Isnin, 29 Mac 2010

Ada Apa dengan Pesta Buku Antarabangsa KL 2010

Semua orang dah cerita tentang kehebatan dan kemeriahan IKLBF 2010 gegak gempita di banyak blog. Walaupun aku dah pergi pada hari pertama IKLBF berlangsung (Jumaat 19 Mac), tetapi tak ada apa yang aku beli kerana pada hari tersebut aku hanya jadi Cik Kiah yang mengetuai rombongan. Tambahan pula, kakak bawa dua orang anaknya, tugas aku bukan sahaja jadi pemandu (nasib baik tak tersesat barat kecuali tersalah masuk dan tersalah keluar kawasan parking di The Mall sahaja. Lainnya, semua berjalan lancar), tetapi juga tukang kawal dan kepung ct si kanak-kanak ribena tu.
Suka posing
Muka letih
Along dah penat la ct...jangan main lagi! Atok yang nengokpun turut penat.
Ini namanya sungai...mmmm macam longkang je!

Tiba masa untuk dia tidur, tanpa peduli keadaan sekeliling, dia tidur je dengan nyenyak. Tak meragampun. Walaupun aku duduk di pentas semasa masuk Karangkraf dengan gempita suara deejay dan lagu-lagu yang diputarkan (betul-betul berada di hadapan corong pembesar suara), dia tidur tanpa berketik. Nyenyak je. Kemudian kami ke Dewan Tun Razak diseberang sungai. Aku terus sahaja ke PTS dan duduk di kerusi hadapan pentas, manakala adik, kakak dan seorang anak buah yang lain teruja jelajah setiap gerai. Janjinya kami jumpa kat PTS. Terima kasih PTS, sediakan kerusi dan pentas kecil yang boleh jadi tempat persinggahan untuk orang-orang yang macam kami ni. Macam musafir pulak!

Bila adik juga berhenti dan tadah punggung di kerusi hadapan pentas di PTS, aku curi peluang sekejab ke gerai Creative Enterprise dan jumpa Mok Yang. Sekejab sahaja, hanya jenguk. Janji akan datang semula pada Khamis nanti. Tiga jam kemudian, dia bangun. Itupun penat kejutkan. Letihlah katakan. Walaupun kami balik dah agak lewat, jam tujuh petang, namun hakikatnya aku hanya sempat menjengah sekali imbas ke MAPIM dan DBP tanpa sempat belekpun. Selebihnya lebih banyak kejar ct.

Mewarisi bakat melukis ayahanda Jaafar Taib; Iwan. Dulu aku panggil dia jejaka idaman Malaya. Dia dah tak cam akupun rasanya, maklumlah...dah makin jelita la la la ;)
Khamisnya aku batalkan untuk pergi semula kerana tiba-tiba sahaja ada urusan terdesak yang perlu aku selesaikan segera. Sabtu 27hb Mac aku memang dah khususkan masa itu untuk ke majlis pelancaran buku Aku, Dia dan Gitar (Nurfa). Orang kata beri sokongan moral kepada penulisnya. Beli novel pada masa pelancaran ini boleh dapat pakej yang menarik...sehelai baju T, sebuah novel dan beg kertas. Harganya hanya RM19.90 (ke RM19? Yaaaaa ampun...tetiba je jadi lupa hu hu hu kira halallah ya. Lagipun pakej istimewa tu dah pun habis. Nak dapatkan lagi dah tak dapat dah...). Jangan jeles ya! Cantik dan comel kan?

Barisan penulis yang lancarkan novel pada hari tersebut; Nurfa nan chomel berada di tengah-tengah. Pinky girl. Rasa bahagiakan...sambut ulangtahun kelahiran, sambut kelahiran novel sulung. Tahniah! Tahun depan 2 novel lagi ya ;)

Berserta air mineral dan kek yang comel lagi...kebetulan, tak sempat sarapan pun pagi tu. Jadinya...ngap je sebelum majlis pelancaran bermula.

