Rabu, 8 Jun 2016
Membazir di Bulan Ramadhan
Sabtu, 6 Ogos 2011
Boikot Bazar Ramadhan
Jumaat, 27 Ogos 2010
Jom Beli Barang Raya @ Putrajaya
Jom Beli Barang Raya @ Putrajaya ini sedang gempita di Presin 2, Putrajaya. Lokasinya berhadapan dengan Bazar Ramadhan Putrajaya, iaitu bersebelahan dengan bahagian pinjaman perumahan negara, sambil hantar permohonan lengkap pinjaman perumahan kerajaan, bolehlah pergi sesakkan diri kat sini.
Hari ni Selangor cuti sempena Hari Nuzul Qur’an. Baru petang semalam aku tahu. Teruk tak aku? Cutipun tak tahu. Itu maknanya aku sangat fokus dengan kerja membangunkan negara hu hu hu alasan tak boleh blah kan? Jadinya, petang semalam aku dah serbu bank untuk keluarkan duit dan cuba bayar semua hutang piutang negara bangsa sebelum kedatangan bulan baru. Lambat bayar kang kembang lagi ranum bunga-bungaan yang semerbak wangi bank bagi kan. Itu semua orang tahu. Namun, disebabkan kat mana-mana bank pun akan ramai orang, aku hanya sempat keluarkan duit sahaja barang 4-5 juta (rupiah), tetapi tidak sempat untuk berkejar ke bank yang lain walaupun berada di bangunan yang sama. Manalah aku tahu pada bulan puasa sebegini, bank pun tutup awal. Ingatkan semua orang sedang fokus dan kusyuk untuk bangunkan negara bangsa macam aku juga hu hu hu adusssssss!
Zaman sekarang memang tidak begitu selamat untuk simpan tunai kat rumah. Simpan kat bank pun tak begitu selamat, apalagi bawah bantal macam aku. Juta-juta (rupiah) ini walaupun kecik sangat bagi orang lain, tetapi sangat besar maknanya bagi aku. Kalau kecil, tak lah aku berhutang bayar yuran kan kan kan? Terpaksalah aku ke Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk cari bank yang menjalankan operasi mereka walaupun pada hari Nuzul Qur’an. Mula-mula pergi maybank, kemudian parking belakang Bazar Ramadhan dan ke Bank Simpanan Nasional.
Terlanjur dah berada di kawasan yang sedang gempita kena serbu, apa kata turut bersesak sama kan?
Tempat paling sesak orang berhimpit...Dutch Lady. Entah apalah menariknya Perempuan Belanda ni, akupun tak tahu.
Tak boleh nak jengok apa, hanya kepala orang sahaja yang nampak.
Siapa percaya aku akan pakai kebaya ni masa raya nanti?
Kebaya budak...teringat kat anak buah pulak. Mmmmm tak elok budak-budak pakai seksi, tak payahlah beli kan...
Macam-macam barang ada jual termasuk perabut, tilam, cadar, pakaian, beg tangan, kasut. Kuih raya memang tak payah cerita, banyak. Barang elektrik, telefon, kamera. Macam-macam lagilah. Pergi sendirilah sesakkan diri tengok apa yang ada!
Capal di sini aku dah cuba, murah dan selesa untuk dipakai. Kaki aku ni bukan boleh pakai sebarang sendal atau kasut, sensitif. Yang ini memang sesuai. Lembut. Penat pilih, tapi tak ada yang memuaskan hati. Jahitan terbertaslah,kotorlah...sengetlah...aku memang cerewet! Akhirnya, tak beli. Capal besar ni lupa nak tanya berapa harga.
Dalam khemah ni, walaupun kat luar panas terik dan kat dalam sesak gilerrrrr, namun pendingin hawa memang cukup. Tak panas. Tak berpeluh pun. Tak rasa meruappun. Namun, aku tetap akan dapat migrine juga kerana perubahan suhu yang berulang antara bahang kat luar dan dingin kat dalam, juga kepanasan pada masa yang lain. Sampai rumah terus mandi, kurangkan suhu dalam otak. Pasang ekon suhu 16 darjah, putarkan kipas dengan kelajuan 5 dan berusaha untuk tidur walaupun cuaca tetap panas. Bangun sejam kemudian, kepala masih lagi berdenyut. Berat. Tekak rasa nak muntah. Kalaulah boleh letak kepala dalam peti ais tempat dingin beku sekarang ni...rasa sangat bestttt!
