Memaparkan catatan dengan label puasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label puasa. Papar semua catatan

Khamis, 2 September 2010

Kalian dah Merdeka?


31 Ogos dah berlalu. Banyak hal berlaku sempena hari kemerdekaan negara kita itu. Ramai juga yang tulis di blog masing-masing tentang semangat merdeka. Yup, memang sangat teruja untuk menulis tentang semangat kenegaraan dan keMalaysiaan, tambah lagi kita boleh jumpa dan dengar kat mana-manapun tentang segelintir orang yang cuba jatuhkan ketuanan Malaysia di mata dunia. Kita sendiri macam mana?

Sama ada kita setuju atau marah dengan Masdur yang berkobar-kobar melaung memanggil-manggil seluruh warga Indonesia yang berada di Malaysia balik berhari Raya dan tak kembali lagi ke Malaysia (tanam ubi kayu kat kebun, itupun kalau ada kebun. Kalau tak ada kebun...silalah berkebun dengan cara yang sesuai), dan mengusir warga Malaysia yang berada di Indonesia, pengertian merdeka sebenarnya lebih besar dari itu.

Aku malas nak ulas apa-apa tentang isu-isu hangit seperti ini, ataupun menyokong pendapat beberapa tokoh yang tidak pernah didendang jasa mereka mempertahankan negara semasa perjuangan untuk memperoleh merdeka negara pada 1957 lalu, walaupun sebenarnya, hati sangat meronta-ronta untuk mencatatnya. Bukan tak mahu kongsi, namun, seperti yang selalu aku katakan, bukan semua perkara boleh dan sesuai untuk dinyatakan secara terbuka. Itu juga bagi menjaga kesinambungan merdeka yang kita nikmati sekarang.

Ahad lepas, kakak ajak berbuka di rumahnya. Aku ni adik yang tak berapa nak baik pun, terpaksa menolak kerana alasan tersendiri. Memandangkan adik aku dari Sijangkang datang bertapa kat rumah bersama bayi lelakinya yang comel itu, aku suruh dia ke rumah kakak. Paling kurang terubatlah juga rindu Siti dengan sepupunya itu. Manalah aku nak tahu bahawa kakak sebenarnya hanya ajak aku seorang sahaja, ingatkan ada kenduri berbuka puasa hu hu hu ampunkanlah daku dengan khilaf ini!

Kakak kirim satu mangkuk nasi, ikan haruan bakar, kari daging dan bubur lambuk. Cukuplah sekali makan untuk sahurnya, tapi aku makan untuk dua kali...berbuka esok harinya juga. Nak buat macam mana, urat perut aku pendek sahaja kot, tak muat nak isi banyak-banyak.

Dah lama tak makan kari. Bila kakak kirim kari daging itu, rasa macam nak menangis. Aku hanya makan kari daging atau ayam tertentu sahaja, bukan semua jenis kari. Kalau kari mamak tu, dah terdesak sangat baru makan. Kari yang ada kat sini, lebih banyak kari. Pekat. Bau karinya yang kuat itu buatkan aku tak boleh telan. Tambah lagi pekat dengan kari. Kalau letak santanpun sangat sedikit santan itu. Itu yang tekak aku tak b oleh terima.

Aku hanya makan kari yang Mek buat sahaja. Atau yang seakan-akannya. Ada santan. Cair. Tak banyak letak serbuk kari atau rempah-rempahnya. Dan kari yang tak boleh untuk aku tolak adalah kari buatan Mek, walaupun bagi orang lain, kari itu layak dibuang sahaja (aku pernah nampak kari yang Mek buat dan hantar kepada seseorang dengan penuh kasih sayang dibuang begitu sahaja dari tingkap rumah selepas beberapa saat aku hantarkan kepadanya). Dan kari Mek ini, sudah lebih dua tahun aku tak rasanya.

Aku pernah balik kampung saat terlalu teringin untuk makan kari Mek. Kala itu, Mek begitu sibuk dengan beberapa uruisan keluarga hingga dia tidak berkesempatan untuk masak. Baliknya dah letih. Tak sampai hati pula nak minta Mek masak kari. Dan aku balik Bangi dengan satu rasa hampa. Walaupun cari di merata kedai makan, namun tak ada satupun rasa seperti kari yang Mek buat.

