Memaparkan catatan dengan label PWTC. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PWTC. Papar semua catatan

Isnin, 29 Mac 2010

Ada Apa dengan Pesta Buku Antarabangsa KL 2010

Semua orang dah cerita tentang kehebatan dan kemeriahan IKLBF 2010 gegak gempita di banyak blog. Walaupun aku dah pergi pada hari pertama IKLBF berlangsung (Jumaat 19 Mac), tetapi tak ada apa yang aku beli kerana pada hari tersebut aku hanya jadi Cik Kiah yang mengetuai rombongan. Tambahan pula, kakak bawa dua orang anaknya, tugas aku bukan sahaja jadi pemandu (nasib baik tak tersesat barat kecuali tersalah masuk dan tersalah keluar kawasan parking di The Mall sahaja. Lainnya, semua berjalan lancar), tetapi juga tukang kawal dan kepung ct si kanak-kanak ribena tu.
Suka posing
Muka letih
Along dah penat la ct...jangan main lagi! Atok yang nengokpun turut penat.
Ini namanya sungai...mmmm macam longkang je!

Tiba masa untuk dia tidur, tanpa peduli keadaan sekeliling, dia tidur je dengan nyenyak. Tak meragampun. Walaupun aku duduk di pentas semasa masuk Karangkraf dengan gempita suara deejay dan lagu-lagu yang diputarkan (betul-betul berada di hadapan corong pembesar suara), dia tidur tanpa berketik. Nyenyak je. Kemudian kami ke Dewan Tun Razak diseberang sungai. Aku terus sahaja ke PTS dan duduk di kerusi hadapan pentas, manakala adik, kakak dan seorang anak buah yang lain teruja jelajah setiap gerai. Janjinya kami jumpa kat PTS. Terima kasih PTS, sediakan kerusi dan pentas kecil yang boleh jadi tempat persinggahan untuk orang-orang yang macam kami ni. Macam musafir pulak!

Bila adik juga berhenti dan tadah punggung di kerusi hadapan pentas di PTS, aku curi peluang sekejab ke gerai Creative Enterprise dan jumpa Mok Yang. Sekejab sahaja, hanya jenguk. Janji akan datang semula pada Khamis nanti. Tiga jam kemudian, dia bangun. Itupun penat kejutkan. Letihlah katakan. Walaupun kami balik dah agak lewat, jam tujuh petang, namun hakikatnya aku hanya sempat menjengah sekali imbas ke MAPIM dan DBP tanpa sempat belekpun. Selebihnya lebih banyak kejar ct.

Mewarisi bakat melukis ayahanda Jaafar Taib; Iwan. Dulu aku panggil dia jejaka idaman Malaya. Dia dah tak cam akupun rasanya, maklumlah...dah makin jelita la la la ;)
Khamisnya aku batalkan untuk pergi semula kerana tiba-tiba sahaja ada urusan terdesak yang perlu aku selesaikan segera. Sabtu 27hb Mac aku memang dah khususkan masa itu untuk ke majlis pelancaran buku Aku, Dia dan Gitar (Nurfa). Orang kata beri sokongan moral kepada penulisnya. Beli novel pada masa pelancaran ini boleh dapat pakej yang menarik...sehelai baju T, sebuah novel dan beg kertas. Harganya hanya RM19.90 (ke RM19? Yaaaaa ampun...tetiba je jadi lupa hu hu hu kira halallah ya. Lagipun pakej istimewa tu dah pun habis. Nak dapatkan lagi dah tak dapat dah...). Jangan jeles ya! Cantik dan comel kan?

Barisan penulis yang lancarkan novel pada hari tersebut; Nurfa nan chomel berada di tengah-tengah. Pinky girl. Rasa bahagiakan...sambut ulangtahun kelahiran, sambut kelahiran novel sulung. Tahniah! Tahun depan 2 novel lagi ya ;)

Berserta air mineral dan kek yang comel lagi...kebetulan, tak sempat sarapan pun pagi tu. Jadinya...ngap je sebelum majlis pelancaran bermula.

