Memaparkan catatan dengan label bounggavilla. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bounggavilla. Papar semua catatan

Isnin, 8 Jun 2009

Hujung Minggu yang Penat, tapi Hepi

Hujung minggu. Jumaat memang aku tak pergi kerja. Malamnya hantar kakak dan keluarga ke Hentian Kajang untuk balik kampung. Bertolak dari Hentian Kajang jam 8.35 malam dengan bas Mahligai yang nampak macam nazak je. Masa tengok bas tu, aku rasa macam menyesal je tak hasut dia beli tiket bas Mutiara ke, Puteri ke, Transnasional ke masa dia beli tempohari. Manalah nak tahu basnya sebegitu.

Dari Hentian Kajang, langsung aku ke pejabat sekejab. Print beberapa benda sebagai bekal untuk siapkan pada hujung minggu. Jam 9.45 malam, kakak hantar sms, beritahu mereka masih di Hentian Putrajaya tunggu bas. Bas yang mereka naik tadi, bukannya bas sebenar (W16). Jadi mereka terpaksa tunggu di Putrajaya selama 4 jam kerana kononnya berlaku kesesakan akibat kemalangan. Bas berkenaan masih belum sampai di Puduraya. Anggaran sampai pada jam 1 pagi.

Satu pagi? Dengan anak kecil sebegitu mereka perlu tunggu hingga jam 1 pagi? Jam satu lebih, kakak sms mengatakan bas belum muncul jugak. Pihak pengurusan Mahligai tak nampak batang hidung sekeratpun. Mereka yang menunggu tercangak macam tunggu buah kelapa komeng. Tunggu punya tunggu, akhirnya seorang pak cik dari syarikat Mahligai muncul. Katanya kena tunggu lagi dua jam. Fuihhh...kalaulah aku yang tunggu kat situ, rasanya dah tenggelam hentian bas tu aku benam dalam tasik Putrajaya!

Sebelum tidur, niatnya sebelum subuh nak balik kampung. Dah set alarm telefon untuk bangun jam 4.15 pagi. Namun, disebabkan tidur yang lewat (3 pagi), ketika alarm kejutkan aku, entah bila masanya aku tutup. Sedar-sedar dah pagi. Dah terlalu lewat untuk bertolak. Bertolak lewat, maknanya akan lewat sampai. Lewat sampai, maknanya terlebih letih. Kalau dah terlebih letih, apalah gunanya balik lagi kalau sekadar untuk tidur. Hari ahad dah nak balik Bangi semula. Akhirnya, rancangan untuk balik kampung aku batalkan.

Bila sampai hari Sabtu, macam rindulah pulak dengan pejabat. Jadinya, terhegeh-hegehlah aku pergi ke pejabat untuk print satu benda yang kononnya bolehlah aku siapkan pada hujung minggu sebegini. Hampeh, Elektrik tak ada! Kerja-kerja pengubahsuaian pejabat buatkan mereka tutup bekalan elektrik. Dari pejabat, aku pergi ke Cheras. Nak ambil herba yang selalu aku guna. Dah dua minggu habis. Lama tak ambil karang, migrine aku lagi susah nak kawal. Penat je bersesak pergi, tapi tutup. Lagi sekali hampeh. Macam mana aku boleh lupa yang hari Sabtu tu Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong. Bazir masa, bazir petrol je!

Nasib baik malamnya dapat buat kerja dengan baik. Begitu juga pagi Ahad. Niat untuk menung di Taman Tasik Seremban terpaksa ditunda kerana ada SuaRasa di Paroi. Hari minggu sebegini, dengan musim cuti sekolah pula, tentu akan sesak di Seremban bila ada acara sebegitu. Terfikir juga nak pergi mandi sungai kat Hulu Langat. Ada tiga kawasan sungai yang boleh mandi manda kat sana; Sungai Tekala, Sungai Gabai dan Sungai Batangsi. Sungai Batangsi ni paling jauh, berhampiran dengan perkampungan orang asli. Semua tempat ni dekat je dengan Bangi, 15 minit dah sampai. Kemalasan yang menguasai diri buatkan aku berkurung dalam rumah, buat kerja sambil mengadap TV.

Petangnya, aku keluar ambil angin sambil ronda-ronda sekitar Bangi. Tujuan utama sebenarnya, dapatkan beberapa barang yang dah lama nak beli, tapi tak sempat nak belipun. Sambil-sambil tu aku melilau pula ke beberapa nursery, cari pokok-pokok yang boleh ditanam untuk tambah bilangannya di depan rumah. Hasilnya, bertambah 3 pokok bounggavilla. Satunya terus sahaja dipasukan sebaik sampai di rumah. Teruja! Warna purple lembut yang menawan. Satu lagi warna merah terang dengan kuntumnya yang kecil. Terakhir warna putih-pink lembut. Selain itu, aku beli juga dua pasu keladi dan pokok lidah buaya. Yang ni akan kubawa ke pejabat bila dah besar sedikit nanti. Rasa macam nak hijaukan pejabat pulak.