Satu kali yang lain, aku balik lagi. Kali ini aku nekad, sibuk macam manapun aku nak minta juga Mek masak kari ayam atau daging. Aku tak kira dah. Tekak aku masih belum jumpa kari yang sama macam Mek masak. Kali ini juga aku hampa. Mek tak sihat. Sampai hatikah seorang aku untuk mintak macam-macam? Tegakah aku? Hanya kerana tekak sendiri.

Aku kembali lagi ke Bangi dan belajar untuk melupakan kehendak anak tekak yang memang mengada-ngada ini. Bukankah otak boleh kawal segala? Lalu aku terus mengawal hati agar tidak terlalu mengikut anak tekak. Ada kala, mencuba juga kari di beberapa kedai makan, sekadar mengubat rindu. Namun, tiada satupun yang sesuai. Hingga kini. Bila kakak kirim kari daging, aku memang teruja. Memanglah rasanya tetap tak sama seperti yang Mek masak, dapat rasa sipi pun dah cukup.

Istimewa sangatkah kari Mek ini? Bagi orang lain, dah pasti tak lalu nak makan. Bagi aku, sedapnya itu lebih kepada disulam kenangan. Kari inilah yang kami makan sejak kecil walaupun jumpanya hanya sesekali. Maklumlah, keluarga kami bukannya senang. Orang buat bendang. Bendang pawah pula tu. Jadinya, sesekali sahaja ayah mampu beli daging. Itupun bukannya daging batang pinang. Tetapi daging yang banyak urat. Daging yang liat. Daging yang banyak lemak. Pendek kata, nak senang cerita, daging yang tidak bermutu dan murah.

Jadinya, Mek tak ada pilihan lain untuk masak daging ini selain buat kari. Kalau goreng, memang liat. Bila buat kari, mek perlu rebusnya lama-lama hingga liatnya itu jadi empuk. Nasib baik dulu guna kayu api untuk masak, kalau guna gas macam sekarang, mahu setengah tong gas kan? Bombastik lah pula ayat tu kan? Dan, kari Mek itu pula akan dipotong kecil-kecil untuk cepat empuk, banyak kuahnya pula. Untuk dirasa lebih banyak mulut. Kami 7 beradik, tujuh mulut tu pula boleh tahan juga kalau menyuap. Tak ingat dunia dah. Jadinya, walaupun daging yang berurat dan liat itu sudah habis, kami masih lagi hangatkan kuahnya itu berhari-hari. Penambah rasa bagi nasi. Itukan lebih sedap dari makan nasi berkuahkan air?

Dan kari yang kakak kirim itu, adalah kari yang seperti ini. Kari yang sedikit sebanyak mengubat rinduku. Kari yang pernah kami hadap masa kecil-kecil dahulu. Kari yang terpenuh kenangan.

Sahurnya, aku bangkit dengan penuh teruja. Panaskan nasi, panaskan kari daging istimewa itu. Ikan haruan bakar nan seekor aku simpan untuk berbuka petangnya. Cukuplah dengan kari ini sahaja, urat perut aku kan tak panjang. Kebetulan Zetty balik rumah (sesekali sahaja dia bermalam di rumah) dan sedang sahur dengan biskut. Aku ajak dia sekali. Orang kata, rezeki gajah sama dilapah.

Aku makan dengan penuh selera. Walaupun bukan seratus peratus rasanya seperti kari yang Mek masak, namun, rasa itu aku tak akan jumpa di mana-mana kedai makan di Bangi ini. Waaaa, kalau kakak aku tahu aku dah puji dia melambung-lambung sebegini, aku memang pasti tidurnya malam ini bersulam dengan sengih sampai sahur.

Saat nasi di pingganku telan langsai, aku menyedari tentang sesuatu. Zetty makan dengan payahnya. Hanya berlaukkan kuah sahaja. Daging-daging liat dan urat itu semuanya terpinggir di tepi pinggan. Dan aku, tiba-tiba sahaja diurung sesal. Menyesal kerana ajak dia turut bersahur dengan kari super sedap bagiku, namun tidak mampu ditelannya. Kami dari dunia yang berbeza.

