Memaparkan catatan dengan label Filem Estet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem Estet. Papar semua catatan

Khamis, 11 November 2010

Mewayang di Estet Sempena Deepavali

Pada hari Pesta Cahaya, aku ke Mines bersama Cik Bintang. Makan beger kemudian merayau tengok kalau-kalau ada filem yang memberangsangkan minda. Disebabkan hangat Festival Filem Malaysia ke 23 masih lagi terasa, kami putuskan untuk tengok Estet. Bukan apa, nak lah jugak tengok filem yang dikatakan sangat hebat itu hinggakan Ahmad Idham tak berhenti memuji dan pengarahnya yang tersohor itu, Mamat Khalid tersangat kechiwa bila tak menang BESAR dalam anugerah berkenaan. Kekecewaan yang teramat sangat itu buatkan dia tak mahu mengarah filem lagi, dalam kata lain Tak Mahu Bertanding Lagi.
Magika dah tengok dan aku dah puji melambung-lambung kat blog dalam entri Magika memang Magik laaaaa. Kalau anda suka ambil tahu tentang suasana tegang dalam FFM23, anda tentunya dah tahu hal ini. Yang belum tahu bolehlah baca Senarai Pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-23, Beautiful Nara, Antara Magika dan Estet Dan banyak tempat lagi. Silalah terjah ya…tak kuasa dah aku taip panjang-panjang.


Ni maklumat asas Filem Estet yang jadi kebanggaan ramai itu (ramai?);

Tajuk Filem: Estet
Pengarah: Mamat Khalid
Penerbit: Naga VXS Sdn. Bhd.
Dipawagam: 04 November 2010
Pelakon Estet: Farid Kamil, Shoffi Jikan, Jasmin, Gandii Nathen, Kamarul, Mislina Mustaffa, Mohan, Jayasree, Rosyam Nor, K.S Maniam, Shashi Tharan


Sinopsis Estet
Kisah dalam filem ini berlaku di Estet Cinta Manis. Farid dan Shashi menjadi sahabat baik sejak kecil. Mereka menjadi wira dan sangat disegani penduduk yang tertindas dengan pengurus estet, Encik Pooniah. Hanya mereka berdua sahaja berani menentang. Dalam filem ini, Farid dan Shashi konon-kononnya jaguh kampung yang mampu menawan hati Geetha, heroin Estet.


Cerita bermula dengan berita mengenai perlawanan bolasepak yang akan di adakan antara Estet Cinta Manis dan Estet Red Cobra yang terletak di sebelah. Ia merupakan perlawanan bola sepak yang PANAS kerana sudah 20 tahun tidak beradu kekuatan. Perlawanan bola sepak ini diadakan kerana Pooniah mahu memiliki Geetha, anak kepada Subramaniam (jurulatih) apabila dia gagal menjelaskan hutangnya. (Pinjam RM3 ribu, kena bayar RM30 ribu. Sekiranya estet mereka menang, hutang akan langsai tetapi sekiranya kalah, hutang akan jadi RM60 ribu sementara Geetha pula kena berkahwin dengan Pooniah yang PooooooDaaaaah!)


