Sabtu, 19 September 2009

Travelog Raya Siri Satu



Masa balik pejabat petang semalam, UKM dah nampak benar sepinya. Hanya pelajar asing terlihat masih lagi di perpustakaan dan pusat kemudahan. Kakitangan Ukm sendiri pun dah ramai yang bercuti. Kawasan letak kereta lengang. Tidak ada lagi masalah parking yang membebankan kepala ramai orang kebelakangan ini.

Semasa penuhkan tong minyak dengan petrol malam semalam, suasana di pasaraya dan stesen minyak masih meriah. Begitu juga di bank. Ramai orang dan terpaksa beratur panjang.

Sebab plan nak balik kampung pada hari ni, pepagi buta lagi...jadinya paksakan juga biji mata yang sudah terlatih tidur seawal 12 tengah malam pada kebiasaannya, menutup tirai pada jam 10 malam. Susah banget, bah! Walaupun siangnya pusing keliling satu donia sempurnakan segala urusan sebelum bercuti, bila tiba bab tidur awal ni...mata memang payah benor nak lelap. Padahal, badan memang dah letih gila. Nasib baik je diri belum sempat gila je hu hu hu.

Entah jam berapa tertidur, namun jam 2 pagi, ada sms ucap raya buatkan aku terjaga semula. Dah lah payah benor nye nak lelap, adalah pulak makhluk allah yang entah dari mana, nak menjalinkan persaudaraanlah pulak...tapi tak kena tempat. Kok ye pun nak eratkan silaturRahim, tengoklah jam sikit SAYANG. Dah lah malam sebelumnya ada orang telefon hampir jam 3 pagi tanya bilik untuk disewa. Tak kan itupun tak reti nak pikir, hang dok benua mana sampai tak reti nak hitung waktu tu dah jam berapa. Tau ler aku selalu membuta lambat, tapi sendreyyy mau ingat la! Tak kan itupun nak kena cakap.

Rasa macam baru sesaat lelap mata, alarm tepon dah berbunyi. Dah 4.15 ke ni? Adoiii mata masih nak lelap ni macam mana? Dalam kemalasan tahap maksima, terpaksa juga campak selimut tebal ke tepi (semalam ujan weh...best nyee kalau boleh sambung tido), lompat katil terus serbu bilik air.

Bertolak dari Bangi jam 4.35 (macam mandi P.Ramlee je kan...tapi, sempat lagi tu minum nescafe panas dan bubur lambok sebagai sahur. Kira kali pertama pada hari terakhir Ramadhan aku bersahur). Dengan semangat yang benar-benar waja bercampur harapan yang menggunung, kaki tekan pedal minyak je. Di jalan raya, dah banyak kereta pada waktu yang seawal itu. Jam 5 aku dah sampai tol Gombak. Baru je tekan minyak meluncur di lebuh raya, tetiba je kena tekan brek. Adoiiiii la, pepagi buta ni dah jem ke?

Tolonglah! Kalau awal-awal lagi aku tahu jem sampai macam ni kat tengah hutan ni, memang aku teruskan saja tarik selimut pada pagi yang berbahagia ini. Dah lah perjalanan tersengguk-sengguk merayap macam lipan, panjat bukit lagi tu. Dah separuh jalan kat tengah bukit nan indah tu (kalau nampaklah...mesti ada kabus pepagi macam, tu...), kesan minum nescafe tadi mula terasa. Kat tengah hutan ni weh...macam mana nak buang? Bukannya boleh berhenti tepi lebuhraya dan buat selamba badak kat tengah khalayak ramai tu membuang merata-rata (walaupun ramai yang terpaksa buat dek tak tahan sangat, termasuk dua orang anak gadis yang manis. Bapaknya yang prihati buka bonet dan keluarkan botol air mineral. Tak sempat nak tengok takat mana perjalanan cerita itu sebab kereta dan gerak ke hadapan walaupun perlahan. Harapnya mereka guna kain batik sebagai penghadang. Takat hari ni, aku belum lagi sampai ke tahap tu rasanya).

Letih dan siksa tau tersangkut dalam jem seumpama itu. Paling tak best kalau nak membuang sesuatu dari usus. Penat pujuk diri dan alihkan fungsi otak agar fikirkan perkara lain, tapi akhirnya...tetap fikirkan tentang nikmat kelegaan jika mampu keluarkan bahan buangan itu. Nak sampai hentian rehat dan rawat Genting sempah pun terasa macam entah berapa kurun. Macamlah perjalanan tu teramat jauh sangat.



