Ahad, 12 Oktober 2008

Cerpen Syawal


Di pagi Syawal, apakah yang kau cari?

oleh Malim Ghozali PK


Utusan Malaysia 28 September 2008



SEJAK zaman muda lagi dia sudah menghidapi semacam penyakit. Setiap kali berada di perut kapal terbang, dia tidak berupaya melelapkan mata, walau pun sepicin. Gelisah, cemas, dan fobia akan paras ketinggian, semuanya berpugut-pugut, dan akhirnya bangkit sebagai adunan yang barangkali boleh saja dinamakannya kesepian. Atau apakah ini yang dinamakan kerinduan? Sewaktu remaja dulu dia sering menganggap bahawa kesepian dan kerinduan itu membawa nuansa yang sama. Sampai sekarang pun dia tidak dapat membezakan pengertian kedua-dua terma itu. Ada ketikanya di dalam pesawat, dia seolah bergantung di sayap angin, menaksir seluruh awangemawan dan jagat raya. Dan bila itu terjadi, pintu besar ke kota kenangan terbuka seluas-luasnya. Fikiran pun mengembara ke segenap relung ingatan, lampias dalam ruang-waktu, dan segala pengalaman dengan cepat mekar, dan segar semula. Walau sudah bertahun-tahun berada di perantauan, entah kenapa sepanjang Ramadan al-Mubarak pada kali ini rindunya terhadap kampung halaman benar-benar luar biasa. Sungainya, bukitnya, burung-burungnya, unggas dan mergastua, lambaian pohon- pohon kelapa, dan lesung kaki tua al-marhumah nenek, semuanya meruntun perasaan.


"Fikiran manusia adalah komputer azali yang sangat aneh," kenyataan itu sering berulang- ulang di sepanjang hayat. Puisi yang mengabadikan alam remajanya tidak pernah lekang dari kotak ingatan.



Suatu waktu main perang buah sentul di sejuk kali
Tak kusangka main perang buah sentul di sejuk kali
Setiap pagi di hujung kampung suatu waktu dulu menangis
Luka di kepala dan kakiku rupa-rupanya persediaan
ilmu untuk suatu waktu kerana kini
di Kuala Lumpur setiap hari aku berperang dengan nafsu
emosi dan hargadiri aku berperang dengan bedil di mukaku
senjata tajam menikam siku ubun-ubun dan sulahku. kini tanpa tangis aku bangun mengutip peluru di dadaku seraya
tersenyum membalut luka-luka ditubuhku
kerana aku sudah dipersediakan ilmu perang
suatu waktu dulu di sejuk kali di hujung kampung
setiap pagi.



Sajak itu ditulisnya ketika masih berada di KL, sebelum dia menikahi ibu Laila. Sungguh pun sajak itu ditulis lama dulu, namun baris-baris puisi tersebut terasa seperti baru dikarangnya semalam. Dia tidak tahu sama ada rakan-rakan main perang di sungai masih lagi hidup, atau pun tidak. Entahkan Mislan, Meri, Yun dan Wok juga sepertinya - sering 'berperang dengan nafsu, emosi dan harga diri'.


Ah, betapa seronoknya menebang dan menukang meriam buluh betung, moreh, dan bertadarus di surau di sepanjang bulan Ramadan.
Tapi dia dan teman-teman harus berhati-hati, kerana nenek selalu mengomel.
"Hoi, ape ditunu mulut meroyam tu? Nak pongah muke ke? Esok hari raye, kome terperap di hospita!" sergah nenek.



Dan di pagi Syawal, sebaik selesai solat sunat Aidilfitri, dia dan kawan-kawan berbasikal ke rumah tok imam, menuntut duit raya. Saban tahun duit raya tok imam lumayan. Tapi dia meletakkan syarat terlebih awal.
"Rajin-rajin terawih, kalau kome nak duit raye…"
Tapi bukankah semua itu sudah tidak ada lagi!



Destinasi semakin menghampir. Ikon kapal terbang yang bergerak secara automatik di skrin tv kecil depannya tentulah tidak berbohong. Pesawat kini sudah melewati Laut Andaman, dan baru saja meninggalkan sempadan Thailand-Malaysia. Benua Eropah semakin kelam dalam ingatannya. Tapi dia percaya Rotterdam yang baru sebelas jam diucapkannya selamat tinggal pasti akrab selamanya dalam ingatan.



