Memaparkan catatan dengan label kahwin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kahwin. Papar semua catatan

Khamis, 18 Disember 2008

Cemburu Itu Sayang?




Seseorang telah serahkan sekeping kad undangan perkahwinan yang comel sebagai bukti dua orang sepupunya berkahwin. Cantik tetapi ringkas. Comel juga.

Musim cuti sekolah biasanya jadi musim untuk orang berkahwin. Ada setengah-setengah orang dengan nakalnya menyebut sebagai musim mengawan. Tak kiralah apapun panggilannya, musim cuti sekolah sebegini memang meriah dengan undangan perkahwinan. Sekecil-kecil kenduri dibuat adalah kenduri kesyukuran sempena anak-anak berkhatan.

Bila balik kampung sesekali, bermacam cerita kudengar. Si polan dah kawin. Anak si polan tu baru bertunang. Si A dapat anak lelaki. Anak si B dah pun berkhatan. Anak Minah dapat 5A. Ada macam-macam cerita. Macam-macam berita. Masa inilah telinga banyak mendengar tentang sedara mara, sahabat handai, sepupu sepapat, taulan...

Kata orang cemburu tu tandanya sayang. Itu kata oranglah. Aku hanya salin dan tulis semula kata-kata itu di sini. Persoalannya, benarkah cemburu itu sebagai satu perlambangan rasa kasih sayang?

Raya lepas, masa balik kampung itu, terdengar juga ke telinga kisah seorang sepupuku telah bercerai sebulan sebelum adiknya naik pelamin. Sepupu perempuanku itu cantik orangnya. Tinggi lampai. Putih melepak. Manis senyumnya. Sopan santun. Entah berapa kali lebihnya dia berbanding aku yang kelabu asap dan “muka tak bawa rezeki” ni.

Sehabis pengajian peringkat Sarjana (master) dia berkahwin dengan pujaan hatinya. Berkerja di Kota Bharu sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta. Ikutkan, dengan kerjanya sebegitu, tinggal di KB yang agak rendah kos sara hidup pula, punya anak-anak dan suami tercinta, patutnya hidup dia dah lengkap. Dah sempurna. Dah bahagia. Patutnya. Di dunia ini, banyak perkara yang tidak patut sering terjadi.

Pendidikan tinggi yang diterima bolehkan dia menyandang kerja yang bergaji yang agak lumayan juga. Kerjayanya itu bersifat profesional. Dan dia, perlu bertingkahlaku sedikit profesional walaupun tidaklah sampai perlu kehilahan seperti mak datin.

Malangnya, suami tercinta itu terlalu cemburu bila dia yang comel lote itu berpakaian cantik selayaknya seorang profesional ke pejabat. Cemburu bila dia kenakan lipstik. Cemburu bila dia kenakan busana mengikut peredaran fesyen semasa. Klimak cemburu itu pula tidak sekadar perang mulut yang saling jawab menjawab, namun disusuli dengan sepak terajang, tumbuk menumbuk hingga lebam seluruh badan. Bengkak bengkeng anggaota badan. Entahkan bersilat, entahkan berkungfu. Entah juga karate atau judo.

Mangsanya bukan dia seorang. Anak-anak turut terima tempias. Dapat bahana. Cemburu punya kisah, kasih sayang yang dibina sekian lama punah ranap. Hancur berderai. Meruntuhkan tidak sesukar membina. Tidak sepayah membangunkannya semula.

Antara kerja, anak-anak dan suami tercinta, apa pilihan yang dia ada? Andai berhenti kerja, nanti mahu makan apa? Memang punya suami, namun gaji suami tercinta jauh lebih kecil berbanding gajinya. Berhenti kerja bukanlah pilihan bijak yang dia patut pilih.

Orang kata “ulat dalam batu pun boleh hidup”. Soalnya itu ulat. Ulat tak minum teh tarik yang harganya naik tetapi tidak mahu turun bila harga minyak dah turun. Ulat itu tidak guna pampers untuk anak-anaknya. Ulat itu juga tidak perlukan Astro untuk tengok Akademi Fantasia.

Lalunya, bagaimana pula dengan lebam-lebam dikungfu lelaki tercinta itu? Sekali dua mampu lagi ditahan dengan alasan cinta. Kali ke tiga dan seterusnya, masihkah sabar menahan perit? Kalaupun diri kuat menahan kungfu dan sepak terajang, namun sampaikah hati melihat cahaya mata yang dilahirnya dengan pertaruhan nywa itu diperlakukan begitu juga? Apa salahnya anak-anak itu? Apa dosa mereka? Mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan!


