Memaparkan catatan dengan label kesesakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesesakan. Papar semua catatan

Khamis, 23 Oktober 2008

Tangisan Alam



"Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."
(Al Quran Al Karim Surah Al An'aam ayat 99)


Belakangan ini, hari sentiasa basah. Setiap hari. Dingin. Sejuk. Panas usah diharap hingga ke petang kerna belumpun tengahari, mendung datang berjujut-jujut. Terpenuh lenggang, terjemput lenggoknya. Kelam. Langit pun berjelaga.


Hari memang indah andai dapat main hujan. Merasa dinginya. Menikmati tiap butirnya yang menerpa ke muka. Mengusap tempias di muka jendelapun sudah mengasyikkan, apalagi andai berlarian di bawah hujan lebat. Sejuk namun menyegarkan. Dingin tetapi indah.


Kalaupun tidak tergamak untuk berlarian di tengah hujan bagai anak itik terlepas gok, sekadar memandang titisnya di hujung atap sudah memadai. Mengamati titiknya yang terpercik di cermin sudah pun mencukupi.


Namun hujan sebegini, tiap pagi yang kalau boleh mahu dilambatkan datangnya agar masa bergelumang dalam selimut boleh dipanjangkan sedikit, agak menganjak jadual harian. Pagi yang datang dengan kemalasan untuk bangkit, atau malam yang bertanding terlalu awal hingga ramai yang terbenam dengan resah dalam kesesakan jalan raya. Kalau boleh, hujan sebegitu mahu cepat sampai di rumah. Mahu segera bersiram. Segera dapatkan secawan the wangi dengan sepiring pisang goring panas. Mahu segera juga santapan malam. Apalagi, mahu lebih segera ke peraduan setelah lelah seharian mengejar dunia di tempat kerja. Kalau boleh.

Seperti juga hujan yang boleh saja turunnya bila-bila masa, kita seakan terlupa untuk memikirkan tentang hujan itu. Terlupa untuk menjaga alam agar tangisan langit tidak berladung terlalu lama di bumi. Lalunya, mahu disalahkan pada siapa andai banjir berlaku? Memang sudah berlaku pun.

Setiap tahun, kawasan banjir itu lebih banyak sebabnya kerana tersumbat saliran air. Sejak dahulu, jumlah tangisan awan itu tetap sama kalaupun tidak berkurang. Kalau dahulu, kawasan Pantai Timur yang dibelasah banjir saban tahun (ketika kecil dahulu, banjir berlarutan lebih sebulan. Dan kami adik beradik berpesta dengan pelbagai aktiviti: gali ubi, tangkap belalang, suluh ikan, cerut rumput untuk makanan kambing dan biri-biri dll), namun kini, negeri lain pula yang jadi mangsa. Negeri yang tidak pernah pun diserbu banjir sebelum ini. Sebabnya sama sahaja. Saluran tersumbat.


Penyebab tersumbat itu terlalu kecil bersumberkan alam seperti tanah mendak atau tumbuhan. Penyumbang utama penyumbatan sistem larian air adalah sampah sarap. Malu sebenarnya untuk mengaku yang orang Malaysia ni pengotor. Namun hakikatnya tetap ada.

Pernah anda lalu di kawasan pasar malam seusai waktu langsung pasar malam itu? Meloyakan. Pernah anda lalui kawasan Bazar Ramadhan selepas waktu berbuka puasa? Memualkan. Mana perginya disiplin diri? Kalaupun sampah sarap di Pasar malam dan bazaar Ramadhan itu akan diuruskan Majlis Perbandaran di kawasan berkenaan, mengapa sampah itu tidak dilonggok-longgokkan? Mengapa berterabur. Belum lagi diselongkar kucing. Digelidah anjing.


Di sekolah, anak-anak disemai untuk hargai kebersihan. Bersih itu amalan orang Islam. Keluar sahaja dari pintu pagar sekolah, anak-anak ini telah belajar bagaimana realitinya hidup dalam dunia Islam sebenar? Nampak macam terlalu menuduh dan merendahkan masyarakat Islam bukan? Bagi anda yang sudah naik angin dengan kenyataan itu, sila tarik nafas dulu. Sabar. Sabar itu sebahagian daripada iman.

Cuba tanyakan diri anda sendiri, setiap masjid yang anda singgah untuk ke bilik air dan tandasnya, berapa buah masjidkah yang anda puas hati dengan kebersihan bilik belakang itu? Surau atau masjid ini hanya menjadi tempat singgahan orang Islam. Hanya digunakan oleh orang islam. Orang bukan Islam tidak akan singgah untuk menggunakan kemudahan masjid atau surau andai mereka tidak terlalu terdesak.