Tunggu buka puasa untuk telan berkatun-katun ubat. Ohhh, lambat lagi! Rasa nak minum aislah hari ni...tapi, mana boleh minum neskepe. kan tengah migrine. Mmmmmm
Khamis, 19 Ogos 2010
Plaza GM dah runtuh, Roslin dah Cerai...Aku nak Jadi Atromen Taro
Kalau ke Aceh, usah hairan bila terpandang papan tanda “Orang miskin dilarang sakit”. Maka aku pula, “dilarang migraine” hingga ke hujung tahun. Namun, larang macam mana pun kalau kekasihku itu nak datang, ada dia kesah larangan tu?
Pagi tadi aku dah rasa macam nak kena migraine teruk, tapi aku pergi juga ke bank di belakang rumah untuk beberapa urusan terutamanya bayar yuran semester. Esok dah tarikh akhir. Bila balik rumah hampir jam satu tengahari, denyut di kepala memang makin bertambah. Nak tengok skrin komputerpun tak boleh, nak baca buku pun tak boleh. Letak kepala kat bantal pun tak lelap.
Lepas solat zohor, aku paksa juga tutup mata. Siap pasang ekon dan buka kipas lagi. Harap-harapnya nanti, bila bangun petang, kalau migraine tak hilangpun, akan berkurang sedikit. Namun, bila tersedar petangnya, ketika kumandang azan asar, denyut itu masih lagi ada. Hanya sedikit sahaja kurang. Kalau aku bangun, memang sah akan teruk semula.
Aku terpaksa bangun juga bila dengar pengumuman di kawasan taman yang Pusat kesihatan akan buat semburan asap jam lima nanti. Waktu itu dah jam 4.40 petang. Tinggal lagi 20 minit. Rakan-rakan serumah yang habis kerja jam lima pun belum balik lagi. Nak tak nak, aku perlu mandi, kurangkan sedikit suhu dalam kepala. Lepas mandi terus bersiap ke Bazar Ramadan belakang rumah walaupun niat asalnya nak goring nasi yang tak sempat makan masa sahur pagi tadi. Penat pusing, tak ada satu benda pun kat BaRam tu boleh buka selera. Kepala pula makin berdenyut. Kalau boleh cabut, memang dah tanggalkan dan simpan aje dalam peti ais.
Akhirnya terpaksa beli juga nasi dan putu bambu. Ketika orang lain bersesak balik ke rumah, aku pula pergi pejabat untuk buka puasa. Kalau aku tunggu asap itu reda yang entah jam berapa (dah lah kawasan rumah tu memang dekat sangat dengan BaRam, perlu sembur ke waktu sebegini? Tak meresap masuk ke dalam makanan ke nanti?). Jadinya, kalau migraine aku tak reda juga hingga tengah malam walaupun dah makan ubat nanti, esok pagi ajelah aku balik rumah ya…
P/s: nak lelap mata jab sebelum berbuka, mana tahu akan berkurang…tolong bagi tau ya kalau dah masuk waktu berbuka.
p/s: Terima kasih banyak-banyaklah ya Kementerian Kesihatan, sentiasa sahaja berusaha nak pastikan aku sentiasa sihat.
Ahad, 15 Ogos 2010
Bila Fauziah Latiff di Gaza, Obama Benar Bina Masjid...
Kagum juga dengan si cantik ini...

Ehsan Inche Google.
Suaranya merdukan? Wajahnya cantik kan? Lakonannya hidup kan?
Dan aku...kerapkali tersedu tiap kali menatap redup matanya, tiap kali melihat teduh wajah dukanya. Dia benar-benar buatkan aku terbuai. Dan hari ini, bertambah lagi kekagumanku padanya.
Ketika orang lain mengah kekenyangan dek lambakan Bazaar Ramadhan di tanahair, dia berpanas dan sudi hitamkan kulit di tengah pergolakan Gaza. Pertaruhkan nyawa.
Siapa kata artis hanya sudi jadi pasu bunga bergerak dalam majlis gemerlap dengan kasut tumit tinggi dan gaun bling bling berlabuci sahaja? Dia dah buktikan yang dia boleh lakukan apa yang tidak ramai orang sanggup buat. Tabik spring! Fauziah Latiff, lain kali kalau nak ke sana, ajaklah aku sama. Nak ikuttttt!!!!
Ramadhan, beri banyak hikmah kepada insan. Bukakan pintu banyak hati. Namun, di tengah kemurniaan Ramadhan nan mulia ini, mengapa masih ada hati yang Allah tutup rapat hingga sanggup menjerumuskan diri ke lembah hitam?
