Jumaat, 14 Mac 2014

Dah Setahun Saya Bertongkat


Sejak pertengahan Januari, rutin aku berubah sedikit. Kalau tak pergi kutip MC, aku akan pergi buat fisioterapi sekali seminggu. Ada kala lepas fisioterapi, badan jadi lenguh-lenguh, lalu aku panggil seorang kakak tukang urut ke rumah. Kakak tu memang tahu aku ni jenis tak pernah urut, kali pertama urut ingatkan aku akan menjerit-jerit melolong hingga riuh rendah satu taman, rupanya kesakitan yang dialami menenggelamkan rasa geli itu. Urutnya itu juga hanya pinggang ke bawah sahaja, nak atasi sakit-sakit lenguh badan sahaja tanpa dia urut bahagian belakang. Karang tak pepasal cedera yang aku alami ni makin teruk pula.

Kalau ada masa senggang, aku pergi ke pusat Ceragem bangi (ini bukan promosi perkhidmatan ya), belakang rumah aje. Mereka ada katil urut yang agak selesa untukku setelah beberapa kali pergi mencubanya. Asalnya aku rasa terpaksa pergi ke sini kerana jiran sebelah rumahku yang baik itu tak pernah rasa putus asa untuk bawa aku. Pepagi buta sanggup dia telefon kejutkan aku, bawa ke pusat terapi ini juga. 

mereka bersemangat bersenam sebelum mulakan rawatan urutan

Semalam, Khamis aku luangkan masa lagi sekali ke pusat ni setelah minggu lepas tidak seharipun sempat singgah. Urutan menggunakan katil ini berlangsung selama 45 minit, tetapi masa menunggu tu lebih kurang setengah jam lebih juga kerana agak ramai pakcik makcik sedang menunggu giliran.

Semasa nak balik, aku bertembung dengan seorang lelaki yang lebih kurang baya aku juga. Dia juga bertongkat, sedang berdiri berhampiran kaunter menanti gilirannya. Kami sempat bertegur sapa dan bersembang seketika.

Ini ajelah yang boleh buat cuci mata...masa pengunjung tak ramai

Katanya, dia alami masalah saraf hingga memerlukan dia bertongkat. Lebih setahun lamanya. Bermacam cara dia buat untuk sihat semula. Air mukanya nampak redup, macam berjerebu pula. Aku boleh nampak semangatnya dah menurun. Barangkali dia datang ke pusat itu dengan harapan yang berbaki sahaja.

Sebelum turun tangga aku sempat beritahu dia “Allah sedang berikan kita pahala yang banyak dengan dugaan sebegini. Marilah sama-sama kita kutipnya dengan bersabar dan redha…”.

Biarpun dia menjawab “Insha Allah”, namun aku dapat dengar suaranya yang serak dan cuba menahan air mata yang tergenang. Tiba-tiba aku rasa sangat bersalah kerana menyentuh hatinya sedemikian rupa. Walaupun begitu, aku berharap, kata-kata itu menyuntik semangat baru untuk dia.

Ada masa kita rasa diri kita paling malang di dunia ini, sedangkan masih ada orang lain lagi mencabar ujiannya. Bertongkat kita rasa bagaikan musibah, sedangkan orang lain yang nampak sihat itu lebih menderita bila tidak mampu berkerja.

Aku fahami mengapa dia rasa down. Dia ketua keluarga, banyak perkara tidak mampu dilakukan dengan sempurna lagi bila bertongkat begitu. Aku berdoa moga-moga dia dikurniakan isteri yang penyabar dan memahami dan anak-anak yang tidak membebankan.Kalau tidak, dah tentu dia lagi rasa tertekan.


5 ulasan:

JunAina berkata...

Rezi Allah buat kita, bahagian masing2 jadi terimalah dengan redha.

Unknown berkata...

kesian pakcik tu..betul la..mungkin dia fikir macam tu..seorang ketua keluarga patutnya jadi tempat untuk berpaut tapi sebalik nya jadi pada dia..kesian..

anyss berkata...

Junaina: ambik masa untuk benar2 insafi apa hikmah sebaliknya. ikut teori psikologipun, selepas 2 tahun baru kita benar2 redha

anyss berkata...

Diana: Belum pakci...abam lagi tu

Unknown berkata...

Ceragem memang bagus..segala penyakit boleh di ubati..kecuali penyakit malas dn putus urat je yg tak boleh di ubati..