Selasa, 28 Oktober 2008

Muruku vs Lompat Tikam



27 Oktober 2008. Deepavali.

Hari Deepavali juga dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam
kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.


Menurut lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada manusia yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada golongan yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dinyalakan bagi melambang kejayaan “kebaikan” mengatasi “kejahatan” yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.


Deepavali pada tahun ini jatuh pada hari Isnin, jadinya ramai yang berpeluang untuk bercuti panjang (tiga hari). Memandangkan Syawal masih lagi ada beberapa hari, ramai juga yang membuat rumah terbuka Aidilfitri termasuk Caluk Corner yang menjadikan rumah Su di Equine sebagai tempat pertemuan. Malangnya tidak semua orang dapat hadir, termasuk aku dan Dina.

Kesempatan cuti yang ada inilah dapat digunakan untuk bertemu teman-teman walaupun tiga hari berkenaan agak suntuk sebenarnya. Sabtu yang memenatkan pada satu aktiviti kesenian pembacaan puisi oleh penuntut asing yang kuhadiri, Ahad yang lelah hingga ke malam. Lalunya, Isnin itu sekalipun berat mata untuk kubuka, dengan darjah kemalasan yang tinggi, bangkit juga diri dari pembaringan kukuskan pulut. Teringatkan betapa sudah terlalu lama janjiku untuk buatkan Dina Lompat Tikam, sejenis kuih berperasa manis yang terkenal di negeri kelahiran Darul Naim itu, tak sampai hati pula andai aku berlenggang kosong.

Sebab Fad nak nengok macam mana rupernya lompat tikam tu, aku tampalkanlah gambarnya kat sini. Kalau nak rasa, terpaksalah Fad pegi rumah Dina ye....
Sepagi aku siapkan pencuci mulut itu dan jam dua petang terus bersiap untuk ke stesen komuter dengan meninjing beg kertas berisi Lompat Tikam yang masih lagi suam. Dan Dina mengambil aku di stesen Petaling, berhampiran dengan rumahnya. Sepinggan penuh spagetinya yang sedap itu kunikmati. Sampai hari ini kenyangnya masih terasa. Berkat ikhlas orang yang membuat.




Terima kasih, Dina. Susah payah buatkan spageti. Nasi impit dan potongkan lemang yang kau beli tu. Malangnya aku hanya mampu makan spageti sahaja. Perut penuh. Agaknya sempit benar perut aku ya...ataupun, pendek kot tali perut aku ni. Apapun, selain kuih raya berbalang yang kubawa balik (rumah Dina jadi port kuih raya aku sejak sebelum Aidilfitri), balikku itu juga bersama ikan pekasam dan ikan segar. Juga terima kasih pada Dina & family. Aku sendiri belum tahu entah bila boleh dihabiskan ikan-ikan itu.

Aku berjanji untuk tunjukkan Dina cara masakkan Lompat Tikam itu pada hari yang lain. Cara Ain makan buatkan aku rasa Dina memang patut belajar buatnya nanti.

Khamis, 23 Oktober 2008

Tangisan Alam



"Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."
(Al Quran Al Karim Surah Al An'aam ayat 99)


Belakangan ini, hari sentiasa basah. Setiap hari. Dingin. Sejuk. Panas usah diharap hingga ke petang kerna belumpun tengahari, mendung datang berjujut-jujut. Terpenuh lenggang, terjemput lenggoknya. Kelam. Langit pun berjelaga.


Hari memang indah andai dapat main hujan. Merasa dinginya. Menikmati tiap butirnya yang menerpa ke muka. Mengusap tempias di muka jendelapun sudah mengasyikkan, apalagi andai berlarian di bawah hujan lebat. Sejuk namun menyegarkan. Dingin tetapi indah.


Kalaupun tidak tergamak untuk berlarian di tengah hujan bagai anak itik terlepas gok, sekadar memandang titisnya di hujung atap sudah memadai. Mengamati titiknya yang terpercik di cermin sudah pun mencukupi.


Namun hujan sebegini, tiap pagi yang kalau boleh mahu dilambatkan datangnya agar masa bergelumang dalam selimut boleh dipanjangkan sedikit, agak menganjak jadual harian. Pagi yang datang dengan kemalasan untuk bangkit, atau malam yang bertanding terlalu awal hingga ramai yang terbenam dengan resah dalam kesesakan jalan raya. Kalau boleh, hujan sebegitu mahu cepat sampai di rumah. Mahu segera bersiram. Segera dapatkan secawan the wangi dengan sepiring pisang goring panas. Mahu segera juga santapan malam. Apalagi, mahu lebih segera ke peraduan setelah lelah seharian mengejar dunia di tempat kerja. Kalau boleh.

Seperti juga hujan yang boleh saja turunnya bila-bila masa, kita seakan terlupa untuk memikirkan tentang hujan itu. Terlupa untuk menjaga alam agar tangisan langit tidak berladung terlalu lama di bumi. Lalunya, mahu disalahkan pada siapa andai banjir berlaku? Memang sudah berlaku pun.