Selepas itu terlari-lari anak mencari lokasi untuk pelancaran novel Faisal Tehrani pula. Sudahlah manusianya bersesak, dok pi mai pi mai...akhirnya terus ke gerai Ameen Books bertanyakan staf di sana. Terus rembat novel Bahlut (Faisal Tehrani), Beruk (Azizi Abdullah) dan Rawa (Isa Kamari). Tentu Faisal Tehrani kagum sebab inilah pertama kalinya aku beli novel dia (setelah dia hasilkan 19 buah novel. Ampunnnn ya, Tuan Haji Muda...buku-buku tuan haji boleh tahan tahap mahalnya walaupun nipis. Dan aku akui intinya buatkan buku tuan haji sangat bernilai. Hanya kali ini aku lebih terdorong untuk belinya kerana isu dalam novel ini sendiri. Jangan rasa hati ya tuan haji, kalau kena dengan isunya, BETA memang akan beli hu hu hu). Sempat juga minta autograf dengan Cikgu Azizi untuk novel Beruk. Sebenarnya, ini pertama kali aku pergi jumpa penulis untuk minta autograf. Tak pernah buatpun sebelum ini kecuali novel yang ditulis kawan-kawan. Padahal, peluang untuk aku berbuat begitu sangat terbuka luas.

Novel pertama tuan haji Faisal Tehrani yang aku beli, novel pertama penulis Indonesia yang aku beli di tanah Malaysia ;) Cantik kan caver novel dari Seberang tu...Terlihat gigih berjuang meredah arus kehidupan. Sendirian di bawah sinar bulan...kalau rembulan dah tenggelam di wajahmu, maknanya...
Akhirnya terlari-lari pula ke surau, seterusnya menyeberang jalan ke tingkat 4 The Mall untuk bersarapan dan makan tengahari. Usah tanya jam berapa ketika itu. Mengejar masa sejak pagi (buat kerja sikit sebenarnya dan kemalasan yang melampau untuk mencari makanan) buatkan terbabas untuk makan. Selesai makan, terus ke surau untuk asyar dan redah kesibukan dalam pesta buku semula hingga jam tujuh malam sebelum kembali ke Bangi.

Ingatkan pesta buku dah habis dari diari harian. Ahad, aku cadang ke kedai buku di Wisma Yakin dengan senarai panjang buku yang diperlukan. Namun, tidak satupun aku peroleh kat sana. Akhirnya, terpaksa juga redah kepadatan manusia di pesta buku di PWTC. Ke Creative Enterprise lagi sekali tetapi Mok Yang tak ada, hanya berbual-bual seketika dengan kak Zah. Sempat sambar 2-3 buah buku termasuk buku ini;

Dina, beli tak buku ni? Kalau belum, sila ke Creative semula ya...mesti kau tengah jeles dengan aku kan?

Sekalipun manusia sesak di mana-mana sahaja, tetapi akhirnya perlu aku akui sesuatu...poket dah makin nipis sejak balik dari PWTC petang tadi. Hanya 14 buah sahaja aku borong, namun harganya cecah hingga RM350, belum termasuk senarai panjang yang mohon pengedar carikan. Entah berapa panjang bilnya akan sampai nanti.


Sabtu, 27 Mac 2010

Unik dan Tersendiri

Manapun kita pergi, pasti kita akan temui sesuatu yang unik, pelik atau aneh pada pandangan dan pengalaman kita, namun hakikatnya itulah yang dikatakan keunikan. Semakin banyak merantau, makin luas pandangan, makin lebar pengalaman yang ditimba. Agar nanti, kita sedari bahawa kita bukanlah manusia agung yang diciptakan.

Banyak yang boleh dipelajari, banyak yang boleh direnungi, banyak juga yang boleh difikirkan. Ada masa kita rasa kita ini lebih segala sedangkan hakikatnya...tiada apapun hak yang kita punya itu kekal abadi (itupun kalau ada...kalau sebenarnya bukan hak kita?). Andai satu saat kita menyangka, hanya kitalah insan paling malang tersudut di penjuru bumi ini, setelah direnungi dan difikirkan seketika, sebegitukah?

Mmmmm malas nak tulis panjang-panjang. Di bawah sekadar beberapa hal yang boleh dilihat; barangkali sekadar jamu mata, barangkali juga ada sesuatu yang boleh difikirkan.

Bagi kita mungkin nampak antik, baginya...mungkin hanya cara itu yang terdaya.


Makan sireh berpinang tidak...sireh manis, ada tak di tempat lain?

Barangkali sukar untuk lafazkan...namun, masih banyak cara lain kan?

Ada apa-apa komen tak tentang gosip panas yang sampai ke Tanah Rencung ini?

