Memaparkan catatan dengan label tukang sihir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tukang sihir. Papar semua catatan

Rabu, 17 Februari 2010

Entri Merapu Kepada Boss Ensem

Ini adalah entri rindu alias merapu yang pertama kalinya aku tulis. Khusus untuk boss aku yang sangat-sangat ensem itu. Aku tahu boss aku tak akan baca. Dia tahu aku ada blog sebab beberapa rakan sering menyebutnya semasa mesyuarat bulanan. Kononnya penggunaan blog ni macam terkini, tapi...dia tidak pernah tahu tentang blog ini. Jadinya, kemungkinan untuk dia baca sangat rendah.

Aku sebenarnya sangat kagum dengana baru kami itu. Bila tersebar ura-ura bos lama akan pindah ke tempat lain sebagai bos juga, petanda dia akan dilantik sebagai bos memang kami dah nampak. Ramai yang bersyuklur. Konon-kononnya dia lebih “memahami” impian kami semua, dia lebih adil dan baik kerana sifat waraknya, dah tentu corak pemerintahannya akan sama seperti wazir agung dunia lampau yang kita temu dalam kitab tua. Itulah harapan kami. Dan harap itu lebih berbunga-bunga bila musim haji yang lepas, (kata ayah, haji besar), Pak Lah yang kita sayangi itu juga ke sana menjadi tetamu, bos baru aku yang ensem itu juga mengunjunginya.

Kami ramai-ramai doakan agar dia mendapat haji yang mabrur. Haji yang diterima. Dan kembalinya dia semula menjalani musim pemerintahan, dia menjadi lebih baik. Lebih alim. Lebih warak. Cakapnya pun semakin kurang. Jalannya makin tunduk. Dan semua orang lebih kagumi dia. Aku juga. Aku harapkan dia benar-benar menjadi ketua yang akan buat keputusan, memimpin dan bertindak berlandaskan nilai Islam yang dipegang. Kononnya zaman kegemilangan pemimpin-pemimpin yang berpaksikan ketamudan Islam telah muncul setelah berlalunya era ala-ala yang sukar untuk dilabelkan sebagai apa. Nak kata sosialis, macam musim pemerintahan Malik al Walid, nak kata komunis, ada jugak nilai murni nak majukan ummah. Mahu dinilai sebagai tamadun muawiyyah, macam pula bintang tiga. Macam zaman Jepun pun ada. Pendek kata, terjajah dalam senyuman. Apa-apapun musim dah berlalu. Dia sedang meluaskan tanah jajahannya di tempat baru. Bila berada di tempat baru, aku sangat berharap agar dia sedar betapa berbahagianya dia ketika bersama-sama kami dahulu berbanding rakyat lain di tanah jajahan barunya.

Kata orang puteh “jangan nilai buku berdasarkan kulit”, begitu juga dengan setiap manusia. Ada masa, kulitnya memang cantik, comel dan menawan sekali. Siap dengan warna lembut dan indah. Ada lukisan bunga rumput yang comel bagai. Ataupun, ada juga rama-rama cantik yang berterbangan di kudup bunga kecil itu. Di alam nyata, indah masihkah sebegitu?

Kepada Bosku yang Ensem, Harapan kami memang menggunung untuk berada di bawah pimpinan yang betul. Kami mengharapkan limpahan kurnia bila berpayung di bawah pimpinan yang adil. Kami harapkan bos yang ensem ini lebih memahami keperluan setiap orang yang berada di bawah pimpinannya.

Memberi peluang secara sama rata, bukannya kepada orang-orang tertentu yang disukai, dan, mengabaikan orang lain yang tidak disukai. Mendengar secara lebih “terbuka” dari semua pihak, bukan hanya kepada mana-mana orang yang pandai manipulasi kata-kata semata. Bukan sekadar mendengar pujian yang menggunung tinggi, namun pada masa yang sama terisi racun yang menular sisa. Kami harapkan bos yang ensem itu sudi juga mendengar kata-kata terkandung duri yang merobek-robek tangkai hati, namun duri itulah yang perlu kita cabut sama-sama. Agar nanti terhindar nanah. Agar juga dapat disapu darah dari lelehnya tujukan. Kemudiannya, sama-sama kita sapu minyak gamat. Kalaupun parutnya akan sentiasa ada dan sukar untuk kita hilangkan, paling kurang nyilu dan bisa dari luka itu dapat kita sembuhkan.

Bukan mudah untuk jadi bos. Buat masa ni aku memang belum layak untuk jadi bos, namun peluang tetap ada. Sayangnya, itu bukan cita-cita utama. Banyak sebabnya. Besar tanggungjawabnya dengan Allah, dengan diri, dengan orang lain. Menjadi bos perlu dengar dari setiap orang yang terlibat. Perlu juga selidik betul benar tiap perkara yang ditohmah agar nanti tidak berlaku bias. Tidak menyalahkan orang yang tidak bersalah. Tidak menghukum secara tergesa sebelum selidik. Tidak juga menyekat peluang kepada orang-orang tertentu walaupun orang itu kita tak suka. Kalau memang orang itu layak untuk lakukan jaringan dengan dunia luar, perlukah kita tahan? Wajarkah kita sekat? Hanya kerana kita jadi bos yang ensem tetapi tidak dijemput, wajarkah peluang orang lain kita sekat dengan kuasa kebal kita sebagai bos?

Kalau kita jadi bos, memanglah rasa macam tercabar kalau anak buah kita yang “entah apa-apalah sangat” pencapaian atau prestasi tahunannya itu, tiba-tiba mendapat undangan dari luar sebagai tetamu di tempat mereka. Apalah istimewanya staf kita yang entah apa-apa pencapaiannya itu hingga diundang sebegitu rupa. Bukankah kita yang dah bergelar profesor ini lebih layak. Maklumlah kita ni kan profesor. Kita ni kan ketua. Kita ni kan bos. Lagi tak masuk akal bila undangan itu datangnya dari luar negara. Luar negaralah katakan. Mana mungkin staf kita yang entah apa-apa itu boleh terkenal hingga ke seberang kan? Memang tak masuk akal.

Kalau kita jadi bos, mampukah kita untuk tidak mencantas anak buah daripada naik ke atas dan terima apa yang patut dia terima, walaupun, kita rasa kita yang lebih layak. Tahan hatikah kita melihat sahaja anak buah menderu-deru, berbondong-bondong mencipta kejayaan, apalagi berpeluang pulak cipta nama ke tanah seberang? Besar jugak cabaran perasaan ya, bila kita jadi bos ni.