Setiap tahun, kawasan banjir itu lebih banyak sebabnya kerana tersumbat saliran air. Sejak dahulu, jumlah tangisan awan itu tetap sama kalaupun tidak berkurang. Kalau dahulu, kawasan Pantai Timur yang dibelasah banjir saban tahun (ketika kecil dahulu, banjir berlarutan lebih sebulan. Dan kami adik beradik berpesta dengan pelbagai aktiviti: gali ubi, tangkap belalang, suluh ikan, cerut rumput untuk makanan kambing dan biri-biri dll), namun kini, negeri lain pula yang jadi mangsa. Negeri yang tidak pernah pun diserbu banjir sebelum ini. Sebabnya sama sahaja. Saluran tersumbat.


Penyebab tersumbat itu terlalu kecil bersumberkan alam seperti tanah mendak atau tumbuhan. Penyumbang utama penyumbatan sistem larian air adalah sampah sarap. Malu sebenarnya untuk mengaku yang orang Malaysia ni pengotor. Namun hakikatnya tetap ada.

Pernah anda lalu di kawasan pasar malam seusai waktu langsung pasar malam itu? Meloyakan. Pernah anda lalui kawasan Bazar Ramadhan selepas waktu berbuka puasa? Memualkan. Mana perginya disiplin diri? Kalaupun sampah sarap di Pasar malam dan bazaar Ramadhan itu akan diuruskan Majlis Perbandaran di kawasan berkenaan, mengapa sampah itu tidak dilonggok-longgokkan? Mengapa berterabur. Belum lagi diselongkar kucing. Digelidah anjing.


Di sekolah, anak-anak disemai untuk hargai kebersihan. Bersih itu amalan orang Islam. Keluar sahaja dari pintu pagar sekolah, anak-anak ini telah belajar bagaimana realitinya hidup dalam dunia Islam sebenar? Nampak macam terlalu menuduh dan merendahkan masyarakat Islam bukan? Bagi anda yang sudah naik angin dengan kenyataan itu, sila tarik nafas dulu. Sabar. Sabar itu sebahagian daripada iman.

Cuba tanyakan diri anda sendiri, setiap masjid yang anda singgah untuk ke bilik air dan tandasnya, berapa buah masjidkah yang anda puas hati dengan kebersihan bilik belakang itu? Surau atau masjid ini hanya menjadi tempat singgahan orang Islam. Hanya digunakan oleh orang islam. Orang bukan Islam tidak akan singgah untuk menggunakan kemudahan masjid atau surau andai mereka tidak terlalu terdesak.


Kiranya anda berhenti di sepuluh buah masjid atau surau, berapa buah masjid atau suraukah yang benar-benar menjaga bilik belakang itu sebagai patutnya? Bagaimana pula jika anda singgah di Shell atau Petronas dan gunakan bilik air di situ. Berapa buahkah stesyen minyak itu yang akan membuatkan anda memuntahkan semula makanan yang telah hadam dalam perut anda sejak semalam itu? Antara masjid atau surau yang dimuliakan itu dan stesyen minyak yang digunakan oleh semua bangsa dan agama, lokasi mana yang lebih bersih?
Anda tidak perlu emailkan jawapannya kepada saya. Jawablah kepada diri sendiri. Jawablah dengan jujur. Dengan seikhlasnya. Ataupun, kiranya anda bukanlah insan yang selalu menggunakan bilik belakang masjid atau surau, apa salahnya belajar untuk singgah bermula saat ini. Bukan semua masjid sebersih masjid Shah Alam. Tidak semua masjid indah di luar dan dalamnya seperti masjid Putrajaya. Masjid Negara. atau masjid-masjid gak lain yang punya pekerja untuk membersihkan kawasannya. Belajarnya menjejaki masjid lain dalam perjalanan ke pelbagai destinasi di Malaysia. Saksikanlah realitinya. Lalu, fikir-fikirkanlah.


Datok Nicol yang Ayu



Aku tak minat sukan, tetapi aku kagum dan bangga dengan tokoh sukan negara seorang ni. Entah berapa banyak piala dunia dia kuasai. Berbaloilah dapat gelaran Datok pun...


Berita ini aku peti dari Berita Harian, Isnin 20 Oktober 2008. Berita yang sama boleh dibaca secara online melalui alamat berikut http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Sukan/20081019234746/Article/

Nicol rampas gelaran dunia

Oleh Harris Rajahdin

harajah@bharian.com.my

Menang ke atas pemain tuan rumah di final PEMAIN nombor satu dunia, Nicol David akhirnya berjaya menebus kehampaan tahun lalu apabila merampas kembali gelaran skuasy Terbuka Dunia dengan kemenangan ke atas harapan tuan rumah, Vicky Botwright di Manchester semalam.




