Memaparkan catatan dengan label profesor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label profesor. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Jun 2009

Mak Cik Tukang Sihir II




Kali pertama mak cik tukang sihir buat hal dengan aku dulu, aku memang akui, darah mendidih takat suhu yang tak sampai seratus darjah celcius pun. Taklah marah sangat, hanya geram saja dengan caranya. Saja je nak menyusahkan aku dengan erti kata yang sebenarnya cuba melunturkan semangat aku. Nak buat macam mana, memang sebahagian besar bangsa Melayu memang kaya dengan phD (perasaan hasad dengki), padahal tak ada apapun lebihnya aku berbanding dia. Malah, dia memang lebih baik dalam banyak hal.

Dia ada banglo besar di kawasan perumahan elit yang bumbung sahajapun dah menjangkau satu juta harganya. Aku memang tak akan mampu untuk miliki rumah sebegitu. Dia punya suami yang terkenal dalam bidangnya bergelar profesor. Berjaya. Disegani. Dikagumi. Dia ada 3 orang anak yang semuanya berjaya masuk U. Aku? Laki pun tak ada, apalagi yang bergelaran sebegitu. Kalau lakipun tak ada, tiba-tiba ada anak, peliklah pulak. Gaji dia lebih tinggi dari aku. Pangkat dia pun lebih dia. Aku naik kapcai buruk yang selalu juga mati tengah jalan bila datang masa ragamnya. Terpaksa terkial-kiallah aku tolaknya sendiri ke bengkel. Dia? Dia boleh saja tukar kereta mana yang dia nak guna saban hari. Kalau ada masalah, dia punya anak teruna kacak yang akan tolong. Dia ada laki yang akan sentiasa beri bantuan padanya walaupun hanya sesat nak cari pasar malam. Jadinya, nak buat apalah dia nak boikot aku? Aku ni ikan bilis. Dia tu ikan jerung yang boleh tenggelamkan kapal selam pun (Boleh ke?).

Aku sebenarnya tahu kenapa dia mula menyusahkan aku sejak beberapa tahun ni. Itu biarlah rahsia. Yang pasti, aku tak ada salah apa-apa dengan dia. Kenapa pula dia yang perlu hukum aku? Kalau aku selisih faham dengan orang lain yang menjadi kesayangannya, apa halnya dia pulak nak masuk campur? Rasa macam dah bagus sangat ke?

Semua orang dah jangka aku akan kena lagi. Dulu pun kena teruk, macam aku ni sampah sarap yang tak ada gunanya pun. Tapi, Allah tu maha kaya. Hanya proposal yang aku buat tu saja yang diterima peringkat tertinggi untuk dihantar ke Putrajaya tanpa apa-apa penambahbaikan sedangkan proposal dia sendiri pun kena tambah. Semua orang mengumpat tentang hal itu seketika. Biasalah, namapun kaki bawa mulut. Mana-mana pergipun kerjanya canang itu ini saja. Apa yang dia canangpun agak bagus juga.

Masa mak cik tukang sihir ni kutuk proposal aku tu sampai lumat hinggakan dalam minit mesyuarat menyebut proposal itu perlukan rombakan “keseluruhan”, aku cuba dapatkan masanya seketika untuk tunjukkan aku kat mana “sampahnya” proposal tu. Masa tu, apa yang aku fikirkan adalah “Kalau kau bagus sangat, tunjukkan aku kat mana hampehnya kerja aku”. Namun yang tersebar selepas itu adalah “salah sorang partner aku tak buat kerja hinggakan aku perlu menuntut dari dia”. Tanya dia pun salah (dalam minit mesyuarat tu memang menuntut aku pergi jumpa dia dan tanya kelemahan kerja aku), kalau tak tanya, dah sah-sahlah aku kena bantai balik sebab tak mahu berguru dengan “super maha tahu” tu kan? Namun, bila cuba nak jumpa, macam-macam alasan diberi untuk mengelak. Siapa tak sakit hati?

Namun sakit hati kali ini bertambah berganda. Yang dulu belum hilang sepenuhnya, dia tambah pula lagi sekali. Nasib baik Tuhan tak anugerahkan bakat boleh sumpah orang. Kalau tak, dah jadi sumpah-sumpah dah kena sumpah kat aku kan. Mmmm tak jadilah. Macam comel je kalau aku sumpah dia jadi katak hijau. Ong! Ong! Comel kan?

