Memaparkan catatan dengan label Gunung Selawah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gunung Selawah. Papar semua catatan

Khamis, 18 Mac 2010

Berpetualang ke Aceh: Satu Catatan Kembara

Aku jejakkan kaki untuk pertama kalinya di Aceh pada tanggal 19 Februari 2010. Pertama kalinya. Ketika pesawat melayah turun, mata dihidangkan dengan satu dataran yang luas penuh kehijauan, padahal sebelumnya aku melihat satu kawasan pergunungan yang tandus dan terlihat gersang (mungkin kerana ketinggiannya itu). Kian rendah mencecah bumi, barulah tahu bahawa kawasan yang penuh kehijauan itu adalah sawah padi yang terbentang luas dan menghijau subur. Tak ubah seperti mendarat di lapangan terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star pula rasanya. Hijau dan indah.

Bila berada dalam jambatan udara di lapangan terbang Iskandar Muda yang masih terkesan baru sahaja siap dan digunakan, mata terpaut menyaksikan dua banjaran gunung yang mengapit kawasan lembah berkenaan. Subhanallah. Teramat indah. Cantik. Menakjubkan. Andai cuaca elok, pemandangan berkenaan sangat cantik. Tak ubah seperti lukisan.

Sebelum dibadai tsunami, tanah Aceh bergolak dengan perang saudara. Setelah 6 tahun berlalu, terlalu banyak perubahan yang berlaku dan semua ini diakui oleh penduduk tempatan. Mereka mula melihat hikhmah yang dikecapi dari kedukaan yang membendung selama ini.

Hari pertama, kami hanya ke Perkampungan Persahabatan Indonesia-Tiongkok atau lebih dikenali sebagai Kampong Jackie Chan (kami terpaksa ubah rancangan asal kerana pesawat telah mengalami kelewatan hingga 4 jam). Kawasan ini merupakan kawasan perumahan yang dibina untuk mangsa tsunami oleh dermawan dan diberikan kepada mangsa tsunami. Terdapat lebih kurang 690 buah rumah telah dibina di kawasan ini dengan keadaannya seakan-akan rumah kos rendah di Malaysia. Walau bagaimanapun, disebabkan kedudukannya yang jauh dari pusat bandar (lebih kurang 14 km), ramai daripada mangsa tsunami telah menjualnya kepada orang lain. Kawasan perumahan ini sangat cantik, terletak di atas sebuah bukit yang mengadap laut, iaitu berhampiran dengan Teluk Krung Raya. Pemandangannya sangat indah. Angin menderu menerpa tanpa perlu pasang kipas pun.

Malamnya kami makan me ketam sebelum kembali ke hotel semula untuk berehat. Kami menginap di Hotel (lupalah pulak nama hotel tu, dah ingat nanti update lagi ya....) dengan RP300 ribu semalam (dalam RM dianggarkan dalam lingkungan RM112). Hotelnya agak selesa walaupun malam itu bilik kami basah dengan ekon yang bocor. Namun asal kami dapat tidur dengan lena, ada kami peduli pasal air ekon tersebut? Sarapan paginya biasa-biasa sahaja. Ada nasi goreng, lontong, roti keping, bubur nasi dan buah-buahan. Aku sangat suka dengan buah nenasnya yang sangat manis, ditambah dengan sesudu kicap pedas yang sebenarnya digunakan untuk makan bubur. Namun, aku menikmati buah nenas tersebut sampai satu piring. Manis dan enaknya masih terasa lagi di tekak hingga hari ini.

