Rabu, 10 Jun 2009

Cara Menamatkan Hubungan


Aku pernah kenal seorang mamat Pakistan. Dia ada agensi pelancongan di Kuala Lumpur pada ketika itu (kegawatan ekonomi buatkan dia terpaksa jual agensi tu dan berkerja di tempat yang sama). Sejak kenal dengannya, aku memang anggap dia kawan dan aku juga tahu yang dia rapat dengan aku kerana sebab-sebab tertentu sahaja. Kalau dia tidak perlukan aku, dia memang tak akan cari aku. Bila dia telefon, sms atau cari aku tu, maknanya ada lah sesuatu yang dia perlukan.

Mamat ni hensemnya boleh tahanlah. Sedap mata memandang. Ramai awek cun di Malaysia ni tergila-gilakannya. Kalau aku keluar dengan dia, memang kami akan jadi tumpuan. Aku memang sedar tu. Aku juga sedar kenapa banyak mata melirik ke arah kami. Dah tentulah mereka amat hairan bagaimana mamat sehensem dia boleh keluar dengan aku yang tak berapa nak lawa ni. Kira dah macam Beauty and the beast la pulak.

Kalau aku keluar dengan dia, hanya 3 menu sahaja yang boleh aku pilih. Pertama Pizza. Kedua McD. Ketiga sate. Namun sebahagian besarnya pizza. Walaupun pizza tu free je, tapi disebabkan aku ni bukannya suka sangat fastfood macam tu dan seangkatan dengannya, tekak naik kembang juga. asal keluar je, makan pizza. Asal keluar je, makan sate. Tak tertelan dek tekak. Sesekali bolehlah. Kalau dah kerap sangat, tekak memang tak boleh terima.

Mesti korang tanya, kenapa aku tak ajak pergi makan kat tempat lain kan? Jawapannya mudah saja. Dia kan lelaki Pakistan. Di Pakistan sana manalah perempuan boleh buat keputusan. Jadinya, dia jadi pra-san baguslah dalam semua hal. Malas nak bertekak, aku ikutkan je.

Yang aku paling suka tentang dia (satu-satunya perkara yang aku suka...yang lain, hampeh!), dialah satu-satunya lelaki yang tidak merokok pernah aku jumpa. Jadinya, bila keluar dengan dia, hidung aku selamatlah sikit daripada menghidu bau asap rokok. Kawasan yang ada asap rokok pun dia tak pergi.

Disebabkan dia ni ada rupa, walaupun taklah sehensem Brad Pitt, Brosnan atau Tom Cruz, maka dia dikelilingi oleh ramai perempuan yang berlumba-lumba nak ambil hati dia. Aku memang tahu walaupun dia tak beritahu secara terperinci. Setiap kali dia keluar dengan aku, telefonnya memang akan disetkan sebagai vibrate. Aku tak kesahpun kalau dia ada ramai perempuan simpanan atau gelpren, sebabnya aku bukanlah kekasih atau isteri dia. Semua itu bukan urusan aku. Aku bukannya berminat dengan “barang import”. Aku lebih sukakan “barangan buatan Malaysia”. Apa yang nyata, bila dia sukakan mana-mana gadis, dia memang seorang lelaki yang macho. Gentlemen. Lelaki idaman Malaya. Namun, bila dia dah tak berapa nak sukakan kita, suaranya akan bernada tinggi. Ada masanya sampai ke tahap maki.

Aku sering mendengar dia memaki pekerjanya melalui telefon ketika dia bersamaku. Aku diamkan saja kerana itu urusan dia, walaupun sebenarnya aku paling benci sikap yang sebegitu. Asal dia tidak maki aku, aku tak perlu persoalkannya. Aku pernah ke pejabatnya beberapa kali, termasuk berkenalan dengan beberapa orang stafnya.

Bila ekonomi mula merudum sedikit demi sedikit, sambutan terhadap industri pelancongan turut menurun. Dia perlu mencari beberapa alternatif lain untuk kekalkan prestasi syarikat. Jadi, dia tawarkan pakej umrah. Dia perlukan aku untuk mensasarkan pasarannya di UKM. Aku akan dibayar komisen sebanyak RM300 untuk setiap orang yang pergi umrah melalui usahaku. Disebabkan dia kawan, tengah susah dan perlukan bantuan, sebagai kawan aku tolonglah. Pada masa yang sama, dah tentu boleh jadi sumber pendapatan sampingan.

Aku lakukan banyak cara untuk promosikan pakej umrah tersebut. Edar pamplet, bina blog, hantar e-mel dan tarik orang-orang di sekeliling aku melalui syarikatnya. Hasilnya, ada 6 orang dapat aku kutip sebagai pelanggan pakej umrah pertamanya. Dia memang gembira. Aku juga. masa tu, aku harap komisen yang aku akan dapat boleh digunakan untuk bayar hutang. RM1800 bukanlah jumlah yang sedikit.

Kumpulan kedua yang aku dapat adalah seramai 7 orang. Dalam kepala aku dah berangan untuk dapatkan RM2100 lagi. Kalau dah campur kedua-duanya itu, dah berapa. Kira bolehlah aku joli sebulan dua kat pasar malam beli putu bambu. Namun sangkaanku meleset sama sekali. Bila kumpulan pertama itu balik, dia mengadu kepadaku dia rugi besar sebab kumpulan tersebut buat hal di Tanah Suci. Dia terpaksa caver banyak benda menyebabkan kos bertambah. Jadinya, dia hentikan terus pakej umrah dan ziarah tersebut. Tidak sesenpun dia bayar dengan usaha dan tenaga yang telah aku curahkan. Masa itu aku masih lagi boleh sabar. Mungkin tak ada rezeki, itu sahaja yang boleh aku sematkan dalam kepala otak. Alasan untuk sejukkan hati sendiri.

