nak bawak lajupun...berhemah di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang hu hu hu

Tolong ya...tolong! mintak tar je jalan tu, tapi kalau Datok Seri PM nak lebarkan jadi 4 lorong ka, 6 lorong ka...aku tak marah. Aku terima je dengan hati yang berat. Maklumlah, aku pun bukannya selalu balik. Membazir kalau buat jalan sampai 6 lorong, ye tak?

Bro Joe, sila bawa permintaan ini ke pihak yang benar di Galas ya...sila galas tanggungjawab ini. Mmmmmm tak pepasal bro Joe pulak kena pikul. Macamlah dia yang nak bertanding. Apapun, selamat mengundi ya orang Gua Musang. Aku berada di gua lain saat...Final Piala Malaysia Kelantan Lawan Negeri sembilan pun belum tentu aku boleh tengok waktu tu...huwaaaaaaaa stressnya.

Tak apa, bro Joe ada...dia cekap pasal updet blog.

PssssT: Bro Joe, ini satu pujian ya...bukan perli, sindir atau kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Sila berbangga diri ;)

Kot la ada salah faham. Satu ketika dulu, pernah juga buat permintaan kat seseorang, tetapi dia faham saya kata "blog dia tak ada info", padahal saya kata "alangkah bagusnya kalau semua maklumat yang dia ada, letak kat blog, orang lain pun boleh guna sama". Orang kata, pisang usah berbuah dua kali walaupun best jugak kalau dapat goreng jjjjemput pisang ;)

Rabu, 27 Oktober 2010

Final Piala Malaysia: Ohhhhh Paul Tak Sempat Khabarkan Kelantan @ N9 Akan Menang

Usah percaya pada ramalan ya, tak pepasal boleh undang syirik. Lagi pelik kalau binatang yang tolong ramal. Mmmmm termasuk tukang ramal nasib juga ya, nasib dia pun belum tentu jangan nak gatai dok ramal nasib orang lain.

Hari ni, aku jumpa berita yang Paul si tukang ramal Piala Dunia nan terkenal itu dah mati. Aku tampalkan ajelah petikan dari berita tu kat sini ya...malas nak ulas panjangg-panjang.


FRANKFURT - Seekor sotong kurita, Paul di Jerman yang menyebabkan para peminat bola sepak di seluruh dunia terpegun kerana ketepatannya meramalkan beberapa keputusan bola sepak Piala Dunia 2010 mati semasa berumur dua setengah tahun semalam.

Menurut seorang jurucakap akuarium Sea Life yang menempatkan haiwan tersebut, Ariane Vieregge, sotong yang pernah meramalkan Sepanyol sebagai juara Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu mati di dalam akuariumnya di bandar Oberhausen, barat Jerman pada waktu pagi.

Sotong itu kelihatan baik apabila diperiksa lewat kelmarin.

Namun, kata jurucakap itu, Paul gagal untuk meneruskan hidup dan ia mati akibat semula jadi.

"Kami semua mula menyayanginya dan akan merasai kehilangannya," kata pengurus akuarium itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.

Setakat ini, pihak pengurusan Sea Life masih belum memutuskan cara untuk memperingati penghuni yang paling terkenal dalam akuarium berkenaan.

Sotong itu pernah mendapat ancaman bunuh kerana ia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman pada pusingan kedua kejohanan Piala Dunia 2010.

"Kami mungkin memutuskan untuk menyediakan kubur kecil buat Paul dalam pekarangan akuarium kami dan mendirikan satu 'makam' sederhana yang kekal," kata pengurus tersebut.

Sotong itu menjadi selebriti semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung pada Jun dan Julai lalu di Afrika Selatan.

Paul bersara daripada membuat ramalan selepas perlawanan menentukan juara Piala Dunia antara skuad bola sepak Sepanyol dengan Belanda.