Sabtu, setelah sarapan di hotel, Pak Sani (walaupun masih muda dan hensem lagi, kenalah panggil dia Pak hu hu hu...aku lainlah, kena panggil Neng!) utuskan Pak Bor (Burhanuddin) sebagai supir kami. Kami bayar khidmat Pak Bor sebanyak RP100 ribu sehari (lebih kurang RM35 sehari. Penat woooo nak kena ikut kami pergi mana-mana sahaja sepanjang hari dari pagi hingga malam. Rasa macam tak berbaloi pulak, tetapi Pak Sani kata dah ok dengan jumlah sebegitu). Kami check out dari hotel dan merancang perjalanan ke Langsa, kampung halaman Pak Sani. Perjalanan agak lambat dimulakan kerana beberapa perkara perlu diuruskan dahulu termasuk mencari supir kerana Pak Bor tidak dapat tinggalkan Banda disebabkan isterinya sedang menunggu hari (janganlah pulak ada yang tanya hari apa isteri Pak Bor tu tunggu...karang tak pepasal ada yang kena lepok pulak). Akhirnya, Pak Sani putuskan dia sendiri yang memandu. Walaupun kami semua ada lesen memandu, namun tidak ada seorangpun yang berani untuk memandu bagi gantikan Pak Sani. Kesian Pak Sani, sangat letih kami buli. Sekalipun cara memandu orang-orang di Aceh lebih bersopan berbanding orang-orang bandung, namun mereka masih lagi memandu dengan laju tanpa kemukakan isyarat kenderaan yang cukup. Nak buat macam mana, itu dah negara depa, ikut suka depalah nak memandu cara gaya macam manapun kan.

Perjalanan ke Langsa menurut Pak Sani memakan masa selama 8 jam sahaja. Pada pendapat kami, tidaklah jauh sangat kalau sekadar lapan jam. Namun, apabila dah mulakan eksplorasi berkenaan (banyak yang kami jelajah sepanjang kembara tersebut), barulah kami sedar yang penerangan Pak Sani itu sebenarnya tidaklah menyeluruh. Lapan jam itu untuk orang Aceh yang memandu dengan tekun, bukannya seperti kami yang sentiasa sahaja nak berhenti untuk lakukan pelbagai aktiviti makan. Dah makan, berhenti lagi...kosongkan tangki pula. Kemudian berhenti makan lagi. Perut sangat sendat hingga dah tak mampu untuk di isi apa-apa lagi.

Kami membilang bandar-bandar, pekan-pekan dan kawasan terkenal yang dilewati bermula dari Banda hingga ke Langsa. Menurut Cik Bintang yang bertanyakan kepada Pak Cik Google, Langsa itu kedudukannya lebih 400km ke Timur. Menurut Pak Sani juga, perjalanan ke Langsa hanyalah 3 jam sahaja jika bertolak dari Medan. Bermakna, kalau kami bersabar selama tiga jam lagi selepas sampai di Langsa, kami akan tiba di Medan. Fuhhhhhh bayangkan berapa jauh perjalanan kami itu hinggakan aku dapat rasakan punggung dah jadi kematu akibat terlalu lama duduk.


Bermula di Banda, kami ke Gunung Selawah yang terhampar dengan kehijauan tanaman padi dan tiba di Saree. Saree merupakan tempat yang paling tinggi sepanjang perjalanan kami ini. Sejuk dan nyaman tempatnya. Kiranya, lebih kurang macam Cameron Higlands. Sepanjang perjalanan sebelum tiba di Saree, pemandangan di kiri kanan adalan banjaran gunung. Hutan-hutan yang menghijau dan menenangkan mata yang memandang. Di tepi jalan kawasan ini ada gerai-gerai yang jual ubi-ubi, sayur-sayuran, jagung dan kerepek. Namun sayur sangat kurang ditemu, manakala bunga-bungaan tidak kelihatan langsung. Kami singgah seketika di Saree untuk beli jagung rebus, minum kopi hilangkan mengantuk dan meninjau-ninjau kawasan sekitar. Juga bergambar. Tak lupa juga membeli buah limau sebagai buah tangan untuk keluarga Pak Sani nanti.


Sopan je dia orang tu bonceng motor kan? Lipat macam mana pun tetap boleh seimbangkan badan...tak jatuh tu.