Bersama pakej pelancongan dan umrah, dia juga kendalikan sewa kereta. Setiap hujung minggu, semua keretanya habis ditempah. Dia juga selalu tawarkan kepadaku untuk pinjam keretanya, tetapi hanya untuk hari kerja sahaja. Hujung minggu dah tentu tak dapat. Nak jadi cerita, aku perlu ke Universiti Malaya untuk satu hal yang memang mendesak. Biasanya aku guna komuter dan RapidKL sahaja. Tak nak susahkan siapa. Namun mengenangkan aku ke sana pada pertengahan minggu, jadi saja je nak uji betul tidaknya dia sanggup sewakankeretanya itu dengan harga istimewa, lalu aku sewa viva dengannya. Dia akan hantar kereta tersebut ke Bangi, kemudian aku akan hantarnya balik rumah selepas kami makan malam (dah tentulah pizza lagi). Aku janji akan hantar keretanya pada hari lusa, sebab aku tak pasti kerjaku esok siap pada jam berapa.

Lusanya, pagi-pagi lagi dia dah telefon dan merungut tentang kelewatanku hingga aku terlupa nak isi minyak. Dah lama tak memandu, jadinya, aku tak mampu nak cilok sana sini seperti dahulu lagi. Lagi pula kaca mata yang aku pakai dah lama tak tukar power. Dah kelabu. Jadinya perlulah memandu dengan hati-hati. Sampai di tempat yang dijanjikan (aku terlewat dalam 15 minit), tak nampak pun kelibat dia. Kan aku ni rabun. Kena tengok elok-elok barulah nampak.

Ketika dia telefon dan tanyakan tentang minyak kereta (sepanjang jalan memang tak henti dia telefon dan maki macam yang selalu dia buat pada orang lain tu, aku masih lagi tahan bengang), aku tak sedarpun dia ada kat belakang kereta yang aku bawa. Aku ingatkan dia memang nak aku isi petrol dulu sebelum serahkan kereta padanya semula. Jadinya, aku teruslah bergerak ke hadapan (100 meter kat depan ada Shell), tetapi aku menerima hon daripadanya yang bertalu-talu. Masa itu aku memang tak terfikir langsungpun dia yang hon. Bengap juga aku ni.

Dia telefon aku lagi dengan sumpah seranahnya, tanyakan mana aku nak pergi. Aku beritahulah nak isi minyak, kemudian terus matikan perbualan dengannya. Malas nak melayan makinya itu. Namun sepanjang 100 meter ke shell itu, dia menekan hon (termasuk di Shell) hingga semua orang pandang aku. Masa aku menuju kaunter bayaran, masa itulah pekerjanya (yang juga Pakistan) terus ambil kereta dan memecut pergi. Ikutkan memanglah tak tahu nak letak kat mana muka ni. Semua orang pandang dengan pelik. Dahlah kat stesyen minyak pun dia boleh bunyikan hon macam orang gila, kemudian maki hamun aku di khalayak ramai pulak tu. Semua orang dengar apa yang dia maki. Percuma je aku dimalukan. Nak tak nak, terpaksa buat muka selamba dan naik keretanya. Tak sempat tutup pintu kereta lagi, dia dah memecut ke depan macam kena kejar dek hantu. Mulutnya tak berhenti maki.

Aku diam lagi. Hati memang terbakar tak payah nak cerita. Makin panas hati bila dia lepaskan geram dengan redah je ke depan. Terjah je macam jalan ni dia sorang yang bayar cukai jalan. Lipat je mana boleh lipat macam berlumba di litar F1 Sepang. Belok je mana rasa nak belok hingga aku terpaksa pegang bumbung kereta. Tunjuk perasaanlah konon. Akhirnya aku mintak dia berhentikan aje aku kat mana-mana, tapi tidak mendapat apa-apa respon kecuali mulutnya yang tidak lagi berhenti memekak. Semasa dia berhenti di sebuah bank untuk keluarkan duit, aku ambil kesempatan itu untuk blah. Semasa dia nampak aku blah ke stesen bas berhampiran, dia buat tak kesah sahaja. Dia hanya kesah bila tahu aku tinggalkan RM150 (ikutkan logik, ada ke sewa kereta viva sampai harga tu? Dah sakit hati sangat, aku campak je sebanyak tu kat atas kusyen keretanya. Tahulah aku tak berapa nak ada duit, tapi taklah sampai perlu dibuat macam anjing kurap sebegitu), dan kejar aku kat hentian bas.

Jadi macam drama kat tv lah pulak. Masa tu memang agak ramai juga orang sedang tunggu bas. Boleh dia cakap dengan selamba badak “tolong jangan malukan dia kat situ untuk pujuk aku”. Apa herannya aku kat dia. Dia bukanlah sesiapa pun dalam hidup ni. Kalau dia melutut kat situ dan minta maafpu, ingat aku nak heran? Sekali hati aku dah carik, mudah sangat ke nak baik? Kenapa tak fikir masa dia buat tadi? Ingat aku ni apa? Boleh saja dia maki macam semua orang yang pernah dia maki sebelum ini?

Akhirnya aku berjaya tahan sebuah teksi (teksi tu ikut jalan di belakang perhentian bas) dan memberambuskan diri dari situ walaupun dia mula buat drama sedih. Ingat senang ke nak bagi maaf setelah maki hamun aku dengan semua perkataan keji yang ada atas muka bumi ni? Apalah nak aku herankan dengan dia. Aku bukannya gilakan dia. Akupun bukan boleh dapat manfaat apa-apa pun berkawan dengan dia selain makan pizza dan sate free. Makan maki Free juga.

Setelah itu, kami terus senyap. Tidak online, tidak sms, tidak telefon juga. walaupun beberapa bulan kemudian dia sms, aku tak balas pun. Malas nak layan. Kemudiannya aku hapuskan nombornya dari memori telefonku hinggalah sebulan lepas aku terima sms darinya semula. Sebab nombornya aku dah delate, aku reply dan tanyakan siapa yang hantar. Bila dia kenalkan diri, aku tak terkata apa. Selepas antara kami senyap lebih setahun, dia hubungiku semula dan minta aku ajarkannya Bahasa Malaysia. Aku anggapnya sebagai alasan sahaja. Dah tentu perempuan yang mengelilinginya dah makin kuranglah, sebab itu dia cari aku.

