Memaparkan catatan dengan label Banda Aceh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Banda Aceh. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Mei 2010

Aku Datang Lagi, Aceh!

Yup! Aku memang datang lagi. Kaki memang benar-benar pijak tanah bertuah itu sekali lagi. Tak pernah jangkapun akan ke sini lagi dengan hanya beza waktunya dua bulan. Kisah tentang Aceh pernah aku tulis pada Entri bulan Mac 2010, dengan tujuh entri pengalaman sepanjang berada di sana.

Jadinya, catatan kali ini tidak akan mengulangi apa yang pernah aku tulis itu. Catatan kali ini akan menambah apa-apa yang pernah aku tulis sebelum ini, akan menulis sesuatu yang tidak pernah aku tulis (walaupun masih banyak yang aku tidak mampu tulis di sini kerana pelbagai sebab, terutama hubungan dua hala dan keamanan sejagat. Aku bukannya kayu api atau batu api yang gemar cetuskan suasana panas, aku lebih suka menjadi haruman biarpun hanya bunga rumput berbau tidak seberapa). Atau juga, catatan ini akan jelaskan secara panjang lebar (yang tak berapa panjang dan tak berapa lebarpun sebenarnya) dengan pelbagai maklumat tentang Tanah Nanggroe Serambi Mekah ini.

Semua maklumat ini pula aku klasifikasikan mengikut lokasi tertentu yang saling berkaitan, bukannya mengikut tarikh kujejakinya. Penceritaan gaya travelong sangat tidak sesuai untuk beberapa entri tentang Aceh kali ini kerana apa yang ingin kupentingkan adalah intinya, bukan rentetan masanya. Pemergian aku ke Aceh kali ini juga disertai oleh lebih ramai individu, semuanya tujuh orang. Hanya kami dua orang sahaja jelitawan yang mekar setaman mewangi suasana. Jadinya, kami dikawal dek lima orang jejaka gantang gitu. Perjalanan kami kali ini juga sangat bertuah kerana sempat menyaksikan kemeriahan sambutan Maulid Akbar di halaman Masjid Baitulrahman yang saya akan tulis dalam satu entri khas nanti. Untuk entri kali ini, saya akan paparkan tentang tiga perkara sahaja, itupun kalau tak begitu panjang. Kalau dah panjang, akan disambung dalam entri seterusnya. Maklumlah, bukan semua orang suka membaca entri yang panjang-panjang ni, walaupun dalam blog sebegini (macamlah aku ada kesah kalau ada orang nak baca ataupun tidak).

Sebagai gambaran awal tentang Aceh, aku turunkan satu artikel yang pernah disiarkan dalam Utusan Malaysia (sila klik untuk dapatkan link asal, itupun kalau masih lagi wujud secara maya)


ARKIB : 17/08/2005

Harapan besar Aceh

Oleh Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)

Hari ini ialah hari ulang tahun kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-60. Ia erupakan hari bermakna bukan saja bagi rakyat Indonesia tetapi juga Nusantara kerana perisytiharan kemerdekaan yang dibuat oleh Sukarno pada 17 Ogos 1945 turut memberi inspirasi perjuangan nasionalisme di Tanah Melayu ketika itu.

Perjuangan kemerdekaan pimpinan Sukarno yang dinamakan Revolusi Indonesia menumpahkan darah kerana pihak penjajah Belanda mahu kembali bertapak di Hindia Belanda. Pertempuran berlaku antara gerila revolusi dengan tentera Belanda. Rakyat Indonesia turut memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk menggabungkan diri dalam angkatan pejuang kemerdekaan itu. Malah terdapat penduduk Tanah Melayu yang menyokong perjuangan kemerdekaan Indonesia turut memberi sumbangan.

Aceh, antara wilayah yang paling bersemangat memberi sumbangan kepada perjuangan kemerdekaan itu telah mengumpulkan dana dan berjaya membeli kapal terbang bagi kegunaan tentera Indonesia menentang penjajah Belanda. Kapal terbang pertama Angkatan Udara Republik Indonesia (AURI) diabadikan di Banda Aceh sebagai tanda memperingati sumbangan wilayah itu kepada kemerdekaan Indonesia. Setelah mencapai kemerdekaan, sayangnya Sukarno gagal mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan berjaya. Terdapat sebahagian daripada rakyat Indonesia di wilayah-wilayah tertentu mahu keluar daripada republik. Aspirasi revolusi telah pudar dan padam pada kaca mata mereka.

Aceh mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1953 dan bermulalah konflik antara wilayah itu dengan pemerintah pusat. Sukarno berusaha meredakan tentangan terhadap pusat dengan memberikan status Daerah Istimewa (DI) kepada Aceh dengan memiliki kuasa autonomi dalam hal-hal berkaitan agama, pendidikan dan kebudayaan. Janji tinggal janji dan polisi Suharto, pengganti Sukarno terhadap Aceh bertambah keras.

Hasan Tiro yang menganggap dirinya sebagai pewaris kepada kesultanan Aceh menubuhkan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) pada tahun 1976 bagi memulakan kembali perjuangan kemerdekaan. Beliau meninggalkan Indonesia pada tahun 1979 dan menubuhkan kerajaan buangan di Sweden.

Pada tahun 1989, Suharto melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran yang mengorbankan ribuan rakyat awam dan pejuang kemerdekaan Aceh terbunuh. Peperangan terus berlanjutan dan bumi Aceh dibasahi dengan darah putera-puteri Indonesia dari kedua-dua belah pihak. Harapan damai timbul apabila berlaku Reformasi yang menjatuhkan Suharto. Suasana pembaharuan demokrasi, hak asasi dan keadilan menimbulkan sinar baru di bumi Serambi Mekah itu.

Pada tahun 2000, Abdurrahman Wahid (Gus Dur), Presiden pertama Reformasi berjanji akan memberikan autonomi lebih besar pada Aceh termasuk berhubung dengan hasil minyak. Kedudukan yang lebih baik diberikan juga kepada semua wilayah dan ia menampilkan Jakarta yang lebih terbuka dan adil. Rundingan pertama diadakan antara Jakarta dan GAM pada 9 Disember 2002 dan perjanjian keamanan ditandatangani di Geneva, Switzerland. Bagaimanapun perjanjian ini gagal dilaksanakan.

Usaha rundingan dilakukan sekali lagi tetapi perjanjian di Tokyo, Jepun gagal dilaksanakan dan Indonesia melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran pada 19 Mei 2003 dan banyak lagi tentera, pejuang dan orang awam turut terkorban. Sebarang pertempuran di Aceh akan menghasilkan pelarian politik. Antara mereka mencari perlindungan di Malaysia di bawah pentadbiran Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR). Bagaimanapun tragedi tsunami pada 26 Disember tahun lalu mengubah keadaan di Aceh. Konflik GAM-Jakarta menjadi tidak bermakna.