Selepas itu terlari-lari anak mencari lokasi untuk pelancaran novel Faisal Tehrani pula. Sudahlah manusianya bersesak, dok pi mai pi mai...akhirnya terus ke gerai Ameen Books bertanyakan staf di sana. Terus rembat novel Bahlut (Faisal Tehrani), Beruk (Azizi Abdullah) dan Rawa (Isa Kamari). Tentu Faisal Tehrani kagum sebab inilah pertama kalinya aku beli novel dia (setelah dia hasilkan 19 buah novel. Ampunnnn ya, Tuan Haji Muda...buku-buku tuan haji boleh tahan tahap mahalnya walaupun nipis. Dan aku akui intinya buatkan buku tuan haji sangat bernilai. Hanya kali ini aku lebih terdorong untuk belinya kerana isu dalam novel ini sendiri. Jangan rasa hati ya tuan haji, kalau kena dengan isunya, BETA memang akan beli hu hu hu). Sempat juga minta autograf dengan Cikgu Azizi untuk novel Beruk. Sebenarnya, ini pertama kali aku pergi jumpa penulis untuk minta autograf. Tak pernah buatpun sebelum ini kecuali novel yang ditulis kawan-kawan. Padahal, peluang untuk aku berbuat begitu sangat terbuka luas.

Novel pertama tuan haji Faisal Tehrani yang aku beli, novel pertama penulis Indonesia yang aku beli di tanah Malaysia ;) Cantik kan caver novel dari Seberang tu...Terlihat gigih berjuang meredah arus kehidupan. Sendirian di bawah sinar bulan...kalau rembulan dah tenggelam di wajahmu, maknanya...
Akhirnya terlari-lari pula ke surau, seterusnya menyeberang jalan ke tingkat 4 The Mall untuk bersarapan dan makan tengahari. Usah tanya jam berapa ketika itu. Mengejar masa sejak pagi (buat kerja sikit sebenarnya dan kemalasan yang melampau untuk mencari makanan) buatkan terbabas untuk makan. Selesai makan, terus ke surau untuk asyar dan redah kesibukan dalam pesta buku semula hingga jam tujuh malam sebelum kembali ke Bangi.

Ingatkan pesta buku dah habis dari diari harian. Ahad, aku cadang ke kedai buku di Wisma Yakin dengan senarai panjang buku yang diperlukan. Namun, tidak satupun aku peroleh kat sana. Akhirnya, terpaksa juga redah kepadatan manusia di pesta buku di PWTC. Ke Creative Enterprise lagi sekali tetapi Mok Yang tak ada, hanya berbual-bual seketika dengan kak Zah. Sempat sambar 2-3 buah buku termasuk buku ini;

Dina, beli tak buku ni? Kalau belum, sila ke Creative semula ya...mesti kau tengah jeles dengan aku kan?

Sekalipun manusia sesak di mana-mana sahaja, tetapi akhirnya perlu aku akui sesuatu...poket dah makin nipis sejak balik dari PWTC petang tadi. Hanya 14 buah sahaja aku borong, namun harganya cecah hingga RM350, belum termasuk senarai panjang yang mohon pengedar carikan. Entah berapa panjang bilnya akan sampai nanti.


Selasa, 4 November 2008

Kisah Sepanjang Ahad

2 November 2008. Ahad.
Hari minggu yang cerah. Biarpun sepanjang Sabtu terlalu letih dengan kerja hingga buku lali bengkak semula akibat enam jam berdiri tanpa rehat (ingatkan terseliuh hanya perkara biasa yang akan baik semula setelah diurut, rupanya surut bengkak dek pandangan kasar tidak bermakna telah pulih sepenuhnya), hari minggu ini kubawa jua kaki ke tengah sesak ibu negara. Sasaran pertama: Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.

