Memaparkan catatan dengan label masakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masakan. Papar semua catatan

Khamis, 23 Disember 2010

Ohhhhh Aku Sedang Rindu Parah!

Ada sesetengah orang, sangat gemar makan di hotel. Kononnya nampak kaya. Mewah. Rasanya lebih sedap (jarang-jarang makan memanglah sedap, cuba kalau setiap hari hu hu hu). Hinggakan dia sangat bangga setiap kali makan di mana-mana hotel. Jenuh canang satu dunia; makanan kat hotel tu sedap, teh tarik di hotel ni best, kek di hotel nun sangat mengikut citarasanya.

Betul ke sedap makan kat hotel?



Kalau tanya aku (perlu diingatkan ya, aku ni minah kampung yang setiap harinya makan kat tepi jalan dan longkang entah mana-mana je), jawapan aku mudah sahaja: ada tempat sedap, ada hotel tak sedap langsung tapi buat masa ini, tekak aku tak boleh terima dah.

Ohhhhh itu jawapan bagi orang yang biasa makan kat tepi jalan dan tepi longkang. Orang yang biasa makan bersama aroma longkang yang semerbak baunya hu hu hu.

Kalau ada pilihan, aku lebih gemar makan di gerai Mak Cik Munah mana-mana yang lebih terasa umphnya. Lebih rasa pedasnya, lebih sekata masinnya. Lebih terserlah asli ramuannya. Sekali sekala nak makan di hotel banyak bintang (bergantung juga jenama hotel mana yang memang telah diketahui nilai sedapnya itu) bolehlah juga. Tapi, janganlah hampir sebulan berturut-turut ya…tekak aku dah kembang ni.

Kopi ini terasa sedap ditekak bila diminum sambil cuci mata…



Aku dah tak lalu nak telan masakan hotel lagi. Aku dah tak tertelan mehun goreng dan nasi lemak yang biasa ditelan mat dan minah saleh itu. Aku nak nasi lemak Pak Cik Mat (bukan nama sebenar) yang selalu aku beli tepi longkang dekat rumah aku tu. Walaupun nasi lemak sambal kerangnya hanya RM2.50 sahaja sebungkus, nasi lemak itu lebih lazat berbanding yang aku makan pagi tadi dengan harga RM20 sepinggan. Lebih ada umph. Lebih terasa manis, masin dan pedasnya. Lebih terasa dan rata lemaknya. Lebih wangi aromanya biarpun bercampur dengan wangian longkang.

Aku dah rindu dengan asam pedas. Aku dah terkenangkan tomyam. Dah terbayang paprik campur. Aku dah teringat dengan sambal belacan. Aku dah termimpikan budu yang dibenamkan dengan tempoyak. Sebulan aku tak jumpa semua benda tu tau. Tau tak? tau tak? Tolonglah tau




Ohhhhh ampunkanlah daku…akan sebegini hingga selepas xmas nanti. Ohhhh masih lama lagi tu… lama untuk orang yang merindu.

Selasa, 7 Oktober 2008

Lebaran pun Datang


Pagi Syawal, perancangan awalnya mahu bertolak kembali ke kampong halaman selewat-lewatnya jam 5 pagi dan singgah di R&R Genting Sempah untuk Suboh. Namun, lelah mengejar detik sejak seminggu sebelumnya buatkan diri agak payah untuk bangkit dari pembaringan. Tambah pula, dingin hujan pada pagi Syawal itu, bagai menggoda diri untuk terus menarik gebar. Lupa sesaat meriahnya suasana pagi Syawal di kampong halaman.

Akhirnya, perjalanan dimulakan seusai Suboh dari rumah. Tepat 6.05 pagi, brek kulepaskan dan perjalanan beratus batu itu kuharung jua sekalipun dengan sekujur diri yang lesu dan mata yang kuyu menahan kantuk. Untungnya perjalanan itu lancar. Tanpa jem. Tanpa kesesakan. Tanpa kekalutan. Bertemankan CD lagu-lagu raya pula sepanjang jalan itu. Tiba di kampong halaman jam 1.30 tengah hari dengan selamat. Alhamdulillah. Hanya 6 jam 25 minit.
Di hati teringatkan ketupat pulut berintikan serunding daging buatan bonda tercinta. Ketupat pisang juga. namun, tahun ini, Mek tidak buat kedua-duanya kerana sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik yang akan berlangsung pada 5 Oct 2008.
Biarpun masih berkesempatan merasa ketupat pulut buatan orang lain (tidak dapat merasa ketupat pisang), namun rasanya sudah pasti berbeza. Bukankah masakan ibu juga yang paling enak di tekak setiap anak? Masihkah punya kesempatan lagi kali yang lain untuk merasa keenakannya itu? Dan Mek, seakan sedikit terkilan kala cucu-cucunya tercari-cari nasi impit kuah kacang buatannya.
Keadaan sangat berbeza kala bertolak dari kampong kembali ke Selangor. Kalut. Gawat. Lelah. 16 jam memandu di tengah kesesakan kronik yang adakalanya kelajuan hanya 5km/jam. Kala itu, kaki hanya menekan brek, bukannya minyak. Pedal minyak tidak sempat ditekan, pedal brek perlu ditekan lagi. Di tengah-tengah lebuh raya pula. Bila tiba di destinasi, keletihan memang tidak mampu diselindungkan. Mata memang berpinau setelah berbelas jam memandu (hanya berhenti untuk solat, isi petrol dan ke bilik air, kononnya untuk cepat sampai).

Saat itu, diri mula sedar bagaimana rasanya bila memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Terlalu bahaya sebenarnya. Ada ketikanya, jalan yang lurus itu seakan terlihat seperti jalan mati. Mujurnya keadaan itu terjadi beberapa kilometer sahaja dari rumah, jadinya minda bawah sedar memang sudah merakamkan struktur jalan tersebut.
Taubat! Lain kali, tidak akan kuulangi silap yang sama: tetap memandu biarpun letih dan mengantuk. Kalau sendirian, hanya bahayakan nyawa sendiri. Andai ramai penumpangnya, bagaimana? Nyawa bukannya taruhan yang terbaik buat sebuah ketidaksabaran sendiri.