Pada Januari 2005, GAM dan Indonesia mengadakan rundingan pertamanya sejak kegagalan lalu di Helsinki, Finland. Pada 17 Julai lalu, kedua-dua belah pihak bersetuju menandatangani perjanjian menamatkan konflik. Pada 9 Ogos lalu, Parlimen Indonesia memberikan sokongan sebulat suara untuk menyokong perjanjian keamanan itu. Selasa lalu kedua-dua pihak menghentikan konflik dan hari ini menjadi bersejarah kerana buat pertama kali dalam sejarah lepas merdeka, Aceh berasa damai sebagai sebahagian daripada Indonesia. Apa yang gagal dilakukan oleh Sukarno, Suharto, B.J. Habibie, Gus Dur dan Megawati Sukarnoputri, ia dapat dicapai oleh pentadbiran Susilo Bambang Yudhoyono, presiden pertama Indonesia yang dipilih secara langsung oleh rakyat, termasuk pengundi Aceh.

Dalam persetujuan itu, tentera Indonesia akan mengundurkan semua tentera dan pasukan polis bukan tempatan dari Aceh menjelang akhir tahun ini. Di pihak GAM pula, mereka wajar melucutkan semua senjata dan membubarkan pejuangnya. Persetujuan itu juga menghendaki Jakarta membantu penubuhan parti-parti politik bebas di Aceh dalam tempoh setahun ini. Maka kemungkinannya GAM akan menubuhkan parti politiknya.

Secara tradisi Aceh merupakan kubu parti Islam. Pada zaman Sukarno, parti Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi) merupakan parti utama. Sementara Parti Pembangunan Persatuan (PPP) mendapat sokongan rakyat Aceh semasa Suharto. Selepas zaman Reformasi, Parti Keadilan dan Sejahtera (PKS) mula menapak di situ. Tetapi GAM bukanlah merupakan parti Islam. Menurut persetujuan itu, Aceh akan mengikut undang-undang baru yang akan diperkenalkan menjelang 31 Mac 2006. Syariah dan elemen undang-undang Islam menjadi sebahagian daripada kebudayaan Aceh.

Persetujuan itu juga memberikan Aceh 70 peratus pendapatan sumber aslinya. Butiran ini penting dan selama ini menjadi antara penghalang kepada persetujuan. Semasa pemerintahan Suharto, antara perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat Aceh ialah pendapatan minyaknya diboloti oleh kerajaan pusat. Selain itu, untuk memberikan keadilan dan menebus kezaliman, satu mahkamah hak asasi manusia dan Suruhanjaya Pendamaian dan Mencari Kebenaran akan ditubuhkan di Aceh. Untuk menjayakan kesemua butiran persetujuan ini, Misi Pemantauan Aceh akan ditubuhkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan lima negara ASEAN.

Perdamaian ini memberi harapan besar kepada rakyat Aceh yang telah lama menanggung kesengsaraan akibat perang saudara antara kedua belah pihak. Aceh merupakan salah sebuah wilayah dalam Indonesia tetapi itu tidak bermakna Jakarta boleh melayani secara tidak adil kepadanya. Apa yang berlaku di Aceh selama ini bukan soal pemisahan, nasionalisme, perkauman atau agama. Tetapi ia merupakan soal keadilan. Andai kata Sukarno dan Suharto menjalankan polisi-polisi adil terhadapnya, maka pertumpahan darah yang berdekad-dekad lamanya dapat dielakkan.

Mungkin andai kata Indonesia memilih sistem persekutuan dan bukannya kesatuan seperti pernah dicadangkan pada awal-awal kemerdekaannya, keadaan menjadi berbeza. Justeru, setelah 60 tahun merdeka daripada penjajahan Belanda, baru hari ini wilayah istimewa kepada dunia Melayu dan Islam itu memulakan harinya sebagai wilayah yang damai dalam kesatuan Republik Indonesia.

Dah habis baca? Aceh dan Jakarta memang ada isu yang besar, aku tak nak ulas apa-apa pasal ni. Carilah sendiri maklumat tentang ni. Banyak bahan bacaan boleh diperoleh sama ada dalam bentuk buku, artikel kajian atau tulisan kat mana-mana blog. Paling malas nak baca pun, bacalah tiga siri buku Berpetualang Ke Aceh. Macam-macam adaaaaa (macam iklan Astrolah pulak!).

Selepas tsunami, beginilah rupanya;



Seterusnya, maklumat tentang Tugu Pesawat Seulawah RI-001 (diabadikan namanya dari nama gunung tertinggi di Aceh Besar dan Pidie) yang diceritakan dalam artikel di atas tu. Aku berkesempatan melompat-lompat di bawah pesawat ini yang terletak di Lapangan Blang Padang, Kota Banda Aceh. Tak boleh nak panjat dan menerbangkannya semula ke udara, memang pegun sahaja di situ. Lagi pula tak ada lesen juruterbang.



Pesawat ini merupakan pesawat pertama di Indonesia dan Aceh tentunya, dibeli dengan sumbangan ikhlas Rakyat Aceh pada awal Kemerdekaan. Ia menjadi kebanggaan warga Banda Aceh itu. Pesawat Seulawah dibeli dengan harga US$120,000 dengan nilai matawang pada masa itu atau kira-kira 25 Kg emas beratnya. Pada masa awal Kemerdekaan Republik Indonesia tahun 1948, negara Indonesia mengalami masalah kewangan yang sangat kronik. Presiden pertama Indonesia Soekarno, menganggap Aceh adalah satu-satunya daerah modal di Indonesia (kerana sumber buminya yang sangat kaya, sekarang dah habis disedut kot) untuk mendapatkan bantuan. Pada saat itu Presiden Soekarno sendiri memohon kepada rakyat Aceh untuk membantu menyumbangkan apa sahaja agar dapat membeli pesawat.