Masa tulis entri ni, api yang menyala-nyala dalam dada dah makin kurang. Tahu kenapa? Sebab aku dah tidur walaupun hanya sejam. Biasanya, kalau tidur, tak kiralah petang ke bila masanya, paling kurang dua jam. Baru best dan berbaloi. Baru segar semula diri. Namun hari ini hanya sejam sahaja walaupun dalam penghawa dingin. Sebabnya, kepala otakku masih lagi sibuk berkerja walaupun jasad tengah tidur. Jadinya, tidur itu kurang efektif. Kurang mutu. Dan malamnya, aku berjaya sudahkan dua perkara. Itu memang lebih daripada yang aku jangka.

Mesyuarat itu akhirnya memutuskan agar permohonan aku diputuskan semula dalam mesyuarat jawatan kuasa. Aku tahu ramai yang tak puas hati dengan keputusan Pengarah itu, namun pada masa yang sama, aku juga tahu ada orang seronok sangat sebab mak cik tukang sihir tak sempat menyihir hari ini. Makcik tukang sihir yang pra-san bagus itu selalu saja ingat semua orang suka dia, padahal ramai orang yang suka bermuka-muka di depan. Dan setelah mesyuarat yang hangat itu, mak cik tukang sihir menghilangkan diri seketika sebelum mesyuarat yang lain. Maklumlah dia kan orang penting, perlulah mesyuarat sana sini beberapa kali sehari. Sedang aku pula, dek kerana dada yang berapi, telah habiskan dua pinggan nasi lemak yang begitu berperisa tinggi kadar lemaknya itu. Sedap! Pertama memang sebab lapar. Agaknya pinggan kedua itu sebab ikutkan panas hati kot. Akhirnya, lunyai diet aku!

Tak best langsung kan cerita pasal mak cik tukang sihir ni? Setakat hari ini, hanya aku seorang sahaja yang bermulut celupar mempersoalkan kata-kata sihirnya itu. Aku tahu ada masa dia memang rasa nak cekik je leher ni. Tapi aku peduli apa. Dulu memang aku hormat dia. Aku kagum dengan dia. Namun setelah emosinya selalu digunakan dalam setiap pertimbangan, aku dah mula malas nak respek dia lagi. Orang yang mudah kena cucuk macam dia, memang mudah terpengaruh. Selalu ingat dia saja yang betul, dia saja yang baik, dia saja yang bagus. Jadinya, bila dia gagal terpilih untuk jadi TP, mahu disalahkan pada siapa?

Aku tak pernah terlintas pun nak pegang apa-apa jawatan. Aku hanya mahukan suasana kerja yang selesa sahaja. Aku mahu buat kerja aku tanpa diganggu. Dan aku tak pernah pun nak jatuhkan sesiapa. Kalau mana-mana orang rasa nak jadi ketua, pengarah atau apapun, jadilah. Aku tak suka jadi pentadbir. Aku tak suka jadi ketua. Aku tak mahu pun jadi pemimpin. Kalau bagi FREE pun jawatan Perdana Menteri tu kat aku, aku akan pulangkan kembali selepas sehari. Lainlah kalau jawatan bini kepada Perdana Menteri. Yang tu memang aku nak sangat-sangat sebab aku suka nak berjalan merata tempat dan lakukan aktiviti kebajikan. Dengan jawatan sebagai bini PM, aku boleh tingkatkan banyak benda dalam masyarakat. Itu aje pun. Bukannya minat nak bergosip dengan mak datin mak datin yang suka bergosip macam mak cik tukang sihir. Jadi, aku ni sepatutnya tidak menggugat sesiapa!

Kalau dah tak gugat sesiapa, kenapa nak cantas aku pulak?
Tolonglah! Sampai tika dan saat inipun, aku masih lagi tak fahamlah kenapa makcik tukang sihir tu nak sembur api dia kat aku? Seronok sangat ke berbalas FIRE dengan aku? Aku bukannya Atromenlah boleh BERTUKAR! Adoiii la...tak fahamlah!