Selasa, 23 Mac 2010

Apabila Bulatan Mempunyai Nilai Seni


Walaupun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bagai singa mengaum untuk ramai orang menjengahnya, walaupun aku sudah ke sana pada hari pertama pembukaannya lagi, namun...catatan ini tiada kena mengenapun dengan hal itu. Catatan kali ini masih lagi merayau di bumi Aceh.

Barangkali ramai yang dah bosan. Dah jelak. Dah muak. Namun, kiranya bosan, jelak, muak atau nak muntah sekalipun, aku dengan rasa tanpa peduli, tetap juga ingin mampirkan tentang bumi Aceh yang pernah kuhirup oksigennya. Bukanlah satu kebanggaan yang tiada taranya bila dapat ke sana (walaupun memang kuakui rasa bangga itu tetap ada), namun lebih besar dari itu adalah rasa tanggungjawab untuk ketengahkan kepada paparan umum. Rasa bertanggungjawab untuk sebarkan apa yang sepatutnya diketahui oleh lebih ramai orang. Rasa perlu untuk menambah hasil tulisan berbahasa Melayu (yang kucintai itu...walaupun aku tidak pernah berarak di hadapan Istana Negara untuk terjemahkan nilai cintaku ini) secara maya agar koleksinya lebih banyak dan mudah dicapai (surf). Jadinya, apa perlu aku kesahkan sangat tentang muak, loya, bosan, jelak atau nak muntahnya sesetengah orang itu?

Paparan kali ini hanyalah tentang seni bulatan di tengah jalan raya. Bulatan jalan raya di Malaysia biasanya ditanam dengan bunga-bungaan atau pokok-pokok, kalau tidakpun semak samun. Hanya bulatan terbesar di dunia (gamaknya) yang terletak di Putrajaya mempunyai taman, Istana dan hotel berbintang-bintang. Selain dari itu, sebahagian besar bulatan di negara kita biasanya ditanami dengan pokok-pokok dn bunga-bungaan. Nampak cantik dan berseri. Indah mata memandang.


Jika anda bersiar-siar di Banda, Aceh ataupun ke mana-mana bahagianpun di Aceh dari Banda ke Langsa, anda akan dapat melihat pelbagai jenis dan ukiran serta binaan bulatan jalan raya yang pelbagai jenis dan bentuk; dari bentuk tradisi hingga reka bentuk moden. Sangat indah. Tersendiri. Menjadi identiti Aceh yang sebenarnya adalah tinggalan Belanda yang masih lagi diguna pakai hingga kini. Tengok sendirilah gambar-gambar ni...

















Disebabkan malas yang amat untuk edit betul2 gambar ni...kira halallah ya ;)

Khamis, 18 Mac 2010

Berpetualang ke Aceh: Satu Catatan Kembara

Aku jejakkan kaki untuk pertama kalinya di Aceh pada tanggal 19 Februari 2010. Pertama kalinya. Ketika pesawat melayah turun, mata dihidangkan dengan satu dataran yang luas penuh kehijauan, padahal sebelumnya aku melihat satu kawasan pergunungan yang tandus dan terlihat gersang (mungkin kerana ketinggiannya itu). Kian rendah mencecah bumi, barulah tahu bahawa kawasan yang penuh kehijauan itu adalah sawah padi yang terbentang luas dan menghijau subur. Tak ubah seperti mendarat di lapangan terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star pula rasanya. Hijau dan indah.

Bila berada dalam jambatan udara di lapangan terbang Iskandar Muda yang masih terkesan baru sahaja siap dan digunakan, mata terpaut menyaksikan dua banjaran gunung yang mengapit kawasan lembah berkenaan. Subhanallah. Teramat indah. Cantik. Menakjubkan. Andai cuaca elok, pemandangan berkenaan sangat cantik. Tak ubah seperti lukisan.

Sebelum dibadai tsunami, tanah Aceh bergolak dengan perang saudara. Setelah 6 tahun berlalu, terlalu banyak perubahan yang berlaku dan semua ini diakui oleh penduduk tempatan. Mereka mula melihat hikhmah yang dikecapi dari kedukaan yang membendung selama ini.