Dengan semangat membantu Republik ini, rakyat Aceh dahulu (Atjeh), rela melepaskan apa sahaja harta benda mereka dalam bentuk wang tunai maupun emas perhiasan daripada para wanita Aceh zaman dahulu untuk membeli pesawat. Pesawat Seulawah yang dikenal RI-001 dan RI-002 merupakan bukti bahawa masyarakat Aceh sangat membantu dalam proses kemerdekaan dan mempertahankan kemerdekaan Republik Indonesia. Pesawat ini titik tolak kepada kewujudan syarikat penerbangan Garuda Indonesia Airways (menjadi cikal bakal Maskapai Garuda Indonesia Airways; sayang nak buang istilah ni...nampak macam comel sangat bila ditulis begini). Pengorbanan dan kesanggupan masyarakat dan saudagar aceh menyumbang serta mengumpul harta pribadi mereka, kemudian menyerahkan kepada pemerintah ini sangat besar nilainya sehingga Presiden Soekarno menyebut “Daerah Aceh adalah Daerah Modal bagi Republik Indonesia, dan melalui perjuangan rakyat aceh seluruh Wilayah Republik Indonesia dapat direbut kembali”.



Untuk mengenang jasa masyarakat aceh tersebut maka di buat replika pesawat seulawah yang berada di Lapangan Blang Padang Kecamatan Baiturrahman Banda Aceh. Lokasi ini hanya sekitar 1 KM dari pusat kota Banda Aceh. Pesawat ini terletak bersebelahan dengan tugu peringatan tsunami.





Jika anda perlukan maklumat lain tentang Aceh, bolehlah baca di Bagus Riyanto .

Lebih kurang 500 meter dari tugu pesawat ini, terdapat Muzium Tsunami, manakala di seberang jalannya pula terdapat Pusat Dokumentasi Aceh. Sesiapa yang nak cari bahan bacaan, dokumen atau menyelidik, bolehlah ke Pusat Dokumentasi ini yang dibuka pada waktu pejabat. Walau bagaimanapun, pusat ini sebenarnya ditutup lebih awal (tengahari atau petang) berbanding waktu pejabat yang lain kerana sebenarnya tidak ramai yang mengunjungi pusat ini walaupun bangunannya sangat gah dan kukuh.

Tugu Aceh Thanks The World
Tugu ini terletak bersebelahan dengan kapal terbang pertama Indonesia, Pesawat Seulawah RI-001. Ia menjadi antara objek baru pasca tsunami di Aceh. Tugu ini dibangunkan oleh Yayasan Harapan Bangsa Nusantara dan didanai oleh yayasan dari USA ini dirasmikan oleh Panglima Kodam Iskandar Muda, Majend TNI Supiadin AS, pana Jun 2008.



Selain tugu tersebut di lapangan ini juga ada Prasasti Taman Internasional “Aceh Thanks The World”. Monumen tersebut berbentuk gelombang tsunami bercat putih sementara ratusan ucapan dari bermacam negara berbentuk pucuk perahu yang tertancap di tanah mengeliligi tengah lapangan, bertuliskan terimakasih dalam bahasa masing-masing negara. Keberadaan Prasasti Taman Internasional dan Tugu Peringatan Tsunami membuat Lapangan Blang Padang semakin menarik untuk dikunjungi.

Nak tahu lebih lanjut, sila baca di sini


“Terimakasih dari Aceh untuk Dunia”


Published On Monday, February 23, 2009 By

acehlong.

VIVAnews – Gempa 8,9 Skala Richter terjadi di Nangroe Aceh Darussalam terjadi pada 26 Desember 2004 pukul 07.58 WIB. Sesaat kemudian, laut memuntahkan airnya dengan kekuatan maha dasyat, Aceh digulung tsunami. Setidaknya 100,000 orang meninggal dalam peristiwa itu, sedangkan yang selamat harus menerima kenyataan semua yang dimilikinya musnah, Aceh kala itu luluh lantak.


Namun, Aceh tak ditinggal sendirian. Bantuan dari seluruh penjuru dunia mengalir ke Serambi Mekah. “Kebaikan dunia yang telah diberikan untuk memulihkan Aceh dan Nias wajib kita hormati dengan sebaik mungkin dan memeliharanya,” kata Kepala BRR NAD-Nias, Kuntoro Mangkusubroto, dalam laporannya dalam acara peresmian 13 proyek tsunami sebesar Rp 715,3 miliar di Lapangan Blang Padang, Banda Aceh, Senin 23 Februari 2009.

Satu dari 13 proyek yang diresmikan Presiden Yudhoyono hari ini adalah Taman Internasional ‘Aceh Thanks the World’. Taman di kawasan Blang Padang, Banda Aceh ini melambangkan persahabatan antarnegara, khususnya yang berkontribusi dalam rekonstruksi Aceh. Semua kontribusi, baik atas nama pemerintah, lembaga swadaya masyarakat, perusahaan dan unsur masyarakat diwakilkan negara masing-masing. Tiap negara diwakili satu pohon persahabatan dan plakat. Uniknya, setiap plakat ditulis nama negara, bendera, dan ucapan termakasih dalam bahasa masing-masing negara. Terdapat 53 prasasti dan pohon di taman itu.

Plakat utama bertuliskan latar belakang tsunami, bantuan para pihak, dan harapan. Total dana sebesar Rp 2,37 miliar dari Recovery Aceh Nias Trust yang dikelola badan rekonstruksi, dikeluarkan untuk membuat taman dan fasilitas di dalamnya. Presiden Yudhoyono yang meresmikan taman ini, ikut menandatangani prasasi taman ‘Aceh Thanks the World’.

Secara terpisah, Gubernur Nanggroe Aceh Darussalam, Irwandi Yusuf mengatakan tsunami boleh memporakporandakan Aceh, tapi bencana dasyat itu tak membuat masyarakat Aceh patah semangat. “Pemerintah daerah dan rakyat Aceh siap untuk melangkah maju,” kata Irwandi dalam Forum Koordinasi Aceh Nias di Jakarta, 13 Februari 2009. Namun, pembangunan berkelanjutan di Aceh tetap memerlukan dukungan. “Kami akan menjajaki bentuk kerjasama baru dengan masyarakat sipil, donor, badan-badan internasional, dan sektor swasta,” tambah dia. Beberapa langkah telah diambil, salah satunya program fasilitasi investasi dan fasilitas pendukung bagi lembaga swadaya masyarakat dengan dinas terkait dalam proyek pembangunan dan peningkatan ekonomi dunia.

Sekiranya ada yang berminat untuk mengetahui tentang Pengangkutan Dalam Pembangunan Pasca-Tsunami Di Aceh: Mencontohi Pengalaman Malaysia, sebuah kertas kerja yang ditulis dan dibentangkan Dr. Abd Rahim Md Nor dalam Persidangan Antarabangsa Pembangunan Aceh pada 26-27 Disember 2006, di UKM Bangi, silalah klik pada tajuk kertas kerja berkenaan yang mengandungi 14 halaman.