Memajamkan mata
Setiap dia cuba memejamkan mata ada-ada saja maklumat yang ingin disampaikan oleh kapten. Dua jam lalu, ketika menempuh ruang udara benua kecil India, badan pesawat bergegar, apabila bertembung dengan angin yang kencang. Dan kepten mengganggu konsentrasinya untuk cuba melenakan mata.
"Tuan-tuan dan puan-puan, kita sedang berada dalam keadaan cuaca yang kurang baik, dan tidak menentu. Sila kembali ke tempat duduk, dan pasangkan tali pinggang keledar."



Mujurlah anak muda peramah di sebelahnya juga tidak tidur di sepanjang penerbangan. Hanya isteri dan dua orang anaknya yang nampak keletihan. Katanya dia seorang guru, dan baru saja menyelesaikan tesis sarjana di sebuah kota di United Kingdom. Menurut anak muda lagi, dua tahun bergelumang dengan musim sejuk sudah cukup menyiksakan.


"Lama ke pakcik tinggal di Belanda?"


Dia tidak pasti apa yang menyebabkan anak muda mentaakulkan sebegitu. Mungkin disebabkan dia terpandangkan dua buah beg besar yang kuheret di kaunter check-in di Schipol? Dia mengagak. Menurut anak muda yang berhemah ini, dia hanya transit di Schipol. Dia sekeluarga memulakan perjalanan dari Heathrow. Mereka mengambil keputusan berhari raya di kampung. Oleh kerana agak terlewat membuat keputusan itu, akibatnya mereka hampir-hampir gagal mendapatkan tiket penerbangan pulang ke tanah air. Maklum tempahan di musim perayaan tersangat tinggi.



"30 tahun," dia menjawab pendek. Dahi anak muda kelihatan berkerut. Isterinya perlahan-lahan menjongolkan muka dari dalam selimut. Dia menduga pasti akan ada lagi reaksi dari anak muda.
"Lamanya..."
"Sudah takdir, apa nak buat."


Dia tidak mampu memberikan jawapan lain, bila saja hal itu berbangkit. Harapannya agar tidak ada soalan susulan, ternyata meleset.
"Famili…?"
"Ada…tapi sekarang dah tak ada lagi…"
"Oh, maafkan saya pak cik."
"Maksud pak cik, kami berpisah."
"Oo…"


Dia tidak dapat mengagak adakah "O" anak muda bermaksud apologetik, atau hanya sebagai penyengkang bicara sahaja. Setelah menjawab soalan anak muda, dia membiarkan kesepian bermaharaja lela semula di dalam dirinya seketika. Tak lama, dia menanyakan kepada anak muda.
"Masih ada orang tua?"
"Semua dah tak ada. Semasa saya sekolah lagi. Saya dibesarkan oleh nenek. Dah tak ada siapa di kampung. Lagi pun saya anak tunggal. Yang tinggal hanya rumah pesaka usang."
"O…"


Dia tidak tahu kenapa harus menyebut huruf saksi itu.
Tapi, kalau tak ada keluarga lagi, apakah yang dicari anak muda di kampung?
Kini dia pula yang diganggu oleh andaian yang memerlukan pewarasan.
'Err, tak ada sesiapa lagi?"
"Ya, cuma semangat desa itu sendiri pak cik. Saya dibesarkan dengan air sumur dan air sungai. Saya nak melawati pohon-pohon getah yang saya toreh semasa kecil. Semuanya berperanan mendewasakan saya, pak cik, termasuk pucuk paku, maman, dan umbut bayas."
"Elok benar tu…"
Anak muda menambah. "Isteri saya lulusan pertanian. Tapi fikir punya fikir, dia memilih untuk menjadi suri rumah saja. Kami bercadang nak memulihkan kebun getah peninggalan orang tua. Lagi pun getah ada harga sekarang."


Dia dapat membayangkan betapa anak-anak keluarga muda ini bakal membesar sebagai manusia yang cintakan ibu pertiwi.