Aku katakan kepadanya aku sibuk. Aku minta dia cari pusat tusyen. Dia janji akan bayar aku dan gunakan masa beberapa jam sahaja seminggu. Bayar? Tolonglah! Yang dulupun masih berhutang lagi dengan aku, ada hati pulak nak buat janji baru?

Aku berterus terang dengannya yang aku tak berminat dengan tawaran itu. Berapa banyakpun dia akan bayar, keputusanku tetap sama. Aku tidak mahu jumpa dia lagi. Aku tak mahu berurusan dengan dia tak kira apapun yang berlaku. Aku tak sudi untuk dimaki. Cukuplah sekali!

Itulah smsnya yang terakhir. Harapnya dia tak akan sms aku lagi.

Ada sesiapa putuskan satu hubungan dengan cara sebegitu?



Selasa, 9 Jun 2009

Tandanya...Dia Masih Kau Sayang



Hari ni nak bercerita tentang perasaan pulak. Nak letak tips untuk dikongsi bersama kepada pencinta-pencinta sama ada yang sedang berbahagia atau sedang sakit dan menderita.

Ada masa, kita terpaksa berpisah dengan orang yang kita sayang dengan pelbagai sebab. Ada waktunya sebab salah kita, ada masa yang lain keadaan memang mendesak. Perpisahan yang berlaku sama ada secara rela atau tidak, tetap meninggalkan kesan dalam diri. Nak tahu apa tandanya kita masih sayangkan orang itu?

1. Sentiasa mengenangnya biar sebesar manapun salahnya kepada kita. Sentiasa ingatkan saat-saat manis bersamanya. Teringat apa kesukaannya. Ingat warna kegemarannya. Ingat tempat yang kita pergi bersamanya. Ingat setiap aktiviti yang kita lakukan bersamanya.

2. Lakukan semula apa yang pernah dibuat bersamanya
Kita akan ulangi semula apa yang pernah kita buat bersamanya. Kalau dia suka baca buku, kita akan pergi semula ke kedai-kedai buku yang kita pernah pergi bersamanya. Kita akan pergi ke panggung wayang yang kita pergi bersamanya dulu walaupun filem yang kita tengok itu tidak menarik langsung. Kita akan ke kedai makan kegemarannya. Apa sahaja yang kita buat bersamanya, tak kiralah yang kita suka buat atau sekadar temankan dia...kita akan ulanginya semula. Kalau dahulu, kita pergi bersama-samanya, namun kini kita pergi berseorangan. Seorang diri. Namun, sebegitu ramai orang yang ada di tempat itu, kita tetap rasa sunyi. Tetap nampak dia dalam diri orang lain. Haru kan?

3. Belek album atau diari lama
Paling-paling tidak pun kita akan belek semula album gambar ataupun diari sepanjang masa kita bersama dengannya. Setiap peristiwa yang kita jalani bersamanya akan diputar semula ke kotak fikiran. Tak kiralah kenangan manis atau kenangan pahit. Jangan ada banjir kilat sudahlah ye!

4. Cari hadiah-hadiah yang pernah dia beri
Apa sahaja hadiah atau pemberian dari dia ada makna yang besar bagi kita biarpun hanya sekuntum bunga rumput yang kecil dan telah kering. Setiap hari kita tatapnya. Hidup tak akan sempurna tanpa menatap bunga rumput yang telah kering itu (contohnya). Hadiah-hadiah itulah yang menjadi sumber inspirasi hidup kita.

5. Buat apa yang dia suka buat
Apa sahaja yang dia suka buat, maka kita akan cuba untuk buatnya kini walaupun benda-benda tu kita tak pernah buat, ataupun tak pernah suka pun untuk buat. Kalau sebelum ini, kita memang tak suka aiskrim, akan pening kepala dan mabuk bila makan aiskrim sampai tahap boleh muntah, namun saat-saat sebegini, tiba-tiba benda yang kita tak suka buat itulah telah kita buat. Kita minum nescafe yang dia memang suka sangat-sangat, walaupun kita sebenarnya alah dengan nescafe. Kita akan main hujan, walaupun kita akan selsema. Semuanya gara-gara sebab dia yang suka.


6. Gambarnya masih lagi kita simpan
Kita masih simpan lagi gambar-gambarnya dalam album atau dalam telefon kita. Smsnya yang panjang lebar penuh ungkapan rindu, sayang, bla bla bla dot com dot mai itu masih lagi kita simpan biar bertahun kita telah putus dengan dia. Dan semua itu akan kita telaah setiap malam sebelum tidur, atau sebaik sahaja terjaga dari tidur setiap hari. Sekali ingat, macam orang angau atau gila talak. Sekalipun mulut kita menyatakan yang kita bencikan dia, namun hati kita masih lagi menarik-narik diri kita untuk lakukan semua itu.

7. Bandingkan orang lain dengan dia
Biarpun kita telah bertemu dengan orang lain, tak kira orang lain yang kita jumpa itu jauh lebih baik atau setara baiknya dengan si dia yang pernah bertakhta di hati kita, kita tetap juga akan membanding-bandingkannya. Lebih teruk lagi, kita selalu bercerita betapa bagusnya si dia idaman kita itu dengan orang yang baru kita cuba jalinkan hubungan. Membandingkan dengan pelbagai perkara. Cara senyum. Cara pakai. Cara makan. Cara berfikir. Cara bertindak. Kegemaran. Semua sekali. Apa saja yang kita buat bersama orang lain, kita akan tetap membandingkannya, tak kira apa sekalipun. Pendek kata, semua yang elok, baik dan bagus itu hanyalah si dia impian itulah. Tak akan ada manusia lain di atas muka bumi ini yang setanding dengan dia. Kalau datang Aiswarya Rai, atau Khirtik Roshan sekalipun, dia juga tetap menawan di mata kita. Adussssssssssss!