Hari pertama, kami hanya ke Perkampungan Persahabatan Indonesia-Tiongkok atau lebih dikenali sebagai Kampong Jackie Chan (kami terpaksa ubah rancangan asal kerana pesawat telah mengalami kelewatan hingga 4 jam). Kawasan ini merupakan kawasan perumahan yang dibina untuk mangsa tsunami oleh dermawan dan diberikan kepada mangsa tsunami. Terdapat lebih kurang 690 buah rumah telah dibina di kawasan ini dengan keadaannya seakan-akan rumah kos rendah di Malaysia. Walau bagaimanapun, disebabkan kedudukannya yang jauh dari pusat bandar (lebih kurang 14 km), ramai daripada mangsa tsunami telah menjualnya kepada orang lain. Kawasan perumahan ini sangat cantik, terletak di atas sebuah bukit yang mengadap laut, iaitu berhampiran dengan Teluk Krung Raya. Pemandangannya sangat indah. Angin menderu menerpa tanpa perlu pasang kipas pun.

Malamnya kami makan me ketam sebelum kembali ke hotel semula untuk berehat. Kami menginap di Hotel (lupalah pulak nama hotel tu, dah ingat nanti update lagi ya....) dengan RP300 ribu semalam (dalam RM dianggarkan dalam lingkungan RM112). Hotelnya agak selesa walaupun malam itu bilik kami basah dengan ekon yang bocor. Namun asal kami dapat tidur dengan lena, ada kami peduli pasal air ekon tersebut? Sarapan paginya biasa-biasa sahaja. Ada nasi goreng, lontong, roti keping, bubur nasi dan buah-buahan. Aku sangat suka dengan buah nenasnya yang sangat manis, ditambah dengan sesudu kicap pedas yang sebenarnya digunakan untuk makan bubur. Namun, aku menikmati buah nenas tersebut sampai satu piring. Manis dan enaknya masih terasa lagi di tekak hingga hari ini.

Sabtu, setelah sarapan di hotel, Pak Sani (walaupun masih muda dan hensem lagi, kenalah panggil dia Pak hu hu hu...aku lainlah, kena panggil Neng!) utuskan Pak Bor (Burhanuddin) sebagai supir kami. Kami bayar khidmat Pak Bor sebanyak RP100 ribu sehari (lebih kurang RM35 sehari. Penat woooo nak kena ikut kami pergi mana-mana sahaja sepanjang hari dari pagi hingga malam. Rasa macam tak berbaloi pulak, tetapi Pak Sani kata dah ok dengan jumlah sebegitu). Kami check out dari hotel dan merancang perjalanan ke Langsa, kampung halaman Pak Sani. Perjalanan agak lambat dimulakan kerana beberapa perkara perlu diuruskan dahulu termasuk mencari supir kerana Pak Bor tidak dapat tinggalkan Banda disebabkan isterinya sedang menunggu hari (janganlah pulak ada yang tanya hari apa isteri Pak Bor tu tunggu...karang tak pepasal ada yang kena lepok pulak). Akhirnya, Pak Sani putuskan dia sendiri yang memandu. Walaupun kami semua ada lesen memandu, namun tidak ada seorangpun yang berani untuk memandu bagi gantikan Pak Sani. Kesian Pak Sani, sangat letih kami buli. Sekalipun cara memandu orang-orang di Aceh lebih bersopan berbanding orang-orang bandung, namun mereka masih lagi memandu dengan laju tanpa kemukakan isyarat kenderaan yang cukup. Nak buat macam mana, itu dah negara depa, ikut suka depalah nak memandu cara gaya macam manapun kan.

Perjalanan ke Langsa menurut Pak Sani memakan masa selama 8 jam sahaja. Pada pendapat kami, tidaklah jauh sangat kalau sekadar lapan jam. Namun, apabila dah mulakan eksplorasi berkenaan (banyak yang kami jelajah sepanjang kembara tersebut), barulah kami sedar yang penerangan Pak Sani itu sebenarnya tidaklah menyeluruh. Lapan jam itu untuk orang Aceh yang memandu dengan tekun, bukannya seperti kami yang sentiasa sahaja nak berhenti untuk lakukan pelbagai aktiviti makan. Dah makan, berhenti lagi...kosongkan tangki pula. Kemudian berhenti makan lagi. Perut sangat sendat hingga dah tak mampu untuk di isi apa-apa lagi.

