Memaparkan catatan dengan label masalah berat badan berlebihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masalah berat badan berlebihan. Papar semua catatan

Khamis, 1 November 2012

Bahaya Pil Kurus


Siapa tak nak kurus, langsing, kecil molek? Masa aku kurus begitu dengan berat badan yang ideal (untuk aku kena 50kg hingga 55kg), kira berat yang selamat untuk akulah...masa ni macam-macam fesyen baju aku boleh kenakan, walaupun sebnarnya tak banyak fesyenpun aku gayakan. Sedara mara perempuan ramai yang jeling dok jeles sebab mereka alami masalah lebihan berat badan. Siap mintak petua lagi cara nak kurus.

Sekarang ni, kalau aku boleh turunkan berat 10kg, baru selesa duduk. Kalau macam sekarang ni, dah masuk dalam golongan obes dah, walaupun ramai yang kata taklah gemuk sangat. Malah, ramai juga kata okey aje dengan berat sebegitu. Sesetengah kata, berat sebegini nampak seksi sikit wowwww Namun kalau tanya aku sendiri, aku nak kurangkan antara 5kg-10kg. Baru berat ideal. Baru tak mengah.

Namun, bila berat dah bertambah, bukan mudah nak kurus semula. Ikutkan hati, nak aje aku rembat mana-mana ubat kurus di pasaran yang berlambak tu. Kalau tengok di facebook pun ramai yang jual ubat kurus atau pil pelansingan badan. Siapa tak nak kelihatan langsing dan cantik, namun, bila fikirkan tentang kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan yang boleh membahayakan diri itu, tak jadi pulak ambil.

Kalau betul nak kurus, kena amalkan diet yang seimbang kerana dibimbangi mendapat penyakit seperti bulimia (memuntahkan makanan) dan anoreksia (takut untuk makan). Itu penyakit yang sengaja dicari!

Pil kurus seperti Duromine memberikan kesan buruk jika diambil tanpa pengawasan doktor. Pil berkenaan tidak boleh dibeli di farmasi ataupun kedai ubat kerana ia merupakan ubat kawalan dan boleh didapati melalui preskripsi doktor sahaja. Ia hanya dibenarkan kepada mereka yang mengalami risiko perubatan sekiranya terus mempunyai berat badan berlebihan. Pil ini akan bertindak merangsang otak untuk mengawal selera makan seseorang. Kerana itu ia hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang melebihi 30 agar berat badan mereka dapat dikurangkan.

Pengambilannya hanya untuk tempoh masa yang singkat dan sekiranya tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas dua minggu maka pengambilannya harus dihentikan kerana mempunyai banyak kesan sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Antaranya berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit seperti kegagalan buah pinggang, gangguan atau susah untuk tidur, sembelit, mati pucuk dan banyak lagi.

Seterusnya pil tersebut juga akan mengganggu metabolisme hati. Hati tidak dapat memproses glukosa dengan sempurna dan akhirnya ia akan menjejaskan kesihatan. Ini menyebabkan pengambilan pil tersebut merupakan jalan terakhir kepada mereka yang mengalami masalah berat badan kerana ia bukanlah cara yang betul untuk mengurangkan berat badan.

Sesiapa yang ingin mengurangkan berat badan, lebih baik ubah cara hidup dengan amalan hidup yang lebih sihat seperti menjaga pemakanan, bersenam dan mengamalkan diet yang seimbang. Bukan senang nak buat, terutama untuk aku yang selalu berjaga malam ni. Walaupun dah makan malam jam 9, tetapi tengah malam nanti, akan lapar semula. Adakala, kelaparan tu menyerang pada jam 12 tengah malam. Nasib lagi malang kalau rasa lapar tu jam 3 pagi.

Apa yang pasti, aku sangat beruntung sebab ada sang penasihat pemakanan kesihatan. Terima kasih Cik Bintang, yang sentiasa teliti dengan setiap makanan tambahan atau ubat-ubatan yang aku ambil. Aku sebenarnya hanya makan ubat yang doktor sarankan sahaja walaupun ada masanya ubat yang doktor berikan itupun ada kesan sampingan kalau digunakan dalam tempoh yang lama. Panadol pun payah nak ambil kecuali sangat terpaksa. Kepada rakan-rakan yang teringin nak kurus, lakukanlah prosesnya secara normal. Tak ada gunanya kita jadi kurus comel cantik manis halus menawan, andai kesihatan akan terganggu. Menawan jelita itu akan beransur-ansur pergi bila kita dah sakit.