Ahad, 18 November 2012

Dah Rupa Retis Kekwat Pulak Ya!


Sabtu pagi terima SMS dari seorang yang aku anggap kawan 

"Banyak sangat alasan...macam tak mahu jumpa I je" 

tulisan dalam bahasa SMS itu telah di bahsa Melayukan semaksimum mungkin.

Katanya dulu, dikau rakan yang memahami. Begitukah realitinya? Nyata sekali "memahami" mu itu tanpa pengertian, hanya lafaz semata-mata.

Andai perlu hilang seorang lagi kawan, perlukah dikesali? Aku hanya mohon pengertian sahaja, tak libatkan modal yang besar, tanpa harta benda dan urusan duniawi yang lain. 

Itupun tak mampu?

Sekurang-kurangnya aku tahu, bukan semua orang dianugerahkan kefahaman seperti kuharapkan. Terima kasih kerana mencuba.

 




Sabtu, 17 November 2012

Serbu McDonald Isnin Ini dapatkan burger 'Egg McMufin' Percuma


Sila bersiap sedia ya… Isnin nanti McDonald Malaysia akan memberikan 200,000 buger 'Egg McMufin'secara percuma kepada 1,000 pelanggan pertamanya bermula jam 7 pagi hingga 10 pagi selagi stok masih ada. Sebanyak 200,000 Burger Secara Percuma di 215 cawangan McDonaland seluruh negara, termasuk di Genting Highlands dan lapangan terbang.

Dikenali sebagai 'McDonald Breakfast Day',semua cawangana seluruh negara akan memberikan burger 'Egg McMufin' secara percuma. Hanya satu 'Egg McMufin' bagi setiap pelanggan yang datang sendiri ke cawangan, bawa pulang mahupun pembelian secara penghantaran ke rumah.

Inisiatif tersebut diperkenalkan sebagai langkah memberitahu masyarakat kepentingan mengambil sarapan pagi yang berkhasiat. Menurut McDonald Malaysia, burger 'Egg McMuffin' diperbuat daripada telur segar daripada ladang bersama dengan keju keemasan serta disaluti hirisan daging disertakan dengan mufin segar.

Maklumat lanjut mengenai 'McDonald Breakfast Day' boleh melayari laman web, www.mcdonalds.com.my.

Macam mana? Bersedia untuk beratur depan McD awal-awal macam sesetengah orang sanggup beratur depan kedai tudung Fareeda?  Errrr...ada kaitan ka dua benda ni?

Aku lebih sanggup beratur depan McD berbanding depan Fareeda hu huhu ...jangan marah ya, daku lebih utamakan tembolok berbanding kejelitaan hu hu hu

Tapi kan, sebelum beratur ambil burger FREE di McD tu, apa kata baca dulu apa kata Ustaz Azhar Idrus berkaitan ambil burger Free ni...




Tepuk dada, tanya iman...

Nasib baik aku bukan kaki McD hu hu hu


Istanbul Aku Datang Kutip RM1 Juta 5 Hari Tayangan


Menurut Pengurus Besar Red Films dan juga penerbit, Istanbul Aku Datang, Lina Tan, FILEM Istanbul Aku Datang apabila berjaya mengutip RM1 juta sepanjang lima hari pertama tayangan. Filem ni ditayangkan di 70 pawagam dan akan ditayangkan sehingga hujung bulan ini. Kalau sambutan bagus, mungkin lagi dua minggu akan ditayangkan di pawagam. Pada hari pertama ditayangkan filem ini dikatakan sudah mula ‘trending‘ di Twitter.

Filem arahan Bernard Chauly ini menggandingkan Lisa Surihani, Tomok dan Beto Khusyairy. Penggambaran filem secara keseluruhannya dijalankan di Istanbul, Turki. Filem ini juga menampilkan Aizat Amdan, yang pertama kali muncul di layar perak.

Filem hasil kerjasama Grand Brilliance dan Red Films itu mengisahkan Dian (Lisa Surihani) yang bertekad pergi ke Istanbul untuk meyakinkan kekasihnya, Azad, (Tomok) supaya melamar sebelum Dian pulang ke tanah air. Namun perancangan dan kegembiraan Dian terbantut apabila Azad meminta dia menyewa rumah sendiri. Dian cekalkan diri dan meminta bantuan seorang lelaki Turki untuk menyewakan sebuah bilik. Malangnya, Dian telah ditipu sehingga memaksanya untuk berkongsi rumah dengan Haris (Beto). Lalu, berlakulah konflik mengenai perebutan apartmen dan lebih malang, Azad mengetahui bahawa Dian menyewa rumah bersama seorang lelaki.

Rasa-rasanya, nak kena tengok tak?





Jumaat, 16 November 2012

Amanah Saham Akhirat


Enteri ini bagi sesiapa yang seronok nak melabur dalam Amanah Saham Akhirat.

Memandangkan kami (aku le tuh) berasal dari negeri paling miskin di Malaysia…PM kita yang terchenta sendiri yang mashorkan tu, kalau tak, aku pun tak tau, makanya…kami sangat-sangat memerlukan bantuan para dermawan yang baik hati.

Dahlah kami ni tak dapat royalty petroleum kan…rayuan Ku Li pun tak ada siapa nak pandang, apalah lagi rayuan kami rakyat marhaen ni. Jadinya sebelum Mek meraung lagi anaknya susah nak balik sejak diistiharkan negeri paling miskin, dok jadi negeri paling miskinpun ada aje orang luar yang suka pun. Jomlah ramai –ramai tolong kami ya.

Menurut Majlis Agama Islam Melaka, Perkataan Wakaf dari segi bahasa bermaksud ’terhenti atau ’tertahan’. Dari segi istilah ialah menyerahkan harta atau sebahagian hartanya kepada milik atau pada hukum milik Allah S.W.T; dengan tujuan mendampingkan diri kepada Allah; dan akhirnya mensedekahkan manafaat atau hasilnya kepada pihak kebajikan yang ditentukan oleh pewakaf selama-lamanya.