8. Sentiasa fikirkan apa yang terbaik untuk dia
Biar dunia dan bumi ini berputar selaju manapun di atas paksinya, kita tetap juga mengharapkan apa yang berlaku atas muka bumi ini perlu berlaku seiring dengan keperluan dia. Kalau sekarang ni zaman meleset, ramai siswazah menganggur, maka kita mengharapkan ekomoni cepat pulih. Pengangguran tak lagi ada. Sebabnya, salah seorang penganggur itu adalah si dia yang masih bertakhta di hati kita.

Kalau dia pernah diragut, maka kita harapkan undang-undang terhadap peragut perlu digubal dengan segera. Peragut perlu dihukum dengan hukuman paling berat. Kalau dia bermasalah dengan bahasa Inggeris, maka kita mengharapkan agar semua sistem di Malaysia perlu ditukar. Bahasa pengantar juga kena tukar. Gunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam semua perkara dan urusan di negara ini. Kalau boleh, baca talkin pun dalam Bahasa Inggeris. Kelak nanti dapat semua orang di Malaysia tidak menghadapi situasi seperti dia. Siswazah yang lain di Malaysia tidak akan ada yang menganggur lagi pada masa hadapan. Kalau boleh, kita juga nak setiap pensyarah di semua universiti di Malaysia ini tidak berikan markah yang rendah kepada mahasiswa kerana CGPA yang rendah membuatkan mereka sukar mendapat pekerjaan. Walau apapun yang berlaku, kita tetap pertahankan dia.

Masih banyak lagi tanda yang memberitahu bahawa kita sebenarnya masih sayangkan si dia. Tak kiralah bagaimana kita berpisah dengannya, secara sukarela atau terpaksa, atau memaksakan diri untuk berpisah. Kiranya kita mempunyai sindrom yang tersenarai seperti di atas, maka, ingatlah, itu tandanya jauh di sudut hati kita, dia masih lagi melekat erat di hati.

Jadinya, usahlah jalinkan hubungan baru jika anda belum bersedia untuk lupakan perkara yang lepas itu. Nanti, orang lain yang tidak ada kena mengena dengan dia akan makan hati. Akan jauh hati. Akan hati-hati.

Bagaimana? Betulkah anda sudah melupakan dia yang sudah tidak bersama dengan anda itu?

Isnin, 8 Jun 2009

Hujung Minggu yang Penat, tapi Hepi

Hujung minggu. Jumaat memang aku tak pergi kerja. Malamnya hantar kakak dan keluarga ke Hentian Kajang untuk balik kampung. Bertolak dari Hentian Kajang jam 8.35 malam dengan bas Mahligai yang nampak macam nazak je. Masa tengok bas tu, aku rasa macam menyesal je tak hasut dia beli tiket bas Mutiara ke, Puteri ke, Transnasional ke masa dia beli tempohari. Manalah nak tahu basnya sebegitu.

Dari Hentian Kajang, langsung aku ke pejabat sekejab. Print beberapa benda sebagai bekal untuk siapkan pada hujung minggu. Jam 9.45 malam, kakak hantar sms, beritahu mereka masih di Hentian Putrajaya tunggu bas. Bas yang mereka naik tadi, bukannya bas sebenar (W16). Jadi mereka terpaksa tunggu di Putrajaya selama 4 jam kerana kononnya berlaku kesesakan akibat kemalangan. Bas berkenaan masih belum sampai di Puduraya. Anggaran sampai pada jam 1 pagi.

Satu pagi? Dengan anak kecil sebegitu mereka perlu tunggu hingga jam 1 pagi? Jam satu lebih, kakak sms mengatakan bas belum muncul jugak. Pihak pengurusan Mahligai tak nampak batang hidung sekeratpun. Mereka yang menunggu tercangak macam tunggu buah kelapa komeng. Tunggu punya tunggu, akhirnya seorang pak cik dari syarikat Mahligai muncul. Katanya kena tunggu lagi dua jam. Fuihhh...kalaulah aku yang tunggu kat situ, rasanya dah tenggelam hentian bas tu aku benam dalam tasik Putrajaya!

Sebelum tidur, niatnya sebelum subuh nak balik kampung. Dah set alarm telefon untuk bangun jam 4.15 pagi. Namun, disebabkan tidur yang lewat (3 pagi), ketika alarm kejutkan aku, entah bila masanya aku tutup. Sedar-sedar dah pagi. Dah terlalu lewat untuk bertolak. Bertolak lewat, maknanya akan lewat sampai. Lewat sampai, maknanya terlebih letih. Kalau dah terlebih letih, apalah gunanya balik lagi kalau sekadar untuk tidur. Hari ahad dah nak balik Bangi semula. Akhirnya, rancangan untuk balik kampung aku batalkan.

Bila sampai hari Sabtu, macam rindulah pulak dengan pejabat. Jadinya, terhegeh-hegehlah aku pergi ke pejabat untuk print satu benda yang kononnya bolehlah aku siapkan pada hujung minggu sebegini. Hampeh, Elektrik tak ada! Kerja-kerja pengubahsuaian pejabat buatkan mereka tutup bekalan elektrik. Dari pejabat, aku pergi ke Cheras. Nak ambil herba yang selalu aku guna. Dah dua minggu habis. Lama tak ambil karang, migrine aku lagi susah nak kawal. Penat je bersesak pergi, tapi tutup. Lagi sekali hampeh. Macam mana aku boleh lupa yang hari Sabtu tu Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong. Bazir masa, bazir petrol je!

Nasib baik malamnya dapat buat kerja dengan baik. Begitu juga pagi Ahad. Niat untuk menung di Taman Tasik Seremban terpaksa ditunda kerana ada SuaRasa di Paroi. Hari minggu sebegini, dengan musim cuti sekolah pula, tentu akan sesak di Seremban bila ada acara sebegitu. Terfikir juga nak pergi mandi sungai kat Hulu Langat. Ada tiga kawasan sungai yang boleh mandi manda kat sana; Sungai Tekala, Sungai Gabai dan Sungai Batangsi. Sungai Batangsi ni paling jauh, berhampiran dengan perkampungan orang asli. Semua tempat ni dekat je dengan Bangi, 15 minit dah sampai. Kemalasan yang menguasai diri buatkan aku berkurung dalam rumah, buat kerja sambil mengadap TV.