Di genting sempah, terpaksa pula cari parking yang memang dah sah-sah payah nak dapat. Dengan kurang ajar dan tahap kesopanan yang teramat rendah, aku mencelah saja di tengah-tengah Stream yang mengangakan pintunya lebar-lebar dan Waja dengan tuan punya kedua-dua buah kereta ini berborak cantekkkk punya. Dah aku sondolkan juga muncul viva tu kat situ, terpaksalah depa tutup pintu dan bersurai dari lepak tu. Sebagai menghargai jasa baik mereka yang sedang beramah tamah tu, aku ucapkan terima kasih dan terlari-lari tupai ke bilik air untuk mencari keselesaan. Beratur panjang jangan cakap, rasanya lebih dari setengah jam. Aku jeling jugak ke tandas lelaki, taklah berbaris sampai dua pusingan kat luar bangunan. Depa ni kongsi jamban ka?

Ada jugak aku mintak dengan orang depan untuk masuk dulu. Saja je cuba, kotlah dia tak terlalu terdesak sangat. Kalau dia beri laluan untuk aku, aku memang akan tabik spring. Sanggup aku kenduri kari ayam sekor kalaulah dia bagi. Tapi, dia memang tak bagi hu hu hu. Terpaksalah tunggu lagi 2 minit sebelum aku mampu menyelesakan diri kemudiannya.

Masa tengah jem kat tengah hutan tadi, adik sms beritahu dia belum lagi sampai rumah, masih di Machang. Dia yang balik selepas berbuka semalam. Nak kata apa, memang kampung kami jauh dan terpenuh jem. Setiap kali musim perayaan entah berapa juta kenderaan mendarat ke neegeri kelate yang terpenuh cik mek molek come lote tu (aku je belum sempat come lote hu hu hu).

Dah rasa selesa perut sikit, aku tefon adik. Dah sampai rumah pun. Aku tanya Mek, nak kena balik terus hari ni ke tidak. Mek jawab “balik”. Aku pandang jalan raya yang masih lagi sendat dengan kereta. Kawasan Genting Sempah melimpah dengan orang, kereta, bingit dengan hon. Perjalanan belum lagi sampai suku, tapi jemnya memang boleh buatkan pahala puasa berkurang. Stress dengan suasana boleh buatkan hilang pertimbangan. Kalaupun tidak bergaduh dengan pemandu lain, paling tidak mulut akan tersebut juga benda-benda yang tidak enak didengar telinga.

Telefon kakak tanya pendapat dia juga. Dia balik Jumaat tengah malam. Dia cakap terpulang kat aku. Bila fikirkan semula, dengan viva yang memang mempunyai kuasa kuda teramat tinggi dan boleh memecut hingga 180km/j itu, suasana jem, hari yang mendung dengan tanda-tanda nak hujan makin ketara, dan pinggang yang dah mula lenguh (sori bukan nak kondem viva, barangkali...aku ni dah tua kot hu hu hu bukan 18 lagi ke?, tulang mudah reput!) aku akhirnya memutuskan untuk patah balik. Dan keputusan itu merupakan keputusan yang terbaik pada saat itu kerana hujan mula turun dengan lebat. Jem di belakang juga teramat panjang hingga aku sendiri tidak pasti berapa jaraknya. Apa yang nyata, selepas bayar tol di Gombak, pesta lampu brek pun bermula.

Kasihan pulak kat adik, bahan-bahan untuk dia masak nasi minyak malam ni semuanya ada dalam kotak di bonet kereta yang aku bawa. Semalam aku dah ingatkan dia untuk bawa sekali, tapi muatan keretanya memang dah banyak walaupun tak lah sendat sangat. Kerepek ubi dan barang-barang untuk buat kek coklat juga ada dalam kotak itu, termasuk sekali roti dan bahan-bahan untuk buat puding roti. Nampak gayanya, esok mereka hanya makan nasi minyak dan kuih-kuih yang ada kat kampung ajelah. Yang lain masih belum balik dengan aku. Sesiapa yang datang pada hari raya pertama ke rumah kami akan alami sedikit kerugianlah. Jadinya, datanglah raya ke dua ya...itupun aku sempat goreng mehun aje kot hu hu hu. Campur dengan puding roti!