Bila saja anak muda menyebut kebun getah, kenangan ketika dia menoreh di hujung kampung menjelma di ruang matanya dengan pantas. Di manakah Ana, yang selalu ditemui di tempat memesin getah? Tentulah dia sudah beranak-cucu, duganya. Atau masihkah dia menjadi pengungsi dunia yang fana ini?


Dia masih dapat menggambarkan kesayuan Ana apabila mengetahui dia sering ke kampung di pinggir pekan.
"Dengar khabar kau selalu ke pekan. Aku tahu, kau sayangkan orang lain," serak suara Ana ketara benar di pagi itu.
"Aku tak kata gitu."
"Tak kata bukan maknanya tak ia…lagipun dia pintar, lebih padan dengan kau. Aku…"
"Tapi Ana, kan nama-nama kita sudah terpahat di banir nering di dusun Pak Agon?"
"Pohon nering tu tak akan bertahan selamanya. Percayalah…"


Apa yang diucapkannya kepada anak muda - "Ada, tapi sekarang dah tak ada lagi" memang suatu kenyataan. Mulanya dia hanya ingin menemani ibu Laila melanjutkan pelajaran; dari satu tingkat ke satu tingkat yang lebih tinggi. Kemudian mereka mencuba untuk bekerja di perantauan. Jangkanya hanya buat mencari pengalaman. Tapi akhirnya mereka terus menetap di luar negara saja. Lagi pun anak-anak sudah mula membesar, serta mendapat pendidikan di sana. Tapi mulai saat ibu Laila memberitahunya yang dia sudah jatuh cinta dengan lelaki lain, dan minta dilepaskan, keinginannya untuk pulang ke kampung bertambah kuat setiap tahun.


Kedua-dua orang anaknya bertindak membawa diri masing-masing. Yang perempuan menyambung pelajaran di Jordan, dan yang lelaki memilih bekerja di Afrika Selatan. Biarlah mereka menjadi warga dunia. Kemanusiaanlah yang akan mendewasakan mereka, fikirnya.


Memang benar kata-kata Ana. Ibu Laila cantik dan pintar. Namun sekarang dia sedar semua itu belum tentu dapat menjana kebahagiaan hidup berkeluarga. Cuma dia kasihankan Laila, dan abangnya yang merajuk.


Ah biarlah, kalian sudah dewasa. Abah harap kalian menjadi warga dunia yang bertaqwa. Dia menyerahkan agar semuanya disimpulkan oleh benang takdir.


Saat tayar pesawat berciut mencium bumi ibu pertiwi, dia berasa dadanya sebak. Sama seperti yang pernah dirasakannya semasa membuat pilihan antara Ana dan ibu Laila. Di lapangan terbang yang ternyata lebih gah dari apa yang pernah disaksikannya di Eropah, takbir Hari Raya dari peti-peti tv menguasai suasana. Dia terasa matanya basah. Lebih-lebih lagi kini dia hanya pulang seorang diri, tanpa isteri dan anak-anak. Cepat-cepat dia ke kaunter menyewa kereta pandu sendiri. Ada tiga jam perjalanan lagi sebelum sampai ke kampung tercinta. Tapi dia tahu di pagi Syawal lebuh raya pasti lengang.


Sebaik memasuki kereta, dia menyedari ada mesej masuk di telefon bimbit. Dia tersenyum melihat pesanan ringkas itu. Dia tahu hati abang Laila akan terubat juga akhirnya.


"Assalamualaikum abah. Saya nak mohon ampun dan maaf di pagi Syawal ni. Sekarang baru jam lima subuh di sini. Pagi nanti saya nak jemput adik Laila. Dia nak raya di Jo'berg. Ada dia telefon abah tak? Mama telefon, dia kata nak raya di Rotterdam. Suatu masa nanti nak ikut abah balik kampung. OK tak?"


Ya, masa akan menyembuhkan semua luka!
Matahari sudah agak tinggi ketika dia sampai di tanah perkuburan. Di situ kedua-dua orang tua dan neneknya disemadikan. Walaupun masih ramai orang di situ, tetapi tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Sayup-sayup kedengaran takbir Hari Raya di tv dan radio dari rumah-rumah berhampiran perkuburan, diinjing semilir pagi yang jinak. Dia ingat dengan jelas kali terakhir mengiringi al-marhumah ibu ke situ. Dia mengabadikan pengalaman itu di sebuah sajak yang ditulisnya di diari.