Selepas perlawanan itu berakhir, sotong itu kembali dengan peranan asal dengan membuatkan kanak-kanak gembira apabila melihat gelagatnya di dalam akuarium.

Paul mendapat perhatian ramai apabila ia berjaya meramalkan dengan tepat tujuh perlawanan melibatkan skuad bola sepak Jerman dalam kejohanan Piala Dunia itu.

Sotong itu memulakan ramalannya dengan membuka penutup salah satu daripada dua kotak plastik yang mengandungi kupang dan bendera skuad yang berentap dalam pertandingan.

Antara ramalan yang dibuat oleh Paul ialah kemenangan Jerman ke atas pasukan Argentina dan kekalahan Jerman ke atas Serbia.

Sotong itu turut meramalkan kemenangan Jerman ke atas England dan kekalahan Jerman ke atas Sepanyol pada peringkat separuh akhir.

Selepas kemahiran meramalnya itu didedahkan, Paul telah dilantik menjadi duta mewakili England yang cuba menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia pada 2018.

Sotong itu dilahirkan di akuarium Weymouth Sea Life Centre, England pada 2008.

Kebolehan meramalkan itu kemudian menjadi ilham pemilik beberapa haiwan lain yang cuba membuktikan ia setanding dengan Paul.

Antara haiwan lain yang mengikut jejak langkah Paul ialah burung bayan di Singapura dan burung kakak tua Lorenzo di Hannover, Jerman. - Agensi


 

Gomo Kelate Gomo! Tak payah tunggu Paul ramal apa-apa ya...ramal nasib tu tak dibolehkan. Jadinya, sila main dengan penuh bersemangat ;)

PsssT: Kalau Paul ada, gamaknya dia akan bagi tau sape akan menang di Galas tak? ;)




Selasa, 26 Oktober 2010

Calon Dun Galas, Gua Musang dan Batu Sapi

Pilihanraya kecil N45 Dun Galas akan berlangsung pada 4 November 2010. Calon-calon yang akan bertanding adalah;

Dr. Zulkiflee Mohd (PAS)
Abdul Aziz Jusoh (BN)


Calon-calon P185 Batu Sapi adalah:


Ansari Abdullah (PKR)
Yong Teck Lee (SAPP)
Linda Tsen (BN-PBS).


Kempen pilihanraya sudah boleh dimulakan sehingga menjelang tarikh 4 November 2010.

Jadi orang Gua Musang, sila jalankan tanggungjawab anda sebaiknya ya...

PssssT: Gua Musang bakal mendapat flat 13 tingkat dibawah skim PPRT. Nak mohon satu boleh?
PsssT: 500 orang anggota polis ditempatkan di Gua Musang merangkumi unit udara, trafik dan peronda pada hari ini sempena penamaan calon. Kalau berpolitik dengan aman kan lagi best...politik politik jugak, silaturrahim tetap kena jaga ;)

Isnin, 25 Oktober 2010

Berdiri Di Atas Bahu Gergasi


Ini antara impian yang tak mungkin tercapai. Tak mungkin? Mana tahu tak mungkin?
Ok…anggap sahaja tak mungkin, kecuali aku masuk dalam perigi Magika (kena mintak dengan Edry ni…Fimie, sila temankan!)

Tapi…mana kita tahu andai impian tu tercapai. Ohhh biarlah aku berterus terang sahaja. Aku memang nak sangat-sangat untuk Berdiri Di Atas Bahu Gergasi ini…nak ukur berapa kekar bahunya. Berapa lebar bahunya. Berapa besar kepalanya. Berapa tinggi dia…

Kalau dia tinggi, dah tentu aku lebih tinggi lagi dari dia sebab aku Berdiri Di Atas Bahu Gergasi. Bolehlah tengok pemandangan indah ;)

Jommm, sama-sama tengok macam mana gayanya aku bila begitu…
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.


Jangan marah aku ya…marahlah Inche Google tu…hu hu hu