Kami membilang bandar-bandar, pekan-pekan dan kawasan terkenal yang dilewati bermula dari Banda hingga ke Langsa. Menurut Cik Bintang yang bertanyakan kepada Pak Cik Google, Langsa itu kedudukannya lebih 400km ke Timur. Menurut Pak Sani juga, perjalanan ke Langsa hanyalah 3 jam sahaja jika bertolak dari Medan. Bermakna, kalau kami bersabar selama tiga jam lagi selepas sampai di Langsa, kami akan tiba di Medan. Fuhhhhhh bayangkan berapa jauh perjalanan kami itu hinggakan aku dapat rasakan punggung dah jadi kematu akibat terlalu lama duduk.


Bermula di Banda, kami ke Gunung Selawah yang terhampar dengan kehijauan tanaman padi dan tiba di Saree. Saree merupakan tempat yang paling tinggi sepanjang perjalanan kami ini. Sejuk dan nyaman tempatnya. Kiranya, lebih kurang macam Cameron Higlands. Sepanjang perjalanan sebelum tiba di Saree, pemandangan di kiri kanan adalan banjaran gunung. Hutan-hutan yang menghijau dan menenangkan mata yang memandang. Di tepi jalan kawasan ini ada gerai-gerai yang jual ubi-ubi, sayur-sayuran, jagung dan kerepek. Namun sayur sangat kurang ditemu, manakala bunga-bungaan tidak kelihatan langsung. Kami singgah seketika di Saree untuk beli jagung rebus, minum kopi hilangkan mengantuk dan meninjau-ninjau kawasan sekitar. Juga bergambar. Tak lupa juga membeli buah limau sebagai buah tangan untuk keluarga Pak Sani nanti.


Sopan je dia orang tu bonceng motor kan? Lipat macam mana pun tetap boleh seimbangkan badan...tak jatuh tu.


Di Padang Tidji yang terletak dalam daerah Sigli, kami nampak sebuah masjid yang sangat indah. Masjid berkenaan berbentuk bulat seperti sebuah kubah masjid yang besar. Ya ampunnnnn tak sempat pun nak snap gambar maasjid tersebut kerana tidak menjangkakan pun akan terjumpa masjid seunik itu. Tambahan pula, kami tidak berhenti di situ kerana dah kerap sangat berhenti sebelum itu termasuk berhenti untuk minum air kelapa dan makan “gula yu”. Di sigli juga kami singgah seketika untuk dapatkan “sireh manis” yang sangat terkenal. Merasa jugalah aku kunyah sireh yang istimewa itu. Memang betul-betul manis. Sireh itu tidak ada kapur dan tak terasa pedas seperti sirih yang kita selalu jumpa di Malaysia. Tidak berwarna merah juga.

Dari Padang Tidji, terus ke Pidie Jaya, kemudiannya Merdu, Ulaa Gli (bermaksud kepala gunung) dan Samalangga. Kami singgah di Samalangga untuk menjejaki makam Tun Sri Lanang dan sempat jamak serta qasar di masjid desa berkenaan yang berhampiran dengan kawasan pemakamam tersebut. Dah gelap gelita waktu itu, kami redah juga pergi kerana masa untuk singgah lagi memang dah tak ada. Dengan bantuan penduduk tempatan, kami temui juga akhirnya makam tokoh tiga negara itu (Malaysia, Singapura dan Indonesia). Kami tiba di Lhokseumawe dah tengah malam, hampir jam dua belas. Bermakna hampir jam satu pagi waktu Malaysia. Memang penat dan lapar. Walaupun Pak Sani mengatakan perjalanan tinggal lagi tiga jam, kami memutuskan untuk bermalam sahaja di hotel Lido Graha (RP400 ribu semalam).

Esoknya, selepas sarapan, kami meronda sekitar bandar Lhokseumawe. Melihat masjidnya yang kukuh dan gah, pembangunan kawasan sekitaran yang giat dan membangun dan sempat singgah seketika di Pusong yang terletak berhampiran pantai. Masing-masing macam itik yang terlepas, berlumba-lumba melihat orang buat ikan masin.