Hari ini, kawasan UKM terlebih sunyi lagi. Pengawal keselamatan memandangku dengan muka semacam sahaja semasa aku melintas pintu utama. Kalau dok rumah memang sah aku akan tarik selimut balik, malam karang tak ngantuk la pulak. Pagi Raya kan nak mengembara beratus batu ni...aduhaii!

Travelog ini akan bersambung semula selepas raya.

Isnin, 14 September 2009

Selamat Menyambut Ketibaan Hari Kemenangan


Selamat menyambut hari kemenangan dengan tibanya Syawal. Moga Aidilfitri kali ini lebih bermakna.



Ketupat pulut jadi hidangan,
Pasang pelita tengah halaman;
Selamat sambut hari lebaran,
Bersama kita saling bermaafan.



Kepada semua, mohon maaf andai terkasar bicara, tersalah tutur kata, terkilaf rasa...daku hanya insan biasa, tiada lari dari membuat silap dan dosa. Mohon dimaafi segala.

Ahad, 6 September 2009

Broach Mutiara untuk Hari Raya

Pergi Kota Kinabalu hari tu, hanya sempat ke kedai mutiara sahaja. Beberapa orang rakan ada kirim dan dah selamat diterima semuanya. Kakak juga kirim dengan kuantiti yang agak banyak, selain untuk 2 orang anak daranya, juga untuk dipasarkan kepada teman-temannya. Namun begitu, kirimannya yang banyak itu tidak mendapat sambutan yang HANGAT seperti yang dia andaikan. Seminggu sebelum itu, seorang guru di sekolahnya telah jual banyak broach. Ramai yang dah beli. Hanya gelang mutiara dan beberapa set broach sahaja yang terjual. akhirnya, broach itu kembali semula ke pangkuanku.


Alamak, apa nak buat ni?


Inilah jadinya bila orang kirim pakai air liur sahaja!


Jadinya, kepada rakan-rakan, kawan-kawan, kakak-kakak, mak cik-mak cik atau adik-adik yang belum sempat untuk mencari keperluan aksesori diri pada musim perayaan nanti, bolehlah tengok broach mutiara yang didatangkan khas dari Kota Kinabalu, Sabah ini. Jika berkenan, bolehlah order ya. Harga memang berpatutan. Macam harga beli di Sabah sahaja. Masa pergi Kota Kinabalu dulu, tambang belon dan hotel dibayar dek Kerajaan Malaysia sebab aku pergi sana untuk kerja. Sebab ambil banyak sikit, dapatlah tawar harga walaupun taklah banyak mana.


Kepada yang ambil lebih dari satu broach, harga boleh runding lagi. Emelkan pertanyaan dan pesanan anda ke annieyss@gmail.com untuk maklumat lanjut.


No. 1
Harga Asal: RM44
Harga Jual:
RM 40








No. 2
Harga Asal: RM44

Harga Jual: RM40





No. 3
Harga Asal: RM70
Harga Jual: RM52
Yang ni hanya ada satu-satunya dan sangat cantik. Hati berkenan sangat-sangat. Kat tengah-tengah tu ada batu-batu warna putih. Paling mahal antara semua yang ada.









No. 4
Harga Asal: RM 40

Harga Jual: RM37



No. 5
Harga Asal: RM42
Harga Jual: RM 38





No. 6
Harga Asal: RM55

Harga Jual: RM 45







No. 7
Harga Asal: RM48
Harga Jual: RM44










No. 8
Harga Asal: RM44

Harga Jual:
RM 40











No. 9
Harga Asal: RM48
Harga Jual: RM 44


















Broach ni harganya tak standard kat Sabah. Ada masa patern yang sama sangat berbeza harganya bila beli pada masa yang lain walaupun di kedai yang sama. Aku baru perasan hal ni masa save gambar-gambar ni dalam folder. Yang pasti, harga yang aku dapat kali ini jauh lebih murah berbanding yang pernah aku beli untuk Jieda sebelum ini. Jadinya, tidak mustahil juga, untuk patern yang sama macam kat atas, akan turun atau naik harga pada masa akan datang.
Barangkali juga aku masih belum lagi memahami dunia pearl yang menjadi keagungan ramai insan ini sepenuhnya. Tengah belajarlah ni. Nanti dah pandai, bolehlah buka Bazaar Mutiara Sabah di bandar baru bangi kan?