Menjadi bos memang bukannya mudah kan? Kalau ada seorang staf di bawah pengawasan kita telah menyihir staf yang lain, bagaimana kita harus bertindak? Macam mana kita perlu bereaksi? Ambil peduli atau biarkan? Atau hanya mendengar sepenuhnya kata-kata sang penyihir? Kemudiannya, perlahan-lahan pula kita pun berada di bawah kekuasaan si tukang sihir. Sebenarnya, siapa bos? Kita ke atau si tukang sihir? Yakinkah kita untuk sentiasa berfikiran “waras” bila semua perkara akan berlaku atau tidak akan berlaku hanya setelah kita kata “ya” atau “tidak”.

Ngantuklah...angin bercuti sempena Tahun Baru Cina (dengan ngauman Rimau) masih tebal. Malaslah pulak nak mengomel pasal bos aku yang taklah berapa ensemnya pun. Saje je aku cakap ensem tu untuk bodek dia. Sekarang ni, bila dah rasa mengantuk macam ni, aku tetiba je rasa bosan untuk bodek ayat-ayat penuh gula (Gula dah naik! kurangkan penggunaan gula, elakkan diabetis...iklan jab!). Tak de maknanya!

Jadi kawan-kawan, izinkanlah aku hentikan aje rapu tak bawa faedah ni di sini. Neskafe panas pun dah siap bancuh...nak menghayati kenikmati kafein tiap kali alirnya laju menerpa kerongkong. Nak rasai kenikmatan bila tiap titik darah mendapat aura...layan je lah neskafe kaw kaw ni (30 minit selepas tu aku memang sangat yakin, mata ini akan tertutup sepenuhnya dan melayar bahtera ke alam mimpi syahdu). Orang masih bercuti...semangat nak kerja untuk hari ni memang tak ada langsung (Itulah antara ciri orang yang tak wajar jadi bos)

Rabu, 16 Disember 2009

Gambar dengan pelbagai cerita

Aku memang suka ambil gambar. Aku juga suka tengok dan simpan gambar-gambar yang cantik. Gambar-gambar yang pelik. Gambar-gambar yang unik. Gambar-gambar yang ada nilai seninya. Gambar-gambar yang tersendiri juga. gambar yang ada ceritanya yang tersendiri. Masalahnya, aku belum ada kamera. Kamera yang selalu aku pinjam dengan adik dulu tu dah rosak. Nasib baik laki dia yang rosakkan, kalau tak...penuh anak telinga aku kena leter.

Ada masa aku nak hasilkan gambar-gambar yang cantik dan penuh dengan nilai seni, tapi kamera digital yang tidak boleh nak zoom pun itu agak membataskan kebolehannya. Apa lagi bila guna telefon sahaja. Lagilah terbatas.

Pernah terfikir tak yang ada masanya gambar-gambar yang pernah kita ambil entah bila masanya tu sebenarnya menarik untuk disimpan dan ditengok semula pada waktu yang lain?

Layan je lah sebahagian daripadanya...

1. Burung pun nak makan dalam pinggan



2. Gaya seorang Tukang Sihir yang berjaya...mewariskan ilmu kepada anak-anaknya




3. Di kaki limapun jual ilmu








4. Topi keledar yang hebat









5. Nasihat yang sangat baik





6. Bukan selalu jadi sang pemula

7. Pertama kali belajar suap makanan sendiri

Selasa, 27 Oktober 2009

Hatiku Terkedu Memandang Warna Senja


Jumaat petang 16 October 2009: satu surat buatkan semua keghairahan hidupku sepanjang hari lebur. Nasib baik surat tu aku terima dah petang, dah nak habis waktu kerja (Malam sebenarnya...waktu kerja aku kan habis bila matahari dah lena di peraduan malam).

Ada apa dengan surat itu? Bagi orang lain mungkin tidak besar maknanya, tapi bagi aku...surat itu buatkan semangat merudum seketika. Surat itu berupa pekeliling tentang syarat baru untuk kenaikan pangkat. Bila pekeliling itu dikuatkuasakan, maka...impian untuk mohon kenaikan pangkat hujung tahun nanti lebur secara perlahan-lahan.

Saat itulah, tiba-tiba aku rasa menyesal tak isi borang kenaikan pangkat itu awal tahun dahulu, sedangkan syaratnya memang dah cukup. Apa nak buat, dahulu rasa malas nak pikir sangat hal-hal sebegitu. Bila mak cik tukang sihir tu buat hal berderet-deret (saja cari pasal sebenarnya. Aku pun tak faham kenapa dengan semua orang dia nak cari pasal. Hanya...dalam ramai-ramai orang itu, aku sorang aje kot yang melawan dengan cara paling ayu hu hu hu, tapi sebenarnya sempat juga menyebabkan mak cik-mak cik tu tertinggilah pulak tekanan darahnya. Yang lain reti kutuk belakang, sedangkan kat depan diam menikus. Jadinya, kira aku ni cabaran terbaik untuk depa dua ekoq lah ye hu hu hu), barulah aku gatal nak isi borang. Dan kini, makin gatallah tangan aku sebab kempunan nak isi borang itu.

Bermakna, paling awalpun aku boleh isi semula borang tu pada tahun 2012. Lambatnya! Terlalu lama tu! Aku risau mak cik-mak cik tu dah pencen. Karang tak dapatlah nak berpencak silat lagi. Walaupun sekarang ni dah ada “anak tukang sihir”, tapi yang tu aku tak berapa nak heran sangat sebabnya, maklumlah...baru aje berstatus anak kan. Jadi, senang sangatlah untuk aku goncang dia punya kuasa sihir tu. Sekali libas saja dia dah tercangak-cangak cari jalan nak sembunyi. Orang kata cabaran tak hebat sangat.

Maka sesungguhnya, aku memang agak terkilan sekali dengan pindaan syarat untuk kenaikan pangkat itu. Kalaulah aku tahu akan berubah begini, dah tentu aku akan mintak awal-awal lagi. Kalau takat perlu ambil PTK 5 je, tak jadi masalah sangat. Kedua-duanya aku boleh selesaikan pada tahun hadapan, namun ada syarat lain yang perlu aku penuhi. Padahal syarat itu tak pernah ditimbulkan sebelum ini.