Petangnya, aku keluar ambil angin sambil ronda-ronda sekitar Bangi. Tujuan utama sebenarnya, dapatkan beberapa barang yang dah lama nak beli, tapi tak sempat nak belipun. Sambil-sambil tu aku melilau pula ke beberapa nursery, cari pokok-pokok yang boleh ditanam untuk tambah bilangannya di depan rumah. Hasilnya, bertambah 3 pokok bounggavilla. Satunya terus sahaja dipasukan sebaik sampai di rumah. Teruja! Warna purple lembut yang menawan. Satu lagi warna merah terang dengan kuntumnya yang kecil. Terakhir warna putih-pink lembut. Selain itu, aku beli juga dua pasu keladi dan pokok lidah buaya. Yang ni akan kubawa ke pejabat bila dah besar sedikit nanti. Rasa macam nak hijaukan pejabat pulak.

Ingatkan malamnya, dapatlah sambung balik kerja yang kutinggalkan siang tadi. Namun, pendedahan kepada suhu yang berlebihan pada petangnya (walaupun dah taklah panas sangat pada jam 5.00 petang) buatkan kepala ting tong. Telan dua biji ubat migrine pun masih belum surut denyutnya. Jadinya, layan TV pun tak gunakan. Hanya dengar TV je.

Nak kata menyesal keluar rumah petang tadi pun susah juga. Bila terkenangkan tiga jenis bounggavilla yang cantik tu, tak jadi nak menyesal. Aku perlukan 2 pasu untuk tanamnya dengan lebih sempurna. Tiga pasu bounggavilla dalam pasu plastik yang dah pecah sana sini itupun perlu tukar juga. Di Bangi, pasu yang sama saiz dengan pasu aku beli di Nilai 3 dulu, paling murah harganya RM6.50 satu. Kalau di Nilai 3 dulu RM10 untuk 3 pasu. Itu dahulu, sebelum cuti sekolah. Kalau pergi pada musim cuti sekolah ni, entahkan dapat ke tidaknya. Entah bila lagi nak pergi ke Nilai 3 lagi. Nak beli pasu.

Ada sesiapa nak tompangkan bonet kereta untuk aku angkut pasu di Nilai 3?

Jumaat, 5 Jun 2009

Mak Cik Tukang Sihir III

Tunggu aku kat kerusi ni ye...





Aku celik mata hari ni sebab telefon yang telah aku set dengan lagu Sudirman berlagu sedih. Masa tu jam 9.03 pagi (Jangan amalkan bangun lambat, kecuali kepala tengah mereng macam aku!). Mood memang tengah berlagu-lagu dengan sinfoni tak menentu sejak mesyuarat bulanan hari Khamis lepas. Semalampun balik kerja jam dua petang lebih, sesuatu yang jarang aku buat sebenarnya. Jam sebegitu memang panas untuk berkuda balik rumah tetapi hati di dalam yang lebih panas lagi buatkan bahang mentari seakan tiada sengat.

Terkejut juga bila Dr. Jo telefon awal-awal pagi sebegini. Ingatkan ada perkara yang aku tak siapkan atau ada mesyuarat yang aku lupa nak pergi. Hubungan dengan rakan sekerja sekarang ni hanyalah sebab kerja sahaja tak kiralah jantina mereka lelaki atau perempuan. Dah serik nak berhubungan dengan lebih erat lebih daripada rakan sekerja. Bila dah libatkan hal-hal berkaitan emosi dan pribadi, akan ganggu urusan kerja pula. Contoh memang dah ada. Makcik tukang sihir itulah. Dahulu aku agak akrab dengan mereka hingga libatkan hal-hal pribadi. Bila ada kes (bukan berkaitan dengan mereka pun, dia orang la pulak terlebih aksi), sekali dengan semua kerja aku dia orang nak pelingkupkan.


DJ: awak ok ke ni? Awak tak sihat?
DJ ni dah ada anak bujang 3 orang, so sikap dia lebih kepada bapak-bapak sikit. Tambah pula dia memang seorang pakar psikologi. Susah sikit nak sembunyikan apa-apa daripadanya. Apalagi bila dia dengar suara aku yang mamai baru bangun tidur.

 

Aku: Saya ok. Hari ni niat tak mahu pergi pejabat.
DJ: saya pun kat rumah ni. Baru siap goreng spageti.
Aku: Alamak sedapnya. Lapar!
DJ: Jauh bebenor la pulaknya nak jemput datang makan. (DJ tinggal kat Seremban. Setiap hari dia ulang-alik ke Bangi)

 
DJ: saya nak tanya ni...pasal meting semalam. Apa perasaan?

 
Alamak! Kan ke benda tu yang aku cuba lupa ni. Apa hal la pulak orang tua ni telefon pepagi semata-mata nak nyalakan lagi puntung arang yang dah jadi bara ni? Tak tahukah dia yang aku balik awal semalam sebab itu. Aku tak pergi pejabat hari ini pun sebab itu? Manalah dia nak tahu kan, kalau aku tak cakap...alahai!

 

Aku: Saya dah agak akan jadi macam tu. Cuma...memang tak puas hatilah. Yang dulu meting 2-3 orang saja. Teruk kena bambu pun tak ramai nampak. Kali ni semua nampak. Bagus juga begitu.