Banyak catatan tentang tsunami dan perubahan yang berlaku akibat tragedi tersebut dalam sistem pengangkutan dan perubahan bentuk bumi. Jadi, bagi yang suka bahan bacaan yang lebih bersifat ilmiah, bolehlah baca artikel berkenaan.

Tulisan ni macam panjang sangat dah (baru nak sedar panjang!), jadi Muzium Tsunami aku akan tulis dalam entri akan datang.


Ahad, 16 Mei 2010

Ucapan dari Seberang Selat

Biarpun ketika ini, daku di sini...



tetap kutitipkan ucapan

Selamat Hari Guru

kepada seluruh guru di dunia

kepada semua guruku

bakti kalian terlalu besar untuk dilafaz

jasa kalian terlalu banyak untuk dihitung

hingga aku berada di sini

hingga aku seperti ini

terima kasih tak terhingga

halalkan ilmu semuanya

doakan daku tidak akan lupa manfaatkannya


terima kasih guru berjasa

terima kasih perwira bangsa

terima kasih permata negara


Selasa, 23 Mac 2010

Apabila Bulatan Mempunyai Nilai Seni


Walaupun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bagai singa mengaum untuk ramai orang menjengahnya, walaupun aku sudah ke sana pada hari pertama pembukaannya lagi, namun...catatan ini tiada kena mengenapun dengan hal itu. Catatan kali ini masih lagi merayau di bumi Aceh.

Barangkali ramai yang dah bosan. Dah jelak. Dah muak. Namun, kiranya bosan, jelak, muak atau nak muntah sekalipun, aku dengan rasa tanpa peduli, tetap juga ingin mampirkan tentang bumi Aceh yang pernah kuhirup oksigennya. Bukanlah satu kebanggaan yang tiada taranya bila dapat ke sana (walaupun memang kuakui rasa bangga itu tetap ada), namun lebih besar dari itu adalah rasa tanggungjawab untuk ketengahkan kepada paparan umum. Rasa bertanggungjawab untuk sebarkan apa yang sepatutnya diketahui oleh lebih ramai orang. Rasa perlu untuk menambah hasil tulisan berbahasa Melayu (yang kucintai itu...walaupun aku tidak pernah berarak di hadapan Istana Negara untuk terjemahkan nilai cintaku ini) secara maya agar koleksinya lebih banyak dan mudah dicapai (surf). Jadinya, apa perlu aku kesahkan sangat tentang muak, loya, bosan, jelak atau nak muntahnya sesetengah orang itu?

Paparan kali ini hanyalah tentang seni bulatan di tengah jalan raya. Bulatan jalan raya di Malaysia biasanya ditanam dengan bunga-bungaan atau pokok-pokok, kalau tidakpun semak samun. Hanya bulatan terbesar di dunia (gamaknya) yang terletak di Putrajaya mempunyai taman, Istana dan hotel berbintang-bintang. Selain dari itu, sebahagian besar bulatan di negara kita biasanya ditanami dengan pokok-pokok dn bunga-bungaan. Nampak cantik dan berseri. Indah mata memandang.


Jika anda bersiar-siar di Banda, Aceh ataupun ke mana-mana bahagianpun di Aceh dari Banda ke Langsa, anda akan dapat melihat pelbagai jenis dan ukiran serta binaan bulatan jalan raya yang pelbagai jenis dan bentuk; dari bentuk tradisi hingga reka bentuk moden. Sangat indah. Tersendiri. Menjadi identiti Aceh yang sebenarnya adalah tinggalan Belanda yang masih lagi diguna pakai hingga kini. Tengok sendirilah gambar-gambar ni...

















Disebabkan malas yang amat untuk edit betul2 gambar ni...kira halallah ya ;)

Khamis, 18 Mac 2010

Berpetualang ke Aceh: Satu Catatan Kembara

Aku jejakkan kaki untuk pertama kalinya di Aceh pada tanggal 19 Februari 2010. Pertama kalinya. Ketika pesawat melayah turun, mata dihidangkan dengan satu dataran yang luas penuh kehijauan, padahal sebelumnya aku melihat satu kawasan pergunungan yang tandus dan terlihat gersang (mungkin kerana ketinggiannya itu). Kian rendah mencecah bumi, barulah tahu bahawa kawasan yang penuh kehijauan itu adalah sawah padi yang terbentang luas dan menghijau subur. Tak ubah seperti mendarat di lapangan terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star pula rasanya. Hijau dan indah.

Bila berada dalam jambatan udara di lapangan terbang Iskandar Muda yang masih terkesan baru sahaja siap dan digunakan, mata terpaut menyaksikan dua banjaran gunung yang mengapit kawasan lembah berkenaan. Subhanallah. Teramat indah. Cantik. Menakjubkan. Andai cuaca elok, pemandangan berkenaan sangat cantik. Tak ubah seperti lukisan.

Sebelum dibadai tsunami, tanah Aceh bergolak dengan perang saudara. Setelah 6 tahun berlalu, terlalu banyak perubahan yang berlaku dan semua ini diakui oleh penduduk tempatan. Mereka mula melihat hikhmah yang dikecapi dari kedukaan yang membendung selama ini.

Hari pertama, kami hanya ke Perkampungan Persahabatan Indonesia-Tiongkok atau lebih dikenali sebagai Kampong Jackie Chan (kami terpaksa ubah rancangan asal kerana pesawat telah mengalami kelewatan hingga 4 jam). Kawasan ini merupakan kawasan perumahan yang dibina untuk mangsa tsunami oleh dermawan dan diberikan kepada mangsa tsunami. Terdapat lebih kurang 690 buah rumah telah dibina di kawasan ini dengan keadaannya seakan-akan rumah kos rendah di Malaysia. Walau bagaimanapun, disebabkan kedudukannya yang jauh dari pusat bandar (lebih kurang 14 km), ramai daripada mangsa tsunami telah menjualnya kepada orang lain. Kawasan perumahan ini sangat cantik, terletak di atas sebuah bukit yang mengadap laut, iaitu berhampiran dengan Teluk Krung Raya. Pemandangannya sangat indah. Angin menderu menerpa tanpa perlu pasang kipas pun.

Malamnya kami makan me ketam sebelum kembali ke hotel semula untuk berehat. Kami menginap di Hotel (lupalah pulak nama hotel tu, dah ingat nanti update lagi ya....) dengan RP300 ribu semalam (dalam RM dianggarkan dalam lingkungan RM112). Hotelnya agak selesa walaupun malam itu bilik kami basah dengan ekon yang bocor. Namun asal kami dapat tidur dengan lena, ada kami peduli pasal air ekon tersebut? Sarapan paginya biasa-biasa sahaja. Ada nasi goreng, lontong, roti keping, bubur nasi dan buah-buahan. Aku sangat suka dengan buah nenasnya yang sangat manis, ditambah dengan sesudu kicap pedas yang sebenarnya digunakan untuk makan bubur. Namun, aku menikmati buah nenas tersebut sampai satu piring. Manis dan enaknya masih terasa lagi di tekak hingga hari ini.

