Memaparkan catatan dengan label ibadah korban. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ibadah korban. Papar semua catatan

Selasa, 16 November 2010

Bila Pengorbanan Tidak lagi Dihargai

P.Ramlee dendangkan..berkorban apa sahaja, harta atau nyawa. Ahli falsafah akan kata “pengorbanan adalah tulang belakang dalam cinta”, manakala ahli agama pula akan kata “pengorbanan yang ikhlas kerana Allah”, namun apa kata hati? Apa akan jadi bila cinta dikhianati, pengeorbanan tidak lagi dihargai.

Sesiapa sahaja boleh katakan bahawa pengorbanannya itu ikhlas; Lillah hi taala. Namun, siapa yang mampu menilai tahap peratusan ikhlas itu? ataukah, sepanjang masakah dan selamanyakah pengorbanan itu berada pada tahap 100 peratus? Masa hadapan bagaimana?

Bagaimana pula andai pengorbanan itu tidak lagi dihargai? Atau dinafikan? Masihkah nilainya 100 peratus? Masihkah berpaksikan “Lillah hi taala”?

Ikhlas lagikah anda, andai…orang yang anda selamatkan dari perigi buta (bayangkan macam perigi magika pun ok jugak!) dengan susah payah itu, menghentak kepala anda sebaik sahaja dia berada di atas? Sedangkan, lelas di tangan anda masih berbekas merah kesan berat badannya yang perlu anda heret di tali?

Masih jua ikhlaskah anda andai kiranya mulut yang anda suap itulah yang meracuni anda dengan maki nista setelah berperiuk nasi ayam yang anda masak ditelannya? Dengan mulut itu jualah dia membuat pengumuman satu negeri mengatakan anda tidak tahu masak nasi ayam.

Ataukah anda masih lagi tidak apa-apa, andai pada hari hujan yang lebat (barangkali di Perlis atau Kedah…boleh juga di Kelantan), kemurahan hati anda untuk berkongsi payung dengan entah sesiapa yang kehujanan, akhirnya membuatkan anda kuyup. Menggigil kesejukan. Dia bukan sahaja berlalu tanpa ucapan terima kasih kerana kesudian anda menumpangkan teduhan berpayung itu, tetapi juga turut membawa pergi payung kesayangan anda. Lalunya, anda pula yang kehujanan dan kebasahan (errr…dah lama tak main hujan!). Saat itu, masih ikhlaskah anda?

Anda cirit birit kerana kecuaian sendiri makan di restoren yang nampak macam bersih dan cantik, tetapi kat ruang dapurnya tikus-tikus sedang bersilat pedang menyebarkan wabak. Anda memerlukan pil chi kit teck aun, tetapi nak jadi cerita, gaji bulan itu dah kering kontang sebab bayar bil astro yang tertunggak (bil astro boleh tertunggak tak?...nampak sangat tak pernah nengok Astro kan hu hu hu).

Bila anda mengenali seseorang teman sebegitu lama, tak kesahlah 6-7 tahun ka, 10 tahun ka…bertahun-tahun ka, dan anda sentiasa sahaja sanggup membantunya biar apapun kesukaran yang dia alami. Kucingnya mati dan dia melolong-lolong kesedihan, maka anda serahkan bahu anda untuk dia sandarkan. Anda tetap sabar dengan leleh hingusnya yang menitik di baju cucian kering anda. Anda tahankan hati juga mendengar dia hembuskan hingusnya sambil mulutnya tak henti mengomel tentang kematian kucing itu. Anda dengar juga biarpun berjam-jam dia berduka nestapa kebanjiran air mata hanya kerana seekor kucing kurap yang ditemu dalam hujan renyai, kemudian dibawa balik ke rumah dan dimandikan…diberi makan makanan dalam tin yang lebih mahal dari makanan anda makan sendiri, tetapi kucing itu akhirnya mati tercekik chewing gum (sadis tak cara kucing tu mati?). Kemudiannya dia berlalu setelah gelora di hatinya reda, itupun setelah dia angkut bersama kucing parsi kepunyaan buah hati anda sambil berkata “terima kasih…kaulah kawan aku dunia akhirat” tanpa sempat untuk anda beritahunya kucing itu bertuan juga. Padahal setelah dia menderum pergi dengan kereta merah mewahnya yang merelip-relip kilatnya tersilau lilin, anda pula perlu memerah otak untuk memberitahu pujaan hati tentang tragedi kucingnya itu telah disambar pergi. Padahal anda telah tahu yang ada gunung berapi lebih hebat dari Pinatubo akan meletup di rumah anda hanya kerana itu.