Khamis, 3 September 2009

Mutiara Sabah

Kota Kinabalu kian kerap menerima derap sepatu lusuhku. Biasanya, tibaku di kota mutiara itu hanya dengan lenggang tanpa apa-apa yang diusahakan. Barangkali kerana kerapnya tiba di sana tanpa sempat lakukan apa-apa aktiviti kegemaran buatkan lenggangku pada darjah paling minimum. Namun, tiap kali kembali dari sana, ada juga teman-teman melahirkan rasa ..... kerana tidak berkesempatan memijak bumi kinabalu itu yang memang terkenal dengan mutiaranya. Menjadi kegilaan ramai wanita sejati (kiranya aku ni belum begitu sejati kerana tidak menganggap benda ini sebagai sesuatu yang istimewa. Barangkali kerana sudah terlalu biasa).

Julai lepas, Dina dan Jieda kirimkan gelang dan broach mutiara. Ada rasa puas dapat gembirakan mereka dengan kiriman itu. Kali ini juga mereka kirimkan benda yang sama, malah kakak juga ambil kesempatan dengan musim perayaan untuk kirim aksesori berkenaan buat dua orang anak daranya. Dia juga menerima kiriman teman-teman rapatnya.

Ingatkan bila jumlahnya lebih banyak sedikit dari biasa, dapatlah jadi ahli. Harga untuk ahli jauh lebih murah berbanding bukan ahli. Ros pernah beritahu yang dia mendapat keahlian bila membeli barang melebihi RM800 untuk kali pertama. Risik punya risik, ternyata mereka sudah meningkatkan nilai tersebut hingga mencecah RM2 ribu ringgit. Alahai! Mahal bebenorlah pulak. Aku bukannya nak buka Bazar Mutiara di Bangi!

Kesuntukan masa menyebabkan aku hanya sempat ke gedung mutiara sahaja. Tidak sempat pun ke Pasar Filipina untuk beli kuih cincin ataupun FM untuk Kak Azie kita. Ada juga belek di Airport Kota Kinabalu, namun rasa memang tak berbaloi sangat untuk beli sebab memang dah tahu harganya 3 untuk RM10. Buat Kak Azie, tunda FM tu ke bulan November nanti, boleh? November nanti akan ke Kota Kinabalu lagi sekali. Harap-harapnya sempatlah ya. Mohon ampun bebanyak. Sebelum pergi beria-ria je tanya nak kirim, dah balik, tak sempatlah pulak ya!

Apapun, belian kali ini tetap juga sengaja dilebihkan, dan dipelbagaikan juga. Manalah tahu kalau-kalau ada rakan-rakan yang tidak sempat kirim sebelum ini. Manalah tahu juga ada antara kalian yang nak melaram pada musim perayaan nanti.

Setiap satunya dinyatakan harga asal, harga baru (tak caj pun minyak belon dan hotel. Kaki ni lenguh tau...caj wat beli minyak angin nak urut kaki je hu hu hu) dan bilangan yang masih ada. Bagi yang berminat, usahlah segan silu untuk e-melkan (annieyss@gmail.com) atau tinggalkan pesanan pada ruangan komen. Boleh e-melkan juga no telefon, nanti sms semula. Kalau beli melebihi 5 barang, boleh dapatkan harga beli untuk barang terakhir (satu barang sahaja) untuk jenis barang tertentu.
entri ini akan diupdate dengan gambar-gambar selewat-lewatnya weekend ni. Tak sempat lah nak snap gambar setiap satu....

Rabu, 2 September 2009

Merdekakah kita?

Tak sedarpun Ogos turut tiba ke hujungnya (masa aku tulis ni belum habis lagi Ogos), seperti hampirnya 2009 habiskan suku ke tiga tahun ini. Sekejab sahaja masa berlalu. Tak terasapun. Pencapaian tahun ini masih belum begitu mampu untuk dibanggakan walaupun berbanding tahun lepas, ada sedikit peningkatan. Hanya sedikit!