Wakaf juga terkenal dengan nama sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan pahalanya dari masa ke semasa selagi pahalanya dimanafaatkan.

Jadinya, bagi yang nak tambah Sahat Akhirat dengan pelaburan jangka panjang, bolehlan menderma dan sedekahkan ke projek Lebuh Raya Rakyat yang akan dibina menghubungkan Kota Bharu dan kuala Krai. Mudah sikit kami nak balik beraya ya…


AKAUN AMANAH PEMBINAAN LEBUHRAYA RAKYAT KOTA BHARU - KUALA KRAI

Bank: Maybank Islamic Berhad

Nama Akaun: Akaun Amanah Pembinaan Lebuhraya Rakyat Kota Bharu - Kuala Krai

NO. AKAUN: 553104558661

Email: info@lebuhrayarakyat.com


Ini bukannya entri berkaitan politik ya.



Bagi aku, royalty tu memang hak rakyat Kelantan, sama seperti hak kami untuk dapatkan pembangunan yang setimpal. Kalau dah hak kami dinafikan, aku memang sangat suka bila Kerajaan negeri Kelantan sanggup buat sendiri lebuhraya ini.

Memanglah macam-macam orang yang akan boikot, kutuk dan sabotaj, tapi andainya lebuhraya ini menjadi kenyataan akulah orang pertama yang akan gembira. Tahu kenapa?

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Apabila matinya anak Adam, terputuslah amalan kecuali 3 perkara: Sedekah (wakaf), Ilmu yang bermanafaat & Anak yang soleh mendoakannya.

Jadi, bila kita bersedekah, buat amal wakaf sebegini, selagi masih digunakan orang ramai, maka berterusan kita dapat manfaatnya. Bayangkanlah berapa lama lebuh raya itu akan digunakan?

Selamat melabur dalam Amanah Saham Akhirat.




Khamis, 15 November 2012

Penjawat Awam Itu Macam 'Monyet'?



Kata ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek Fernandez, “penjawat awam ibarat macam 'monyet'”  ketika mengulas isu pertukaran Datuk Bandar MBPJ. Fernandez dalam akhbar Malay Mail berkata "let’s see who the candidates are. If they are going to nominate some monkeys, we will reject"

Aku dulu sekolah pondok je, tak faham lah apa maknanya tu. Hanya sepatah je yang aku faham…”monyet” tu je yang faham pun.

Kenyataan ahli majlis MBPJ itu berhubung pemilihan calon Datuk Bandar MBPJ oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menggantikan penyandang Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang dinaikkan pangkat ke jawatan baharu. Perlantikan Datuk Bandar MBPJ berada di bawah bidang kuasa pihak JPA.

Bila seorang ahli majlis menyebut penjawat awam yang  bakal jadi Datuk Bandar sebagai "monyet',", makanya ahli majlis tu “anak monyet” ke “bapak monyet” ya?

Banyak yang aku nak tulis komen, tapi kalau aku tulis kang…payah jugak. Lagipun, sempena Tahun Baru Hijrah pada hari ni, aku berazam untuk kurangkan berkata-kata. Semoga terlaksana.




Jumaat, 9 November 2012

Yakini Rezeki Yang Kita Terima


Aku selalunya akan singgah di kedai makan abang ni, lokasinya di kafe berhampiran satu dewan kuliah. Orangnya peramah dengan minda yang hebat, maklumlah bertahun juga dia hidup di luar Negara jaga anak-anak dan temani isterinya sambung belajar di UK.

Kalau di Bandar Baru Bangi, makan tengahari dengan satu nasi, satu sayur, satu ikan dan satu neskefe ais, harganya paling murah RM9. Dengan abang ni, boleh dapat RM6. Alhamdulillah. Paling utama rasanya kena dengan tekak aku termasuk neskefe aisnya yang sedap itu.

Sejak dulu aku nampak kafe sebelah menyebelah dah banyak kali tukar orang. Yang dia punya masih tetap juga ramai pelanggan. Mungkin orang suka sebab dia peramah. Dia tak berkira. Dia sentiasa sahaja penuhi keinginan pelanggan. Jam sepuluh pagipun kalau ada pelanggan nak makan yang jenis ala-carte, dia sediakan je walaupun masa itu mereka tengah kelam kabut siapkan makan tengahari.

Tak berkiranya dia itu hinggakan kepada soal bayaran. Dahlah harganya lebih murah, andai sekupang dua, dia memang tak berkira. Kalau belian kita berharga RM5.30, RM5 je dia ambik kecuali kita bayar dengan duit kecil secukupnya. Katalah harganya RM6 dan kita hanya ada not RM5 dan RM10…abang tu akan mintak dengan kita RM5 sahaja dengan pesanan RM1 lagi tu boleh bayar lain kali. Ada masanya, jumlah itu hingga cecah RM3.

Ini yang buatkan aku takut. Risau sebab kira aku berhutang dengan dia. Aku pernah juga risau kalau-kalau aku lupa nak bayar lain kali itu. Namun dengan selamba aje dia cakap “Kalau lupa, saya halalkan aje. Jangan risau,”

Anehnya, aku tak pernah pula lupa bakinya itu. Akan bayar semula bila pergi lain kali tanpa perlu dia ingatkan. Kalau kita lupa, dia juga tak ingatkan kitapun. Prinsipnya mudah sahaja: kalau rezeki kita, Allah akan bagi juga tak kira dengan cara apa sekalipun.

Minggu lepas, aku beli makanan lagi dengan abang ni, dan bayar juga baki yang sebelumnya. Dia berkata “Saya tak risau kalau tak bayar semuapun, sebab saya tahu…semua orang kat sini pasti akan bayar walaupun saya tak kenal sangatpun mereka. Tapi kalau buat kat “luar”, memang perlu niatkan sebagai sedekah sahaja kerana mereka tak akan datang semula untuk bayar kecuali beberapa orang je…”

Alhamdulillah, aku berkerja bersama orang-orang yang jujur rupanya, walaupun masih ada juga yang jenis suka “makan” kita ;)

Walaupun, daku ini bukanlah sedap pun untuk dimakan hu hu hu 

 


Kat Mahsyar Lagi Panas, Jangan Banyak Komplen


Entri Hari Jumaat.

