Memaparkan catatan dengan label wajib. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wajib. Papar semua catatan

Khamis, 30 Oktober 2008

Tahlil

Mungkin ramai yang bercelaru dengan hal-hal sebegini. jadinya aku pun copy dan tampalkan kat sini untuk kita sama-sama baca dari Berita Harian, Ahad 26 Oktober 2008, boleh juga disurf melalui link berikut di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/harini?day=Sunday




Ni bukan tahlil tapi khatam Qur'an dua orang adik aku yang hensem tu...

Tahlil bukan bidaah
Oleh Ziauddin Sharuddin


MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil. Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam.


Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu. “Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya. Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.


“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya. Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama. Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui. “Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya.


Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah. “Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya. Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu.


Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda. Tahlil arwah: Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud:

Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)


Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud:

Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad) Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya.



Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.”



Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.


Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu. HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi. Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan.


Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar. Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.


Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud:


“Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).

Jumaat, 26 September 2008

Zakat Fitrah Itu...




Diantara kemuliaan bulan ramadhan ialah kerana didalamnya Allah s.w.t mensyariatkan kewajipan ibadat zakat fitrah. Zakat fitrah adalah ibadat yang diwajibkan kepada umat islam untuk menyucikan jiwa, membersihkan harta dan menampal kekurangan yang berlaku sepanjang berpuasa pada bulan Ramadhan. Ia juga sebagai bukti kecintaan kita kepada Allah s.w.t, mengatasi kecintaan kepada segala kenikmatan harta dunia yang sementara. Ia merupakan sifat yang digambarkan oleh Allah s.w.t sebagai antara sifat-sifat orang yang benar-benar beriman.


Firman allah didalam surah al-anfal ayat 3-4, bermaksud:

“Mereka adalah orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat beberapa darjat ketinggian disisi Tuhan mereka dan keampunan serta rezeki yang mulia (disyurga)”

Zakat dari sudut bahasa bermaksud tumbuh dan bertambah. Harta yang dibayar sebagai zakat, ia sebenarnya menumbuh dan menambahkan lagi harta yang dimiliki oleh pembayar tersebut. Fitrah dari sudut bahasa ialah terbelah. Ada pun dari sudut syari‘at, Zakat Fitrah ialah harta yang wajib dibayar pada penghujung bulan Ramadhan.

Dalil Zakat Fitrah


‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya:

Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum kepada hamba dan orang yang merdeka sama ada lelaki mahu pun wanita, anak kecil mahu pun dewasa daripada kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan agar ia dibayar sebelum orang ramai keluar menunaikan solat (Aidil Fitri). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1503 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah)]


Hukum Zakat Fitrah

Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuan berpendapat bahawa hukum zakat fitrah ialah wajib. Ada segelintir yang berpendapat kewajipannya telah dibatalkan berdasarkan sebuah riwayat lain, iaitu:


أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَدَقَةِ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ تَنْزِلَ الزَّكَاةُ فَلَمَّا نَزَلَتْ الزَّكَاةُ لَمْ يَأْمُرْنَا وَلَمْ يَنْهَنَا وَنَحْنُ نَفْعَلُهُ

Maksudnya:

Rasulullah S.A.W memerintahkan kami untuk membayar zakat fitrah sebelum turunnya (kewajipan membayar) zakat (tahunan). Maka tatkala disyari‘atkan (kewajipan membayar) zakat (tahunan), baginda tidak lagi memerintahkan kami (untuk membayar zakat fitrah) mahu pun melarang kami (dari membayar zakat fitrah). Namun kita tetap melakukannya (membayar zakat fitrah). [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no: 2505 (Kitab al-Zakat, Bab kewajipan sedekah fitrah sebelum disyari‘atkan zakat tahunan)]
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) telah menolak pendapat segelintir ini dengan hujah bahawa hadis di atas tidak menunjukkan adanya pembatalan. Sebaliknya sikap diam Rasulullah S.A.W kerana perintah baginda yang awal sudah mencukupi tanpa perlu untuk baginda mengulanginya. Lebih daripada itu, pensyari‘atan sesuatu yang baru tidak semestinya bererti pembatalan terhadap sesuatu yang lama. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 4, ms. 139]


Hikmah Zakat Fitrah

‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan hikmah zakat fitrah sebagai:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Maksudhnya:

Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. [Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1609 (Kitab al-Zakat, Bab zakat fitrah)]

Jumhur ulamak menyatakan bahawa waktu bagi menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima iaitu:
1- Waktu harus: Menunaikan zakat pada awal bulan ramadhan.
2- Waktu wajib: Menunaikan zakat fitrah mulai terbenam matahari pada akhir ramadhan.
3- Waktu afdhal: Menunaikan zakat fitrah sebelum menunaikan solat hari raya.
4- Waktu makruh: Menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya tanpa keuzuran.
5- Waktu haram: Menunaikan zakat fitrah selepas hari raya tanpa keuzuran.
Sudahkah anda membazar Zakat Fitrah?

Saya mampu membeli sandel Polo (selepas diskaun 20 peratus harganya menjadi RM43.95), apalah sangat nilainya Zakat Fitrah yang hanya berjumlah RM5.20 (di Selangor darul Ehsan) itu. Terlalu jauh bezanya kan. Sandel itu letaknya di kaki pun sanggup dihabiskan dengan jumlah sebesar itu, sedangkan Zakat Fitrah ini lebih besar “nilai” nya berbanding harga RM5.20 itu.

Fikir-fikirkanlah. Selamat menunaikan Zakat Fitrah.

Jumaat, 12 September 2008

Diwajibkan ke atas kamu


Surah Al-Baqarah di bawah menyatakan dengan jelas tentang kewajipan umat Islam melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Moga kita menjadi sebahagian daripada golongan hambaNya yang bertaqwa dan tunduk dengan pasrah.

183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

[184] (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

[185] (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Apalagi yang lebih besar daripada perintah ini? Apalagi yang lebih tinggi hukumnya daripada titah ini?