Apa yang aku kecewakan itu hanyalah...aku perlu tunggu sekurang-kurangnya hingga 2 tahun lagi untuk penuhi semua syarat itu. Dua tahun itu terlalu lama untuk aku tunggu. Sebabnya, aku dah rancang untuk dapatkannya paling lewat pertengahan tahun hadapan. Dan semua perancangan itu perlu diubah gara-gara pekeliling tersebut.

Apa yang aku belajar dari semua ini adalah: Cepat dan jangan tangguh. Kalau dah layak, isi sahaja borang dan mohon. Kalau tunggu lama-lama lagi, orang yang jadi “pengubah dasar” akan tambah macam-macam lagi syarat agat tidak ramai yang mampu naik ke atas. Caranya itu semacam: tak mahu turun ke bumi dan tak mahu orang lain naik ke langit. Aneh betul!

Sekalipun semangat pernah merudum, namun aku tahu, dalam masa dua tahun ini, aku akan pastikan aku layak untuk isi borang tersebut. Dua tahun memanglah lama, namun tidaklah selama lima tahun atau sepuluh tahun. Aku tak bercita-cita nak jadi bos pun, namun ada dua benda aku akan dapatkan sebelum pencen. Tempoh untuk jejak pencen itu masih lama, aku memang pasti lebih dari dua benda itupun aku mampu dapat walaupun di sini terlalu ramai tukang sihir menggunakan penyapu untuk terbang. Kalau hidup aku panjang hingga sempat pencen, aku berdoa agar ketika itu aku tidak akan menjadi “anak tukang sihir” mahupun “tukang sihir” ataupun “nenek sihir”. Aku hanya nak jadi diri aku sahaja. Dalam hidup ni pun, tak banyak benda yang aku nak sangat. Nama, pangkat, glamer, kuasa atau terlebih kaya dari orang lain pun aku tak heran sangat, entah kenapa Allah takdirkan aku tak punya rasa iri untuk penuhi semua itu. Aku hanya nak “selesa dan bahagia” dengan kerja aku sekarang dan hidup aman damai sesedap rasa aku.

Aku tahu, aku bukanlah manusia yang bercita-cita tinggi melangit, aku hanya nak jadi diri sendiri yang punya beberapa “benda” dalam dunia terpenuh keinginan duniawi ini. Benda yang aku kejar itu sebenarnya hanyalah kehendak dunia semata-mata kerana walaupun aku niatkan “kerana Allah”, di sisi Allah tak sebesar mana maknanya. Hanya manusia yang agungkannya. Hanya keinginan dan nafsu manusia yang dambakannya. Dan aku sebenarnya terlalu takut untuk miliki semua itu kerana risau kalau-kalau nanti akan menyebabkan aku pula menjadi tukang sihir. Kalaupun kerisauan itu tetap ada, aku tetap juga mengangankannya. Pertama, kerana itu yang aku ingini sejak sekolah. Kedua, buktikan aku juga mampu capai apa yang mereka kejar, lebih daripada apa yang mereka dapat dan jangkakan. Ketiga, aku nak buktikan yang “benda itu” bukanlah faktor utama menyebabkan manusia BERTUKAR jadi tukang sihir. “Benda itu” hanyalah benda, diri sendiri yang tentukan sama ada nak jadi pari-pari atau tukang sihir.

Semasa di Bukit Jugra, aku bertekad untuk naik pangkat pertengahan tahun depan, namun kini list tersebut perlu aku buang dari entri mindaku. Pindahkan ke jangka masa dua tahun. Dengan itu juga, aku perlu ubah beberapa perkara lain dalam hidup ini untuk disesuaikan dengan semua keperluan tersebut. Perubahan drastik yang perlu aku buat adalah: siapkan belajar secepat mungkin. Aduhhhh minggu depan nak kena beritahu R.A aku supaya kerja lebih laju lagi. Mesti dia stress gila kerja dengan aku kan hu hu hu.

Sebut pasal R.A ni, dah nampak beberapa reaksi tak senang daripada beberapa individu bila aku gajikan R.A. tahu kenapa? Cabaran yang aku beri dah pastilah kian sengit! Sebelum ada R.A pun aku mampu buatkan beberapa bontot panas nak duduk, apalagi kalau dah ada R.A Hu hu hu...aku akan sentiasa mencabar sesiapa sahaja yang sanggup bersaing secara sihat. Andai ada antara mereka bersaing dengan cara tak sihat pun, jangan risau...aku tetap tak akan “kadah keting” sesiapa. Kalaupun mereka menang pertarungan di dunia fana ini, aku tidak pernah akan musnahkannya kecuali takdir Allah jua yang akan merentapnya dari mereka. Boleh gitu?

Boleh tak boleh pun kira boleh ajelah. Aku nak hidup dengan tenang di dunia terbentang luas ini, dan berbahagia bila berada di sana. Ada sesiapa nak ikut perjuangan tanpa “kadah keting” ini? Jom...majulah diri kita untuk kehidupan sejagat, majulah kita untuk kehidupan selamanya.

Ada kaitan tak tajuk nan dramatis tu dengan cerita yang dramatis juga ini? Mmmmm kira halallah ya hu hu hu...

p/s: “Kadah keting” merupakan dialek kelantan yang bermaksud menghalang orang lain ke hadapan (maju) dengan cara menyilang kaki di hadapan lawan secara tiba-tiba. Lawan yang tersandung kaki itu akan jatuh gedebuk macam nangka busuk. Ada masanya kita sempat lihat musuh menghalang kita sebegitu, tetapi disebabkan sifatnya yang berlaku secara tiba-tiba itu, kita tidak sempat untuk mengelak atau melawan. Jadinya, berhati-hatilah ketika melangkah, mana tahu ada orang silangkan kaki di hadapan kita supaya kita jatuh.

Rabu, 14 Oktober 2009

Sedang Memecut dengan Gear 5 Turbo Automatik

Dah dua minggu aku tanamkan azam berkerja dengan gear 5. Pecutan!


Gear lima itu memohon aku kurangkan masa tidur hinggalah aku peruntukkan hanya 2 jam sahaja. 22 jam lagi itu masa untuk kerja. Targetnya, dalam masa 3 bulan (hingga tahun baru) aku sempat kejar apa yang telah dirancangkan sejak awal tahun. Mudah-mudahan. Masih punya waktu lagi!

Rasa macam gila tak? Macam sedang bunuh diri? Lebih kuranglah tu.