Dia anak merdeka yang biasa makan daging batang pinang. Aku anak merdeka juga, namun dihidangkan dengan kari daging berurat, liat dan berlemak gred paling rendah. Kalaupun aku mampu beli daging batang pinang kini, namun ada kala, tekak tetap teringin daging liat itu. Tetap rindukan kari daging Mek yang dahulu. Tetap mengenang betapa sukarnya mendaki tangga demi tangga yang bawakan kami ke menara ini, walaupun kerapkali juga aku terjelepuk kehilangan nafas di anak tangga yang entah ke berapa.

Pada musim kemerdekaan ini, aku belajar dan menyedari tentang banyak perkara. Terima kasih, Tuhan...temukan aku dengan banyak perkara. Belajar tentang banyak benda. Moga aku akan lebih syukuri dengan setiap apa dimiliki. Selamat menyambut merdeka...

p/s: Tekak aku tetiba je mintak ketupat pisang. Macam mana ni? Adusssssssssss!

Selasa, 25 Ogos 2009

Jom, Bayar Zakat Fitrah!


Puasa dah masuk hari ke 3. Kalau singgah di pusat beli belah, lagu raya dah berkumandang sejak sebelum puasa lagi. Kain rentang dan jualan sempena hari raya pun naik sebelum puasa lagi. Macam meriah je kan?

Ketika semua orang tengah meriah nak puasa, meriah nak pergi Bazar Ramadhan, meriah selongkar buku resipi, meriah dok cari bahan-bahan nak buat biskut raya, meriah juga jelajah Jalan TAR cari baju raya, pendek ke panjang kata ke, apa-apa sahaja yang meriah berkaitan semua ni, janganlah pula lupa nanti untuk memeriahkan diri bayar Zakat Fitrah. yang ni selalu orang lupa.


Masa dulu-dulu, aku memang dok nanti je masa bayar zakat fitrah ni sebab masa inilah (konon-kononnya) aku boleh bermanja dengan mak bapak aku. Kononnya mereka akan bayarkan untuk anak-anak yang masih lagi di bawah tanggungan. Disebabkan aku ni kononnya masih singgle minggel, aku selalu bayangkan yang mak bapak aku akan terus je bayarkan zakat fitrah ni untuk anak dia nan seorang ni.

Namun, pada satu hari raya (dah lupa dah tahun berapa), akhirnya aku sedar yang aku seorang je lagi belum bayar zakat fitrah, sedangkan orang lain semua dah bayar. Nasib baik sempat bayar sebelum zakat itu lupus jadi sedekah je. Kalau tak, tak berbayar Cukai Kepala lah aku tahun tu...

Jadinya, tak nak peristiwa yang sama berulang semula, aku akan bayar siap-siap zakat fitrah tu kat Bangi sebelum balik kampung. Bukan merajuk, sedar diri je kut! Hu hu hu ....sebelum jadi perkara yang sama kepada anda, ingat-ingatlah nak dahulukan bayar zakat fitrah ni berbanding shopping sakan untuk raya. Bukan mahal pun, RM7 je...lebih murah berbanding seekor ayam golek yang dibeli di Bazar Ramadhan tu (yang belum tentu lagi sedap ke idaknye...).


Berikut adalah kadar zakat bagi negeri-negeri di Malaysia bagi tahun 2009 (kecuali Kelantan) yang aku kidnap kat Utusan Online:

Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang – RM7
Terengganu – RM5, RM7 dan RM8
Johor – RM5 dan RM7.50
Sabah – RM6.60
Negeri Sembilan – RM6.50
Melaka – RM6.30
Sarawak dan Perlis – RM6

Sumber : BERNAMA

* zakat fitrah Kelantan 2008 ( 1429H) - RM 7.60. Untuk tahun ni, aku dok cari tu...tak jumpalah pulak. Macam pernah dengar pengumuman kat TV, tapi kurang ambil perhatian sangat. Maaflah ye sesape yang tinggal di Wilayah Persekutuan dan Kelantan tu ye...Kalau yang ada maklumat yang sahih tu, bolehlah juga bagi tau ya. Moga sama-sama beroleh manfaat dari ilmu tu...

