Selasa, 30 September 2008

Esok Hari Raya!

Esok hari Raya! Esok Hari Raya!

Pagi Raya baru bertolak balik kampung. Sendirian. Harapnya semua berjalan lancar.


Ketemu lagi selepas seminggu ya...Selamat bergembira.

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Biarpun jemari tidak tersentuh jabat
biarpun raga tidak saling bertatapan
meskipun bibir tanpa kata dan lafaz
seiring beduk yang lelah bergema
dan seruan takbir yang berkumandang syahdu
kuaturkan kalimah salam menyambut Aidilfitri.



Ketika lisan tak terjaga, saat janji terlupakan
kala sikap tidak sehaluan, pabila kuterfikirkan bukan-bukan
lalunya tercipta sesal menimbulkan pula guris luka
pada Lebaran terpenuh kemenangan ini
dengan rendah hati kumohon kemaafan atas segala salah dan khilaf
kupinta keampunan dengan semua latah dan kelemahan diri
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Minal aidin wal Faizin
Maaf lahir dan batin.

Sebuah Pemergian Tak Terlepaskan




Dia pernah datang dengan lengguknya yang paling manis
menyimpuhkan diri tertib di hadapanku
dan aku tidak pernah puas
memandang ayunya yang terlindung sebalik selendang
mengintai senyumnya yang malu-malu
ditebarkan sepanjang detik kunjungan itu.

Ketika kurasakan manisnya lirik mata yang menjeling
dan ayu senyum yang tergaris di juring bibir seulas itu
Dia perlahan-lahan bangkit dari simpuh sopannya
melangkah lembut tinggalkan ayun lenggang manis
melambai dengan pandangan sayu
dan menghilang dalam kabus pagi
yang dingin terpalit embun
yang segar tergaris titis gerimis semalam

Aku mengharapkan datangnya itu lebih lama
menginginkan simpuhnya itu lebih ayu
mengimpikan renung lembutnya yang berpanjangan
nanti bila rindu, siapa akan bebatkan
nanti bila sepi, pada siapa terluah rintih ini

Ketika bayangnya menipis dan menghilang
baru terasa kesepian pun kembali meraja
kekosongan pun datang semula
Masihkah punya detik untuk kutemu simpuhnya lagi
Tahun hadapan?


Isnin, 29 September 2008

Ingatlah Orang yang Tersayang

Musim perayaan sinonim dengan kemalangan maut. Ramai ibu bapa kehilangan anak cucu. Ramai isteri bergelar janda. Ramai suami berstatus duda. Ramai anak-anak menjadi yatim piatu. Ramai kekasih berduka lara. Bila berlaku sebegini, terfikirkah kita pada orang yang kita sayangi?

Kampung halaman itu tidak lari ke mana-mana lagi. Pandulah dengan sabar. Moga-moga perjalanan anda selamat ke destinasi. Semoga ayah bonda masih tersenyum menyambut anak cucu. Moga kaum keluarga bertemu mesra pada musim perayaan ini. Moga-moga kemeriahan diraikan bersama. Dengan gembira.

Kita mampu mengelakkan kemalangan maut sebegini. Kita mampu mengubah banyak tragedi andai bersikap sabar. Andai berhemah di jalan raya. Andai patuhi undang-undang dan had laju. Memanglah ajal maut itu di tangan Allah, namun, kalaupun sudah sampainya ajal kita, sudikah kita untuk tinggalkan dunia ini dalam keadaan ngeri sebegini? Sanggupkah kita terus jalani hidup ini andai kerana baran kita, orang yang kita sayangi pergi tinggalkan kita dengan keadaan sebegini?

Pilihan ada di tangan sendiri. Kita yang tentukan bagaimanakah penyudahnya sebuah perjalanan ke kampong halaman. Andai memandu, ingat-ingatlah orang yang disayangi. Selamat memandu. Selamat menyambut Hari Lebaran.


Menyambut Raya


Berikut adalah sebuah artikel yang pernah disiarkan di akhbar. Sama-samalah mendapat manfaat daripada tulisan ini.


Berhari raya perlu ikut adab
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.


Lalu Rasulullah S.A.W menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.


Konsep hari raya dalam Islam adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.


Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.


Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.Jadinya perayaan ini perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa:
"Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."


Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berlebih-lebih atau melampau batas apabila menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna, Islam menegah umatnya melakukan pembaziran seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih yang terlalu banyak.


Pada zaman Rasulullah S.A.W, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru. Kata sahabat ini:
“Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki itu berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.” Rasulullah S.A.W kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Namun, pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.


Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan. Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita. Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Namun, Usahlah dididik anak-anak untuk berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.


Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.