 
DJ: Saya ada dalam meting petang Rabu tu. Macam-macam idea kami kena cantas. Makcik-makcik sihir tu memang pra-san dia saja dia yang bagus, Tak dapat diselamatkan lagi! Kalau bandingkan yang awak buat dengan Din punya tu...memang jauh beza. Saya rasa makcik tukang sihir ni sengaja bawa isu personal dalam urusan kerja. (Sebenarnya gelaran makcik tukang sihir tu DJ yang gelarkan. Aku hanya copy apa yang dia selalu sebut saja. Sekarang ni ramai orang dah tahu gelaran “makcik tukang sihir” ini ditujukan kepada siapa)

 
Terdiam aku. Memang lah dah jangka semua benda tu, tapi tak sangka la pulak yang DJ boleh hidu perkara tersebut. Ketidakprofesional mereka kali ini memang nampak sangat. Semua orang boleh sedar walaupun aku tak burukkan mereka apa-apa kat belakang. Orang yang nampak. Orang boleh menilai sendiri. Dan dia orang pula, tak sedarpun tentang tu bila terlalu teruja untuk penyekkan aku macam kentang lenyek KFC.

 
DJ: Tapi saya hepi sangat semalam. Awak perasan tak mak cik sihir A tu menangis?
Aku: Hah? Bila? (bulat mata aku terkejut. Bila masanya dia menangis. Tak nampak pun!)
DJ: Kan dia keluar sekejab masa meting tu.

 
Terdiam aku. Kenapalah aku tak sedar. Kalau aku perasan dia pergi bazirkan air matanya semasa mesyuarat itu berlangsung, taklah aku terbakar sangat.

 
DJ: Saya lagi nak melompat hepi masa TP sound makcik sihir B.
Aku: Bila masanya TP sound dia? (lagi lah aku jadi terkejut. Tak kanlah TP panggil makcik tukang sihir B mengadap dia selepas aku balik semalam kot!)
DJ: Dalam meting tu lah. Kan dia kata “be profesional”.
Aku: Oh ye ke...(memang aku tak perasan pun. Aku hidup dalam dunia aku kot pada masa tu. Sebabnya, ada ketika aku curi-curi buat kerja dalam masa meting tu. Selepas meting aku ada appoiment dengan seseorang dan kena bincang pasal beberapa benda, tapi aku belum habis semak lagi.)

 
DJ: Awak ni bendul sangatlah. Tapi...semalam awak memang nampak cool je. Saya suka macam tu. Mak cik tukang sihir tu yang nampak gelabah.

 
Ye ke aku nampak cool? Memang lah boleh berlakon sekejab. Kena bambu dengan makcik-makcik tukang sihir tu bukanlah kali pertama. Kalau aku nak mengamuk kat situpun tak ada faedahnya. Lagi kurang nilai “Ayu” aku di khalayak ramai adalah. Bukan hal besar pun sebenarnya benda tu, tapi libatkan mood juga. Kecewa. Tapi disebabkan memang dah agak benda macam tu akan berlaku, kira bolehlah kontrol ayu. Api yang menyala dalam diri disebabkan benda tu memanglah sesiapa pun akan rasa. Aku rasa nak “meletup” sebab apa yang aku jangka akan berlaku, memang berlaku.

 
Aku dah jangka akan kena sihir dek mak cik tukang sihir tu, tapi berkeras jugak nak lawan. Itulah sebabnya. Apapun, aku memang bersyukur sangat-sangat sebab dalam mesyuarat bulanan semalamlah tembelang makcik-makcik tu terbuka sedikit demi sedikit. Dan dalam mesyuarat ini juga, baru aku sedar ada jugak orang nak pertahankan aku. Barangkali TP sedar makcik tukang sihir ni nak telan aku sejak peristiwa proposal aku dulu tu kena lanyak teruk dek dua orang makcik ni. Kali ni dia bersuara. Masa aku kena penyek dahulu, dia tak ada. Dia sedar semua yang berlaku selepas itu entah dari siapa. Bila proposal aku “diterima tanpa pembaikan”, dia terkasima sekejab. Mungkin juga dia mula sedar ada pakatan sulit di belakangnya.

 
Paling best, bila Pengarah arahkan benda ni perlu dimesyuarat semula dalam mesyuarat jawankuasa sebelum dia pergi ke mesyuarat yang lain. Dalam kes aku ni, 3 orang tertinggi (Pengarah, Timbalan Pengarah 1 dan Timbalan Pengarah 2) berpihak kepada aku. Sebab tu kot makcik tukang sihir tu kena menangis.

 
DJ: Habis tu, sekarang ni dah hepi?
Aku: Taklah sedih sangat pun...tapi memang sedih jugak. Sebab tu berkurung kat rumah je hari ni.
DJ: Tadi kata ok...

 
Alamak! Kan dah pecah tembelang! Dia memang pakar psikologi kan?
DJ: Dah tu...bangun. Hari dah meninggi!

Hu hu hu termalu sendirilah pulak dengan DJ. Sebenarnya, dia memang tahu aku tengah mengurung diri, ataupun dia sebenarnya nak kongsi gembira bila makcik tukang sihir yang turut jadi musuhnya itu kena teruk dalam mesyuarat? Aku tak pasti, namun aku gembira dengan berita yang disampaikannya sebaik sahaja aku celik mata.

 
Aku: Ye lah ...saya bangun dan buat kerja sepanjang hari ni. Terima kasih dengan berita gembira tu... dan sepanjang hari ini aku buat kerja dengan efektif sekali walaupun di depan TV. Santai je buat kerja kat rumah. Mood baik dah datang hu hu hu...apalagi bila beberapa sms teman-teman sekerja masuk. Sms "Senyap je...apa jadi kena sihir?" buatkan aku ketawa besar. Rupanya, diri disayangi juga di sini.

Minggu depan, mungkin dua tiga minggu juga, peristiwa dalam mesyuarat itu akan jadi bualan hingga ia sejuk semula kemudiannya. Namun semua itu hanya berlaku di belakang pintu sahaja (mesyuarat tingkap?). Berita bergerak panas dan cepat, tapi nampak macam tak ada apa-apa pun berlaku. Apa yang pasti, selepas ini, mak cik tukang sihir itu akan tarik muka bila jumpa aku. Macam biasa dilakukannya. Kalau dulu-dulu, aku bisikkan ke hati yang dia berdepan dengan monopoeus sebabkan perangainya drastik berubah (nak ubat hati sendirilah tu...). Namun hakikatnya, aku sendiri tahu dia tak suka aku. Sebab dia tak suka aku pun aku tahu.