Cerai hanya satu perkataan. Satu makna juga. Namun, entah bagaimana trauma yang perlu ditempuhinya. Ataukah, dia masih lagi tertanya-tanya keputusannya itu benar-benar terbaik untuknya? Ketika seisi keluarga bergembira dengan kedatangan menantu baru, bagaimana isi hatinya?

Hanya dia yang tahu. Hanya dia yang rasa. Kita hanya mampu memandang. Hanya mampu simpati.

Rabu, 5 November 2008

Suka Duka Kehidupan

Aku bukanlah peminat fanatik mana-mana artis. Kalaupun minat, tidaklah sampai abadikan foto mereka hingga penuh seluruh dinding rumah. Namun kali ini, tiba-tiba ada rasa untuk tampalkan wajah mereka di rumah yang tak seberapa ini. Harapnya tidak akan menyebabkan peminat fanatik mereka ini BOMMMM rumah kecil ini.






Mawi-Ekin jalani kursus kahwin

Asmawi Ani atau Mawi dan Nora'Ashikin Rahmat yang bakal bernikah pada 20 Disember depan menjalani kursus perkahwinan yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada 4 November 2008. Mawi bakal menikahi Ekin pada 20 Disember depan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bharu, Johor pada pukul 11 pagi dengan wang hantaran sebanyak RM30,000 serba satu.

Tiada kata dapat gambarkan perasaan kerna sekeping foto ini sudah mampu ceritakan segalanya.
Terselit harapan pada wajah mereka, terkandung ibu harap tak terucap pada sinar mata.
Lalunya,
Doakanlah kebahagiaan mereka.



Norman Hakim-Abby Abadi-Memey

Kehidupan bahagia Norman Hakim-Abby Abadi bersama anak-anak, sebelum kehadiran puteri ke tiga mereka, Maria. Jelas terlihat kebahagiaan mereka.

Sebuah keluarga bahagia terisi pada raut wajah. Terukir pada senyum di sudut bibir.
Tiada kata mampu terjemahkannya.
Loving couple. Masihkah ada mata yang mampu menidakkannya? Mana retaknya? Siapa jangkakah belah akan berlaku?
Kini, masihkah belum cukup dengan kehadiran Maria Danisha? Anak itu belum lagi dua bulan usianya, itukah akhir perlu diterima?

Ribut pernah melanda kebahagiaan mereka. Dan mereka pernah rasakan betapa kocak yang membongkah itu memang memedihkan.

Namun, jadoh masih panjang untuk mereka.
Kalau dahulu, anak-anak menjadi pengikat, kini bagaimana?

Kini….
SEPERTI yang dilaporkan media semalam, rumah tangga pasangan artis popular, Norman Hakim dan Abby Abadi berhadapan dengan kemelut berpanjangan. Selepas Norman ditangkap khalwat dengan pelakon muda, Memey Suhaiza pada 30 Oktober lalu, isterinya, Abby pula memfailkan tuntutan perceraian.

Lebih dramatik, Abby ‘menyerang’ Norman di lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kelmarin. Media yang berkesempatan melihat episod sedih dalam rumah tangga pasangan itu menjadi saksi bagaimana air mata seorang lelaki bernama Norman Hakim akhirnya jatuh kerana kesal, sedih dan pelbagai lagi perasaan lain. Begitu juga dengan Abby yang tidak mampu membendung rasa marah dan kecewa.
Tanyalah sama hati...soallah pada iman
Serasi masih ada...sedondon yang dikenakan tanpa rancang, tiadakah ertinya?


Siapa yang tahu apa yang ada di dalam kecuali diri?
Dahulu, katanya cinta menggapai awan tak terlafaz bicara. Kini masihkah ada?
Dahulu, cintalah yang merapatkan jurang, lalunya kini...palitnya itu sudah pudarkah?
Dahulu, anak-anak menjadi jalan damai, kini...masihkah?
Dalam apa jua telingkah sebegini, mahu tak mahu anak tetap jadi mangsa. Sedangkan, mereka tidak pernah memintapun dilahirkan. Mereka tidak pernah merayu diabaikan. Mereka tidak pernah tahu akan wujud sebuah kehancuran. Mereka hanya harapkan sebuah syurga kasih sayang.
Sama ada anda peminat Mawi, Ekin, Norman hakim, Abby Abadi ataupun Memey sekalipun, ataupun bukanlah peminat mereka semua seperti aku, doakan kebahagiaan mereka. Doakan kekuatan hati mereka hadapi semua ini. Sama ada gembira atau berduka, keduanya tetap ujian dari Yang Maha Esa.
Dan kita sebagai hamba, adakala perlu redha dengan ketentuan itu setelah usaha segala. Hidup ini memang aneh!