Memaparkan catatan dengan label kari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kari. Papar semua catatan

Khamis, 8 September 2011

Ummi, Nak Tangan!



semasa raya di kampung tempohari
Mek sempat buat kari (gulai) ayam
hanya gulai ayam Mek je aku suka makan
kari yang lain tak berapa boleh telan
kecuali ketagih sangat nak makan gulai ayam Mek

aku jarang mintak Mek buatkan
sebab kesian dia nak kena susah payah buat
untuk isi tekak anak dia
kalau balik kampung
biasanya Mek bercuti masuk dapur
dia akan bagi menu je apa nak dimasak
bukan bermakna aku pandai masak
tapi mereka suka masakan yang mudah sahaja
ayam goreng pedas, daging goreng, sup tulang, ikan goreng, asam perut
kadang-kadang sayurpun tak ada
kalau masak yang kompleks sikit,
tak ada siapa nak makan kecuali sendiri kena makan

Bila Mek gulai ayam
aku tibai sakan; tak cukup melantak dengan nasi
rembat pula roti 2-3 ketul
buruk lantak betul kan? hu hu hu
tengah makan ramai-ramai tu
tiba-tiba anak buah (Siti, 3 tahun) bersuara
“Ummi, nak tangan!”
“Nak buat apa tangan?” tanya kakak aku.
“Nak makan,”
apalagi...gegerlah satu rumah dok gelak kat dia
adaaa ka kaki ayam dipanggilnya tangan hu hu hu

Tiapkali buat gulai ayam
anak-anak buah akan berebut untuk dapatkan kaki ayam
sejak kecil mereka dah dilatih makan kaki ayam;
macam kami juga masa kecil dulu
seronok untuk diratah.



Khamis, 2 September 2010

Kalian dah Merdeka?


31 Ogos dah berlalu. Banyak hal berlaku sempena hari kemerdekaan negara kita itu. Ramai juga yang tulis di blog masing-masing tentang semangat merdeka. Yup, memang sangat teruja untuk menulis tentang semangat kenegaraan dan keMalaysiaan, tambah lagi kita boleh jumpa dan dengar kat mana-manapun tentang segelintir orang yang cuba jatuhkan ketuanan Malaysia di mata dunia. Kita sendiri macam mana?

Sama ada kita setuju atau marah dengan Masdur yang berkobar-kobar melaung memanggil-manggil seluruh warga Indonesia yang berada di Malaysia balik berhari Raya dan tak kembali lagi ke Malaysia (tanam ubi kayu kat kebun, itupun kalau ada kebun. Kalau tak ada kebun...silalah berkebun dengan cara yang sesuai), dan mengusir warga Malaysia yang berada di Indonesia, pengertian merdeka sebenarnya lebih besar dari itu.

Aku malas nak ulas apa-apa tentang isu-isu hangit seperti ini, ataupun menyokong pendapat beberapa tokoh yang tidak pernah didendang jasa mereka mempertahankan negara semasa perjuangan untuk memperoleh merdeka negara pada 1957 lalu, walaupun sebenarnya, hati sangat meronta-ronta untuk mencatatnya. Bukan tak mahu kongsi, namun, seperti yang selalu aku katakan, bukan semua perkara boleh dan sesuai untuk dinyatakan secara terbuka. Itu juga bagi menjaga kesinambungan merdeka yang kita nikmati sekarang.

Ahad lepas, kakak ajak berbuka di rumahnya. Aku ni adik yang tak berapa nak baik pun, terpaksa menolak kerana alasan tersendiri. Memandangkan adik aku dari Sijangkang datang bertapa kat rumah bersama bayi lelakinya yang comel itu, aku suruh dia ke rumah kakak. Paling kurang terubatlah juga rindu Siti dengan sepupunya itu. Manalah aku nak tahu bahawa kakak sebenarnya hanya ajak aku seorang sahaja, ingatkan ada kenduri berbuka puasa hu hu hu ampunkanlah daku dengan khilaf ini!

Kakak kirim satu mangkuk nasi, ikan haruan bakar, kari daging dan bubur lambuk. Cukuplah sekali makan untuk sahurnya, tapi aku makan untuk dua kali...berbuka esok harinya juga. Nak buat macam mana, urat perut aku pendek sahaja kot, tak muat nak isi banyak-banyak.

Dah lama tak makan kari. Bila kakak kirim kari daging itu, rasa macam nak menangis. Aku hanya makan kari daging atau ayam tertentu sahaja, bukan semua jenis kari. Kalau kari mamak tu, dah terdesak sangat baru makan. Kari yang ada kat sini, lebih banyak kari. Pekat. Bau karinya yang kuat itu buatkan aku tak boleh telan. Tambah lagi pekat dengan kari. Kalau letak santanpun sangat sedikit santan itu. Itu yang tekak aku tak b oleh terima.

Aku hanya makan kari yang Mek buat sahaja. Atau yang seakan-akannya. Ada santan. Cair. Tak banyak letak serbuk kari atau rempah-rempahnya. Dan kari yang tak boleh untuk aku tolak adalah kari buatan Mek, walaupun bagi orang lain, kari itu layak dibuang sahaja (aku pernah nampak kari yang Mek buat dan hantar kepada seseorang dengan penuh kasih sayang dibuang begitu sahaja dari tingkap rumah selepas beberapa saat aku hantarkan kepadanya). Dan kari Mek ini, sudah lebih dua tahun aku tak rasanya.

Aku pernah balik kampung saat terlalu teringin untuk makan kari Mek. Kala itu, Mek begitu sibuk dengan beberapa uruisan keluarga hingga dia tidak berkesempatan untuk masak. Baliknya dah letih. Tak sampai hati pula nak minta Mek masak kari. Dan aku balik Bangi dengan satu rasa hampa. Walaupun cari di merata kedai makan, namun tak ada satupun rasa seperti kari yang Mek buat.