Di Padang Tidji yang terletak dalam daerah Sigli, kami nampak sebuah masjid yang sangat indah. Masjid berkenaan berbentuk bulat seperti sebuah kubah masjid yang besar. Ya ampunnnnn tak sempat pun nak snap gambar maasjid tersebut kerana tidak menjangkakan pun akan terjumpa masjid seunik itu. Tambahan pula, kami tidak berhenti di situ kerana dah kerap sangat berhenti sebelum itu termasuk berhenti untuk minum air kelapa dan makan “gula yu”. Di sigli juga kami singgah seketika untuk dapatkan “sireh manis” yang sangat terkenal. Merasa jugalah aku kunyah sireh yang istimewa itu. Memang betul-betul manis. Sireh itu tidak ada kapur dan tak terasa pedas seperti sirih yang kita selalu jumpa di Malaysia. Tidak berwarna merah juga.

Dari Padang Tidji, terus ke Pidie Jaya, kemudiannya Merdu, Ulaa Gli (bermaksud kepala gunung) dan Samalangga. Kami singgah di Samalangga untuk menjejaki makam Tun Sri Lanang dan sempat jamak serta qasar di masjid desa berkenaan yang berhampiran dengan kawasan pemakamam tersebut. Dah gelap gelita waktu itu, kami redah juga pergi kerana masa untuk singgah lagi memang dah tak ada. Dengan bantuan penduduk tempatan, kami temui juga akhirnya makam tokoh tiga negara itu (Malaysia, Singapura dan Indonesia). Kami tiba di Lhokseumawe dah tengah malam, hampir jam dua belas. Bermakna hampir jam satu pagi waktu Malaysia. Memang penat dan lapar. Walaupun Pak Sani mengatakan perjalanan tinggal lagi tiga jam, kami memutuskan untuk bermalam sahaja di hotel Lido Graha (RP400 ribu semalam).

Esoknya, selepas sarapan, kami meronda sekitar bandar Lhokseumawe. Melihat masjidnya yang kukuh dan gah, pembangunan kawasan sekitaran yang giat dan membangun dan sempat singgah seketika di Pusong yang terletak berhampiran pantai. Masing-masing macam itik yang terlepas, berlumba-lumba melihat orang buat ikan masin.

Perjalanan diteruskan hingga memasuki Aceh Timur. Di kawasan ini kami melalui Perlak. Rasa macam masuk ke dalam buku Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu pula. Kami juga jumpa tempat-tempat yang digelar sebagai Samudera Pasai (ejaan sahaja sedikit berbeza. Menurut Pak Sani, ianya memang kawasan seperti yang tertera dalam buku Sejarah Melayu). Malah, kami sempat makan pulut bakar dan bengkang bersama air kopi dalam kehangatan tengahari di Idi, Perlak.

Sepanjang perjalanan yang panjang ini, kami bercerita diselang seli dengan dengkuran dan olengan kepala kerana tertidur. Dan aku pula, mengambil kesempatan dengan tertidurnya mereka itu untuk bertanya itu ini kepada Pak Sani. Selain sebab nak tahu, sebenarnya cuba memancing Pak Sani agar tidak mengantuk semasa memandu dan rasa lebih segar apabila berbual-bual.

Kami tiba di Dayah Darul Huda, Gedung, Langsa ketika hampir waktu asyar. Belakang macam nak patah dibuatnya, sepanjang hari sejak sebelumnya hanya duduk dalam mobil. Setelah berehat seketika dan berbual-bual dengan Ummi (ibu Pak Sani), kami melawat kawasan sekitar Dayah Darul Huda sebelum ke tempat kenduri yang terletak 500 meter sahaja dari rumah Pak Sani. Pada masa tersebut acara telahpun tamat. Ingatkan sempatlah kami menyaksikan budaya tempatan dalam perkahwinan mereka, namun impian itu tidak kesampaian. Kami hanya sempat ambil gambar pelamin sahaja. Biarpun begitu, perjalanan beratus kilometer memberi kenangan dan pengalaman yang bukan sedikit kepada kami. Kami berpatah balik ke banda, Aceh semula pada malamnya selepas mandi dan berehat seketika. Terima kasih yang tak terhingga kepada Pak Sani. InsyaAllah, semua itu tidak akan terhenti di sini sahaja. Akan ada kesinambungan yang lain lagi selepas ini. Aceh bagaikan terlalu akrab dengan kami. Orang Aceh jangan serik terima kami ya...