Semalam, ada acara rasmi. Pagi-pagi dah melawa kenakan pepel sedondon dari tudung, hingga kain baju. Nasib baik lipstick tak lekatkan warna unggu juga.

Acara patutnya bermula tepat 9 pagi. Kelam kabut dari pejabat jam 8.50 pagi, ingatkan dah terlambat sangat-sangat. Rupanya para urusetia tengah hadapi masalah teknikal. Jadi kami diminta sarapan dulu.

Bila masuk tempat sarapan tu, mak oiiiii! Tak ada ekon la pulak. Awalnya tak perasan, bila rasa semacam, bertanyalah daku dengan orang sebelah “Tak ada ekon ek?”

Jawapannya satu ayat penuh “Kat Mahsyar lagi panas, jangan banyak komplen”

Terdiam. Terkapa. Tak terkata apa. Namun, hati di dalam bagai disentap-sentap. Dalam terpinga-pinga itu, aku hanya sempat berfikir “aku sedang komplen ke?”

Acara berlangsung separuh hari, hingga makan tengahari. Kepala masih lagi terfikir-fikir tentang ayat sendiri.

Dari senak kepala fikir, aku putuskan untuk melihat dari sudut positif agar sentap kepalaku itu berkurang. Anggap sahaja dia tengah dating bulan, tak pun dalam proses nak menopause. Tak pun semalam gaduh dengan laki yang ajak maid Indonesia lari balik Makasar.

Sepanjang petang, semua itu masih juga berlegar dalam kepala. Cuba memujuk hati yang dia tak sengaja. Atau aku yang tersentap lebih. Akhirnya aku sedari…mungkin ada ketikanya aku pernah menyinggung hati sesiapa tanpa sedarinya. Sila maafkan aku ya… 

Jadinya, sempena hari Jumaat nan mulia ini, aku mengambil kesempatan untuk memohon maaf dengan semua yang membaca catatan ini, andai ada patah kata mengguris rasa, ada singgul sindir nan menyentuh hati. Maaf zahir batin walaupun raya lambat lagi. 





Rabu, 7 November 2012

Cinta Memang Membutakan


Sekarang ni, kalau nak menipu…pakai air liur basi je pun senang je dapat duit. Paling mudah, gunakan aje modal CINTA.

Ramai yang akan kata “Dah perempuan tu bodoh!” Ya…berkata juga tak perlukan modal apa-apa, hanya semudah lafazkan di lidah. Belum kena batang hidung sendiri, memanglah mudah untuk kata begitu, dah kena batang hidung…terkapa-kapa macam kodok tersimbah tutttttttttttttttt.

Dah kerap sangat kes penipuan cinta melibatkan janji kahwin dipaparkan dalam akhbar. Hari ni seorang lagi mangsa muncul dan buat laporan polis. Hairannya, kenapa kes sebegini sukar untuk ditangkap? Mereka boleh lepas bebas macam tu aje? Kemudian tipu mangsa yang lain pula?

Harian Metro hari ni memaparkan tentang seorang wanita yang terpedaya dengan janji bakal dikahwini bulan depan kerugian lebih RM60,000 apabila diperdaya teman lelakinya yang dikenalinya melalui laman sosial sejak beberapa bulan lalu. Modalnya hanya “Janji nak kahwin” je…dapat kikis ribu riban dah…

Mangsa yang berusia 30 tahun berkenalan dengan lelaki itu pada penghujung April lalu dan sehingga awal bulan ini, mangsa sudah memohon tujuh pinjaman peribadi daripada pelbagai bank untuk mendapatkan wang sebelum diserahkan kepada teman lelakinya itu. Sumber polis berkata, selain wang tunai, mangsa turut dinodai lelaki berkenaan manakala kad mesin pengeluaran wang (ATM) miliknya turut disimpan lelaki terbabit untuk tujuan peribadi. Mangsa percayakan lelaki itu kerana “bercadang berkahwin bulan depan”

Berikutan itu, mangsa mengikut segala permintaan teman lelakinya itu termasuk memintanya meminjamkan wang yang kononnya untuk dijadikan modal untuk menjalankan perniagaan selain bagi perbelanjaan perkahwinan mereka. Mangsa membuat tujuh pinjaman peribadi lebih RM50,000 dan semua wang itu diserahkan kepada lelaki terbabit. Mangsa turut menyerahkan wang simpanannya berjumlah RM11,000 dan kad ATM beserta kata laluan untuk akaun perbankan onlinenya.

Teman lelaki mangsa mula menghilangkan diri awal bulan ini dan selepas segala usaha menjejaknya gagal, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis.

Bila dah banyak sangat berlaku kes sebegini, bagaimana kita nak tahu lelaki yang kita jumpa tu benar-benar ikhlas nak kahwin dengan kita atau sebenarnya nak duit kita je?

Mmmmm ada sebarang pendapat tak?


Keputusan UPSR 2012 Isnin 19 Nov


Adik-adik yang tengah tunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah UPSR tahun 2012 (Seramai 517,139 orang calon) di 8,284 pusat peperiksaan seluruh negara akan menerima keputusan masing-masing pada Isnin, 19 Nov ini. Haaaaaaaaaaaaa mesti tak senang duduk kan nak tunggu minggu depan. Tidur tak lena, mimpi tak basah lah ya hu huh u

Hari Isnin nak kena beratur ramai-ramai ambil keputusan peperiksaan UPSR 2012. Sila kuatkan semangat ya…

Menurut Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia, majlis pengumuman analisis keputusan UPSR itu akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya. Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi pada hari yang sama.