Sabtu, setelah sarapan di hotel, Pak Sani (walaupun masih muda dan hensem lagi, kenalah panggil dia Pak hu hu hu...aku lainlah, kena panggil Neng!) utuskan Pak Bor (Burhanuddin) sebagai supir kami. Kami bayar khidmat Pak Bor sebanyak RP100 ribu sehari (lebih kurang RM35 sehari. Penat woooo nak kena ikut kami pergi mana-mana sahaja sepanjang hari dari pagi hingga malam. Rasa macam tak berbaloi pulak, tetapi Pak Sani kata dah ok dengan jumlah sebegitu). Kami check out dari hotel dan merancang perjalanan ke Langsa, kampung halaman Pak Sani. Perjalanan agak lambat dimulakan kerana beberapa perkara perlu diuruskan dahulu termasuk mencari supir kerana Pak Bor tidak dapat tinggalkan Banda disebabkan isterinya sedang menunggu hari (janganlah pulak ada yang tanya hari apa isteri Pak Bor tu tunggu...karang tak pepasal ada yang kena lepok pulak). Akhirnya, Pak Sani putuskan dia sendiri yang memandu. Walaupun kami semua ada lesen memandu, namun tidak ada seorangpun yang berani untuk memandu bagi gantikan Pak Sani. Kesian Pak Sani, sangat letih kami buli. Sekalipun cara memandu orang-orang di Aceh lebih bersopan berbanding orang-orang bandung, namun mereka masih lagi memandu dengan laju tanpa kemukakan isyarat kenderaan yang cukup. Nak buat macam mana, itu dah negara depa, ikut suka depalah nak memandu cara gaya macam manapun kan.

Perjalanan ke Langsa menurut Pak Sani memakan masa selama 8 jam sahaja. Pada pendapat kami, tidaklah jauh sangat kalau sekadar lapan jam. Namun, apabila dah mulakan eksplorasi berkenaan (banyak yang kami jelajah sepanjang kembara tersebut), barulah kami sedar yang penerangan Pak Sani itu sebenarnya tidaklah menyeluruh. Lapan jam itu untuk orang Aceh yang memandu dengan tekun, bukannya seperti kami yang sentiasa sahaja nak berhenti untuk lakukan pelbagai aktiviti makan. Dah makan, berhenti lagi...kosongkan tangki pula. Kemudian berhenti makan lagi. Perut sangat sendat hingga dah tak mampu untuk di isi apa-apa lagi.

Kami membilang bandar-bandar, pekan-pekan dan kawasan terkenal yang dilewati bermula dari Banda hingga ke Langsa. Menurut Cik Bintang yang bertanyakan kepada Pak Cik Google, Langsa itu kedudukannya lebih 400km ke Timur. Menurut Pak Sani juga, perjalanan ke Langsa hanyalah 3 jam sahaja jika bertolak dari Medan. Bermakna, kalau kami bersabar selama tiga jam lagi selepas sampai di Langsa, kami akan tiba di Medan. Fuhhhhhh bayangkan berapa jauh perjalanan kami itu hinggakan aku dapat rasakan punggung dah jadi kematu akibat terlalu lama duduk.


Bermula di Banda, kami ke Gunung Selawah yang terhampar dengan kehijauan tanaman padi dan tiba di Saree. Saree merupakan tempat yang paling tinggi sepanjang perjalanan kami ini. Sejuk dan nyaman tempatnya. Kiranya, lebih kurang macam Cameron Higlands. Sepanjang perjalanan sebelum tiba di Saree, pemandangan di kiri kanan adalan banjaran gunung. Hutan-hutan yang menghijau dan menenangkan mata yang memandang. Di tepi jalan kawasan ini ada gerai-gerai yang jual ubi-ubi, sayur-sayuran, jagung dan kerepek. Namun sayur sangat kurang ditemu, manakala bunga-bungaan tidak kelihatan langsung. Kami singgah seketika di Saree untuk beli jagung rebus, minum kopi hilangkan mengantuk dan meninjau-ninjau kawasan sekitar. Juga bergambar. Tak lupa juga membeli buah limau sebagai buah tangan untuk keluarga Pak Sani nanti.


Sopan je dia orang tu bonceng motor kan? Lipat macam mana pun tetap boleh seimbangkan badan...tak jatuh tu.


Di Padang Tidji yang terletak dalam daerah Sigli, kami nampak sebuah masjid yang sangat indah. Masjid berkenaan berbentuk bulat seperti sebuah kubah masjid yang besar. Ya ampunnnnn tak sempat pun nak snap gambar maasjid tersebut kerana tidak menjangkakan pun akan terjumpa masjid seunik itu. Tambahan pula, kami tidak berhenti di situ kerana dah kerap sangat berhenti sebelum itu termasuk berhenti untuk minum air kelapa dan makan “gula yu”. Di sigli juga kami singgah seketika untuk dapatkan “sireh manis” yang sangat terkenal. Merasa jugalah aku kunyah sireh yang istimewa itu. Memang betul-betul manis. Sireh itu tidak ada kapur dan tak terasa pedas seperti sirih yang kita selalu jumpa di Malaysia. Tidak berwarna merah juga.

Dari Padang Tidji, terus ke Pidie Jaya, kemudiannya Merdu, Ulaa Gli (bermaksud kepala gunung) dan Samalangga. Kami singgah di Samalangga untuk menjejaki makam Tun Sri Lanang dan sempat jamak serta qasar di masjid desa berkenaan yang berhampiran dengan kawasan pemakamam tersebut. Dah gelap gelita waktu itu, kami redah juga pergi kerana masa untuk singgah lagi memang dah tak ada. Dengan bantuan penduduk tempatan, kami temui juga akhirnya makam tokoh tiga negara itu (Malaysia, Singapura dan Indonesia). Kami tiba di Lhokseumawe dah tengah malam, hampir jam dua belas. Bermakna hampir jam satu pagi waktu Malaysia. Memang penat dan lapar. Walaupun Pak Sani mengatakan perjalanan tinggal lagi tiga jam, kami memutuskan untuk bermalam sahaja di hotel Lido Graha (RP400 ribu semalam).