Mengenang ibu
Ketika kuhantarmu, ibu
di rimbun teduh rembang
lembut semilir bukit menjinjing
salam malaikat berangkat
tak betah riak sungai bangkung kita, ibu
menggetar mengulit lampias
cahaya putih
menanti di limun pagi
aku tetap merindu
marah-marah dan jerkah-jerkahmu
ketika kautuangkan
tamsil kesabaran ke dalam naluriku
potret kecil di tangga sekolah
tak puas kutitip buah rindu
di perkarangan senyumanmu
tidurlah sementara, ibu
edan dalam syahdu
dan rimbun doaku,
anakmu.


Dia amat menyayangi ibu, dan sajak itu.
Selesai membacakan Yaa Siin dan berdoa di ketiga-tiga kuburan, dia melangkah meninggalkan tanah perkuburan. Wajah seorang wanita di sisi sebuah kubur menangkap pandangannnya. Dia merasakan wanita bertudung biru gelap yang ditemani oleh sepasang remaja sangat dikenalinya. Walaupun bertudung, dia masih kenal kening, hidung dan sepasang bibir yang nipis milik wanita itu. Adakah nama pemilik wajah itu yang pernah dipahatnya di pohon nering dusun Pak Agon?


Dia memberanikan diri menyapa wanita itu.
"Ana…Ana ke?"
Wanita itu tidak menyahut pertanyaannya, tetapi dengan selamba merenung tepat ke mukanya. Dan dia membiarkan sepasang remaja beredar meninggalkan kawasan perkuburan.
"Kau tak kenal aku lagi…" dia tercenung.
"Masakan aku lupa…bukankah kau yang memahat namaku di pohon nering?"
Ya memang tepat sekali, wanita yang sedang terdiri di depannya ialah Ana. Ana masih hidup rupanya!
"Anak-anak…?" Dia mengacukan pandangan ke arah sepasang remaja yang sudah sampai ke pintu besar tanah perkuburan. Dia cuba mengalih perbualan. Ana menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Anak-anak saudara…anak kakak…ini kubur ibu bapa mereka. Kemalangan jalanraya, dah lama. Aku membesarkan anak-anak mereka."


Dia tidak tahu bagaimana harus memberikan reaksi terhadap apa yang baru didengarinya dari Ana. Sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu apa-apa lagi tentang Ana. Pertanyaan Ana selanjutnya membuatkannya tergumam semula.
"Kau mencari apa di sini?"


Fikirannya gelap. Dia tidak tahu bagaimana soalan itu harus ditangani. Memang benar apa yang diucapkan oleh Ana. Adakah lagi sesuatu yang tersisa di kampung ini buatnya?
"Ana tinggal di mana sekarang?" Dia sungguh-sungguh ingin tahu.
"Masih di kampung ini."


Ana mula meninggalkan perkuburan, dan dia mengekori Ana beberapa langkah di belakang. Sebaik tiba di pintu besar, Ana menoleh ke arahnya semula. Dia tidak tahu sama ada Ana tersenyum kepadanya atau pun tidak, kerana di benaknya ada jeritan yang kuat:
Ana, aku akan tinggal di kampung ini selamanya!


Di saat itu juga ada isyarat mesej masuk di telefon bimbit. Dia segera mengeluarkannya dari kocek seluar. Sungguh pun ringkas, dia memahami maksud Laila.
"Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. Laila sayang abah macam dulu."


Sekali lagi matanya terasa basah. Di pagi Syawal yang syahdu, dia tidak lagi dapat menahan airmatanya daripada mengalir ke lurah pipinya.


Puasa Enam Pada Syawal

Tulisan ini dipetik dari Berita Harian, Isnin 6 Oktober 2008 bersamaan 6 Syawal 1429H. Tulisan yang sama boleh dibaca secara online di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20081005222252/Article/
Moga dapat dimanfaatkan bersama. Selamat membaca, menghayati dan mengamalkannya.
Ganjaran besar puasa enam Syawal
Oleh Zahri Hamat

PUASA enam Syawal adalah sunat dilakukan dan besar ganjaran pahala serta tambahan kepada kekurangan yang diimbangi dengan zakat fitrah.