Ingatkan malamnya, dapatlah sambung balik kerja yang kutinggalkan siang tadi. Namun, pendedahan kepada suhu yang berlebihan pada petangnya (walaupun dah taklah panas sangat pada jam 5.00 petang) buatkan kepala ting tong. Telan dua biji ubat migrine pun masih belum surut denyutnya. Jadinya, layan TV pun tak gunakan. Hanya dengar TV je.

Nak kata menyesal keluar rumah petang tadi pun susah juga. Bila terkenangkan tiga jenis bounggavilla yang cantik tu, tak jadi nak menyesal. Aku perlukan 2 pasu untuk tanamnya dengan lebih sempurna. Tiga pasu bounggavilla dalam pasu plastik yang dah pecah sana sini itupun perlu tukar juga. Di Bangi, pasu yang sama saiz dengan pasu aku beli di Nilai 3 dulu, paling murah harganya RM6.50 satu. Kalau di Nilai 3 dulu RM10 untuk 3 pasu. Itu dahulu, sebelum cuti sekolah. Kalau pergi pada musim cuti sekolah ni, entahkan dapat ke tidaknya. Entah bila lagi nak pergi ke Nilai 3 lagi. Nak beli pasu.

Ada sesiapa nak tompangkan bonet kereta untuk aku angkut pasu di Nilai 3?

Khamis, 23 April 2009

Kala Dia Di Sisi



Setiap hari di tempat kerja, bila kembali ke istana impian, hati jadi sejuk saat terpandang tanaman yang kita tanam itu subur. Paling kurang daunnya masih hijau. Atau bunganya memenuh ranting.



Kesempitan waktu adakala menyebabkan “dia” aku abaikan. Dah lama sangat bounggavilla depan rumah tidak mengembangkan kuntum. Tak sempat cabut rumput. Tak sempat letak baja. Ada kalanya hingga tak sempat nak siram pun. Sedar-sedar, seorang bibik menegurku;
Bibik: Lama sih bunga tu ngak kembang...


Aku terkedu seketika. Selama ini bounggavila pelbagai warna itu ada peminat rupanya.
Aku: Ngak sempat...sibuk bangat! (cuba-cuba meniru gaya Indon macam dalam TB tuh hu hu hu)
Bibik: Selalunya penuh bunga, mbak...geramm aku kalau nonton. Tiap kali lintas sini, ngak puas mandang...


Aku tersengih kerang busuk. Tak tahu nak kata apa. Tiba-tiba tersedar yang pergi kerja ku seawal pagi dan pulangnya bila matahari dah hilang. Mmmm sibuk awal tahun!



Sedar juga semuanya terabai. Hanya sempat siram pada malam hari sebelum masuk ke rumah. Orkid yang tergantung itu sudah luruh kembangnya. Tangkai masih juga belum dipotong. Daunnya pula tidaklah segar sangat. Mmmm adakala terlupa untuk renjiskan air. Melor juga dah togel daun-daunya dibaham ulat. Bagaimana mahu kembang putih bunganya? Sepasu mawar yang dihadiahi mak mertua adik pula sudah kerap benar berbunga, namun kembangnya itu kecil sahaja. Bantut. Pasunya yang kecil itu telah membantutkan pertumbuhannya akibat kekurangan nutrien. Tak punya kesempatanpun nak tukar pasu.





Pasu yang diborong semasa ke Nilai 3 bulan lepas, masih lagi setia di halaman. Terbiar. Tanah pun tak ada nak isi. Entah bila gamaknya pokok-pokok yang mati segan hidup dah tak mahu tu akan berganti pasu. Kenalah cari gunting dulu kan. Rantingnya perlu dicantas semasa tukar pasu.



Dan di belakang rumah sana, sudah tinggi pokok semalu dan lalang. Bermaharajalela. Entahkan gajah pun dah terlindung!


Serai...Penting untuk masak tom yam. sekarang ni dah subur balik. Masa snap ni...hampir nak mati.

Sibuk sangatkah aku? Rasanya baru semalam aku berteleku di hadapan TV menonton siaran langsung sambutan tahun baru di Dataran Merdeka. Masa agaknya cepat berlari!
Ampun...gambar bounggavilla tak dapat dimuatnaik!