Memaparkan catatan dengan label kampong. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kampong. Papar semua catatan

Selasa, 14 Oktober 2008

Sesak Beraya






Ramai mengeluh dengan kesesakan lalulintas sepanjang musim perayaan terutama pada hari Sabtu dan Ahad sebelum serta selepas Aidilfitri. Semua orang rasa tertekan. Apa tidaknya, berjam-jam terkandas dalam kesesakan jalan raya jarak yang dilalui tak sampai satu kilometerpun.

Banyak juga kereta yang tersadai di tepi jalan. Sama ada enjin yang buat hal, petrol yang habis, atau kaki drivernya yang dah nak tercabut dek menukar klutch dan brek berjam-jam.

Berbelas jam pula untuk perjalanan dari kampong halaman ke kota raya atau sebaliknya. Malah ada yang terpaksa bermalam di mana-mana tempat sebelum meneruskan semula perjalanan keesokan harinya. Tetap sesak juga.

Seorang kenalan kakak melencongkan perjalanan ke Genting dan bermalam di sana satu malam kerana sudah terlalu letih. Genting lengang katanya. Hari Isnin, mereka meneruskan semula perjalanan kembali ke rumah dan terpaksa beli surat cuti sakit dari klinik. Namun, hari Isnian itu juga tetap sesak. Tengahari baru mereka tiba di rumah.


Sesak pada musim perayaan sudah lumrah. Sudah biasa. Apalagi bagi rakyat Negara Kelantan. Sesaknya ada di mana-mana. Satu negeri sesak bila musim perayaan tidak kira apa jenis raya. Deepavali. Tahun Baru. Tahun Baru Cina. Apalagi kalau Aidilfitri atau Aidiladha. Masing-masing mengambil peluang cuti untuk melepaskan rindu di kampong halaman.

Budaya balik kampong memang sebati dengan jiwa masyarakat kita. Sesak pun sanggup dihadapi. Sesak itu pula hanyalah sesak dengan kereta. Selesa pula. Pernahkan anda terfikir bila suatu masa nanti, sesak itu turut dialami bila menunggang motosikal? Boleh bayangkan bagaimana?

Selasa, 7 Oktober 2008

Lebaran pun Datang


Pagi Syawal, perancangan awalnya mahu bertolak kembali ke kampong halaman selewat-lewatnya jam 5 pagi dan singgah di R&R Genting Sempah untuk Suboh. Namun, lelah mengejar detik sejak seminggu sebelumnya buatkan diri agak payah untuk bangkit dari pembaringan. Tambah pula, dingin hujan pada pagi Syawal itu, bagai menggoda diri untuk terus menarik gebar. Lupa sesaat meriahnya suasana pagi Syawal di kampong halaman.

Akhirnya, perjalanan dimulakan seusai Suboh dari rumah. Tepat 6.05 pagi, brek kulepaskan dan perjalanan beratus batu itu kuharung jua sekalipun dengan sekujur diri yang lesu dan mata yang kuyu menahan kantuk. Untungnya perjalanan itu lancar. Tanpa jem. Tanpa kesesakan. Tanpa kekalutan. Bertemankan CD lagu-lagu raya pula sepanjang jalan itu. Tiba di kampong halaman jam 1.30 tengah hari dengan selamat. Alhamdulillah. Hanya 6 jam 25 minit.
Di hati teringatkan ketupat pulut berintikan serunding daging buatan bonda tercinta. Ketupat pisang juga. namun, tahun ini, Mek tidak buat kedua-duanya kerana sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik yang akan berlangsung pada 5 Oct 2008.
Biarpun masih berkesempatan merasa ketupat pulut buatan orang lain (tidak dapat merasa ketupat pisang), namun rasanya sudah pasti berbeza. Bukankah masakan ibu juga yang paling enak di tekak setiap anak? Masihkah punya kesempatan lagi kali yang lain untuk merasa keenakannya itu? Dan Mek, seakan sedikit terkilan kala cucu-cucunya tercari-cari nasi impit kuah kacang buatannya.
Keadaan sangat berbeza kala bertolak dari kampong kembali ke Selangor. Kalut. Gawat. Lelah. 16 jam memandu di tengah kesesakan kronik yang adakalanya kelajuan hanya 5km/jam. Kala itu, kaki hanya menekan brek, bukannya minyak. Pedal minyak tidak sempat ditekan, pedal brek perlu ditekan lagi. Di tengah-tengah lebuh raya pula. Bila tiba di destinasi, keletihan memang tidak mampu diselindungkan. Mata memang berpinau setelah berbelas jam memandu (hanya berhenti untuk solat, isi petrol dan ke bilik air, kononnya untuk cepat sampai).

Saat itu, diri mula sedar bagaimana rasanya bila memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Terlalu bahaya sebenarnya. Ada ketikanya, jalan yang lurus itu seakan terlihat seperti jalan mati. Mujurnya keadaan itu terjadi beberapa kilometer sahaja dari rumah, jadinya minda bawah sedar memang sudah merakamkan struktur jalan tersebut.
Taubat! Lain kali, tidak akan kuulangi silap yang sama: tetap memandu biarpun letih dan mengantuk. Kalau sendirian, hanya bahayakan nyawa sendiri. Andai ramai penumpangnya, bagaimana? Nyawa bukannya taruhan yang terbaik buat sebuah ketidaksabaran sendiri.

Isnin, 29 September 2008

Ingatlah Orang yang Tersayang

Musim perayaan sinonim dengan kemalangan maut. Ramai ibu bapa kehilangan anak cucu. Ramai isteri bergelar janda. Ramai suami berstatus duda. Ramai anak-anak menjadi yatim piatu. Ramai kekasih berduka lara. Bila berlaku sebegini, terfikirkah kita pada orang yang kita sayangi?

Kampung halaman itu tidak lari ke mana-mana lagi. Pandulah dengan sabar. Moga-moga perjalanan anda selamat ke destinasi. Semoga ayah bonda masih tersenyum menyambut anak cucu. Moga kaum keluarga bertemu mesra pada musim perayaan ini. Moga-moga kemeriahan diraikan bersama. Dengan gembira.

Kita mampu mengelakkan kemalangan maut sebegini. Kita mampu mengubah banyak tragedi andai bersikap sabar. Andai berhemah di jalan raya. Andai patuhi undang-undang dan had laju. Memanglah ajal maut itu di tangan Allah, namun, kalaupun sudah sampainya ajal kita, sudikah kita untuk tinggalkan dunia ini dalam keadaan ngeri sebegini? Sanggupkah kita terus jalani hidup ini andai kerana baran kita, orang yang kita sayangi pergi tinggalkan kita dengan keadaan sebegini?

Pilihan ada di tangan sendiri. Kita yang tentukan bagaimanakah penyudahnya sebuah perjalanan ke kampong halaman. Andai memandu, ingat-ingatlah orang yang disayangi. Selamat memandu. Selamat menyambut Hari Lebaran.