Esoknya, selepas sarapan, kami meronda sekitar bandar Lhokseumawe. Melihat masjidnya yang kukuh dan gah, pembangunan kawasan sekitaran yang giat dan membangun dan sempat singgah seketika di Pusong yang terletak berhampiran pantai. Masing-masing macam itik yang terlepas, berlumba-lumba melihat orang buat ikan masin.

Perjalanan diteruskan hingga memasuki Aceh Timur. Di kawasan ini kami melalui Perlak. Rasa macam masuk ke dalam buku Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu pula. Kami juga jumpa tempat-tempat yang digelar sebagai Samudera Pasai (ejaan sahaja sedikit berbeza. Menurut Pak Sani, ianya memang kawasan seperti yang tertera dalam buku Sejarah Melayu). Malah, kami sempat makan pulut bakar dan bengkang bersama air kopi dalam kehangatan tengahari di Idi, Perlak.

Sepanjang perjalanan yang panjang ini, kami bercerita diselang seli dengan dengkuran dan olengan kepala kerana tertidur. Dan aku pula, mengambil kesempatan dengan tertidurnya mereka itu untuk bertanya itu ini kepada Pak Sani. Selain sebab nak tahu, sebenarnya cuba memancing Pak Sani agar tidak mengantuk semasa memandu dan rasa lebih segar apabila berbual-bual.

Kami tiba di Dayah Darul Huda, Gedung, Langsa ketika hampir waktu asyar. Belakang macam nak patah dibuatnya, sepanjang hari sejak sebelumnya hanya duduk dalam mobil. Setelah berehat seketika dan berbual-bual dengan Ummi (ibu Pak Sani), kami melawat kawasan sekitar Dayah Darul Huda sebelum ke tempat kenduri yang terletak 500 meter sahaja dari rumah Pak Sani. Pada masa tersebut acara telahpun tamat. Ingatkan sempatlah kami menyaksikan budaya tempatan dalam perkahwinan mereka, namun impian itu tidak kesampaian. Kami hanya sempat ambil gambar pelamin sahaja. Biarpun begitu, perjalanan beratus kilometer memberi kenangan dan pengalaman yang bukan sedikit kepada kami. Kami berpatah balik ke banda, Aceh semula pada malamnya selepas mandi dan berehat seketika. Terima kasih yang tak terhingga kepada Pak Sani. InsyaAllah, semua itu tidak akan terhenti di sini sahaja. Akan ada kesinambungan yang lain lagi selepas ini. Aceh bagaikan terlalu akrab dengan kami. Orang Aceh jangan serik terima kami ya...

Khamis, 11 Mac 2010

Makan Besar di Aceh

Kalau anda seorang yang kuat makan, suka makan dan kerap makan, silalah bertandang ke Aceh. Ia bagaikan syurga bagi penggemar makanan. Sebabnya? Tengok sendirilah hidangan kami bila makan di sana. Sangat meriah. Makan sepuas-puasnya macamlah sebelum ini kami baru balik dari Somalia. Me ketam. Ketamnya masih lagi hidup dalam balang kaca. Yummy...memang sedap, tambah lagi waktu itu memang semua orang tengah kebuluran.

Duduk sahaja di meja, kita akan dihidangkan dengan semua masakan yang ada dalam restoren tersebut. Mereka akan kira apa yang kita makan sahaja. Macam kejutan budaya pula, asal melintas je makanan kat depan mata, terus rembat, makan hingga kekenyangan. Agak-agaknya, apa yang Pak Sani fikir pasal kami? Kebuluran ke teruja? Apa-apa sahajalah Pak Sani...asalkan semua jenis makanan tempatan dapat kami rasa. Bukan senang nak dapat peluang macam itu lagi.

Dan harganya...boleh tahan juga. Bila bandingkan apa yang kami makan, dengan 5 orang makan pula...rasanya RM20 seorang itu terlebih dari berbaloi dah. Sangat-sangat berbaloi, sedangkan kami makan macam tak ingat dunia. Adusssssss! Nasib baik 5 hari sahaja. Baliknya...berat bertambah lagi 2 kg. Ulangan ya...hanya 2 kg...alahai, kena diet ni!

Manisan yang dipanggil “gula yu”? (ampunnnnn ejaannya tak tahu, tapi sebutannya macam itulah). Gula Yu ni adalah sejenis makanan yang diperbuat daripada kelapa muda, dicampur dengan gula melaka. Sangat manis dan lemak, tetapi...sedap!
Rojak buah. Sama sahaja dengan rojak buah di Malaysia tapi hirisannya lebih kecil. Rasanya? Mmmm seikhlasnya, aku lebih suka rojak Malaysia. Paling tidak, pernah rasa rojak di Aceh kan? Pulut bakar. Rasanya lemak tetapi tidak diletakkan walaupun sedikit gula. Sangat sedap kalau dimakan panas-panas. Kalau kat Kelantan, dah pasti akan diletakkan serunding daging atau kelapa (orang kelantan panggil pulut lepa, orang KL panggil pulut udang/pulut bakar). Yummy sedapnya.....tetiba je terkenangkan pulut lepa masa tengah hirup neskepe panas di Idi sambil sms Cik Bintang yang tengah merindu la la la (agak-agak, Cik Bintang akan cakap ke dia tengah rindukan daku yang tengah melahap pulut bakar tu?) Penuh meja. Tak ada ruang kosong yang tidak dimanfaatkan. Piring mereka kecil sahaja dan muatannya pun taklah penuh melimpah. Namun, agak susah juga nak makan dengan aman kerana meja yang sangat sarat dengan pinggan lauk yang tersusun penuh. Dan, sangat sukar untuk menemui sayur. Kalaupun ada, jarang-jarang jumpa ulam atau sup sayur.Walau bagaimanapun, akhirnya...ranap!
Di sini juga ada sate, tapi...cara makannya berbeza sedikit dari di Kajang. Bersama nasi dan sup. Rasanya? Sukar nak terangkan terutama bila makannya pada jam 10 malam saat mata memang dah benar-benar mengantuk dan hati hanya meminta bantal la la la...pada masa tersebut, andai diberi pilihan antara bantal dan makan sate ini, kami nak pilih bantal untuk tidur kerana terlalu keletihan dalam perjalanan yang sangat panjang. Sepanjang 5 hari berpetualang di Aceh, kami sentiasa cari peluang untuk menikmati jus aprikot (macam tu eja? Belasah ajelah!). Lemak, manis dan menyegarkan. Ampunnnnnnnn! Lupa nak snap gelas apokat hu hu hu.