Mukmin laksana amalan sunat mendapat kebaikan berganda DUA jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat. Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari) Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW. Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah) Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari. Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.
Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal. Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli. Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan.
Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat. Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.
Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba. Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.
Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan. Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.
Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Jumaat, 10 Oktober 2008

Selamat Pengantin Baru


5 Oktober 2008 bersamaan 5 Syawal 1428H

Secara teorinya, adik perempuan bongsuku bergelar pengantin baru. Masyarakat mengetahui perkahwinannya pada hari itu, walaupun hakikatnya dia sudah sah bergelar isteri beberapa bulan sebelum itu lagi. Tahniah. Moga dia bahagia. Moga gembira. Moga berkekalan abadi. Bukan sahaja hingga anak cucu, namun doaku hingga akhir hayat. Dunia akhirat juga.


Diri bersyukur. Banyak sebab syukur itu. Pertama, lerai sudah bahuku. Ringan. Dirimu bukannya beban untukku, namun adakalanya, terlalu banyak risau tentangmu buatkan aku terlupakan diri sendiri.


Kedua, akan ada seseorang yang akan menjaganya. Akan ambil tahu segala hal tentang dirinya. Akan memikul tanggungjawab itu juga. Akan mengasihinya setulus hati. Harapnya. Doanyalah.

Ketiga, orang yang cantik memang sukar untuk bersendirian sebegitu lama. Banyak fitnahnya. Banyak mata menjelingnya. Banyak juga hati yang cemburu. Perkahwinan baginya menyelamatkan banyak keadaan. Melegakan ramai orang juga.


Keempat, memang sudah ada lelaki yang baik sanggup hambakan diri untuk mengepungnya sepanjang hayat. Lelaki yang baik itu sudah kian susut di muka bumi ini. Andai telah ditemui lelaki yang punya ciri-ciri baik itu, mengapa perlu membuang banyak masa mencari yang lain, sedangkan yang dicari itu belum tentu lagi sebaik yang telah ada. Material hanyalah ukuran dunia. Andai dia mampu bahagiakan dengan limpahan kasih sayang, bertanggungjawab dan sanggup berusaha, bukankah itu pilihan yang terbaik?

Kelima, dia sudah ada arah tuju kehidupannya. Sudah punya sijil berjela yang memudahkannya melompat dari satu kerja ke kerja yang lain, mengejar kepuasan dan gaji yang lumayan, dan kini, telah menyediakan tapak kerjaya yang kukuh pula, apalagi yang ditunggu?


Dik, ucap tahniah dan syukur ini tidak kau baca, namun aku sentiasa mengharapkan sesuatu yang terbaik untukmu. Dari dulu, kini dan sampai bila-bila. Biarpun kau tidak harapkannya. Kau menafikannya. Kau menidakkannya. Aku sentiasa harapkan yang terbaik buatmu. Selamanya. Dunia dan akhirat.

Khamis, 9 Oktober 2008

Yang Kurindu...


Pagi memang dingin betul. Sejuk. Benar-benar terasa.
Pagi tadi, kesejukan itu buatkan diri terpaksa bersiram dengan air hangat. Ingatkan, rasa tidak sedap badan, selsema dan demam yang bakal menjenguk buatkan suhu badan tidak menentu. lalunya, kesejukan itu buatkan seluruh urat saraf bagai sukar dikemudikan. Mata yang kantuk tidak cukup tidur dan kekuranga rehat sejak sebelum Aidilfitri memberatkan lagi keadaan. Di minda, hanya tilam terpanggil. Hanya gebar bagai terdengar menyeru-nyeru. Namun kekangan tugas di pejabat yang perlu dilangsaikan hari ini buatkan semua rasa itu dikurung. Harapnya, petang nanti punya kesempatan merehatkan diri dan minda setelah lelah yang panjang. Letih.