Tak kesahlah apapun panggilannya, aku memang dah ditakdirkan hidup dengan cara gila itu sejak dahulu. Cumanya, kebelakangan ini sewel itu sedikit meningkat. Harapnya tak tersasar ke Tanjung Rambutan sudahlah. Kalau musim buah-buahan, ok aje kot!

Sepanjang minggu lepas, aku siapkan apa yang ditargetkan. Dah siap, dah hantarpun. Dan, dah qada tidur untuk 2 malam (maknanya tidur selama 6 jam untuk kedua-dua malam berkenaan. Kira macam orang lainlah kan...ke ada yang jadi beruang kutub, jaga hanya selama 6 jam sahaja!).

Mula sahaja minggu ini, bermula semula catuan tidur selama 2 jam itu. Ada tarikh matang baru yang perlu kukejar dan tarikh itu adalah hari ini. Namun, dukacita dimaklumkan yang report tu belum siappun. Baru 50 peratus. Macam mana tu? Langgar tarikh akhir lagi! Entahlah labu!

Semalam, aku tak buat apa-apa di pejabat. Selepas meting, kepala rasa hanyut sikit. Tekak rasa nak minum nescafe panas, namun apa daya tengah puasa. Nak kejar Syawal yang dah nak labuhkan tirainya itu. Akhirnya, aku golekkan diri di bawah meja dan tarik bantal serta totto. Best je lelapkan mata dalam dingin econ, dalam hangat totto. Nasib baik tak mimpi.

Bila bangun dikejutkan alarm tepon, mood kerja memang lari entah ke mana. Dah cuci muka, gosok gigi, siap wuduk pun...hati masih teringin nak tarik bantal semula. Alihkan perhatian otak kat bantal, aku gunakan tenaga pergi sana sini, naik tangga turun tangga dan macam-macam lagi. Akhirnya...tetap juga mengantuk. Meleleh-leleh air mata tak dapat nak tahan. P.A aku tu siap suruh tarik bantal semula (mana nak cari PA yang sporting gila macam tu hu hu hu). Namun akhirnya aku putuskan balik rumah lebih awal dari biasa. Kalau sambung tidur kat pejabat, risau jugak aku terbangun keesokan harinya. Heboh nanti!

Jam lima aku dah rempit balik rumah. Ramai yang terkejut dan sindir-sindir. Bukannya ada laki kat rumah untuk dilayan (Ingat laki je ke kena layan? Diri sendiri lagi perlu layanlah!). Singgah tepi longkang dan beli nasi kerabu dengan adik-adik di tempat yang selalu saja aku beli. Sampai rumah, tutup langsir...buka econ, tarik selimut dan tutup mata rapat-rapat. Namun...payahlah pulak nak tidur. Tadi bukan main lagi...masa bercakap pun rasa macam dah terpejam. Dah letak kat bantal paling lembut ni pun masih tak boleh tidur ke?

Entah bila tertidur. Bila tersedar dah jam 7.15. Dah terlepas waktu berbuka puasa. Sekarang ni azan maghrib jam 7.03 minit. Sekelip mata sahaja lenyap sebungkus nasi kerabu, semug nescafe panas. Ohhh bahagianya! Jam 10 baru mandi bila rasa melekit dan mata mahu tutup kembali.

Dah rasa selesa, terus buka kerja depan tv sambil menikmati drama bersiri mandarin kat tv7 hingga jam 12. Namun, jam 11.30 malam, perut tetiba keroncong balik. Hilang akal apa! Biasanya, kalau dah jam 9.30 malam tu, aku memang dah tak mengunyah lagi. Elakkan pengumpulan lemak berlebihan sebelum tidur.

Biasanya payah nak lapar dalam waktu sesingkat itu. Masa jamuan hari raya di UKM, aku sebat 3 keping lemang dan 2 keping roti jala sahaja tetapi kenyangnya hingga malam. Kan dah berbuka puasa jab tadi...sape yang makan agaknya?

Nak tak nak, selongkar juga peti ais, panaskan mehun sup lebihan kiriman kakak masa rumah terbuka dia tempoh hari dan sebat satu mangkuk. Urrrpppppp sendawa. Baru saja nak mula sambung kerja semula...mata semakin berat. Waduhhhhhhhhh apa dah jadi ni?

Hati memujuk-mujuk diri agar tidur. Sekejab sahaja. Apa salahnya kalau sekejab kan, memang pun dah kena tidur. Namun, bila bangun...di luar jendela hujan tengah melebat. Sejuknya! Dinginnya! Indahnya kalau dapat bergumpal dalam selimut. Aduhhhhhhh ya ampun! Kenapalah besar sangat dugaan kali ini? Luar biasa benar. Inikah tandanya aku akan dicincang lumat lagi?. Siapa lagi kalau bukan mak cik mak cik tukang sihir. Itukan memang dah kerja depa!

Dah penatlah nak set dalam kepala yang minggu ni masih perlu tidur 2 jam sahaja sehari. Minggu depan bolehlah nak tidur 12 jam sehari pun. Kenapalah susah sangat nak disiplinkan diri ni? Bukannya lama pun lagi...2-3 hari je lah!

Rasa-rasanya, aku tengah sewel ke apa?
Bukankah sekarang sedang tekan gear 5 turbo. Automatik lagi. Kalau macam ni...dah jadi gear 1 ni wehhhhhh!


Tolong! Tolong! Tolong! Aku rasa...aku sedang menapak ke dalam dunia penuh kegilaan. Selamatkan akuuuuu!!!

Jumaat, 5 Jun 2009

Mak Cik Tukang Sihir III

Tunggu aku kat kerusi ni ye...





Aku celik mata hari ni sebab telefon yang telah aku set dengan lagu Sudirman berlagu sedih. Masa tu jam 9.03 pagi (Jangan amalkan bangun lambat, kecuali kepala tengah mereng macam aku!). Mood memang tengah berlagu-lagu dengan sinfoni tak menentu sejak mesyuarat bulanan hari Khamis lepas. Semalampun balik kerja jam dua petang lebih, sesuatu yang jarang aku buat sebenarnya. Jam sebegitu memang panas untuk berkuda balik rumah tetapi hati di dalam yang lebih panas lagi buatkan bahang mentari seakan tiada sengat.