Dahulu aku memang kagum dengan dia. Dia macam mak yang sentiasa ambil berat tentang aku. Itu masa dia suka aku. Itu masa dia belum menyihir aku. Bila hidup aku musnah dengan dugaan yang tak mampu pun untuk aku hadapi, dia juga turut berubah termasuk orang-orang lain dikeliling aku. Hanya kerana percayakan semua kata-kata tukang cucuk tu (orang yang sama telah cucuk keluarga aku hingga porak peranda, hingga aku rasa tak ikhlas dengan semua yang pernah aku perjuangkan untuk mereka. Orang itulah juga yang cucuk dia. Bendul betul mak cik tukang sihir ni, kena cucuk sikit pun dah melatah) dia kini jadi musuh aku. Musuh dalam semua aspek. Musuh dalam hubungan sosial, musuh dalam urusan kerja, musuh untuk aku capai kemajuan kerja aku. Jadinya, aku tahu, dia akan sentiasa cantas apa saja yang aku buat.

Pengajaran yang aku dapat memang banyak. Terlalu banyak dan beri ingatan seumur hidup. Tak terbeli dengan wang ringgit. Untuk berdepan dengan makcik tukang sihir juga satu pengalaman yang berbeza. Tak semua orang dapat rasa. Aku akan terus juga kerja dengan bersemangat macam biasa walupun banyak kali terpaksa berdepan dengan mood tak menentu angkara tukang sihir. Namapun tukang sihirkan? bagi aku, bila aku suka dengan apa yang aku buat, biar apapun halangannya, aku tetap akan aku buat. Bukan sebab sesiapa, bukan untuk apa...namun semuanya kerana aku sendiri yang nak buat. Kalau mak cik tukang sihir fikir aku akan stress dan pergi begitu sahaja dari sini hanya sebabkan sihir dia, sebenarnya kesan itu hanya gurisan kecil sahaja. Hanya, respek aku padanya kian hari kian luntur. Orang yang mudah terpengaruh dengan kata-kata orang lain, emosional dan terlalu ikutkan kepala otak sendiri sahaja memang tak layak untuk jadi pemimpin. Jadinya, hari ini aku lebih bersyukur bila dia tidak sempat jadi TP dahulu. Harapnya tak sempat sampai bila-bila pun hingga dia pencen (Aku memang tak patut kata macam tu sebab mulut aku agak masin juga, tapi sebagai manusia biasa aku memang tak dapat elak untuk berperasaan sebegitu. Setan menang lagi kan?).


Namun, akhirnya, dalam sehayat hidup ini, aku nak juga kebenaran munculkan diri. Dah dua tahun aku kena tohmah macam-macam dan aku tak pernah pertahankan diri pun. Biarkan sahaja semua itu jadi "anggapan yang salah" orang lain terhadap aku. Aku tak kesahpun. Tebalkan muka sahaja. Adakala, rasa juga semua tu tak adil untuk diri aku sendiri, namun pada masa yang lain, tak perlu rasanya jadi macam anjing yang menyalak bukit. Bukit tetap tak akan runtuh juga.

 
Hanya aku harap, sesaat dalam hidup makcik sihir itu, dia tahu juga kebenaran (sebagaimana keluarga aku akhirnya tahu angkara si tukang cucuk). Dia tahu apa sebenarnya berlaku. Kalau dia tak menyesal dengan semua sihir yang dikenakan kepada aku, apalagi minta maaf pun tak apa. Hanya tahu. Cukuplah hanya tahu sahaja.


Mak Cik Tukang Sihir II




Kali pertama mak cik tukang sihir buat hal dengan aku dulu, aku memang akui, darah mendidih takat suhu yang tak sampai seratus darjah celcius pun. Taklah marah sangat, hanya geram saja dengan caranya. Saja je nak menyusahkan aku dengan erti kata yang sebenarnya cuba melunturkan semangat aku. Nak buat macam mana, memang sebahagian besar bangsa Melayu memang kaya dengan phD (perasaan hasad dengki), padahal tak ada apapun lebihnya aku berbanding dia. Malah, dia memang lebih baik dalam banyak hal.

Dia ada banglo besar di kawasan perumahan elit yang bumbung sahajapun dah menjangkau satu juta harganya. Aku memang tak akan mampu untuk miliki rumah sebegitu. Dia punya suami yang terkenal dalam bidangnya bergelar profesor. Berjaya. Disegani. Dikagumi. Dia ada 3 orang anak yang semuanya berjaya masuk U. Aku? Laki pun tak ada, apalagi yang bergelaran sebegitu. Kalau lakipun tak ada, tiba-tiba ada anak, peliklah pulak. Gaji dia lebih tinggi dari aku. Pangkat dia pun lebih dia. Aku naik kapcai buruk yang selalu juga mati tengah jalan bila datang masa ragamnya. Terpaksa terkial-kiallah aku tolaknya sendiri ke bengkel. Dia? Dia boleh saja tukar kereta mana yang dia nak guna saban hari. Kalau ada masalah, dia punya anak teruna kacak yang akan tolong. Dia ada laki yang akan sentiasa beri bantuan padanya walaupun hanya sesat nak cari pasar malam. Jadinya, nak buat apalah dia nak boikot aku? Aku ni ikan bilis. Dia tu ikan jerung yang boleh tenggelamkan kapal selam pun (Boleh ke?).

Aku sebenarnya tahu kenapa dia mula menyusahkan aku sejak beberapa tahun ni. Itu biarlah rahsia. Yang pasti, aku tak ada salah apa-apa dengan dia. Kenapa pula dia yang perlu hukum aku? Kalau aku selisih faham dengan orang lain yang menjadi kesayangannya, apa halnya dia pulak nak masuk campur? Rasa macam dah bagus sangat ke?

