Memaparkan catatan dengan label perkahwinan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perkahwinan. Papar semua catatan

Isnin, 5 Mac 2012

Mengapa Ramai Lelaki Gagal Akad Nikah Dengan Sekali Lafaz?


Entri Hari Jumaat, sempena bulan baru juga...untuk difikirkan bersama:

Tahu tak mengapa tak ramai lelaki mampu lafaz akad nikah sekali sahaja?
nampak macam senang…aku terima nikahnya si polan dengan si polan
selalu je tunjuk dalam drama TV
penyangak tahap gaban pun mampu lafaz dengan mudah
realitinya, agak ramai juga jejaka Malaya gagal lafazkan akad nikah mereka sekali harung
ada yang berulang-ulang, berkali-kali, lagi parah
ada pengantin terpaksa dimandikan berbaldi-baldi baru sah lafaz nikahnya

tahu tak mengapa hal ni berlaku?

Lelaki yang gagal lafazkan akad ini dengan sekali harung sahaja ini
adalah lelaki yang bijaksana dan tinggi ilmu pengetahuan tentang kekeluargaan
betul ni aku sedang memuji, ingat senang ke untuk aku puji orang
orang terpilih je menerima pujian aku
hu hu hu hu hu 

ramai menganggap perkahwinan itu hal yang biasa
mana-mana pun orang kahwin
boleh dikatakan setiap hari orang berkahwin
lagi ramai kalau musim cuti
sekarang ni hujung minggu pun ramai yang buat kenduri
Lisa Surihani dan Yusry ataupun Ana Raffali pun kahwin
bukan pada musim cuti sekolah…hujung minggu je

bila lelaki melafazkan Aku Terima Nikahnya, bermakna
dia telah bersedia untuk pikul tanggungjawab
tanggungjawab sebagai ketua keluarga
tanggungjawab terhadap isteri
tanggungjawab terhadap anak-anak
tanggungjawab juga terhadap ibu bapanya,
malah…yang buatkan lafaz akad lelaki tersemput-semput tersedak bagai
mereka juga kena terima semua bebanan dosa
yang bakal dilakukan isteri atau isteri-isterinya,
dosa-dosa anak-anak sehingga baligh atau hingga mereka berkahwin (perempuan)
jangan lupa, mereka juga masih kena tanggung dosa mereka sendiri.

Aku tidak hairan sangat kalau lelaki terpaksa lafazkan akad nikah berkali-kali
hati mereka dilanda kegerunan dek besarnya amanah yang perlu dipikul
dek banyaknya tanggungjawab yang perlu dilunaskan
dek beratnya bahu menanggung semua dosa orang dibawah tanggungannya

Bila lelaki tak mampu lafaz akad nikah sekali sahaja
maka kita patutnya berbangga dengan ketawadukan hati mereka

Errrr…ramai orang suka bertanya
berapa banyak hantaran yang pihak perempuan dapat masa kahwin
tak ramai yang peduli sejauhmana nanti pengantin perempuan
peduli akan dosa-dosanya perlu ditanggung oleh pengantin lelaki.
Nak tahu apa kata Ustaz Azhar Idrus?
Sila klik untuk besarkan gambar dan tulisan ya...





Seronok kan, ada orang tolong pikul dosa kita?
ada sesiapa sudi nak pikul dosa-dosa aku tak?
tetiba aku rasa kasihan kat ayah di kampong sana
dah la warga emas, kena pulak tanggung semua perkara yang aku buat
opsssss! Nak insaf sekejab… 
cer telaah video ni:



Ok...moga dapat manfaat!



Khamis, 18 Disember 2008

Cemburu Itu Sayang?




Seseorang telah serahkan sekeping kad undangan perkahwinan yang comel sebagai bukti dua orang sepupunya berkahwin. Cantik tetapi ringkas. Comel juga.