Ada beberapa aktiviti berlangsung di PWTC ketika ini (Ahad). Pertama pameran Usahawan. Tak banyak tapak pun untuk pameran ini. Masa sejam sudah lebih dari cukup untuk dapatkan semua info dalam pameran ini. Terdapat gerai-gerai usahawan kecil dalam pelbagai industri. Produk kecantikan, dobi, pertanian, hasil tani, bank-bank tempatan, Tekun Nasional, tabung haji, Bank Negara Malaysia.

Biarpun pameran tu taklah besar sangat, tak juga meriah sangat berbanding pasar malam atau pasar minggu, namun banyak perkara baru boleh dilihat kat situ. Usahawan kita mampu macam-macam produk sekarang ni terutama daripada hasil tani. Ikan haruan bakar segera. Macam-macam jenis jus dan kopi. Macam-macam produk makanan seperti keropok lekor, kuih tradisi dan ada juga yang jual beriani. Entahkan segera entahkan terus makan, tak pulak aku pastikan sebab pada masa itu aku b aru sahaja makan. Jadinya, bila kenyang ni...daya tumpuan kepada makanan tu rendah sikitlah.

Aku tertarik dengan dua produk dalam pameran ini. Pertama, produk-produk yang dihasilkan daripada kurma. Mereka dah pelbagaikan kurma dengan pek yang menarik. Pembungkusan yang kemas dan nampak, profesional dan tak jangkapun produk itu dikeluarkan usahawan Melayu kita. Syarikat ini hasilkan produk dari kurma untuk dimakan macam biasa dalam kotak-kotak tu, kurma yang digabungkan dengan kekacang dan ada juga kurma ini disalut dengan coklat. Bila rasanya, memang sedap. Kalau tak ada promosi, memang tak mampu nak beli. Hanya beberapa biji sahaja untuk harga RM10. Dan aku yang suka barang FREE ni, hanya rasa yang FREE itulah sahaja. Memang sedap!

Kedua, kopi yang dihasilkan daripada herba tempatan. Macam-macam jenis herba dimasukkan. Dihasilkan di Pulau Pinang tetapi pasarannya dah ada di lembah Klang. Kata promoternya, kopi tersebut boleh diminum oleh orang yang sakit kencing manis dan migrine. Apalagi, aku pun nak test lah betul ke tidaknya. Migrine aku memang alah dengan kafein, jadinya, kopi yang sedap itu (memang betul-betul sedap. Tak payah tambah susu atau gula lagi. Memang dah sedia untuk diminum. Sangat sesuai untuk peminat kopi Tongkat Ali. Boleh diminum untuk lelaki dan wanita) aku minum tanpa was-was. Siap mintak segelas lagi kononnya nak buat ujikaji. Hasilnya, selesai sahaja segelas kopi yang sedap itu, aku terus pening-pening lalat. Hanya pening-pening lalat sahaja, bukannya kepala berdenyut seperti migrine yang biasa aku alami. Kerana ujikaji tersebut, aku terpaksa juga ambil dua biji ubat migrine. Risau jugak kalau jatuh terjelepuk dikhalayak ramai sebegitu. Tak pasal-pasal kebolehpercayaan terhadap kopinya itu diragui.

Aktiviti kedua di PWTC adalah pameran hartanah. Beberapa syarikat pemaju perumahan untuk rumah teres, kondo, ruang pejabat mengadakan pameran. Selebihnya ditumpang dek syarikat perabut, kad kredit, dan barangan rumah yang lain.

Aktiviti ke tiga di PWTC merupakan seminar dan pameran miritim Malaysia. Seminar tu dah pastilah kena bayar tetapi pameran tu percuma sahaja. Jadinya, aku bawakan diriku ke pameran tersebut dalam perjalanan ke The Mall untuk makan tengahari. Banyak juga ilmu boleh dikutip dalam pameran berkenaan seperti di Akademi Laut Malaysia, Universiti Malaysia Trengganu, The Association for European Transport (AET) [kat sini sempat la jugak aku tanyakan serba sedikit pasal lanun di Somalia tu…peramah dan baik hati je abang-abang hensem kat situ), UiTM Shah Alam dari Fakulti Kejuruteraan juga ada buat pameran, ramah-ramah adik-adik kat situ.