Aku pernah ada pengalaman jaga anak saudara masa kakak dan abang ipar menunaikan haji. Pada masa ini, semua urusan mereka aku yang buat. Fuhhhhhh! Pendek kata, sangat lelah dan penat. Tanggungjawab mak dan ayah dia orang aku kena pikul seorang, jadi aku dah faham bagaimana situasi ibu tunggal. Ohhhh! Tak terdaya dan kawal budak-budak ni…nasib baik sebulan setengah je…kalau lama, dah pasti aka nada yang kena dera nanti huh u hu 




Selasa, 6 November 2012

Tembak Kepala Sendiri???


Balik raya hari aidiladha lepas...banyak yang nak cerita tapi jari jemari tak sempat nak menari. Sekarang pun masih lagi tak sempat, dok kalut nak tulis benda lain.

Bila ingatkan blog yang dah mula kehadiran labah-labah, cepat-cepat cari gambar comel ni, si kekasih hati Aziezah yang suka berkongsi pelbagai pengalaman tu;


Dia dah pandai main tembak-tembak, Kak AIn dok sebelahpun dia nak tembak. Sayangnya, Si Hakim tak ada sama masa tu.


Dah makin besar ni, mulut lagi becok. Kepala otak makin kreatif. Dah boleh nak berdebat pun...tapi sentiasa je nampak comel hu hu hu.

Hebatnya Samsung Galaxy S III


Waaaaaa ramainya peminat Samsung Galaxy S III...dah lebih 30 juta tu, sedangkan baru lebih 5 bulan berada di pasaran. Samsung dah menjual 56.3 juta telefon pintar, termasuk Galaxy S III pada Julai-September, mewakili 31.3 peratus daripada pasaran global.

Tak hairanlah ramai yang pilih model Galaxy S III ni sebab pemprosesnya lebih berkuasa yang membolehkan pengguna menonton video dan menulis e-mel secara serentak. Skrinnya pula luas bersifat HD Super AMOLED berukuran 4.8 inci.

Ohhhhh ni bukan entri berbayar tapi entri penuh kagum. Kagum dengan samsung yang mampu bersaing dengan apple, kagum juga teknologi semasa yang mereka keluarkan. Lagi kagum bila pengguna sukakannya. Mungkin sebab harganya rendah sikit dari apple, mesra pengguna juga.

Sebenarnya, telefon cap ayam serama aku tu dah ada tanda-tanda buat hal Aidiladha lepas. Nasib baik aku tak rebus sekali dengan sup gearbox je.

Dah lama pun aku beli, sejak 2008 rasanya. Aku main kutu tiga bulan untuk beli telefon tu. Sekarang ni mana ada dah orang pakai yang macam tu...semuanya yang canggih manggih besau gedabak. Persoalannya, sempat tak aku nak main kutu dulu untuk beli Galaxy S III ni sebelum telefon lama tu arwah? Berapa bulan nak kena mengutu? Ada tak sesiapa nak main kutu sama? Hu hu hu

Mmmmmm aku lebih selesa dengan telefon cap ayam ni, macam mana? Touch skrin segala ni buatkan aku rasa canggung la pulak!

Yaaaa...orang lain dah guna iphone 5, aku tau...tapi aku masih yang jenis cap ayam serama. Kumpul duit dulu ya baru set dalam kepala mana nak sambar ikut ketebalan dompet yang memang nipis ni ;)

 

Sabtu, 3 November 2012

Selamat Pengantin Baru Farid Kamil - Diana Danielle


Selamat pengantin baru kita ucapkan kepada artis kacak hensem Farid Kamil dan pasangannya pelakon cantik manis jelita ayu Diana Danielle.Comel je gambar perkahwinan Farid Kamil - Diana Danielle ni kan?


Semoga mahligai yang dibina aman bahagia berkekalan hingga syurga dan dikurniakan anak-anak yang comel cantik manis dan hensem kacak macam ayahbonda juga ya...


Pembantu Rumah Pak Nil Larikan Barang Kemas


Alahai...kesian betul dengan Pengacara terkenal Aznil Nawawi yang kehilangan sejumlah barang kemas disyaki dilarikan pembantu rumahnya. kejadian berlaku di rumahnya di Taman Yarl, Jalan Klang Lama semalam.

Hari tu (Ogos lepas), rumah Aznil dipecah masuk penjenayah yang menyebabkan pengacara itu kerugian kira-kira RM40,000. Kali ni pembantu rumahnya pulak buat onar.

Aznil dalam laman Twitternya berkata beliau hanya menyedari perkara itu pada 2 petang semalam dan meminta sesiapa yang mengenali pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai 'Soimah' itu supaya menghubungi balai polis berdekatan. Beliau turut memuatkan gambar wanita itu di laman sosial berkenaan dan Facebook.

Aminnnn moga dimakbulkan doa kita semua si maling ini diberkas cepat


Komen aku: orang kata, kalau dah bukan rezeki kita, dalam apa cara sekalipun, ia tetap terlepas dari milik kita juga. Tak kiralah jaga macam manapun. Namun, andai memang dah rezeki kita, cicir sepanjang jalan pun akhirnya tetap kembali ke tangan kita semula.

Bersimpati dengan nasib malang Pak Nil, tahun ni aje sebegitu besar dia kehilangan harta benda. Nak buat macam mana, memang dah gitu suratannya. Kenalah banyak-banyak bersabar. Memanglah perit...banyak tu!




Jumaat, 2 November 2012

Gajah Di Zoo Bercakap Bahasa Korea


Macam-macam benda pelik berlaku sekarang ni. Tanda-tanda akhir zaman gamaknya.

Di SEOUL, Seekor gajah di Zoo Korea Selatan bukan saja boleh mengutip makanan menggunakan belalainya tetapi gajah itu juga boleh bercakap. Biar benarrrr! Kang tetiba gajah tu mintak nak makan KFC kang naya!