Musim cuti sekolah biasanya jadi musim untuk orang berkahwin. Ada setengah-setengah orang dengan nakalnya menyebut sebagai musim mengawan. Tak kiralah apapun panggilannya, musim cuti sekolah sebegini memang meriah dengan undangan perkahwinan. Sekecil-kecil kenduri dibuat adalah kenduri kesyukuran sempena anak-anak berkhatan.

Bila balik kampung sesekali, bermacam cerita kudengar. Si polan dah kawin. Anak si polan tu baru bertunang. Si A dapat anak lelaki. Anak si B dah pun berkhatan. Anak Minah dapat 5A. Ada macam-macam cerita. Macam-macam berita. Masa inilah telinga banyak mendengar tentang sedara mara, sahabat handai, sepupu sepapat, taulan...

Kata orang cemburu tu tandanya sayang. Itu kata oranglah. Aku hanya salin dan tulis semula kata-kata itu di sini. Persoalannya, benarkah cemburu itu sebagai satu perlambangan rasa kasih sayang?

Raya lepas, masa balik kampung itu, terdengar juga ke telinga kisah seorang sepupuku telah bercerai sebulan sebelum adiknya naik pelamin. Sepupu perempuanku itu cantik orangnya. Tinggi lampai. Putih melepak. Manis senyumnya. Sopan santun. Entah berapa kali lebihnya dia berbanding aku yang kelabu asap dan “muka tak bawa rezeki” ni.

Sehabis pengajian peringkat Sarjana (master) dia berkahwin dengan pujaan hatinya. Berkerja di Kota Bharu sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta. Ikutkan, dengan kerjanya sebegitu, tinggal di KB yang agak rendah kos sara hidup pula, punya anak-anak dan suami tercinta, patutnya hidup dia dah lengkap. Dah sempurna. Dah bahagia. Patutnya. Di dunia ini, banyak perkara yang tidak patut sering terjadi.

Pendidikan tinggi yang diterima bolehkan dia menyandang kerja yang bergaji yang agak lumayan juga. Kerjayanya itu bersifat profesional. Dan dia, perlu bertingkahlaku sedikit profesional walaupun tidaklah sampai perlu kehilahan seperti mak datin.

Malangnya, suami tercinta itu terlalu cemburu bila dia yang comel lote itu berpakaian cantik selayaknya seorang profesional ke pejabat. Cemburu bila dia kenakan lipstik. Cemburu bila dia kenakan busana mengikut peredaran fesyen semasa. Klimak cemburu itu pula tidak sekadar perang mulut yang saling jawab menjawab, namun disusuli dengan sepak terajang, tumbuk menumbuk hingga lebam seluruh badan. Bengkak bengkeng anggaota badan. Entahkan bersilat, entahkan berkungfu. Entah juga karate atau judo.

Mangsanya bukan dia seorang. Anak-anak turut terima tempias. Dapat bahana. Cemburu punya kisah, kasih sayang yang dibina sekian lama punah ranap. Hancur berderai. Meruntuhkan tidak sesukar membina. Tidak sepayah membangunkannya semula.

Antara kerja, anak-anak dan suami tercinta, apa pilihan yang dia ada? Andai berhenti kerja, nanti mahu makan apa? Memang punya suami, namun gaji suami tercinta jauh lebih kecil berbanding gajinya. Berhenti kerja bukanlah pilihan bijak yang dia patut pilih.

Orang kata “ulat dalam batu pun boleh hidup”. Soalnya itu ulat. Ulat tak minum teh tarik yang harganya naik tetapi tidak mahu turun bila harga minyak dah turun. Ulat itu tidak guna pampers untuk anak-anaknya. Ulat itu juga tidak perlukan Astro untuk tengok Akademi Fantasia.

Lalunya, bagaimana pula dengan lebam-lebam dikungfu lelaki tercinta itu? Sekali dua mampu lagi ditahan dengan alasan cinta. Kali ke tiga dan seterusnya, masihkah sabar menahan perit? Kalaupun diri kuat menahan kungfu dan sepak terajang, namun sampaikah hati melihat cahaya mata yang dilahirnya dengan pertaruhan nywa itu diperlakukan begitu juga? Apa salahnya anak-anak itu? Apa dosa mereka? Mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan!