Terkejut juga bila Dr. Jo telefon awal-awal pagi sebegini. Ingatkan ada perkara yang aku tak siapkan atau ada mesyuarat yang aku lupa nak pergi. Hubungan dengan rakan sekerja sekarang ni hanyalah sebab kerja sahaja tak kiralah jantina mereka lelaki atau perempuan. Dah serik nak berhubungan dengan lebih erat lebih daripada rakan sekerja. Bila dah libatkan hal-hal berkaitan emosi dan pribadi, akan ganggu urusan kerja pula. Contoh memang dah ada. Makcik tukang sihir itulah. Dahulu aku agak akrab dengan mereka hingga libatkan hal-hal pribadi. Bila ada kes (bukan berkaitan dengan mereka pun, dia orang la pulak terlebih aksi), sekali dengan semua kerja aku dia orang nak pelingkupkan.


DJ: awak ok ke ni? Awak tak sihat?
DJ ni dah ada anak bujang 3 orang, so sikap dia lebih kepada bapak-bapak sikit. Tambah pula dia memang seorang pakar psikologi. Susah sikit nak sembunyikan apa-apa daripadanya. Apalagi bila dia dengar suara aku yang mamai baru bangun tidur.

 

Aku: Saya ok. Hari ni niat tak mahu pergi pejabat.
DJ: saya pun kat rumah ni. Baru siap goreng spageti.
Aku: Alamak sedapnya. Lapar!
DJ: Jauh bebenor la pulaknya nak jemput datang makan. (DJ tinggal kat Seremban. Setiap hari dia ulang-alik ke Bangi)

 
DJ: saya nak tanya ni...pasal meting semalam. Apa perasaan?

 
Alamak! Kan ke benda tu yang aku cuba lupa ni. Apa hal la pulak orang tua ni telefon pepagi semata-mata nak nyalakan lagi puntung arang yang dah jadi bara ni? Tak tahukah dia yang aku balik awal semalam sebab itu. Aku tak pergi pejabat hari ini pun sebab itu? Manalah dia nak tahu kan, kalau aku tak cakap...alahai!

 

Aku: Saya dah agak akan jadi macam tu. Cuma...memang tak puas hatilah. Yang dulu meting 2-3 orang saja. Teruk kena bambu pun tak ramai nampak. Kali ni semua nampak. Bagus juga begitu.

 
DJ: Saya ada dalam meting petang Rabu tu. Macam-macam idea kami kena cantas. Makcik-makcik sihir tu memang pra-san dia saja dia yang bagus, Tak dapat diselamatkan lagi! Kalau bandingkan yang awak buat dengan Din punya tu...memang jauh beza. Saya rasa makcik tukang sihir ni sengaja bawa isu personal dalam urusan kerja. (Sebenarnya gelaran makcik tukang sihir tu DJ yang gelarkan. Aku hanya copy apa yang dia selalu sebut saja. Sekarang ni ramai orang dah tahu gelaran “makcik tukang sihir” ini ditujukan kepada siapa)

 
Terdiam aku. Memang lah dah jangka semua benda tu, tapi tak sangka la pulak yang DJ boleh hidu perkara tersebut. Ketidakprofesional mereka kali ini memang nampak sangat. Semua orang boleh sedar walaupun aku tak burukkan mereka apa-apa kat belakang. Orang yang nampak. Orang boleh menilai sendiri. Dan dia orang pula, tak sedarpun tentang tu bila terlalu teruja untuk penyekkan aku macam kentang lenyek KFC.

 
DJ: Tapi saya hepi sangat semalam. Awak perasan tak mak cik sihir A tu menangis?
Aku: Hah? Bila? (bulat mata aku terkejut. Bila masanya dia menangis. Tak nampak pun!)
DJ: Kan dia keluar sekejab masa meting tu.

 
Terdiam aku. Kenapalah aku tak sedar. Kalau aku perasan dia pergi bazirkan air matanya semasa mesyuarat itu berlangsung, taklah aku terbakar sangat.

 
DJ: Saya lagi nak melompat hepi masa TP sound makcik sihir B.
Aku: Bila masanya TP sound dia? (lagi lah aku jadi terkejut. Tak kanlah TP panggil makcik tukang sihir B mengadap dia selepas aku balik semalam kot!)
DJ: Dalam meting tu lah. Kan dia kata “be profesional”.
Aku: Oh ye ke...(memang aku tak perasan pun. Aku hidup dalam dunia aku kot pada masa tu. Sebabnya, ada ketika aku curi-curi buat kerja dalam masa meting tu. Selepas meting aku ada appoiment dengan seseorang dan kena bincang pasal beberapa benda, tapi aku belum habis semak lagi.)

 
DJ: Awak ni bendul sangatlah. Tapi...semalam awak memang nampak cool je. Saya suka macam tu. Mak cik tukang sihir tu yang nampak gelabah.

 
Ye ke aku nampak cool? Memang lah boleh berlakon sekejab. Kena bambu dengan makcik-makcik tukang sihir tu bukanlah kali pertama. Kalau aku nak mengamuk kat situpun tak ada faedahnya. Lagi kurang nilai “Ayu” aku di khalayak ramai adalah. Bukan hal besar pun sebenarnya benda tu, tapi libatkan mood juga. Kecewa. Tapi disebabkan memang dah agak benda macam tu akan berlaku, kira bolehlah kontrol ayu. Api yang menyala dalam diri disebabkan benda tu memanglah sesiapa pun akan rasa. Aku rasa nak “meletup” sebab apa yang aku jangka akan berlaku, memang berlaku.

 
Aku dah jangka akan kena sihir dek mak cik tukang sihir tu, tapi berkeras jugak nak lawan. Itulah sebabnya. Apapun, aku memang bersyukur sangat-sangat sebab dalam mesyuarat bulanan semalamlah tembelang makcik-makcik tu terbuka sedikit demi sedikit. Dan dalam mesyuarat ini juga, baru aku sedar ada jugak orang nak pertahankan aku. Barangkali TP sedar makcik tukang sihir ni nak telan aku sejak peristiwa proposal aku dulu tu kena lanyak teruk dek dua orang makcik ni. Kali ni dia bersuara. Masa aku kena penyek dahulu, dia tak ada. Dia sedar semua yang berlaku selepas itu entah dari siapa. Bila proposal aku “diterima tanpa pembaikan”, dia terkasima sekejab. Mungkin juga dia mula sedar ada pakatan sulit di belakangnya.

 
Paling best, bila Pengarah arahkan benda ni perlu dimesyuarat semula dalam mesyuarat jawankuasa sebelum dia pergi ke mesyuarat yang lain. Dalam kes aku ni, 3 orang tertinggi (Pengarah, Timbalan Pengarah 1 dan Timbalan Pengarah 2) berpihak kepada aku. Sebab tu kot makcik tukang sihir tu kena menangis.

 
DJ: Habis tu, sekarang ni dah hepi?
Aku: Taklah sedih sangat pun...tapi memang sedih jugak. Sebab tu berkurung kat rumah je hari ni.
DJ: Tadi kata ok...

 
Alamak! Kan dah pecah tembelang! Dia memang pakar psikologi kan?
DJ: Dah tu...bangun. Hari dah meninggi!

Hu hu hu termalu sendirilah pulak dengan DJ. Sebenarnya, dia memang tahu aku tengah mengurung diri, ataupun dia sebenarnya nak kongsi gembira bila makcik tukang sihir yang turut jadi musuhnya itu kena teruk dalam mesyuarat? Aku tak pasti, namun aku gembira dengan berita yang disampaikannya sebaik sahaja aku celik mata.

 
Aku: Ye lah ...saya bangun dan buat kerja sepanjang hari ni. Terima kasih dengan berita gembira tu... dan sepanjang hari ini aku buat kerja dengan efektif sekali walaupun di depan TV. Santai je buat kerja kat rumah. Mood baik dah datang hu hu hu...apalagi bila beberapa sms teman-teman sekerja masuk. Sms "Senyap je...apa jadi kena sihir?" buatkan aku ketawa besar. Rupanya, diri disayangi juga di sini.

Minggu depan, mungkin dua tiga minggu juga, peristiwa dalam mesyuarat itu akan jadi bualan hingga ia sejuk semula kemudiannya. Namun semua itu hanya berlaku di belakang pintu sahaja (mesyuarat tingkap?). Berita bergerak panas dan cepat, tapi nampak macam tak ada apa-apa pun berlaku. Apa yang pasti, selepas ini, mak cik tukang sihir itu akan tarik muka bila jumpa aku. Macam biasa dilakukannya. Kalau dulu-dulu, aku bisikkan ke hati yang dia berdepan dengan monopoeus sebabkan perangainya drastik berubah (nak ubat hati sendirilah tu...). Namun hakikatnya, aku sendiri tahu dia tak suka aku. Sebab dia tak suka aku pun aku tahu.

Dahulu aku memang kagum dengan dia. Dia macam mak yang sentiasa ambil berat tentang aku. Itu masa dia suka aku. Itu masa dia belum menyihir aku. Bila hidup aku musnah dengan dugaan yang tak mampu pun untuk aku hadapi, dia juga turut berubah termasuk orang-orang lain dikeliling aku. Hanya kerana percayakan semua kata-kata tukang cucuk tu (orang yang sama telah cucuk keluarga aku hingga porak peranda, hingga aku rasa tak ikhlas dengan semua yang pernah aku perjuangkan untuk mereka. Orang itulah juga yang cucuk dia. Bendul betul mak cik tukang sihir ni, kena cucuk sikit pun dah melatah) dia kini jadi musuh aku. Musuh dalam semua aspek. Musuh dalam hubungan sosial, musuh dalam urusan kerja, musuh untuk aku capai kemajuan kerja aku. Jadinya, aku tahu, dia akan sentiasa cantas apa saja yang aku buat.

Pengajaran yang aku dapat memang banyak. Terlalu banyak dan beri ingatan seumur hidup. Tak terbeli dengan wang ringgit. Untuk berdepan dengan makcik tukang sihir juga satu pengalaman yang berbeza. Tak semua orang dapat rasa. Aku akan terus juga kerja dengan bersemangat macam biasa walupun banyak kali terpaksa berdepan dengan mood tak menentu angkara tukang sihir. Namapun tukang sihirkan? bagi aku, bila aku suka dengan apa yang aku buat, biar apapun halangannya, aku tetap akan aku buat. Bukan sebab sesiapa, bukan untuk apa...namun semuanya kerana aku sendiri yang nak buat. Kalau mak cik tukang sihir fikir aku akan stress dan pergi begitu sahaja dari sini hanya sebabkan sihir dia, sebenarnya kesan itu hanya gurisan kecil sahaja. Hanya, respek aku padanya kian hari kian luntur. Orang yang mudah terpengaruh dengan kata-kata orang lain, emosional dan terlalu ikutkan kepala otak sendiri sahaja memang tak layak untuk jadi pemimpin. Jadinya, hari ini aku lebih bersyukur bila dia tidak sempat jadi TP dahulu. Harapnya tak sempat sampai bila-bila pun hingga dia pencen (Aku memang tak patut kata macam tu sebab mulut aku agak masin juga, tapi sebagai manusia biasa aku memang tak dapat elak untuk berperasaan sebegitu. Setan menang lagi kan?).


Namun, akhirnya, dalam sehayat hidup ini, aku nak juga kebenaran munculkan diri. Dah dua tahun aku kena tohmah macam-macam dan aku tak pernah pertahankan diri pun. Biarkan sahaja semua itu jadi "anggapan yang salah" orang lain terhadap aku. Aku tak kesahpun. Tebalkan muka sahaja. Adakala, rasa juga semua tu tak adil untuk diri aku sendiri, namun pada masa yang lain, tak perlu rasanya jadi macam anjing yang menyalak bukit. Bukit tetap tak akan runtuh juga.

 
Hanya aku harap, sesaat dalam hidup makcik sihir itu, dia tahu juga kebenaran (sebagaimana keluarga aku akhirnya tahu angkara si tukang cucuk). Dia tahu apa sebenarnya berlaku. Kalau dia tak menyesal dengan semua sihir yang dikenakan kepada aku, apalagi minta maaf pun tak apa. Hanya tahu. Cukuplah hanya tahu sahaja.


Mak Cik Tukang Sihir II




Kali pertama mak cik tukang sihir buat hal dengan aku dulu, aku memang akui, darah mendidih takat suhu yang tak sampai seratus darjah celcius pun. Taklah marah sangat, hanya geram saja dengan caranya. Saja je nak menyusahkan aku dengan erti kata yang sebenarnya cuba melunturkan semangat aku. Nak buat macam mana, memang sebahagian besar bangsa Melayu memang kaya dengan phD (perasaan hasad dengki), padahal tak ada apapun lebihnya aku berbanding dia. Malah, dia memang lebih baik dalam banyak hal.

Dia ada banglo besar di kawasan perumahan elit yang bumbung sahajapun dah menjangkau satu juta harganya. Aku memang tak akan mampu untuk miliki rumah sebegitu. Dia punya suami yang terkenal dalam bidangnya bergelar profesor. Berjaya. Disegani. Dikagumi. Dia ada 3 orang anak yang semuanya berjaya masuk U. Aku? Laki pun tak ada, apalagi yang bergelaran sebegitu. Kalau lakipun tak ada, tiba-tiba ada anak, peliklah pulak. Gaji dia lebih tinggi dari aku. Pangkat dia pun lebih dia. Aku naik kapcai buruk yang selalu juga mati tengah jalan bila datang masa ragamnya. Terpaksa terkial-kiallah aku tolaknya sendiri ke bengkel. Dia? Dia boleh saja tukar kereta mana yang dia nak guna saban hari. Kalau ada masalah, dia punya anak teruna kacak yang akan tolong. Dia ada laki yang akan sentiasa beri bantuan padanya walaupun hanya sesat nak cari pasar malam. Jadinya, nak buat apalah dia nak boikot aku? Aku ni ikan bilis. Dia tu ikan jerung yang boleh tenggelamkan kapal selam pun (Boleh ke?).

Aku sebenarnya tahu kenapa dia mula menyusahkan aku sejak beberapa tahun ni. Itu biarlah rahsia. Yang pasti, aku tak ada salah apa-apa dengan dia. Kenapa pula dia yang perlu hukum aku? Kalau aku selisih faham dengan orang lain yang menjadi kesayangannya, apa halnya dia pulak nak masuk campur? Rasa macam dah bagus sangat ke?

Semua orang dah jangka aku akan kena lagi. Dulu pun kena teruk, macam aku ni sampah sarap yang tak ada gunanya pun. Tapi, Allah tu maha kaya. Hanya proposal yang aku buat tu saja yang diterima peringkat tertinggi untuk dihantar ke Putrajaya tanpa apa-apa penambahbaikan sedangkan proposal dia sendiri pun kena tambah. Semua orang mengumpat tentang hal itu seketika. Biasalah, namapun kaki bawa mulut. Mana-mana pergipun kerjanya canang itu ini saja. Apa yang dia canangpun agak bagus juga.

Masa mak cik tukang sihir ni kutuk proposal aku tu sampai lumat hinggakan dalam minit mesyuarat menyebut proposal itu perlukan rombakan “keseluruhan”, aku cuba dapatkan masanya seketika untuk tunjukkan aku kat mana “sampahnya” proposal tu. Masa tu, apa yang aku fikirkan adalah “Kalau kau bagus sangat, tunjukkan aku kat mana hampehnya kerja aku”. Namun yang tersebar selepas itu adalah “salah sorang partner aku tak buat kerja hinggakan aku perlu menuntut dari dia”. Tanya dia pun salah (dalam minit mesyuarat tu memang menuntut aku pergi jumpa dia dan tanya kelemahan kerja aku), kalau tak tanya, dah sah-sahlah aku kena bantai balik sebab tak mahu berguru dengan “super maha tahu” tu kan? Namun, bila cuba nak jumpa, macam-macam alasan diberi untuk mengelak. Siapa tak sakit hati?

Namun sakit hati kali ini bertambah berganda. Yang dulu belum hilang sepenuhnya, dia tambah pula lagi sekali. Nasib baik Tuhan tak anugerahkan bakat boleh sumpah orang. Kalau tak, dah jadi sumpah-sumpah dah kena sumpah kat aku kan. Mmmm tak jadilah. Macam comel je kalau aku sumpah dia jadi katak hijau. Ong! Ong! Comel kan?

Masa tulis entri ni, api yang menyala-nyala dalam dada dah makin kurang. Tahu kenapa? Sebab aku dah tidur walaupun hanya sejam. Biasanya, kalau tidur, tak kiralah petang ke bila masanya, paling kurang dua jam. Baru best dan berbaloi. Baru segar semula diri. Namun hari ini hanya sejam sahaja walaupun dalam penghawa dingin. Sebabnya, kepala otakku masih lagi sibuk berkerja walaupun jasad tengah tidur. Jadinya, tidur itu kurang efektif. Kurang mutu. Dan malamnya, aku berjaya sudahkan dua perkara. Itu memang lebih daripada yang aku jangka.

Mesyuarat itu akhirnya memutuskan agar permohonan aku diputuskan semula dalam mesyuarat jawatan kuasa. Aku tahu ramai yang tak puas hati dengan keputusan Pengarah itu, namun pada masa yang sama, aku juga tahu ada orang seronok sangat sebab mak cik tukang sihir tak sempat menyihir hari ini. Makcik tukang sihir yang pra-san bagus itu selalu saja ingat semua orang suka dia, padahal ramai orang yang suka bermuka-muka di depan. Dan setelah mesyuarat yang hangat itu, mak cik tukang sihir menghilangkan diri seketika sebelum mesyuarat yang lain. Maklumlah dia kan orang penting, perlulah mesyuarat sana sini beberapa kali sehari. Sedang aku pula, dek kerana dada yang berapi, telah habiskan dua pinggan nasi lemak yang begitu berperisa tinggi kadar lemaknya itu. Sedap! Pertama memang sebab lapar. Agaknya pinggan kedua itu sebab ikutkan panas hati kot. Akhirnya, lunyai diet aku!

Tak best langsung kan cerita pasal mak cik tukang sihir ni? Setakat hari ini, hanya aku seorang sahaja yang bermulut celupar mempersoalkan kata-kata sihirnya itu. Aku tahu ada masa dia memang rasa nak cekik je leher ni. Tapi aku peduli apa. Dulu memang aku hormat dia. Aku kagum dengan dia. Namun setelah emosinya selalu digunakan dalam setiap pertimbangan, aku dah mula malas nak respek dia lagi. Orang yang mudah kena cucuk macam dia, memang mudah terpengaruh. Selalu ingat dia saja yang betul, dia saja yang baik, dia saja yang bagus. Jadinya, bila dia gagal terpilih untuk jadi TP, mahu disalahkan pada siapa?