Ketika letupan Merapi menguasai diri anda, saat anda sedang mengelak debu beracun itu…anda terlihat dia sedang humban kucing parsi kepunyaan orang yang anda sayang itu ke lorong belakang kerana tidak tahan perabut mewah di rumahnya dicakar. Lalu andapun merangkaklah mengutip kucing parsi yang sudah comot dan bersalut air longkang itu, mencari sangkarnya yang telah kemik dan bawa balik semula ke rumah, mandikan dengan syampu dan gel mandian kepunyaan anda sendiri hingga wangi dan gebu semula seperti asal. Namun hati anda bagai disentap-sentap bila dia muncul semula dengan jurai air mata dan air hidung memberitahu bahawa kucing parsi yang dirembatnya dari rumah anda itu telah lari dipujuk rayu dek kucing siam jalang. Dan, kiranya anda mengalami situasi ini, masihkan jauh di sudut hati anda paling dalam terisi 100 peratus ikhlas?

Masihkah kita ikhlas, kiranya burung yang kita bela, yang kita beri makan di tangan…akhirnya berakkan tangan kita yang berlosyen mahal setelah habis makanan itu dipatuknya. Patukan itu anda tahan jua biarpun sesekali terasa bisa, bau beraknya itu juga masihkah perlu ditahan jua? Masihkah anda ikhlas.

Entri ini hanyalah satu perlambangan (bukan kisah benar tentang sesiapa yang jatuh dalam perigi buta atau masak nasi ayam yang tak sedap, atau mana-mana kucing parsi atau siam…hanya perumpamaan) tanpa jawapan, hanya ada persoalan. Jawapan ada pada hati anda sendiri. Tanyalah pada hati sendiri, dan itulah jawapannya setelah anda renung-renungkan. Jangan jawab dahulu kerana jawapan pada masa tersebut adalah apa yang anda fikir. Jawapan dari kepala dan akal. Bukannya jawapan dari gerak hati yang menentukan peratusan ikhlas itu.

Setelah membaca entri sepanjang ini, dengan ayat yang berbelit liku mengalahkan filem Tamil (dengar cerita Filem Cuci telah diolah semula dalam bahasa Tamil…jom pi tengok!), kemudian anda pening-pening lalat dan kehilangan rasa waras setelah menikmatinya…masih juakah anda akan ikhlas untuk menyudahkannya hingga nokhtak terakhir?

Selamat hari Raya Aidiladha. Selamat menunaikan ibadah korban. Selamat mengikhlaskan diri saat melakukan pengorbanan. Selamat mencari tempat jejaknya diri. Selamatlah segala-galanya.


PssTT: Semasa entri ini anda tatap, mungkin aku sudahpun mengasah parang dan pisau. Mengupas bawang, memotong segala yang perlu. Pernahkah anda alami kelelahan menguruskan seekor lembu pada musim Aidiladha dengan beberapa orang ahli sahaja? Daku perlu lakukannya jua sekalipun lelah, melainkan aku sanggup tengok Mek tertidur di atas lambakan daging.

PsssT: Jemput ke rumah pada Aidiladha. Kami akan hidangkan sup GEARBOX, segar dari ladang…strow bawa sendiri ya ;)