Secara keseluruhan, kita tak akan hadapi masalah untuk makan kalau berada di Aceh. Pertama, makanannya memang sedap dan dah biasa kita makan. Ada masakan Minang, makanan tempatan yang lain pun tak jauh bezanya dengan apa yang ada di Malaysia. Hanya, kat sana masakan karinya sedikit berbeza. Mereka buat rempah sendiri, tak guna serbuk kario. Rasanya macam gulai kat tempat kita. Apa yang paling pasti, orang Kelantan tak akan rasa kekok di sini kerana semua masakannya sangat manis. Apa yang berbeza dengan manis di Kelantan adalah, pada masa yang sama terasa pedasnya. Manis campur pedas. Kalau di Kelantan, manis campur manis sahaja. Payah nak jumpa masakan yang pedas.

Di sini, kiranya kita tak boleh terima tahap kemanisan yang tinggi itu, kena pesan (minuman) dengan slogan tambahan “kurang manis”. Itupun masih lagi manis sayang oiiii. Ini pengalaman orang Kelantan yang tak suka manis hidup di bumi Aceh. Tapi kan, masa tu, tiba-tiba teringatkan mek. Sebabnya? Mek susah nak sesuaikan diri kat tempat orang terutama bila melibatkan makanan. Jadinya, Aceh adalah tempat yang paling sesuai untuk bawa dia jejalan. Boleh gitu? Ada sesiapa nak belanja bakal mak mertua? ...sila isi borang untuk ditemuduga ya ;)

Isnin, 8 Mac 2010

Keindahan Masjid di Aceh

Masjid tidak sekadar menjadi rumah ibadat yang perlu dibanggakan. Pada masa yang sama, masjid mempunyai nilai kesenian yang tersendiri, memaparkan keindahan, nilai seni dan kehalusan ukirannya. Kita memang berbangga dengan masjid-masjid di Malaysia yang besar, indah dan tersendiri seperti masjid kristal nan terapung di Trengganu, masjid Shah Alam, masjid Putrajaya, malah mana-mana masjid terkemuka di negara kita. Setiap kali kita melangkah ke dalamnya, kita pasti akan rasa bangga dengan keindahan, keunikan, keteguhan, dan keselesaannya.
Masjid Baitul Rahman yang sedang giat dibesarkan.

Jika anda berkunjung ke Aceh, hati tentu akan terpegun dengan keindahan dan kesenian yang ada pada setiap masjid di Serambi Mekah itu.Masjid-masjid di Aceh tidak mendapat dana daripada pemerintah. Jadi, khariah di kawasan berkenaan perlu mencari inisiatif sendiri untuk dapatkan dana bagi pembinaannya. sepanjang penjelajahan dari Banda, di Aceh, melewati Lhoksamawee hingga akhirnya tiba di Langsa sejauh hampir hampir 500km, aku tidak pernah menemui biarpun satu masjid yang kecil binaannya, melainkan sangat besar tersergam. Sebahagian daripada masjid-masjid ini masih lagi dalam pembinaan. Mereka mendapat dana hasil sumbangan orang ramai, termasuk tapak untuk binaan. Selebihnya adalah kerja keras ahli kariah memungut derma secara sukarela, termasuklah dengan cara berdiri di tengah-tengah pembahagi jalan (line putih), menahan setiap kenderaan yang melalui jalan tersebut dan memohon derma. Dah lah depa bawa kereta memang laju, risiko untuk kena langgar tu memang tinggi. Keistimewaan masjid-masjid di Aceh terletak kepada reka bentuknya yang penuh dengan kesenian tempatan. Terdapat banyak tiang-tiang yang besar memegang bumbung dengan ukiran dan bentuk yang pelbagai. Sebahagian besar masjid ini pula hanya mempunyai dinding pada bahagian mengadap kiblat sahaja, bahagian lainnya dibiarkan tanpa dinding. Sesiapa sahaja boleh masuk ke dalam bangunan masjid dari mana-mana arahpun. Tak timbul masalah perlu solat di kaki lima masjid kerana pintu masjid berkunci rapat.
Di bawah adalah Musolla yang terletak berhampiran dengan makam Tun Sri Lanang. Kami tiba pada waktu senja, ketika azan berkumandang memecah keheningan. Pembahagian antara tempat solat muslimin dan muslimat pula adakalanya sangat rendah dan terdedah. Memang nampak muslimah yang solat di bahagian belakang. Kita tak biasa macam tu, jadi rasa janggal pula. Tambahan pula untuk aktiviti kemaskan diri selepas selesai solat. Nak betulkan tudungpun rasa kekok, apalagi kalau nak tambah lipstik. Nak baring sesaat dua lagilah tak akan buat. Kelainan yang lain; kamar kecil di bahagian wanita dalam beberapa buah maasjid di Aceh ada sedikit persamaan dengan kamar kecil di masjid Nuiji, Beijing (sekitar tahun 2002. Menurut Cik Bintang, semasa dia ke sana pada 2009, kamar kecil di masjid Nuiji sudahpun ada perubahan. Normal macam di Malaysia). Kamar kecil itu tidak berpintu. Begini rupanya; Agak kekok sedikit untuk kita buang air kecil bila begini reka bentuknya. Apalagi kalau orangnya macam aku, ada orang melintas di sekitar tandas yang tertutup pintupun boleh merencatkan aktiviti dalam kamar kecil itu, apalagi kalau terbuka sebegini. Entah bagaimanalah nanti.

Walaupun begitu, ada dua persamaan antara masjid di Aceh dan di Malaysia. Pertama; sebahagian besar telekung di semua masjid yang kami singgah di Serambi Mekah ini juga berbau, hapak dan tidak begitu selesa untuk digunakan. Kedua, tahap kebersihan di bilik air disebahagian besar masjid ini tidak begitu memuaskan berbanding di masjid Putrajaya atau masjid biru di Shah Alam. Hal sebegini berlaku mungkin kerana pengurusan mereka tidak begitu teratur berbanding di beberapa buah masjid negara kita yang lebih terurus.

Dahlah ya, lain kali sambung bila rajin.

