Memaparkan catatan dengan label hadiah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hadiah. Papar semua catatan

Selasa, 9 Jun 2009

Tandanya...Dia Masih Kau Sayang



Hari ni nak bercerita tentang perasaan pulak. Nak letak tips untuk dikongsi bersama kepada pencinta-pencinta sama ada yang sedang berbahagia atau sedang sakit dan menderita.

Ada masa, kita terpaksa berpisah dengan orang yang kita sayang dengan pelbagai sebab. Ada waktunya sebab salah kita, ada masa yang lain keadaan memang mendesak. Perpisahan yang berlaku sama ada secara rela atau tidak, tetap meninggalkan kesan dalam diri. Nak tahu apa tandanya kita masih sayangkan orang itu?

1. Sentiasa mengenangnya biar sebesar manapun salahnya kepada kita. Sentiasa ingatkan saat-saat manis bersamanya. Teringat apa kesukaannya. Ingat warna kegemarannya. Ingat tempat yang kita pergi bersamanya. Ingat setiap aktiviti yang kita lakukan bersamanya.

2. Lakukan semula apa yang pernah dibuat bersamanya
Kita akan ulangi semula apa yang pernah kita buat bersamanya. Kalau dia suka baca buku, kita akan pergi semula ke kedai-kedai buku yang kita pernah pergi bersamanya. Kita akan pergi ke panggung wayang yang kita pergi bersamanya dulu walaupun filem yang kita tengok itu tidak menarik langsung. Kita akan ke kedai makan kegemarannya. Apa sahaja yang kita buat bersamanya, tak kiralah yang kita suka buat atau sekadar temankan dia...kita akan ulanginya semula. Kalau dahulu, kita pergi bersama-samanya, namun kini kita pergi berseorangan. Seorang diri. Namun, sebegitu ramai orang yang ada di tempat itu, kita tetap rasa sunyi. Tetap nampak dia dalam diri orang lain. Haru kan?

3. Belek album atau diari lama
Paling-paling tidak pun kita akan belek semula album gambar ataupun diari sepanjang masa kita bersama dengannya. Setiap peristiwa yang kita jalani bersamanya akan diputar semula ke kotak fikiran. Tak kiralah kenangan manis atau kenangan pahit. Jangan ada banjir kilat sudahlah ye!

4. Cari hadiah-hadiah yang pernah dia beri
Apa sahaja hadiah atau pemberian dari dia ada makna yang besar bagi kita biarpun hanya sekuntum bunga rumput yang kecil dan telah kering. Setiap hari kita tatapnya. Hidup tak akan sempurna tanpa menatap bunga rumput yang telah kering itu (contohnya). Hadiah-hadiah itulah yang menjadi sumber inspirasi hidup kita.

5. Buat apa yang dia suka buat
Apa sahaja yang dia suka buat, maka kita akan cuba untuk buatnya kini walaupun benda-benda tu kita tak pernah buat, ataupun tak pernah suka pun untuk buat. Kalau sebelum ini, kita memang tak suka aiskrim, akan pening kepala dan mabuk bila makan aiskrim sampai tahap boleh muntah, namun saat-saat sebegini, tiba-tiba benda yang kita tak suka buat itulah telah kita buat. Kita minum nescafe yang dia memang suka sangat-sangat, walaupun kita sebenarnya alah dengan nescafe. Kita akan main hujan, walaupun kita akan selsema. Semuanya gara-gara sebab dia yang suka.


6. Gambarnya masih lagi kita simpan
Kita masih simpan lagi gambar-gambarnya dalam album atau dalam telefon kita. Smsnya yang panjang lebar penuh ungkapan rindu, sayang, bla bla bla dot com dot mai itu masih lagi kita simpan biar bertahun kita telah putus dengan dia. Dan semua itu akan kita telaah setiap malam sebelum tidur, atau sebaik sahaja terjaga dari tidur setiap hari. Sekali ingat, macam orang angau atau gila talak. Sekalipun mulut kita menyatakan yang kita bencikan dia, namun hati kita masih lagi menarik-narik diri kita untuk lakukan semua itu.