Satu tapak pameran yang menarik perhatian kat sini adalah syarikat Kejuruteraan Asas Jaya Sdn. Bhd. yang menguruskan kejuruteraan untuk alam sekitar. Satu je sempat aku tanya hingga ke akar umbinya sebab tertarik dengan cara mereka memerangkap sampah di dalam sungai. Cara tu tak payahlah ye aku terangkan secara panjang lebar sebab teknikal jugak. Nanti-nantilah kalau dah habis sangat idea nak udate blog, aku tulis pulak pasal tu.




Sasaran kedua: Midvaley. Sebenarnya nak pergi ke kedai buku. MPH antara kedai buku yang boleh dikunjungi kalau tidak mahu menjelajah dari satu kedai buku ke kedai buku yang lain. Selesa. Besar dan banyak pilihan. Nak pergi ke Kinakuniya di KLCC pun terpaksa tukar train. Jadinya MPH Midvalley antara pilihan yang terbaik. Senang nak pergi, mudah juga nak balik nanti.

Berikut buku-buku yang kucapai dari rak dengan mata yang kelabu;
1. Kota larangan Qui. Jong Chian lai, DBP 20062.

2. Perang Sangkil. Akiya, PTS 20073.

3. Epilog Nusantara. Hamlin Abolhi. DBP 20084.

4. Transgenesis Bisikan Rimba. Amir Husaini. PTS 20085.

5. Kemelut Kasih di Persada Juang. Harry Usup Umbar. DBP 2006.

6. Cekerawala Penulisan. Sohaimi Abdul Aziz. Usm. Ni bukan novel tapi buku pasal penulisan.

Lagi lama di MPH, dah sah-sah akan lagi banyak buku yang akan dipunggah. Inipun dah terlebih budget. Hampir dua ratus. Sekali fikir memanglah rasa mahal, namun bila fikirkan minda juga perlukan pengisian walaupun hanya dengan karya-karya sebegitu, hati cepat benar terpujuk. Lagi mudah memujuk diri bila kenangkan hanya itulah hadiah untuk diri dari penat lelah berkerja yang adakalanya melupakan detik indah mengulit mimpi.

Sementara menunggu Maghrib, kaki dihalakan ke Jusco. Agak banyak juga tawaran diskaun jualan hingga mencecah 80 peratus. Jadinya, enjoykanlah diri menjamu mata membelek mana-mana barang yang perlu. Setelah dua minggu menjelajah pusat beli belah hingga kaki bengkak-bengkak, di Jusco MidValey aku putuskan untuk beli handbeg baru dengan potongan harga 50 peratus. Cantik. Berbaloi. Memang benar-benar diperlukan. Namun, setelah itu...beg sandangku terasa ringan. Ringgit Malaysia dah semakin berkurang untuk bulan ini. Baru dua hari bulan November dijalani. Entahkan sempat sampai ke hujung bulan atau tidak. Tambah lagi, bulan ini agak ligat juga aku perlu lakukan kerja luar. Perlukan modal untuk perjalanan itu biarpun boleh dituntut balik.





Ketika menikmati Mi Kari di Food Court MidValey, kelibat Serina (anak Chef Wan) melintas dengan seorang mat saleh. Hensome. Kira macam sama cantik dan sama padanlah. Tak berani nak buat spekulasi siapa si hensem sebelahnya hanya kerana aku melihat. Lainlah kalau aku pergi tanya dan dia sahkan siapa gerangannya sang jejaka kacak itu.

Jam sembilan malam lebih aku menunggu train komuter ke Seremban. Ahad yang penuh dengan aktiviti. Dan malamnya penuh dengan lelah. Namun puas hati. Gembira juga.