Pasukan penyelidikan antarabangsa berkata, gajah bernama Koshik itu boleh bercakap lima patah perkataan dalam bahasa Korea dengan melipat belalai ke dalam mulutnya dan mengeluarkan bunyi menerusi kerongkongnya. Penemuan itu dilaporkan menerusi online dalam jurnal Current Biology hari ini.

Dah jurulatihnya bercakap korea, dia pun retilah ikut bahasa Korea. Kalau nak betul-betul pelik, suruh gajah tu cakap Kelantan, itu baru pelik dan aneh. Baru betul-betul kisah benar.

Mmmmm boleh bercakap, belum tentu dia faham kan apa yang dia cakap? Macam burung kakaktua tu...kita ajar dia bagi salam pun, dia hanya tau bagi salam je. Kalau kita yang bagi salam kat dia, tobat dia tak reti nak jawab hu hu hu 


Semoga Rohku Tidak Lagi Tergantung Antara Langit Dan Bumi


Entri hari Jumaat!

Pernah baca tentang “Roh yang Tergantung Antara Langit Dan Bumi”? aku pernah tulis dalam salah satu entri beberapa ketika dahulu.

Sebelum raya aidiladha tempoh hari, aku dah terima surat ni;



Dah pun jelas semuanya. Dah tak ada hutang dengan JPA lagi.

Usah hairan dengan status TUAN itu...aku memang selalu dipanggil tuan. Patutpun perangai macam jantan kan? Hu hu hu


Khamis, 1 November 2012

Salah Tafsir Tentang Kajian Kenaikan Gaji Penjawat Awam


Hari ni konon-kononnya ramailah penjawat awam menggebu-gebu hatinya kerana terdapat tiupan taufan Sandy berkaitan kajian kenaikan gaji daripada dua hingga lima peratus bakal dilakukan tahun depan. Masing-masing dah simpan angan-angan, maklumlah...sekarang ni air putih pun naik harga dek kenaikan harga gula. Ingatkan betullah gaji naik tahun depan...

Rupa-rupanya, berlaku salah tafsir tentang hal tersebut. Menurut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, kajian kenaikan gaji daripada dua hingga lima peratus yang akan dilaksanakan kerajaan itu hanya melibatkan penjawat awam yang sudah mencapai gaji maksimum, bukan membabitkan kenaikan gaji secara keseluruhan bagi perkhidmatan awam. Pulakkkkkk!!!!

Dan jumlah itu hanya 20% daripada seluruh penjawat awam je, melibatkan semua kategori jawatan.  

Penjawat awam bukan sahaja telah mencapai had maksimum gaji mereka, tetapi juga perlu mempunyai prestasi markah yang melebihi 80 peratus. Ini bagi memberi keadilan kepada penjawat awam yang mempunyai prestasi yang baik dan cemerlang, dengan mencatat markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.

Komen aku: Aku gelak je pelan-pelan bila baca berita tentang ni. Nak gelak kuat kang, ada yang salah tafsir pulak ingat dawai di kepala dah putus.

Minta maaflah aku cakap, aku tak akan tersenarai dalam kes macam ni. Sebabnya mudah aje: “Aku yang sentiasa Ingkar perintah”, mana nak layak dapat markah sampai gitu sekali. Kalau aku berkampung kat pejabat bina atromen taro pesyen baru pun, tak akan punyalah markah tu lebih sampai cecah 100. Mimpi siang hari pun tak akan hu hu hu 

Sejarah dah buktikannya...tak perlu nak simpan angan-angan tinggi sangat!

Bahaya Pil Kurus


Siapa tak nak kurus, langsing, kecil molek? Masa aku kurus begitu dengan berat badan yang ideal (untuk aku kena 50kg hingga 55kg), kira berat yang selamat untuk akulah...masa ni macam-macam fesyen baju aku boleh kenakan, walaupun sebnarnya tak banyak fesyenpun aku gayakan. Sedara mara perempuan ramai yang jeling dok jeles sebab mereka alami masalah lebihan berat badan. Siap mintak petua lagi cara nak kurus.

Sekarang ni, kalau aku boleh turunkan berat 10kg, baru selesa duduk. Kalau macam sekarang ni, dah masuk dalam golongan obes dah, walaupun ramai yang kata taklah gemuk sangat. Malah, ramai juga kata okey aje dengan berat sebegitu. Sesetengah kata, berat sebegini nampak seksi sikit wowwww Namun kalau tanya aku sendiri, aku nak kurangkan antara 5kg-10kg. Baru berat ideal. Baru tak mengah.

Namun, bila berat dah bertambah, bukan mudah nak kurus semula. Ikutkan hati, nak aje aku rembat mana-mana ubat kurus di pasaran yang berlambak tu. Kalau tengok di facebook pun ramai yang jual ubat kurus atau pil pelansingan badan. Siapa tak nak kelihatan langsing dan cantik, namun, bila fikirkan tentang kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan yang boleh membahayakan diri itu, tak jadi pulak ambil.

Kalau betul nak kurus, kena amalkan diet yang seimbang kerana dibimbangi mendapat penyakit seperti bulimia (memuntahkan makanan) dan anoreksia (takut untuk makan). Itu penyakit yang sengaja dicari!

Pil kurus seperti Duromine memberikan kesan buruk jika diambil tanpa pengawasan doktor. Pil berkenaan tidak boleh dibeli di farmasi ataupun kedai ubat kerana ia merupakan ubat kawalan dan boleh didapati melalui preskripsi doktor sahaja. Ia hanya dibenarkan kepada mereka yang mengalami risiko perubatan sekiranya terus mempunyai berat badan berlebihan. Pil ini akan bertindak merangsang otak untuk mengawal selera makan seseorang. Kerana itu ia hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang melebihi 30 agar berat badan mereka dapat dikurangkan.

Pengambilannya hanya untuk tempoh masa yang singkat dan sekiranya tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas dua minggu maka pengambilannya harus dihentikan kerana mempunyai banyak kesan sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Antaranya berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit seperti kegagalan buah pinggang, gangguan atau susah untuk tidur, sembelit, mati pucuk dan banyak lagi.