Semua orang dah jangka aku akan kena lagi. Dulu pun kena teruk, macam aku ni sampah sarap yang tak ada gunanya pun. Tapi, Allah tu maha kaya. Hanya proposal yang aku buat tu saja yang diterima peringkat tertinggi untuk dihantar ke Putrajaya tanpa apa-apa penambahbaikan sedangkan proposal dia sendiri pun kena tambah. Semua orang mengumpat tentang hal itu seketika. Biasalah, namapun kaki bawa mulut. Mana-mana pergipun kerjanya canang itu ini saja. Apa yang dia canangpun agak bagus juga.

Masa mak cik tukang sihir ni kutuk proposal aku tu sampai lumat hinggakan dalam minit mesyuarat menyebut proposal itu perlukan rombakan “keseluruhan”, aku cuba dapatkan masanya seketika untuk tunjukkan aku kat mana “sampahnya” proposal tu. Masa tu, apa yang aku fikirkan adalah “Kalau kau bagus sangat, tunjukkan aku kat mana hampehnya kerja aku”. Namun yang tersebar selepas itu adalah “salah sorang partner aku tak buat kerja hinggakan aku perlu menuntut dari dia”. Tanya dia pun salah (dalam minit mesyuarat tu memang menuntut aku pergi jumpa dia dan tanya kelemahan kerja aku), kalau tak tanya, dah sah-sahlah aku kena bantai balik sebab tak mahu berguru dengan “super maha tahu” tu kan? Namun, bila cuba nak jumpa, macam-macam alasan diberi untuk mengelak. Siapa tak sakit hati?

Namun sakit hati kali ini bertambah berganda. Yang dulu belum hilang sepenuhnya, dia tambah pula lagi sekali. Nasib baik Tuhan tak anugerahkan bakat boleh sumpah orang. Kalau tak, dah jadi sumpah-sumpah dah kena sumpah kat aku kan. Mmmm tak jadilah. Macam comel je kalau aku sumpah dia jadi katak hijau. Ong! Ong! Comel kan?

Masa tulis entri ni, api yang menyala-nyala dalam dada dah makin kurang. Tahu kenapa? Sebab aku dah tidur walaupun hanya sejam. Biasanya, kalau tidur, tak kiralah petang ke bila masanya, paling kurang dua jam. Baru best dan berbaloi. Baru segar semula diri. Namun hari ini hanya sejam sahaja walaupun dalam penghawa dingin. Sebabnya, kepala otakku masih lagi sibuk berkerja walaupun jasad tengah tidur. Jadinya, tidur itu kurang efektif. Kurang mutu. Dan malamnya, aku berjaya sudahkan dua perkara. Itu memang lebih daripada yang aku jangka.

Mesyuarat itu akhirnya memutuskan agar permohonan aku diputuskan semula dalam mesyuarat jawatan kuasa. Aku tahu ramai yang tak puas hati dengan keputusan Pengarah itu, namun pada masa yang sama, aku juga tahu ada orang seronok sangat sebab mak cik tukang sihir tak sempat menyihir hari ini. Makcik tukang sihir yang pra-san bagus itu selalu saja ingat semua orang suka dia, padahal ramai orang yang suka bermuka-muka di depan. Dan setelah mesyuarat yang hangat itu, mak cik tukang sihir menghilangkan diri seketika sebelum mesyuarat yang lain. Maklumlah dia kan orang penting, perlulah mesyuarat sana sini beberapa kali sehari. Sedang aku pula, dek kerana dada yang berapi, telah habiskan dua pinggan nasi lemak yang begitu berperisa tinggi kadar lemaknya itu. Sedap! Pertama memang sebab lapar. Agaknya pinggan kedua itu sebab ikutkan panas hati kot. Akhirnya, lunyai diet aku!

Tak best langsung kan cerita pasal mak cik tukang sihir ni? Setakat hari ini, hanya aku seorang sahaja yang bermulut celupar mempersoalkan kata-kata sihirnya itu. Aku tahu ada masa dia memang rasa nak cekik je leher ni. Tapi aku peduli apa. Dulu memang aku hormat dia. Aku kagum dengan dia. Namun setelah emosinya selalu digunakan dalam setiap pertimbangan, aku dah mula malas nak respek dia lagi. Orang yang mudah kena cucuk macam dia, memang mudah terpengaruh. Selalu ingat dia saja yang betul, dia saja yang baik, dia saja yang bagus. Jadinya, bila dia gagal terpilih untuk jadi TP, mahu disalahkan pada siapa?

Aku tak pernah terlintas pun nak pegang apa-apa jawatan. Aku hanya mahukan suasana kerja yang selesa sahaja. Aku mahu buat kerja aku tanpa diganggu. Dan aku tak pernah pun nak jatuhkan sesiapa. Kalau mana-mana orang rasa nak jadi ketua, pengarah atau apapun, jadilah. Aku tak suka jadi pentadbir. Aku tak suka jadi ketua. Aku tak mahu pun jadi pemimpin. Kalau bagi FREE pun jawatan Perdana Menteri tu kat aku, aku akan pulangkan kembali selepas sehari. Lainlah kalau jawatan bini kepada Perdana Menteri. Yang tu memang aku nak sangat-sangat sebab aku suka nak berjalan merata tempat dan lakukan aktiviti kebajikan. Dengan jawatan sebagai bini PM, aku boleh tingkatkan banyak benda dalam masyarakat. Itu aje pun. Bukannya minat nak bergosip dengan mak datin mak datin yang suka bergosip macam mak cik tukang sihir. Jadi, aku ni sepatutnya tidak menggugat sesiapa!

Kalau dah tak gugat sesiapa, kenapa nak cantas aku pulak?
Tolonglah! Sampai tika dan saat inipun, aku masih lagi tak fahamlah kenapa makcik tukang sihir tu nak sembur api dia kat aku? Seronok sangat ke berbalas FIRE dengan aku? Aku bukannya Atromenlah boleh BERTUKAR! Adoiii la...tak fahamlah!