Ulang tahun kemerdekaan negara kali ini (ke 52 tahun) kita sambut pada bulan Ramadhan. Lebih kurang sama situasinya seperti tahun lepas. Kemeriahan sambutan kemerdekaan seakan hambar biarpun tarikh keramat 31 Ogos hampir tiba (jika dilihat dari segi kemeriahan kibaran Jalur Gemilangnya). Sambutan Ramadhan nampaknya lebih meriah berbanding sambutan kemerdekaan negara (biarpun alasan selsema Babi digunakan untuk menghalalkan kekurangan meriah sambutan ulangtahun kemerdekaan) dengan Bazar Ramadhan yang ada di mana-mana sahaja seluruh negara (di Bandar Baru Bangi sahaja ada sekurang-kurangnya 4 Bazar Ramadhan yang tidak satupun sempat aku kunjungi), dan kemeriahan malamnya di masjid-masjid dan surau dengan terawih, malah Qiamulail juga. Tak gerun pun dengan selsema Babi yang digeruni bila membicarakan kemeriahan sambutan kemerdekaan yang malap.

Setelah 52 tahun Malaysia memerdekakan diri dari penjajah, persoalannya, benarkah kita sudah merdeka? Adakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali tibanya Ogos setiap tahun, kita sudah kira merdeka? Adakah dengan menukar ring tone telefon dengan lagu-lagu patriotik setiap kali Ogos itu, maka kita sudah merdeka? Cukupkah dengan menayangkan filem-filem Sarjan Hassan, Lefternan Adnan, 1957 Hati Malaya dan macam-macam filem perjuangan negara yang lain, kita sudah merdeka? Atau cukupkah dengan hadiri perbarisan hari kebangsaan saban tahun di Dataran Merdeka pada 31 Ogos itu sudah merdeka? Ataupun, merdekakah kita bila hadiri upacara gilang gemilang mengira detik 12 tengah malam menyambut tibanya 31 Ogos itu?

Apa sebenarnya merdeka itu? Cukupkah sekadar kibarkan Jalur Gemilang semata-mata? Terlonjak-lonjak saksikan konsert, hadiri detik 12 tengah malam 31 Ogos dengan gemerlap bunga api, kemudiannya meninggalkan timbunan sampah sarap untuk dibersihkan DBKL, berpesta tanpa kenal batas susila terlibat dengan maksiat dan alkohol atau dadah?

Merdekakah kita bila hak bangsa sendiri dinafikan? Apa erti merdeka itu bila kuasa raja-raja Melayu kian dikikiskan? Hak Melayu semakin berani dipertikaikan? Merdekakah kita bila sejarah tentang bangsa dan negara sendiripun kita timbus perlahan-lahan. Merdekakah kita?

Merdekakah kita bila bahasa sendiri hampir tergadai? Kita telah kehilangan Tanah Melayu (ditukar menjadi Malaysia), Bahasa Melayu (menjadi Bahasa Malaysia). Selepas ini, “Melayu” apa lagi yang akan hilang? Akan sentiasa benarkah kata-kata Datuk Lagenda Hang Tuah dengan “Tak Melayu Hilang Di Dunia”. Melayu apakah lagi yang akan tinggal selepas ini?

Apa sebenarnya erti merdeka itu bila kebebasan bersuara diagungkan di negara berbilang bangsa, agama dan kepercayaan ini? Di negara mana kebebasan bersuara sepenuhnya menjadi Tuhan itu, memberi kebaikan penuh kepada mereka? Akan kekal aman damaikah negara kita andai amalkan kebebasan bersuara sebegitu? Merdeka sebegitukah yang kita mahu?

Merdekakah kita andai setiap hujung minggu, jalan Tengku Abdul Rahman tetap menjadi sasaran untuk perarakan dan tunjuk perasaan? Merdekakah kita bila banyak harta benda musnah, keamanan tergugat, keselamatan tidak lagi terjamin di tengah bandaraya sendiri? Merdeka sebegitukah yang kita cari?

Merdekakah kita bila jenayah kian meningkat, rempit menjadi musuh besar, ragut umpama pembunuh senyap? Merdekakah kita andai setiap warga menyimpan prasangka antara satu sama lain? Merdekakah kita sebenarnya?

Tahun ini, ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 52. Persoalannya, sudah merdekakah kita?

Dah penatlah tanya...ada sesiapa nak jawab?