Kiranya anda berhenti di sepuluh buah masjid atau surau, berapa buah masjid atau suraukah yang benar-benar menjaga bilik belakang itu sebagai patutnya? Bagaimana pula jika anda singgah di Shell atau Petronas dan gunakan bilik air di situ. Berapa buahkah stesyen minyak itu yang akan membuatkan anda memuntahkan semula makanan yang telah hadam dalam perut anda sejak semalam itu? Antara masjid atau surau yang dimuliakan itu dan stesyen minyak yang digunakan oleh semua bangsa dan agama, lokasi mana yang lebih bersih?
Anda tidak perlu emailkan jawapannya kepada saya. Jawablah kepada diri sendiri. Jawablah dengan jujur. Dengan seikhlasnya. Ataupun, kiranya anda bukanlah insan yang selalu menggunakan bilik belakang masjid atau surau, apa salahnya belajar untuk singgah bermula saat ini. Bukan semua masjid sebersih masjid Shah Alam. Tidak semua masjid indah di luar dan dalamnya seperti masjid Putrajaya. Masjid Negara. atau masjid-masjid gak lain yang punya pekerja untuk membersihkan kawasannya. Belajarnya menjejaki masjid lain dalam perjalanan ke pelbagai destinasi di Malaysia. Saksikanlah realitinya. Lalu, fikir-fikirkanlah.


Selasa, 7 Oktober 2008

Lebaran pun Datang


Pagi Syawal, perancangan awalnya mahu bertolak kembali ke kampong halaman selewat-lewatnya jam 5 pagi dan singgah di R&R Genting Sempah untuk Suboh. Namun, lelah mengejar detik sejak seminggu sebelumnya buatkan diri agak payah untuk bangkit dari pembaringan. Tambah pula, dingin hujan pada pagi Syawal itu, bagai menggoda diri untuk terus menarik gebar. Lupa sesaat meriahnya suasana pagi Syawal di kampong halaman.

Akhirnya, perjalanan dimulakan seusai Suboh dari rumah. Tepat 6.05 pagi, brek kulepaskan dan perjalanan beratus batu itu kuharung jua sekalipun dengan sekujur diri yang lesu dan mata yang kuyu menahan kantuk. Untungnya perjalanan itu lancar. Tanpa jem. Tanpa kesesakan. Tanpa kekalutan. Bertemankan CD lagu-lagu raya pula sepanjang jalan itu. Tiba di kampong halaman jam 1.30 tengah hari dengan selamat. Alhamdulillah. Hanya 6 jam 25 minit.
Di hati teringatkan ketupat pulut berintikan serunding daging buatan bonda tercinta. Ketupat pisang juga. namun, tahun ini, Mek tidak buat kedua-duanya kerana sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan adik yang akan berlangsung pada 5 Oct 2008.
Biarpun masih berkesempatan merasa ketupat pulut buatan orang lain (tidak dapat merasa ketupat pisang), namun rasanya sudah pasti berbeza. Bukankah masakan ibu juga yang paling enak di tekak setiap anak? Masihkah punya kesempatan lagi kali yang lain untuk merasa keenakannya itu? Dan Mek, seakan sedikit terkilan kala cucu-cucunya tercari-cari nasi impit kuah kacang buatannya.
Keadaan sangat berbeza kala bertolak dari kampong kembali ke Selangor. Kalut. Gawat. Lelah. 16 jam memandu di tengah kesesakan kronik yang adakalanya kelajuan hanya 5km/jam. Kala itu, kaki hanya menekan brek, bukannya minyak. Pedal minyak tidak sempat ditekan, pedal brek perlu ditekan lagi. Di tengah-tengah lebuh raya pula. Bila tiba di destinasi, keletihan memang tidak mampu diselindungkan. Mata memang berpinau setelah berbelas jam memandu (hanya berhenti untuk solat, isi petrol dan ke bilik air, kononnya untuk cepat sampai).

Saat itu, diri mula sedar bagaimana rasanya bila memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Terlalu bahaya sebenarnya. Ada ketikanya, jalan yang lurus itu seakan terlihat seperti jalan mati. Mujurnya keadaan itu terjadi beberapa kilometer sahaja dari rumah, jadinya minda bawah sedar memang sudah merakamkan struktur jalan tersebut.
Taubat! Lain kali, tidak akan kuulangi silap yang sama: tetap memandu biarpun letih dan mengantuk. Kalau sendirian, hanya bahayakan nyawa sendiri. Andai ramai penumpangnya, bagaimana? Nyawa bukannya taruhan yang terbaik buat sebuah ketidaksabaran sendiri.