Seterusnya pil tersebut juga akan mengganggu metabolisme hati. Hati tidak dapat memproses glukosa dengan sempurna dan akhirnya ia akan menjejaskan kesihatan. Ini menyebabkan pengambilan pil tersebut merupakan jalan terakhir kepada mereka yang mengalami masalah berat badan kerana ia bukanlah cara yang betul untuk mengurangkan berat badan.

Sesiapa yang ingin mengurangkan berat badan, lebih baik ubah cara hidup dengan amalan hidup yang lebih sihat seperti menjaga pemakanan, bersenam dan mengamalkan diet yang seimbang. Bukan senang nak buat, terutama untuk aku yang selalu berjaga malam ni. Walaupun dah makan malam jam 9, tetapi tengah malam nanti, akan lapar semula. Adakala, kelaparan tu menyerang pada jam 12 tengah malam. Nasib lagi malang kalau rasa lapar tu jam 3 pagi.

Apa yang pasti, aku sangat beruntung sebab ada sang penasihat pemakanan kesihatan. Terima kasih Cik Bintang, yang sentiasa teliti dengan setiap makanan tambahan atau ubat-ubatan yang aku ambil. Aku sebenarnya hanya makan ubat yang doktor sarankan sahaja walaupun ada masanya ubat yang doktor berikan itupun ada kesan sampingan kalau digunakan dalam tempoh yang lama. Panadol pun payah nak ambil kecuali sangat terpaksa. Kepada rakan-rakan yang teringin nak kurus, lakukanlah prosesnya secara normal. Tak ada gunanya kita jadi kurus comel cantik manis halus menawan, andai kesihatan akan terganggu. Menawan jelita itu akan beransur-ansur pergi bila kita dah sakit.






Rabu, 31 Oktober 2012

Menghargai Pemimpin Amanah Dan Tepati Janji


Bila Perdana Menteri Malaysia kita yang terchenta, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menghargai pemimpin yang sentiasa amanah dengan tanggungjawab yang diberikan serta menepati janji, aku memang setuju sangat-sangat. Lebih sejuta kali aku setuju. Kira macam setuju tanpa berbelah bahagi ni…bukan mudah untuk aku setuju aje dengan ucapan PM kita semasa berucap dalam majlis Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kedah di Pantai Merdeka di sini hari ini.

Sekarang ni kan musim pilihanraya dah nak dekat. Jadi kita sebagai rakyat marhaen yang hanya BERKUASA sekali dalam tempoh lima tahun ni perlulah gunakan sebaiknya peluang yang ada. Pemimpin yang tidak pernah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan, wajib disokong oleh rakyat demi kesejahteraan negara. Betul sangatlah kata-kata Perdana menteri kita itu. Aku sokong sepenuhnya. 500% lagi sokongan aku.

Kalau ada pemimpin yang cakap tak serupa bikin tu, atau jumpa kita sekali dalam masa lima tahun tu…baiklah kita lupuskan sahaja. Membazirkan beras je kita simpan pemimpin macam tu. Kita perlukan pemimpin yang kotakan janji mereka, kalau hari ni berjanji nak bangunkan negeri kita, maka sepanjang lima tahun tu kenalah mereka bangunkan sungguh-sungguh. Bukannya dok seluk poket bilang RM je.

Kalau janjinya nak bela rakyat marhaen macam kita, maka dah pastilah kehidupan kita patut dibela, bukan hanya mengharapkan “budi dibalas” sebab kita tak pernah pun minta mereka berjanji untuk bela kita. Mereka berjanji tanpa kita paksapun. Bila janjinya tak mahu naikkan harga petrol, maka tak naiklah. Itu yang dikatakan tepati janji. Kalau janji nak buat lebuhraya, maka binalah lebuh raya. Baru amanah namanya.

Maka seperti itulah juga tentang janji-janji yang lain. Kalau janji mulut masa kempen pilihanraya pun mereka tepati dengan slogan janji ditepati, maka bangga sangat-sangatlah aku yang jadi golongan rakyat marhaen ini agar semua janji yang ditandatangani atas kertas juga tidak dimungkiri. Namapun amanah kan? Namapun tepati janji kan? Kalau janji lisan yang hanya laku di youtube itupun sangat bersungguh-sungguh benar mahu ditepatinya, dah tentulah janji yang dibuat secara bertulis juga terlebih-lebih lagilah kan?

Errr tetiba aku rasa lapar pula. JOMMM, malam ni kita makan capati sambil bercerita tentang kelebihan menunaikan amanah bila berjanji…dah rindu capati dengan ayam ;)






Semuanya Hijau!


Ada berani? Semuanya hijau...dari tiang rumah, dinding, atap...termasuk juga bendera hu hu hu


Video Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM 2012 Yang HANGAT Itu


Jom tengok!





Anugerah Bola Sepak 100 Plus - Astro Arena – FAM 2012

01. Kelab Terbaik – Sime Darby FC
02. FA Terbaik – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
03. Pemain Harapan Terbaik - Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)
04. Jurulatih Terbaik - B. Sathianathan (ATM)
05. Penyerang Terbaik - Nor Shahrul Idlan Talaha (Kelantan)
06. Pemain Tengah Terbaik - Mohd Safiq Rahim (Selangor)
07. Pertahanan Terbaik - Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM)
08. Penjaga Gol Terbaik - Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
09. Anugerah Pemain Paling Bernilai Supermokh - Nor Shahrul Idlan Talaha (Kelantan)
10. Kelab Penyokong Terbaik - Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
11. Pemain Import Terbaik - Marlon Alex James (ATM)

Mmmmmm tak nak komen apa-apa, kang jadi isu pulak hu hu hu 

 


Selasa, 30 Oktober 2012

Generasi kedua Felda terima durian runtuh mulai 10 Nov.


Waaaaaaaa ada berita baik untuk Generasi kedua peneroka Felda ni. Mereka bakal menerima "durian runtuh" sebanyak RM5,000 mulai 10 November. Errrr...kenapa pulak aku yang terlebih berdebar-debar ni?