Ini membuatkan Subramaniam putus asa lalu ingin membunuh diri tetapi sempat diselamatkan keluarganya. Setiap penghuni estet ingin mewakili estet untuk menjuarai pertandingan itu dan membantu Subramaniam. Mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh dan ingin memenangi pertandingan tersebut.
Apaa, Ayah kepada Shashi pernah menjadi pemain bola sepak peringkat negeri yang sangat mahir tetapi menjadi seorang yang peminum apabila kakinya telah dipatahkan oleh Sofi Jikan (samseng estet sebelah yang sengaja ingin menamatkan karier Apaa setelah diupah Pooniah 20 tahun yang lalu). Mulanya, Apaa tidak hiraukan tentang perlawanan berkenaan dan sibuk dengan botol todinya sahaja, namun akhirnya dia sedar dan ingin membantu rakannya, Subramaniam.
Pooniah dan koncu-koncunya telah cuba sedaya upaya pula untuk menghalang pasukan Subramaniam daripada menang. Mereka menculik shashi dan Subramaniam pada malam sebelum pertandingan, meninggalkan Mohan di jalan yang sunyi dan menggunakan pelbagai helah dan tipu daya sepanjang perlawanan berlangsung termasuk menggunakan senjata. Macam biasa, orang baik akan menang, orang jahat akan terima balasannya.
Apa yang buat aku rasa nak menangis bila tengok filem ini adalah;
  • Tak boleh ke kalau tak tiru filem luar? Kalau nak tirupun pastikan lebih hebat daripada Shoalin Soccer itu. Kalau tak capai tahap, bukankah lebih bagus buat sendiri tanpa pengaruh luar? (Ini bukan soal merendahkan filem Melayu…aku dah angkat Magika kaw kaw punya sebab memang patut dipuji)
  • Biarlah logik. Masa Shashi dan Subramaniam kena culik, badan mereka pena pasang bom yang disemat/tampal kat baju sahaja. Ada bom pun mereka boleh jalan merata tanpa bom itu meletup. Pada masa itu jugalah si Pooniah tu datang bergelak ketawa tunjuk macho…sedangkan beberapa saat lagi bom dah nak meletup. Boss penyangak kebal sangat ke?
  • Bila gabungkan untuk tunjuk semangat 1malaysia…maka merekapun menyanyilah lagu Tamil campur Melayu. Pakaian kaum India tu kena dan cantik aje sebab kita pun biasa tengok filem Hindi dan Tamil menyanyi dengan saree, tetapi bila masuk sahaja perempuan berbaju kurung terlari-lari menari…tetiba je terlihat macam tak berapa nak sopan. Perempuan berbaju kurung ni sebenarnya sangat seksi, apalagi kalau menari yang memerlukan mereka berlari…errrr, boleh bayangkan tak? Tak boleh? Kalau tak boleh…sila masuk panggunglah ya, tengok sendiri.
Mmmmm malas dah nak komen secra lebih terperinci. Karang terduduk terus Filem ni. Kesian Mamat Khalid pulak, marah dia kat aku karang. Jadinya, bila dah tengok Estet, dah tengok Magika juga…aku tak terkejutpun dengan keputusan FFM23.
Magika hanya gunakan frame dari barat macam cerita dongeng gitu, tetapi pengisiannya adalah dunia Melayu. Estet pula bukan sahaja guna frame luar, tetapi kisahnya pun sama. Bezanya hanya pelakon dan latar tempat. Satu lagi sebab 1malaysia, maka dimasukkanlah Melayu dua tiga kerat dan sekerat Cina dalam filem ini. Kalau ceritapun lebih kurang sama dengan filem luar, mana identiti kita?
Memang benar Magika tak akan mampu menarik pembeli luar kerana teknologi Holywood lebih canggih beribu kali, namun wajah dongeng tempatan masih lagi wujud dan mendominasi. Adakah wajah 1Malaysia dalam Estet adalah satu senario paling kukuh yang kita ada di Malaysia? Kalau 1Malaysia itu yang nak diketengahkan sangat, kenapa tidak ubah latarnya ke Tumpat kelantan? Di negeri kelahiranku itu, nilai 1Malaysia lebih mendominasi. Penduduk Cina dan Siam yang ada di sana bukan sahaja makan budu dan hidup seperti masyarakat tempatan, tetapi budayanya juga turut berlaku transformasi.
Memang Mamat Khalid adalah pengarah yang berpengalaman, namun suasana dah berubah. Pemikiran pengarah muda sangat berbeza. Usahlah berduka nestapa dan bersara dahulu. Tenaganya untuk majukan dunia filem Malaysia masih diperlukan. Apa salahnya rampas semula kedudukan lamanya bila mengarah banyak filem bermutu sebelum ini. Estet bukannya tak bagus. Kalau tak mana mungkin boleh dapat Anugerah Khas Juri dan Pelakon Lelaki Harapan Terbaik (Shashi Taran). Namun, kalau tak menang sekali, terus sahaja nak berhenti jadi pengarah, nyata benar tujuan dia mengarah itu untuk menang sahaja. Menang hanya peringkat kampung, buat apa sayang...perjuangan perlu diteruskan lagi. Filem kita masih memerlukan suntikan emas yang bermutu dan semakin meningkat, bukan hanya menerima deretan trofi tetapi tiada perubahan mutu. Baik batalkan dahulu niat nak bersara itu sebelum aku pulak jadi pengarah hu hu hu ini pernyataan tak boleh blah ya, sila abaikan dengan segera sebelum anda termuntah.