Nicol, yang turun sebagai pilihan pertama, tercicir satu set pada permulaan –kali pertama dalam lima perlawanan sepanjang kejohanan– tetapi memenangi tiga permainan seterusnya, 5-11, 11-1, 11-6, 11-9 untuk merangkul gelaran ketiganya.


Kejayaan itu membolehkan pemain berusia 24 tahun itu melengkapkan misi balas dendamnya selepas menjuarai Terbuka British, Mei lalu-dua gelaran utama skuasy wanita yang terlepas daripada dakapannya tahun lalu. Ia juga adalah mahkota ketujuh yang dimenanginya tahun ini, melanjutkan rentetan tanpa kalah kepada 43 perlawanan sejak dikecewakan Shelley Kitchen dari New Zealand di pusingan kedua Terbuka Dunia 2007 di Madrid tahun lalu. Terdahulu dalam separuh akhir kelmarin, Nicol, tidak menghadapi masalah menundukkan pilihan ke-14 dari Ireland, Madeline Perry, 11-6, 11-8, 11-6 di separuh akhir.


Nicol, 24, mengakui dia banyak belajar dalam tempoh setahun selepas kekalahan mengejutnya pada pusingan kedua tahun lalu. "Dalam setiap kejohanan yang saya main, saya belajar mengenai diri saya dan dengan sistem kiraan mata baru ini, anda perlu kekal fokus. Anda tidak boleh kehilangan tumpuan."

Vicky, pilihan ke-11 pula akan mengucapkan selamat tinggal kepada jelajah profesional wanita Wispa selepas menerima tawaran sebagai ketua jurulatih di gelanggang kejohanan, Pusat Skuasy Nasional, Sportscity. Pemain berusia 31 tahun itu terlebih dulu menyekat juara dunia, Rachael Grinham pada pusingan kedua dan kelmarin, rakan senegaranya dari England, Jenny Duncalf menyerahkan kemenangan kepadanya apabila tidak meneruskan permainan selepas Vicky menang dua set 11-3, 11-6.


Selepas Sepuluh Malam



Berikut adalah artikel yang dipetik dari Berita Harian, Rabu 22 Oktober 2008, yang boleh juga dibaca secara online di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20081021224854/Article/


Otak Proaktif Selepas Jam 10 Malam

Kajian mendapati pekerja sukar selesai masalah selepas makan tengah hari masa paling kurang kreatif
LONDON: Satu hasil tinjauan terbaru mendakwa masa paling kreatif dan bertenaga bagi individu adalah jam 10.04 malam dan bukannya pada siang hari yang sememangnya diingini ramai berikutan waktu bekerja dan persekolahan.
Tinjauan penyelidik Universiti Katolik di Milan, Itali, menunjukkan otak kurang berkembang pada sebelah tengah hari. Berikutan itu, pekerja lazimnya sukar menyelesaikan masalah kerja selepas makan tengah hari, lapor Daily Telegraph semalam.
Masa paling kurang kreatif adalah jam 4.33 petang dan 92 peratus daripada 1,426 responden, mengakui mereka tidak bersemangat pada masa itu.

Kira-kira 25 peratus responden pula mengakui berjaga malam bagi mencari inspirasi atau idea baru bagi memanfaatkan tugasan mereka. Bercanggah dengan kepercayaan ramai pengurus, ramai mengakui waktu bekerja pada siang hari tidak mampu memberi semangat. Ditanya kaedah bagi mendapatkan kreativiti, seramai 44 peratus responden mendakwa mereka mandi.

Malangnya, biar pun cerdik, lebih separuh daripada idea kita lazimnya hilang buat selama-lamanya. Ini disebabkan apabila idea hadir, seramai 58 peratus orang ramai gagal menulisnya dengan segera, menyebabkannya terus hilang. Malah, berbanding lelaki, wanita terbukti lebih cemerlang dan cekap menulis idea mereka.
Seramai satu pertiga daripada mereka berusia lebih 35 tahun pula memilih untuk menulis idea di telapak tangan bagi mengelak lupa.
"Mereka yang suka berjaga malam lazimnya dapat mengemukakan idea lebih baik," kata hasil laporan penyelidikan berkenaan.

Hasil kajian pada 2006 menunjukkan golongan kreatif seperti pelukis dan penyajak terbukti mempunyai dua atau tiga kali ganda lebih ramai pasangan seks. – Agensi

Kiranya ada juga yang masih juga tidak mahu menguruskan otak dengan betul, nampak gayanya...amatlah sesuai otak mereka ini diproses menjadi otak-otak. sedap untuk dimakan! Menyelerakan!

Khamis, 16 Oktober 2008

Pagi nan Damai


Mentari pagi kemerahan diampu pula kabus yang terapung segenap Bangi.
Indah. Damai.
Biarpun kepala sendat dengan segala kerja yang perlu disiapkan, pagi yang indah berikan semacam ketenangan. Biarpun seketika.
Kalaulah sebegini tiap pagi...