Perjalanan diteruskan hingga memasuki Aceh Timur. Di kawasan ini kami melalui Perlak. Rasa macam masuk ke dalam buku Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu pula. Kami juga jumpa tempat-tempat yang digelar sebagai Samudera Pasai (ejaan sahaja sedikit berbeza. Menurut Pak Sani, ianya memang kawasan seperti yang tertera dalam buku Sejarah Melayu). Malah, kami sempat makan pulut bakar dan bengkang bersama air kopi dalam kehangatan tengahari di Idi, Perlak.

Sepanjang perjalanan yang panjang ini, kami bercerita diselang seli dengan dengkuran dan olengan kepala kerana tertidur. Dan aku pula, mengambil kesempatan dengan tertidurnya mereka itu untuk bertanya itu ini kepada Pak Sani. Selain sebab nak tahu, sebenarnya cuba memancing Pak Sani agar tidak mengantuk semasa memandu dan rasa lebih segar apabila berbual-bual.

Kami tiba di Dayah Darul Huda, Gedung, Langsa ketika hampir waktu asyar. Belakang macam nak patah dibuatnya, sepanjang hari sejak sebelumnya hanya duduk dalam mobil. Setelah berehat seketika dan berbual-bual dengan Ummi (ibu Pak Sani), kami melawat kawasan sekitar Dayah Darul Huda sebelum ke tempat kenduri yang terletak 500 meter sahaja dari rumah Pak Sani. Pada masa tersebut acara telahpun tamat. Ingatkan sempatlah kami menyaksikan budaya tempatan dalam perkahwinan mereka, namun impian itu tidak kesampaian. Kami hanya sempat ambil gambar pelamin sahaja. Biarpun begitu, perjalanan beratus kilometer memberi kenangan dan pengalaman yang bukan sedikit kepada kami. Kami berpatah balik ke banda, Aceh semula pada malamnya selepas mandi dan berehat seketika. Terima kasih yang tak terhingga kepada Pak Sani. InsyaAllah, semua itu tidak akan terhenti di sini sahaja. Akan ada kesinambungan yang lain lagi selepas ini. Aceh bagaikan terlalu akrab dengan kami. Orang Aceh jangan serik terima kami ya...

Sabtu, 13 Mac 2010

Di Makam mu Daku Tafakur

Usman Awang pernah menulis tentang nilai perjuangan dalam puisinya, Ke Makam Bonda;

KE MAKAM BONDA ~ USMAN AWANG ~

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan

~Usman Awang~




Cerita kali ni bukan pasal perjuangan, tapi pasal makam. Errrrr dalam bahasa yang mudah fahamnya dipanggil...kubur. Selain Kuburan Masal Siron yang menempatkan sejumlah 46, 817 mangsa tsunami dalam beberapa kubur yang besar, banyak makam bersejarah yang boleh dikunjungi di Aceh. Di Banda, sendiri kita boleh ke Makam Sultan Iskandar Muda yang terletak berhampiran dengan muzium dan Rumah Aceh.

Makam sultan Iskanadar muda.
masa tengah kusyuk dok posing tu, Peminat yang tetiba je terjengoi depan mata...siap tanduk bahu lagi tu, bagi salam la kot!

Berhampiran dengan muzium ini juga terdapat beberapa makam lain yang terjaga rapi seperti makam Sultan Alaudin Ahmad Syah, Sultan Alaudin Johan Syah, Sultan Alaudin Mohd Daud Syah, Pocut Muhammad (keturunan Tun Sri Lanang) dan lain-lain lagi. Makam Iskandar Thani, menantu Sultan Iskandar Muda. Letaknya berhampiran dengan Taman Sari Gunongan yang diperbuat khas sebagai tanda kasih sayangnya Sultan Iskandar Muda kepada Puteri Kamariah (Puteri Pahang).




Taman Sari Gunongan

Makam Tun Sri Lanang, letaknya berhampiran Batee Iliek, Samalanga. Gambar kurang memuaskan kerana kami tiba di sini pada waktu maghrib. Selepas solat maghrib kami ke kuburan ini dan snap gambar istana Tun Sri Lanang yang masih lagi dijaga rapi kini.




Biarpun hanya melihat makamnya sahaja, namun keakraban kita dengan sejarah mereka buatkan hati terasa bangga juga mampu sampai ke tempat persemadian mereka. Orang kata, di mana-mana tempatpun boleh sedekahkan bacaan ayat-ayat suci kepada orang yang dah pergi, namun di sisi makamnya...erti itu sangat berbeza. Percayalah!