Pemberian fasa ketiga itu melibatkan peruntukan sebanyak RM563 juta.

Mmmmmmm ganerasi ke tiga felda, sila belanja ya...



Tak Sabar Nak Joli


Dah tak sabar sangat dah nak guna benda ni;




Nak pergi joli di kedai buku dan kedai optomatrist...spek dah lama kena tukar. Tahap rabun dah melampau!

Nak sebat juga spek itam, biar nampak lebih jelita menawan dan rupawan la la la

Alahai...entah bila lah nak pergi ambik ni...Lembah Pantai tu bukannya jauh manapun dari Bangi, tapi bila mengenangkan sesak nak harung pergi sana, kenalah siapkan kerja dulu ya. Sambil pergi hantar kerja dan jumpa penyelia yang kacak hensem gantang tu, bolehlah singgah ambil KADS1M ni. 

Jom sambung edit...kena cepat siap ni, baru cepat dapat ambil kad ni ;)




Mengidam Lah Pulak!


Entah apa ke sebabnya, tak semena-mena teringatkan benda ni;



Yaaaa....sepatutnya pulut kuning dan ayam masak pedas, tapi dek kerana tak ada pewarna kuning, pewarna merahpun jadi lahhhhhhhh!

Orang lain makan pulut kuning dengan rendang, tapi aku lebih suka makan dengan ayam masak pedas @ merah. Pulutnya pulak tak mahu yang tanak punya, tapi KUKUS hu hu hu entah siapalah nak kukuskan untuk aku ni!

Isnin, 29 Oktober 2012

Orang Gedebe Langgar Kereta Peronda Polis



Mood lemau!

Penat tak terkata. Orang Kelantan je tahu macam mana penatnya kalau balik raya masa aidiladha.

Gerak balik kampong Khamis lepas jam 5.45 pagi, terlewat 45 minit. Hanya berhenti masa isi petrol dan solat sahaja. Dan, singgah cari tandas juga. Selebihnya hanya di dalam kereta. Ada masa 20km/j, ada ketika 80km/j tetapi yang tak tahannya bila 0km/j selama berjam-jam di tengah hutan sana.


Jalan 2 hala dah jadi sehala...hebat!

Sepanjang masa balik itu, terdapat tiga kemalangan. Itu yang tambah sesakkan jalan. Orang Kelantan memang gedebe…kereta peronda polispun dia orang boleh hentam sampai penyek huh u hu siapalah yang hebat itu. Kereta peronda pun sampai hati korang langgar ya?

Sampai di kampong halaman dengan selamat jam 8.30 malam lebih kurang. Malamnya, tiga kali betis tersentap-sentap kremm. Aduhaiiii!


Kemalangan di Jln Gua Musang-Kuala Krai...


Ahad, jam 5.30 dah gerak datang Bangi. Alhamdulillah, walaupun kenderaan dah berderet masa kami di jalanan seawal pagi itu, namun perjalanan boleh pecut berapa laju pun nak kalau rasa hebat sangat. Aku? Macam biasa hanya 80km/j hingga 130km/j sahaja. Tiba di Semenyih hantar kakak dan anak-anak jam 2 petang. Lepak sekejab dan pecut ke Bangi. Sampai dengan selamat mendarat atas tilam jam 3.20 petang.


Bentong Jem...perjalanan balik bangi

Malam, mood ke laut lagi. Penat belum habis.
Sekarang? Masih lagi mood nak rehat dan urut betis. Biar tak kremm lagi.





Ahad, 28 Oktober 2012

Mana Satu Suami, Mana Satu Isteri?


Masih lagi dalam suasana raya Aidiladha. Berat rasa hati nak balik bangi semula, apa daya…kehidupan perlu diteruskan. Ceeewahhhh!

Ada orang rindu tak? Ada sapa-sapa rindu tak? Huh u hu soalan bajet retis gitu, walaupun memang dah tahupun tak ada siapa yang nak rindu pun.

Semoga perjalanan sepanjang hari ni lancer dan tak alami kesesakan teruk. 

Untuk kalian, kutinggalkan satu filem pendek yang manis. Bagus filem ni…banyak dapat anugerah tu….rugi tak tengok tau!





Best tak?

Kasihan pak lebai tu, terkebil-kebil tak tau nak kata apa. Tapi hakikatnya, Pak Lebai tu boleh dakwa mereka tau…kesalahannya: “berpakaian menyerupai…” macam kes Kajol dulu tu…


Sabtu, 27 Oktober 2012

Ultraman Terlupa Daaaaaaaaaa


Bila Ultraman lupa nak buat apa...ginilah jadinya;



hu hu hu napelah aku tak pernah tertengok siri yang ni ya...macam kelakar pulak!



Jumaat, 26 Oktober 2012

Labbaik Allahumma Labbaik


Selamat Hari Raya Aidiladha.



Maaf zahir batin.

Khamis, 25 Oktober 2012

Meriahnya Aidiladha di Kelantan


Orang kata, kemeriahan Aidiladha di negeri Pantai Timur terutamanya Kelantan memang tersangatlah meriah. Kalau tanya pelajar kita di Timur Tengah, walaupun mereka berasal dari Kelantan, mereka kata sambutan hari raya Korban di sana seperti Mesir lagi meriah. Lagi meriahhhh? Teringin sangat nak rasai kemeriahan itu...

Sepanjang hidup di perantauan berbelas tahun ni...mmmm bila bilang semula, baru sedar betapa lamanya aku tinggalkan negeri paling miskin itu dan menetap di negeri paling maju, beberapa kali juga sempat sambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sendirian di Bangi. Tahu macam mana rasanya.

Bagi sesiapa yang nak rasai kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan, sebenarnya kat rumah daku je pun, rumah orang lain mungkin bukan macam ni. Setiap tahun, beginilah suasananya. Bolehlah baca entri yang aku pernah tulis tahun lepas. Tahun lepas ek? Ye lah kot!