Khamis, 4 Mac 2010

Setelah 6 Tahun dibadai Tsunami


Tsunami yang membadai jadikan Aceh bagai Padang Jarak Padang Tekukur. Ranap. Musnah. Hancur. 2004 bagai tahun celaka. Di mana-mana sahaja ada mayat. Di mana-mana sahaja ada keluarga yang masih lagi tercari-cari anggota keluarga yang hilang. Dan ada antaranya, belum lagi menemui mayat orang yang dicintai hingga kini. Hilang tanpa jejak, dipanggil tanpa tinggalkan makam.
Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda yang baru

Aceh yang bergelora ketika itu, bagaikan terhenti denyutnya seketika. Hanya ada ratap tangis. Hanya tinggal keluh resah duka nestapa. Yang mati, mayatnya bergelimpangan hingga berbulan baru disemadikan. Yang tinggal, tetap juga kalut dikejar mimpi ngeri dan trauma. Kini, sesudah 6 tahun, bumi Aceh kujejaki untuk pertama kalinya dalam hidup. Sesudah 6 tahun mereka meratap tangis dalam duka, wajah Aceh terlalu asing bagiku yang sebelum ini hanya kutatap dikaca TV; ketika itu kosong dan lapang dalam puing yang berantakan.

Ketika menatap keluar dari pesawat, mata tertegun dengan hijau kawasan padinya yang terhampar. Saujana mata memandang. Di bahagian utaranya Selat Melaka membiru. Saat kaki melangkah keluar, mata tertancap terminal lapangan terbang antarabangsa Iskandar Muda yang menyambut kami. Memang tidak percaya. Agam. Tersergam idah. Penuh dengan infrastruktur dan kemudahan moden (masih baru lagi beroperasi, banyak toko-tokonya masih lagi kosong). Sepanjang perjalanan ke hotel di tengah Banda, Aceh, mata kami acap kali terbeliak menyaksikan pembangunan yang sangat pesat. Tiada sedikitpun kesan tsunami yang dapat kami kesan. Bangunan-bangunan yang tersergam itu besar-besar belaka, lalu lintasnya sibuk dengan kenderaan (tetapi penghuninya lebih sopan dan bertertib sedikit berbanding di Bandung: yaaaa ampun, maafkan aku kalau perbandingan sebegini akan menyakitkan hati antara kalian, namun sekadar berkongsi rasa sahaja). Disetiap bulatan, didirikan replika dalam pelbagai bentuk (pengaruh Belanda masih lagi tertinggal di sini).
Kita juga akan dapat lihat begitu banyak masjid yang sebesar-besar alam didirikan di setiap ceruk di Aceh ini. Besar. Cantik. Indah. Mengagumkan. Lebih penting, pembinaan masjid ini adalah usaha persendirian khariah berkenaan tanpa bantuan daripada pihak pemerintah sedikitpun termasuk tapak untuk pembinaannya. Semuanya berdasar sumbangan orang ramai. Ini menyebabkan jangka masa pembinaan masjid-masjid ini memakan masa yang sangat panjang untuk disiapkan. Anak-anak mudanya pula sangat berinisiatif mengutip derma untuk pembinaan masjid. Meraka akan berdiri di tengah-tengah jalan (atas garisan putih) bersama gayung atau baldi yang akan dihulurkan kepada setiap kenderaan yang lalu.

Aku berpeluang bertemu dengan salah seorang imam masjid Baitul Rahman, Prof. Dr. Azman Ismail. Beliau adalah bekas pensyarah berjawatan profesor di salah sebuah universiti di Banda, Aceh sebelum pencen dan menjadi Imam di masjid ini (sebelum tsunami hingga kini). Menurutnya, masjid ini di bina pada zaman Sultan Iskandar Muda lebih 400 tahun lampau. Masjid ini pernah diruntuhkan, dan pernah juga dibangunkan oleh Belanda untuk menarik orang Islam supaya menerima Belanda.

Tsunami menyebabkan masjid ini retak di sana sini walaupun sebahagian besar bentuk fizikalnya masih lagi utuh. Perpustakaan yang terletak di tingkat bawah masjid ini juga turut rosak bersama khazanahnya. Perpustakaan ini kemudiannya telah dibaiki kerajaan Brunei dengan buku-buku di dalamnya disumbangkan kerajaan Malaysia dan Singapura. Pagarnya pula baru sahaja dibina selepas berlaku tsunami, mendapat bantuan dari Singapura, Malaysia dan Aceh sendiri berdasarkan sumbangan orang ramai. Kini, masjid ini masih lagi dalam proses pembesarannya. Bekalan elektrik telah terputus, mereka gunakan enjin yang akan dihidupkan pada masa solat sahaja, manakala airnya diambil dari sumur berdekatan (dipam).
Kawasan petempatan mangsa tsunami yang diberikan dikenali sebagai kampung Jackie Chan sempena nama artis berkenaan yang telah membangunkan kawasan ini. Namun akhirnya, petempatan i ni dijual kepada orang lain kerana letaknya di kawasan bukit dan agak jauh dari pusat bandar.
Kapal janakuasa elektrik yang berada di tengah laut, didamparkan di kawasan perumahan. Beberapa buah rumah dipercayai terbenam di bawahnya.
Sesayup mata memandang datangnya kapal ini...
Menurut Imam masjid, pada hari berlaku tsunami tersebut, di sekeliling masjid terdapat banyak mayat. Kenderaan dan runtuhan bangunan bergelimpangan. Masjid tidak dapat digunakan selama 7 hari. Tiga orang Imam masjid dan seorang muazin juga turut terkorban dalam tragedi tersebut (di kawasan masing-masing, bukannya dalam kawasan masjid). Pada hari Jumaat selepas berlakunya tsunami, masjid masih lagi tidak dapat digunakan untuk solat Jumaat kerana masih banyak mayat dan darah. Mayat-mayat ini hanya di simpan di dalam masjid tetapi belum lagi dikapankan. Pada malam ke 13, masih lagi ada mayat di kawasan masjid. Mayat-mayat ini dikumpulkan NGO dan pemerintah, dihitung dan dibawa ke mobil untuk dikebumikan di perkuburan Masal (kubur besar). Terdapat beberapa kuburan masal telah dibina yang setiap satu daripadanya memuatkan berpuluh ribu mangsa tsunami dalam satu liang lahad. Jumlah keseluruhannya dianggarkan 46, 817 jenazah. Lebih sejam mendengar perkisahan tentang tsunami yang telah menjadi sejarah itu, kami diajukan dua persoalan yang tidak dapat kami jawab;
1. Mengapa semua kuasa barat berlumba-lumba untuk membantu Aceh berbanding Sri Lanka atau negara lain?
2. Setelah menyaksikan azab yang sengeri itu, mengapa manusia begitu mudah untuk lupakannya? Kalau dahulu lalai, kini kelalaian itu diulangi lagi. Dahulu mereka tidak titikberatkan hukum Allah, kini masihkah mahu dilakukan juga?


Coretan ini sudah terlalu panjang. Sempena maulidur rasul yang mulia ini, jom sama-sama kita fikirkan semula apa yang sepatutnya dan yang tak patut kita lakukan dalam jengkal usia nan kian pendek.