Selasa, 14 Oktober 2008

Sesak Beraya






Ramai mengeluh dengan kesesakan lalulintas sepanjang musim perayaan terutama pada hari Sabtu dan Ahad sebelum serta selepas Aidilfitri. Semua orang rasa tertekan. Apa tidaknya, berjam-jam terkandas dalam kesesakan jalan raya jarak yang dilalui tak sampai satu kilometerpun.

Banyak juga kereta yang tersadai di tepi jalan. Sama ada enjin yang buat hal, petrol yang habis, atau kaki drivernya yang dah nak tercabut dek menukar klutch dan brek berjam-jam.

Berbelas jam pula untuk perjalanan dari kampong halaman ke kota raya atau sebaliknya. Malah ada yang terpaksa bermalam di mana-mana tempat sebelum meneruskan semula perjalanan keesokan harinya. Tetap sesak juga.

Seorang kenalan kakak melencongkan perjalanan ke Genting dan bermalam di sana satu malam kerana sudah terlalu letih. Genting lengang katanya. Hari Isnin, mereka meneruskan semula perjalanan kembali ke rumah dan terpaksa beli surat cuti sakit dari klinik. Namun, hari Isnian itu juga tetap sesak. Tengahari baru mereka tiba di rumah.


Sesak pada musim perayaan sudah lumrah. Sudah biasa. Apalagi bagi rakyat Negara Kelantan. Sesaknya ada di mana-mana. Satu negeri sesak bila musim perayaan tidak kira apa jenis raya. Deepavali. Tahun Baru. Tahun Baru Cina. Apalagi kalau Aidilfitri atau Aidiladha. Masing-masing mengambil peluang cuti untuk melepaskan rindu di kampong halaman.

Budaya balik kampong memang sebati dengan jiwa masyarakat kita. Sesak pun sanggup dihadapi. Sesak itu pula hanyalah sesak dengan kereta. Selesa pula. Pernahkan anda terfikir bila suatu masa nanti, sesak itu turut dialami bila menunggang motosikal? Boleh bayangkan bagaimana?

Tiada ulasan: