Khamis, 25 November 2010

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Kedua

Entri ini adalah sambungan entri terdahulu di Meriahnya Aidiladha di Kelantan: Edisi Pertama
Aidiladha juga disambut dengan meriah di Kelantan kerana;

Kedua: Acara Qurban Dijalankan Secara Persendirian

Acara Qurban di Kelantan biasanya diadakan secara persendirian. Acara keluarga dan sahabat handai yang terdekat. Kalau seekor lembu tu, ada masanya hanya dua atau tiga keluarga sahaja. Tahun ini umpamanya, keluarga kami kat kampung ambil peluang sempena aidiladha untuk buat aqiqah sama. Adik kat kulim dah dua bahagian sebab anaknya kembar, abang yang kat kampung satu bahagian, adik kat Sijangkang juga satu bahagian. Asalnya ayah juga ambil satu bahagian tetapi akhirnya terpaksa mengalah kepada permintaan orang lain yang nak lakukan qurban tu.

Sejak dahulu, ayah memang bela lembu. Tak kesahlah berapa ekor, paling ramai pun 4-6 ekor sahaja. Lembu-lembu itu pula akan disembelih dan jual dagingnya berdasarkan permintaan. Jadi, tahun ni, ayah bekalkan 4 ekor lembu untuk upacara qurban ini dengan 4 bahagian daripadanya adalah ahli keluarga kami. Jadinya, setiap tahun, rumah kami akan menjadi tempat untuk acara sembelih lembu Qurban.

Sebelum pulang berhari raya minggu lepas, aku sempat berbual-bual tentang sambutan Aidiladha dengan beberapa orang rakan sekerja. Menurut mereka, acara sembilahan binatang Qurban dilakukan di masjid dengan dikendalikan ahli jawatankuasa tertentu. Ramai yang akan membantu kerana jumlah lembu Qurban juga tidak banyak. Satu kampung dalam 4-5 ekor lembu sahaja sedangkan di Kelantan, (kat rumah akulah ya…bukan keseluruhan Kelantan), 4 ekor lembu tumbang hanya di rumah aku sahaja. Belum lagi rumah orang lain. Dalam sekampung, mungkin berpuluh ekor lembu akan tumbang. Mungkin inilah punca mengapa kemeriahannya lebih terasa.

Berikut gambar-gambar semasa Aidiladha lepas.

Acara jual beli;


Satu! Dua! Tiga! Bukan mudah tumbangkan lembu. Nasib baik ada jejaka kacak berbaju merah tu kan (adik aku...dah berpunya tu!)


Sila niat ya...


Acara melapahpun bermula...



Juara: wanita Kelantan memang pandai berdikari. Takat tulang lembu…no hal lah!



Kalau tahun-tahun lepas, apabila lembu telah ditumbangkan, sedikit daging akan dibawa ke rumah kami mengikut persetujuan setiap ahli yang menjalankan ibadah Qurban tersebut. Bukan banyak pun, sekadar 5kg sahaja untuk dimasak terus. Bahan-bahan lain seperti beras, bahan-bahan masakan atau apa sahaja keperluan memang kami sebagai tuan rumah sediakan. Bukannya berbayar, kira sebagai amal jariah untuk semua orang sama-sama merasa nanti.

Kaum wanita akan siang daging tersebut dan memasak dengan resipi yang mudah dan ringkas sahaja seperti goreng kunyit, acar mentah, sup tulang dan kari daging masak ala kampung. Gotong royang ini sama-sama kami rasa enak masakannya secara beramai-ramai setelah semua daging siap dilapah. Maklumlah, walaupun nampak mudah, melapah daging juga agak memenatkan. Tambah pula bukan semua orang pandai (setahun sekali je buat benda ni…) melapah daging. Kalau tak pandai, lagilah lambat. Jadinya, bila semua dah siap bertungkus lumus di bawah, semua yang berkerja itu dapatlah makan tengahari sebelum balik.

Kebiasaannya kenduri yang pertama ini memang akan menyebabkan semua orang makan dengan banyak. Sebabnya mudah sahaja, pertama memang sedang lapar dan penat. Kedua, kali pertama merasa daging segar, memang cukup berselera. Pada ketika ini selalunya semua nasi dan lauk pauk yang dimasak akan habis. Setiap orang makan bertambah.

Pada tahun ini, acara makan-makan itu tidak dilakukan walaupun kami kaum perempuan dah bersedia untuk menjalankan tugas seperti kebiasaannya. Mungkin sebab tahun ini, sebahagian besar peserta ibadah Qurban itu terdiri daripada golongan muda yang pertama kali hadiri acara itu di tempat kami. Kalau dah biasa, mereka memang tahu mereka akan menjamu selera sebelum balik. Walaupun kami tuan rumah, tetapi kami tidak ada hak untuk mengambil setiap gram daging Qurban berkenaan tanpa keizinan dan persetujuan setiap ahli tersebut.

Ahli-ahli yang dah biasa melakukan ibadah Qurban di tempat kami kelihatan agak kecewa dengan keadaan itu tetapi masing-masing memahami. Maklumlah, kalau tidak ada acara makan-makan di rumah kami, dah tentu mereka perlu balik dengan perut sedikit berkeroncong. Nak tunggu untuk makan daging yang mereka bawa balik itu, malam pun belum tentu siap kecuali ahli keluarga yang membantu itu ramai. Di Kelantan, setiap orang yang melakukan ibadah Qurban akan menerima seluruh satu pertujuh bahagian yang diqurbankan itu, bukannya satu atau dua kilogram daging sahaja seperti yang diamalkan di KL. Jadi terpulanglah kepada tuan empunya bagaimana untuk agihkan daging berkenaan sama ada berikan kepada orang yang berhak secara mentah atau memasak, kemudian membuat jamuan di rumah masing-masing.

Kami yang menjadi tuan rumah hanya menyediakan minuman dan makan-makan ringan seperti nasi impit sahaja. Kata sepupu “Aku lapar ni…nak kena telefon Nah masak nasi”. Adiknya itu memang tidak bersiap sedia untuk juadah makan tengahari kerana tetamu yang hadiri Qurban di rumah kami biasanya akan balik dengan kenyang. Hanya tahun ini sahaja tidak.

Bagi aku pula, situasi itu memang meringankan sedikit bebanku. Bukan tak ikhlas masak segala dan uruskan semua kerja-kerja di dapur, namun menjadi tuan rumah memang berat juga. Semua perkara kena urus dari air minum yang tak pernah berhenti perlu dibancuh. Belum lagi kira kerenah orang yang macam-macam. Seorang nak minum teh, sorang lagi nak neskefe. Ada yang nak minum panas, ada juga nak yang sejuk. Belum kira kerenah budak-budak lagi. Kalau tahun-tahun sudah, adik perempuanku juga ada, kali ini dia masih lagi dalam perjalanan balik. Semua urusan dapur aku kena urus sedangkan aku sendiri masih lagi terkial-kial perlu mencari mana letaknya garam, gula, asam dan segala. Maklumlah, balik pun dua kali setahun sahaja. Mana nak tahu mana Mek letak semua itu.

Walaupun tanpa acara memasak pra kenduri itu, tumit kaki tetap lenguh. Buku lali bagai nak tercabut. Sehari sebelumnya ayah dah sembelih seekor lembu yang lebih besar untuk jualan pra-aidiladha di tepi jalan. Malamnya dia bawa balik sebatang kaki untuk buat sup gearbox. Dah sengal pun badan melapah tulang-tulang itu menjadi ketulan yang lebih kecil. ketika itu hanya aku dan Mek sahaja ada di rumah. ikutkan Mek, dia lanyak je masukkan tulang kaki itu ke dalam periuk paling besar. Masalahnya bila nak hidangkan nanti…pasti tak akan muat dalam pinggan paling besar pun. Tak kan nak hidang dalam “jeluk” (besen) pulak. Dah kapak pun ada dekat, lalunya mengapaklah aku tulang-tulang itu untuk kecilkan sedikit. Kalaupun tapak tangan tak pecah, dah jadi keras jugaklah sikit…mmmmm kena tambah losyen nanti hu hu hu

Sepanjang raya Aidiladha hari pertama, perlu diuruskan pula daging, perut dan tulang-tulang lagi. Walaupun ayah tak jadi qurban, namun adik, abang dan adik perempuanku telah kumpulkan jumlah daging bahagian masing-masing dan tinggalkan di rumah. Walaupun tidaklah banyak, namun dah tentu lebih 10 kg tidak termasuk tulang dan perut. Nak uruskan perut itulah yang malas ni…leceh! Masa makan tak leceh pun hu hu hu

Meriahnya AidilAdha di Kelantan: Edisi Ke Tiga akan bersambung dalam entri seterusnya.

9 ulasan:

eelobor berkata...

rakan di pejabat, ada yang ibu & bapa mereka pergi menyambut hari raya di kelate semata2 nak merasai suasana raya haji di sana. mereka tak de saudara mara kat sana pun,

Unknown berkata...

OOooo..gitu rupanya..
memang terasa meriah kan...
smoga kemeriahan sebegitu berterusan dan diteruskan oleh generasi yg akan datang...

ZAIDAHTUL AKMAL berkata...

Nampak ganas makcik 2 hayun kapak..hehe

anyss berkata...

Eelobor: 2 hari selepas Aidiladha lepas, seorang rakan saya outstation di KB. Dia cukup hepi...siap pak cik driver teksi (kereta sewa) ajak pi rumah untuk makan daging Qurban. Dia kata, "Tak akan jumpa kat mana2 driver teksi bawa penumpangnay balik rumah, jamu makan kenyang2, kemudian hantar ke hotel" hu hu hu

anyss berkata...

Eelobor: 2 hari selepas Aidiladha lepas, seorang rakan saya outstation di KB. Dia cukup hepi...siap pak cik driver teksi (kereta sewa) ajak pi rumah untuk makan daging Qurban. Dia kata, "Tak akan jumpa kat mana2 driver teksi bawa penumpangnay balik rumah, jamu makan kenyang2, kemudian hantar ke hotel" hu hu hu

anyss berkata...

Lana Bulu: makin lama dah makin kurang meriah walaupun semua orang dah makin mampu untuk tunaikan ibadah Qurban ;)

anyss berkata...

Zyah: mak cik tu panjat kelapa sendiri hu hu hu takat hayun kapak gitu, apalah sangat hu hu hu

azieazah berkata...

Wahh memang meriah. Jika selalu dikata dan disebut orang, sebelah Pantai Timur memang meriah meraikan Aidil Adha, benarlah ya.

Seronok dapat join program sebegini, belajar orang2 tua buat majlis kampung..

sambil mata jeling jeling pandang-pandang...
malangnya si baju merah, hatinya sudah dipegang orang..

wuaaaa!
melalak tak pasal-pasal...

anyss berkata...

Azieazah: Belum pernah sambut kat tempat lain kecuali Bangi, jadi tak pasti memang betul lebih meriah dari tempat lain ataupun tak. Dah alami sebegitu sejak kecil...

Mok Yang lambat la book budak baju merah tu utk AMOI hu hu hu