Walaupun cuti Aidiladha hanya sehari...ramai anak Kelantan serbu balik sanggup bersesak sepanjang hutan di negeri pahang.

Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir Batin.



Rabu, 24 Oktober 2012

Anda Pemandu Hebat?



Ya…kalian adalah pemandu yang sangat hebat andai mampu berlumba di jalan ini.
Aku juga sangat hebat kalau boleh memandu di jalan ini… malangnya, aku tidak sehebat itu.



Apalah sangat kan kalau takat memandu ke Ketereh melalui jalan Lipis-Gua Musang kan?

Selamat balik kampong ya kawan-kawan, pandu cermat jiwa selamat. Ingatlah keluarga yang tersayang menanti kepulangan anda untuk maraikan Aidiladha, bukannya menyambut kepulangan anda bersama kenduri arwah.

Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir Batin.


Selasa, 23 Oktober 2012

Video Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin



Dalam entri lepas, ada tercatat tentang Wacana Sinar Siri 15. Hajat di hati memang nak tengok, tapi masa terlalu suntuk. Banyak kerja belum siap lagi dan nak kena buat dengan kadar yang paling laju berbanding siput sedut.

Jadinya, aku kumpul semua video berkenaan dan simpan di sini.
Bolehlah juga kongsikan dengan orang lain yang turut berminat. Selamat menonton.


Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 1




Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 2




Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 3





Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 4






Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 5






Wacana Sinar Harian Siri 15: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin Part 6





Kalutnya hidup! Nak tengok benda ni pun tak sempat...entah apalah yang aku dok kejar nak angkut masuk kubur ya. Alahai!





Suara Tak Sedap Pun Nak Nyanyi Jugak


Hati di dalam dah lama menyanyikan lagu ni....dah tak sabar



Hari ni nak balik awal, nak pack bagasi...mmmmm macamlah nak balik sebulan ya tak? 3 Hari je pun!

Ohhhhhh! sangat teruja!

Isnin, 22 Oktober 2012

Wacana Sinar ke 15: Peranan Ulama Tegur Pemimpin


Sinar Harian sekali lagi menganjurkan siri wacana sinar mengetengahkan topik Peranan Ulama Menasihati Pemimpin, pada hari Selasa ini tentang peranan ulama yang arif tentang sesuatu perkara namun tidak menegur kesilapan yang dilakukan pemimpin mereka.

Wacana kali ini akan menampilkan tokoh yang berpengalaman iaitu bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga Presiden Wardah, Datuk Dr Siddiq Fadzil; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin, yang juga Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Malaysia. moderator kali ini masih lagi Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Wacana akan berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam mulai jam 3 petang. Orang ramai yang berminat untuk sama-sama menyertai majlis ilmu ini boleh menghubungi Laila menerusi 019-3310211, Fazli (019-2808492) atau Rini (019-3371066) untuk keterangan lanjut.

Pernah tengok dulu dua tiga kali, tapi dah lupa tengok kat mana...


Tak Solat Sebab Tengok Bola?


Usahlah prejudis bila libatkan urusan antara insan dan Pencipta. Kita bukanlah sesiapa untuk jadi hakim.

Sejujurnya, aku bukanlah minat sangat pun bola sepak. Apa jenis sukanpun. Namun, aku akan tengok bila perlawanan akhir. Dan aku sentiasa menyokong Kelantan walaupun hanya kebelakangan ini sahaja Kelantan banyak menang. Sebelum ni, tenggelam, namun pada masa itupun aku masih juga setia menyokong.

Dan aku juga tak pernah masuk stadium untuk menonton perlawanan bola sepak. Dalam keluarga kami, benda-benda yang berbentuk hiburan sebegini dianggap buang masa. Namun, kalau ditayangkan secara langsung di TV, kami tengok juga kecuali acara hiburan berbentuk nyanyian. Ayah memang tak suka. Bila dia tak suka, secara automatik, anak-anak tak tengok. Nasib baik drama boleh tengok huh u hu, nasib baik bola dia suka…

Kenapa aku sokong Kelantan? Hebat sangatkah?




Tak kira mereka hebat atau tidak, ada banyak sebab. Pertama memang sebab Kelantan negeri Kelahiran aku. Kedua, walaupun mereka beraksi di padang bola, mereka akan solat Isyak dahulu sebelum turun padang. Dan mereka tak kesah kena kritik disebabkan lambat turun padang semata-mata kerana bersolat.

Lalunya, bagaimana pula dengan puluhan ribu penyokong Kelantan itu?

Perjalanan mereka lebih 500km, jadi mereka layak untuk jamak dan qasar kerana tujuan perjalanan itu bukannya bersifat maksiat. Ke maksiat tengok bola?





Soal solat soal individu. Hendak seribu daya, tak hendak memang seribu dalih. Adakah sebab tak ada surau (walaupun di stadium memang disediakan surau), maka kita beralasan untuk tidak solat? Sebab bolakah kita tidak solat? Semuanya terpulang kepada individu. Tak tengok bola pun, kalau memang tak nak solat, tak akan solat juga.

Andai kita keluar dari Malaysia, masihkah kita mengharapkan masjid dan surau untuk solat? Masihkah kita perlu bersedia dengan telekung putih itu baru nak solat? Kalaulah sebegitu yang kita fikir, betapa sukarnya Islam itu. Betapa susahnya untuk beribadat sedangkan di mana-manapun kita boleh bersolat asalkan tidak diragui kebersihannya.




Bukankah Islam itu mudah?

Maaf andai entri ini mengguris hati, aku sekadar meluahkan sedikit pendapat. Dan pendapat itu bukanlah dari sesiapa. Aku bukannya golongan cerdik pandai dalam bab agama. Namun aku sebolehnya tidak gemar untuk menghukum orang walhal aku sendiri tidak tahupun tentang orang itu. Aku bukanlah hakim untuk menghukum hubungan antara hamba dan pencipta.

sumber gambar: Google & FB