7. Bandingkan orang lain dengan dia
Biarpun kita telah bertemu dengan orang lain, tak kira orang lain yang kita jumpa itu jauh lebih baik atau setara baiknya dengan si dia yang pernah bertakhta di hati kita, kita tetap juga akan membanding-bandingkannya. Lebih teruk lagi, kita selalu bercerita betapa bagusnya si dia idaman kita itu dengan orang yang baru kita cuba jalinkan hubungan. Membandingkan dengan pelbagai perkara. Cara senyum. Cara pakai. Cara makan. Cara berfikir. Cara bertindak. Kegemaran. Semua sekali. Apa saja yang kita buat bersama orang lain, kita akan tetap membandingkannya, tak kira apa sekalipun. Pendek kata, semua yang elok, baik dan bagus itu hanyalah si dia impian itulah. Tak akan ada manusia lain di atas muka bumi ini yang setanding dengan dia. Kalau datang Aiswarya Rai, atau Khirtik Roshan sekalipun, dia juga tetap menawan di mata kita. Adussssssssssss!

8. Sentiasa fikirkan apa yang terbaik untuk dia
Biar dunia dan bumi ini berputar selaju manapun di atas paksinya, kita tetap juga mengharapkan apa yang berlaku atas muka bumi ini perlu berlaku seiring dengan keperluan dia. Kalau sekarang ni zaman meleset, ramai siswazah menganggur, maka kita mengharapkan ekomoni cepat pulih. Pengangguran tak lagi ada. Sebabnya, salah seorang penganggur itu adalah si dia yang masih bertakhta di hati kita.

Kalau dia pernah diragut, maka kita harapkan undang-undang terhadap peragut perlu digubal dengan segera. Peragut perlu dihukum dengan hukuman paling berat. Kalau dia bermasalah dengan bahasa Inggeris, maka kita mengharapkan agar semua sistem di Malaysia perlu ditukar. Bahasa pengantar juga kena tukar. Gunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam semua perkara dan urusan di negara ini. Kalau boleh, baca talkin pun dalam Bahasa Inggeris. Kelak nanti dapat semua orang di Malaysia tidak menghadapi situasi seperti dia. Siswazah yang lain di Malaysia tidak akan ada yang menganggur lagi pada masa hadapan. Kalau boleh, kita juga nak setiap pensyarah di semua universiti di Malaysia ini tidak berikan markah yang rendah kepada mahasiswa kerana CGPA yang rendah membuatkan mereka sukar mendapat pekerjaan. Walau apapun yang berlaku, kita tetap pertahankan dia.

Masih banyak lagi tanda yang memberitahu bahawa kita sebenarnya masih sayangkan si dia. Tak kiralah bagaimana kita berpisah dengannya, secara sukarela atau terpaksa, atau memaksakan diri untuk berpisah. Kiranya kita mempunyai sindrom yang tersenarai seperti di atas, maka, ingatlah, itu tandanya jauh di sudut hati kita, dia masih lagi melekat erat di hati.

Jadinya, usahlah jalinkan hubungan baru jika anda belum bersedia untuk lupakan perkara yang lepas itu. Nanti, orang lain yang tidak ada kena mengena dengan dia akan makan hati. Akan jauh hati. Akan hati-hati.

Bagaimana? Betulkah anda sudah melupakan dia yang sudah tidak bersama dengan anda itu?

Jumaat, 19 Disember 2008

Peraduan Mengira Pisang

Hari ni aku ada bengkel di PICC Putrajaya. Dah beberapa entri aku tulis panjang-panjang, so hari ni aku nak tampal gambar ni je. Bagi peluang mata kalian merehatkan diri...hu hu hu
Aku ingat nak buat peraduan meneka berapa banyak pisang yang ada dalam tandan ni. Ada sesapa nak taja hadiah tak? Melancong ke Iraq ke, tanam tembikai di Sudan ke...nanti bolehlah hubungi aku ye hu hu hu
selamat mengira!