Diserbu angin basah tatkala mengemudi motor cabuk dijalanan, kesejukan menyengat-nyengat seluruh diri. Semalam, kala mata dilenakan sejam dua, rintik hujan terdengar di bumbung. Saat bangkit dua jam kemudian, tiada lagi gerimis. Pagi senyap sunyi. Ruang kamar pengap dek haba. Hanya menjelang fajar suhu berubah perlahan.
Bumi dah letih dengan kepanasan. Dah lali. Diri apalagi. kala kembali ke kampung halaman pada Aidilfitri, sejuk air perigi dinikmati sepuasnya. hanya itu sahaja yang masih lagi tinggal. bila kembali ke bumi Selangor yang maju ini, hangat udaranya bawakan secebis perubahan pada diri. Selsema.
Dan pagi ni, kala kian mendekat ke pejabat, hati bagai terbuai. Kabus putih yang terapung bawakan dinginnya buat hati terbuai. Itulah yang kurindui. Itulah yang kunanti sekian lama. Sukar untuk temukannya di bumi ini. Hari ini, diri hanya sempat nikmatinya hanya seketika. kalaulah pagi ini tiada mesyuarat bulanan perlu dihadari, alangkah berbahagia andai suasana itu kunikmati sepuasnya...kalaupun sendirian.

Selasa, 7 Oktober 2008

Lebaran pun Datang


Pagi Syawal, perancangan awalnya mahu bertolak kembali ke kampong halaman selewat-lewatnya jam 5 pagi dan singgah di R&R Genting Sempah untuk Suboh. Namun, lelah mengejar detik sejak seminggu sebelumnya buatkan diri agak payah untuk bangkit dari pembaringan. Tambah pula, dingin hujan pada pagi Syawal itu, bagai menggoda diri untuk terus menarik gebar. Lupa sesaat meriahnya suasana pagi Syawal di kampong halaman.

Akhirnya, perjalanan dimulakan seusai Suboh dari rumah. Tepat 6.05 pagi, brek kulepaskan dan perjalanan beratus batu itu kuharung jua sekalipun dengan sekujur diri yang lesu dan mata yang kuyu menahan kantuk. Untungnya perjalanan itu lancar. Tanpa jem. Tanpa kesesakan. Tanpa kekalutan. Bertemankan CD lagu-lagu raya pula sepanjang jalan itu. Tiba di kampong halaman jam 1.30 tengah hari dengan selamat. Alhamdulillah. Hanya 6 jam 25 minit.
Di hati teringatkan ketupat pulut berintikan serunding daging buatan bonda tercinta. Ketupat pisang juga. namun, tahun ini, Mek tidak buat kedua-duanya kerana sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik yang akan berlangsung pada 5 Oct 2008.
Biarpun masih berkesempatan merasa ketupat pulut buatan orang lain (tidak dapat merasa ketupat pisang), namun rasanya sudah pasti berbeza. Bukankah masakan ibu juga yang paling enak di tekak setiap anak? Masihkah punya kesempatan lagi kali yang lain untuk merasa keenakannya itu? Dan Mek, seakan sedikit terkilan kala cucu-cucunya tercari-cari nasi impit kuah kacang buatannya.
Keadaan sangat berbeza kala bertolak dari kampong kembali ke Selangor. Kalut. Gawat. Lelah. 16 jam memandu di tengah kesesakan kronik yang adakalanya kelajuan hanya 5km/jam. Kala itu, kaki hanya menekan brek, bukannya minyak. Pedal minyak tidak sempat ditekan, pedal brek perlu ditekan lagi. Di tengah-tengah lebuh raya pula. Bila tiba di destinasi, keletihan memang tidak mampu diselindungkan. Mata memang berpinau setelah berbelas jam memandu (hanya berhenti untuk solat, isi petrol dan ke bilik air, kononnya untuk cepat sampai).

Saat itu, diri mula sedar bagaimana rasanya bila memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Terlalu bahaya sebenarnya. Ada ketikanya, jalan yang lurus itu seakan terlihat seperti jalan mati. Mujurnya keadaan itu terjadi beberapa kilometer sahaja dari rumah, jadinya minda bawah sedar memang sudah merakamkan struktur jalan tersebut.
Taubat! Lain kali, tidak akan kuulangi silap yang sama: tetap memandu biarpun letih dan mengantuk. Kalau sendirian, hanya bahayakan nyawa sendiri. Andai ramai penumpangnya, bagaimana? Nyawa bukannya taruhan yang terbaik buat sebuah ketidaksabaran sendiri.