Cerai hanya satu perkataan. Satu makna juga. Namun, entah bagaimana trauma yang perlu ditempuhinya. Ataukah, dia masih lagi tertanya-tanya keputusannya itu benar-benar terbaik untuknya? Ketika seisi keluarga bergembira dengan kedatangan menantu baru, bagaimana isi hatinya?

Hanya dia yang tahu. Hanya dia yang rasa. Kita hanya mampu memandang. Hanya mampu simpati.

Selasa, 7 Oktober 2008

Lebaran pun Datang


Pagi Syawal, perancangan awalnya mahu bertolak kembali ke kampong halaman selewat-lewatnya jam 5 pagi dan singgah di R&R Genting Sempah untuk Suboh. Namun, lelah mengejar detik sejak seminggu sebelumnya buatkan diri agak payah untuk bangkit dari pembaringan. Tambah pula, dingin hujan pada pagi Syawal itu, bagai menggoda diri untuk terus menarik gebar. Lupa sesaat meriahnya suasana pagi Syawal di kampong halaman.

Akhirnya, perjalanan dimulakan seusai Suboh dari rumah. Tepat 6.05 pagi, brek kulepaskan dan perjalanan beratus batu itu kuharung jua sekalipun dengan sekujur diri yang lesu dan mata yang kuyu menahan kantuk. Untungnya perjalanan itu lancar. Tanpa jem. Tanpa kesesakan. Tanpa kekalutan. Bertemankan CD lagu-lagu raya pula sepanjang jalan itu. Tiba di kampong halaman jam 1.30 tengah hari dengan selamat. Alhamdulillah. Hanya 6 jam 25 minit.
Di hati teringatkan ketupat pulut berintikan serunding daging buatan bonda tercinta. Ketupat pisang juga. namun, tahun ini, Mek tidak buat kedua-duanya kerana sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik yang akan berlangsung pada 5 Oct 2008.
Biarpun masih berkesempatan merasa ketupat pulut buatan orang lain (tidak dapat merasa ketupat pisang), namun rasanya sudah pasti berbeza. Bukankah masakan ibu juga yang paling enak di tekak setiap anak? Masihkah punya kesempatan lagi kali yang lain untuk merasa keenakannya itu? Dan Mek, seakan sedikit terkilan kala cucu-cucunya tercari-cari nasi impit kuah kacang buatannya.
Keadaan sangat berbeza kala bertolak dari kampong kembali ke Selangor. Kalut. Gawat. Lelah. 16 jam memandu di tengah kesesakan kronik yang adakalanya kelajuan hanya 5km/jam. Kala itu, kaki hanya menekan brek, bukannya minyak. Pedal minyak tidak sempat ditekan, pedal brek perlu ditekan lagi. Di tengah-tengah lebuh raya pula. Bila tiba di destinasi, keletihan memang tidak mampu diselindungkan. Mata memang berpinau setelah berbelas jam memandu (hanya berhenti untuk solat, isi petrol dan ke bilik air, kononnya untuk cepat sampai).

Saat itu, diri mula sedar bagaimana rasanya bila memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Terlalu bahaya sebenarnya. Ada ketikanya, jalan yang lurus itu seakan terlihat seperti jalan mati. Mujurnya keadaan itu terjadi beberapa kilometer sahaja dari rumah, jadinya minda bawah sedar memang sudah merakamkan struktur jalan tersebut.
Taubat! Lain kali, tidak akan kuulangi silap yang sama: tetap memandu biarpun letih dan mengantuk. Kalau sendirian, hanya bahayakan nyawa sendiri. Andai ramai penumpangnya, bagaimana? Nyawa bukannya taruhan yang terbaik buat sebuah ketidaksabaran sendiri.