Bukankah syaitan telah dikurung? Bukankah syaitan telah diikat? Lalunya, siapa pula yang ambil alih tempat penghuni Jahanam itu?
Rabu, 2 September 2009
Merdekakah kita?
Ulang tahun kemerdekaan negara kali ini (ke 52 tahun) kita sambut pada bulan Ramadhan. Lebih kurang sama situasinya seperti tahun lepas. Kemeriahan sambutan kemerdekaan seakan hambar biarpun tarikh keramat 31 Ogos hampir tiba (jika dilihat dari segi kemeriahan kibaran Jalur Gemilangnya). Sambutan Ramadhan nampaknya lebih meriah berbanding sambutan kemerdekaan negara (biarpun alasan selsema Babi digunakan untuk menghalalkan kekurangan meriah sambutan ulangtahun kemerdekaan) dengan Bazar Ramadhan yang ada di mana-mana sahaja seluruh negara (di Bandar Baru Bangi sahaja ada sekurang-kurangnya 4 Bazar Ramadhan yang tidak satupun sempat aku kunjungi), dan kemeriahan malamnya di masjid-masjid dan surau dengan terawih, malah Qiamulail juga. Tak gerun pun dengan selsema Babi yang digeruni bila membicarakan kemeriahan sambutan kemerdekaan yang malap.
Setelah 52 tahun Malaysia memerdekakan diri dari penjajah, persoalannya, benarkah kita sudah merdeka? Adakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali tibanya Ogos setiap tahun, kita sudah kira merdeka? Adakah dengan menukar ring tone telefon dengan lagu-lagu patriotik setiap kali Ogos itu, maka kita sudah merdeka? Cukupkah dengan menayangkan filem-filem Sarjan Hassan, Lefternan Adnan, 1957 Hati Malaya dan macam-macam filem perjuangan negara yang lain, kita sudah merdeka? Atau cukupkah dengan hadiri perbarisan hari kebangsaan saban tahun di Dataran Merdeka pada 31 Ogos itu sudah merdeka? Ataupun, merdekakah kita bila hadiri upacara gilang gemilang mengira detik 12 tengah malam menyambut tibanya 31 Ogos itu?
Apa sebenarnya merdeka itu? Cukupkah sekadar kibarkan Jalur Gemilang semata-mata? Terlonjak-lonjak saksikan konsert, hadiri detik 12 tengah malam 31 Ogos dengan gemerlap bunga api, kemudiannya meninggalkan timbunan sampah sarap untuk dibersihkan DBKL, berpesta tanpa kenal batas susila terlibat dengan maksiat dan alkohol atau dadah?
Merdekakah kita bila hak bangsa sendiri dinafikan? Apa erti merdeka itu bila kuasa raja-raja Melayu kian dikikiskan? Hak Melayu semakin berani dipertikaikan? Merdekakah kita bila sejarah tentang bangsa dan negara sendiripun kita timbus perlahan-lahan. Merdekakah kita?
Merdekakah kita bila bahasa sendiri hampir tergadai? Kita telah kehilangan Tanah Melayu (ditukar menjadi Malaysia), Bahasa Melayu (menjadi Bahasa Malaysia). Selepas ini, “Melayu” apa lagi yang akan hilang? Akan sentiasa benarkah kata-kata Datuk Lagenda Hang Tuah dengan “Tak Melayu Hilang Di Dunia”. Melayu apakah lagi yang akan tinggal selepas ini?
Apa sebenarnya erti merdeka itu bila kebebasan bersuara diagungkan di negara berbilang bangsa, agama dan kepercayaan ini? Di negara mana kebebasan bersuara sepenuhnya menjadi Tuhan itu, memberi kebaikan penuh kepada mereka? Akan kekal aman damaikah negara kita andai amalkan kebebasan bersuara sebegitu? Merdeka sebegitukah yang kita mahu?
Merdekakah kita andai setiap hujung minggu, jalan Tengku Abdul Rahman tetap menjadi sasaran untuk perarakan dan tunjuk perasaan? Merdekakah kita bila banyak harta benda musnah, keamanan tergugat, keselamatan tidak lagi terjamin di tengah bandaraya sendiri? Merdeka sebegitukah yang kita cari?
Merdekakah kita bila jenayah kian meningkat, rempit menjadi musuh besar, ragut umpama pembunuh senyap? Merdekakah kita andai setiap warga menyimpan prasangka antara satu sama lain? Merdekakah kita sebenarnya?
Tahun ini, ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 52. Persoalannya, sudah merdekakah kita?
Dah penatlah tanya...ada sesiapa nak jawab?