Satu kali yang lain, aku balik lagi. Kali ini aku nekad, sibuk macam manapun aku nak minta juga Mek masak kari ayam atau daging. Aku tak kira dah. Tekak aku masih belum jumpa kari yang sama macam Mek masak. Kali ini juga aku hampa. Mek tak sihat. Sampai hatikah seorang aku untuk mintak macam-macam? Tegakah aku? Hanya kerana tekak sendiri.

Aku kembali lagi ke Bangi dan belajar untuk melupakan kehendak anak tekak yang memang mengada-ngada ini. Bukankah otak boleh kawal segala? Lalu aku terus mengawal hati agar tidak terlalu mengikut anak tekak. Ada kala, mencuba juga kari di beberapa kedai makan, sekadar mengubat rindu. Namun, tiada satupun yang sesuai. Hingga kini. Bila kakak kirim kari daging, aku memang teruja. Memanglah rasanya tetap tak sama seperti yang Mek masak, dapat rasa sipi pun dah cukup.

Istimewa sangatkah kari Mek ini? Bagi orang lain, dah pasti tak lalu nak makan. Bagi aku, sedapnya itu lebih kepada disulam kenangan. Kari inilah yang kami makan sejak kecil walaupun jumpanya hanya sesekali. Maklumlah, keluarga kami bukannya senang. Orang buat bendang. Bendang pawah pula tu. Jadinya, sesekali sahaja ayah mampu beli daging. Itupun bukannya daging batang pinang. Tetapi daging yang banyak urat. Daging yang liat. Daging yang banyak lemak. Pendek kata, nak senang cerita, daging yang tidak bermutu dan murah.

Jadinya, Mek tak ada pilihan lain untuk masak daging ini selain buat kari. Kalau goreng, memang liat. Bila buat kari, mek perlu rebusnya lama-lama hingga liatnya itu jadi empuk. Nasib baik dulu guna kayu api untuk masak, kalau guna gas macam sekarang, mahu setengah tong gas kan? Bombastik lah pula ayat tu kan? Dan, kari Mek itu pula akan dipotong kecil-kecil untuk cepat empuk, banyak kuahnya pula. Untuk dirasa lebih banyak mulut. Kami 7 beradik, tujuh mulut tu pula boleh tahan juga kalau menyuap. Tak ingat dunia dah. Jadinya, walaupun daging yang berurat dan liat itu sudah habis, kami masih lagi hangatkan kuahnya itu berhari-hari. Penambah rasa bagi nasi. Itukan lebih sedap dari makan nasi berkuahkan air?

Dan kari yang kakak kirim itu, adalah kari yang seperti ini. Kari yang sedikit sebanyak mengubat rinduku. Kari yang pernah kami hadap masa kecil-kecil dahulu. Kari yang terpenuh kenangan.

Sahurnya, aku bangkit dengan penuh teruja. Panaskan nasi, panaskan kari daging istimewa itu. Ikan haruan bakar nan seekor aku simpan untuk berbuka petangnya. Cukuplah dengan kari ini sahaja, urat perut aku kan tak panjang. Kebetulan Zetty balik rumah (sesekali sahaja dia bermalam di rumah) dan sedang sahur dengan biskut. Aku ajak dia sekali. Orang kata, rezeki gajah sama dilapah.

Aku makan dengan penuh selera. Walaupun bukan seratus peratus rasanya seperti kari yang Mek masak, namun, rasa itu aku tak akan jumpa di mana-mana kedai makan di Bangi ini. Waaaa, kalau kakak aku tahu aku dah puji dia melambung-lambung sebegini, aku memang pasti tidurnya malam ini bersulam dengan sengih sampai sahur.

Saat nasi di pingganku telan langsai, aku menyedari tentang sesuatu. Zetty makan dengan payahnya. Hanya berlaukkan kuah sahaja. Daging-daging liat dan urat itu semuanya terpinggir di tepi pinggan. Dan aku, tiba-tiba sahaja diurung sesal. Menyesal kerana ajak dia turut bersahur dengan kari super sedap bagiku, namun tidak mampu ditelannya. Kami dari dunia yang berbeza.

Dia anak merdeka yang biasa makan daging batang pinang. Aku anak merdeka juga, namun dihidangkan dengan kari daging berurat, liat dan berlemak gred paling rendah. Kalaupun aku mampu beli daging batang pinang kini, namun ada kala, tekak tetap teringin daging liat itu. Tetap rindukan kari daging Mek yang dahulu. Tetap mengenang betapa sukarnya mendaki tangga demi tangga yang bawakan kami ke menara ini, walaupun kerapkali juga aku terjelepuk kehilangan nafas di anak tangga yang entah ke berapa.

Pada musim kemerdekaan ini, aku belajar dan menyedari tentang banyak perkara. Terima kasih, Tuhan...temukan aku dengan banyak perkara. Belajar tentang banyak benda. Moga aku akan lebih syukuri dengan setiap apa dimiliki. Selamat menyambut merdeka...

p/s: Tekak aku tetiba je mintak ketupat pisang. Macam mana ni? Adusssssssssss!

Jumaat, 23 Januari 2009

Kalau ada orang merajuk, nak buat macam mana ye? Ada sesiapa nak bagi cadangan? Cadangan terbaik akan dihadiahkan dengan ayam jambu ni. Macam sedap je dibuat kari!



Jangan lupa ya...beri pendapat kalian yang bernas lagi memberangsangkan tu sampai kalah mutu Beras Bernas ye... hu hu hu