Memaparkan catatan dengan label lebaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lebaran. Papar semua catatan

Jumaat, 2 Ogos 2013

Menyambut Kemenangan Pada Syawal


Alhamdulillah. Sebahagian besar Ramadhan dah berjaya kita harung. Beberapa hari lagi Syawal @ Hari Raya Aidilfitri @ Hari Lebaran bakal menjelma. Suasana dan kehangatannya kian terasa. Paling rasa, jem di Jalan TAR dan jalan nak balik kampong.

Jom tengok kemeriahan raya UPIN & IPIN Aidilfitri 2011 nak sambut raya (Season 5) - Rindu Opah (EPISODE 6)



Jom kita tengok Tips dan amalan menjelang Aidilfitri, bagaimana kita nak sambut aidilfitri mengikut Islam;

Kapsul Ramadan USIM online - Sinar Aidilfitri



Berikut perkara sunat boleh dilakukan menjelang aidilfitri;
1. Bertakbir
2. Solat berjemaah
3. Hidupkan malam aidilfitri dengan takbir, tahmid
4. Mandi sunat aidilfitri
5. Rapikan diri seperti potong kuku
6. Berpakaian bersih dan cantik
7. Mewangikan diri
8. Menjamah sedikit makanan, makan kurma je pun taka pa
9. Pergi dan balik dari masjid melalui jalan yang berbeza
10. Solat sunat aidilfitri

Suasana Di Hari Raya - Asyiela Putri Azhar (Upin dan Ipin)



Sempatlah kita bersedia sementara belum datang Aidilfitri ni ya… masih belum terlambat. Kegembiraan dapat balik kampong dan sambut Aidilfitri bersama kaum keluarga, ibu bapa dan kaum kerabat akan lebih bermakna lagi kan bila kita tak lupakan tips dan amalan pada hari raya aidilfitri mengikut cara Islam.

Ustaz Azhar Idrus - Cara Menyambut Raya Mengikut Islam



Amalan beri duit raya kepada anak-anak



Aku sokong kata-kata UAI ni…patutnya kita bagi duit raya kepada orang-orang tua. Makcik-makcik, pakcik-pakcik.

Nak dengar Ustaz Kazim nyanyi lagu raya?



Mmmmmm mood raya dah datang kan? Hu hu hu


Isnin, 14 September 2009

Selamat Menyambut Ketibaan Hari Kemenangan


Selamat menyambut hari kemenangan dengan tibanya Syawal. Moga Aidilfitri kali ini lebih bermakna.



Ketupat pulut jadi hidangan,
Pasang pelita tengah halaman;
Selamat sambut hari lebaran,
Bersama kita saling bermaafan.



Kepada semua, mohon maaf andai terkasar bicara, tersalah tutur kata, terkilaf rasa...daku hanya insan biasa, tiada lari dari membuat silap dan dosa. Mohon dimaafi segala.

Selasa, 30 September 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Biarpun jemari tidak tersentuh jabat
biarpun raga tidak saling bertatapan
meskipun bibir tanpa kata dan lafaz
seiring beduk yang lelah bergema
dan seruan takbir yang berkumandang syahdu
kuaturkan kalimah salam menyambut Aidilfitri.



Ketika lisan tak terjaga, saat janji terlupakan
kala sikap tidak sehaluan, pabila kuterfikirkan bukan-bukan
lalunya tercipta sesal menimbulkan pula guris luka
pada Lebaran terpenuh kemenangan ini
dengan rendah hati kumohon kemaafan atas segala salah dan khilaf
kupinta keampunan dengan semua latah dan kelemahan diri
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Minal aidin wal Faizin
Maaf lahir dan batin.

Isnin, 29 September 2008

Ingatlah Orang yang Tersayang

Musim perayaan sinonim dengan kemalangan maut. Ramai ibu bapa kehilangan anak cucu. Ramai isteri bergelar janda. Ramai suami berstatus duda. Ramai anak-anak menjadi yatim piatu. Ramai kekasih berduka lara. Bila berlaku sebegini, terfikirkah kita pada orang yang kita sayangi?

Kampung halaman itu tidak lari ke mana-mana lagi. Pandulah dengan sabar. Moga-moga perjalanan anda selamat ke destinasi. Semoga ayah bonda masih tersenyum menyambut anak cucu. Moga kaum keluarga bertemu mesra pada musim perayaan ini. Moga-moga kemeriahan diraikan bersama. Dengan gembira.

Kita mampu mengelakkan kemalangan maut sebegini. Kita mampu mengubah banyak tragedi andai bersikap sabar. Andai berhemah di jalan raya. Andai patuhi undang-undang dan had laju. Memanglah ajal maut itu di tangan Allah, namun, kalaupun sudah sampainya ajal kita, sudikah kita untuk tinggalkan dunia ini dalam keadaan ngeri sebegini? Sanggupkah kita terus jalani hidup ini andai kerana baran kita, orang yang kita sayangi pergi tinggalkan kita dengan keadaan sebegini?

Pilihan ada di tangan sendiri. Kita yang tentukan bagaimanakah penyudahnya sebuah perjalanan ke kampong halaman. Andai memandu, ingat-ingatlah orang yang disayangi. Selamat memandu. Selamat menyambut Hari Lebaran.


Menyambut Raya


Berikut adalah sebuah artikel yang pernah disiarkan di akhbar. Sama-samalah mendapat manfaat daripada tulisan ini.


Berhari raya perlu ikut adab
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.


Lalu Rasulullah S.A.W menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.