Jomlah! reramai kita serbu Pusat Zakat Selangor (yang tinggal kat Selangor macam akulah ye...)

Selasa, 18 Ogos 2009

Ayam dan Ikan Percik

Biasanya bulan puasa masakan ni jadi hidangan untuk kami. Maklumlah, masa budak-budak dulu, kan malas nak sahur, jadi Mek akan buat sebagai semangat untuk kami bangun sahur kot!

Ramadhan dah tak lama lagi, tetiba je rasa nak makan benda alah ni. Walaupun rasanya taklah sama macam yang Mek masak, tapi...dah tentulah kena dengan tekak kami. Tak macam beli kat kedai nun. Sempena dengan hari minggu...kami pun masaklah benda alah ni. Namanya Ayam dan Ikan percik. Yummy....tersangat sedap dimakan dengan nasi terutama masa perut memang dah kebuloq sesangat. Makan sampai tak henggat donia lagi!
Kuahnya yang enak hu hu hu


Sebenarnya adik aku yang beria-ria nak masak untuk laki dia. Maklumlah depa ni jumpa seminggu sekali je. Masa inilah nak makan masakan isteri tercinta kan. Jadinya, dapur aku tu lah jadi tempat eksperimen. Biasanya juga, aku hanya bagi arahan je...adik aku yang akan buat. Bab makan tu serah balik kat aku hu hu hu.
Bakar ikan atau ayam sampai masak. Sambil-sambil tu lumurkan santan pekat tu dan bakar lagi bagi kering sikit.
Dah boleh angkat dan makan. Lupa nak snap gambar masa awal-awal masak tu. Dah siram lebihan kuah atas ikan baru teringat nak snap gambar. Bberlumoih! Tapi....gerenti hingga menjilat siku hu hu hu


Hancus diet aku!

Ahad, 12 Oktober 2008

Puasa Enam Pada Syawal

Tulisan ini dipetik dari Berita Harian, Isnin 6 Oktober 2008 bersamaan 6 Syawal 1429H. Tulisan yang sama boleh dibaca secara online di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20081005222252/Article/
Moga dapat dimanfaatkan bersama. Selamat membaca, menghayati dan mengamalkannya.
Ganjaran besar puasa enam Syawal
Oleh Zahri Hamat

PUASA enam Syawal adalah sunat dilakukan dan besar ganjaran pahala serta tambahan kepada kekurangan yang diimbangi dengan zakat fitrah.

Mukmin laksana amalan sunat mendapat kebaikan berganda DUA jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat. Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari) Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW. Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah) Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari. Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.
Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal. Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli. Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan.
Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat. Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.
Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba. Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.
Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan. Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.
Penulis ialah pensyarah Pusat Kajian pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia

Khamis, 25 September 2008

Apabila Hidayah DitarikNya


Ramadhan sudah 25 hari dijalani. Syawal bakal menjelma. Saat sebegitu, perasaan mula berbaur. Gembira kerana hampir berjaya jalani sebulan penuh dugaan. Gembira kerana bakal meraikan hari kemenangan. Namun pada masa yang sama, terbetik jua sedih. Sedih dengan lambaian Ramadhan yang akan berlalu. Dipanjangkan umur bertemu lagi tahun hadapan. Sayu untuk melepaskan Ramadhan penuh barakah. Sesal kerna tidak dimanfaatkan sepenuhnya kemurnian Ramadhan. Kelebihan Ramadhan.

Ada masanya kita perlu lebih bersyukur. Banyak yang telah Allah kurniakan. Banyak yang Allah anugerahkan. Dan semua itu tidak dititipkan kepada semua insan. Hanya hambaNya yang terpilih sahaja.

24 September 2008, aku bercuti setelah mengisi borangnya secara online sehari sebelumnya. Dalam tempoh 10 tahun diri hidup dengan dunia sendiri yang terlalu asing, hari ini aku ingin nikmati suasana Syawal yang tidak pernah sempat kuendahkan selama ini.