Aku tak pernah terlintas pun nak pegang apa-apa jawatan. Aku hanya mahukan suasana kerja yang selesa sahaja. Aku mahu buat kerja aku tanpa diganggu. Dan aku tak pernah pun nak jatuhkan sesiapa. Kalau mana-mana orang rasa nak jadi ketua, pengarah atau apapun, jadilah. Aku tak suka jadi pentadbir. Aku tak suka jadi ketua. Aku tak mahu pun jadi pemimpin. Kalau bagi FREE pun jawatan Perdana Menteri tu kat aku, aku akan pulangkan kembali selepas sehari. Lainlah kalau jawatan bini kepada Perdana Menteri. Yang tu memang aku nak sangat-sangat sebab aku suka nak berjalan merata tempat dan lakukan aktiviti kebajikan. Dengan jawatan sebagai bini PM, aku boleh tingkatkan banyak benda dalam masyarakat. Itu aje pun. Bukannya minat nak bergosip dengan mak datin mak datin yang suka bergosip macam mak cik tukang sihir. Jadi, aku ni sepatutnya tidak menggugat sesiapa!

Kalau dah tak gugat sesiapa, kenapa nak cantas aku pulak?
Tolonglah! Sampai tika dan saat inipun, aku masih lagi tak fahamlah kenapa makcik tukang sihir tu nak sembur api dia kat aku? Seronok sangat ke berbalas FIRE dengan aku? Aku bukannya Atromenlah boleh BERTUKAR! Adoiii la...tak fahamlah!




Khamis, 4 Jun 2009

Mak Cik Tukang Sihir?



Tukang sihir????? Ingat drama Zati dengan Si Mawas nya tu ke? Ni blog aku lerrr, mana ada kaitan dengan mak cik tukang sihir dalam drama tu weh. Tukang sihir ni ada kat pejabat aku.

Aku baru habis mesyuarat bulanan yang boleh menyebabkan aku rasa macam…nak tenggelamkan je satu Bangi ke dalam tasik Putrajaya. Nasib baiklah aku tak ada kuasa sakti. Kalau tak, Bangi hilang dari peta ni dunia.

Ni apa criter marah-marah ni?
Memangpun aku marah! Kalau ikutkan bisikan SETAN, memang la aku dah lenyapkan saja makcik tukang sihir ni. Nak je aku tanya “Yang ko tak puas hati sangat dengan aku ni, apa salah aku kat ko? Baru je naik pangkat pun belum cukup lagi? Dah tak sabar nak naik keranda?”


Ingat dunia ni boleh bawak mati ke? Hello, awak tu dah nak pencen 2-3 tahun lagi. Boleh tak belajar sikit insafkan diri? Yang nak cantas aku masuk longkang tu, apa ke jadahnya? Yang ko takut sangat dengan aku sampai nak benamkan dalam bumi ni apa ke halnya? Tergugat sangat ke ko dengan aku? Aku ni bukannya ada kuasa apa-apa pun. Tak payah nak cantaslah, aku memang tak boleh langkah pun kepala ko yang dah beruban tu!


Selama ni aku hormat ko sebab ko dah beruban. Sebab ko tu mak cik. Cuba ko tu sama baya dengan aku, dah lama aku lenyek jadi kentang putar! (Yummy...dah lama tak makan kentang putar kat KFC. Adoiii la...lama lagi ke nak kena boikot KFC ni?). Harapkan umur je menongkat langit, tapi kepala otak penuh dengan habuk. Berjerebu. Ada pekdahnya ke ko jadi mak cik tukang sihir? Karang aku doa benda pelik-pelik...tak ke ko jugak yang nyesal. Ko rasa doa orang teraniaya tu tak makbul ke? (Kalau aku doa, aku tak doa ko yang kena, anak ko yang comel lote tu yang kena. Jangan ingat buat baik (feeewittt...pra-san baik je ni) sampai lupa nak jadi jahat. Kalau aku sentiasa baik, tak de keja lah pulak setan tu...adoiiiiii la. Aku la pulak dah BERTUKAR tempat jadi setan. Tolong!!!!)

Nasib baik semua sumpah tu (sejak tengok Zati dan Si Mawas, aku dah rasa macam nak sumpah orang pulak hu hu hu) hanya ada dalam kepala otak aku je. Takat ni hanya mengalir kat kekunci komputer ini. Pas tu korang lak baca. Tak de kerja betul korang ni hu hu hu...

Tak best nye bila sakit hati macam ni. Sakit otak tau. Ganggu stamina nak buat kerja. Ganggu mood. Aku masih banyak kerja lagi nak kena buat ni. Adoiii la....tak boleh ke tengok aku senang sikit? Yang nak menyusahkan aku sampai macam ni apa ke jadahnye la weh?


Jab lagi aku nak balik tido. Balik rumah dan tido dengan bestnya dalam ekon (baru pasang awal bulan lepas) yang nyaman. Aku nak mimpi pergi Kashmir, nyanyi-nyanyi kat puncak gunung bersama Brosnan sambil kejar biri-biri. La la la la...kayo na pyara hai. Jam dua petang aku dah balik tido ke? Ampun la boss, kepala aku memang tengah biol nak vandalisme apa-apa yang patut. Kalaulah ada kepala sesiapa yang sudi untuk disepak saat ni, memang aku akan tendang sampai Israel!


Makcik tukang sihir...tobat la cepat-cepat. Aku tau ko memang nak sangat aku kena lenyek dalam semua benda yang aku buat kat sini. Tapi, aku akan pastikan yang tahun depan, aku hantar borang naik pangkat. Bulan Jun tahun depan. Setahun dari sekarang. Masa tu ko belum pencen lagi kan? Sebelum ni, aku tak heran pun pasal naik pangkat ni, tapi bila ko dah buat aku macam ni, ko ingat aku akan tunduk dengan semua sihir ko tu? Makin ko cantas aku, maka...jeng jeng jeng...aku akan makin kuat POWERRRR dalam kepala ni. Tak percaya? Atromen tarooooooooooooooo bagi aku KUASA! BERTUKARRRRRRRRRRR!!!!

Inilah pertama kalinya entri yang aku tulis menggunakan bahasa yang buruk sebegini. Ampunkan aku Za’aba! Kepalaku tak betul sebab setan dah cucuk sel saraf kat kepala otak aku. Malam ni lah ye aku sambung buat kerja. Esok hingga isnin aku akan berkurung di rumah siapkan kerja aku (ganti masa aku gunakan untuk tido 3 jam hari ini) kecuali kalau ada sesiapa nak ajak aku pegi jejalan mana-mana. Mmmmm rasanya macam nak pegi Tasik Seremban. Ada sesiapa nak teman tak?