Konsep hari raya dalam Islam adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.


Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.


Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.Jadinya perayaan ini perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa:
"Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."


Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berlebih-lebih atau melampau batas apabila menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna, Islam menegah umatnya melakukan pembaziran seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih yang terlalu banyak.


Pada zaman Rasulullah S.A.W, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru. Kata sahabat ini:
“Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki itu berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.” Rasulullah S.A.W kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Namun, pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.


Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan. Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita. Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Namun, Usahlah dididik anak-anak untuk berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.


Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.

Khamis, 25 September 2008

Apabila Hidayah DitarikNya


Ramadhan sudah 25 hari dijalani. Syawal bakal menjelma. Saat sebegitu, perasaan mula berbaur. Gembira kerana hampir berjaya jalani sebulan penuh dugaan. Gembira kerana bakal meraikan hari kemenangan. Namun pada masa yang sama, terbetik jua sedih. Sedih dengan lambaian Ramadhan yang akan berlalu. Dipanjangkan umur bertemu lagi tahun hadapan. Sayu untuk melepaskan Ramadhan penuh barakah. Sesal kerna tidak dimanfaatkan sepenuhnya kemurnian Ramadhan. Kelebihan Ramadhan.

Ada masanya kita perlu lebih bersyukur. Banyak yang telah Allah kurniakan. Banyak yang Allah anugerahkan. Dan semua itu tidak dititipkan kepada semua insan. Hanya hambaNya yang terpilih sahaja.

24 September 2008, aku bercuti setelah mengisi borangnya secara online sehari sebelumnya. Dalam tempoh 10 tahun diri hidup dengan dunia sendiri yang terlalu asing, hari ini aku ingin nikmati suasana Syawal yang tidak pernah sempat kuendahkan selama ini.

Selepas Subuh, diri bermalas-malas di ranjang sambil mengulang baca novel SAGA (Abdul Talib Hassan) entah untuk ke berapa kalinya. Selalunya, saat sebegitu, diri sudah bersedia untuk ke pejabat walaupun waktu kerja secara rasminya bermula jam 8 pagi. Dan kemalasan itu membawaku ke alam lena hingga terjaga semula pada jam 10.30 pagi.

Niat asal cuti itu untuk ke Time Square dan Plaza Low Yat. Surver harga computer riba dan beli toner untuk printerku yang telah bertahun keringnya. Namun kemalasan itu juga buatkan perjalanan lambat dimulakan. Hampir jam 12 tengahari. Itupun setelah menyudahkan lipatan kain di almari dan menyidai kain ke ampaian.

Entah kenapa pula, rasa mala situ timbul untuk turun dari rumah. Berbaur dengan bimbang juga. Entah bimbangkan apa. Jadinya, keputusan diambil untuk pergi ke stesyen komuter terdekat dengan teksi sahaja. Jadinya, setelah menapak 10 minit ke bus stop dan menunggu dalam 5 minit, berderet dua buat teksi kelihatan.

Tutup sahaja pintu teksi, satu bau begitu menusuk hidung. Karipap goreng. Pada jam sebegitu, amat mudah hidung menjalankan tugasnya. Kala kujenguk ke depan, tersilau di pandangan sebungkus teh ais tergantung berhampiran radio.

Pemandu teksi itu masih agak muda, baru cecah 50-an berbanding ayah di kampong. Dengan kerjanya sebagai pemandu teksi, aku amat yakin benar tidak banyak kudrat diguna berbanding ayah yang berpanas di tengah bendang sejak remaja lagi. Hingga kini, orang tua itu masih lagi gagah melakukan kerja-kerja kampong. Panas. Berat. Berhujan. Bergelumang lumpur. Namun, orang tua itu masih juga berupaya untuk meneruskan puasa biarpun sepanjang harinya di tengah bendang.

Telah kupujuk hati sendiri mengatakan semua itu hanya was-was di hati. Hanya usik syaitan di juring hati. Namun tingkahnya yang berulangkali cuba mengeluarkan sisa makanan di gigi dengan dengus angin di mulutnya benar-benar buatkan hati jadi cuak. Anak buahku yang masih di tadikapun sudah belajar berpuasa biarpun sekadar separuh hari, inikan pula si tua sebegitu. Mulut ringan sahaja mahu bertanya petang nanti dia cadang mahu berbuka dengan hidangan apa.

Barangkali Allah tidak mahu kurangkan lagi pahala puasa setelah hati bengkak menahan sebu sebelumnya. Saat teksi hampir tiba di destinasi, panggilan Dina membantutkan celupar mulutku. Jadinya, tambang teksi kubayar tanpa ucap terima kasih. Tanpa ucap selamat hari raya pun. Terima kasih, Dina. Hari itu panggilannya buatkan hajat untuk celuparkan mulut terbantut.

Entah bagaimana untuk hormatkan orang tua yang sebegitu. Orang yang tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak kecil sekalipun. Tidakkah dia tiada rasa bersalah biar sekelumitpun?

Pagi tadi, semasa perjalanan ke pejabat aku terlihat seorang pemandu teksi. India. Sedang makan dalam teksinya yang diberhentikan di pinggir jalan. Kala itu hati terbetik. India itupun tahu hormat orang yang puasa dengan tidak makan di hadapan mereka, sedangkan ramai orang Islam sendiri gagal untuk ibadat puasa itu.

Ramadhan masih lagi tinggal 5 hari. Lima hari itu, terlalu singkat. sedang datangnya lagi terlalu jauh!