Isnin, 29 November 2010

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Akhir


Sebab ke Empat mengapa Aidiladha disambut dengan meriah di Kelantan kerana;

Ke Empat: Memasak Dan Jamu Kepada Tetamu

Apabila buat ibadah Qurban, ramai yang ambil satu per tujuh daripada seekor lembu. Maklumlah, kalau nak buat seekor, mana nak mampu kan. Jadinya, kalau anda buat ibadah Qurban di kelantan, anda akan menerima sejumlah satu per tujuh daripada seekor lembu Qurban tersebut. Semuanya. Kalau lembu itu gemuk dan banyak daging, maka banyaklah timbangan yang akan anda terima. Kalau lembu itu kurus kering, maka sedikitlah jumlah timbangannya.

Disebabkan ramai yang melakukan ibadah Qurban ni, maka masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk diagihkan daging tersebut. Kebanyakan daripada mereka memasak dan kemudian menjamu tetamu yang datang. Ada juga membuat kenduri ringkas seperti kenduri arwah, bacaan yasin dan sebagainya. Bagi golongan muda belia pula, mereka akan ajak kawan-kawan dan diadakan acara membakar daging yang akan dimakan beramai-ramai. Ada juga yang buat acara bakar sate. Tak kurang pula yang memberi daging dalam bentuk mentah kepada orang yang berhak.

Tak kira apapun caranya, masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Apa yang utama, ikatan dan ukhuwah semakin erat. Sambil bakar daging, sambil bercerita dan bergurau senda. Maklumlah masing-masing dah lama tak jumpa. Ada masa berjumpa dan meluangkan masa bersama rakan-rakan itu yang utama berbanding makan. Daging yang dibakar belum sempat angkat, dah pun hilang ditarik orang. Harapkan kenyang dengan makan daging bakar sebegitu, memang tak berapa nak kenyang berbanding menjamu masakan bersama hidangan nasi, tetapi ikatan dan kemesraan akan bertambah erat dengan cara itu.

Sekarang, sangat sukar untuk mencari orang yang benar-benar layak menerima daging Qurban. Ada masa, ramai yang mengambil kesempatan untuk buat kenduri arwah (memasak) atau buat acara keagamaan yang lain. Pada masa yang sama, sekiranya terdapat sahabat handai dan jiran tetangga yang mempunyai anak yang ramai, tidak melakukan ibadah Qurban, golongan tua yang sudah tidak upaya berkerja, mereka ini juga diberikan daging mentah.


Ke Lima: Hari Pertama Acara Qurban, Hari Kedua Baru Jejalan

Bagi yang menjalani ibadah Qurban, pada hari raya Aidiladha pertama, biasanya mereka akan lakukan ibadah Qurban tersebut. Selepas solat sunat Aidiladha di masjid atau surau, mereka akan ke tempat acara Qurban dijalankan. Ada yang jauh (biasanya mereka akan berkumpul dan ambil bahagian qurban ni bersama rakan-rakan atau saudara mara yang dekat. Jadi, walaupun jauh sedikit, mereka sanggup sahaja pergi.

Biasanya, sepanjang pagi hingga ke awal petang, dalam lingkungan jam dua ke tiga petang, mereka akan berada di tempat sembelihan lembu. Baliknya dengan jumlah daging tertentu. Untuk satu bahagian lembu, biasanya boleh cecah satu besen besar daging dan satu besen besar tulang. Belum masuk kalau ambik kepala atau kaki. Belum juga termasuk perut. Kalau dah termasuk 3 benda ini, akan lagi bertambah. Jadinya, hari ini masing-masing akan sibuk menguruskan daging kurban tersebut..

Bukannya sekejab nak uruskan semua daging itu. Potong besar-besar, tos dan simpan pun dah ambil masa juga. Apalagi kalau nak siapkan perut (usus). Kena letak kapur lagi. Nak kikis kaler hijau rumput rampai yang melekat kat usus tu lagi, kalau yang degil tu…kena celur pulak. Kikis lagi. Kalau kena perut kitab (usus yang dindingnya berlapis-lapis nipis- yang ni lagi best makan sebenarnya), lagilah mencabar minda. Kena selak setiap lapis itu, kikis sampai jadi putih (tak lalu nak makan kalau kaler hijau kehitaman tu masih ada…akan teringat kat isi usus lembu tu sebelum disembelih, tinggi betul imaginasi aku kan?), kemudian rebusnya pula hingga empuk.

Belum kira lagi nak kena kapak dan parangkan tulang belulang supaya jadi kecil dan dibuat sup. Belum campur juga acara masak memasak yang seadanya untuk tetamu dan sanak saudara yang bakal datang. Jadi, paling cepat semua itu selesai pun hingga hampir maghrib. Itupun kalau cekap dan cepat tangan bertindak. Kalau yang lemah gemalai macam aku ni, malam pun masih lagi terhegeh-hegeh potong daging untuk dimasak. Esok baru boleh makan kot! Semua ni dilakukan ahli keluarga sahaja kerana masing-masing sekampung kan melakukan ibadah Qurban. Setahun sekali tunjuk bakat memasak, memanglah lambat. Hari yang lain pakai order je belakang rumah (belakang rumah aku ada Secret Recipe)

Bagi yang tak berkorban tahun itu, mereka ni akan mula melakukan jelajah rumah sedara mara dan sahabat handai terdekat. Kalau rumah yang mereka singgah itu melakukan ibadah korban, mereka akan dijamu seadanya (bagi yang dah siap masak) atau dibekalkan dengan daging mentah untuk dibawa balik. Bagi yang lakukan ibadah qurban, acara beraya akan bersambung pada hari raya kedua atau selepas mereka menjamu masakan berkenaan kepada tetamu. Orang-orang tua pula lebih suka menunggu tetamu (golongan yang lebih muda datang menziarahi) pada ketika tersebut sehingga beberapa hari (perantau dah pergi semula), termasuk ayah. Bila kami semua dah balik KL barulah ayah dan mek dengan penuh sentimental dan loving couple akan ke rumah rakan-rakan dan adik beradiknya yang lain.

Ke Enam: Ziarahi Kuburan


Menziarahi kuburan juga dibuat pada hari Raya Aidiladha macam Aidilfitri. Maklumlah, bukan kerap pun kita balik kampung dan sempat ziarahi ahli keluarga yang dah pergi lebih dulu. Masa inilah kita luangkan masa ya.


Mek di kuburan Bonda dan Ayahandanya…arwah Mak (nenek) dan gemulah Pak (datuk) akulah tu…


Cukuplah kot enam sebab tu kan? Letak banyak-banyakpun bukannya korang baca hu hu hu itu statement orang yang dah bosan nak tulis panjang lagi. Tak sempat sebenarnya ni. Tengah kejar banyak tarikh mati. Jadi, kira dah cukuplah ya entri pasal Hari Raya Aidiladha ni. Risau jugak kot ada yang termuntah bila membacanya. Muntah sebab bosan hu hu hu

2 ulasan:

Sharinginfoz berkata...

bergotong royong masak daging dan makan sama-sama boleh merapatkan hubungan kan?

anyss berkata...

Sharinginfoz: namapun gotong goyong kan...kerja sikit kongsi-kongsi buat dan kongsi makan...sambil2 getak tawa.