Selepas Subuh, diri bermalas-malas di ranjang sambil mengulang baca novel SAGA (Abdul Talib Hassan) entah untuk ke berapa kalinya. Selalunya, saat sebegitu, diri sudah bersedia untuk ke pejabat walaupun waktu kerja secara rasminya bermula jam 8 pagi. Dan kemalasan itu membawaku ke alam lena hingga terjaga semula pada jam 10.30 pagi.

Niat asal cuti itu untuk ke Time Square dan Plaza Low Yat. Surver harga computer riba dan beli toner untuk printerku yang telah bertahun keringnya. Namun kemalasan itu juga buatkan perjalanan lambat dimulakan. Hampir jam 12 tengahari. Itupun setelah menyudahkan lipatan kain di almari dan menyidai kain ke ampaian.

Entah kenapa pula, rasa mala situ timbul untuk turun dari rumah. Berbaur dengan bimbang juga. Entah bimbangkan apa. Jadinya, keputusan diambil untuk pergi ke stesyen komuter terdekat dengan teksi sahaja. Jadinya, setelah menapak 10 minit ke bus stop dan menunggu dalam 5 minit, berderet dua buat teksi kelihatan.

Tutup sahaja pintu teksi, satu bau begitu menusuk hidung. Karipap goreng. Pada jam sebegitu, amat mudah hidung menjalankan tugasnya. Kala kujenguk ke depan, tersilau di pandangan sebungkus teh ais tergantung berhampiran radio.

Pemandu teksi itu masih agak muda, baru cecah 50-an berbanding ayah di kampong. Dengan kerjanya sebagai pemandu teksi, aku amat yakin benar tidak banyak kudrat diguna berbanding ayah yang berpanas di tengah bendang sejak remaja lagi. Hingga kini, orang tua itu masih lagi gagah melakukan kerja-kerja kampong. Panas. Berat. Berhujan. Bergelumang lumpur. Namun, orang tua itu masih juga berupaya untuk meneruskan puasa biarpun sepanjang harinya di tengah bendang.

Telah kupujuk hati sendiri mengatakan semua itu hanya was-was di hati. Hanya usik syaitan di juring hati. Namun tingkahnya yang berulangkali cuba mengeluarkan sisa makanan di gigi dengan dengus angin di mulutnya benar-benar buatkan hati jadi cuak. Anak buahku yang masih di tadikapun sudah belajar berpuasa biarpun sekadar separuh hari, inikan pula si tua sebegitu. Mulut ringan sahaja mahu bertanya petang nanti dia cadang mahu berbuka dengan hidangan apa.

Barangkali Allah tidak mahu kurangkan lagi pahala puasa setelah hati bengkak menahan sebu sebelumnya. Saat teksi hampir tiba di destinasi, panggilan Dina membantutkan celupar mulutku. Jadinya, tambang teksi kubayar tanpa ucap terima kasih. Tanpa ucap selamat hari raya pun. Terima kasih, Dina. Hari itu panggilannya buatkan hajat untuk celuparkan mulut terbantut.

Entah bagaimana untuk hormatkan orang tua yang sebegitu. Orang yang tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak kecil sekalipun. Tidakkah dia tiada rasa bersalah biar sekelumitpun?

Pagi tadi, semasa perjalanan ke pejabat aku terlihat seorang pemandu teksi. India. Sedang makan dalam teksinya yang diberhentikan di pinggir jalan. Kala itu hati terbetik. India itupun tahu hormat orang yang puasa dengan tidak makan di hadapan mereka, sedangkan ramai orang Islam sendiri gagal untuk ibadat puasa itu.

Ramadhan masih lagi tinggal 5 hari. Lima hari itu, terlalu singkat. sedang datangnya lagi terlalu jauh!

Jumaat, 12 September 2008

Diwajibkan ke atas kamu


Surah Al-Baqarah di bawah menyatakan dengan jelas tentang kewajipan umat Islam melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Moga kita menjadi sebahagian daripada golongan hambaNya yang bertaqwa dan tunduk dengan pasrah.

183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

[184] (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

[185] (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Apalagi yang lebih besar daripada perintah ini? Apalagi yang lebih tinggi hukumnya daripada titah ini?